Kelab Peminat

Keterasingan

Setelah beberapa minggu, berulang-alik dari Pasar Seni ke Wangsa Maju, baru hari ini saya rasa nak berkongsi bicara mengenai LRT. Perjalanan saya setiap pagi dan setiap petang dilatari pelbagai ragam manusia, pelbagai macam kejadian, pelbagai warna kehidupan. Ya, kehidupan di kota yang bercampur-baur antara suka, duka, sedih, gembira, segar, letih, seronok dan menjemukan.

Awal-awal dahulu, saya begitu bersemangat, berlari-lari mengejar tren dan berdiri atau duduk di tempat yang paling selesa. Tambahan, sejak saya menggunakan kad Rapid Pass Integrasi, saya berasa sangat seronok apabila dapat memotong barisan panjang orang menjolok tiket untuk ke platform menunggu. Dengan hanya menunjukkannya pada polis bantuan di pagar pelepasan, saya dapat menjimatkan sebahagian besar masa perjalanan saya. Sungguhpun saya dapat mendahului barisan, saya masih tetap berjalan pantas dan berlari-lari mendaki atau menuruni tangga. Akhir-akhir ini, saya lebih selesa berjalan lambat-lambat. Risau juga, apabila memikirkan gejala ini mula berlaku. Apakah penyakit malas sudah menjangkit kaki saya.

Biasanya, waktu pagi, kebanyakan (boleh kata semua) penumpang kelihatan segar bugar, penuh bersemangat dan bermuka ceria menaiki tren. Walaupun pagi-pagi lagi kena berhimpit, saya belum lagi mengesani wajah-wajah tercebik kerana kekurangan ruang. Biasanya, pagi-pagi begini, dalam keadaan yang sempit, ada orang yang membaca akhbar, meladeni telefon bimbit dan ada juga yang boleh membaca novel. Saya memerhati di balik pantulan cermin, memerhati gelagat manusia yang terpancar sebagai imej apabila tren melalui lorong bawah tanah, antara Masjid Jamek dan Ampang Park. Kalau ada mata yang bertentang, cepat-cepat saya larikan pandangan, berpura-pura melihat jam dan menekuni lampu putih di luar yang kejar-mengejar. Sebenarnya, seronok juga memerhatikan gelagat orang.

Ajaibnya, sungguhpun tren ini disendati oleh puluhan orang, suasana di dalamnya begitu senyap sekali. Susah hendak mendapatkan orang yang bercakap-cakap, melainkan mereka yang bercakap melalui telefon. Namun, ada sesekali saya mendengar dua pasangan India yang berbual dalam bahasa Tamil, itupun sangat jarang. Apabila tren melalui jalan bawah tanah, bunyi tayar besi yang bergeser dengan landasan seolah bunyi wanita menjerit ternampak hantu. Tambahan, suasana gelap di bawah tanah, kesejukan pendingin hawa yang dipasang kuat dan suasana sepi di dalam himpitan orang ramai, membuat saya saya berasa terasing. Terasing di dalam himpunan puluhan orang, yang sama kerakyatan dan yang berpakaian lebih kurang sama seperti saya. Entah, apakah saya seorang merasai perasaan ini atau penumpang yang lain turut merasakan perasaan yang sama?

Saya berfikir, kalau bukan sunyi begini, bagaimana pula jadinya? Apakah saya mahu seluruh tren ini menjadi riuh-rendah seperti berlaku rusuhan? Sudah tentu kedamaian pagi itu akan tercemar dan sudah pasti para penumpang memulakan hari kerja dengan wajah yang masam.

Apa-apapun, itu adalah keajaiban waktu pagi di dalam tren LRT.

Waktu petang pula, keadaan berubah. Masing-masing letih, termasuk saya. Tambahan, keadaan sendat dan tiada udara segar menambah lagi tekanan yang dialami. Seperti biasa, susah hendak mendapatkan senyuman di celah-celah orang yang bergayutan pada palang, atau yang terhimpit rapat pada pintu dan dinding gerabak tren. Tiada orang yang membaca akhbar, cuma tinggal beberapa kerat orang yang masih mampu membaca novel. Masing-masing dengan earphone masing-masing, atau meladeni SMS yang tak putus-putus masuk. Apabila melalui terowong di antara stesen Ampang Park ke Masjid Jamek, kedengaran jeritan wanita gila dalam suasana suram dan dingin.

Cuma, ada sekali itu, ada satu dialog yang tak dapat saya lupakan. Dua orang wanita, barangkali baru pulang dari kerja, berdiri betul-betul di hadapan saya. Mereka mesra berbual, seolah tidak lelah setelah seharian berkerja. Barangkali mereka ini budak-budak pejabat. Inti perbincangan mereka adalah mengenai boyfriend. Salah seorangnya menceritakan keterujaan dirinya apabila 'si dia' menghadiahkan sesuatu, dan saya tak ingat entah apa. Rakannya pula, menggalakkan si girlfriend ini supaya keluar ber-dating hujung minggu ini. Ke mana lagi cadangan beliau, kalau bukan ke Putrajaya. Saya, walaupun pura-pura menekuni dinding hitam, memasang telinga, mendengar apa plan yang mereka bincangkan.

"You ajaklah dia keluar ke Putrajaya."

"Ada apa dekat Putrajaya?"

"Ala, you takkan tak tahu, bangunan sana cantik-cantik."

"Oo ye ke?"

"Iya, bangunan cantik-cantik. Kalau you nak ajak dia keluar, ajaklah dia pergi ke Masjid Terapung."

Saya berfikir-fikir, ada ke tak ada masjid yang dinamakan masjid terapung. Yang ada cuma Masjid Putra berdekatan dengan Pejabat Perdana Menteri, ataupun Masjid Sultan Mizan atau lebih dikenali dengan nama Masjid Besi. Kedua-duanya terapung di atas tasik. Mana satu yang perempuan itu maksudkan?

"Ala, masjid terapung tu. Apa nama dia? Aha, Masjid Putra."

Oho, Masjid Putra rupanya. Tak pernah pun orang Putrajaya panggil masjid terapung.

Rakannya menyambung, "You ajaklah dia keluar ke situ. Jalan-jalanlah dekat masjid. Ala, kan baru you nak keluar-keluar ni. Bila ajak dia ke situ, barulah ada feeling."

Feeling apa? Persoalan itu bertalu-talu dalam hati saya. Saya benar-benar nak tahu. Susah nak dapat feeling-feeling hati ini di masjid.

Sambung rakannya yang tak hiraukan sempit dan jeritan wanita tersampuk hantu, "Baru Islamik sikit kalau ajak keluar ke sana. Ajaklah dia sembahyang sekali. Hah, baru Islam sikit percintaan kamu."

Saya mahu gelak besar, tetapi hanya hati saya yang terguling-guling ketawa. Kali terakhir saya ketawa bagai naik sawan adalah sewaktu di sekolah (gara-gara Hadi). Saya tak mahu sawan gelak di tengah-tengah orang ramai. Mulut saya tertahan-tahan senyum. Saya kira, dalam keadaan yang rimas itu, hanya saya seorang yang berasa suka.

"Yalah, betul juga kata kamu," kata girlfriend itu tadi. Dia nampaknya menerima sahaja usul kawannnya itu.

Saya tak pasti, apa yang melucukan. Namun, plan itu kedengaran menarik juga, tambahan mereka perbincangan dilakukan dengan teliti, di hadapan saya, warga Putrajaya, di hadapan orang yang berhimpit-himpit di dalam tren LRT. Namun, saya hanya sempat mendengar setengah daripada keseluruhan perancangan mereka. Mereka turun di Masjid Jamek, sedangkan saya akan turun di stesen berikutnya, Pasar Seni. Di dalam tren, seteleh mereka tiada lagi di hadapan saya, saya tersengih-sengih seorang diri.

Namun, di dalam jiwa, saya tetap rasa terasing. Saya tak dapat mencampuri urusan perancangan itu. Saya tidak mengenali mereka, dan sudah tentu, tiada siapa yang mengenali saya di dalam tren. Saya teringin juga untuk mengutarakan cadangan. Namun, apakah daya, suasana tak mengizinkan. Maka diamlah saya di situ, terasing, di dalam tren, di dalam kedinginan, kesuraman dan kebingitan jeritan wanita histeria.

1 ulasan:

ASaL berkata...

warga kota dan tren. satu identiti yang tidak boleh dipisahkan. dan jeritan wanita histeria dalam terowong, adalah bermakna, kita dapat melihat refleksi diri dan orang lain dari cermin. :)