Kelab Peminat

Pendengar

Kadangkala, saya suka duduk mendengar masalah pelanggan yang singgah ke pejabat. Latar mereka rencam. Yang kaya akan bercerita mengenai tidak selesanya duduk di negara sendiri. Yang miskin akan mengatakan betapa susahnya untuk membesarkan anak-anak di tengah-tengah kemelut kehidupan yang tidak pernah berhenti. Masing-masing membawa cerita. Dan, saya hanya duduk di hadapannya, menjadi pendengar dengan setia.

Begitu juga sahabat-sahabat. Menjadi pendengar adalah lumrah, jika kita menjadi insan yang dipercayai. Saya melihat perubahan pada sahabat saya, lantas bertanya soalan yang sangat perlu ditanyakan, "kawan, kau ada masalah untuk diceritakan kepadaku?"


Memuhasabahkan diri ini kembali - saya bukanlah seorang yang pandai mengorek rahsia. Cuma, apabila mendengar sahabat setia bercerita, saya mendiamkan diri - memberi ruang seluas-luasnya untuk sahabat saya meluahkan segala keluh-kesah. Apabila keadaan mula tenang, saya mencuba bertanya soalan, supaya perbincangan tetap terus - tidak tergantung dan apa yang menikam tidak bernanah di dalam hati. Saya mengingatkan diri, agar soalan yang ditanya perlulah berhati-hati. Setiap masalah yang tersimpan, umpama sembilu yang menyelinap di dalam jantung. Salah tarik - jantung berhenti.

Menjadi pendengar, tidak mudah sebenarnya. Setiap manusia, umumnya bermasalah dan ingin berkongsi masalah dengan insan yang dikasihinya. Begitu juga pendengar. Apabila sahabat atau kekasih datang untuk melepaskan tekanan, maka sang pendengar juga akan menghulur tangan memikul bebannya. Sesetengah pendengar, sudah sedia ada memikul beban yang berat, maka apabila kekasihnya datang memberitahu masalah peribadi, bebannya akan bertambah. Maka, mereka akan sama-sama bertangis, saling mendakap erat dan mengusap ubun-ubun. Kalaulah sang teman itu tahu, sahabat pendengarnya menangis untuk masalahnya yang tak terucapkan.

Menjadinya tidak pernah mudah - pendengar.

Membuka telinga lebih baik daripada membuka mulut. Banyak orang akan datang kepada kita dan menceritakan rahsia-rahsia kehidupan mereka, secara sukarela. Dari situ, kita akan belajar bahawa kita adalah salah seorang dari manusia seperti mereka juga - manusia yang tidak pernah lari dari masalah.

Tiada ulasan: