Kelab Peminat

Merdeka

"Kamu nampak gembira betul."

"Oh ya? Memanglah, esok kan negara saya menyambut kemerdekaan yang ke-52."

"Tapi awak Muslim!"

"Kenapa?"

"Yalah. Muslim kan tak boleh minum bir. Tak boleh makan waktu bulan puasa. Tak boleh bersama teman wanita sebelum kahwin. Tak boleh itu tak boleh ini. Tapi, awak masih gembira menyambut kemerdekaan. Awak gembira sebab apa sebenarnya?"

"Awak nak saya jawab dari sudut apa?"

"Dari apa awak merdeka? Untuk apa merdeka? Dua-dua soalan itu, akan membuatkan saya tahu kenapa awak gembira sangat ni."

"Agak jauh juga kaitan antara kegembiraan saya dan dua soalan awak tu."

"Jawab sahajalah!"

"Merdeka... Ermm.. Aha: Saya gembira kerana saya kemerdekaan saya kali ini, disambut dalam bulan Ramadhan. Bebas dari bisikan syaitan."

"Lagi?"

"Sekarang tinggal saya dan hawa nafsu saya. Jadi, kalau ruh saya kuat, mudah saya untuk mengawalnya."

"Sebab apa awak nak mengawalnya?"

"Mestilah saya nak ruh dan jasad saya merdeka dari kawalan nafsu."

"Saya tahulah itu. Tapi, buat apa ruh nak merdeka? Kan saya tanya tadi."

"Mestilah ruh saya kena merdeka. Kalau tak, siapa yang akan kawal tubuh badan ini? Nak biar nafsu kawal? Eii, janganlah. Kalau tak gemuk, mesti kena macam-macam penyakit. Kalau ruh dah merdeka, senang nak buat perkara yang baik-baik."

"Contohnya?"

"Mentaati perintah dan larangan Tuhan. Mengikuti sunnah Rasul."

"Huh, terlalu alimlah kamu. Kamukan nak sambut kemerdekaan negara. Kenapa hal-hal agama terlibat sama ni?"

"Haha. Mestilah kena libatkan sama. Agama membentuk individu. Macam butir beras dalam sepinggan nasi. Kalau rosak satu, mungkin tak mengapa. Kalau banyak yang rosak, siapa nak makan nasi yang mengkal? Itupun kalau kau makan nasilah."

"Tapi, banyak benda yang tak boleh buat kalau kau ikut sangat tuntutan agama tu. Hah, kan tak merdeka namanya tu."

"Haa.. Kau pula, kalau begitu, kenapa nak merdeka dari tuntutan agama pula?"

"Errr..."

"Memandangkan soalan itu ditujukan pada aku tadi, aku akan jawab begini: Tak semua perkara yang kita nak buat itu baik untuk kita. Mungkin kehendak kita itu bisikan iblis dan nafsu yang semestinya buruk untuk diri kita. Tuntutan agama inilah yang akan memelihara kita, membawa kita bebas dalam kebaikan. Hah, kan ada tujuan merdeka itu. Hah, kau ada jawapan pada balasan soalan aku?"

"Yalah, yalah. Kau yang menang."

"Hehe. Menang kerana lojik. Bukan sekadar pandai bercakap kan?"

Tujuh

Minggu pertama Ramadhan sudah hampir habis. Tempoh projek proses penyucian, pembinaan dan pemantapan jiwa dan rohani tinggal tiga suku bulan lagi, atau 21 hari lagi. Dua puluh satu hari bukanlah lama mana. Sahur, pergi kelas, balik rumah, pergi masjid untuk berbuka, solat tarawih, tahajud dan sahur kembali, menjadikan masa itu terasa memecut laju macam kenderaan di atas lebuhraya.

Hari ini, saya pergi ke Al-Khalil lagi, bertemu dengan saudara yang sudah beberapa hari tidak berjumpa.

Selepas berbuka, sempat juga kami berbual selama hampir setengah jam.

"Masalah Islam sekarang adalah berpunca dari orang Arab," pernyataannya ringkas.

Belum sempat dia menyambung, ada seorang lagi saudara, memotong perbualan kami dan topik yang baru diasaskan oleh beliau itu, terbengkalai begitu sahaja.

"Dahulu aku pun rasa macam itu juga," monologku dalam hati, menyambung kembali pembinaan topik itu. "Tapi sekarang, aku rasa hipotesis itu macam tak tepat pula."

Hari ini, sewaktu menyudahkan 'assignment' di makmal komputer Huxley, bangunan Fizik (yang menjadi tempat lahirnya beberapa penerima Nobel, antaranya adalah adik-beradik Bragg), aku berkesempatan berbual dengan Azmi yang duduk di sebelah komputerku.

"Aku berasa sedih dengan dengan sikap segelintir pihak yang mempertikaikan hukuman Kartika." Azmi menyatakan kekesalannya. Itu setelah aku tunjukkan ulasan Norhayati Karpawi (Sisters In Islam) yang menulis di dalam Malaysiakini.

Aku cuba menyelami ombak yang bergulung di dalam jiwa Azmi. Getar yang berlubu di hatinya terpancar di balik raut wajahnya yang muram.

Tiba-tiba, kedengaran penggera percubaan, untuk menguji sistem penggera keselamatan jika berlaku kebakaran. Kami bergegas keluar dan di luar, langit mulai mendung dan angin yang bertiup terasa dingin.

"Walaupun mereka meletakkan ayat Al-Quran sebagai hujah, tetapi aku takut ia ditafsir dalam konsep yang salah. Yalah, walaupun ada kelemahan dari segi pelaksanaan hukuman, namun tidak patut mereka mempertikaikan undang-undang itu," sambung Azmi.

Sewaktu kami masuk ke dalam kembali, aku meneruskan kerja rumahku yang sepatutnya perlu dihantar Isnin ini. Namun, atas ihsan pensyarah, ia ditunda. Itupun kerana terdapat masalah teknikal, kerana, untuk menyelasaikan kerja rumah ini, kami perlu menggunakan perisian ERDAS Imagine, yang tidak dapat diakses selepas waktu kelas dan bilangan pelajar Remote Sensing yang ramai, menyukarkan kami menggunakan perisian itu secara individu.

Walaupun telah ditangguh, 'assignment' ini perlu dihantar juga. Inilah tanggungjawab sebagai seorang siswa - memenuhi kehendak pelajaran yang telah diaturkan oleh pensyarah.

"Masyarakat kita menolak perkara yang tidak baik." Aku berkongsi pemahaman sosiologi masyarakat tempatan. "Peraturan bertulis sememangnya ada. Pada masa yang sama, ada 'peraturan' yang dihakimi oleh masyarakat kita. Misalnya, tentang isu Kartika ini, perbuatan beliau, jelas melanggar 'peraturan' masyarakat yang terdiri daripada Melayu yang Islam. Maka, selayaknya, beliau dihukum kerana melanggar 'peraturan' itu."

"Maksudnya?" tanya Azmi. "Cuba jelaskan."

"Begini. Aku mendengar hujah SIS dari Al-Jazeera, yang mengatakan, perbuatan Kartika adalah dosa peribadinya dan mahkamah syariah tak layak menghukum. Namun, pada pandanganku, aku rasa, masyarakat kita bukannya jenis individualistik. Kita ini orang Islam, hidup dalam satu kesatuan Ummah. Apabila perkara yang tidak baik berlaku, maka semua individu dalam Ummah bertanggungjawab ke atas perkara yang berlaku tersebut. Ini kerana; pertama, dosa itu memang Kartika tanggung. Kedua, perbuatan Kartika itu membahayakan Ummah. Ketiga, jika ummah tidak mempedulikan hal ini, sudah pasti masalah ini akan merebak, dan merosakkan keseluruhan ummah itu. Keempat, memang Kartika boleh bertaubat, tetapi, untuk keadilan dalam taubat itu, atau untuk taubatnya diterima, beliau perlu melalui hukuman yang setimpal terhadap kesalahan yang telah dilakukannya," aku menyenaraikan hujahku pada Azmi. Dia sememangnya seorang yang tekun mendengar. Pengalaman kami berhadapan dengan Evangelis, yang tidak mahu mendengar langsung penjelasan kami mengenai konsep ketauhidan Islam, membuatkan kami lebih rapat. Barangkali rapat dari segi intelektual dan sinergi pemikiran.

"Benar. Lagipun, hukuman sebatan yang dikenakan, bukannya seperti mana hukuman sebatan yang kita tahu. Hukuman yang Kartika bakal hadapi, tidak melukakan dan tidak dipukul di kemaluan. Malah, tukang jalan hukuman itupun perlu melalui prosedur yang telah ditauliahkan. Cuma, mungkin si pelaksana hukuman itu masih belum ada pengalaman dalam hukuman pertama ini. Jika mereka menghujahkan Umar yang memaafkan kesalahan mencuri kerana kemiskinan, takkan mereka lupa pula yang Umar pernah menjalankan hukuman terhadap anaknya yang berzina."

Ada lojik. Ada rencana keadilan, baik untuk Kartika dan ummah seluruhnya. Namun atas kepentingan apa perkara ini dipersoalkan? Aku bertanya-tanya dalam hati.

Apakah menjuarai sangkaan-sangkaan dalam diri, kerana masih samar-samar tentang apa yang betul apa yang salah?

Bukankah undang-undang telah digubal, dan mahu dikuatkuasakan pada yang terbukti bersalah. Yang pincangnya pelaksanaan hukuman itu. Jadi, itulah yang harus dikritik. Bukannya sandaran hukuman itu. Juga, bukannya mempertikaikan munasabah atau tidak, menghukum orang yang meminum arak.

"Pada pendapat akulah kan, masalah umat Islam adalah 'knowladge illiteracy.' Kita sukar mendapat akses ilmu untuk memahami hakikat kebenaran yang ada dalam Islam itu sendiri. Jadi, kita mudah untuk menuduh itu dan ini, tanpa sandaran, atau sekadar bersangka-sangka sahaja," aku merumuskan perbincangan dengan mengetengahkan punca masalah. Ini aku petik dari ulasan Professor Dr Afifi Al-Akiti, pensyarah Melayu dalam Teologi Islam di Oxford University, UK.

Kami kemudian, usai ke surau, untuk solat Asar dan bersalaman sambil memasang janji, untuk bertemu keesokan harinya, untuk wacana yang lebih mendalam.

Ah, kenapalah dunia mahasiswa ini cepat benar berakhir.

Sambut-sambutan kemerdekaan (?)


Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, memori di dalam kepalaku ligat beracilut.


Antara yang kuingati adalah bagaimana sebuah jet pejuang MIG29, turun dari angkasa tinggi, turun pada latitud lebih kurang 1000 kaki dan menujah enjinnya yang sekuat halilintar itu. Waktu itu aku masih kecil, darjah lima. Dan waktu itulah Pulau Pinang menjadi tuan rumah untuk sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan. Dan waktu itu jugalah kali terakhir aku lihat Anwar Ibrahim, mantan TPM, melambai tangan melalui kereta Proton Perdana Hitam, milik kerajaan Malaysia. Bunyi enjin MIG29 itu usahlah diremehkan. Kami sekeluarga yang pada waktu itu dalam perjalanan balik untuk mendapatkan kereta, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi yang super kuat. Kami menyangkakan langit di atas mahu runtuh atau kiamat mahu terjadi seuasi sambutan kemerdekaan tersebut. Benar. Semua orang yang berjalan berdedai-dedai tertunduk dan hampir meniarap di atas jalan raya yang dibasahi hujan renyai-renyai. Apabila dengung di telinga mula menghilang, kami perlahan-lahan mendongak pada langit yang mendung dan melihat ekor MIG29 yang berapi-api.

Marah kami (penonton sambutan kemerdekaan) bukan kepalang pada juruterbang yang buat formasi entah apa yang memekakkan dan memeranjatkan serta menakutkan orang awam di bawah. Kalau dia tersilap terbang, lalu menghempas kami di bawah ini, siapa yang akan dipertanggungjawabkan?


Kemudian, tahun bertukar, tetapi aku tak pasti bila tahunnya. Sambutan kali ini pula adalah di Jalan Bagan Luar, sambutan peringkat negeri Pulau Pinang. Walaupun ia sekadar peringkat negeri, sambutannya bolehlah dikatakan meriah, sehingga Jalan Utama di tengah-tengah pekan Butterworth itu terpaksa ditutup untuk menampung khemah para dato'-dato' menteri dan orang kenamaan. Orang yang datang untuk menyaksikan perbarisan, usahlah dibilang. Berbeza dengan cuaca sambutan kemerdekaan di mana juruterbang MIG29 buat hal itu dahulu, kali ini iklimnya panas terik, walaupun majlis bermula awal pagi. Matahari terang-benderang kononnya turut sama meraikan hari kemerdekaan ini. Sebenarnya, Jalan Bagan Luar ini, terletak hanya beberapa puluh meter sahaja dari rumah. Maka, hari itu, Mak tetap juga membawa aku dan adik untuk menyaksikan perbarisan hari merdeka, walaupun sedikit lewat. Sesampainya kami di simpang empat Jalan Bagan Luar dan Jalan Heng Choon Thian, orang telah berhimpit-himpit dan saling mencalit peluh untuk menyaksikan skuad yang berkawad. Kami terkebelakang dan terpaksa merabat (memanjat) pasu-pasu bunga tepi jalan untuk melihat keseragaman anggota tentera dalam melangkah megah.


Tiba-tiba, tidak jauh dari kami, ada seorang perempuan yang tak bertudung, jatuh terlentang dan hampir-hampir menimpa orang di belakangnya. Dia menggelupur di atas jalan-raya dan kelihatan mulutnya berbuih-buih. Orang yang berada berdekatan mula panik dan seolah-olah ada pertunjukan baru di belakang barisan penonton yang bertolak-tolak di depan. Peluh orang ramai memercik dek cemas melihat situasi yang tak dijangkakan berlaku di hadapan mata. Perempuan dalam lingkuan awal 30-an itu terkial-kial melawan sawan yang menyebabkan jarinya mengerekot dan terketar-ketar.


Mujur Mak berada betul-betul di belakang tempat wanita itu menggelupur. Mak segera merangkul lengan perempuan yang berbadan besar itu, mendudukannya, mencari perdu tengkuknya dan pantas mencekak dua alur di belakang, betul-betul di kulit di mana rambut perempuan tadi berhenti tumbuh. Lama juga Mak mencekak tengkuk perempuan itu sambil terkumat-kamit membaca selawat. Orang ramai yang duduk di tepi barulah terhegeh-hegeh nak membantu. Itupun orang perempuan juga.


Tidak beberapa lama kemudian, pasukan St. John Ambulance pun tiba. Perempuan tadi kembali normal dan bajunya lencun kerana peluh. Mak cuba menenangkan perempuan sawan tadi daripada menangis teresak-esak. Mungkin kerana malu. Mungkin kerana segan. Dua petugas St. John Ambulance membawa perempuan itu hilang di celah orang-orang ramai. Kasihan betul nasib orang yang patriotik sedemikian.


Kini, di luar negara pula, aku masih dapat merasai sambutan kemerdekaan.

Yalah, nama pun duduk 'oversea.'

Sambutan di sini, yang diurus oleh mahasiswa lebih bersifat ringan. Ringannya kerana berpaksikan kepada hiburan. Bukan nak kata sambutan dekat Malaysia tak berpaksi hiburan, tapi, jujur kata, sini, aku rasa, berlebihan sangat hiburan itu. Hairan juga aku, sebab sukar nak rasionalkan tema sambutan: sama ada sambutan kemerdekaan, atau sambutan hiburan?


Majlis biasanya ada makan-makan, ada berlakon-berlakon, ada nyanyi-nyanyi dan sebagainya. Dan, yang paling memeningkan kepala, ada pula tari-menari dalam sambutan kemerdekaan tersebut. Tak tahulah nak kait celah mana antara perjuangan menuntut kemerdekaan dan tari-tarian ini. Mungkin, dahulu, ada pasukan tarian ini pergi ke London, menari depan Queen Victoria, lalu atas dasar kesenian, Queen British itupun melepaskan Malaya daripada belenggu penjajahannya. Lalu, kawan-kawanku, lelaki dan perempuan, mungkin kerana menghayati perjuangan tari-tarian tersebut, maka ditarikanlah kembali di depan audiens. Entah betul atau tidak, aku pun tak tahu. Entahlah, aku sendiri tak banyak baca buku sejarah.


Tapi, aku pun rasa terkilan, tempoh aku mengaji di sini cepat sangat. Teringin juga nak buat sambutan kemerdekaan yang luar dari biasa di alam kampus. Bukan takat nak terbangkan MIG-29, bukan takat nak bagi orang datang ramai-ramai; sampai ada yang kena sawan sebab kelemasan, bukan takat ada pancaragam askar, bukan takat lakonan semula perjuangan menuntut kemerdekaan melalui tarian - tapi lebih dari itu semua itu.


Apa sebenarnya yang lebih dari kemeriahan sambutan-sambutan yang aku ceritakan tadi?


Sudah semestinya mesej kemerdekaan yang penuh bermakna, yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita sebagai manusia.


Bunyinya retorik dan boleh kata macam slogan untuk pertandingan mencipta slogan kurang dari 15 patah perkataan.

Tapi, itulah cita-cita aku yang tersirat, yang aku sendiri rasa mustahil untuk dijelmakan.


Tapi itulah.


Merdeka itu semua, aku rasa macam hambar sahaja, bila berpuluh-puluh kali sambut, tapi tak ketahuan hala lagi kenapa sambutan itu dibuat.


Mungkin ini perasaan aku sahaja, yang mungkin mempunyai tahap rasa yang berbeza.


Aku bukan psikik yang boleh baca perasaan orang lain.


Maaflah.

Metafizika

Bila Tuhan berfirman,
Ruh itu dialamatkan,
Akal memunasabahkan,
Anggota mengamalkan.

Syaitan licik menipu,
Nafsu menambah keliru,
Insan maksudnya lupa,
Mengizin diri dilaknat Pencipta.

Bila hati bersih,
Timbangan jadi putih,
Bila hati berdebu,
Pilihan salah selalu.

Rohani tempat Hidayah disuluh,
Nafsu atau akal jangan menyuruh,
Asalkan sinar tak terhijab,
Pada dosa yang dibuat kerap.

The Village
24/8/09

Memori sentimental Ramadhanku

Kiranya, tahun ini, kali pertama jugalah aku menjejakkan kaki semula ke Al-Khalil Mosque yang terletak lebih 10 KM dari Adelaide City. Terima kasih kepada Hijaz, selaku teman yang memandu kami rumah Allah yang paling besar di Adelaide ini. Bukan senang nak menziarahi masjid ini jika tiada kenderaan.

Boleh kata, Al-Khalil ini merupakan kebanggaan orang Adelaide, baik yang Malaysia atau bukan. Dari segi saiznya, tanah perkuburan Islamnya, tempat letak keretanya, juadah berbukanya yang luar biasa banyaknya (yang percuma lagi sedap) dan keindahan binaan masjid, membuatkan jiwa ini terasa seperti mahu pergi lagi dan lagi ke sana. Malah, yang menarik, pada pandanganku, adalah kerencaman jemaah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, yang bersaf-saf; rukuk dan sujud menyembah Allah SWT, Tuhan yang Esa, Tuhan Yang Satu. Ruang solat yang selesa dan dengan sistem audio yang mantap, boleh memaksimumkan tumpuan untuk beribadat dengan lebih khusyuk. Dan, yang paling menusuk, alunan lembut bacaan Al-Quran dari Imam, membuatkan solat tarawih 8 rakaat seolah-olah tidak terasa apa-apa.

Apabila pulang, aku terkenang-kenangkan masjid yang diberi barakah oleh Tuhan ini. Dan, seperti biasa kenangan itu aku biar menjalar kepada masjid/surau yang pernah menyediakan tempat untukku mendekatkan diri kepada Tuhan, di dalam bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini.

Dahulu, sewaktu awal-awal dahulu, Abah sering membawaku ke Surau Kampung Jawa, yang terletak lebih kurang 500meter dari kuarters kerajaan Butterworth, Jalan St. Marks, kuarters dua tingkat yang juga merupakan rumah kami sekeluarga. Abah menunggang motor dan aku dibelakang membonceng, dan belum sempat masuk gear tiga, kami sudah sampai ke halaman surau, di mana waktu itu juga, bilal sedang melaungkan azan. Parkir berbumbung juga sudah penuh dengan motorsikal dan basikal jemaah lain yang merupakan khariah tempatan, yang rata-ratanya kakitangan kerajaan; baik pegawai pertanian, kastam, hospital, bomba, polis, JKR dan sebagainya. Dan kebiasaannya, kedengaran air memancut keluar dari pancur (paip) tunggal di parkir berbumbung itu (yang sepatutnya digunakan untuk mencuci), digunakan oleh pak cik-pak cik untuk mengambil wudhuk.

Waktu itu aku masih kecil, naik motor pun, masih lagi erat memeluk pinggang Abah. Bila masuk ke dalam surau, Abah akan mara ke hadapan, bersolat sunat dua rakaat dan berbual dengan pakcik-pakcik kopiah putih. Aku pula, 'didudukkan' di saf belakang. Mungkin kerana belum baligh dan diletakkan bersama budak-budak yang belum baligh sepertiku juga.

Dan, fitrah budak-budak, memang bising dan suka main, tanpa mengira ia rumah orang atau rumah Tuhan.

Namun, secara jujurnya, aku taklah menyertai rakan-rakan sebayaku waktu itu. Entah, aku pun tak tahu kenapa. Mungkin aku ini kera sumbang, yang canggung untuk buat hingar. Atau aku dilanda takut ditinggalkan keseorangan di belakang. Aku pun tak ingat. (Bila budak-budak bising sangat, ada arwah Pak Cik tu akan tampar belakang kuat-kuat, mungkin sebab tak nak ditampar, aku duduk diam-diam).

Maka, bilal pun iqamat dan semua makmum bangun, termasuk aku, berbaris dan bersedia untuk solat.

Imam bertakbir, aku pun bertakbir.

Imam sudahkan bacaan Fatihah dengan amiin, aku dan budak-budak lain, jerit amin kuat-kuat.

Imam rukuk dan sujud, aku pun rukuk dan sujud.

Bila masuk sola terawih, bila bilal selawat ke atas Nabi, kami pun pulun sambut selawat, walaupun sekadar bagi ada bunyi sahaja.

Dan, ia berulang sampailah kami habis solat terawih.

Habis bersalam-salaman, aku mengikuti Abah, celapak atas motor, memegang pinggangnya dan membonceng pulang ke rumah.

Keesokan hari Ramadhannya, perkara sama juga berlaku dan aku hanya menuruti dengan penuh taat, tanpa banyak soal.

Sekarang, fikiranku kembali semula ke Adelaide, di hadapan laptop. Kenangan di Surau Kampung Jawa terasa seperti sudah lama dan makin susah nak digambarkan di dalam fikiran. Namun, perasaan berada di saf belakang, mengaminkan Fatihah kuat-kuat dan berselawat dengan penuh semangat, masih tetap utuh dan hidup di dalam hati ini, sehingga hari ini.

Aku bertafakur.

Bagaimana kalau Abah tak bawaku ke surau itu waktu aku kecil-kecil dahulu?

Apa akan jadi padaku sekarang?

Aku berhenti menaip sebentar. Menanti jawapan dari sanubariku sendiri.

****
Benar, tanpa ajakan Abah, aku sendiri tak tahu apa akan terjadi pada diriku sekarang ini.

Bagiku, Abah telah membina asas yang baik untuk anak sulungnya, asas untuk mengenali Tuhan, walaupun pada waktu itu, aku rasakan yang aku terlalu kecil untuk memahami hakikat Ketauhidan dan Akidah.

Tunjang ini, yang telah membentuk diriku, yang telah menjadikan aku adalah aku yang sekarang. Senang kata, Abah telah membentuk identiti Muhammad Teja ini. Identiti yang paling asasnya, iaitu Islam, mewarisi ke-Islam-an itu, dan menjadi seorang Muslim.

Alhamdulillah. Terima kasih Abah.

Terasa dengan identiti ini, aku terasa seperti 'ada' dan berpijak di atas muka bumi.

Walaupun kadang-kala aku terlupa, kabur dan sesat tindakan, namun, paksi yang mengakarkan hidupku ini, yang Abah telah didikkan, akan mengingatkan aku kembali, untuk menjadi diriku yang sebenar.

Dan, dalam bulan Ramadhan ini, sewaktu menghampiri Tuhan di Al-Khalil, gambaran 20 tahun kehidupanku berputar di dalam kepala. Kiranya, mahu sekali aku melorong hati untuk memuhasabah diri ini kembali:

Sejauh mana aku mempertahankan identiti ini.
Atau sejauh mana aku telah mencemari identiti ini.

Hmm...

Kiranya, tahun ini, ada harapan yang mekar, yang mahukan Ramadhan yang lebih sentimental, yang lebih bersemangat, yang lebih hebat, yang lebih dari bermacam-macam segi lagi.

Dan, aku panjangkan doa ini, bukan untuk diriku, bukan sekadar untuk keluargaku sahaja, malah, untuk yang mempunyai identiti yang sama sepertiku, yang bergelar Muslim tentunya.

Amiin.

****

Seusai solat subuh tadi, aku panjangkan renungan.

Bukankah identiti atau lebih tepat disebut jati diri itu adalah rukun dalam kemerdekaan.

Apalah guna merdeka tanpa jati diri.

Apalah guna merdeka tanpa tahu siapa diri kita.

Apalah guna merdeka tanpa tahu apa yang baik untuk diri kita.

Jati diri itu seolah sebuah tapak atau lot tanah, yang akan dibina di atasnya sebuah rumah budaya dan kehidupan.

Seperti nukilan Faisal Tehrani dalam Tuhan Manusia yang berbunyi:

“Andai kota itu peradaban, rumah adalah budaya dan tiangnya adalah agama.”

Dan izinkan aku mengaitkan dengan apa yang aku katakan tadi:

“Andai kota itu peradaban, rumah adalah budaya, tiangnya adalah agama dan dibina di atas tapak jati diri manusia.”

Pengertian kemerdekaan yang aku maksudkan itu, akan aku panjangkan kelak dalam entri seterusnya. Anda, jemputlah menghadam terlebih dahulu ‘pembuka selera’ yang terhidang ini.

Wallahualam.

Merdeka = Ramadhan?




Kebelakangan ini, saya banyak menghasilkan beberapa karya yang bertemakan kemerdekaan, buat tatapan masyarakat di Adelaide. Antaranya adalah tulisan saya yang bertajuk Memerdekakan Kebebasa, yang tersiar di Ketupat 3 dan 'Merdeka: Apa itu?', Montaj Merdeka. Alhamdulillah, sambutan agak menggalakkan. Misalnya, Montaj Merdeka itu sendiri telah menarik minat Internation Senior Executive Officer, University of Adelaide, dan beliau menyatakan hasratnya untuk menayangkan montaj ini sempena penganugerahan Merdeka Award, anjuran Australia-Malaysia Bussiness Council.

Terima kasih kepada saudara Nazeerul yang bertungkus-lumus membantu saya merealisasikan montaj ini.

Sebenarnya banyak lagi ingin saya ketengahkan. Malah, karya-karya yang dikongsikan sebelum ini boleh dikatakan masih dalam peringkat 'pra-mesej' yang ingin disampaikan.

Kenapa?

Perasan tak, yang tulisan dan montaj itu diutarakan dalam bentuk persoalan demi persoalan?

Apa itu merdeka?
Untuk apa kita merdeka?
Dari apa kita merdeka?

Apakah kita nak meninggalkan persoalan-persoalan ini sekadar persoalan sahaja? Sudah tentu tidak. Bahkan, persoalan-persoalan ini akan membawa kita semua, ke satu pemahaman yang sebenar mengenai erti kemerdekaan itu.

Saya kira, dalam Ramadhan ini, dalam bulan yang baik ini, adalah masa yang terbaik untuk kita meneroka jawapan mengenai persoalan kemerdekaan itu tadi.

Jadi, sebelum kita berkongsi pandangan, elok kita namakan perbincangan kita dengan tajuk berikut:

Merdeka = Ramadhan?

Selamat datang Ramadhan. Selamat datang kemerdekaan.

-bersambung-

Konflik di sisi lain

Saya telah terpinggir dalam dunia pengarangan sejak bulan ini kerana disesaki dengan pelbagai kerja-kerja akademik dan aktiviti-aktiviti non-akademik. Biasalah, mahasiswa tahun terakhir di dalam semester terakhirnya dan saya sendiri malas menghuraikan 'assignment' yang tak putus-putus datang. Tambahan, sekarang ini di dalam bulan 8, bulan kemerdekaan dan hampir juga ke bulan Ramadhan. Dan, seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan lapan akan diisi penuh dengan pelbagai kegiatan mahasiswa, baik sesama mahasiswa Malaysia ataupun mahasiswa luar negara.

Minggu lepas, ISSUA atau persatuan pelajar Islam University of Adelaide menganjurkan Islamic Awareness Week, selama dua hari di Eclipse Room, Union House. Tahun-tahun sebelumnya, saya tidak berkesempatan untuk bersama-sama di dalam expo ini, namun, tahun ini, saya mencari peluang untuk menjadi sukarelawan umum. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, sepertimana yang telah dirancangkan. Ada banyak buku, poster dan tayangan video yang memaparkan sisi dan perspektif realiti sebenar Islam dipamerkan buat para pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan staf University of Adelaide.

Ramai juga yang datang singgah. Pada mulanya, saya ditugaskan untuk mengedar pamplet di luar Eclipse Room. Kemudian, apabila ada pengganti, saya melepak di dalam ruang expo, melayan tetamu yang datang. Dan tetamu yang datang itu, sudah semestinya mempunyai ragam.

Saya mengkagumi tetamu yang datang untuk mencari maklumat, berkaitan dengan Islam, melalui sumber primier, iaitu melalui mulut orang Islam sendiri. Misalnya, ada seorang lelaki, datang bertanyakan, apakah sebenarnya agama Islam itu? Kalau ia sekadar agama biasa, kenapa ia menjadi sebegitu popular di kalangan media? Apa sebenarnya mesej yang ingin dibawa oleh Nabi Muhammad SAW? Dan apakah sebenarnya yang dilakukan untuk menunjukkan bahawa orang itu benar-benar mengikuti agama Islam?

Namun, seperti yang dijangkakan, ada juga yang datang untuk membuat masalah. Boleh kata, inilah pengalaman pertama saya mengendalikan orang yang datang, untuk berdebat, bukannya untuk mencari apa yang benar, sebaliknya untuk mengatakan orang salah, berdasarkan pemahamannya. Lama juga saya dan Azmi menjawab dan cuba memahamkan lelaki ini, akan tetapi, setiap kali kami cuba untuk membina basis pemahaman dan perbincangan, dia tegar melontar persoalan lain, barangkali dengan niat untuk menambah kekeliruan. Salah satu ayat yang masih ternigang di kepala adalah:

"I don't believe in you guys."

Dan, katanya itu dikeluarkan di saat kami cuba menenangkan beliau, yang gagal mengetengahkan lojik tentang konsep teologi yang difahaminya.

"Say to him, how unfortunate you are," kata Brother Mustafa, apabila saya dan Azmi menceritakan perbualan kami dengan lelaki itu.

Bagi saya, Islamic Awareness Week telah memberi sedikit pencerahan mengenai apa yang bermain dan persepsi masyarakat non-Muslim, terutamanya di negara Barat mengenai Islam. Pada pendapat saya, pengetahuan ini penting untuk kita, sebagai orang Islam, untuk memudahkan pergerakan dakwah; iaitu untuk membetulkan salah faham dan persepsi yang salah terhadap Islam yang dipasakkan dalam jiwa dan fikiran mereka.

Kemudian, dua hari lepas, saya sempat menyertai program 'Israel Apertheid,' namun ia sebenarnya bukanlah di bawah kendalian ISSUA. Yang mengesankan, aktiviti ini bersifat penerangan daripada 2 orang aktivis yang menyokong pembelaan masyarakat Palestin yang dizalimi Israel dan para penonton boleh bangun; sama ada untuk bertanya soalan, mengutarakan komentar ataupun berdebat dengan speaker. Speaker pertama adalah aktivis sosialis dari Australia yang telah banyak menjalankan misi kemanusiaan di Palestin. Manakala, speaker yang kedua adalah seorang psikataris Yahudi anti-Zionis.

Sudah semestinya, ada penonton yang bangun mencabar penerangan yang diberikan oleh kedua-dua speaker. Dan, pencabar-pencabar itu sudah semestinya pelajar-pelajar dari Israel.

Apa yang menarik perhatian saya adalah sikap mereka ketika berada dalam aktiviti yang mempunyai perdebatan. Mereka, walaupun saling memerangi hujah, penganjur masih lagi mampu mengawal ketenteraman dewan daripada dicemari dengan adegan penuh emosi. Tidak dapat dinafikan, saya akhirnya membuat kesimpulan sendiri, sememangnya budaya masyarakat di sini (yang berkulit putih, baik Yahudi atau Inggeris), sukakan perdebatan untuk menguji sejauh mana kukuhnya hujah mereka terhadap seseuatu pandangan. Lagipun, inilah kali pertama saya saksikan dua orang Yahudi bertelagah, berkenaan isu Israel dan identiti mereka.

Dari sudut lain, saya kira, saya mendapat pencerahan mengenai apa pandangan orang Yahudi (anti-Zionis) tentang Israel. Ya, dari segi kemanusiaan, saya bersetuju dengan speaker kedua ini, yang menentang kezaliman Israel dan sikap Apartheid mereka. Sebagai seorang psikataris, beliau menjelaskan punca mengapa Yahudi Zionis menjadi demikian; iaitu kerana perasaan paranoid dan takut mereka akan peristiwa Holocoust yang akan berulang kembali. Jadi, penubuhan negara haram Yahudi, seperti kata beliau, adalah untuk melindungi bangsa Yahudi daripada melalui sekali lagi pengalaman getir perang dunia kedua. Namun, kesalahan mereka adalah; mereka pula melakukan kezaliman atas bangsa lain iaitu bangsa Palestin yang selama ini telah hidup aman dan damai selama beribu-ribu tahun.

Akan tetapi, idea penyelesaian yang dicadangkan beliau masih lagi boleh dibincangkan. Idea 'One State Solution,' yang bagi beliau lebih demokratik dan lebih saksama, bagi saya, masih banyak kelemahan. Ini kerana, proses itu seolah-olah mengukuhkan lagi negara Zionis Israel, sungguhpun memberi keadilan semula kepada rakyat Palestin. Ini kerana, pada pandangan beliau, sebarang sempadan Israel-Palestin akan dibubarkan, dan negara baru akan ditubuhkan, di mana di negara baru itu setiap rakyat, baik Arab atau Yahudi, mempunyai menikmati kerakyatan dan layanan yang serata. Dan, sistem perundangan dan pentadbiran di negara baru tersebut, sudah pasti akan mengambil sistem yang sedang digunakan oleh Israel sekarang.

Namun, perlu diingat, kebanyakan Yahudi yang mendiami Israel bukannya penduduk asli tanah tersebut. Mereka adalah orang yang berhijrah ke tanah Palestin dan menubuhkan negara di situ, itupun dengan bantuan British. Jadi, seharusnya, tanah itu perlu dikembalikan pada pemilik asalnya, iaitu masyarakat Palestin yang asal, bukan kepada orang imigran yang tiba-tiba datang entah dari mana.

Itulah pengalaman saya sepanjang seminggu bercuti daripada laman blog ini. Buat pembaca yang setia, jangan marah kalau saya terlambat mengemaskini ruang ini. Terima kasih kerana menjadi pembaca yang setia.


Episod Finale : Akhirnya

Sebagai seorang penuntut, pelajar dan mahasiswa jurusan sains, saya kira pengembaraan geologi selama dua minggu di Ormniston dan Aileron amat-amat berguna dalam kehidupan.

Dari segi akademik, ajaran pensyarah untuk membentuk pemikiran saintifik, yang selari dengan konsep 'interpretation based on observation,' dengan menyertakan 'scientific evidence,' saya kira telah berjaya diserap masuk ke dalam minda setiap pelajar. Juga, dalam aspek pengajian geologi ini, tidak dapat tidak, pelajar perlu mempunyai imaginasi 4D yang tinggi. Imaginasi 4D yang dimaksudkan di sini adalah imaginasi panjang, lebar, tinggi yang berubah-ubah mengikut masa. Dan sudah semestinya, tempoh masa yang diperkatakan dalam jurusan geologi adalah tempoh masa berjuta-juta tahun.

Itu dari segi akademik.

Dari segi penuntut pengalaman, saya kira, saya adalah antara yang bertuah.

Dahulu, sewaktu berada di bangku sekolah menengah dahulu, saya tak pernah bercita-cita pun untuk menjadi ahli kaji bumi. Sungguhpun, pada waktu itu, kerap kali saya nampak pajero Jabatan Mineral dan Geosains negeri yang berwarna ungu mengunjungi sekolah. Apa yang bermain di fikiran saya waktu itu adalah untuk menjadi jurutera sahaja. Namun, akhirnya saya memilih geosains pada permohonan pelajaran di pengajian tinggi, tanpa mengetahui apa-apa pun mengenai latar belakang jurusan ini. Sebenarnya, pilihan itu dibuat atas alasan ingin mencuba. Dan antara sebab lain saya memilih, kerana siapa yang mendapat biasiswa Petronas pada zaman itu, dikira sebagai pelajar sekolah yang terbaik, walaupun tanpa mengira jurusan apa yang diambil.

Tetapi, saya bukanlah pelajar yang terbaik sekolah pun. Saya cuma pelajar biasa-biasa sahaja yang tidak pernah sekali pun mendapat nombor satu dalam tingkatan.

Benar kata peribahasa, tuah ayam nampak di kaki, tuah batu nampak pada 'quartz veins'-nya, tuah manusia, Allah sahaja yang tahu.

Bertuah juga kerana dapat mencabar diri ini sampai ke had yang paling maksimum. Bertuah juga kerana dapat merasai keperitan hidup di tengah-tengah gurun dan merasai perih-jerih mengerkah tenga memanjat gunung-gunung yang tinggi. Bertuah rasanya tidur di dalam khemah selama dua minggu, di mana malamnya terdengar lolongan Dingo dan angin yang tak putus-putus menghentam khemah. Bertuah juga saya kerana dapat memahami bagaimana Tuhan membentangkan alam ini, menghamparkan plat-plat bumi dan menyaksikan sendiri, bagaimana sejarah dan evolusi batu-batu, sungguhpun pada mata kasar kita, batu-batu itu kelihatan tidak bergerak walau satu milimeter.

Malam kedua yang dingin di Ormniston, saya tak keluar ke tandas pun. Entah macam mana, saya terlelap kembali dan bila waktu Subuh, baharulah saya keluar ke tandas. Dan entah bagaimana, lolongan Dingo dua tiga hari akhir kami di Ormniston, semakin lama semakin hilang. Mungkin Dingo-dingo itu telah dihalau jauh-jauh oleh renjer.

Kini, di samping menulis entri yang panjang untuk pengalaman di Central Australia, saya juga perlu menyiapkan laporan akademik tentang kajian kami di sana. Sebenarnya, mahu sahaja saya kongsikan tentang evolusi batu di Aileron dan Ormniston yang menakjubkan itu, akan tetapi, bila memikirkan tentang ruang dan kapisiti pembaca, saya kira, halaman ini bukanlah tempat yang sesuai. Saya berkira-kira, untuk mengolah pengalaman akademik ini melalui satu ruang yang lebih menarik. Apa kata, ia dinovelkan?

Begitulah ceritanya pengalaman kami di sana, pelajar jurusan geologi.

Dan, sekarang, saya berada di semester akhir, tahun terakhir saya di sini. Tinggal beberapa bulan lagi sebelum saya kembali ke Malaysia untuk mengalami fasa hidup baharu. Terasa, 3 tahun belajar di sini seolah-olah sungguh cepat berlalu.

Namun, kehidupan perlu diteruskan, walau apa pun cabaran yang mendatang. Baik cabaran itu berbentuk sebuah pengembaraan.

Sekian (buat masa ini)

p/s: lagu penutup cerita : lagu tema Indiana Jones