Kelab Peminat

Kuyup

Sewaktu dalam bas dan kuyup hujan (dan juga marah), saya terilham untuk mengarang rangkap ini:

Kuyup
Puas sudahku menunggu,
Detik berlalu satu persatu.

Hari ini, seperti juga dahulu,
Rupanya inilah ibu negaraku.

Berlaku jujur serentak mendungu,
Berbaik hati diperdaya, ditipu.

Ah, masing-masing pentingkan diri!
Mereka berkata sabar, lagi dan lagi

Mereka mengetawakan, berlepas tangan
Terbunuh jiwaku tertikam perasaan.

Kalau masih menebal fikiran hutan,
Jangan tanyaku kenapa parang di tangan.

Di dalam bas Nadi Putra, Putrajaya
30 Jun 2010

Warkah Cinta Tsalis (3)


Assalamualaikum,

Aduhai, betapa kalau kita perhati, kejadian kita ini banyak bukti kebesaran Ilahi.

Manusia, jasmani terbina sebahagian besarnya menghimpun air. Fitrah air adalah mengalir. Begitulah juga rohani manusia diukir, mahu mengikut arus yang mengalir. Kalau diempang segala alir, takut-takut akan berlaku bencana banjir.

Sudah kita bentangkan, perihal agama ini disalahfahamkan. Dikata orang kebanyakan, kalau mahu teguh iman, hidup ini penuh pantang dan larangan. Mereka mempersoalkan, jadi, dalam kehidupan ini, apa yang tinggal untuk dilakukan? Agama ini, apakah semata-mata menyekat kebebasan perbuatan?

Aduhai, kalaulah mereka tahu, hikmah disebalik patuh dan setuju, untuk agama dari Tuhan yang Satu.

Bukanlah namanya sejahtera itu memaksakan peraturan, menghukum segala kesalahan dan mengatakan ke neraka sahaja sebagai balasan kesalahan. Bukanlah namanya akhlak agama ikutan, jika tiada hikmah di balik suruhan, pahala beriman di akhir zaman dan fadhilat yang menanti di balik setiap amalan. Bukanlah faham iman dan ihsan, andai semua perkara mahu dibidaahkan, dituduh kesesatan dan akhirnya menimbulkan fitnah dan kekeliruan.

Maksud kita yang hakir, agama yang mulia bukan tujuannya mengempang kesemua alir, tetapi menyempurnakan fitrah air yang mengalir.

Perintah dan larang diturunkan Tuhan, untuk memaknakan kehidupan. Kalau ada perbuatan yang salah aliran, takut-takut tidak kembali sungai ke lautan, dan akan terganggu turunnya hujan. Akibatnya, pincanglah kitaran dalam alam kehidupan.

Bukankah apabila betul tempat setiap kedudukan, akan tercapailah keadilan. Sama juga seperti jasmani insan, apabila dipelihara oleh apa yang disyariatkan, ia umpama memelihara hayat dan kesihatan. Manis gula memang menyelerakan, namun tabib selalu menasihatkan – manis-manisan, hendaklah dikurangkan. Adapun sayuran dan ulam-ulaman tawar dan pahit untuk dimakan, namun darinya, terkandung seribu zat yang baik untuk kesihatan. Malah, cerdas fikiran dan murni perasaan, apabila daging berdarah diambil berpatutan, tidak dilebih-lebihkan, apabila berterusan diambil dalam makanan. Bukannya kita melarang untuk menambah lazat dalam hidangan, tetapi, dalam pemakanan, ada yang dianjurkan, ada yang dibataskan. Supaya terpelihara kesihatan sepanjang kehidupan, agar tidak menyesal di hari kemudian. Misalan ini, kita sampaikan, kerana dalam bahagia, natijah utama adalah sihat tubuh badan. Jikalau ada kesihatan, senanglah melakukan perbuatan untuk dijadikan amalan, persembahan kepada Tuhan.

Aduhai, kalaulah mereka faham, beramal agama bukanlah sepahit jadam. Dalam beragama, ada kenikmatan yang mendalam, tak dapat diungkap oleh bahasa, warkah dan kalam.

Seperkara lagi, hakir juga ingin berkongsi fikiran, dalam beragama akan tercapailah sebenar-benarnya kemerdekaan. Bila ada peraturan, barulah tersusun segalanya mengikut aturan. Bila ada anjuran, barulah insan tahu apa yang perlu dilakukan. Bila ada larangan, barulah insan tahu, apa yang bahaya pada badan dan kerohanian. Ini kita misalkan, setiap perkara itu, mestilah ada maksud dan pengertian. Yakni, erti merdekanya kehidupan adalah apabila bebas melakukan perbuatan yang mencerminkan martabat seorang insan. Bukannya membebaskan diri dari syariat Tuhan, untuk mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Sungguh kita hairan, mengapa orang selalu mengungkapkan, dalam agama tiada kebebasan. Hakir ingin menanyakan, dari apa yang ingin dibebaskan? Kenapa ingin membebaskan diri dari agama yang menjadi tuntutan? Sedangkan, apabila hanya mengikut perasaan, akan berantakanlah sebuah kehidupan, asbab tak semua perkara diketahui insan, untuk tepat membuat setiap caturan. Sungguhpun keseorangan atau berteman, sekalipun berwatan - setiap satunya ditunjukkan panduan, supaya benar berada di atas landasan, untuk sampai ke syurga idaman, tempat yang dijanjikan keredhaan Tuhan.

Ini sahajalah ingin kita kongsikan, supaya setiap kata dapat dimanfaatkan. Allah jualah yang memiliki segala pengetahuan. Dialah yang memberi hidayah dan kesedaran. Kita ini, hanya makhluk Malikul-Manan, cuma asbab untuk pencerahan.

Sebelum kita melangkah meninggalkan, elok juga kita membentang fikiran. Mengikut kata cendekiawan, cinta itu adalah menyukai sesuatu yang menyenangkan. Sedang benci, merupakan kata lawan, yakni, melarikan diri daripada sesuatu yang tidak menyenangkan. Dengan kecantikan pemandangan, pada mata, terlihatlah kemesraan. Dengan sedap bunyi-bunyian, pada telinga, terasalah keserasian. Dengan harum-haruman, pada hidung, terhiruplah kenyamanan.

Bagaimana pula dengan mata, telinga dan hidung milik hati dan perasaan? Yang tersirat, lagi menjadi rahsia di dalam kerahsiaan? Apakah yang disukai kejiwaan, yang tersimpan di dalam diri setiap insan?

InsyaAllah di masa depan, akan kita yang asfal ceritakan, tentang percintaan, setelah kita bicarakan, kenapa hidup perlukan berpanduan. Kata sarjana, supaya segar setiap amalan, apabila dibuat dengan penuh perasaan.

Sekian.

Wasalam.

Warkah Cinta Tsani (2)

Assalamualaikum,

Eloklah kita memetik soalan kita dahulu, saat kita membentang fikiran ilmu.

“Nikmat bersama suami isteri adalah nikmat tertinggi. Begitu juga tersentuh kulit dengan api, yakni, terasa seksa yang tak terperi. Sebab itulah dicipta syurga dengan bidadari dan neraka yang dibuat dari api. Jadi, di dunia lagi, Tuhan tunjuki, yang mana menuju ke bahagia abadi. Namun, hakir tinggalkan dengan teka-teki, apakah bahagia itu mempunyai erti?”

Biarlah kita bentangkan, apa lagi huraian persoalan.

Bahagia di dunia, bukan sekadar saat berdua sama, lelaki mahupun perempuan. Kita minta untuk memikirkan, peri binatang yang sama kelakuan, bersenggama tanpa ada batasan – apakah itu bahagia yang kita jadikan cerminan? Nah, kata seorang cendekiawan, masalah makna kebahagiaan, perlu lebih dihuraikan dan diteliti dengan kajian.

Pernah kita yang hakir mendengarkan, bahagia itu mengikut pengertian sendiri insan. Ada yang bahagia kerana harta bertimbunan, ada yang bahagia kerana perempuan rupawan. Ada yang bahagia kerana menjadi jaguh mengalahkan lawan, ada yang bahagia kerana licik menjatuhkan kawan. Sehingga dikata, bahagia itu tak mengandungi pengertian, bergantung pada perasaan insan. Bergantung pada nasib, suasana dan keadaan.

Maka, jika begitulah maksud bahagia yang menjadi persetujuan, apakah nanti, balasan syurga bergantung pada pendapat dan kepuasaan perasaan, untuk setiap manusia yang merupakan makhluk Tuhan? Apakah ini inti pemahaman, setiap manusia yang mengikut nabi akhir zaman, yang mengaku beriman dan yang bersikap ihsan?

Kata seorang teman, ada sebab ajaran Nabi untuk jadi ikutan. Kata agamawan, dengan mengikut sunnah sahaja akan mendapat kejayaan berkekalan. Dalam beragama, ada anjuran dan ada larangan. Digalak, akan insan, mengetahui kepentingan sesuatu amalan, ihsan dalam kelakuan dan ikhlas dalam setiap perbuatan. Dalam kehidupan, elok insan itu apabila berada di titik pertengahan. Bukan dibiar menurut syaitan, mengikut nafsu dan melampau batasan.

Biar kita ini, hamba Malikul Manan, perikan sebuah perumpaan. Dalam perjalanan menaiki kenderaan, ada simpang, ada belokan. Ada juga kenderaan kawan di belakang dan juga di depan. Kalau dilanggar petunjuk dan peraturan di atas jalan, apakah akan selamat sebuah pengembaraan? Bayangkan pula, jika semua pengguna jalan, patuh pada peraturan - bukankah perjalanan akan menjadi lebih tenteram dan aman?

Nah itulah dia kehidupan beragama yang selalu dijadikan misalan.

Jadi, ukuran kebahagiaan, mengikut kata cendekiawan, adalah sejauh mana diikut peraturan yang telah disyariatkan. Bahagia itu apabila benar tindakan dan keputusan insan - pada sesuatu tempat, masa dan keadaan. Inilah dia dinamakan keadilan. Dan apabila adil, sampailah ia pada kebenaran. Tiada lain petunjuk keadilan, melainkan agama Rasul akhir zaman. Kerana itulah, kita bentangkan, dengan mengikut agama, yang maksudnya kesejahteraan, akan mengecap kebahagiaan zaman-berzaman.

Namun, perasaan kita dilanda kegusaran, jika setuju agama itu menjadi panduan kehidupan, takut ada khilaf pemahaman dan silap pelaksanaan. Asbab, agama sekarang difahamkan sebagai tindakan sekat-sekatan, halang-halangan dan pantang larangan. Risau hati kita, dengan kata yang sering kedengaran, “Dalam agama, itu tak boleh, ini tak boleh, jadi apa yang dibolehkan?”

Inilah, insan yang hakir, mahu membentangkan tambahan fikir. Manusia itu umpama air. Lebih separuh badannya adalah cecair. Begitulah juga bagaimana jiwanya diukir. Dan fitrah air itu adalah mengalir. Jika kiri dan kanan, diempang sampai tiada alir, sudah pasti akan timbul bencana banjir.

Kita tahu agama kita bukan begitu. Bukan hanya tahu membendung ini dan itu. Bukan hanya mengarah, begini dan begitu.

Agama kita kunci bahagia.

Nantilah. Akan kita perikan dalam warkah seterusnya.

Sekian.

Wasalam.

Warkah Cinta Ahad (1)

Assalamualaikum,

Awalul kalam, mahu sungguh kita mengukir bicara di atas warkah, membentangkan fikir kita buat tuan yang dilimpah berkah.

Atas asbab fikir, tindakan terzahir. Denyut fikir yang seni, menggerakkan ribuan tenaga yang jasmani.

Besar pengaruh fikir, sampai batu yang tenggelam boleh timbul di atas air.

Kata ahli hikmah, cahaya tidak akan masuk ke kamar jiwa, andai tiada tangan membuka jendela.

Arakian, andai akal tidak mahu disusahkan, masih berasa diri ini hingusan, masakan akan mendapat kehebatan perasaan, sedangkan sebelum mula gerak kaki dan tangan, adalah bermula dari getus dan denyut fikiran. Jadi, jika mahu hebat tindakan, mahulah kita berjuang dan berkorban ibarat sang pahlawan, yang mahu menakluki tujuh benua, tujuh lautan.

Ingin sekali kita yang fakir memetik bicara ahli ilmu, moga jelas bicara yang dituju.

“Insan itu dikerah dengan dua macam untuk mengejar bahagia abadi. Satu, dikerah dengan kenikmatan tertinggi apabila bersatu suami dan isteri. Dua, dikerah dengan seksa tak terperi, saat api menyentuh diri. Apabila mengerti betapa sakitnya dibakar api dan tahu lazatnya saling besedekah suami isteri, insan akan berusaha sepenuh hati, cuba menghindari dan cuba mengecapi. Sebab itulah, untuk kehidupan abadi, diciptakan syurga dengan bidadari dan neraka yang penuh api. Di dunia lagi, keduanya Tuhan tunjuki, supaya tahu memilih, untuk kebahagiaan nan abadi.”

Maka, turunlah ajaran Nabi, memberi petunjuk mana yang perlu dilunjuri dan mana yang perlu dibatasi. Inti agama, membawa insan pada fitrah manusiawi, bukan pada fitrah haiwani. Dan, dengan fitrah ini, akan sampai jalan menuju redha Ilahi, seperti yang telah disunnahkan baginda Nabi.

Kebahagiaan, apakah ia mempunyai erti?

Kita yang hakir, sebab itulah membentangkan fikir.

Orang yang berfikir itu, ada empat macam lincah. Yakni, pandai mengaju masalah, pandai mentakrif masalah, pandai menghurai masalah dan pandai juga ia menyelasaikan masalah.

Jadi, ingin sekali kita beri peluang tuan untuk merenungkan, minta pendapat buah fikiran. Nanti, akan kita sambung semula karangan. Moga-moga, dengan kata yang arif lagi budiman, akan jelas langkah dan jalan, menuju ke tujuan yang diimpi-impikan.

Izinkan kita berundur dahulu, menikmati malam yang penuh syahdu.

Wasalam

Suluk

"Ini adalah suluk," kata Syeikh saat saya bertanya apa itu suluk. Saat itu, pagi masih bening. Matahari belum pun segalah memanjat langit. Seusai subuh, kami menghabiskan masa bersendirian, memegang tasbih, mencuit-cuit setiap butirnya dengan ibu jari dan telunjuk. Tasbih kayu koka mengitar pantas dan tanpa saya sedari, hari mulai cerah di luar. Sinar matahari menembusi tingkap, dan menimpa kami yang berada di Masjid yang dibina oleh penduduk Turki di Coolaroo, Melbourne.

Itu sahaja jawapan Syeikh, saat saya bertanya. Ringkas. Namun persoalan saya, tidak seringkas jawapan yang diutarakan.

Saya kuburkan pertanyaan lanjut. Menghormati sang Syeikh yang juga menguliti tasbih di atas kerusi. Hari makin cerah.

Sudah setengah tahun saya meninggalkan status petualang. Kini saya tinggal di rumah, bersama orang tua dan adik-beradik. Benar, dalam dunia ini, auranya lain. Jika ingin mengenali diri sendiri, maka dunia petualang merupakan dunia yang sesuai. Jika ingin mengetahui nilai kasih sayang, maka dunia keluarga adalah dunia yang amat serasi. Kedua-duanya mesra pada diri - insan. Bergantung pada kita untuk memilih mana yang lebih prioriti.

Soalan yang saya timbulkan buat Syeikh, kembali menjelma. Suluk, dalam erti kata yang saya fahami, adalah mengasingkan diri, untuk merapati Tuhan. Sebab itulah, dalam kesegaran zikir pagi di Coolaroo tempoh hari, saya teringin untuk meneroka maknanya. Namun, Syeikh hanya berkata, "ini adalah suluk." Saya tak pasti apakah yang beliau maksudkan. Adakah dalam zikir pagi itu? Adakah beliau maksudkan pengembaraan saya itu?

Pagi saat saya mengutarakan soalan itu, kebanyakan dari kami melakukan amal sendirian. Kami dalam satu jemaah sebenarnya, dan biasanya kami melakukan amal dalam jemaah juga. Dan, selang-seli masa, amir atau ketua jemaah akan menetapkan masa infiradhi, masa sendiri untuk menguruskan diri. Biasanya, pagi selepas subuh begini, atau selepas waktu zuhur. Saya, satu-satunya orang Malaysia dalam satu jemaah rencam status dan bangsa ini. Ada dari Palestin, Turki, India, Pakistan dan kacuk Scottish-Mesir. Ada yang pelajar, doktor, pensyarah dan pemandu teksi. Tiada apa yang menyatukan kami semua, melainkan fikir atas iman dan amal. Fikir dan risau atas umat.

Saya kira, apabila setiap orang yang menanam 'fikir iman dan amal' ini, natijahnya akan terjelma dan terasa. Dalam suasana ini, jiwa akan mudah terbuka. Serasa-rasa, mahu sahaja melakukan amalan dan kebaikan, sungguhpun tidak dipaksa atau diarahkan. Bukankah inti dakwah adalah 'mengajak kepada kebaikan'? Dan ada satu petikan hikmah yang mengatakan - kegelapan yakni kejahatan, tidak akan sirna selagi mana kebaikan tidak datang menyinarkan cahayanya.

Suluk membawa makna pengasingan. Saya dapati, dalam kehidupan seharian, kita dipengaruhi oleh bermacam-macam ajakan. Ajakan itulah akan mempengaruhi fikiran kita. Kehidupan seharian, terutamanya saya, banyak melibatkan urusan dunia. Maka, di kiri dan kanan, depan dan juga belakang, saya diajak untuk memikirkan tentang dunia. Di hadapan saya ada televisyen dan komputer, di kiri dan kanan saya ada bualan mengenai turun naik ekonomi, mengenai siapa menang atau kalah dalam Piala Dunia dan bermacam-macam lagi. Sebaik sahaja saya membuka mata, saya akan melihat suasana yang penuh dengan iklan yang mengajak saya mengeluarkan wang untuk membeli-belah. Setiap satunya adalah ajakan. Dan ajakan itu mempengaruhi fikiran saya untuk memikirkannya.

Saya, yang bukan ulama' dan bukan 'abid, sudah semestinya suasana seputar saya adalah ajakan untuk dunia. Dan, seperti kita tahu, ajakan yang lebih baik adalah ajakan untuk akhirat, ajakan untuk iman dan amal. Dalam dunia saya, boleh dikatakan hanya satu peratus sahaja ajakan untuk saya memikirkan tentang iman dan amal, akhirat yang akan kekal abadi. Benar, cuma satu peratus.

Bolehkah dengan hanya satu peratus itu, saya dapat menghidupkan fikiran saya tentang hari akhirat, tentang hari pembalasan dosa dan pahala, apatah lagi untuk berzikir dan memikirkan kebesaran Allah sepanjang hari, setiap masa? Saya bersoal-soal pada diri saya sendiri. Menghitung hari-hari yang berlalu, yang deras meninggalkan masa lalu. Setiap saat yang berdetik, kata saya sendiri, tidak akan dapat diambil kembali.

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk 'duduk seketika, untuk memikirkan tentang iman.' Dan saya kira, saya 'didudukkan' Allah sepanjang pengembaraan dua puluh hari saya itu.

Suluk bererti pengasingan, sekali lagi saya memberitahu diri. Benar kata Syeikh, 'ini adalah suluk.' Itupun, setelah sekian lama, barulah saya mengerti apa yang dimaksudkannya itu.

Maksud beliau adalah dunia dan suasana yang sedang saya lalui pagi itu dan juga sepanjang pengembaraan saya bersama jemaah. Jujur saya katakan, sepanjang-panjang pengembaraan itu, jarang-jarang kami memperkatakan tentang dunia kami, tentang kerjaya dan tentang kehidupan seharian kami di luar pengembaraan. Saban hari, kami digalakkan untuk memperkatakan tentang iman, tentang amal, tentang akhirat. Ajakan-ajakan sebelum ini telah bertukar. Fikiran juga begitu, meresap perlahan-lahan untuk berdenyut memikirkan tentang apa yang ada dalam jiwa, apa yang akan dibawa ke sana nanti. Kami juga diajak untuk memikirkan tentang masalah umat, risau dan gusar mengenai tanggangjawab kami, yakni untuk mengajak insan Islam lain untuk kembali menghidupkan sunnah, menghidupkan agama.

Di hadapan kami, dibentangkan amalan-amalan Nabi, sepanjang masa, dua puluh empat jam. Begitu juga dengan muzakarah, di mana kami berbincang dan saling mengajar dan belajar, tentang Al-Quran dan Hadith dengan mereka yang lebih alim. Dan, kami sudah semestinya diberitahu tentang setiap amal yang dilakukan itu, sudah pasti akan dinilai dan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Itulah dunia dalam pengembaraan saya, sungguhpun amat sebentar, namun kesannya terasa sehingga ke hari ini.

Dan, kesan yang mendalam itulah akan dibawa kembali ke kehidupan seharian, setelah beberapa hari hidup dalam keterasingan. Dan, dengan semangat baru itu, fikiran akan sudah dapat membezakan yang mana ajakan yang baik, yang mana ajakan yang merosakkan. Mengenali yang mana yang hitam, yang mana yang putih. Yang mana yang kaca, yang mana yang manikam. Itu kata-kata guru saya. Saya suka sekali berkongsi dengan tuan.

Sungguh, suluk itu tidak lama. Suluk itu, yang saya fahami, untuk mengorbankan masa seketika, 'bersendirian' dari dunia seharian. Seperti insan yang kesedihan dek kehilangan sesuatu yang disayangi, dia mahu bersendiri – memikirkan sebentar kenangan saat bersama dengan apa yang disayanginya. Namun, dia tahu, dia tidak akan lama begitu. Sebentar lagi, dia akan kembali ke dunia realiti, dengan pengertian bahawa - yang kehilangan itu perlu dicari atau diganti - dan dia akan hidup dengan berani, sekali lagi, meskipun telah diuji berkali-kali.

Syeikh, saya kira, perjalanan saya untuk memahami pengertian suluk dengan lebih mendalam, baru bermula.

Moga Allah mudah memberi lorongan, untuk kita, bersendirian, bersuluk kerana-Nya. InsyaAllah.

Diberitahu

Saya diberitahu, jangan bertindak mengikut rasa.

Lihat apa sudah jadi sekarang.

Tindakan yang berdasarkan rasa, baik rasa marah, benci atau dendam - tidak akan kekal lama. Bila marah, benci atau dendam itu diganti dengan rasa gembira, seronok atau lega; kita akan melupakan apa yang telah terjadi dan matlamat yang ingin kita tujui.

Itulah hikmah yang saya ketahui, itupun setelah diberitahu.

Kemudian, saya bertanya, bagaimana kita boleh tahu, tindakan kita itu, hanya berdasarkan rasa?

"Mudah sahaja. Kau kena tahu, apa punca kau berkumpul dan berteriak, bertindak dan bergerak. Adakah ia mengikut rasa?"

"Adakah didorong belas? Apakah ingin mengharap balas?"

"Atau, kau dikongkong untuk bertindak kerana satu isu besar telah timbul. Kemudian, apabila geloranya sudah surut, semangat kau karam dan kau sendiri tenggelam."

"Atau kau takut, kalau kau tak bersuara, kau akan digunjing, dihina oleh rakan-rakan. Lantas kau bertindak, dalam terpaksa."

Lalu, saya bertanya lagi, "Jadi, bagaimanakah saya boleh bertindak, kalau tindakan itu tiada perasaan di dalamnya?"

"Kalau kau menempatkan perasaan, biarlah perasaan yang benar. Bukan marah, bukan amarah."

"Kerana perasaan dan rasa itu melibatkan hati, maka berhati-hatilah berperasaan dan menjelmakan rasa."

"Siapa tak marah, siapa tak gundah, andai darah tumpah dan melayang nyawa saudara yang tak sudah-sudah."

"Namun, tuaikanlah rasa itu dari iman yang telah disemai.

"Bukan disuai dengan api yang mengurai."

Saya tak berpuas hati, lantas bertanya lagi. "Bagaimana?"

"Di situ gunanya akal memilih jalan, tahu mana yang patut dilunjurkan dan dibataskan. Tahu mana langkah, kiri atau kanan. Tahu mana tindakan yang bermatlamat serta bermanfaat, untuk masa sekarang dan masa depan."

Saya membayangkan contoh. Dulu kita berkumpul mengecam Zionis, berpanas-panas di bawah terik matahari, membakar dan mengeji bendera rejim yang negaranya beribu batu dari sini. Kemudian, sekali lagi kita berkumpul, berpagi-pagi di kedai mamak di hadapan tivi, menonton permainan bola pelbagai gelagat dan aksi. Satu dalam keadaan marah dan amarah. Satu lagi, dalam keadaan gembira dan seronok. Perasaan mudah bertukar, walau dalam satu tindakan.

"Sekarang saya sudah faham," kata saya. "Kita kena ada cara untuk memanfaatkan perasaan dan memantapkan tindakan."

"Kita perlu memboikot," ujar saya, mencadangkan.

"Adakah itu sahaja yang boleh kita lakukan?" tanyanya. "Baru sahaja kita bercakap soal perasaan, soal iman."

Tika korban dipinta

Saat menerima perintah Allah, Nabi Ibrahim as, segera bersiap. Baginda perlu meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih lagi kanak-kanak, di tengah-tengah gurun yang tiada asbab kehidupan atau tiada percik ketamadunan.

Perintah Allah itu besar, lagi berat. Namun, hati sekuat Ibrahim, yang pernah dicampakkan ke dalam api menjulang tinggi oleh Namrud - tidak sesekali akan goyah. Yakin baginda betul-betul bulat kepada Allah, sehingga terakam di dalam Al-Quran, saat baginda membalas pertanyaan malaikat tentang pertolongan yang mahu dihulur, "Hasbunallah wani'amal wakil, Allahlah sebaik-baik pembantuku" - saat terlontar dari lastik gergasi untuk dihukum bakar hidup-hidup.

Dan, kerana iman yang begitu agam, api yang secara fitrahnya membakar, dengan kudrat dan izin Allah SWT, menjadi sejuk dan sejahtera, untuk Nabi Ibrahim AS, selama empat puluh hari. Di dalamnya, berkat keimanan yang kukuh di dalam hati baginda, Allah menyelamatkannya daripada terbakar, hatta satu bulu roma pun tidak tersentuh oleh api, bahkan di dalamnya pula, tersedia bermacam juadah, untuk santapan seorang hamba yang dikasihi oleh Tuhan Semesta Alam.

Dan, Nabi Ibrahim bukan sekali sahaja diuji dengan begitu getir. Malahan berkali-kali. Dan setiap kali, baginda membuktikan, bahawa hanya Allah sahajalah yang mengizinkan segala-galanya berlaku dan sandaran kepercayaan hendaklah pada keizinan-Nya itu. Kali ini, baginda diperintahkan untuk meninggalkan kedua-dua insan tercinta, anak dan isteri, betul-betul di pinggir rahang kematian. Siti Hajar, isteri yang setia dan taat pada suami, bertanya pada baginda. Dua pertanyaan tidak berjawab. Namun, Siti Hajar, bukannya wanita yang mudah mengalah. Dia adalah wanita terpilih.

"Apakah kau akan pergi meninggalkan kami di sini?"

"Sekeras-keras hati ayah, akan lembut juga apabila melihat anaknya yang hampir pada jurang kematian. Sekeras-keras hati suami, akan lentur juga apabila mengetahui isteri yang tercinta akan terjatuh ke dalam lembah kematian. Namun, apakah dayaku, ini perintah Allah."

Di dalam hati, Nabi Ibrahim sekali lagi membina keyakinan. Jika Tuhan yang sama menyelamatkannya dahulu daripada api, maka Tuhan yang sama akan menyelamatkan anak isterinya. Tuhan itu Tuhan yang Satu, yang Esa - LaillahaillAllah. Tiada Tuhan Selain Allah.

Lalu, baginda melangkah, menuju ke utara, ke bumi Syam untuk usaha dakwah.
Pengorbanan merupakan satu-satunya kunci yang membuka pintu akan menuju ke daerah yang teragung. Daerah rahmat Allah yang dikurniakan, sungguhpun kaki masih berjijak di atas muka bumi ini lagi. Dan, Nabi Ibrahim, menjadi insan yang membuka denai menuju ke daerah itu, untuk ditelusuri oleh cucu-cicit baginda, yang salah seorang daripadanya adalah insan yang paling agung yang pernah dicipta, baginda Nabi Muhammad SAW. Denai Hanif, sebagaimana difirmankan Allah.

Tabiat pengorbanan inilah, yang menjadi inti agama. Ibrahim berhijrah seorang diri meninggalkan dua insan yang bertakhta di hati, demi menyambut perintah Ilahi. Begitu juga Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Radiyallahuanhum, berhijrah ke Madinah, meninggalkan segala yang mereka punyai, demi menyelamatkan iman dan melaksanakan perintah Malikul Mulk dan Rasulullah SAW. Berhijrah untuk melangkah ke daerah lebih agung. Dan untuk melalui pintu yang menghijab itu, pengorbanan sahajalah yang menjadi kunci.

Berkat doa Nabi Ibrahim, dilahirkan umat yang mulia. Berkat doa Nabi Ibrahim, Mekah yang dulunya bukan tempat asbab untuk hidup, menjadi tumpuan jutaan manusia, zaman-berzaman. Dan, berkat doa Nabi Ibrahim jugalah, agama Islam, agama yang terakhir untuk manusia, mengikuti tabiat pengorbanan yang telah dilakukan oleh baginda.

Dalam pengorbanan, ada ganjaran. Bukan sahaja di sini, bahkan ganjaran itu akan berkekalan selama-lamanya di akhirat. Dan, pengorbanan apa lagi yang teragung, melainkan pengorbanan untuk agama.

Pernah ulama' berkata, "tanpa pengorbanan, meskikah ada keimanan." Juga, dalam nada yang lain, "semakin besar pengorbanan, semakin besarlah keimanan."

Sebenarnya, dalam agama kita ini, itulah yang dipinta Allah SWT. Saat kita berikrar bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah, kita juga berikrar bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Setiap sunnah, setiap denyut fikir agama, setiap degup risau umat - kitalah yang mengikutinya, untuk membenarkan ikrar yang telah dibuat. Inilah ikrar seorang yang sanggup berkorban - seorang yang sanggup berpagi-pagi untuk mendirikan solat, bersusah-payah untuk menuntut ilmu agama dan menyebarkannya, menahan sabar dan marah melayani karenah manusia, bertungkus-lumus untuk mengikhlaskan hati untuk setiap amalnya.

Dan tiada lagi pengorbanan yang lebih besar yang boleh dilakukan insan, melainkan keluar berjihad di jalan Allah dan sanggup menggadaikan nyawa dan kehidupannya, untuk meninggikan kalimat paling agung, paling tinggi, paling keramat.

Inilah denai yang dirintisi oleh para ulama' dan orang soleh. Di hadapan mereka, ada para wali, para ulama' besar. Di hadapan mereka, ada para sahabat. Dan, mereka semua dipimpin oleh seorang manusia, sebaik-baik insan, Rasulullah SAW. Destinasinya adalah keredhaan Allah. Nabi Ibrahim sudah membuktikannya, bahkan, baginda sudahpun berjaya tiba.

Namun, itu kisah mereka, terakam dalam buku-buku sirah dan kitab-kitab agama. Persoalannya, adalah kita. Hari ini, di dalam zaman yang sudah malap cahaya Nabi, apakah kita sanggup memikul kunci pengorbanan, untuk melangkah ke daerah teragung yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan yang berkekalan, dalam keredhaan Allah SWT?

Dan setiap orang yang bersedia, akan bangun dan memberikan nama!

Sri Petaling
14 Jun 2010

Nota: Isi dan inti bayan Maghrib oleh Maulana Syaukan dan terjemah oleh Maulana Hamid semasa Jord Malaysia 2010

Kitab Cinta: Satu dalam Sejuta

Kata kekasihku,
"Kenapa, satu dalam sejuta,
Engkau memilihku,
Menjadi kekasihmu?"

Jawabku,
"Kekasih,
Pernahkah kau merasa kesunyian?"

Sambungku,
"Saat sunyi menanti
Seseorang berada di sisi?"

Kekasih,
Kau akan berkata sendiri,
"Allah, kutahu,
Ku tak ada sejuta kawan,
Namun, untuk malam ini,
Kurniakanlah, walau seorang,
Insan bernama teman,
Memahami,
Mempercayai."

Kataku lagi,
"Apabila doamu dimakbul,
Kau akan sujud bersyukur."

Kataku, kepada kekasih,
"Terima kasih Tuhan,
Mengurniakan kesunyian
Kerana baru kutahu,
Erti kasih sayang,
Makna mencintai hamba-Mu."

Kitab Cinta: Fakir Abadi

"Kefakiran," kataku pada kekasih
"Keabadian."

"Kesombongan pula," kataku lagi,
"Kefanaan."

Kitab Cinta: Kemanusiaan dan Ketuhanan

Aku bertanya kekasihku,
Apabila kami menyebut tentang cinta,
"Bolehkah cinta itu diduakan,
Antara manusia dan Tuhan?"

Kekasihku
Memuliakan pertanyaanku menjawab,
"Sayangku,
Andai tiada rasa keTuhanan,
Masakan benar cinta kemanusiaan."