Kelab Peminat

Suluk

"Ini adalah suluk," kata Syeikh saat saya bertanya apa itu suluk. Saat itu, pagi masih bening. Matahari belum pun segalah memanjat langit. Seusai subuh, kami menghabiskan masa bersendirian, memegang tasbih, mencuit-cuit setiap butirnya dengan ibu jari dan telunjuk. Tasbih kayu koka mengitar pantas dan tanpa saya sedari, hari mulai cerah di luar. Sinar matahari menembusi tingkap, dan menimpa kami yang berada di Masjid yang dibina oleh penduduk Turki di Coolaroo, Melbourne.

Itu sahaja jawapan Syeikh, saat saya bertanya. Ringkas. Namun persoalan saya, tidak seringkas jawapan yang diutarakan.

Saya kuburkan pertanyaan lanjut. Menghormati sang Syeikh yang juga menguliti tasbih di atas kerusi. Hari makin cerah.

Sudah setengah tahun saya meninggalkan status petualang. Kini saya tinggal di rumah, bersama orang tua dan adik-beradik. Benar, dalam dunia ini, auranya lain. Jika ingin mengenali diri sendiri, maka dunia petualang merupakan dunia yang sesuai. Jika ingin mengetahui nilai kasih sayang, maka dunia keluarga adalah dunia yang amat serasi. Kedua-duanya mesra pada diri - insan. Bergantung pada kita untuk memilih mana yang lebih prioriti.

Soalan yang saya timbulkan buat Syeikh, kembali menjelma. Suluk, dalam erti kata yang saya fahami, adalah mengasingkan diri, untuk merapati Tuhan. Sebab itulah, dalam kesegaran zikir pagi di Coolaroo tempoh hari, saya teringin untuk meneroka maknanya. Namun, Syeikh hanya berkata, "ini adalah suluk." Saya tak pasti apakah yang beliau maksudkan. Adakah dalam zikir pagi itu? Adakah beliau maksudkan pengembaraan saya itu?

Pagi saat saya mengutarakan soalan itu, kebanyakan dari kami melakukan amal sendirian. Kami dalam satu jemaah sebenarnya, dan biasanya kami melakukan amal dalam jemaah juga. Dan, selang-seli masa, amir atau ketua jemaah akan menetapkan masa infiradhi, masa sendiri untuk menguruskan diri. Biasanya, pagi selepas subuh begini, atau selepas waktu zuhur. Saya, satu-satunya orang Malaysia dalam satu jemaah rencam status dan bangsa ini. Ada dari Palestin, Turki, India, Pakistan dan kacuk Scottish-Mesir. Ada yang pelajar, doktor, pensyarah dan pemandu teksi. Tiada apa yang menyatukan kami semua, melainkan fikir atas iman dan amal. Fikir dan risau atas umat.

Saya kira, apabila setiap orang yang menanam 'fikir iman dan amal' ini, natijahnya akan terjelma dan terasa. Dalam suasana ini, jiwa akan mudah terbuka. Serasa-rasa, mahu sahaja melakukan amalan dan kebaikan, sungguhpun tidak dipaksa atau diarahkan. Bukankah inti dakwah adalah 'mengajak kepada kebaikan'? Dan ada satu petikan hikmah yang mengatakan - kegelapan yakni kejahatan, tidak akan sirna selagi mana kebaikan tidak datang menyinarkan cahayanya.

Suluk membawa makna pengasingan. Saya dapati, dalam kehidupan seharian, kita dipengaruhi oleh bermacam-macam ajakan. Ajakan itulah akan mempengaruhi fikiran kita. Kehidupan seharian, terutamanya saya, banyak melibatkan urusan dunia. Maka, di kiri dan kanan, depan dan juga belakang, saya diajak untuk memikirkan tentang dunia. Di hadapan saya ada televisyen dan komputer, di kiri dan kanan saya ada bualan mengenai turun naik ekonomi, mengenai siapa menang atau kalah dalam Piala Dunia dan bermacam-macam lagi. Sebaik sahaja saya membuka mata, saya akan melihat suasana yang penuh dengan iklan yang mengajak saya mengeluarkan wang untuk membeli-belah. Setiap satunya adalah ajakan. Dan ajakan itu mempengaruhi fikiran saya untuk memikirkannya.

Saya, yang bukan ulama' dan bukan 'abid, sudah semestinya suasana seputar saya adalah ajakan untuk dunia. Dan, seperti kita tahu, ajakan yang lebih baik adalah ajakan untuk akhirat, ajakan untuk iman dan amal. Dalam dunia saya, boleh dikatakan hanya satu peratus sahaja ajakan untuk saya memikirkan tentang iman dan amal, akhirat yang akan kekal abadi. Benar, cuma satu peratus.

Bolehkah dengan hanya satu peratus itu, saya dapat menghidupkan fikiran saya tentang hari akhirat, tentang hari pembalasan dosa dan pahala, apatah lagi untuk berzikir dan memikirkan kebesaran Allah sepanjang hari, setiap masa? Saya bersoal-soal pada diri saya sendiri. Menghitung hari-hari yang berlalu, yang deras meninggalkan masa lalu. Setiap saat yang berdetik, kata saya sendiri, tidak akan dapat diambil kembali.

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk 'duduk seketika, untuk memikirkan tentang iman.' Dan saya kira, saya 'didudukkan' Allah sepanjang pengembaraan dua puluh hari saya itu.

Suluk bererti pengasingan, sekali lagi saya memberitahu diri. Benar kata Syeikh, 'ini adalah suluk.' Itupun, setelah sekian lama, barulah saya mengerti apa yang dimaksudkannya itu.

Maksud beliau adalah dunia dan suasana yang sedang saya lalui pagi itu dan juga sepanjang pengembaraan saya bersama jemaah. Jujur saya katakan, sepanjang-panjang pengembaraan itu, jarang-jarang kami memperkatakan tentang dunia kami, tentang kerjaya dan tentang kehidupan seharian kami di luar pengembaraan. Saban hari, kami digalakkan untuk memperkatakan tentang iman, tentang amal, tentang akhirat. Ajakan-ajakan sebelum ini telah bertukar. Fikiran juga begitu, meresap perlahan-lahan untuk berdenyut memikirkan tentang apa yang ada dalam jiwa, apa yang akan dibawa ke sana nanti. Kami juga diajak untuk memikirkan tentang masalah umat, risau dan gusar mengenai tanggangjawab kami, yakni untuk mengajak insan Islam lain untuk kembali menghidupkan sunnah, menghidupkan agama.

Di hadapan kami, dibentangkan amalan-amalan Nabi, sepanjang masa, dua puluh empat jam. Begitu juga dengan muzakarah, di mana kami berbincang dan saling mengajar dan belajar, tentang Al-Quran dan Hadith dengan mereka yang lebih alim. Dan, kami sudah semestinya diberitahu tentang setiap amal yang dilakukan itu, sudah pasti akan dinilai dan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Itulah dunia dalam pengembaraan saya, sungguhpun amat sebentar, namun kesannya terasa sehingga ke hari ini.

Dan, kesan yang mendalam itulah akan dibawa kembali ke kehidupan seharian, setelah beberapa hari hidup dalam keterasingan. Dan, dengan semangat baru itu, fikiran akan sudah dapat membezakan yang mana ajakan yang baik, yang mana ajakan yang merosakkan. Mengenali yang mana yang hitam, yang mana yang putih. Yang mana yang kaca, yang mana yang manikam. Itu kata-kata guru saya. Saya suka sekali berkongsi dengan tuan.

Sungguh, suluk itu tidak lama. Suluk itu, yang saya fahami, untuk mengorbankan masa seketika, 'bersendirian' dari dunia seharian. Seperti insan yang kesedihan dek kehilangan sesuatu yang disayangi, dia mahu bersendiri – memikirkan sebentar kenangan saat bersama dengan apa yang disayanginya. Namun, dia tahu, dia tidak akan lama begitu. Sebentar lagi, dia akan kembali ke dunia realiti, dengan pengertian bahawa - yang kehilangan itu perlu dicari atau diganti - dan dia akan hidup dengan berani, sekali lagi, meskipun telah diuji berkali-kali.

Syeikh, saya kira, perjalanan saya untuk memahami pengertian suluk dengan lebih mendalam, baru bermula.

Moga Allah mudah memberi lorongan, untuk kita, bersendirian, bersuluk kerana-Nya. InsyaAllah.

Tiada ulasan: