Kelab Peminat

Gaji


"Saya gusar, apa yang dibayar pada saya, tidak memadai."

"Kenapa pula?" tanyaku, pada suatu hari. "Bukankah gajimu melebihi apa yang kamu perlukan."

"Gaji bukan sekadar wang yang dibayar bulanan, kawan. Ia lebih daripada itu. Dan, yang lebih itu, aku rasa ia belum mencukupi bahkan tiada bagiku."

"Cuba jelaskan apa?" Saya tidak berpuas hati.

"Bayaran bulanan - ya memang perlu. Ia adalah upah kepada khidmat dan titik peluh yang kita sumbangkan kepada syarikat. Namun, manusia yang berkerja, yakni manusia yang sihat akal dan jiwanya, bukan mengharapkan sekadar wang dan upah. Mereka berpagi-pagi merempuhi kesesakan lalu-lintas dan pulang lewat ke rumah untuk melaksanakan amanah. Anak isteri ditinggalkan. Kamu ingat, melakukan pengorbanan itu, wang memadai sebagai gantinya?

"Kalau begitu, apa yang boleh memuaskan hatimu?" tanyaku.

"Bukan sahaja hatiku, bahkan hati semua orang, termasuk hatimu juga, kawan. Penghargaan berupa motivasi dan kepercayaan adalah gaji yang tidak dapat diukur dengan nilai ringgit atau dollar. Kita akan lebih bersemangat jika sesuatu tugas yang kita laksanakan itu diterima dan dihargai oleh majikan. Penerimaan dan penghargaan itu sudah tentu berbentuk manusiawi, yang jauh lebih bernilai dari wang ringgit. Ucapan 'terima kasih' adalah satu contoh yang mudah."

"Dan, kau mengungkap semua ini kerana kamu tidak berhasil mendapatkannya?"

"Bahkan tidak, kawan. Aku mengungkapkan ini sekadar perkongsian. Yang berkerja itu manusia. Kau adalah manusia. Kau perlu sedar yang kau adalah manusia yang berkerja. Manusia itu mempunyai perasaan dan jiwa. Perasaan dan jiwa yang rosak dan tercalar tidak akan menghasilkan tangan yang cekap dan akal yang pintar.

"Selama itu, jurang antara kita dan majikan akan lebih besar. Dan, selamanya kita berasa yang kita perlukan tuan untuk memberi kita lebih wang bagi menghapuskan keputusasaan kita. Bukan untuk bersyukur dengan apa yang ada."

Tiada ulasan: