Sudah lebih sebulan saya pulang ke tanah air, tanah yang mendasari hawa panas dan lembap. Di Putrajaya, pusat pentadbiran negara, iklim tropika benar-benar terasa. Hujan boleh kata turun setiap hari, bersama petir dan titisan-titisan kasar. Awan di langit padu-padu belaka, dan di hujung timur, awan hitam kumulusnimbus meragas banjaran Titiwangsa. Apabila panas, tak usahlah dicerita.
Orang Melayu boleh dikatakan majoriti di Malaysia. Di mana-mana, baik di bank, di pasar, di masjid dan di atas jalan raya, orang Melayu amat mudah dijumpai.
Orang Melayu ini unik. Warna kulitnya pelbagai ragam, dari yang gelap hinggalah putih suci. Mata mereka bundar, dan anak matanya sudah semestinya hitam, sama seperti warna rambut ikalnya. Ada juga orang Melayu yang berambut lurus. Biasanya, ketinggian orang Melayu jarang melepasi 180cm. Yang perempuan, biasanya bertudung dan berbaju kurung. Apabila tiba hari Jumaat, orang Melayu lelaki akan memakai pakaian rasmi mereka, baju Melayu dan hari tersebut, mereka akan berpusu-pusu ke masjid, untuk menunaikan solat Jumaat.
Orang Melayu boleh dikatakan terkenal dengan sikap pemalu. Mereka amat sukar dilihat berkelahi di tepi-tepi jalan. Berbanding dengan orang Arab atau Pakistan, salam di kalangan orang Melayu jarang-jarang juga kedengaran. Banyak kali juga saya menyampaikan salam pada mana-mana orang Melayu yang saya jumpa, namun susah mendengar jawapannya. Saya jangka, orang yang menjawab salam itu menjawab salam di dalam hati. Mungkin kerana malu.
Kanak-kanak Melayu juga tidak sebuas kanak-kanak orang putih. Jarang kelihatan anak-anak Melayu yang liar, melompat sini-sana, memanjat itu ini dan berbuat bising. Biasanya, anak-anak Melayu kelihatan berdamping dengan ibu bapa.
Seperkara lagi, orang Melayu jarang mengata yang buruk-buruk di hadapan orang. Saya kira, mereka akan menyimpannya dalam hati, hatta perkara yang perlu ditegur. Mereka akan berjalan laju meninggalkan sesuatu yang tidak disukai atau kadang-kala menggeleng-gelengkan kepala.
Di samping itu, orang Melayu amat menjaga keharmonian masjid. Di dalam masjid, mereka sering mengadakan kuliah, meskipun yang datang cuma orang-orang tua. Di dalam masjid, hiasannya juga begitu indah dan kelihatan Al-Quran tersusun kemas di dalam rak. Setiap kali solat, hanya wajah-wajah yang biasa kelihatan akan memenuhi saf pertama.
Di dalam televisyen, orang Melayu dipaparkan dengan bermacam-macam cara. Ada dipaparkan dengan barisan korporat. Ada dipaparkan sebagai hantu dan bomoh-bomoh jampi. Ada juga yang dipaparkan sebagai pengikut tegar budaya barat. Jarang-jarang kelihatan orang Melayu tradisional yang dipaparkan di kaca televisyen, seperti cerita bangsa Inggeris klasik di dalam siri Merlin atau Robin Hood.
Setakat ini, ini sahajalah yang saya nampak dalam kalangan bangsa ini, bangsa yang mendiami bumi panas lembap, yang hampir dengan garisan khatulistiwa.
Sebelum saya lupa, orang Melayu sangat inovatif dalam hal ehwal makanan. Setiap jenis menu dalam dunia ini, pasti sudah dimasak oleh orang Melayu dan boleh didapati di gerai-gerai berdekatan. Jika bernasib baik, rasanya akan berganda-ganda lebih sedap dari hidangan asli, di mana makanan itu berasal.
2 ulasan:
oh makanan mesia...
betul2x
Catat Ulasan