Kelab Peminat

Negara Tanpa Tentera

Lain pula ceritanya di negara yang terletak di penjuru timur jauh.

Jepun, negara yang dikenali sebagai gergasi dalam dunia teknologi dan inovasi. Sejarah bangsa mereka juga panjang - bahkan kedudukan geografinya juga jauh daripada pertembungan tamadun-tamadun besar dunia, selain daripada tamadun Cina. Jepun membangunkan latar kebudayaannya sendiri dan pandangan alam itu masih terzahir sungguhpun dunia melangkah ke modernisasi.

Saya berkesempatan merasai kecanggihan negara Jepun. Serba-serbi kehidupan dimudahkan dengan kecanggihan teknologi elektronik. Sewaktu berada di kaunter imigresen, kedua petanda jari telunjuk pendatang asing seperti saya diimbas. Kemudian, semasa menunggu sahabat saya datang menjemput, delegasi kami didatangi oleh dua anggota polis.

Dengan sopan, mereka meminta pasport kami dan mencatat sesuatu daripadanya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah sahabat saya, saya mengambil kesempatan bertanya tentang tindakan anggota polis tersebut.

"Oh, polis di sini, bukan bertujuan memburu orang. Mereka hanya menjalankan tugas. Sebenarnya, prinsip yang dipegang oleh orang Jepun adalah 'tidak mahu menyusahkan orang.'"

"Tetapi, kemasukan dan permohonan visa ke negara ini ketat sekali," saya meningkah.

"Benar. Tetapi, kamu harus tahu, secanggih-canggih negara ini, mereka tidak mempunyai barisan tentera yang mempertahankan negara," kata sahabat saya.

Saya mengangkat kening. "Kenapa begitu?"

"Kalah perang. Perjanjian Postdam."

"Jadi, apa yang mempertahankan negara Jepun ini?"

"Anggota polis mereka. Barisan tentera pula adalah daripada Amerika Syarikat."

"Oh, begitu..." balas saya.

Beberapa hari kemudian, kami membincangkan topik yang sama ini.

"Bagaimana Jepun mahu mempertahankan diri kalau ia diserang?" saya bertanya. Perihal negara tanpa tentera itu benar-benar membuat saya tertanya-tanya.

"Jepun bukan negara yang tidak bijak," kata sahabat saya itu. "Mereka mencipta pelbagai peralatan dan mengeksportnya ke seluruh dunia. Dan sekarang, dunia bergantung kepada teknologi daripada Jepun. Jika Jepun diserang, maka pada teknologi mana lagi dunia mahu bergantung?"

Saya mengangguk. Namun, saya masih tertanya-tanya bagaimana Jepun boleh terus makmur tanpa barisan pertahanan rasmi, sepertimana negara kita. Bagaimana rakyat Jepun menjamin keselamatan antara mereka?

"Kerana prinsip negara Jepun, mereka tidak mahu menyusahkan orang."

Saya mengangguk-angguk. Dalam hati, saya berbisik: "Mungkin ini adalah pelajaran daripada gugurnya dua bom atom di negara mereka."

Penerbangan nan Tertunda

Hari itu, saya terasa sedikit lewat. Saya menjangkakan, saya akan tiba satu jam lewat daripada sepatutnya. Pagi itu, entah apa yang telah melekakannya saya. Perjalanan KL Transit dari Putrajaya terasa lama.

Saya menelefon kenalan yang akan bersekali ke Tehran hari itu. Nombornya saya perolehi daripada salah seorang wakil Kedutaan Iran di Kuala Lumpur. Niat utama, mahu mendapatkan teman ke sebuah negeri yang panjang susur galur sejarahnya.

"Awak tak perlu bergegas kerana penerbangan kita ditangguhkan selama 6 jam."

"6 jam?" getus suara hati - terkejut

Tatkala sampai di kaunter pendaftaran, barisan sudah berlingkar. Saya paling terkebelakang. Ada tulisan merah yang tertera pada papan pemuka, memaklumkan status penerbangan Iran Air. Rasanya, hanya saya seorang sahaja dari Malaysia di dalam barisan itu.

Sebetulnya, inilah pengalaman pertama saya menaiki Iran Air dan terbang ke negara Iran. Dua tiga hari sebelumnya, saya disapa rasa gusar, memandangkan saya akan mengembara ke sana seorang diri, tanpa seorang pun kenalan. Harapan keselamatan saya sandarkan pada janji kerajaan Iran untuk membiaya seluruh kos perjalanan, termasuk tempat tinggal, makanan dan pengangkutan sepanjang 4 hari saya di sana, sempena dengan Persidangan Antarabangsa Penerbit Dunia Islam kali kedua. Saya, mewakili Klasika Media, menjadi salah seorang delegasi Malaysia.

Setelah selesai urusan pendaftaran di kaunter, saya mendapatkan dua lagi delegasi Malaysia yang akan bersama saya untuk persidangan tersebut. Salah seorangnya adalah berbangsa Parsi yang telah menetap lama di Malaysia. Sudah tentu, Bahasa Melayunya juga fasih.

Kami berbasa-basi memesrakan diri. Empat hari perjalanan akan kami tempuhi bersama. Jam-jam terakhir sebelum kami memasuki badan pesawat, kami berbincang mengenai situasi dunia semasa - bagaimana besarnya peranan Amerika Syarikat dalam membentuk pola kehidupan warga bumi sekarang. Dan umumnya, gaya campur tangan Amerika, jarang disukai oleh negara-negara lain. Apatah lagi buat Iran.

Perbincangan kami berlarutan. Kami sekali lagi dimaklumkan bahawa kapal terbang masih belum boleh diterbangkan. Di balai menunggu untuk masuk ke dalam pesawat, kami lihat surat khabar dan air mineral diedarkan.

"Itu tanda penungguan kita akan menjadi lebih lama."

Sejam berlalu, daripada waktu yang dijanjikan enam jam sebelum ini. Kesemua penumpang sudah keletihan dan mula duduk di atas lantai, mungkin kerana lenguh duduk di atas kerusi.

Tiba-tiba, kebisingan memuncak apabila seorang wanita Parsi dalam lingkungan 50-an, bangun dan bercakap dengan lantang kepada petugas Iran Air. Ramai orang mula berkumpul dan menyertai nada wanita berbaju merah jambu itu. Keadaan menjadi riuh seketika sebelum mereka perlahan-lahan menenangkan diri, walaupun masih marah-marah di tempat duduk.

"Tekanan menjadikan mereka begini," kata kawan Parsi saya itu.

"Saya sepatutnya memahami," kata saya.

"Kamu tahu kenapa penerbangan kita tangguh?"

Saya menggeleng dan berminat untuk tahu.

"Puncanya adalah sekatan. Apabila sesebuah negara itu dikenakan sekatan, maka seluruh warganya akan mendapat kesan. Tahukah kamu kesemua pesawat Iran Air sudah usang dan tidak pernah berganti?"

"Maksudnya, sejak Revolusi?"

"Ya. Begitu juga dengan alat gantiannya."

"Begitu sekali? Jadi, kita akan menaiki pesawat yang berisiko?"

"Ya. Tetapi, lebih baik tangguh daripada terbang dalam keadaan bahaya. Iran Air mungkin mengambil kesempatan untuk penyelenggaraan pesawat di Malaysia - yang tentu menjimatkan kos mereka. Jika tidak, alat ganti perlu melalui banyak saluran dan banyak bayaran."

Saya menggelengkan kepala. Nasib para penumpang pada kecekapan juru terbang. Kegusaran sekali lagi menusuk jiwa.

"Takut mati, ya?" suatu suara berbisik.

Saya hanya mampu tersengih sendiri.

Tidak lama kemudian, pengumuman kedengaran. Saya memberanikan diri juga untuk menyertai barisan masuk ke dalam perut pesawat.

BismilLahhi alaihi tawakkaltu. La haula wala qu wata illa bilLah.

Allahuma solli ala Muhammad. Wa aalihi wa sohbihi Muhammad!

Dua Kota Timur 1

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kumulai dengan segala puji kepada Allah dan selawat dan salam ke atas baginda, keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Kata pepatah nan cendekia, 'jauh perjalanan di dunia, luas pengalaman dirasa.' Hanyasanya dengan pengalaman melalui peristiwa itu sendirilah, maka mengukuhlah keyakinan yang mengakar dalam jiwa. Keyakinan tentang adanya kuasa yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa mentadbir alam semesta, yang rencam juzuk-juzuknya, tetapi mampu menyatu tunduk kepada aturan-Nya yang serba sempurna. 

Telah dijadikan manusia itu, berbilang bangsa untuk saling kenal mengenal dan bertuturlah mereka dalam pelbagai bahasa, sebagai bukti Kekuasaan dan Kebijaksanaan yang Maha Mencipta. Bahasa yang tersurat membayangkan akal yang tersirat adanya. Akal yang menampung ilmu anugerah ilahi merupakan kurniaan tertinggi buat makhluk-Nya dan dengan akal-lah manusia itu diberi erti - haiwan yang berkata-kata.



Sebermula, dua bangsa mahsyur dijadikan Allah SWT di dua penjuru dunia. Dan aku telah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai kehidupan singkat di kota mereka, mengenali bagaimana pengalaman sejarahnya, menjadikan mereka dan merenung bagaimana pandangan alamnya, membentuk ketamadunan yang mereka bina. 

Akan kukongsikan pengalaman bersama mereka, untuk renungan dan iktibar bagi kita. InshaAllah.