Suatu pagi, entah pagi bila, saya berjalan meninggalkan hab bas Pasar Seni. Udara itu disesaki oleh habuk dari buntut bas dan penglihatan di sini diganggu oleh bangunan yang berkelarah dengan debu. Saya menapak pantas, dengan peringatan; kesihatan perlu dijaga.
Di persimpangan jalan Jalan Hang Kasturi dan Jalan Hang Lekir, langkah saya terhenti. Ada bunyi asing yang tiba-tiba saya kesani. Bunyi yang amat aneh untuk dinikmati dengan gaulan deruman enjin bas, jeritan kondoktur Bas Metro dan hon kereta Kancil. Saya berkalih, meneroka alam tipikal Kuala Lumpur yang mendung dan bersepah dengan sampah - mencari punca bunyi yang lunak itu.
Seorang apek tua, duduk terkedang, lutut kirinya menegak, sedang kaki kanannya memangku objek pelik. Di hadapannya ada cawan plastik kosong, tidak terisi air, dan saya tahu, tujuannya bukan untuk menagih minuman. Mukanya luntur dari sebarang perasaan. Namun, rambutnya yang memutih, tersirat seribu satu rahsia yang tak mampu saya ulas dengan kata-kata.
Dia menggesek. Saya sekadar menjeling, berpura-pura tidak teruja melihat keanehan pagi itu. Dia menggesek lagi, lebih kuat dan bunyinya seperti biola yang rosak. Bunyinya, jujur kata, agak buruk. Namun, bunyi itu lebih mesra berbanding dengan bunyi buatan yang terhasil apabila pemandu bas sengaja menekan-nekan pedal minyak.
Kasihan, getus perasaan saya. Begini nampaknya nasib seniman tua. Teringat karya SN Anwar Ridhwan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, yang telah diterjemah ke dalam puluhan bahasa asing itu. Dia ini, adalah watak realiti seniman, berketurunan Cina. Nampaknya, mereka pun mengalami nasib seperti pemain gamelan, pemain rebab atau pemain wayang kulit, yang ditenggelamkan oleh rentak pantas-keras konsert dan tempik sorak peminat rancangan realiti televisyen. Saya tak tahu, siapa yang patut dipertanggungjawabkan. Syarikat penerbitan? Penaja yang terlalu mengikut kehendak komersial? Pemimpin negara, baik barisan atau pakatan? Atau saya sendiri?
Saya tidak menunaikan hasrat seniman tua yang tenggelam bersama Erhunya itu. Mungkin pagi itu perjalanan dari Putrajaya begitu panjang, membuatkan hati saya sedikit keras untuk menghadam dan menghargai seni atau karya asing di tengah kesibukan kota. Jadi, saya tinggalkannya dengan harapan - esok, jika ada kericing duit siling di dalam poket, saya akan manfaatkan untuknya, pejuang seni tua, biar apa pun latarnya. Saya berjalan pantas ke Pasar Seni, melanggar lampu isyarat pejalan kaki dan separuh berlari menuju ke Lebuh Ampang.
Hari ini, yakni setelah beberapa hari menyaksikan persembahan percuma itu, saya tidak lagi nampak pemain Erhu yang selesa membuat persembahan di jalanan. Entah ke mana hilangnya. Barangkali diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diletakkan di rumah orang tua? Atau, barangkali, sudah dikutip oleh aktivis seni, membawanya ke pentas dengan niat luhur, mahu karya muziknya diapresiasikan oleh masyarakat umum. Entah. Namun, terbit sedikit penyesalan.
Suara kecil di jiwa membisik, "kalau pemain erhu itu mati, siapa yang akan menggantikan tempatnya?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan