Kelab Peminat

Gerombolan

Pada suatu pagi, kami duduk-duduk di dalam bilik mesyuarat. Ada beberapa orang di dalam bilik ini dan salah seorangnya menguasai perbincangan.

"Kalau kita fikir gerakan Islam yang mempunyai kumpulan dan organisasi yang tersusun, kita patut membayangkan kumpulan lain juga mempunyai perkara sedemikian. Tsiqah dan Sirr juga diamalkan dalam gerakan Komunis. Sesiapa yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi, akan mengetahui lebih banyak maklumat mengenai Parti." Dia menyambung, "Jangan ingat kalau kita membuat baik, orang yang tidak baik tidak berbuat apa-apa. Bahkan, orang yang berbuat jahat akan sama naik dengan kebaikan yang sedang naik."


Kami mencatatkan apa yang dibincangkan.

"Cuba fikirkan, apa yang menjalin dan menyatupadukan sesuatu kumpulan manusia itu? Ada sesetengah kumpulan manusia bersatu kerana semangat simpati atas sesuatu kejadian. Mereka sama-sama bersedih dan kecewa, mempunyai getaran emosional yang sama dan berkumpul untuk bertindak balas - sama ada meratap ada membuat revolusi.

"Namun, ada yang lebih rasional, bersatu kerana mempunyai pemahaman dan fikiran yang sama. Kumpulan ini selalunya tidak seramai kumpulan emosional itu tadi."

"Dalam Islam, kita bersatu padu kerana iman, kerana ketaqwaan kita kepada Allah dan kepatuhan kita kepada Sunah Rasulullah. Inilah dinamakan ukhwah Islamiyah. Selalu, kita mendengar daripada jemaah tabligh mengenai kekuatan ukhwah ini, sehingga nyawa sanggup digadaikan untuk mengutamakan saudaranya. Ingat lagi kisah tiga sahabat yang hampir syahid ketika perang dan saling menolak pemberian air itu? Keutuhan persaudaraan, yang berdasarkan iman yang tulus dan hati yang kudus, sudah tentu tidak bisa dicabar."

"Berbanding dengan semangat sepasukan penyokong bolasepak. Mereka bersifat emosional dan simpatisan. Hubungan sesama penyokong ini dipanggil tribalisme - atau semangat gerombolan. Mereka mempunyai semangat yang sama, boleh bertegur dengan sesiapa yang memakai jersi yang sama, meski tidak mengenali sebelum ini. Namun, apabila berada di luar stadium dan kedai mamak - belum tentu mereka boleh dipanggil kawan."

Tiada ulasan: