Kelab Peminat

Cerpen Hari Guru: Perang Zaki



Pemimpin utama baju jingga-hitam, Komander Zaki, parah ditembak di kepala. Keadaannya sangat kritikal dan dia berada dalam keadaan koma sekarang. Revolusi yang dicetuskannya telah mengorbankan hampir 10000 ahli persatuannya yang setia. Ibu negara terbakar dan tentera diraja berkawad dan berkubu di pos-pos utama. Misi untuk menubuhkan negara Khalifah pertama di Timur Jauh tinggal hanya cita-cita di bibir. Semangat revolusi Islam yang dibawanya gagal menyaingi kuasa tentera Maharaja. Kerajaan yang sedia ada masih lagi kukuh walaupun ibu negara gempar kerana serangan mengejut tersebut.

***

"Tuan Guru..." suara Zaki lemah, tenggelam di balik decit mesin pengimbas denyutan jantung dan bau iodin yang kuat.

"Tuan Guru..." sekali lagi Zaki bersuara, memanggil gurunya yang duduk di atas katil pembaringannya. Pemandangannya kabur. Antara nampak dan tidak. "Tuan Guru..."

"Sejauh mana saya mencuba, namun saya masih belum mendapat kejayaan," kata Zaki. "Niat telah saya betulkan dan jihad telah saya lancarkan." Dia terlantar, namun dia cuba menggerakkan tangannya. "Tapi, kenapa kita masih belum dapat mewujudkan daulah, Tuan Guru?"

Decit mesin pengimbas jantung kembali menguasai. Kedengaran juga bunyi tapak kaki doktor dan jururawat yang mundar-mandir. Dia pernah menjadi seorang doktor suatu ketika dahulu. Namun, atas alasan jihad, dia menukar matlamat. Tanah airnya dilihat sebagai perubahan pertama Daulah Islamiyah yang sangat didamba.

"Seribu daya telah saya usahakan..." kata Zaki, tersekat-sekat, antara esak dan kesakitan, "namun, kenapa kemenangan Islam masih belum berpihak?"

Suasana sepi, walaupun wad ICU itu tidak sunyi dari bunyi. Zaki menunggu balasan dari gurunya.

"Apakah kau masih melihat pada usahamu?" akhirnya Tuan Guru bersuara. Tuan Guru serba putih, berserban dan bercapal. Dia duduk di sebelah katil Zaki dan merenungnya tepat. "Apakah itu yang kau pelajari selama ini, Zaki?"

Zaki diam, tidak menjawab. Guru itu amat dihormatinya. Suatu ketika, sewaktu dia menjadi doktor, guru inilah yang memberi kesedaran Islam kepadanya. Selepas guru ini 'hilang' dari dunia, Zaki mula menyertai gerakan revolusi bawah tanah. Dia bercita-cita mewujudkan sistem khalifah kembali untuk ummat.Dia pernah berangan-angan untuk menjadi khalifah pertama setelah 100 tahun umat teraba-raba mencari kepimpinan agama.

"Manusia dibodohkan oleh angan-angan mereka sendiri, Zaki," ujar Tuan Guru, lembut tetapi tegas. "Dengan angan-angan itu, mereka menutup peluang untuk masa hadapan. Mereka menutup untuk kehidupan abadi. Kehidupan di sana."

"Manusia juga tidak menyedari, bahawa kehidupan di sini hanyalah sementara," Tuan Guru menyambung. "Sementara, supaya kita bersabar. Sementara, untuk kita setia menanti. Sementara, untuk kita mengerti, dunia ini adalah cerminan kita di sana nanti."

"Tapi.." Zaki memotong. "Saya hidup dengan berjuang, mahu mengembalikan kepimpinan umat ini, Tuan Guru. Apakah perjuangan saya ini sia-sia?"

"Dan kau fikir, hidup di sana nanti, kau masih berjuang begini? Membunuh atau membiarkan dirimu terbunuh begini?" Tuan Guru mengawal nada, tidak marah, tetapi menegapkan pendirian. "Dunia ini cerminan kehidupan di sana nanti, Zaki," ulang Tuan Guru.

"Tuan Guru..."

"Zaki, dengarlah kataku, seperti kau biasa lakukan dahulu," ujar Tuan Guru. "Apa yang kau lakukan hari ini adalah apa yang akan terjadi nanti."

"Tapi saya tak faham kenapa, Tuan Guru."

"Kerana kau tak cuba memahami, Zaki."

"Kenapa Tuan Guru tidak merestui saya berjuang begini?"

"Kerana hidup kita ini adalah cerminan."

"Saya tak faham."

"Nah, kau masih berfikir dengan menggunakan ini, Zaki," Tuan Guru meletakkan tangannya pada kepala Zaki yang berbalut. "Bukan dengan ini," kemudian, Tuan Guru meletakkan tangan kanannya pada dada Zaki, pada hati Zaki.

***

Kematian Komander Zaki diumumkan.

Lagu All Hail Britannia berkemundang dicorong-corong radio dan televisyen, meraikan kekalnya kuasa Maharaja.

Seluruh negara terkejut mendengar berita itu. Impian mereka untuk melihat hapusnya kuasa diktator Maharaja runtuh sama sekali. Mereka sedar, dengan kekalahan pasukan revolusi ini, kuasa Maharaja akan lebih mencengkam, lebih tirani.

***

Di dalam sebuah pejabat, di dalam bangunan rumah kedai usang, pejuang revolusi yang masih belum meletakkan senjata berkumpul.

"Tuan-tuan yang saya muliakan. Saya akan membacakan warkah terakhir komander sebelum beliau meninggal dunia.

Saudaraku yang aku cintai,

Hidup ini seumpama musafir untuk kita mengumpul bekalan. Destinasi kita adalah akhirat yang abadi. Barangsiapa yang baik bekalannya sewaktu di dunia, tak akan kelaparan selamanya di sana nanti.

Ketahuilah saudaraku, di saat-saat terakhir ini, aku merindukan kehidupan dalam naungan Islam.

Saudaraku, aku ingin menyeru kalian untuk menilai kembali apa yang kita perjuangkan selama ini. Apakah ia selari dengan apa yang kita hasratkan? Atau hasrat itu hanya sekadar angan-angan?

Pernah guruku berpesan, nilaikanlah sesuatu itu dengan hati, bukan dengan nafsu, bukan juga dengan akal yang telah dikotori.

Hari ini, saudaraku, di atas katil ini, aku ingin mengajak kalian menilai kehidupan kita sekarang, kerana kehidupan kita di sini adalah cerminan kehidupan di sana.

Rinduku pada kehidupan Islam begitu mendalam. Namun, setelah bertahun-tahun, aku kira, perjuangan mendapatkannya bukan dengan mengangkat senjata.

Revolusi yang berjaya bukan dengan merampas kuasa dan mencipta satu kuasa yang baharu.

Revolusi yang sebenar adalah kita menguasai diri kita sendiri daripada angan-angan kita untuk menguasai orang lain.

Revolusi, tidak akan berjaya dengan senjata kerana barangsiapa yang menembak insan yang lain, maka dia sendiri bersedia untuk ditembak.

Dan kehidupan kita bukan sekadar membunuh dan terbunuh.

Jadi, aku menyeru saudara-saudaraku untuk menilai diri, sejauh mana kita cuba menguasai diri kita sendiri, daripada kemelut yang kita benci selama ini.

Apakah telah hidup kehidupan Islam yang kita rindui itu, di dalam diri kita ini, sebelum ia wujud dalam kehidupan insan lain? Apakah telah kita menyeru tentera Maharaja, atau Maharaja itu sendiri, untuk sama-sama merindui rasa kehidupan Islam itu? Atau kita sekadar mencetuskan peperangan yang tiba-tiba?

Saudara-saudaraku, inilah wasiat terakhirku.

Mantapkanlah iman, amalkanlah sunnah baginda, walau sekecil-kecil suginya. Perbanyakkanlah ilmu, di samping zikirmu. Bantulah insan seagama, hatta musuh, untuk mengenali siapa Tuhannya. Ikhlaskanlah hatimu, dan dengan keikhlasan itu, serulah, serulah dengan pujuk rayu, dengan hikmah dan kebijaksanaan, tanpa senjata dan peperangan, kepada kehidupan beragama. Lakukan itu saudaraku, nescaya Allah akan kurniakan kita, lebih dari Khalifah yang diimpikan. Fahamilah, kerana kehidupan di sana nanti, adalah cerminan kehidupan kita sekarang ini."

***

Sebahagian besar pejuang hitam-jingga menyerah diri. Pejuang-pejuang revolusi yang setia, melarikan diri ke negara jiran. Pejuang yang menyerah, telah menandatangani perjanjian keamanan dengan Maharaja. Mereka tidak akan dikurung, sebaliknya perlu melakukan kerja-kerja amal.

***

"Tuan Guru, jika hari ini saya berhenti berperang dan berjuang, apakah Islam akan tertegak kembali?" Zaki bersoal kepada gurunya, lama dahulu, sewaktu dia menjadi doktor.

"Apakah perjuangan perang itu akan memberi kau kuasa, Zaki?" kata Tuan Guru. "Perang adalah satu pilihan, namun kau masih boleh memikirkan pilihan perjuangan yang lain. Pilihlah perjuanganmu dengan hati dan berhati-hati, Zaki."

Zaki tidak pernah terfikir pun akan perjuangan yang lain itu, sehinggalah saat-saat akhir hayatnya. Dia menyesali, kerana tidak memilih perjuangan yang akan menjamin kejayaan sebuah revolusi ciptaannya sendiri.

Tiada ulasan: