Yang berhormat, manis kan menggunakan perkhidmatan awam.
Saya pengguna perkhidmatan awam yang tegar. Sekurang-kurangnya, empat jam sehari saya habiskan untuk berganti-ganti di antara bas, LRT dan bas lagi untuk perjalanan ke tempat kerja saya, dari Putrajaya ke Setapak.
Setiap hari juga, saya bersesak dengan ribuan orang yang sama seperti saya. Menempuhi perjalanan yang sama seperti saya. Di dalam bas kami merebuti tempat duduk, kadang-kala terpaksa berdiri lebih dari sejam, kerana terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.
Kemudian, apabila mahu menggunakan perkhidmatan LRT, sekali lagi kami terpaksa mengecilkan diri, bertindih-tindih dan mencium ketiak orang, mendengar jeritan wanita histeria dan bertolak-tolak apabila hendak keluar. Kadang-kadang, LRT itu meragam, berhenti di bawah terowong gelap, antara stesen Masjid Jamek dan Ampang Park, sehingga kami yang termampat di dalamnya, menjadi manusia sardin.
Betapa manisnya jika Yang Berhormat, jika setiap hari, berulang-alik ke tempat kerja, seperti kami. Kenangan ini, jika Yang Berhormat rasai sendiri, ia akan menjadi cerita besar jika Yang Berhormat canangkan di persidangan PBB atau OIC.
Seperkara lagi Yang Berhormat, jangan lupa menggunakan perkhidmatan bas juga. Saya cadangkan kepada Yang Berhormat, jika hendak merasai sendiri kenikmatan menunggu bas, mungkin Yang Berhormat boleh mencuba hab bas di Pasar Seni. Dari sini, Yang Berhormat boleh mengambil bas ekspres, RapidKL, terus ke Putrajaya. Bayarannya murah, cuma RM3.80.
Manis sekali pengalaman, Yang Berhormat, menunggu pintu bas itu dibuka. Di dalam asap enjin, di dalam hawa panas dan merimaskan, kami terpaksa berdiri, menunggu pemandu bas berkumpul ramai-ramai di dalam pejabat mereka yang dilengkapi pendingin hawa. Mereka sanggup membiarkan kami, yang terdiri daripada pekerja yang telah letih setelah seharian bekerja, ibu muda yang sarat mengandung, mak cik-mak cik tua yang sakit lutut; terbiar berdiri di hadapan pintu, menanti dengan penuh sabar dan pasrah untuk memasuki perut bas.
Kami tertanya-tanya sesama sendiri, kenapa pemandu bas itu tidak memberi kebenaran sahaja untuk kami duduk-duduk di dalam bas, sementara menunggu bas itu berjalan?
Barangkali, Yang Berhormat, inilah dinamakan pengalaman manis menggunakan perkhidmatan awam di Kuala Lumpur. Ia juga selamat, bak kata Yang Berhormat.
Selamat, kerana setiap hari, lebih satu kilo Karbon Monoksida kami sedut. Karbon Monoksida inilah, yang akan memperlahankan pengaliran darah ke otak, dan apabila malam tiba, kami akan letih dan mudah tertidur, untuk sekali lagi berpagi-pagi bangun, mengulangi pengalaman yang sama setiap hari, untuk ke tempat kerja.
Yang Berhormat, saya sarankan Yang Berhormat sendiri cuba, pengalaman manis dan selamat ini.
Terngiang-ngiang kata Yang Berhormat: "Hakikatnya usaha ke arah menjayakan peningkatan penggunaan pengangkutan awam ini menuntut anjakan minda secara ketara di kalangan pengguna. Paling utama keperluan mengubah persepsi bahawa pengangkutan awam hanya untuk golongan berpendapatan rendah. Saya kadang-kadang tersenyum sendiri mengenangkan ada pihak yang tidak bermasalah untuk menggunakan pengangkutan awam bila berada di luar negara tetapi apabila berada di negara sendiri tidak sanggup menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) atau bas kerana menganggap ia kurang glamor."
Benar Yang Berhormat, mana ada siapa yang mahu bergulat dengan pekerja bergaji rendah ini, malah kita mesti tidak mahu bercampur gaul dengan orang asing yang datang secara haram di negara ini. Kami, juga warga asing inilah, yang menggunakan perkhidmatan awam sepenuhnya. Saya kira, untuk mengikis persepsi ini, saya cadangkan Yang Berhormat sendiri menjadi duta RapidKL, supaya orang ramai, yang berjawatan tinggi, yang bergaji tinggi dan bekerja di menara berkembar yang tinggi itu, akan bersama-sama melalui pengalaman yang manis dan selamat, seperti mana yang telah Yang Berhormat lalui selama 20 minit semalam.
Ia bukan sahaja bakal menjadi tajuk utama, bahkan para pemimpin dunia akan melihat keterbukaan Yang Berhormat melalui pengalaman manis dan selamat ini setiap hari sebagai satu anjakan minda, di mana seorang pemimpin, berkorban jiwa dan raganya sendiri, untuk melaksanakan dasar yang telah diketengahkan, iaitu dasar 1Malaysia.
1Malaysia kerana di sini, dengan menggunakan perkhidmatan awam ini, tiada lagi sempadan bangsa, baik cina, india, bangla, myanmar dan melayu sekalipun. Masing-masing akan bercampur-gaul, mencium ketiak sesama sendiri, bertindan lelaki dan perempuan dan saling menjeling sesama sendiri. Inilah satu bentuk kesepaduan dan kesatuan yang diidam-idamkan sebuah negara yang majmuk.
Sudah semestinya, Yang Berhormat perlu melalui sendiri pengalaman manis dan selamat ini. Pengalaman menaiki 1Pengangkutan Awam dengan 1Tiket, 1Bas dan 1Tren di dalam negara yang mengamalkan dasar 1Malaysia.
Cuma Yang Berhormat, saya ada satu persoalan.
Mana satu kata-kata Yang Berhormat yang betul?
Ini, biar saya tunjukkan dua petikan akhbar yang melaporkan kata-kata Yang Berhormat:
1. Utusan:
Najib berkata, perkhidmatan ini akan terus dipertingkatkan dengan penambahan sebanyak 450 buah bas lagi.
2. Berita Harian:
“Bagi mencapai tujuan ini, tindakan segera akan dilaksanakan antaranya, kapasiti KTM Komuter dan LRT akan ditingkatkan daripada 1.7 sehingga empat kali ganda, sebanyak 850 bas akan ditambah untuk meningkatkan liputan perkhidmatan dan lebih 50 laluan baru akan diperkenalkan bagi menambah jaringan supaya sehaluan dengan pembangunan sistem pengangkutan berintegrasi.
Kami juga, seperti Yang Berhormat, mahu menikmati pengalaman yang selamat dan manis setiap hari, seperti Yang Berhormat lalui 20 minit semalam.
Selain dari pengalaman, kami juga ingin janji untuk pengalaman dan selamat dan manis ini, akan terlaksana dan menjadi realiti - bukan bercanggah semalam dan esok, seperti laporan akhbar itu.
Bibliografi:
Mohamad, S., Utusan Malaysia Online, laporan 'Guna Pengangkutan Awam - PM,' 1 April 2010. Diakses pada 1 April 2010. http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Ahmad, N., Berita Harian Online, laporan 'Baiki Mutu Pengangkutan Awam,' 1 April 2010. Diakses pada 1 April 2010. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Baikimutupengangkutanawam_/Article
3 ulasan:
salam,
syuk, aku letak link blog/post ni kt blog aku.
-faris, syed putra 2004-
aku suka sarkastik ini..
nasib baik ade 2 suratkabar melayu je
Catat Ulasan