Kelab Peminat
Warkah Cinta Tsalis (3)
Assalamualaikum,
Aduhai, betapa kalau kita perhati, kejadian kita ini banyak bukti kebesaran Ilahi.
Manusia, jasmani terbina sebahagian besarnya menghimpun air. Fitrah air adalah mengalir. Begitulah juga rohani manusia diukir, mahu mengikut arus yang mengalir. Kalau diempang segala alir, takut-takut akan berlaku bencana banjir.
Sudah kita bentangkan, perihal agama ini disalahfahamkan. Dikata orang kebanyakan, kalau mahu teguh iman, hidup ini penuh pantang dan larangan. Mereka mempersoalkan, jadi, dalam kehidupan ini, apa yang tinggal untuk dilakukan? Agama ini, apakah semata-mata menyekat kebebasan perbuatan?
Aduhai, kalaulah mereka tahu, hikmah disebalik patuh dan setuju, untuk agama dari Tuhan yang Satu.
Bukanlah namanya sejahtera itu memaksakan peraturan, menghukum segala kesalahan dan mengatakan ke neraka sahaja sebagai balasan kesalahan. Bukanlah namanya akhlak agama ikutan, jika tiada hikmah di balik suruhan, pahala beriman di akhir zaman dan fadhilat yang menanti di balik setiap amalan. Bukanlah faham iman dan ihsan, andai semua perkara mahu dibidaahkan, dituduh kesesatan dan akhirnya menimbulkan fitnah dan kekeliruan.
Maksud kita yang hakir, agama yang mulia bukan tujuannya mengempang kesemua alir, tetapi menyempurnakan fitrah air yang mengalir.
Perintah dan larang diturunkan Tuhan, untuk memaknakan kehidupan. Kalau ada perbuatan yang salah aliran, takut-takut tidak kembali sungai ke lautan, dan akan terganggu turunnya hujan. Akibatnya, pincanglah kitaran dalam alam kehidupan.
Bukankah apabila betul tempat setiap kedudukan, akan tercapailah keadilan. Sama juga seperti jasmani insan, apabila dipelihara oleh apa yang disyariatkan, ia umpama memelihara hayat dan kesihatan. Manis gula memang menyelerakan, namun tabib selalu menasihatkan – manis-manisan, hendaklah dikurangkan. Adapun sayuran dan ulam-ulaman tawar dan pahit untuk dimakan, namun darinya, terkandung seribu zat yang baik untuk kesihatan. Malah, cerdas fikiran dan murni perasaan, apabila daging berdarah diambil berpatutan, tidak dilebih-lebihkan, apabila berterusan diambil dalam makanan. Bukannya kita melarang untuk menambah lazat dalam hidangan, tetapi, dalam pemakanan, ada yang dianjurkan, ada yang dibataskan. Supaya terpelihara kesihatan sepanjang kehidupan, agar tidak menyesal di hari kemudian. Misalan ini, kita sampaikan, kerana dalam bahagia, natijah utama adalah sihat tubuh badan. Jikalau ada kesihatan, senanglah melakukan perbuatan untuk dijadikan amalan, persembahan kepada Tuhan.
Aduhai, kalaulah mereka faham, beramal agama bukanlah sepahit jadam. Dalam beragama, ada kenikmatan yang mendalam, tak dapat diungkap oleh bahasa, warkah dan kalam.
Seperkara lagi, hakir juga ingin berkongsi fikiran, dalam beragama akan tercapailah sebenar-benarnya kemerdekaan. Bila ada peraturan, barulah tersusun segalanya mengikut aturan. Bila ada anjuran, barulah insan tahu apa yang perlu dilakukan. Bila ada larangan, barulah insan tahu, apa yang bahaya pada badan dan kerohanian. Ini kita misalkan, setiap perkara itu, mestilah ada maksud dan pengertian. Yakni, erti merdekanya kehidupan adalah apabila bebas melakukan perbuatan yang mencerminkan martabat seorang insan. Bukannya membebaskan diri dari syariat Tuhan, untuk mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Sungguh kita hairan, mengapa orang selalu mengungkapkan, dalam agama tiada kebebasan. Hakir ingin menanyakan, dari apa yang ingin dibebaskan? Kenapa ingin membebaskan diri dari agama yang menjadi tuntutan? Sedangkan, apabila hanya mengikut perasaan, akan berantakanlah sebuah kehidupan, asbab tak semua perkara diketahui insan, untuk tepat membuat setiap caturan. Sungguhpun keseorangan atau berteman, sekalipun berwatan - setiap satunya ditunjukkan panduan, supaya benar berada di atas landasan, untuk sampai ke syurga idaman, tempat yang dijanjikan keredhaan Tuhan.
Ini sahajalah ingin kita kongsikan, supaya setiap kata dapat dimanfaatkan. Allah jualah yang memiliki segala pengetahuan. Dialah yang memberi hidayah dan kesedaran. Kita ini, hanya makhluk Malikul-Manan, cuma asbab untuk pencerahan.
Sebelum kita melangkah meninggalkan, elok juga kita membentang fikiran. Mengikut kata cendekiawan, cinta itu adalah menyukai sesuatu yang menyenangkan. Sedang benci, merupakan kata lawan, yakni, melarikan diri daripada sesuatu yang tidak menyenangkan. Dengan kecantikan pemandangan, pada mata, terlihatlah kemesraan. Dengan sedap bunyi-bunyian, pada telinga, terasalah keserasian. Dengan harum-haruman, pada hidung, terhiruplah kenyamanan.
Bagaimana pula dengan mata, telinga dan hidung milik hati dan perasaan? Yang tersirat, lagi menjadi rahsia di dalam kerahsiaan? Apakah yang disukai kejiwaan, yang tersimpan di dalam diri setiap insan?
InsyaAllah di masa depan, akan kita yang asfal ceritakan, tentang percintaan, setelah kita bicarakan, kenapa hidup perlukan berpanduan. Kata sarjana, supaya segar setiap amalan, apabila dibuat dengan penuh perasaan.
Sekian.
Wasalam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan