Kelab Peminat

Dua kali lima juga

Letak gambar berhala ni, marah pula Naqib nanti.

Aku baru kebah dari demam sebenarnya. Teruk jugalah, tapi aku ambil suplemen air berlebihan sebagai homeopathi untuk mengawal perubahan drastik sistem dan imunisasi badan aku. Dalam sejam, dua tiga kali kena ulang pergi bilik air. Malas aku nak menyerah dekat mana-mana klinik. Mana tahu, kalau tiba-tiba kena suspek kena selesema b**i, terganggulah kehidupan normal aku kalau kena kuarantin. Alhamdulillah, Tuhan datangkan ujian ini sekejap sahaja.

Malam semalam, aku pergi menonton filem Angels and Demons, adaptasi novel Dan Brown. Itupun, setelah cari orang nak teman macam cari jarum dekat pantai Glenelg. Mujur Fitri (Doti), yang aku jamu nasi lemak sambal cendawan, bersetuju menemani aku. Kalau tak, melepaslah peluang nak tengok wayang dengan harga tiket yang murah.

Bukan nak cerita pasal hebatnya wayang dekat Palace Nova itu, tapi aku nak cerita sikit tentang filem ini. Aku belum sempat tempuh mana-mana karya Dan Brown lagi, itulah hakikatnya. Jadi, menonton filem semalam, aku terpaksa merengkuh jugalah fakulitas pemikiran aku. Minat aku mendalam sebenarnya dalam hal ehwal rumah tangga agama Katholik ini. Yalah, membaca bab 1 buku Islam and Secularism (Syed Naquib Al-Attas), membuatkan banyak perkara yang boleh dikaitkan. Misalnya, konflik dalam filem semalam adalah mengenai pertubuhan rahsia, Iluminati, yang tiba-tiba buat hara waktu perlantikan Paus baru di Vatican. Antagonis dan Protagonis cerita dibelit-belitkan sampai aku (juga penonton) beberapa kali dikejutkan dengan twist, sampai terkeliru mana satu baik mana satu jahat. Tapi itu tak penting. Yang penting, kedua-dua pihak dalam cerita ini, memang ada buat salah sesama sendiri dan saling balas-membalas dendam sepanjang masa.

Kenapa?

Katholik dikatakan terlalu taksub. Ahli Iluminati pula terlalu mencabar ketuhanan, sehingga mendakwa sendiri yang mereka telah mencapai kekuasaan tuhan. Maka, kedua-dua ini saling bertentangan hingga banyak berlaku pertumpahan darah.

Kalau dalam bab 1, Islam & Secularism; The Contemporary of Western Christian Background, dinukilkan yang pengganut Kristian menghadapi pelbagai rencaman masalah sejak pusat keagamaan mereka dipindahkan dari Jeruselam ke Vatican. Masalah dalam kepercayaan dan pegangan Kristian semakin goyah dan pencemaran budaya Roman (yang majoritinya pagan) dalam agama Katholik menyebabkan institusi Kristian semakin parah. Gereja makin menekan rakyat dan berlakukah macam-macam peristiwa sehingga membuahkan masalah yang tak sudah-sudah sampai sekarang. Kumpulan sains, diseksa atas penemuan-penemuan mereka. Misalnya dalam peristiwa La Purga, di mana 4 orang saintis dicop dengan besi panas pada dada dan dibiarkan mati di khalayak awam, sebagai pengajaran kerana cuba mencabar institusi gereja dengan penemuan sains mereka. Banyak lagi kalau hendak diperkatakan, dan tak perlulah aku huraikan di sini, kerana masing-masing ada mata dan banyak masa lapang untuk mengetahui dan membaca tentang sejarah Eropah itu.

Jadi, apa kena mengena dengan kita pula?

Aku renungkan dan berfikir. Selama beberapa abad sistem Islam memimpin 2/3 dunia, kemajuan sains bergerak seiring dengan kemajuan agama (maksudnya, lebih ramai dapat mendalami Islam, dari akar sampai pucuknya. Bukan Islam waktu diwahyukan dulu tak maju). Tak percaya, cuba selak dalam silibus usrah, banyak diceritakan tentang hebatnya kerajaan Khalifah zaman dahulu. Dan, kemajuan orang Islam (yang bukan sahaja orang Arab waktu itu), telah mempengaruhi Eropah untuk bangun dari era kegelapan dan meneruskan tradisi ilmu yang diwarisi dari orang Islam. Sampailah satu ketika, orang Islam gagal mempertahankan sistem kepimpinan terbaik (sistem seperti Khulafa Ar-Rosyidin) itu dan ditinggalkan jauh oleh orang Barat dalam ketamadunan dunia. Boleh kata sekarang ini, anak murid mula lawan tokey. Tokey sekarang pun dah lingkup mana hala.

Tetapi, itulah hakikatnya zaman sekarang, zaman orang gelar zaman moden ini. Aku perhatikan masalah masyarakat Barat tentang perselisihan agama dan sains menjangkit pula dalam ummat Islam. Sudahlah terjangkit, merebak ke seluruh pelosok bumi Islam, sampai membarah dan tak ketahuan mana ubat mana penawar. Ummah asyik saling berkelahi dan orang-orang Barat (dan orang bukan asal dari Barat, tapi berfalsafah mengalahkan barat) bertepuk tangan macam tengok persembahan badut dekat sarkas. Badut yang pakai baju merah menjulang keris kata dengan mengikut dia sajalah ummat boleh mencapai kemajuan. Yang badut satu lagi pula kata dengan menjerit reformasi sampai serak suara, ummat akan maju. Dua-dua berlakon sungguh-sungguh berebut negeri lombong, sampai orang ramai dah cemuih tengok dua badut itu bersandiwara tak habis-habis. Akhirnya, ummat makin rugi dan dimanipulasi oleh tokey-tokey sarkis yang jelas dan nyata gipsi yang berpindah-randah dari satu negeri ke negeri lain.

Aih, macam mana pula boleh melalut ni.

Apa-apa pun, aku terkesan juga tengok cerita Angels and Demons. Rasa nak berdiri dan tepuk tangan pun ada semalam waktu cerita habis. Bukan apa, seronok sangat apat tengok kecelaruan ketamadunan rumah tangga orang. Tapi, bila fikir-fikir balik, rasa macam tepuk dekat diri sendiri dan ummat sendiri pula. Rumah tangga ummat kita pun dua kali lima juga.

Rumah kita

Kebelakangan ini, aku meneliti huraian-huraian yang menarik tentang seni bina rumah Melayu. Garis kasarnya, rumah Melayu ini memang direka untuk fleksibel dengan iklim khatulistiwa yang panas dan lembap. Unsur angin, cahaya, tanah, serangga, arah kiblat, sinaran kosmik, ultra ungu, keseimbangan terma dan sebagainya, sememangnya telah diambil kira oleh para arkitek dan jurutera sivil Melayu dahulu untuk membina rumah yang serba selesa. Itu memang boleh kasi tabik.
Tapi, bukan setakat itu sahaja.
Seperkara lagi, rumah Melayu juga menyimpan falsafah yang tiptop dan kalau direnung-renungkan. Memang betullah orang kata rumah itu sekolah paling awal sekali untuk membentuk manusia. Dapur misalnya, elemen yang penting di dalam sesebuah rumah. Dapur seperti yang anda (dan juga saya) tahu, adalah ruang untuk menyimpan, menyediakan dan memasak makanan. Juga, ia digunakan sebagai tempat makan. Memandangkan orang Melayu mempunyai kecenderungan yang mendalam untuk makan 24 jam, jadi, jika sesebuah rumah itu tak berdapur atau dapurnya tak aktif, maka tak hiduplah rumah dan orang-orang di dalam rumah itu. Patutlah rata-rata orang kita risau betul kalau dapur rumahnya tak berasap.
Orang yang mengurus dapur ini, kita panggil orang dapur. Orang dapur juga dikenali sebagai orang rumah atau suri rumah. Dan, kalau kita cakap orang dapur, orang rumah atau suri rumah, sudah semestinya kita rujuk pada orang perempuan. Aku menyelak kamus Dewan IV, cari apa pula maksud 'suri' itu. Suri, bak tulis kamus itu, bermaksud contoh teladan yang baik untuk ditiru. Kalau kita bina balik frasa tadi; jadi suri rumah bererti: orang di rumah yang berteladan baik dan patut ditiru. Macam menyusahkan pemahaman pula pengertian ini. Tapi, apa yang hendak disampaikan di sini adalah, suri rumah ini adalah orang yang tersangatlah penting dalam pembinaan dan penjagaan sesebuah rumah itu. Rumah, selain dihuni oleh si suami yang rajin bekerja, ia turut dihuni oleh anak-anak kecil yang buas macam lipas, terutamanya budak-budak laki. Jadi, suri rumah adalah insan yang baik untuk membentuk dan mendidik budak-budak ini untuk jadi bagus dan baik. Itupun kalau suri rumah itu boleh diteladani dan ditiru akhlaknyalah.
Lagi tentang rumah Melayu ini, ruang dalamannya tidak disekat oleh hadangan (partition). Ini penting juga untuk membentuk pemikiran. Konsep psikologi proxemics (ruang fizikal) diguna secara menyeluruh dalam penyusunan ruang-ruang di dalam rumah Melayu. Biasanya, rumah Melayu tidak ada dinding yang memisahkan antara ruang-ruang lain. Misalnya, rumah ibu (ruang tamu) dan dapur hanya dibezakan dengan aras ketinggian lantai. Kebiasaannya, orang-orang kita bolehlah dikatakan bersikap terbuka, fleksibel dan mampu menerima apa yang berlainan, asalkan mengetahui baik dan buruknya. Jadi, bagi sesiapa yang rasa jumud tak tentu hala itu cuba renung-renung balik binaan rumah yang membesarkan anda sekian lama. Mana tahu, mungkin anda dibesarkan dalam bilik sahaja, sampai tak tahu apa yang berasap di dapur.
Pokoknya, rumah Melayu asli memang dibina betul-betul bersesuaian dengan citarasa dan keadaan kita, sebagai orang Melayu. Bukan nak banggakan bangsa kita tak tentu pasal, tapi itulah keistimewaan yang kita punyai, tetapi jarang betul jumpa orang yang beutl-betul hargai.
Rasa-rasa teringin juga nak buat rumah kayu ini balik bila aku dah berduit nanti. Takkan nak biar anak-anak aku berjiwa orang putih sedangkan kulitnya masih koko (itupun kalau aku kahwin dengan orang Melayulah).
Tapi aku terfikir kembali, tentang realiti yang berlaku sekarang. Yalah. Kenapa ada budak-budak kampung sekarang ini kenapa jahat macam setan dan perangai mengalahkan iblis (Aku berasal dari kawasan boleh dikatakan kampung ya). Apakah madrasah yang bernama rumah itu telah gagal dalam konsep dan falsafah pembinaannya? Atau, ada tungau yang memerap dalam rumah Melayu, meracun akhlak dan membengkakkan kedajalan sehingga bangsa Melayu asli macam mereka makin mengulup ditelan zaman.
Fikir-fikirkanlah.

Rengkuh dan terkejut

1. Aku merengkuh tenaga dan masa untuk mengemaskini rekabentuk blog ini. Bila buat kira-kira balik, rasa-rasanya dekat 2-3 jam aku di kerusi dan secara tak sengaja aku sengalkan bahu. Apa-apa pun, aku harap paparan baru ini bolehlah masuk dalam pasaran. Huh, kalau tak, penat sahaja merengkuh.

2. Baca Utusan, ada laporan yang PM kesayangan (?) menitahkan pada rakyat tentang rasa terkejutnya. Apa nak dikejutkan, Datuk Seri? Tiap-tiap hari rakyat terkejut, tak heboh nak cakap dekat akhbar pun. Harga tol naik, harga minyak naik, harga ayam naik, ragut sampai mati, sumbang mahram, Ayah Pin, PPSMI dan banyak lagi yang rakyat terkejut bila bangun tiap-tiap pagi. Masalah ah long ini, lama dah Datuk Seri. Takkan tiba-tiba baru nak terkejut? Ke baru ada orang kejut?

Teja Kembali



Terasa canggung mengarang. Benar kata orang berpengalaman, kalau tinggal sesuatu kemahiran lama-lama, ia akan tumpul dan tersedak-sedak. Takut-takut nanti, bila lama sangat dibiar berkarat, nanti langsung tak boleh pakai dan semua itu akan menjadi sebuah sejarah dan kenangan sahaja.

Bukan apa. Terasa kadang-kadang diri ini kurang juga. Yalah, segan juga nak bersuara dalam kalangan orang yang serba bijak, serba alim lagi soleh dan solehah. Nak dibandingkan dengan kita, macam kangkung dengan ulam raja sahaja. Kangkung bolehlah tumbuh di tubir-tubir longkang, walau sebusuk mana longkang itu, sedangkan ulam raja itu bukan sekadar gah pada namanya sahaja, bahkan gah juga pada cara tumbesarannya. Ulam raja tak mainlah di ceruk-ceruk berlendir dan melekit. Ulam raja akan tumbuh mencacak tinggi, berbanding kangkung yang menjalar entah ke mana. Ulam raja dipetik dan boleh terus dijamah, sedangkan kangkung ini perlu dijerang dan dipanaskan, takut-takut batang hijaunya menyimpan lintah yang boleh menghisap darah dari dalam perut.

Baik, bukannya nak cerita pasal kangkung.

Sebenarnya nak ajak sahabat-sahabat seperjuangan semua untuk merenungi apa yang kangkung ini renungkan.

Sepanjang kangkung ini cuba berakar di relung pengarangan, kangkung dapati banyak dari kita yang bagus benar mengarang. Mana tidaknya. Masing-masing kan mempunyai fiil ulam raja, yang menjadi pilihan utama manusia dalam hidangan. Unsur manusiawi dalam ulam raja, yang mesra dengan lidah, yang akrab dengan mulut dan memuaskan perut, amat memikat ramai manusia untuk memetik pucuknya dan dijamu pula siang dan malam. Wah, betapa hebatnya sahabat kangkung ini yang selalu menjadi tumpuan manusia, apatah lagi yang berbangsa Melayu.

Namun, boleh tak kangkung ini mengusulkan sesuatu? Kangkung ini ada satu seruan sebenarnya.

Bagi kangkung, ulam raja yang sekadar mesra-mesra pada lidah, mulut dan perut, masih terasa tak cukup. Memang ada orang makan ulam raja mentah-mentah sahaja. Tetapi, cuba bayangkan (atau rasa) isi pengarangan si ulam raja disaji dengan sambal belacan dan tempoyak. Tak kecur selera dibuatnya?

Maksud kangkung nan sebatang di sini adalah; hidangan karangan yang hanya berintikan kisah tentang jiwa dan perasaan, tentang rapat atau renggangnya persahabatan, tentang besar atau kecilnya ujian Tuhan dan sebagainya, masih belum cukup untuk memberi kepada kepuasan selera. Ia perlu datang dengan sambal belacan dan tempoyak.

Tempoyak di sini adalah sari yang boleh membuatkan orang teringat-ingat akan lemak masamnya. Bukan sekadar teringat-ingat sahaja, bahkan sampai terfikir-fikir. Bila orang mulai berfikir, orang akan membuat renungan. Bila ada renungan yang dalam, akan bercambahlah buah-buah akal yang akan memberi khasiat yang besar pada tubuh rohani.

Sambal belacan pula, seperti yang kita tahu, pedas sifatnya. Mungkin hidangan karangan itu pedas dari segi lahiriyah. Tetapi, pedas juga boleh jadi pedas batiniyah. Pedas batiniyah itu, merangsang kita untuk meneguk air ilmu lagi dan lagi. Semakin pedas hidangan sambal belacan yang disulam dalam ulam raja, semakin banyaklah tegukan air ilmu diperlukan untuk meredakan kepedasannya.

Nah, itulah hebatnya juadah makanan Melayu. Bukan sekadar memberi kepuasan pada nafsu (nafsu makan dalam hal ini), bahkan mampu untuk merangsang pemikiran.

Kangkung tak maksudkan yang kita perlu melupakan ulam raja dan mengalih fokus kepada tumbuk sambal dan peram ulas durian. Ulam raja itu perlu, sebagai bahan asas. Bahan asas untuk tempoyak dan sambal itu sebenarnya. Tanpa ulam raja yang menusuk kalbu itu, apalah gunanya lemak tempoyak dan pedas sambal, kan? Tetapi, tanpa sambal dan tempoyak, pasti akan kuranglah kenikmatan yang akan dikecap jika memakan ulam raja itu mentah-mentah.

Kesimpulannya, hidangan ulam yang sedap adalah dengan sambal dan tempoyak. Tempoyak mampu membuatkan orang merenung dalam, sehingga menumbuhkan buah-buah akal. Sambal pula, boleh membakar lidah batiniyah, sampai memaksa orang meneguk air ilmu bergelas-gelas, lagi dan lagi. Tapi, sambal dan tempoyak itu, taklah bermakna tanpa kehadiran ulam raja - yang lebih manusiawi dan juga asas kepada kepedasan dan kelemakan sambal dan tempoyak. Tanpa ulam raja yang rapat dengan jiwa Melayu itu, akan menjadi janggal bagi orang nak menyentuh sambal dan tempoyak begitu sahaja.