Kelab Peminat

Sarapan nan Lewat

Kami bersetuju untuk bersarapan lewat, sebentar tadi. Sahabat saya telah sedia menunggu saat saya tiba. Di dalam beg saya, sarat dengan buku-buku yang dibawa pulang dari Tehran - untuk diletakkan dan diwakafkan di Baitul Hikmah.

"Buku-buku aliran sana," kata saya. "Baitul hikmah sepatutnya menjadi pusat rujukan pelbagai aliran." Usaha kami masih kecil. Moga-moga, Allah memberkati - inshaAllah.

Seperti biasa, tatkala pertemuan, kami berwacana. Dan, isi perbincangan itu seenak laksam dan nasi dagang yang menjadi hidangan. Kali ini, kami berbincang tentang pengarangan.

"Bagaimana kategori pengarangan Melayu di Malaysia?" tanya sahabat saya.

"Susah untuk mengkategorikan pengarangan Melayu. Tetapi, secara umumnya, saya rasa, ia dapat dibahagikan kepada dua - yang Islamis dan sekularis. Yang berintikan ilmu dan yang hanya khayalan dan kekeliruan."

"Apakah bezanya?"

"Yang berpaksikan Islam, akan menjadikan ilmu sebagai teras dalam pengarangan. Misalnya, kita akan kesani dalam karya, ada elemen khutbah dan didaktik. Pendekatan ini agak popular dalam pengarangan Melayu sekarang, terutamanya dengan kebangkitan novel pop Islami, kerana ia mudah dan cepat.

"Namun, kalau kita telusuri karya pengarang masyhur zaman silam, seperti Rumi, Sa'di dan sebagainya, mereka tidak meletakkan khutbah dalam karya. Pengisian mereka diserap ke dalam cerita dan mesej kebenaran akan dicerap oleh pembaca melalui penceritaan. Pembaca akan merasai pengalaman mesej kebenaran itu, melalui watak dan perkembangan cerita.

"Untuk perkara ini, cuba perhatikan cerita Sisyphus yang terkenal itu. Kita tahu kisahnya, dan tidak mengesani elemen didaktik di dalam ceritanya. Namun, di sebalik makna cerita itu, kita kesani bagaimana Sisyphus adalah seorang hero tragis yang mustahil mendapat kebahagiaan jika terus diseksa begitu.

"Sudah tentu, untuk menarik minat pembaca, pengarang perlu berusaha keras untuk menyusun semua ini untuk menghasilkan cerita yang baik dan bermakna."

"Jadi, kepengarangan itu sebagai penunjuk kepada kebenaran, bukan? Sepertimana sains, yang menunjukkan manusia kepada kebenaran di sebalik alam kejadian ini. Begitu juga kepengarangan, yang sepatutnya memikul amanah yang sama, dan menjadi jalan untuk mencapai tujuan yang sama."

"Benar sekali," kata saya. "Apabila berkata tentang amanah, pengarang perlu sedar amanah mereka. Pengarang sering dimomokkan dengan fahaman bahawa mereka adalah 'tuhan' yang mencipta watak dan latar di dalam karya. Padahal, ia bukan begitu, kerana mereka adalah manusia. Sepatutnya, mereka perlu sedar, bahawa mereka telah diberi amanah ilmu untuk disampaikan secara bijaksana kepada pembaca, agar dapat diambil manfaat.

"Bagi saya, kreativiti bermula apabila manusia itu mengenal had dan batasan yang ada pada mereka dan memaksimumkan apa yang ada di dalam batasan itu."

Kami terdiam sebentar, menikmati sarapan yang enak.

"Bagaimana pula dengan sejarah? Bagaimana pengarang Melayu memandang sejarah?"

"Ada rencaman pandangan pengarang terhadap sejarah. Lihat sahaja bagaimana mereka menafsirkan sejarah ke dalam karya mereka.

"Ada pengarang yang merasakan tugas pengarangan adalah sebagai perakam sejarah. Mereka akan merekodkan pengalaman sejarah sezaman dan menumpahkannya ke dalam karya. Jadi, kita akan dapat lihat banyak karya-karya yang membicarakan perihal peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut sesuatu zaman. Kalau zaman susah, kita akan mendapati karya-karya membicarakan perihal kesusahan masharakat. Begitulah juga sebaliknya.

"Dalam sharahan Prof al-Attas Sabtu lepas, beliau ada menyinggung perihal pengarang yang mempunyai kecenderungan menjadi pelapor. Dan, seperti yang kita tahu, dalam sejarah, kita perlu membezakan antara fakta runcitan dan fakta sejarah yang sebenar. Jika tidak, tentu buku sejarah tidak akan tertulis dan kepengarangan akan dibanjiri dengan perkara-perkara yang tidak penting buat kemanusiaan.

"Namun, ada juga pengarang yang mahu mengangkat nilai yang lebih universal. Pengalaman sejarah sesuatu bangsa itu dijadikan inti karya dan ditafsir dengan kreatif dan dapat diambil kebaikannya oleh seluruh manusia, walau apa jua latarnya. Mereka menyentuh perihal kemanusiaan dan menunjukkan manusia kepada hakikat kebenaran di sebalik pengalaman-pengalaman sejarah mereka. Satu tugas yang berat, tetapi besar kebaikannya."

Begitulah perbincangan kami tadi.

Catatan ini, dikarang, untuk mewarnai semula wajah blog ini, yang sekian lama dirundung sepi.

Terima kasih buat sahabat yang sudi menemani sarapan nan lewat tadi.