Kelab Peminat

Belajar, sampai mati!

Thorburn Brailsford Robertson,

In token of love,

Then I turn to the one thing which will conquer and transform the world. I turn again to grope in the void for new knowladge. I try to lift a torch in the surrounding blackness which will one day load to the land of eternal sunshine

Setiap kali aku menghulurkan kad bisnesku, begitu juga apabila memperkatakan mengenai latar belakang pendidikanku, nescaya orang akan berkata, 'lain benar bidangmu ini.'

Benar, sememangnya aku adalah seorang graduan Petroleum Geoscience daripada sebuah universiti yang mempunyai sekolah Petroleum dan Sains Bumi luar negara.



Lalu, aku diminta untuk meneruskan bicara, seolah-olah dipersoalkan kenapa aku bertukar ke satu bidang yang begitu asing daripada apa yang aku tuntut di gedung kampus dahulu. Mereka bertanya kenapa, juga bagaimana.

Pernah sekali, dalam satu temuduga dengan sebuah syarikat minyak, aku diduga dengan soalan, 'apa yang membuatkanmu bertukar bidang?'

Aku berfikir, sungguhpun sebelum ini persoalan ini pernah terlintas. Beberapa ketika kemudian, terlorong bisikan dalaman, 'apa yang membuatkanku belajar dahulu?'

Persoalan ini, bagiku, meninggalkan jejak perdebatan yang panjang. Apabila aku menyelak lembaran kenangan, ternyata niat dan matlamat aku menuntut ilmu di gedung universiti berubah-ubah, sebelum aku menemui satu ketetapan dengan yakin dan pasti.

Dahulu, saat terpinga-pinga menghadapi hakikat sebenar kehidupan seusai dunia persekolahan, aku tidak ketahuan memilih hala tuju kehidupan. Nah, sememangnya aku tahu, aku perlu menjadi hamba Allah dan khalifahnya di muka bumi ini. Namun aku tidak pasti apa perincian menjadi hamba, apatah lagi khalifah itu. Meskikah aku menjadi ulama' yang melilit serban di kepalaku dan menadah kitab dari surau ke surau? Atau meskikah aku menjadi seorang pejuang membawa senapang dan menembak mana-mana seteru yang menjadi dalang memusnahkan keamanan umat.

Ternyata pilihanku agak sempit. Namun, aku perlu menghadapkan perhatianku ke dunia sebenar. Aku ditawarkan dengan biaya siswa oleh sebuah syarikat petroleum nasional. Syaratnya, aku perlu menghabiskan sarjana muda dengan kelulusan di salah sebuah universiti luar negara. Natijahnya, aku akan ditawarkan satu jawatan, setanding dengan kelulusanku itu kelak. Gembiraku bukan kepalang. Pada firasatku, yang akan diberi tiket ke luar negara, bukan orang calang-calang. Aku terpilih, diberi peluang.

Dunia yang terbentang terlihat luas. Namun, setahunku berada di kolej persediaan, aku terasa mimpi indahku sudah berlalu. Aku berhadapan dengan insan yang tidak pernah terlintas pun di fikiranku sebelum ini. Mereka juga pelajar, sepertiku. Bahkan, mereka lebih pintar mengalahkanku. Aku bukan lagi pelajar yang selalu mendapat pujian guru. Sebaliknya, aku menjadi pelajar yang agak keliru. 'Kenapa aku diberi peluang belajar di sini?' tanyaku sendiri.

Lantas aku keluar mencari jawapan. Kuala Lumpur merupakan medan. Aku temui seorang yang kupuja, lantas berhasil bernaung di bawah ajarannya. Sungguh, pengajaran daripadanya, bukannya dikehendaki oleh penaja biayaku. Aku belajar kerana aku suka. Aku belajar kerana aku ingin mendapatkan sesuatu yang tiada padaku selama ini.

Syukur kepada Tuhan, aku berjaya melepasi ujian pertama dan malam itu, aku terbang jauh ke luar negara untuk pertama kalinya. Pesawat yang membawaku penuh debaran. Aku tinggalkan ajaran guru pertama, untuk melangsaikan janji sebuah gagasan yang sudah mengikatku. Aku telah menandatangani sebuah perjanjian - kau perlu menghabiskan ijazahmu, jika tidak kami akan menarik biayamu. Bagaimana aku bisa membahagi rasa, tentang dahaganya aku ingin mengetahui sesuatu, dan memenuhi tuntutan lembaga yang menajaku?

Tahun pertama di sana begitu menduga. Aku belajar erti hidup sendiri. Aku mengerti pentingnya dapur perlu berasap. Juga, mengenali bangsa yang tidak pernah aku terfikir untuk hidup di dalam budayanya. Di sinilah, aku kembali bersoal.

Mencari makna dan jawapan bukan mudah - kerana ia bermain dengan masa dan perasaan. Masa, selalu sahaja terasa seperti jam yang tidak bermaya. Perasaan bercampur-baur dan aku sendiri gagal memberikannya nama. Setiap kali aku termenung di dewan kuliah, memahami kepekatan loghat pensyarah, aku bertanya - kenapa aku belajar?

"Kita ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan," kata seorang teman seperjuangan. Dia lebih fasih membicarakan lintasan awal fikiranku. "Jika kita gagal, maka kita kena bayar balik seluruh biaya ini."

Setuju. Itu matlamat pertama aku belajar di sini. Tetapi, adakah ia dapat menjelaskan sesuatu tujuan dengan pasti?

Aku mencari sisi pandangan yang lain. Teman sekuliahku, yang berasal dari tanah tempatan ini, aku tanyakan dengan soalan - kenapa kamu mahu belajar mengkaji bumi?

"Aku mahu memenuhi semangat ingin tahuku!" jawabnya, bersemangat.

Nah, aku terpana pada pendiriannya. Bumi, kalau dihitung butir pasirnya, nescaya tidak akan habis. Begitu juga dengan hati yang mahu mengetahui segala-galanya. Sedangkan, tiga tahun adalah masa yang begitu singkat untuk karam dalam lautan pengetahuan yang tiada tebing, tiada pantai.

Aku kira, aku belum mempunyai semangat ingin tahu semarak itu. Aku masih lagi muda remaja untuk bergusti dengan falsafah, sedang sejak kecil lagi aku diberitahu dengan jelas - alam ini dicipta untuk apa. Melalui firman-firman Tuhan dan khabar sadiq insan pilihan, semangatku tidak terhala untuk memenuhi kepuasan ingin tahu itu. Aku lebih berselera untuk mengetahui, kenapa aku perlu belajar di sini. Bukan bagaimana aku belajar di sini.

Namun, keadaan tertanya-tanya itu tidak menghalangku untuk menuntut ilmu dengan minat. Aku belajar dan belajar. Aku mengambil peperiksaan dan aku mengulang kaji pelajaran sebelum mendudukinya. Kesungguhanku mencari makna tiga tahun pengajian - tidak merencatkanku untuk bersungguh berjaya dalam apa yang telah ditentukan padaku.

Hinggalah tahun akhir, saat akhir aku di sana. Aku temui permata berharga. Sebuah adi karya, seorang guru dan semusim pengalaman. Renungan yang mendalam, setelah bertahun aku bergelumang dengan persoalan kenapa, yang tidak bisa dijawab oleh pensyarah - akhirnya terjawab. Aku menangis keharuan. Dan, telah aku catatkannya di ruang ini, sejak ia berubah wajah dahulu.

Lantas, aku renungi tiga pasang mata penemuduga, yang mahu menduga kenapa aku datang ke temuduga ini.

"Ilmu bisa menjadikan insan itu siapa sahaja. Ilmu yang benar tentunya. Lulusanku sebagai seorang pengkaji bumi, tidak akan menghalangku untuk menjadi seorang pengarang dan pengulit buku. Pekerjaanku yang bukan bidangku ini, bahkan memaknakan lagi ijazah yang aku terima. Aku tahu bagaimana pengetahuan aturan bumi ini, untuk dimanfaatkan mereka yang tidak pernah tahu tentangnya. Dan, bukankah itu matlamat sebenar ilmu, memberi tahu kepada mereka yang tidak tahu?"

Lalu, aku berbicara tentang ilmuan Muslim terdahulu, yang menguasai bukan satu dua bidang. Mereka memanfaatkan segenap bidang untuk menjadi khazanah yang masih dirujuk hingga kini. Bahkan, sempat juga aku memperkatakan tentang mursyidun awalin - Aflatun dan Alastu, yang mungkin lebih mereka kenali. Dua sosok itu, bahkan menjadi ilham keilmuan zaman berzaman.

"Dan saya, di sini sedia berkhidmat. Di mana saya pergi, saya tetap belajar. Tiada kerugian buat orang yang tahu dirinya tidak tahu. Belajar, sampai mati!"

Akhirnya, aku menghabiskan temuduga syarikat minyak itu dengan satu kenyataan. "Buat masa sekarang, mungkin saya belum lagi berminat dengan jawatan yang ditawarkan. Terima kasih!" Lalu, aku memberikan kad bisnesku, menandakan aku begitu bangga dengan kehidupanku dan pencapaianku sekarang.

Saat aku melangkah meninggalkan dua menara itu, aku berasa puas. Aku tidak kalah dalam pertarungan itu. Sebaliknya, kalah menang pertarungan itu, aku sendiri yang tentukan.

Dunia ini begitu, kata majikanku. "Jika kita tidak menjadi penentu peraturannya, kita pula aku ditentukan oleh permainan orang." Aku menyusun langkah kembali. Sebuah pengembalian yang aku kira, tidak lagi akanku toleh kebelakang lagi.

Jika boleh, aku ingin berpesan. Buat seorang sahabat, yang memikirkan pilihan besar dalam kehidupan. Dunia ini luas. Rezeki Allah bukan sekadar dalam bentuk wang. Udara yang kita hirup, matahari yang bersinar dan insan yang mahu berbicara dengan kita - semua itu rahmat Allah di dunia yang belum putus.

Sememangnya ada laluan yang menghalang cita-cita yang kita impikan. Namun, selalu aku pesankan kepada adik-adikku, dan hari ini, ingatlah pesanku ini. "Walau setinggi mana tembok yang menghalang jalan cita-citamu itu, nescaya kau akan menembusinya, sungguhpun hari ini kau hanya tahu mencakar dindingnya sahaja."

Duhai Tuhan
Penentu segala kebaikan
Tentukanlah kebaikan
Dalam setiap pilihan

Tiada ulasan: