Kelab Peminat

Pancaroba Jakarta 4


"Anak-anak senang sekali dengan Upin Ipin," kata pemandu teksi.

Wah, saya begitu bangga! Setahu saya, produk seni Malaysia sememangnya sukar menembus tembok pasaran Indonesia. Namun, apakala terdengar orang Indonesia yang kaya dengan hasil seni dan sastera berkata begini, sudah semestinya, sebagai rakyat Malaysia, ada sebab untuk saya berasa begini.


Hari Pesta Buku Indonesia pun bermula. Kami tiba awal dan pengunjung masih belum memasuki ruang legar Istora Senayan. Berbeza dengan pemandangan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di PWTC tempoh hari, awal-awal lagi orang ramai telah berkumpul di pintu masuk. Di sini, pengunjungnya jarang-jarang. Penerbit dan pengedar buku yang menyertai temasya ini, tidaklah seramai usahawan buku sewaktu pesta buku di negara kita. Khabarnya, Pesta Buku di Indonesia diadakan agak kerap setiap tahun, jadi, jika ada pesta buku sebegini, tidak hairanlah jika pengunjungnya tidak seramai seperti di Malaysia.

Misi delegasi Malaysia sebenarnya bukan mahu menjual buku dan produk yang diterbitkan. Akan tetapi, kami lebih kepada pasaran hak cipta, yakni pembelian dan penjualan hak cipta untuk sesuatu karya yang diterbitkan oleh pihak syarikat. Contohnya, di dalam sesuatu buku, terdapat tulisan dan ilustrasi yang menjadi kandungan buku tersebut. Dalam penjualan hak cipta, kita menjual hak milik tulisan dan ilustrasi tersebut kepada penerbit luar negara, untuk diterbitkan semula - dengan syarat-syarat tertentu. Apabila penerbit luar negara mempunyai hak cipta penerbitan, maka mereka boleh menggubah, menambah baik atau mempersembahkan isi tulisan serta ilustrasi ke dalam cita rasa yang mereka inginkan. Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh pembeli hak cipta adalah seperti berikut:

1. Hak cipta bukan hak milik kekal penerbit yang membelinya. Ia terbatas kepada tempoh tertentu yang dipersetujui. Selepas tempoh tersebut, penerbit yang membeli hak cipta, perlu memperbaharui pembeliannya daripada penerbit asal.

2. Jumlah cetakan untuk sesuatu hak cipta yang dibeli itu juga terbatas. Biasanya, jika hak cipta sesuatu tulisan dan ilustrasi buku itu dibeli, maka ia terbatas untuk cetakan sebanyak 3000 naskhah sahaja. Jika terdapat permintaan lebih dalam pasaran, pembeli hak cipta itu perlu membuat pembelian hak cipta baru daripada penerbit asal.

3. Penerbit asal mempunyai hak untuk memantau perkembangan penerbitan yang sedang diusahakan itu. Ini adalah bertujuan untuk menjaga mutu (barangkali lebih tepat disebut maruah) karya yang berasal dari terbitan mereka.

Dan, terdapat lagi beberapa syarat (yang kadang-kala agak ketat) yang dikenakan oleh penerbit asal. Sebenarnya, ia bergantung kepada perbincangan antara dua pihak. Jika ada persetujuan terhadap syarat serta bayaran, maka urusan penerbitan dapat disebarluaskan ke luar negara.

Pembelian hak cipta berbeza dengan pengedaran buku di luar negara. Yang dimaksudkan dengan pengedar adalah apabila buku atau produk penerbitan sesuatu syarikat, dipasarkan, tanpa mengubah isi kandungan atau buku itu secara zahir. Misalnya, apabila kita ke MPH atau Popular, kita akan mendapati banyak novel Bahasa Inggeris yang diimport daripada luar negara. Ini disebabkan oleh, ada pihak pengedar, seperti MPH dan Popular ini, bertindak sebagai agen pemasaran buku ini di dalam pasaran tempatan.

Saya berkisar di Pesta Buku ini, mencari bahan-bahan yang baik untuk dibeli hak ciptanya. Secara umumnya, buku-buku yang terdapat di Pesta Buku Indonesia ini adalah daripada genre motivasi, agama dan kanak-kanak. Antara penerbit besar yang menyertai Pesta Buku Indonesia adalah penerbit Kompas-Gramedia, Mizan, Gema Insani, Al-Kauthar dan banyak lagi.

Saya tertarik kepada pelbagai genre buku agama yang dipasarkan di sini, sementelah Indonesia terkenal dengan kepelbagaian aliran fahaman agamanya. Sudah tentu, di sini juga, ditemukan dengan pelbagai bentuk naskhah Al-Quran, yang dicetak dengan pelbagai versi; seperti versi blok tajwid, versi kalimah (setiap kalimah dipisah-pisahkan untuk memudahkan pembacaan), versi tulisan Arab-Romawi dan sebagainya. Saya juga menemukan pelbagai buku agama yang boleh dikatakan sukar didapati di Malaysia, seperti buku daripada aliran Syiah - misalnya, yang menceritakan tentang sejarah hidup setiap dua belas Imam dan juga biografi Imam Khomenei versi kanak-kanak.

Dalam genre karya kanak-kanak, saya menganggap karya Upin Ipin mendominasi pasaran Indonesia. Ada buku yang telah diolah dan diserasikan dengan cita rasa Indonesia, yakni bahasa dan persembahannya digubah, sesuai dengan bahasa tempatan. Namun, keaslian Upin Ipin adalah terletak pada persembahan videonya, di mana bahasa yang digunakan dalam DVD Upin Ipin di sini, masih menggunakan bahasa Melayu yang asal, cuma, ditambah dengan sari kata untuk membantu pemahaman penonton tempatan. Saya kira, di sinilah terzahirnya kekuatan Bahasa Melayu, yang telah membuktikan bahawa ia mampu menembusi pasaran luar.

"Kami bisa faham bahasanya," kata salah seorang warga tempatan. "Nggak banyak beza."

Pengaruh Upin Ipin juga dapat dilihat melalui banyaknya aktiviti yang melibatkan hasil karya dari Malaysia ini. Misalnya, ada pertandingan meniru suara Upin Ipin untuk kanak-kanak. Saya sempat melihat persembahan salah seorang peserta cilik, yang meniru pantun Jarjet. Walaupun ada telor Indonesia, tetapi dia masih juga cuba untuk berbahasa sama seperti watak di dalam kartun itu.

Saya membayangkan, barangkali Upin Ipin boleh menjadi duta kebudayaan Malaysia, ke seluruh dunia. Bukan sahaja kita boleh memperkenalkan kebudayaan kita ke seluruh dunia, bahkan kita juga mengetengahkan kekuatan Bahasa Melayu (yang baik, yang tidak slanga) kepada masyarakat global. Nah, tak banggakah lagi menjadi penutur Bahasa Melayu?

Sayangnya, ada anasir yang cuba mengambil kesempatan terhadap gelombang Upin Ipin di sini, dengan melakukan cetak rompak. Sewaktu saya melakukan lawatan dari gerai ke gerai, saya menjeling ke arah watak Upin Ipin yang diolah seperti seorang pengganas - memegang senapang dan berpakaian tentera. Saya menyedari pasaran Upin Ipin begitu besar, namun janganlah sampai mengolah Upin Ipin sehingga hilang mesej keamanan dan makna yang ingin disampaikan oleh karyanya. Barangkali, pihak Les Copaque boleh melakukan pemantaun dan bertindak tegas terhadap pencabulan karya kita ini.

Begitulah. Jika saya hendak mengulas mengenai buku di yang terdapat di sini, maka, ruang ini bukanlah ruang yang terbaik. Dunianya sangat luas dan tidak adillah jika saya mengehadkannya dalam pesta buku ini sahaja.

Buat pencinta buku di luar sana, saya sarankan untuk berkunjung ke pesta buku ini dan cubalah mendapatkan contact dengan pengedar dan penerbit buku Indonesia.

Apa kata, buat kumpulan pengarang muda dan generasi pembaca muda, kita aturkan sebuah rombongan untuk melawat dunia buku di sana? Pasti ada perkara yang menarik yang boleh kita bawa pulang dan manfaatkan buat rakyat kita di sini. Kan?

1 ulasan:

ihsan_huhu berkata...

fuh. power gk upin n ipin nih.

tahap2 doremon n DB gk