Kelab Peminat

Memaparkan catatan dengan label metrobus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label metrobus. Papar semua catatan

Pemerasan

Situasi yang berlaku sebentar tadi

Lewat. Kalau anda pengguna kenderaan awam, terutamanya bas, kelewatan merupakan satu perkara yang sepatutnya menjadi kebiasaan.

Petang tadi, bas yang membawa saya pulang dari hab bas Pasar Seni ke Putrajaya terlewat lima belas minit. Dalam lima belas minit tersebut, kami diuji dengan pelbagai macam cabaran.

"Selalu ke bas lewat macam ni?" tanya seorang penumpang yang baru dua atau tiga kali pulang dalam trip ini. Biasanya saya mengecam setiap seorang wajah penumpang bas E1 ini. Muka-muka yang sama sahaja.

"Taklah selalu sangat," saya cuba memberi ulasan positif, dengan niat mahu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam, terutamanya orang yang baru begini.

Sejak jam 6.20 lagi, para penumpang telah berdiri dan beratur. Masing-masing mahu mendapatkan tempat duduk di dalam bas, jadi kami sanggup bangun dari tempat menunggu bas, merebuti tempat yang terawal di dalam barisan.

Sebuah bas yang baru tiba menderam-deramkan enjin. Asap hitamnya berkepul-kepul keluar.

"Kalau bas lewat waktu pulang kerja, tak apa. Kalau waktu pergi kerja, susahlah," katanya. Sudah semestinya menyusahkan, kata hati saya. Mahu sahaja saya mengungkit beberapa kes bas yang lewat bertolak dari Putrajaya Sentral. Saya tiba di ofis setengah jam lewat dari waktu masuk, gara-gara bas yang tiba lambat, gara-gara pemandu yang tidak bergegas dan tidak kelihatan bersalah, dan gara-gara jalan yang sesak. Semua ini saya hadapi dengan sabar dan tabah selama lebih 5 bulan, berulang-alik dari Putrajaya ke Setapak, menggunakan perkhidmatan awam ini.

Saya hanya mendiamkan diri. Teringat pada tulisan Syed Hussein Alatas, yang bukunya saya beli ketika pesta buku dahulu, dengan harga yang sangat mengagumkan - amat berpatutan untuk makalah akademik yang begitu hebat. Di dalam prakata edisi kedua di dalam buku ini, yang ditulis oleh anak beliau, Syed Farid Alatas, terdapat huraian mengenai kapitalis semu. Menurut Yoshihara (1993), kapitalis ini dirujuk kepada kapitalisme tanpa teknologi, tetapi dalam huraian lanjutan, 'semu' juga memikul makna 'palsu,' 'tidak tulen' dan 'tidak sejati.' Ini kerana, kapitalis ini wujud tanpa sifat keusahawanan - yakni tidak mempunyai rasa untuk melabur kembali keuntungan mereka, tidak melihat dan mencari pasaran baru, dan tidak menawarkan sesuatu yang baru. Mereka ini, kapitalis semu ini, mereka hanya bergantung kepada negara untuk pelbagai bentuk bantuan - dana, insentif, konsesi, biaya, tajaan, dan tender dengan kerajaan.

Dan apabila merasai keadaan ini di hab bas Pasar Seni, saya dapat merasai kesan ketumpulan semangat usahawan, yakni untuk menambah baik kualiti servis yang diniagakan. Kelambatan dan penungguan penumpang di tengah kabut beracun seolah-olah menjadi satu 'harga' yang perlu dibayar untuk mendapatkan perkhidmatan awam yang kononnya murah dan menjimatkan.

Dalam teori keusahawan, petanda kejayaan sesebuah syarikat adalah apabila berjaya memperoleh keuntungan dalam perniagaannya. Sudah tentu, sikap yang mencerminkan keunggulan syarikat menjadi tonggak utama kejayaannya dalam memperoleh keyakinan pengguna untuk menggunakan produk dan perkhidmatannya. Dan sikap utama dalam penilaian keunggulan adalah: Syarikat itu tidak akan menerima keadaan yang sedia ada dan berusaha memperbaiki keadaannya. Seterusnya, syarikat itu menilaikan prestasinya berdasarkan meritokrasi - iaitu setiap pengeluarannya adalah berada pada tahap yang optimum, kos yang dijimatkan dan pulangan yang memberangsangkan.

Lama juga saya melayangkan fikiran, sehingga bas yang ditunggu sekian lama tiba. Bas ini, tidak melalui lorong yang sepatutnya, mencelahi bas-bas yang lain dan terus bergerak ke hadapan. Kami yang beratur di bawah bumbung terpaksa berhimpit di antara dua bas untuk masuk ke pintu. Malangnya, pintu untuk masuk ke dalam bas tidak dibuka dan kami menunggu dengan penuh seksa dan membahayakan diri diapit oleh dua jentera yang boleh meremukkan tulang-belulang.

Mungkin inilah harganya apabila sebuah perusahaan yang dibina, bukan atas semangat keusahawanan. Ia dibina atas niat untuk memperoleh sokongan lima tahun sekali. Apabila prasarana sudah wujud, maka akan terjadilah pelbagai masalah yang tak sudah-sudah.

Sepatutnya, apabila wujudnya prasarana, kos akan dapat dikurangkan dan keuntungan dapat digandakan. Namun, prasarana yang wujud, seperti menjadi sebuah pemerasan untuk memeliharanya. Sudah tentu, kos pemeliharan ini akan meningkat dari tahun ke tahun. Dan saya bukannya mengatakan kos itu sekadar wang yang perlu dibayar untuk membaiki itu dan ini; bahkan ia meliputi masa, tenaga dan alam sekitar. Apabila sikap keusahawan tidak mendasari penubuhan sebuah syarikat, apatah lagi syarikat itu menyediakan perkhidmatan untuk orang awam, maka rakyatlah yang tersepit. Terhimpit antara kenaikan harga barang dan pemerasan tenaga, masa dan jiwa untuk sebuah sistem yang dibina sebagai 'pencuci tangan' dan 'aku sudah membawa kemajuan.'

"Ini bukan situasi yang biasa," kata saya kepada rakan yang baru saya kenali itu. Mahu menabur benih motivasi kepadanya, untuk terus bersabar, menggunakan perkhidmatan awam, yang dapat membantu alam dengan mengurangkan pengeluaran karbon.

Wajahnya, sudah tentulah masam mencuka. Jarum saat seolah bergerak lambat dari biasa. Udara dari enjin berbahang dan  hawa diapit kedua-dua jentera, begitu panas sekali.

Pintu akhirnya dibuka oleh pemandu yang sudah lama berada di dalam perut bas sejak tadi. Kami masuk ke dalam bas - keletihan dan berebut-rebut mendapatkan tempat duduk. Dua tiga orang penumpang dari Timur Tengah memasang lagu Arab menerusi speaker lantang telefon bimbitnya. Hanya mereka sahaja memahami inti lagu tersebut. Sedang kami, termenung melihat ke luar, sewaktu melalui Jalan Sungai Besi di hadapan Istana - merenung nasib negara, di tengah kesesakan jalan raya.

Kenderaan awam


Hari ini, hari Sabtu. Dua hari selepas kerajaan menaikkan harga lima benda; minyak, gula, LPG, diesel dan gas. Sehari sebelum itu, saya memberi sedikit perkongsian positif mengenai konsep 'harga' dan 'keuntungan'. Di dalam entri tersebut, saya ada sebutkan beberapa kriteria sebab apa harga sesuatu barang, terutamanya barang keperluan seperti air, perlu dibayar dan bukannya diperoleh secara percuma. Tetapi, di dalam entri tersebut juga, saya ada menyebut tentang kualiti servis dan kepuasan pihak pengguna - sehingga pengguna sanggup mengeluarkan wang untuk membayar sesuatu.

Kenaikan harga minyak, saya kira akan membuahkan reaksi berantai. Selepas ini, barang-barang keperluan lain juga akan meningkat kerana kos pengangkutan juga telah bertambah. Bukan apa. Usahawan juga mahu mengekalkan dan meningkatkan graf keuntungan dari tahun ke tahun, selari dengan peningkatan kos, dan pada masa yang sama, kualiti servis perlu dijaga juga. Takkan servis yang baik (atau boleh tahan) sebelum ini, dengan bayaran sekian-sekian, merosot kualitinya kerana peningkatan harga minyak yang tiba-tiba?

Apabila kita berbicara tentang minyak, kita juga berbicara tentang kenderaan. Kenderaan awam tidak terkecuali dalam hal ini.

Kenderaan awam, merupakan suatu perkara yang asasi buat sebuah bandar yang urban, seperti Kuala Lumpur. Saya pengguna kenderaan awam yang tegar dan secara puratanya, saya menghabiskan masa 4 jam sehari di dalam kenderaan ini - berulang-alik dari Putrajaya ke Setapak. Jadi, saya mempunyai banyak masa untuk memerhatikan tiga syarikat yang saya langgani perkhidmatannya iaitu: RapidKL (bas, LRT), Len Seng Sdn Bhd (bas merah putih) dan Nadi Putra (bas di bandar Putrajaya).

Secara kasarnya, bolehlah dikatakan saya sekadar menerima sahaja servis awam yang saya gunakan sekarang. Jadi, kalau pihak kerajaan mahu membuat kempen menggunakan kenderaan awam selepas ini, saya jangkakan mungkin hanya 5-10% pengguna kenderaan peribadi akan beralih menggunakan kenderaan awam. Selebihnya, mungkin menerima hakikat bahawa harga minyak sudah naik dan terpaksa berbelanja lebih.

Harga pengangkutan awam mungkin jauh lebih menjimatkan, cuma kos masa pula terpaksa dilaburkan. Bagi pengguna kenderaan awam yang bijak memanfaatkan masa menunggu, ini tidak menjadi masalah. Cuma macam saya, pelaburan begini, setelah sekian lama, dilihat tidaklah menguntungkan sangat. Letih dan stress. Sudah semestinya tidak baik untuk peningkatan modal insan. Pengguna kenderaan awam juga merisikokan kesihatan mereka ketika menunggu di hab bas Pasar Seni dengan menyedut hampir satu kilo habuk setiap hari.

Pada pandangan saya, status kemajuan sesebuah negara itu boleh diukur daripada keberkesanan servis kenderaan awam yang digunakan oleh rakyat. Selain daripada bahan-bahan penerbitan, mutu siaran media elektronik, hinggalah pembinaan kampus universiti, kenderaan awam memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan rakyat ke tempat kerja setiap hari. Dan seperti kita tahu, rakyat yang menceburi industri itulah yang akan menyumbang kepada pendapatan negara, baik dari segi ekonomi atau sosio-politiknya. Negara maju contoh adalah Jepun, di mana pengangkutan awam (keretapi bawah tanah) yang efisien, digunakan secara meluas oleh rakyat untuk ke tempat kerja atau ke mana-mana.

Suka saya kongsikan petikan Syed Hussein Alatas, dalam bukunya yang lain: Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi. Salah satu petikan Garrigues di dalam buku ini agak mengujakan. Antara lain, beliau menyebut bahawa, terdapat sesetengah pihak dalam kerajaan yang menyediakan banyak prasarana dan kemudahan material - seperti gedung-gedung awam, dewan bandaraya, pejabat pos, kaki lima, lampu lalu lintas, rumah sakit, empangan, perparitan dan sebagainya (termasuklah pengangkutan awam) - tetapi memajukan semua itu bukannya untuk meningkatkan kesejahteraan awam, melainkan hasrat untuk melakukan rasuah (Charles H Garrigues, 1936. You Are Paying for It!)

Inilah yang saya gusarkan. Perkhimatan awam seolah-olah 'pengabdian seorang pengguna kepada sebuah syarikat perkhidmatan.' Pengguna tidak berpeluang secara terbuka untuk memberi maklum balas kualiti kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Jika terdapat masalah dan kemerosotan kualiti servis, pengguna keliru kepada siapa hendak diadukan. Malah, jika aduan dibuat secara terus kepada pemandu atau penunggu di pejabat kecil bas, mereka akan diberi balasan jawapan yang buruk dan dimarahi.

Sepatutnya, sebuah prasarana yang terbina dengan niat 'meningkatkan kesejahteraan awam,' sudah pasti mempunyai sistem maklum balas pelanggan (seperti yang dilaksanakan ISO 9002), atau paling tidak pun, menghala ke arah itu. Servis sepatutnya semakin hari semakin bagus kualitinya dan semakin ramai pengguna menggunakannya. Pengguna awam akan semakin sejahtera dan gembira menggunakannya.

Sebaliknya, apa yang saya perhatikan setakat ini, pengguna menghadapi kesukaran untuk melaporkan kelewatan bas dan kesombongan pemandu dan pekerja syarikat bas. Takut-takut, pembinaan prasarana kenderaan awam ini adalah kerja lepas tangan pemerintah dan manipulasi kesempatan oleh satu atau dua pihak. Selepas servis ini 'diadakan dari tiada,' pihak berwajib seolah-olah menganggap mereka telah melangsaikan tanggungjawab mereka untuk 'menyediakan prasarana' dan tidak perlu lagi 'menjaganya agar sempurna sepanjang masa'. Pandangan pengguna tidak diambil kira, dan kalau adapun, mungkin amat jarang diberi perhatian.


Servis kenderaan awam, secara fitrahnya, perlu dipantau dari hari ke hari, sungguhpun di Kuala Lumpur, terdapat 1 syarikat besar yang memonopoli. Saya kira, dengan 1 syarikat tunggal ini, pengurusan bas dan latihan etika pemandu dapat diuruskan dengan lebih mudah. Namun, saya lihat, syarikat kecil seperti Leng Seng Sdn Bhd, yang masih menggunakan bas lama (yang pernah dikritik kerana mencacatkan pandangan kota KL), menyediakan servis yang lebih kerap dan pemandu yang lebih mesra.

Bagi pihak pengguna, mungkin penubuhan 'Persatuan Pengguna Bas (atau pengangkutan awam yang lain)' merupakan sebuah inisiatif untuk meningkatkan keselesaan dan kepuasan menggunakan perkhidmatan awam. Seharusnya, persatuan sebegini bukannya untuk menjadi 'pressure group' kepada syarikat kenderaan awam, sebaliknya, kita sebaiknya menjalinkan hubungan yang akrab dengan mereka. Pengguna dan pemandu ibarat rakyat dan pemimpin. Kita bukannya bertugas untuk menekan pemimpin. Dan pemimpin juga tidak ditugaskan untuk menyusahkan rakyat dan membuatkan diri mereka dibenci.

Akhir sekali, ingin saya utarakan petikan Syed Hussein Al-Attas dalam bukunya, Intelektual Masyarakat Membangun, dalam petikan kertas kerja seminar tentang Integrasi Nasional. Berikut adalah petikannya:

Seorang menteri mungkin bukanlah orang pandir dalam bertindak sebagai ketua keluarga, tetapi boleh menjadi pandir apabila memimpin kementeriannya. Orang pandir, seperti halnya kaum intelektual, dapat juga merupakan kelompok yang berpengaruh. Jika mereka mengendalikan pusat saraf ketertiban sosial dan politik kita, maka hal ini akan memakan waktu yang lama untuk menggantikannya, kerana kecenderungan mereka untuk berkembang biak lebih kuat daripada yang dapat dilakukan oleh intelektual untuk menyainginya, kerana syarat-syarat yang diperlukan bagi perkembangannya mudah diperoleh dan dikerjakan.

-Syed Hussein Alatas, The Concept of National Integration, University of Malaya Student's Union, 25-26 Mei 1968, KL.

Mungkin inilah sedikit sebanyak kupasan saya di malam minggu. Saya berpesan kepada diri, dengan kenaikan harga barang ini, saya seharusnya melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan mencari ruang untuk meningkatkan potensi diri. Masalah ini, bagi saya, diselesaikan dengan kepandaian. Bukan sekadar tunjuk perasaan di jalan raya dan menyusahkan orang lain pula.