Antara unsur alam yang signifikan di benua Australia adalah langitnya, terutamanya jika mendongakkan kepala dari tanah di bahagian selatan. Langitnya biru amat, biru lazuardi, nilam cair atau umpama biru laut yang jernih. Awan juga jarang-jarang kelihatan di atas sana, terutamanya waktu musim panas. Matahari memancar terik, menguasai langit lebih dari 12 jam waktu sebegini. Angin yang bertiup kadang-kala kasar, kadang-kala lembut, juga bersama angin, ada hawa yang dibawanya. Selalunya, angin di sini sedap sungguh, kerana angin dingin ini berpunca dari benua Antartika, benua sejuk yang terletak di selatan Australia. Namun, ada juga masanya apabila angin datang bersama suhu yang panas. Ia umpama bahang api yang keluar apabila pintu ketuhar dibuka. Apabila ia menyerbu muka, terasa wajah seperti dipanggang. Udara di sini juga kering, tidak selembap Malaysia. Jadi, walaupun panas, badan jarang sekali gelisah kerana berpeluh.
Tanah Australia juga mempunyai ciri tersendiri. Biasanya, warnanya kuning-merah pudar dan kusam, tidak terlalu menyerlah atau terlalu gelap. Jika tanah atau batu merah yang terbentang, ia kelihatan seolah-olah warnanya sudah dilunturkan. Jika tanah itu ditutup tumbuhan, biasanya di kawasan peladangan, tanah di sini ditanam dengan gandum, yang menjadikan tanah kuning kelihatan terbentang sejauh mata memandang. Kalau tanah itu tidak diusahakan untuk pertanian, pokok-pokok liar seperti rumput gurun, pokok-pokok renek dari keluarga shrub dan juga pokok-pokok euclyptus yang rendang akan tumbuh di alur-alur yang menampung air. Pokok-pokok ini juga jarang sekali sehijau pokok-pokok di Malaysia. Warna batangnya coklat cair dan warna daunnya juga hijau kekelabuan. Pokok euclyptus, pokok yang melata tumbuh di bumi Australia, merupakan pokok rasmi negara ini. Ia mirip pokok tualang, di mana kulit batangnya licin dan berdaun panjang dan tirus dan sering ditemui di kawasan yang berair atau alur sungai yang menjadi laluan hujan.
Saya masih ingat, ketika kami berpusing-pusing di Craigieburn bersama Syeikh Omar dan Wassim, pemandangan indah ini masih melekat di kepala. Memandangan Craigieburn terletak agak jauh dari kesibukan kota Melbourne, jadi, suasana kawasan luar bandar Australia sangat terasa, terutamanya unsur langit dan tanahnya. Nun jauh di bawah bukit tempat kereta kami berhenti, kelihatan bangunan-bangunan tinggi di bandar Melbourne. Puncak bukit memudahkan kami memandangan segala hasil binaan tangan-tangan manusia.
Saya yang berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri, membiarkan angin dingin masuk dan mengelus muka, sementara Wassim dan Syeikh Omar sibuk mencari tempat di dalam peta. Angin yang bertiup kadang-kala menerpa laju menerbangkan ekor serban, kadang-kala membelai lembut, melukis ombak pada jubah putih.
Menjelang maghrib, kami tiba di masjid, yang asalnya gereja, namun telah dibeli oleh penduduk tempatan. Di barat, suria melabuhkan diri di balik ufuk gandum, menjadikan langit bertukar warna merah jingga keunguan. Bangunan kayu yang kecil ini kelihatan agak berusia, namun masih kukuh untuk menampung umat manusia yang mahu menyembah Allah yang Satu. Sebelum melangkah masuk ke dalam masjid, saya melihat sekali lagi ke arah langit dan tanah benua Australia.
"Hidayah-Mu Allah, amat berharga, apatah lagi di bumi ini." Bisik hati saya.
Sungguh manis pemandangan dari situ dan masih terasa kemanisannya sampai ke hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan