Kelab Peminat

Ehem-ehem

Perhentian bas sesak, macet teruk. Ada bas di hadapan tidak berjalan, macam rosak. Bas-bas yang baru datang dari Jalan Petaling berpusu-pusu dan berhimpit-himpit di perhentian bas Pasar Seni. Debu menyendati paru-paru. Hon bertempik-tempik di telinga. Hari itu, panasnya bukan main.

Seorang pak cik, orang lama, menghampiri dirimu yang sedang beratur. Dia di belakang, sementara kau di depan.

"Kau nak tahu rahsia hidup bahagia tak?" tanyanya, memulakan perbualan.

Kau mengangkat kening. Hairan. Begitu mudah mesra pak cik ini.

"Nak tahu tak?" tanyanya sekali lagi.

Kau angguk-angguk. Hairanmu masih bersisa. "Apa rahsianya?"

Dia mendekati telingamu. "ehem-ehem," katanya.

Hon dari bas yang tersekat di belakang menjerit-jerit - bingit!

Bini Nombor 1

Kata kawan, Malaysia ini adalah bininya nombor 1.

Negara lain, adalah bininya yang seterusnya.

Walau apapun terjadi, kata saya, bini nombor 1 itu tetap sayangkan dirinya.

Dia kata, lepas saya tanya - dia tahu.

Pilihan

"Awak kena buat pilihan. Satu sahaja. Bukan dua, bukan tiga."

"Dan, pilihan inilah yang tentukan cita-cita awak, masa depan awak."

"Jangan lupa pula tanggungjawab. Di belakang awak ada keluarga. Ada kerjaya. Ada diri awak sendiri juga."

"Masa pun main peranan, jangan lupakan itu juga. Mungkin hari ini, awak tak dapat apa yang awak idamkan. Mungkin sekarang bukan masanya yang sesuai. Mungkin esok, mungkin lusa. Siapa tahu?"

"Allah Maha Kuasa. Dialah Yang Melorongkan untuk hamba-hamba-Nya. Awak mintalah dekat Dia. Istikharah. Sunnah besar waktu-waktu begini."

"Setiap pililhan yang awak buat, akan ada tekanan dan cabarannya tersendiri. Awak juga perlu tahu itu."

"Tapi, tekanan, cabaran itu semualah yang mematangkan awak. Oh, awak mesti pernah baca kata-kata Pak Shahnon - setiap tekanan itu memaknakan. Awak lihat karya-karya beliau. Hah, misalnya novelet Sutan Baginda tu, dalam prakatanya, beliau bincang bagaimana tekanan boleh melahirkan karya yang bagus."

"Kalau kau nak jadi seniman, itulah prasyaratnya - tekanan dan tekanan. Saya tahu, awak balik kerja lambat, ulang-alik jauh, tapi, itulah tekanan dan cabaran awak. Seniman, walau apa pun yang menekan, kalau dia mahu juga berkarya, dia akan tetap menghasilkan karya."

"Itulah pengorbanan dalam karya."

"Karya itu akan bermutu."

"Awak pernah dengar, kata-kata ini? 'Pengarang mengarang dengan darah dan air mata?'"

"Itulah dakwat pengarang yang agung."

Cinta (Samudera)

Semasa saya sibuk mengemas bilik, mencari-cari pen yang hilang, saya terjumpa satu lipatan kertas. Ada banyak tulisan di atas kertas itu, dan juga conteng-conteng huruf jawi. Saya pernah terbaca satu fakta, dengan menconteng, ia adalah stimulus buat otak kita, untuk lebih laju berfikir. Banyak betul benda yang saya conteng di atas kertas itu. Namun, di balik contengan itu, saya temui satu puisi, yang tak ingat, bila saya tuliskannya. Kiranya, bolehlah ia ditemakan dengan tema conteng.

Cinta (Samudera)
Pada Samudera itu,
Jika kau tahu,
Ada cangkat dan dalamnya.

Sebagaimana hati,
Cinta ada rencam kedalaman rasa.

Jika cinta pada Allah
Mendalam rasanya,
Sungguhpun bergelora permukaan,
Tetap tenang ombak
Di lubuk paling rahsia.

Jika cangkat,
Cinta manusia,
Seolah pesisir,
Banyak hidupan akan berenang,
Terbuka dan mesra.

Kertas conteng
(tak bertarikh)


Bestari

Sudah lama kita meninggalkan kenangan. Hari semalam seolah menjadi syurga dunia. Menjadi idaman untuk pemilik kenangan - untuk kembali dan bersama-sama hidup, dalam waktu itu, dengan sahabat yang jujur dan menghirup udara yang segar dan indah.

Namun, syurga ini, tidak bisa dicapai. Ia sekadar dilalui.

Dan syurga ini, apabila sudah dilalui, barulah ia akan dihargai, diidamkan.

Bestari. Sebuah syurga kenangan yang sangat dirindui. Siapa tidak tahu, kelas yang paling meriah dalam tingkatan lima. Kelas di atas bilik guru, yang terletak paling hujung, dan bloknya bersebelahan dengan dewan utama. Di balkoni hadapan kelas, ada pokok yang sekali sekala akan berdaun kuning, menjulur masuk. Angin dari bendang dan bukit batu kapur akan berpuput masuk melalui kelas ini, menyegarkan suasana belajar, juga menghidupkan kenangan.

Saya masih ingat, kalau tiada cikgu di dalam kelas, antara dua perkara akan terjadi. Jika masih awal pagi, kami semua akan lemah, dan menyembamkan muka pada meja. Ada 2-3 orang membaca akhbar yang diambil dari bilik guru. Sementara yang rajin, akan membuka buku - studi. Dan, yang rajin itu, taklah ramai mana di dalam kelas kami.

Kalau matahari sudah menyinar di dada langit, lain pula fiil kelas. Kami semua cergas, seolah mendapat tenaga baru dari angin, dari suria, dan barangkali dari makanan dining yang sudah hadam sepenuhnya. Kelas akan menjadi bising dan pasti sentiasa ada cerita hangat yang sedang sedang dibicarakan. Siapa tak kenal Amek Dong dan Bob? Ketawa mereka bergempa. Sementelah Cikgu Sofy menggelarkan mereka "geragas dan bota." Mungkin pada sifat fizikal dan sifat non-fizikal mereka.

Saya duduk di bawah kipas, betul-betul mendapat nikmat dingin di waktu terik tengah hari. Dan, tempat saya yang di tengah-tengah kelas ini, selalu menjadi tumpuan. Kami berborak, membincangkan kerja sekolah (sebetulnya saling meniru!) dan kadang-kadang di sini juga kami bertengkar. Dan siapa lagi kalau bukan Amek Dong dan Bob yang menjadi pengacara majlisnya? Tidak dilupakan pada Hadi, yang menjadi watak istimewa. Rammesh, Pisang dan Che'er pun menggelikan hati. Itu belum lagi disebut Anam, Param, Ta'an, Amet Sket, Mat Zam, Asif dan ramai lagi!

Ada macam-macam fiil di dalam kelas 5 Bestari. 22 orang kelas kami lelaki, 4 orang sahaja perempuan. Jadi, pada hemat saya, pelajar kelas 5 Bestari ini, ada sikit buasnya, ada juga nakalnya.

Misalnya, kalau kami terlewat keluar untuk rehat kerana semangat cikgu yang berkobar-kobar mengajar, pasti ada buas dan nakal yang kami lakukan. Dari barisan paling hadapan, terutamanya dari barisan meja Hadi, akan kedengaran bunyi sagatan kerusi plastik pada lantai konkrit. Bunyi sagatan kerusi ini merupakan satu simbol universal sebenarnya. Apa tidaknya? Kalau kelas habis, pelajar-pelajar akan bangun berdiri dan mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu!' Dan, sebelum ucapan itu diucapkan dengan penuh bersemangat, sagatan kerusi akan bergema. Sagatan kerusi pada lantai merupakan tanda kelas berakhir. Dan apabila ia dibunyikan saat kelas sedang berlangsung, ia membawa satu tanda yang amat tersirat, penuh nakal, dan buas, pada cikgu yang sedang mengajar. Saya kira, bagi cikgu, ia amat mengganggu. Bagi kami pula, ia adalah semboyan keselamatan - protes halus. Ah, betapa nakalnya kami dulu!

Selain itu, kami juga kadang-kadang melangkah keluar dari kelas yang menjadi syurga kenangan ini, mengembara dari satu blok ke blok lain. Saya, Zambri, Adli, Jazli dan rakan-rakan suka mengunjungi perpustakaan, membeli kek coklat Mizu dan berborak-borak dengan mak cik Izan dan kadang-kadang lanjut bermain komputer di situ, sampai dimarahi oleh cikgu Isman. Kadang-kadang, hampir separuh kelas Bestari, menjadikan perpustakaan sebagai tempat lepak pada waktu rehat. Di situ, kami akan duduk di sofa hitam, membaca berulang kali akhbar yang pelbagai judul, pelbagai berita, sambil mendinginkan badan yang berpeluh di bawah pendingin hawa yang begitu sejuk.

"Kenapa di perpustakaan, orang pasang air-cond macam dalam peti ais? Ingat kita ikan? Daging?" tanya seorang kawan, tapi saya tak ingat siapa.

"Bukanlah!" salah seorang membantah. "Hang tahu saja kan, iklim Malaysia ini lembap macam mana? Kalau tak cukup sejuk, habislah buku pustakaan ni tumbuh kulat, kulapok."

"Ya, ya!" kata seorang lagi menyampuk. "Dalam kelas sains, kita belajar tentang pencegahan kulat. Sejuk adalah salah satu caranya." Dia ini lebih bersemangat dan menggawang-gawangkan tangan ketika berbicara. Suaranya juga kuat.

"Syyyssssshhhhhh!" Tiba-tiba kedengaran orang marah. "Ini perpustakaan, mana boleh sembang-sembang, buat bising!" rasa-rasa saya, mak cik Izanlah yang marah. "Dah pukul berapa dah ni? Kenapa tak balik kelas lagi?" Saya melihat jam, ternyata waktu rehat sudah habis!

Lalu, berbondong-bondonglah kami balik ke kelas. Dan di dalam kelas kami yang hanya tinggal sedikit orang itu, kelihatan Cikgu Sabri sedang mengajar di meja kawan kami, Umie dan Syanaz.

Kami tersipu-sipu masuk. Malu kelewatan - mana boleh guru menunggu anak murid untuk diajarkan?

"Eh," Pak Lah membisikkan sesuatu. "Panggil lagi kawan-kawan kita yang tertinggal kat library tu. Kata cikgu dah lama masuk kelas."

Seorang utusan memanggil saki-baki rakan yang masih tinggal di perpustakaan. Dia seorang diri, tergesa-gesa pergi, tergesa-gesa pulang.

Beberapa lama kemudian, ada kawan-kawan kelas kami yang masuk ke dalam kelas. Berjalan, seolah-olah tiada apa-apa. Tiada apa yang perlu dikalutkan.

"Tadi sapa ntah yang kalut panggil balik?" tiba-tiba seorang dari kawan kami yang lambat masuk itu bersuara, memprotes. "Mana dia cikgu? Awat kalut suruh orang balik ntah?"

Satu kelas diam. Tidak menjawab.

Selalunya, beginilah kami menyuarakan apa yang terbuku. Bercakap terus sahaja, kuat-kuat. Di dalam kelas ini, pasti akan dibalas aduan anda itu, segara. Di sinilah kami belajar erti demokrasi.

Namun, kali ini, lain pula jadinya.

"Hei, aku cakap dengan tokong ke?" katanya, macam geram.

Kelas tetap diam. Macam tokong. Menunggu sahaja apa yang akan berlaku.

Dan, setelah beberapa lama keadaan tegang itu, ada yang mencuit dan berbisik kepadanya - mahu membela.

"Cikgu Sabri ada dekat belakang tu."

Pecah ketawa kelas.

Namun, Cikgu Sabri tidak marah. Dia baik. Tersenyum sahaja. Begitulah beliau.

Begitulah kenangan, begitu manis. Terima kasih buat sahabat yang melukis kenangan itu. Kadang-kadang, apabila terjatuh di jurang kesepian, sahabat-sahabat, yang telah berpisah sekian lama, akan datang, hijau segar, menghiburkan, mendamaikan, membuatkan diri tersenyum, walaupun sendiri - dalam kenangan.

Alangkah besarnya jasa dan pahala mereka yang menyelamatkan dengan kenangan!

Samudera

Samudera ini, sahabat,
misteri,
perlu diterokai,
sabar dikaji,
tekun diladeni.

kata kelasi,
ombak adalah nikmat hidupnya,
sedang kata kita,
yang di daratan;
kenapa?

kalau kau nak tahu, katanya,
selami lautan, uliti gelombangnya,
biar berpayah di permulaan,
kelak akan sebati,
dengan mabuknya,
dengan gembiranya,
dengan bahagianya,
yang berkekalan.

nelayan juga berkata,
kolek kecil ini kukayuh,
dengan impian besar meneroka samudera,
kalau hari ini tidak kudapat fahami fiil ikan,
esok aku perlu lebih berusaha,
berdikari, berfikir dan berjuang,
sampai berjaya,
menundukkan samudera dan khazanahnya.

Sahabat,
sedang ikan pun takkan melompat ke daratan,
inikan pula emas di dalam lautan.

Putrajaya,
23042010

H1N1

Seorang pesakit yang terlantar di sebuah wad ICU, didatangi oleh seorang doktor. Pada hari tersebut, pesakit itu tersedar dan ingin berkata-kata dengan doktor yang memeriksanya.

"Doktor, semua sahabat-sahabat saya di sini semuanya telah tiada," katanya lemah dan tersekat-sekat. "Memandangkan saya sahaja yang tinggal di sini, maka saya berasa sangat sunyi."

Doktor itu berasa sangat hairan. Seingat beliau, pesakit ini tidak pernah pun berkomunikasi dengan pesakit yang berada di sebelahnya. Masing-masing terlantar dan selalu tidak sedarkan diri. Hanya bunyi mesin denyutan jantung dan bau-bau iodin menemani.

"Adik, siapa sahabat-sahabat adik itu?" tanya doktor, lembut. Dia memakai seragam yang melindunginya dari sebarang jangkitan kuman.

"Mereka yang berada di sisi saya saat saya sepanjang saya sakit. Mereka yang berada di berada di sebelah saya, saat saya perlu dijauhkan, saat saya dijangkiti H1N1. Mereka menemani saya, sepanjang masa, walaupun kami tak pernah berkata-kata."

Doktor itu berasa sayu. Segera dia menjalankan tugasnya dan mencatatkan apa yang dikatakan pesakit muda tadi.

Doktor itu termenung. "Doktor, macam aku, hanya diajar untuk merawat penyakitnya, namun sama sekali tidak diajar pula menyembuhkan sunyinya. Namun, para pesakit sendiri yang saling menyembuhkan kesunyian, antara satu sama lain, bukan tabib, bukan doktor," katanya sendiri.

Keesokan harinya, pesakit muda itu meninggal dunia, menemui sahabat-sahabat. Di sana, tiada lagi istilah sunyi bagi dirinya.

Batu


Kulihat pada batu,
Sepi.

Allah tak kurniakannya tangan dan kaki,
Untuk bergerak meninggalkan sepi.

Allah tak berikannya bahasa dan kata,
Untuk berkongsi sepi di jiwa.

Lantas, kutanyakan pada guru,
"Cikgu, kenapa batu dijadikan begitu sepi?"

Kata cikgu memuliakan pertanyaanku;
"Batu sedang memerangi kesepian,
Bukan dengan teman-teman, bukan dengan bicara jiwa,
Tetapi anggota dan lidahnya dijadikan mengingati Pencipta,
Setiap masa."

Hatiku belum dicerahkan,
Lalu, sekali lagi,
Minta fikiran disuluh pelita
"Kenapa zikir mengubat sepi, cikgu?"

Guru mengusap kepalaku, tersenyum,
"Zikir itu diKetahui, diDengari,
Hanya Si Dia,
Yang Berkuasa,
Yang Berupaya,
Menyalakan hatinya,
Menghapuskan sepinya."

Jalan Usahawan,
20042010

But

Seorang professor, pada suatu pagi, selepas hujan reda, mengajak anak murid kesayangannya berjalan di sebuah kawasan setinggan. Penghuni di sini rata-rata miskin dan anak murid professor itu, benar-benar mahu tahu, kenapa dia dibawa ke sini.

"Janganlah kau katakan dengan berpolitik dan berpersatuan untuk mengubah realiti, adalah sebuah bentuk perjuangan yang hakiki. Sedangkan, pada pandanganku, dengan mengikut apa yang betul, di tengah kancah realiti ini, adalah sebuah perjuangan yang lebih besar lagi benar," kata professor itu pada anak muridnya.

Anak muridnya mengingat apa yang diperkatakan oleh gurunya, dengan taat dan patuh.

Tiba-tiba, di hadapan sebuah teratak yang usang, si professor itu tadi berhenti. Dia melihat sepasang but yang koyak rabak dan bertanya kepada anak muridnya, "Sekarang kau nampak sepatu ini. Aku beri kuasa untuk kau mengarah aku. Aku melakukan sahaja apa yang kau arahkan."

Anak murid tadi menggaru-garu kepalanya. Dia tidak tahu apa pula yang ingin diajarkan oleh gurunya pada hari ini. Setelah berfikir beberapa ketika, dia berkata, "Saya arahkan prof untuk ambil kasut ini, dan sorokkannya. Kita menyorok di belakang belukar itu dan perhatikan apa yang akan terjadi."

Maka, professor itu melakukan seperti mana yang diarahkan oleh anak muridnya.

Beberapa lama kemudian, penghuni teratak itu keluar dari rumah. Dia memandang ke kiri dan ke kanan dan mengeluh kuat. Dia bermundar-mandir ke sana dan ke mari dan matanya melilau mencari sesuatu yang hilang. Di jenang pintu, isteri penghuni rumah tadi keluar bersama dengan anak-anaknya. Mata mereka bulat memerhatikan ayah mereka.

Tanpa sepatah kata, lelaki itu segara berjalan dan meninggalkan terataknya dengan berkaki ayam, untuk keluar berkerja.

Apabila mendapati tiada orang perasan akan kelakuan mereka, maka, professor dan anak muridnya keluar dari belukar. Anak muridnya kemudian mengarahkan but koyak itu diletakkan kembali di hadapan pintu teratak.

"Sekarang, giliran aku pula untuk memberi arahan pada kau," kata professor itu. Anak muridnya mengangguk.

"Aku mahu kau, keluarkan semua duit yang ada di dalam poket dan dompet kau, kemudian kau letakkannya di dalam sepatu yang kau suruh aku sorokkan tadi."

Anak muridnya terkial-kial mengeluarkan wang yang ada di dalam sakunya. Wang yang baru dikeluarkan dari bank, habis disumbat ke dalam but buruk pemilik teratak itu.

"Sekarang, kita bersembunyi sekali lagi dan lihat apa yang akan terjadi."

Apabila hampir waktu tengah hari, si pemilik teratak itu kembali berkaki ayam dan berwajah muram. Dia seperti kehilangan sesuatu yang lebih besar. Sebelum sampai ke hadapan rumah, dia memberi salam dan anak isterinya semua keluar menyambutnya - hairan.

"Awal abang balik hari ini?"

"Abang tidak mampu untuk membeli kasut baru. Tadi ada pegawai penguat kuasa datang. Dia menyaman bos abang kerana membiarkan pekerjanya mengabaikan keselamatan. Lalu, abang dibuang kerja."

"Tak apalah, mungkin Allah nak beri rezeki yang lagi bagus."

"Eh, abah! Bukankah itu kasut abah?"

Lelaki tadi meluru ke arah kasut yang ditunjukkan anaknya. Pada mulanya, dia mahu menyumpah, tetapi perasaan marahnya tiba-tiba hilang. Diangkatnya sebelah kasut yang pertama dan bertabur duit syiling dan berterbangan duit kertas.

Anak-anaknya berlari dan mengutip wang yang bertaburan. Lelaki itu memandang ke kiri dan ke kanan, mencari siapa yang cuba mempermainkannya. Namun, setelah puas memandang dan mencari, dia tidak menemui apa-apa.

Kemudian, diangkatnya kasut yang kedua dan mendapati beratus-ratus ringgit terdapat dalam kasut tersebut.

Mulutnya terlopong. Kakinya lemah dan badannya terus bersujud.

Dia teresak-esak menangis dan berkata, "Ya Allah, terima kasih kerana kau selalu mengingatiku, setiap masa, dengan ujian-Mu. Sesungguhnya, ini bukanlah wangku dan bukan juga rezekiku, kerana aku tidak berusaha untuk mendapatkannya sendiri. Ya Allah, aku redha dengan ujian-Mu ini dan aku doakan agar wang ini dipulangkan kepada pemiliknya kembali."

Anak-anak lelaki tadi mengumpulkan kembali wang ke dalam but. Kemudian, lelaki tadi mengambil but itu dan mencampakkannya ke dalam belukar.

But itu hampir-hampir mengenai kepala anak murid professor itu.

Sang professor berbisik pada anak muridnya, "Kalau kau mahu belajar mengenai kejujuran dan keikhlasan di tengah realiti kehidupan, kau belajarlah dari orang itu, bukan dariku atau universitimu."

Taulan


"Kita ada dua minit untuk saling mengenal."

"Ok, nama saya Alif."

"Nama saya pula Basyir. Boleh panggil saya Ba."

"Alif-Ba. Haha. Kalau begitu, baiklah Ba. Semoga kita berjumpa lagi lain kali. InsyaAllah. Terima kasih kerana membantu saya."

"Oh, tidak mengapa. Doakan saya Alif. Doa akan selalu membawa saya dalam ingatanmu."

Setahun selepas itu.

"Eh, Alif! Awak masih ingat saya?"

"Sekejap. Sekejap. Wajahmu selalu terbayang. Tapi, namamu. Ah, maafkanku!"

"Kau tidak lagi berdoa untukku?"

"Tidak, tidak. Maafkanku kawan, aku benar-benar kelupaan!"

"Oh, tidak mengapa. Basyir, kau masih ingat beliau? Dia menjumpaimu ketika kau tersalah naik kereta api untuk pulang ke Adelaide. Ingat lagi padanya?"

"Haa! Ba! Masakan aku lupa seri wajahmu, juga ikhlas hatimu. Doaku tertuju pada yang dua itu, namun kusering lupa menyebut namamu. Maafkanku!"

"Tidak mengapa. Yang penting, kau masih mengingatiku. Terima kasih atas doamu, saudaraku."

Mimpi Kenangan


"Kenangan mencipta mimpi. Kau bermimpi kerana kau terkenangkan sesuatu. Baik apa yang kau kenangkan itu ada pada masa lalu, atau apa yang kau fikir akan terjadi pada masa hadapan."

"Kuat atau tidak pengaruh sesuatu kepada kau adalah apabila kau bermimpi tentangnya, serasa-rasa, di dalam mimpi itu, masa diputar-putarkan, dan kau hidup di dalamnya sepenuh hati. Kau akan merasa kesal apabila kau sedar dari mimpi dan terpaksa berhadapan dengan realiti."

"Kehidupan, terbina dan dipengaruhi oleh kenangan. Hidup adalah membuat keputusan. Dan keputusan yang kau pilih itu, sudah pasti banyak ditentukan oleh pengalaman dan kenangan yang telah kau lalui selama ini."

"Kenangan itu seumpama bahan masakan. Kau pula adalah pemasak dan perasanya. Kalau bahan yang kau punyai itu pahit-pahit belaka, kau akan lebih berhati-hati memasaknya dan merasainya. Namun, jika bahan itu manis-manis belaka, kau tak akan tahu, bila gula itu akan perlahan-lahan meracunmu."

Ah, kuat benar penangan kenangan! Rihlah, jika tidak mengunjungi sesuatu yang terlalu menyentuh, ia tidak akan menjadi satu perjalanan yang lengkap. Batu, permaidani dan cahaya yang menyusup masuk melalui jendela itu benar-benar bernyawa, menghidupkan kembali kisah suka duka menjadi perantau di negeri orang sekian lama. Nah, di situlah dirasakan kenangan datang dan menggoncang jiwa!

Di hadapan mimbar, aku terbayang-bayang kembali suasana majlis zikir, selepas Maghrib atau Isyak. Juga, saat-saat aku tinggal berdua dengan Sang Syeikh, antara dua waktu solat tersebut, memeriksa bacaan firman-firman Allah. Di situ juga, kami pernah hiba, mengenangkan diri kami ini siapa di bumi Allah. Pernah kami menangis, pernah kami ketawa. Pernah kami teruja dan pernah kami bertegang lidah. Semuanya tersimpan bagaikan khazanah berharga, di dalam jiwa.

Serasa-rasa, setiap tutur doa yang diminta pada Allah di sini, termakbul - penuh rahsia, penuh hikmah. Dahulu, kami ke sini berlari dan bersaing di dalam hujan dan terik mentari, semata-mata untuk mencari secebis penerimaan dan kejujuran di dalam suasana kerohanian yang begitu menakjubkan. Kini, aku sekadar menjadi penyinggah sunnah, mendamba untuk menjadi warganya kembali.

Di sini, aku belajar mengenai kejujuran. Mengenai jalan pulang. Mengenai cahaya. Mengenai penerimaan setelah seribu satu penolakan dan penyisihan. Mengenai cinta. Mengenai jiwa yang tertimbus rasa.

Itulah rahsia dan hikmah yang dibuka Allah, untuk dibawa menjadi kenangan, menjadi pengaruh dan menentukan keputusan untuk dipilih.

Dahulu, menjadi seorang budak hingusan, aku tidak lupa untuk menyimpan hasrat besar, mencari Allah, Tuhan Semesta Alam, walaupun di bumi asing; di dunia yang sepatutnya bukan tempat mengukuhkan iman kepada-Nya.

Kini, kutelah temui jalan ke arah-Nya. Tinggal sahaja untuk melangkah meniti penghujung usia dengan setia pada panduan-Nya.

Moga, sinar dan hidayah Allah ini berkekalan. Bahan kenangan ini, pahit dan manisnya bercampur - aku doakan, agar terus-terusan, merasai keenakannya, sampai bila-bila.

Dialog Jiwa

"Kata laksana ubat. Baik apabila digunakan mengikut dosnya. Racun apabila berlebihan."

"Hidup, walaupun kau nampaknya sebagai hitam putih, namun, perasaan kita padanya - pelbagai. Pelbagai warna. Bergantung bagaimana kita nak menilainya. Jika kita merasakan hidup kita tiada warna, sedangkan hidup orang lain berwarna; maka selagi itulah kita berada dalam kesuraman dan kepudaran rasa. Tapi, jika kita rasa hidup ini bermacam warna, kita akan lebih ghairah dan bersemangat untuk mengetahui warna apa yang baru untuk kita, untuk setiap hari baru yang kita lalui."

"Berada di menara tak semestinya kau dekat dengan langit. Orang yang berada di jurang paling gelap pun, boleh jadi lebih dekat, jika dia mengingati Tuhan."

"Ada orang menyembah Allah, tapi tanpa ilmu, maka dia jahil. Ada orang menyembah hujah, tapi tak berTuhan, maka dia degil. Suatu hari, syaitan menyerupakan dirinya menjadi orang yang soleh, dan mengunjungi seorang ahli ibadat yang tak berilmu. Syaitan berkata, 'amal kau sudah cukup. tak perlu lagi kau bersujud begini.' maka, ahli ibadat itupun berhenti beribadat. Kemudian, syaitan pula mengunjungi seorang ahli ilmu yang pemabuk. kata syaitan 'kau sudah cukup ilmu. ilmu akan menyelamatkanmu.' orang ilmu itu bingkas bangun dan berhujah 'pergi kau syaitan, jangan ganggu aku minum arak.'"

"Cinta. Kau fikir berpunca dari apa? Dari mata? Atau dari hati? Dan hatimu pula untuk siapa? Matamu juga, untuk siapa?"

"Hati laksana raja, anggota adalah rakyatnya. Akal pula bendahara. Jika raja membuat keputusan yang baik, maka rakyatnya akan melakukan yang terbaik untuk hatinya."

"Orang berubah kerana hati. Akal dan tindakannya akan menyusul kemudian. Bagi iman untuk hatinya. Nescaya akal dan amalnya juga ikut iman itu."

"Sekecil-kecil butir pasir, akan tetap jatuh di dasar samudera. Sekecil-kecil kata, boleh jadi tertanam di dasar jiwa, selamanya."

Sila Sediakan Wang Syiling Secukupnya

Disklaimer: Entri ini, untuk penumpang yang mempunyai syiling yang cukup sahaja.

Di dalam bas, sudah pasti anda mengesani banyak tulisan-tulisan, berupa arahan, pemberitahuan atau undang-undang am. Misalnya, di dalam bas yang mempunyai pendingin hawa, yang tidak membenarkan aliran udara keluar-masuk, anda pasti akan dapat lihat sebuah tulisan undang-undang am : 'Dilarang membuang sampah keluar dari kenderaan ini!' Tergaru-garu juga kepala membaca pemberitahuan ini. Terfikir juga, bagaimana hendak melanggar undang-undang in di dalam bas yang tingkapnya tidak boleh dibuka langsung.

Semasa beratur, cuba anda bulatkan mata, terutamanya jika anda menunggu di depan pintu bas yang belum terbuka. Di sebelah kanan pintu, anda pasti akan mengesani satu pemberitahuan 'Sila Sediakan Wang Syiling Secukupnya.'

Adakah anda mempunyai masalah dengan pemberitahuan ini?

Cuba kita ambil contoh situasi, yang mungkin ada kaitan dengan anda.

Katakan anda adalah penumpang bas Putrajaya, yang mahu ke Kuala Lumpur. Tambang bas untuk satu kepala penumpang adalah RM3.80. Anda menyeluk-nyeluk saku anda, mencari-cari duit syiling, untuk mencukupkan nilai 80 sen itu. Namun, walaupun kuat bunyi kerincing duit syiling di dalam saku, anda dapati yang anda hanya mempunyai 6 keping duit syiling sepuluh sen. Yakni, anda tidak cukup 20 sen untuk membayar tambang penuh perjalanan ini.

Kemudian, anda membuka dompet, melihat wang kertas. Anda mempunyai 4 helai wang kertas 1 ringgit (RM4), 20 sen lebih daripada nilai tambang perjalanan.

Anda tiada pilihan lain kerana anda sudah berada di hadapan pemandu dan di belakang anda, orang mengibas-ngibas muka kerana marah dan bosan menunggu lama pemandu bas untuk membuka pintu.

Tidak dapat tidak, anda terpaksa menghulurkan 4 keping wang kertas seringgit kepada pemandu dan dengan tiada apa-apa perasaan, pemandu itu akan menyuruh anda menyentap tiket putih yang tertera tulisan seperti di bawah:

** (nombor bas dirahsiakan). Ekspres - Sehala. RM 3.80.

Pernahkah anda bertanya pada diri sendiri, ke mana perginya 20 sen anda itu?
Kenapa pemandu bas tidak memulangkan duit baki anda?

Kalau pemandu bas itu memberi alasan bahawa wang yang dijolok ke dalam tabung besi tidak boleh dikeluarkan (yakni, jika anda membayar RM10 pun, anda tidak akan mendapat baki wang anda!), anda perlu bertanya begini:

kenapa tidak direka sebuah sistem yang boleh memulangkan baki yang telah diberi, macam zaman dahulu, waktu bas masih memakai sistem konduktor dan ketip besi?

Ini persoalan-persoalan, kalau anda utarakan pada pemandu, sudah pasti ia tidak direspons ataupun paling bagus pun, mereka akan menjawab; "Dah depa buat macam ni, nak buat macam mana." Ataupun, "Kalau nak duit balik, naik bas M**** (nama syarikat bas dirahsiakan)."

Dua puluh sen, atau dua kupang, mempunyai nilai yang sangat besar sebenarnya. Bayangkan anda berada dalam situasi genting, telefon bimbit anda kehabisan bateri dan anda berada di tengah-tengah hujan lebat dan mahu mama anda mengambil anda. Dua kupang inilah asbab untuk membantu anda pulang ke rumah dengan selamat dan tidak basah kuyup.

Di samping itu, dua kupang jika dikumpul daripada sepuluh orang penumpang, pasti akan berjumlah 2 ringgit. Ini menunjukkan, syarikat bas R******, mendapat untung 2 ringgit dalam satu perjalanan, secara 'memaksa' penumpang membayarnya, boleh juga dikatakan 'mencuri.'

Apakah ini satu bentuk jual-beli yang adil? Anda tahu dan bersetuju perjalanan dari Putrajaya ke KL berjumlah RM3.80, tetapi anda terpaksa membayar RM4 dan baki 20 sen tidak dikembalikan, gara-gara tabung besi yang menganga menanti wang anda itu tidak boleh dibuka dan pemandu itu sendiri tidak kisah 20 sen anda dikembalikan atau tidak!

Jadi, dalam hal ini, saya ingin menyarankan beberapa perkara untuk menyelesaikan kemelut ini.

1. Syarikat bas perlu memaklumkan, bahawa wang baki untuk bayaran yang melebihi harga tambang tidak akan dikembalikan. Kos untuk membuat pemberitahuan ini boleh diambil dari kos membuat makluman undang-undang yang tidak boleh dilanggar - 'Dilarang membuang sampah keluar dari kenderaan ini' yang tertampal pada bas berpendingin hawa dan tingkapnya tidak boleh dibuka sampai bila-bila pun. Ini boleh dilakukan dengan mengganti pemberitahuan 'Sila Sediakan Wang Syiling Secukupnya' dengan 'Haha! Wang lebih yang anda bayar tak akan dikembalikan!'

2. Membuat pas bulanan pada penumpang. Penumpang akan membayar sejumlah tambang pada awal bulan dan pas ini akan digunakan sepanjang bulan itu, bergantung berapa banyak kali pun penumpang itu hendak menggunakan perkhidmatan bas. Harga bulanan sudah semestinya rasional dan masuk akal. Inisiatif ini telah dilakukan oleh bas RapidKL dan saya amat menyokong penuh usaha ini. Saya membeli pas integrasi yang boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan awam bercap RapidKL. Syabas RapidKL!

3. Membuat 'doket', iaitu mata yang boleh dikumpulkan daripada hasil baki yang tidak dipulangkan. Mata yang dikumpulkan ini boleh ditebus dengan tambang perjalanan percuma atau hadiah berupa topi, kipas dan botol air mineral yang dicop dengan nama syarikat bas. Ini secara tidak langsung merupakan salah satu strategi pemasaran. Penumpang juga boleh memanfaatkan merchandise ini semasa kepanasan menunggu pemandu bas yang lambat.

4. Menambah satu sistem pemulangan baki bayaran penumpang. Cuba ambil contoh perkhidmatan bas Metro di Adelaide Australia. Pemandu disediakan dengan satu sistem pemulangan baki penumpang, di mana duit-duit syiling pelbagai nilai diaturkan dan penumpang yang membayar lebih untuk tambang akan mendapat kembali baki.

Ada banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk memberi keadilan kepada penumpang. Ini adalah salah satu usaha untuk membanteras kelelahan penumpang yang selalu memberi ulasan negatif pada pengangkutan awam di Malaysia.

Dua kupang sebenarnya nilai yang kecil yang dicuri oleh syarikat bas berbanding nilai masa yang diambil secara sesuka hati. Nilai masa, yang disebabkan oleh kelewatan pemandu memulakan perjalanan, atau kadang-kadang terpaksa menunggu trip lain kerana pemandu sengaja melanggar jadual tetap (kerana bertolak awal), lebih berharga berbanding wang ringgit. Masa tidak boleh dibayar semula. Khazanah masa penumpang yang dicuri oleh pemandu dan syarikat bas yang tidak bertanggungjawab perlu dibayar dengan harga yang setimpal.

Moga suatu hari nanti, kita boleh berbangga, bahawa pengangkutan awam di Malaysia adalah terbaik di dunia.

Se-kolah

Warna-warna pelangi, warna hijau padang, warna kuning bendang dan sayup-sayup kelihatan Gunung Jerai, berkabus di dalam fikiran, meresap perlahan-lahan ke dalam jiwa yang sayu.

Zaman itu telah lama berlalu, sungguh lama. Kita seakan berlari bersama masa, pantas dan tak pernah berhenti. Berhenti untuk menoleh ke belakang.

Kolah. Dari tingkatan 1 hingga 3, kolah yang terletak di hadapan bilik air baru, dan sebaris pancur air tempat basuh baju, pernah menjadi tugu ingatan. Selalunya tiada air pun di dalam kolah ini, melainkan hari minggu. Dan, jarang-jarang juga, pada zaman kami, kami mandi menggunakan air yang ditakung di dalam kolah empat segi ini. Hujung minggu, kolah ini menjadi pusat tayangan, senior-senior memberanikan diri, terjun dari tingkat 1. Atau, yang mahu lebih cabaran, mereka akan terjun dari tingkat 2. Malah, ada lagenda menyebutkan, bahawa seorang senior, bahkan pernah melompat dari aras tertinggi, menjunam ke dalam kolah ini.

Kadang-kadang air kolah terisi penuh. Biasanya, pagi-pagi Isnin, air kolah belum sempat dibuang. Adik-adik junior, termasuk kami yang masih belum senior, akan berpagi-pagi di keliling kolah ini, meletakkan baldi merah kecil yang penuh dengan peralatan mandi. Kalau pili tempat basuh baju dan bilik air tidak memuntahkan air, maka kolah inilah yang menjadi pusat tumpuan kami. Biasanya, kami mandi sebelum matahari cerah. Jadi, mungkin air keruh kerana digunakan semalam tiada apa-apa bagi kami. Jika lambat, air kolah ini akan habis digunakan. Dan, dekat-dekat jam 7 pagi, kedengaran sagatan baldi kecil dan gayung pada dasar kolah. Sebab itulah, dalam kamus Asputra, air pada waktu-waktu begini, dipanggil 'air kikih.' Air orang yang terlambat.

Tahun 2003, berlaku perubahan besar suasana sekitar kawasan kami mandi dahulu. Kolah ini dipecahkan. Kami, yang baru merangkak jadi senior, tak dapatlah mencipta lagenda lagi. Pancur air yang berdinding zink, diruntuhkan, dan diganti pula dengan tembok separas pinggang, dibubuh marmar biru. Kemudian, di bahagian yang terdedah dengan asrama puteri, dibina sebuah dinding tinggi yang dicat dengan warna kuning. Bilik air di blok A dan B di pasang dengan marmar baru dan sistem perpaipannya diganti.

Tempoh renovasi itu mengambil masa yang panjang. Sepatutnya ia siap sebelum kami memulakan sesi persekolahan tingkatan 3. Namun, biasalah, kontraktor - janji mereka bukannya boleh dipegang. Kolah yang musnah dan bilik air yang belum siap, telah menyusahkan kami untuk mandi dan melakukan urusan tandas. Tandas zink sementara yang dibina di tepi bilik air baru, sering rosak dan orang berebut-rebut menggunakan 3 tandas itu. Kadang-kadang, kami mendapati ada air kuning menitis pada bucu dinding zink itu.

Air yang ada cuma ada dalam tangki PVC hitam. Setiap hari, di tangki itulah kami berebut-rebut untuk mandi. Hujung minggu, kerana terlalu rindu pada kolah konkrit empat segi itu, kami penuhkan air dan berendam macam ikan keli di dalam tangki PVC yang sempit itu. Bila hari Isnin, kami tengok adik-adik F1 dan F2 terkial-kial mencedok air untuk mandi pagi. Kami pula, tak tentu arah nak cari sumber air bersih. Waktu itu, Cikgu Mardis jadi PK HEM. Pagi-pagi mesti ada yang kantoi dan dimarahi.

Bila kami F5, kolah di tempat basuh baju belakang blok A dijadikan tempat untuk berendam pula. Hujung minggu, bila tiba waktu basuh baju, selepas makan tengah hari, mesti ada yang beratur untuk berendam di belakang. Biasanya, tangan dan kaki kami akan kecut. Sementelahlah main air lama, main sabun dan berus lama-lama dan kami teruskan dengan berendam lama-lama di dalam kolah itu. Ada sebiji pancur yang mencetuskan risiko buat para perenang kolah ini. Kalau gagal mengesan lokasi di dalam kolah, kepala yang terjongol keluar dari air akan tiba-tiba terhantuk pada mulut paip tembaga ini.
Bila dah pening tu, pakat-pakatlah kami keluar, menggeletar kesejukan dan berlari-lari ke dorm dalam keadaan basah kuyup.

Alangkah seronoknya waktu itu!

Itulah, sedikit coretan kenangan, setelah bertahun-tahun kolah-kolah itu tidak diziarahi.

Kini, rakan-rakan se-kolah sudah berada di merata ceruk dunia. Dulu kami berendam sekali, bergembira dan mencepik-cepik air, berebut dan kadang-kadang bertanding siapa paling lama bertahan di dalam air.

Kini, masing-masing berjauhan, menjalani kegembiraan dan kehidupan tersendiri, mungkin di dalam kolah sendiri, atau, mungkin ada yang sudah mempunyai kolam renang tersendiri.

Kawan se-kolah, sungguh, rindu betul zaman kolah itu. :)

Pengalaman manis dan selamat


Gambar ehsan: Utusan Malaysia Online

Gambar ehsan: Berita Harian Online

''Saya telah sampai dengan selamat dan merasai satu pengalaman manis," kata Perdana Menteri apabila melalui pengalaman menaiki tren LRT dari Bangsar ke Depot LRT, selama 20 minit.

Yang berhormat, manis kan menggunakan perkhidmatan awam.

Saya pengguna perkhidmatan awam yang tegar. Sekurang-kurangnya, empat jam sehari saya habiskan untuk berganti-ganti di antara bas, LRT dan bas lagi untuk perjalanan ke tempat kerja saya, dari Putrajaya ke Setapak.

Setiap hari juga, saya bersesak dengan ribuan orang yang sama seperti saya. Menempuhi perjalanan yang sama seperti saya. Di dalam bas kami merebuti tempat duduk, kadang-kala terpaksa berdiri lebih dari sejam, kerana terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.

Kemudian, apabila mahu menggunakan perkhidmatan LRT, sekali lagi kami terpaksa mengecilkan diri, bertindih-tindih dan mencium ketiak orang, mendengar jeritan wanita histeria dan bertolak-tolak apabila hendak keluar. Kadang-kadang, LRT itu meragam, berhenti di bawah terowong gelap, antara stesen Masjid Jamek dan Ampang Park, sehingga kami yang termampat di dalamnya, menjadi manusia sardin.

Betapa manisnya jika Yang Berhormat, jika setiap hari, berulang-alik ke tempat kerja, seperti kami. Kenangan ini, jika Yang Berhormat rasai sendiri, ia akan menjadi cerita besar jika Yang Berhormat canangkan di persidangan PBB atau OIC.

Seperkara lagi Yang Berhormat, jangan lupa menggunakan perkhidmatan bas juga. Saya cadangkan kepada Yang Berhormat, jika hendak merasai sendiri kenikmatan menunggu bas, mungkin Yang Berhormat boleh mencuba hab bas di Pasar Seni. Dari sini, Yang Berhormat boleh mengambil bas ekspres, RapidKL, terus ke Putrajaya. Bayarannya murah, cuma RM3.80.

Manis sekali pengalaman, Yang Berhormat, menunggu pintu bas itu dibuka. Di dalam asap enjin, di dalam hawa panas dan merimaskan, kami terpaksa berdiri, menunggu pemandu bas berkumpul ramai-ramai di dalam pejabat mereka yang dilengkapi pendingin hawa. Mereka sanggup membiarkan kami, yang terdiri daripada pekerja yang telah letih setelah seharian bekerja, ibu muda yang sarat mengandung, mak cik-mak cik tua yang sakit lutut; terbiar berdiri di hadapan pintu, menanti dengan penuh sabar dan pasrah untuk memasuki perut bas.

Kami tertanya-tanya sesama sendiri, kenapa pemandu bas itu tidak memberi kebenaran sahaja untuk kami duduk-duduk di dalam bas, sementara menunggu bas itu berjalan?

Barangkali, Yang Berhormat, inilah dinamakan pengalaman manis menggunakan perkhidmatan awam di Kuala Lumpur. Ia juga selamat, bak kata Yang Berhormat.

Selamat, kerana setiap hari, lebih satu kilo Karbon Monoksida kami sedut. Karbon Monoksida inilah, yang akan memperlahankan pengaliran darah ke otak, dan apabila malam tiba, kami akan letih dan mudah tertidur, untuk sekali lagi berpagi-pagi bangun, mengulangi pengalaman yang sama setiap hari, untuk ke tempat kerja.

Yang Berhormat, saya sarankan Yang Berhormat sendiri cuba, pengalaman manis dan selamat ini.

Terngiang-ngiang kata Yang Berhormat: "Hakikatnya usaha ke arah menjayakan peningkatan penggunaan pengangkutan awam ini menuntut anjakan minda secara ketara di kalangan pengguna. Paling utama keperluan mengubah persepsi bahawa pengangkutan awam hanya untuk golongan berpendapatan rendah. Saya kadang-kadang tersenyum sendiri mengenangkan ada pihak yang tidak bermasalah untuk menggunakan pengangkutan awam bila berada di luar negara tetapi apabila berada di negara sendiri tidak sanggup menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) atau bas kerana menganggap ia kurang glamor."

Benar Yang Berhormat, mana ada siapa yang mahu bergulat dengan pekerja bergaji rendah ini, malah kita mesti tidak mahu bercampur gaul dengan orang asing yang datang secara haram di negara ini. Kami, juga warga asing inilah, yang menggunakan perkhidmatan awam sepenuhnya. Saya kira, untuk mengikis persepsi ini, saya cadangkan Yang Berhormat sendiri menjadi duta RapidKL, supaya orang ramai, yang berjawatan tinggi, yang bergaji tinggi dan bekerja di menara berkembar yang tinggi itu, akan bersama-sama melalui pengalaman yang manis dan selamat, seperti mana yang telah Yang Berhormat lalui selama 20 minit semalam.

Ia bukan sahaja bakal menjadi tajuk utama, bahkan para pemimpin dunia akan melihat keterbukaan Yang Berhormat melalui pengalaman manis dan selamat ini setiap hari sebagai satu anjakan minda, di mana seorang pemimpin, berkorban jiwa dan raganya sendiri, untuk melaksanakan dasar yang telah diketengahkan, iaitu dasar 1Malaysia.

1Malaysia kerana di sini, dengan menggunakan perkhidmatan awam ini, tiada lagi sempadan bangsa, baik cina, india, bangla, myanmar dan melayu sekalipun. Masing-masing akan bercampur-gaul, mencium ketiak sesama sendiri, bertindan lelaki dan perempuan dan saling menjeling sesama sendiri. Inilah satu bentuk kesepaduan dan kesatuan yang diidam-idamkan sebuah negara yang majmuk.

Sudah semestinya, Yang Berhormat perlu melalui sendiri pengalaman manis dan selamat ini. Pengalaman menaiki 1Pengangkutan Awam dengan 1Tiket, 1Bas dan 1Tren di dalam negara yang mengamalkan dasar 1Malaysia.

Cuma Yang Berhormat, saya ada satu persoalan.

Mana satu kata-kata Yang Berhormat yang betul?

Ini, biar saya tunjukkan dua petikan akhbar yang melaporkan kata-kata Yang Berhormat:

1. Utusan:

Najib berkata, perkhidmatan ini akan terus dipertingkatkan dengan penambahan sebanyak 450 buah bas lagi.

2. Berita Harian:

“Bagi mencapai tujuan ini, tindakan segera akan dilaksanakan antaranya, kapasiti KTM Komuter dan LRT akan ditingkatkan daripada 1.7 sehingga empat kali ganda, sebanyak 850 bas akan ditambah untuk meningkatkan liputan perkhidmatan dan lebih 50 laluan baru akan diperkenalkan bagi menambah jaringan supaya sehaluan dengan pembangunan sistem pengangkutan berintegrasi.

Kami juga, seperti Yang Berhormat, mahu menikmati pengalaman yang selamat dan manis setiap hari, seperti Yang Berhormat lalui 20 minit semalam.

Selain dari pengalaman, kami juga ingin janji untuk pengalaman dan selamat dan manis ini, akan terlaksana dan menjadi realiti - bukan bercanggah semalam dan esok, seperti laporan akhbar itu.

Bibliografi:

Mohamad, S., Utusan Malaysia Online, laporan 'Guna Pengangkutan Awam - PM,' 1 April 2010. Diakses pada 1 April 2010. http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Ahmad, N., Berita Harian Online, laporan 'Baiki Mutu Pengangkutan Awam,' 1 April 2010. Diakses pada 1 April 2010. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Baikimutupengangkutanawam_/Article