Warna-warna pelangi, warna hijau padang, warna kuning bendang dan sayup-sayup kelihatan Gunung Jerai, berkabus di dalam fikiran, meresap perlahan-lahan ke dalam jiwa yang sayu.
Zaman itu telah lama berlalu, sungguh lama. Kita seakan berlari bersama masa, pantas dan tak pernah berhenti. Berhenti untuk menoleh ke belakang.
Kolah. Dari tingkatan 1 hingga 3, kolah yang terletak di hadapan bilik air baru, dan sebaris pancur air tempat basuh baju, pernah menjadi tugu ingatan. Selalunya tiada air pun di dalam kolah ini, melainkan hari minggu. Dan, jarang-jarang juga, pada zaman kami, kami mandi menggunakan air yang ditakung di dalam kolah empat segi ini. Hujung minggu, kolah ini menjadi pusat tayangan, senior-senior memberanikan diri, terjun dari tingkat 1. Atau, yang mahu lebih cabaran, mereka akan terjun dari tingkat 2. Malah, ada lagenda menyebutkan, bahawa seorang senior, bahkan pernah melompat dari aras tertinggi, menjunam ke dalam kolah ini.
Kadang-kadang air kolah terisi penuh. Biasanya, pagi-pagi Isnin, air kolah belum sempat dibuang. Adik-adik junior, termasuk kami yang masih belum senior, akan berpagi-pagi di keliling kolah ini, meletakkan baldi merah kecil yang penuh dengan peralatan mandi. Kalau pili tempat basuh baju dan bilik air tidak memuntahkan air, maka kolah inilah yang menjadi pusat tumpuan kami. Biasanya, kami mandi sebelum matahari cerah. Jadi, mungkin air keruh kerana digunakan semalam tiada apa-apa bagi kami. Jika lambat, air kolah ini akan habis digunakan. Dan, dekat-dekat jam 7 pagi, kedengaran sagatan baldi kecil dan gayung pada dasar kolah. Sebab itulah, dalam kamus Asputra, air pada waktu-waktu begini, dipanggil 'air kikih.' Air orang yang terlambat.
Tahun 2003, berlaku perubahan besar suasana sekitar kawasan kami mandi dahulu. Kolah ini dipecahkan. Kami, yang baru merangkak jadi senior, tak dapatlah mencipta lagenda lagi. Pancur air yang berdinding zink, diruntuhkan, dan diganti pula dengan tembok separas pinggang, dibubuh marmar biru. Kemudian, di bahagian yang terdedah dengan asrama puteri, dibina sebuah dinding tinggi yang dicat dengan warna kuning. Bilik air di blok A dan B di pasang dengan marmar baru dan sistem perpaipannya diganti.
Tempoh renovasi itu mengambil masa yang panjang. Sepatutnya ia siap sebelum kami memulakan sesi persekolahan tingkatan 3. Namun, biasalah, kontraktor - janji mereka bukannya boleh dipegang. Kolah yang musnah dan bilik air yang belum siap, telah menyusahkan kami untuk mandi dan melakukan urusan tandas. Tandas zink sementara yang dibina di tepi bilik air baru, sering rosak dan orang berebut-rebut menggunakan 3 tandas itu. Kadang-kadang, kami mendapati ada air kuning menitis pada bucu dinding zink itu.
Air yang ada cuma ada dalam tangki PVC hitam. Setiap hari, di tangki itulah kami berebut-rebut untuk mandi. Hujung minggu, kerana terlalu rindu pada kolah konkrit empat segi itu, kami penuhkan air dan berendam macam ikan keli di dalam tangki PVC yang sempit itu. Bila hari Isnin, kami tengok adik-adik F1 dan F2 terkial-kial mencedok air untuk mandi pagi. Kami pula, tak tentu arah nak cari sumber air bersih. Waktu itu, Cikgu Mardis jadi PK HEM. Pagi-pagi mesti ada yang kantoi dan dimarahi.
Bila kami F5, kolah di tempat basuh baju belakang blok A dijadikan tempat untuk berendam pula. Hujung minggu, bila tiba waktu basuh baju, selepas makan tengah hari, mesti ada yang beratur untuk berendam di belakang. Biasanya, tangan dan kaki kami akan kecut. Sementelahlah main air lama, main sabun dan berus lama-lama dan kami teruskan dengan berendam lama-lama di dalam kolah itu. Ada sebiji pancur yang mencetuskan risiko buat para perenang kolah ini. Kalau gagal mengesan lokasi di dalam kolah, kepala yang terjongol keluar dari air akan tiba-tiba terhantuk pada mulut paip tembaga ini.
Bila dah pening tu, pakat-pakatlah kami keluar, menggeletar kesejukan dan berlari-lari ke dorm dalam keadaan basah kuyup.
Alangkah seronoknya waktu itu!
Itulah, sedikit coretan kenangan, setelah bertahun-tahun kolah-kolah itu tidak diziarahi.
Kini, rakan-rakan se-kolah sudah berada di merata ceruk dunia. Dulu kami berendam sekali, bergembira dan mencepik-cepik air, berebut dan kadang-kadang bertanding siapa paling lama bertahan di dalam air.
Kini, masing-masing berjauhan, menjalani kegembiraan dan kehidupan tersendiri, mungkin di dalam kolah sendiri, atau, mungkin ada yang sudah mempunyai kolam renang tersendiri.
Kawan se-kolah, sungguh, rindu betul zaman kolah itu. :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan