Kelab Peminat

Dunia Marhaen Ini

Ada rakaman pilu di sebalik wajah-wajah insan di stesen integrasi Pasar Seni. Derum-deram langit hitam yang menaungi bangunan putih Daya Bumi, dengan percikan-percikan kilat yang menyilaukan. Seorang pengemis kurus-kering menjulang cawan plastik kosong menjunjung sembah para penumpang untuk memperoleh secebis ihsan yang berharga sekupang dua. Mereka ini menangis dalam hati. Kemodenan memaksa mereka merempat di tepi tangga, menanggal baju dan hanya bercelana, menayangkan garisan-garisan badan dan rangka-rangka yang dimamah usia. Namun, petang yang begitu kelam, ditimbusi dengan kesibukan warga kota, tiada siapa yang peduli.

Di bawah stesen LRT, perhentian utama Hab bas Rapid KL, bas berpusu-pusu melanggar jalan yang berlubang-lubang. Di suatu sudut, sedikit jauh dari orang ramai yang sedang berbaris menunggu, seorang wanita tua cina, berdiri, sambil mengayun-ayunkan tangannya; persis seorang konduktor orkestra. Alunan bingit enjin bas dan brek angin yang mencucuk kuping, bicara orang yang berjalan ke sana ke mari, serta guruh yang tak berhenti-henti bergendang - simfoni indah untuk dinikmati oleh wanita gila ini.

Seorang pondan menutup mulut, ketawa kecil, berjalan di balik-balik tiang yang menampung landasan flight over LRT, lantas terhinggut-hinggut ketawa. Dua tiga orang lelaki memakai pakaian pejabat di sudut lain, bertoleh-tolehan memerhati. Mereka serba salah untuk memahami, menangisi, bahkan untuk tak mampu memberi ulasan sesama sendiri. Mereka ini sering berulang-alik di dalam bas yang sama, sering terserempak, namun apa yang mereka perhatikan bukannya boleh dijadikan isu perbualan kali pertama.

Kelarah bangunan rumah kedai yang terletak betul-betul di hadapan hab bas ini menyedihkan. Habuk-habuk asap kenderaan yang melekat pada jubin putih tidak pernah dicuci. Tingkap sompek, yang dilangsiri kanvas biru-oren tidak pernah berganti. Ada bilik yang tingkapnya terpelahang, menampakkan isi di dalamnya dan ada yang jendelanya terkatup rapat, menyimpan seribu rahsia.

Seorang ibu muda, yang sarat mengandung, melintasi bas Metro yang berwarna putih. Kondoktur bas itu memekik-mekik memanggil penumpang, tanpa disedari, wanita mengandung tadi menarik muka dan menutup telinga apabila terpaksa melalui betul-betul dihadapnnya.
Wanita mengandung itu terkial-kial melangkah.

Pemuda Bangla dan Myanmar yang duduk di kerusi seakan tidak menghiraukan susah-payah seorang ibu menanggung kandungan. Mereka hanya duduk di kerusi menunggu, berbual dalam bahasa yang tidak difahami, ketawa, bertamparan dan mengurut-ngurut belakang sesama mereka sendiri.

Sebuah bas merah-kuning, berjenama Mercedes, dihurungi warga kota yang ingin pulang ke destinasi. Pintunya masih belum dibuka, sedangkan ada rintik-rintik kasar menghujani kepala. Wanita mengandung itu cuba berlari, seorang diri, menampung perutnya yang merining, mencari perlindungan.

Jam sudah menunjukkan pukul 4. Beberapa pemandu bas Rapid KL kelihatan menghurungi meja, mencucuh rokok, berbual tanpa risaukan masa yang berdetik.

Hujan turun lebat, selebat hujan tropika. Jalan yang berlekuk kini digenangi air dan tempias hujan mengenai mereka yang mencari perlindungan. Bau asap masih menusuk hidung, sungguhpun sebahagian besar pekat kabutnya dicairkan hujan. Begitu juga badan yang melekit, tidak hilang berlengas peluh walaupun suhu sepatutnya sudah didinginkan hujan. Di bawah bumbung kecil inilah, para penumpang bas menunggu, diuji sabar dan tabah, berhimpit-himpitan, menjeling ke arah orang yang duduk dan berbual bahasa yang tidak difahami. Pintu bas tidak terbuka sungguhpun masa melewati.

Cuma seorang yang selesa dibasahi hujan - perempuan gila yang menggawang-gawangkan tangannya, berlakon menjadi pemimpin sebuah konsert orkestra.

Aku pula sebagai seorang penumpang, setiap hari melalui daerah ini - seorang diri.

Dan, sebagai seorang warganya, aku akan mencatat dan terus mencatat, dunia marhaen ini.

Barat


Thorburn Brailsford Robertson,

in token of love,

Then I turn to the one thing which will conquer and transform the world. I turn again to grope in the void for new knowledge. I try to lift a torch in the surrounding blackness which will one day load to the land of eternal sunshine

Spirit of Research

Saya sebetulnya mengagumi barat, baik dari ketamadunannya, tempatnya dan orangnya. Tambahan, 3 tahun berada di Australia, membuat saya terasa mereka lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan masyarakat tanah air, terutamanya aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Sungguhpun asas ketamadunan mereka dibina tanpa dasar tapak yang kukuh, yakni tiada dasar yang mengikat ketamadunan mereka, budaya barat tetap menjadi budaya dominan seluruh dunia.

Semangat inkuiri yang memandu azam mereka, yang mewujudkan banyak fikir untuk memudahkan kehidupan di bumi dan usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan kehidupan utopia, membuatkan saya benar-benar kagum dan takjub. Ini ditokok lagi dengan beberapa orang barat yang asalnya atheist, kemudian, mendapat hidayah dari Allah dan mengamalkan Islam secara menyeluruh, baik dari aspek pemikiran dan tingkah-laku.

Satu budaya yang saya kesani, yang sebetulnya dipunyai oleh orang Islam adalah budaya mendidik dan kesedaran pendidikan kerangka pemikiran.

Misalnya, sepanjang 3 tahun saya berada di tengah-tengah ketamadunan barat, saya memerhati bagaimana ibu bapa, guru dan orang dewasa mendidik generasi muda mereka. Setiap kali saya melangkah ke kampus, saya sering terserempak dengan rombongan kanak-kanak, baik pelajar tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah, berbondong-bondong bersama dengan guru, melawat lokasi-lokasi penting di bandar Adelaide.

"Cikgu, itu orang apa?"

"Apa yang kamu rasa?"

"Dia pasti bukan orang Australia."

"Kalau bukan orang Australia, kamu rasa dia orang mana?"

"Mungkin orang Amerika Latin, sebab kulitnya coklat, tidak tinggi dan berambut keriting. Tapi kenapa dia tak memakai topi jerami yang besar?"

"Cikgu, saya tak pun nampak nachos ataupun gitar kecil padanya."

"Jadi, kamu rasa dia orang Amerika Latin."

"Mungkin bukan."

"Jadi, bagaimana boleh kita mengetahui dia berasal dari mana?"

"Apalagi cikgu, jom kita tanya dia."

"Jom!"

Lantas, budak-budak itu mengerumuni seorang lelaki yang berjalan lambat-lambat di hadapan South Australian Muzium. Jenuh dia menjawab soalan kanak-kanak.

Saya tersenyum sendiri. Yang menakjubkan, cikgu yang memimpin kanak-kanak itu sabar betul melayan karenah anak muridnya yang banyak bertanya. Kadang-kadang, terdengar juga soalan yang aneh-aneh, namun tidak pernah sekalipun saya mendengari guru mengherdik atau memarahi. Apatah lagi memalukan anak didiknya.

Budaya pendidikan ini turut sama dipraktikkan di dalam kampus. Awal-awal dahulu, susah juga untuk mengikuti corak dan kaedah yang diajarkan di sini. Namun, apabila berada di tahun ketiga, saya sudah selesa untuk mendalami aliran pendidikan 'belajar sendiri' ini.

Inti pendidikan yang paling utama, pada pandangan saya, adalah membina bagaimana untuk berfikir. Lebih spesifik lagi, kaedah pendidikan ini menekankan tiga peringkat utama dalam mempelajari sesuatu. Ia adalah:

1) Mengenal pasti masalah, kejadian atau peristiwa
2) Mengutarakan soalan yang menusabah terhadap masalah, kejadian atau peristiwa itu.
3) Cuba mencadangkan usaha yang realistik untuk menyelesaikan masalah, menerangkan kejadian atau menghuraikan peristiwa yang berlaku.

Di samping itu, para pensyarah tidak akan menjawab persoalan yang ditanya oleh para mahasiswa. Namun, mereka akan memulangkan persoalan itu dengan persoalan yang menghala ke arah jawapan permasalahan itu. Bagi saya, sememangnya maklumat dalam sesuatu pengetahuan itu penting, namun cara untuk mendapatkan maklumat dalam sesuatu pengetahuan itu lebih penting.

Ini dinamakan kerangka fikiran.

Di barat, para mahasiswa diajar bagaimana untuk membina kerangka pemikiran saintifik dan bagaimana untuk survive jika tiada pensyarah untuk membantu.

Saya bertanya pada Syeikh, bagaimana metodologi pengajian Islam. Rupa-rupanya, menurut pandangan beliau, metologi pengajian Islam yang dilaluinya di Syria serupa dengan kaedah pendidikan barat - yang menumpukan pembinaan kerangka pemikiran. Misalnya, selama 6 tahun beliau menuntut di Madrasah, para alim di sana menekankan bagaimana untuk menanggapi Al-Quran dan Ah-Hadits, dan apabila sudah mempunyai asas kerangka yang kukuh, mereka akan digalakkan oleh guru untuk menyelesaikan permasalahan agama itu, secara sendiri.

Selain itu, satu elemen yang penting dalam kaedah pembinaan kerangka pemikiran ini adalah wujudnya sumber rujukan kesahihan ilmu itu. Guru, baik dalam kedua-dua daerah pendidikan, memainkan peranan yang sangat penting, iaitu sebagai rujukan buat para pelajarnya. Di universiti, bagi yang membuat tesis PhD, juga pelajar sarjana muda tahun akhir, guru atau orang rujukan mereka dikenali sebagai supervisor. Di dalam kesarjanaan Islam, pusat rujukan utama adalah ulama' yang lebih faqih.

Namun, saya di sini bukannya hendak menyamakan sistem pendidikan barat dan sistem pendidikan Islam. Namun, saya ingin mengetengahkan kualiti yang dipunyai oleh ketamadunan barat yang mungkin berasal dari ketamadunan Islam. Namun, sama ada ya atau tidak, bukannya isu utama yang perlu dibahaskan. Malah, perbahasan sama ada kita telah melaksanakan sistem atau kaedah pembelajaran begini pun pada saya tidak perlu.

Pada saya, yang lebih penting adalah sejauh mana kita mempraktikkan pengajaran dan pembinaan kerangka pemikiran pada generasi muda kita. Sejauh mana kita telah menyediakan anak-anak kita untuk menanggapi sesuatu permasalahan itu sendiri, bukan sekadar disuap ke mulut sahaja.

Ini merupakan cakap-cakap tentang masa depan. Cakap-cakap suasana Malaysia pada tahun 2020.

Apakah pada waktu itu, negara kita yang tercinta, boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan ketamadunan lain?

Sekarang, kitalah penentunya.

Luruh



Mungkin Adelaide sudah masuk ke musim luruh. Atau, mungkin berada di penghujung musim panas. Hawanya mungkin tidak lagi berbahang, seperti hawa bulan Disember dan Januari. Hawanya mungkin ala-ala Malaysia. Bunga-bunga, bermacam warna, tidak mekar berseri, menguncup dan jatuh memenuhi tanah. Barangkali, yang tinggal, hanya bunga mawar, bunga yang tahan sepanjang musim apa pun.

Masih segar di ingatan, saat daun Maple luruh memenuhi ruang pejalan kaki, sepanjang Jalan Frome. Daun kering dan kuning, saya sengaja seretkan sewaktu berjalan, mencetuskan bunyi keritik dan kerenyuk, bertelingkah dengan deru angin yang kuat dan bergaul dengan deruman enjin kenderaan. Sekali sekala, saya dilintasi oleh Mat Salih, yang ternyata melangkah lebih panjang dari saya. Mereka berbual. Bahasa Inggeris loghat Australia mereka pekat. Saya ketinggalan di belakang.

Jika ada kelapangan dahulu, saya akan duduk di hadapan Santos Petroleum Engineering Building, menikmati sinaran suria dari langit yang biru tak berawan. Udara di sini segar, tambahan saya dinaungi oleh pohon Gum yang tinggi. Cahaya matahari tidak terpancar terus, sebaliknya ia dilindungi daun-daun. Sebahagian besar cahaya infra merah diserap klorofil. Cahaya matahari yang lepas ke bawah pokok, di tempat saya duduk, tidak membawa bersamanya haba. Ia membawa bersamanya kedamaian dan ketenangan.

Daun-daun berguguran apabila ditiup angin. Sekali angin lalu, banyak daun-daun berterbangan. Sehelai daun Maple jatuh betul-betul di hadapan saya. Ia meliang-liuk, melayang-layang, lemah-gemelai, datang ke arah saya. Daun ini melawan upaya graviti, jatuh perlahan-lahan, berbolak-balik dan menari mengikut rentak angin. Ternyata, daun ini ingin mengenali saya.

Waktu itu, terasa benar kegembiraan berteman pokok-pokok yang luruh daunnya. Ranting yang bercabang-cabang, terlurut semua daun, togel dan bergetar-getar. Angin musim luruh merehatkan minda dan jiwa, membebaskan diri dari kecamuk rasa kecewa. Berteman dengan pohon-pohon yang jujur, yang diam dan selalu mendengar, seolah membawa saya ke sebuah temasya, di mana saya disambut dengan penuh mesra. Sungguhpun bersendirian di taman, di tepi jalan, di tepi Sungai Torrens, saya rasa begitu ramai sekali kawan. Mereka bersimfoni, dengan alunan mereka tersendiri. Mereka menerima, walau apapun keadaan saya ketika itu.

Terasa indah mengingatkan kenangan yang manis itu. Ingin sekali lagi bersama pohon-pohon yang menghilangkan rasa sunyi dan duka.

Selamat jalan kawan
Kawan,
Kau turuti aturan Allah,
Berpisah,
Aku gelisah,
Sendiri begini.

Tika kumemerhati,
Tingkah insan,
Asing dan tak kukenali,
Kau kunampak di situ,
Dilakonkan,
Beraksi sepenuh jiwa,
Menghiburkanku,
Di atas pementasan kenangan.

Hari ini,
Haruman kemboja,
Mewangikan kesepian tak bernisan,
Di sisi kuburan duka,
Aku dan kau,
Terhijab antara dunia dan masa.

Salamku kawan, untukmu,
Moga jalinan kekal bersatu,
Di alam tak berruang, tak berwaktu,
Utuh kukuh,
Diredhai-Nya.

Nantikanku kawan,
Aku juga ingin sepertimu,
Terbang bebas,
Selamanya.

Putrajaya
15 Mac 2010

Keterasingan

Setelah beberapa minggu, berulang-alik dari Pasar Seni ke Wangsa Maju, baru hari ini saya rasa nak berkongsi bicara mengenai LRT. Perjalanan saya setiap pagi dan setiap petang dilatari pelbagai ragam manusia, pelbagai macam kejadian, pelbagai warna kehidupan. Ya, kehidupan di kota yang bercampur-baur antara suka, duka, sedih, gembira, segar, letih, seronok dan menjemukan.

Awal-awal dahulu, saya begitu bersemangat, berlari-lari mengejar tren dan berdiri atau duduk di tempat yang paling selesa. Tambahan, sejak saya menggunakan kad Rapid Pass Integrasi, saya berasa sangat seronok apabila dapat memotong barisan panjang orang menjolok tiket untuk ke platform menunggu. Dengan hanya menunjukkannya pada polis bantuan di pagar pelepasan, saya dapat menjimatkan sebahagian besar masa perjalanan saya. Sungguhpun saya dapat mendahului barisan, saya masih tetap berjalan pantas dan berlari-lari mendaki atau menuruni tangga. Akhir-akhir ini, saya lebih selesa berjalan lambat-lambat. Risau juga, apabila memikirkan gejala ini mula berlaku. Apakah penyakit malas sudah menjangkit kaki saya.

Biasanya, waktu pagi, kebanyakan (boleh kata semua) penumpang kelihatan segar bugar, penuh bersemangat dan bermuka ceria menaiki tren. Walaupun pagi-pagi lagi kena berhimpit, saya belum lagi mengesani wajah-wajah tercebik kerana kekurangan ruang. Biasanya, pagi-pagi begini, dalam keadaan yang sempit, ada orang yang membaca akhbar, meladeni telefon bimbit dan ada juga yang boleh membaca novel. Saya memerhati di balik pantulan cermin, memerhati gelagat manusia yang terpancar sebagai imej apabila tren melalui lorong bawah tanah, antara Masjid Jamek dan Ampang Park. Kalau ada mata yang bertentang, cepat-cepat saya larikan pandangan, berpura-pura melihat jam dan menekuni lampu putih di luar yang kejar-mengejar. Sebenarnya, seronok juga memerhatikan gelagat orang.

Ajaibnya, sungguhpun tren ini disendati oleh puluhan orang, suasana di dalamnya begitu senyap sekali. Susah hendak mendapatkan orang yang bercakap-cakap, melainkan mereka yang bercakap melalui telefon. Namun, ada sesekali saya mendengar dua pasangan India yang berbual dalam bahasa Tamil, itupun sangat jarang. Apabila tren melalui jalan bawah tanah, bunyi tayar besi yang bergeser dengan landasan seolah bunyi wanita menjerit ternampak hantu. Tambahan, suasana gelap di bawah tanah, kesejukan pendingin hawa yang dipasang kuat dan suasana sepi di dalam himpitan orang ramai, membuat saya saya berasa terasing. Terasing di dalam himpunan puluhan orang, yang sama kerakyatan dan yang berpakaian lebih kurang sama seperti saya. Entah, apakah saya seorang merasai perasaan ini atau penumpang yang lain turut merasakan perasaan yang sama?

Saya berfikir, kalau bukan sunyi begini, bagaimana pula jadinya? Apakah saya mahu seluruh tren ini menjadi riuh-rendah seperti berlaku rusuhan? Sudah tentu kedamaian pagi itu akan tercemar dan sudah pasti para penumpang memulakan hari kerja dengan wajah yang masam.

Apa-apapun, itu adalah keajaiban waktu pagi di dalam tren LRT.

Waktu petang pula, keadaan berubah. Masing-masing letih, termasuk saya. Tambahan, keadaan sendat dan tiada udara segar menambah lagi tekanan yang dialami. Seperti biasa, susah hendak mendapatkan senyuman di celah-celah orang yang bergayutan pada palang, atau yang terhimpit rapat pada pintu dan dinding gerabak tren. Tiada orang yang membaca akhbar, cuma tinggal beberapa kerat orang yang masih mampu membaca novel. Masing-masing dengan earphone masing-masing, atau meladeni SMS yang tak putus-putus masuk. Apabila melalui terowong di antara stesen Ampang Park ke Masjid Jamek, kedengaran jeritan wanita gila dalam suasana suram dan dingin.

Cuma, ada sekali itu, ada satu dialog yang tak dapat saya lupakan. Dua orang wanita, barangkali baru pulang dari kerja, berdiri betul-betul di hadapan saya. Mereka mesra berbual, seolah tidak lelah setelah seharian berkerja. Barangkali mereka ini budak-budak pejabat. Inti perbincangan mereka adalah mengenai boyfriend. Salah seorangnya menceritakan keterujaan dirinya apabila 'si dia' menghadiahkan sesuatu, dan saya tak ingat entah apa. Rakannya pula, menggalakkan si girlfriend ini supaya keluar ber-dating hujung minggu ini. Ke mana lagi cadangan beliau, kalau bukan ke Putrajaya. Saya, walaupun pura-pura menekuni dinding hitam, memasang telinga, mendengar apa plan yang mereka bincangkan.

"You ajaklah dia keluar ke Putrajaya."

"Ada apa dekat Putrajaya?"

"Ala, you takkan tak tahu, bangunan sana cantik-cantik."

"Oo ye ke?"

"Iya, bangunan cantik-cantik. Kalau you nak ajak dia keluar, ajaklah dia pergi ke Masjid Terapung."

Saya berfikir-fikir, ada ke tak ada masjid yang dinamakan masjid terapung. Yang ada cuma Masjid Putra berdekatan dengan Pejabat Perdana Menteri, ataupun Masjid Sultan Mizan atau lebih dikenali dengan nama Masjid Besi. Kedua-duanya terapung di atas tasik. Mana satu yang perempuan itu maksudkan?

"Ala, masjid terapung tu. Apa nama dia? Aha, Masjid Putra."

Oho, Masjid Putra rupanya. Tak pernah pun orang Putrajaya panggil masjid terapung.

Rakannya menyambung, "You ajaklah dia keluar ke situ. Jalan-jalanlah dekat masjid. Ala, kan baru you nak keluar-keluar ni. Bila ajak dia ke situ, barulah ada feeling."

Feeling apa? Persoalan itu bertalu-talu dalam hati saya. Saya benar-benar nak tahu. Susah nak dapat feeling-feeling hati ini di masjid.

Sambung rakannya yang tak hiraukan sempit dan jeritan wanita tersampuk hantu, "Baru Islamik sikit kalau ajak keluar ke sana. Ajaklah dia sembahyang sekali. Hah, baru Islam sikit percintaan kamu."

Saya mahu gelak besar, tetapi hanya hati saya yang terguling-guling ketawa. Kali terakhir saya ketawa bagai naik sawan adalah sewaktu di sekolah (gara-gara Hadi). Saya tak mahu sawan gelak di tengah-tengah orang ramai. Mulut saya tertahan-tahan senyum. Saya kira, dalam keadaan yang rimas itu, hanya saya seorang yang berasa suka.

"Yalah, betul juga kata kamu," kata girlfriend itu tadi. Dia nampaknya menerima sahaja usul kawannnya itu.

Saya tak pasti, apa yang melucukan. Namun, plan itu kedengaran menarik juga, tambahan mereka perbincangan dilakukan dengan teliti, di hadapan saya, warga Putrajaya, di hadapan orang yang berhimpit-himpit di dalam tren LRT. Namun, saya hanya sempat mendengar setengah daripada keseluruhan perancangan mereka. Mereka turun di Masjid Jamek, sedangkan saya akan turun di stesen berikutnya, Pasar Seni. Di dalam tren, seteleh mereka tiada lagi di hadapan saya, saya tersengih-sengih seorang diri.

Namun, di dalam jiwa, saya tetap rasa terasing. Saya tak dapat mencampuri urusan perancangan itu. Saya tidak mengenali mereka, dan sudah tentu, tiada siapa yang mengenali saya di dalam tren. Saya teringin juga untuk mengutarakan cadangan. Namun, apakah daya, suasana tak mengizinkan. Maka diamlah saya di situ, terasing, di dalam tren, di dalam kedinginan, kesuraman dan kebingitan jeritan wanita histeria.

Raksi Hati

Khaliq,
Akulah makhluk-Mu,
Tiada daya,
Jahil bermadah,
Dahulu, kini,
Pancaroba jiwa.
Sentiasa bergelora,
Saksi niatku bisu,
Tiada yang membelaku,
Dihadapan hamba-hamba-Mu.

Azam kepulanganku, Rabbi,
Bulat amalku, penuh imanku,
Seperti sahabat utusan-Mu,
Izinkanku dipandu,
Satu persatu.

Ya Rahman,
Ya Rahim,
Hamba ingin menjadi satu,
Seperti alam-Mu,
Fitrah ciptaan dan ciptaan,
Bumi dikasihi,
Langit menyayangi.

Doa ini,
Tulus munajat,
Engkau kurnia,
Pewaris cendekia,
Dari sekudus rasa,
Cinta di dalam jiwa,
Berita gembira kunanti.

Dia mekar,
Permohonanku,
Raksi hatiku.

Putrajaya
7 Mac 2010

Sahabat Kasturi

Sahabat kasturi,
Sabda Nabi,
Dampingi, Ziarahi,
Demi ukhrawi,
Kasih di hati,
Kekal abadi.

Shah Alam
5/3/2010

Patutlah (Salam)

Patutlah,
Firman Allah dalam Waqiah,
Dijelaskan tentang Jannah,
Salam jadi ungkapan terindah,
Bertukar mesra senyum tak sudah,
Tanda hamba abadi Sa'adah,
Redha buat pengikut Sunnah.

Patutlah,
Dunia digelar-Nya gundah,
Harga cuma kepak sebelah,
Bila diperlu, hidung menongkah,
Tiba memerlu, berlaku lemah,
Manis di bibir di hati seranah,
Hajat didapat, pemberi diludah,
Ditegur kasih, dibuat tak endah.

Patutlah,
Bala bersuka diangkat disembah,
Bencana badut pemandu ummah,
Bahana guru mengajar salah,
Berita bermacam resah gelisah,
Tanah air macam dah punah.

Marilah,
Mana lagi tempat melayah,
Kalau bukan Quran dan Sunnah,
Kita mula amal yang mudah,
Asal bersua, salam meriah.

Langit Keruh

Silauan halilintar menembusi tingap pejabat. Kedengaran guruh menggegar, terkejut-kejut selepas kelipan cahaya. Dia menyelak blinds, melihat pada Jalan Usahawan yang disesaki oleh bermacam kenderaan. Titisan hujan seolah-olah berjuta anak panah yang jatuh menikam bumi. Gelisah di dalam hatinya mencengkam sukma - bagaimana harus dia meredah gelora tropika jika begini keadaannya.

Masuk hari ini, sudah dua hari hatinya resah. Resah kerana jiwanya seakan jiwanya ribut, seperti di luar. Resah kerana terasa perasaannya umpama tasik yang keruh, digenangi mendakan air yang tidak mengalir, dikocak pula oleh hujan yang turun lebat.

Resah dan gelisah. Dua hari ini sujud dan rukuknya langsung tidak memaknakan.

Tiada ketawadukan, tiada kekhusyukan.

Mujur rakan sekerja sudi menumpangkannya ke stesen LRT Wangsa Maju, yang terletak lebih kurang 2 kilometer. Keretanya menyusuri jalan yang mula dinaiki air. Mereka berbicara kecil, menyentuh tentang nasib Kuala Lumpur jika hujan begini tidak berhenti.

Namun, perjalanan itu tidak banyak bualan yang dikongsikan. Rakannya perlu memberi tumpuan di atas jalan raya - hujan lebat memaksanya menyalakan lampu, seawal jam 630 petang. Dia pula termenung ke luar, menyembunyikan apa yang terasa di dalam hati.

Senyap-senyap dia mengarang sebuah puisi:

Langit keruh,
Bumiku geruh.

Aku di sini,
Bersandar selesa.

Tuhan menitahkan,
Pada-Nya sahaja harapan.

Akukah insan,
Melupakan firman Tuhan?

Allah,
Kau,
Pengampun.

Jangan tinggalkanku,
Kehujanan,
Keseorangan.

Dia dihantar betul-betul di tepi jalan. Langit masih mecurahkan segala isinya. Kepalanya yang hanya diserkup topi tidak mampu melindungi bajunya dari kebasahan. Dia berlari, selaju mungkin untuk mendapatkan LRT.

Di Pasar Seni, dia merasakan hujan tidak mahu berhenti. Setengah jam dia menunggu bas, berbaris di dalam kekuyupan. Bas yang sepatutnya membawanya pulang awal tidak kelihatan. Dia membetulkan beg sandang, berdiri seselesa mungkin. Sewaktu tegak berdiri, dia cuba menyambung puisi.

Benar hati membatu,
Bila makan tak menentu,
Dosa kecil dibuat selalu.

Tiga ratus zikirku,
Amal Quraniku,
Ta'lim harianku,
Solat jemaahku,
Kerana dunia,
Penjaga kanan menunggu,
Kalam tergantung tanpa catatan.

Maha Penerima Taubat,
Kau menghidupkan yang mati,
Maha Pengabul Doa,
Jadikan roh ini bernyawa.

Beberapa ketika, bas yang ditunggu tiba, memuntahkan penumpang sebelumnya - berlari-lari mencari teduhan. Dia masuk, berebut mencari tempat duduk.

Cahaya dari luar makin kelam. Awan tebal menyelimuti. Air hujan membiaskan cahaya, berselerak tidak bertumpu mencerahkan.

Dia kelelahan, lalu terlena sewaktu bas meredah hujan.

Cahaya matahari, sungguhpun tidak kelihatan bebolanya, semakin lama semakin suram. Senja hari pertama kerja sekembalinya dari kembara, benar-benar menguji. Menguji rohaninya dan basyarnya.

Tuhan, peliharalah imannya.