Kelab Peminat

Debu dan lain-lain

Debu
Debu kota melekat di jiwa,
Mengabusi manikam makna insan.

Mahkamah
Lincah lidah saling bertikam,
Mengharap bangga sanjungan manusia.

Wawasan
Ke hadapankah maju,
Hidupkah jasad tanpa hatinya?

Rusuh
Sukakah kita berkumpul,
Gagal menjawab apa niat.

Bala
Apa lagi namanya bala,
Diam di rumah dapat bencana.

Taubat
Allah takkan mengendah,
Sesal hamba doa tak sudah.

Teksi



(kredit filem pendek: krew 15Malaysia)

Setiap hari minggu, Isnin hingga Jumaat, saya berulang-alik dari Putrajaya ke Wangsa Maju. Seawal jam 7 pagi, saya mengambil bas E1, ke Pasar Seni dan akan mengambil LRT Putra terus ke Wangsa Maju. Sesampainya saya di Wangsa Maju, jika saya malas untuk mengambil bas, saya akan mengambil teksi untuk ke pejabat.

Menggunakan pengangkutan awam di Malaysia, bagi saya, ada banyak manfaat. Jika kita mengkesampingkan keberkesanannya, melihat dari perspektif yang lain, pengangkutan awam, baik di Malaysia atau di mana-mana negara sekalipun, menjanjikan sesuatu yang amat lumayan untuk kita peroleh setiap hari.

Khususnya, jika anda pengguna teksi.

Setakat ini, di kawasan Setapak-Wangsa Maju, pemandu teksi begitu ramah berbual. Biasanya, saya akan duduk di hadapan, bersebelahan pemandu dan saya akan menunggu bicara pertamanya terlebih dahulu, sebelum berdialog lebih lanjut.

Misalnya, Jumaat tempoh hari, seorang pemandu teksi mengeluh mengenai gejala ragut yang meningkat sejak akhir-akhir ini. Bahkan, beliau sendiri menceritakan pengalaman adik iparnya yang diragut oleh penunggang dan pembonceng motorsikal. Mujur, adik iparnya berjaya menyelamatkan wang gaji yang baru dikeluarkan dari ATM, telefon bimbit dan beg tangannya sekali. Namun, kedua-dua belah lututnya meninggalkan luka disagat jalan.

Selain daripada mengetahui hal ehwal semasa, pemandu teksi juga tidak lokek untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan yang berguna.

Tengah hari Jumaat lalu, saya bersama bos menaiki teksi untuk ke masjid.

Kami berbual mengenai kereta apa yang bagus untuk belanjawan jimat. Jadi, pada pandangan saya, bertanya pada pemandu teksi mungkin satu langkah yang baik untuk mengetahuinya. Tambahan, pemandu teksi itu juga bercerita mengenai pengalamannya memandu lori selama 38 tahun, mengitari Pulai Pinang, Kuala Lumpur sehingga Singapura.

"Tak rugi kita bercampur dengan orang yang berlainan latar. Kita bukan sekadar berada dalam lingkungan orang yang 'baik' sahaja." Begitulah kami membuat kesimpulan.

Malah, seorang pemandu teksi juga memberi nasihat-nasihat yang membina setiap pagi, dan sudah tentu, secara percuma! Misalnya, pada suatu hari, saya dinasihatkan untuk membuka perniagaan sendiri, oleh seorang pemandu teksi.

"Adik, rezeki perniagaan adalah 9/10 dari rezeki yang Allah bagi," katanya memberi semangat. Saya mengangguk, membenarkan katanya.

Di akhir pertemuan dengannya, kami meminta untuk saling mendoakan antara satu sama lain. Mana tahu, mungkin dia mungkin dari orang yang soleh, yang termakbul doanya.

Banyak lagi cerita lain. Namun, saya simpankan supaya anda sendiri merasainya, bermanis muka dengan pemandu teksi dan beramah mesra sepanjang perjalanan. Anda sendiri akan merasai kelebihannya.

Pada masa yang sama, saya mendalami pesan seorang sahabat yang saya kira, benar-benar memberi pengaruh besar.

Katanya, "Jadilah seperti pelajar, belajar dengan semua orang. Daripada orang yang alim, kita belajar tentang ilmunya. Dari orang yang tak 'alim, orang yang jahil, kita belajar dari diri kita sendiri - belajar mengenali kesabaran dan keimanan kita."

Pernah saya mendengar, kisah orang-orang soleh dahulu, Lukman Al-Hakim. Beliau ditanya bagaimana beliau boleh menjadi begitu berhikmah, beradab dan bijaksana mengatur kehidupannya.

"Saya belajar dari mereka yang tak mempunyainya."

Jadi, untuk rakan-rakan, saya sarankan teksi sebagai 'universiti' akhlak dan budaya masyarakat Malaysia. Mungkin kita terpaksa mengorbankan sedikit wang ringgit, namun perjalanan dan perkongsian akan menjadi bermakna sekiranya kita bijaksana membina kerangka pandangan kita.

Dunia Melayu

Sudah lebih sebulan saya pulang ke tanah air, tanah yang mendasari hawa panas dan lembap. Di Putrajaya, pusat pentadbiran negara, iklim tropika benar-benar terasa. Hujan boleh kata turun setiap hari, bersama petir dan titisan-titisan kasar. Awan di langit padu-padu belaka, dan di hujung timur, awan hitam kumulusnimbus meragas banjaran Titiwangsa. Apabila panas, tak usahlah dicerita.

Orang Melayu boleh dikatakan majoriti di Malaysia. Di mana-mana, baik di bank, di pasar, di masjid dan di atas jalan raya, orang Melayu amat mudah dijumpai.

Orang Melayu ini unik. Warna kulitnya pelbagai ragam, dari yang gelap hinggalah putih suci. Mata mereka bundar, dan anak matanya sudah semestinya hitam, sama seperti warna rambut ikalnya. Ada juga orang Melayu yang berambut lurus. Biasanya, ketinggian orang Melayu jarang melepasi 180cm. Yang perempuan, biasanya bertudung dan berbaju kurung. Apabila tiba hari Jumaat, orang Melayu lelaki akan memakai pakaian rasmi mereka, baju Melayu dan hari tersebut, mereka akan berpusu-pusu ke masjid, untuk menunaikan solat Jumaat.

Orang Melayu boleh dikatakan terkenal dengan sikap pemalu. Mereka amat sukar dilihat berkelahi di tepi-tepi jalan. Berbanding dengan orang Arab atau Pakistan, salam di kalangan orang Melayu jarang-jarang juga kedengaran. Banyak kali juga saya menyampaikan salam pada mana-mana orang Melayu yang saya jumpa, namun susah mendengar jawapannya. Saya jangka, orang yang menjawab salam itu menjawab salam di dalam hati. Mungkin kerana malu.

Kanak-kanak Melayu juga tidak sebuas kanak-kanak orang putih. Jarang kelihatan anak-anak Melayu yang liar, melompat sini-sana, memanjat itu ini dan berbuat bising. Biasanya, anak-anak Melayu kelihatan berdamping dengan ibu bapa.

Seperkara lagi, orang Melayu jarang mengata yang buruk-buruk di hadapan orang. Saya kira, mereka akan menyimpannya dalam hati, hatta perkara yang perlu ditegur. Mereka akan berjalan laju meninggalkan sesuatu yang tidak disukai atau kadang-kala menggeleng-gelengkan kepala.

Di samping itu, orang Melayu amat menjaga keharmonian masjid. Di dalam masjid, mereka sering mengadakan kuliah, meskipun yang datang cuma orang-orang tua. Di dalam masjid, hiasannya juga begitu indah dan kelihatan Al-Quran tersusun kemas di dalam rak. Setiap kali solat, hanya wajah-wajah yang biasa kelihatan akan memenuhi saf pertama.

Di dalam televisyen, orang Melayu dipaparkan dengan bermacam-macam cara. Ada dipaparkan dengan barisan korporat. Ada dipaparkan sebagai hantu dan bomoh-bomoh jampi. Ada juga yang dipaparkan sebagai pengikut tegar budaya barat. Jarang-jarang kelihatan orang Melayu tradisional yang dipaparkan di kaca televisyen, seperti cerita bangsa Inggeris klasik di dalam siri Merlin atau Robin Hood.

Setakat ini, ini sahajalah yang saya nampak dalam kalangan bangsa ini, bangsa yang mendiami bumi panas lembap, yang hampir dengan garisan khatulistiwa.

Sebelum saya lupa, orang Melayu sangat inovatif dalam hal ehwal makanan. Setiap jenis menu dalam dunia ini, pasti sudah dimasak oleh orang Melayu dan boleh didapati di gerai-gerai berdekatan. Jika bernasib baik, rasanya akan berganda-ganda lebih sedap dari hidangan asli, di mana makanan itu berasal.

Bila Tim Ajarku Berlayar

(entri lama, saja nak kongsi)

Aku sebenarnya memang sudah lama hendak kongsi benda ini. Tapi, aku simpan, biar masak; macam biar air gula dan cuka meresap dalam jeruk amra juga. Bila lama-lama, barulah sedap kalau kunyah petang-petang. Namun, kalau rendam dalam air gula dan cuka terlalu lama pula, takut ceroi jadinya. Maka, aku rasa, inilah masanya aku keluarkan dan hidangkan.

Aku jumpa dengan Tim sebulan lepas, di pantai Henley, hentian 25c kalau naik bas 130 dari Currie St. Dekat situ ada Boat House milik University of Adelaide Sailing Club. Hari itu, memang cuaca baik sangat-sangat dengan anginnya bertiup ala-ala semilir di Selat Melaka. Ini sebenarnya kali pertama aku ke sini, mengikuti aktiviti kelab ini. Orang yang suka mencuba-cubalah katakan.

Pukul 10 pagi, kami sudah siap pasangkan kapal layar Laser. Satu kapal, kongsi dua orang. Aku kebetulan disuruh oleh Commodor untuk kongsi Laser dengan Tim. Mula-mula, rasa segan juga. Bukannya aku ini jenis penyegan. Ada communication barrier sebenarnya, seperti kata cikgu BI. Tapi, Tim yang banyak keloi rasa mesra, sampai aku tak majal lagi bercakap bila dia membawa Laser ke tengah gelombang. Laut hari itu pun biru semacam, macam mengalu-alukan kami berlayar di atasnya.

Tim sebenarnya orang yang sudah berlayar banyak kali, jadi, memang Commodore bagi kepercayaan untuknya mengajar aku yang baru lagi junior ini. Dari segi dia mengendalikan layar utama dan rudder, aku tahu dia memang sudah pakar. Apatah lagi, sambil membelok-belokkan Laser di tengah laut, dia giat menerangkan kepadaku dengan penuh semangat. Walaupun gelombang kuat menghentam starboat dan portboat, memaksa kami mengesot-esot di gunner untuk memastikan Laser stabil, tetapi, Tim tetap dengan semangatnya untuk memahirkan aku yang betul-betul benak dalam bidang pelayaran ini.

Pengajaran pertama di tengah-tengah laut itu adalah membaca dari mana angin datang. Membaca arah angin ini penting, bak kata Tim. Kalau nak bawa Laser ini bergerak lawan angin, kena gunakan teknik Tag. Kalau ikut arah angin.. err.. aku tak ingat namanya. Tapi adalah Tim ajar aku. Selepas itu, Tim ajar bagaimana nak belokkan Laser. Ada dua cara belokan. Satu yang ambil sudut yang besar dan satu lagi yang ambil sudut yang runcing. Yang sudut runcing ini, paling mencabar. Silap-silap, Laser boleh terbungkang masuk dalam laut kalau tak pandai imbang berat. Lagipun, boom, yang memberatkan layar utama ke bawah akan beralih-tiba-tiba, dari kanan ke kiri, atau dari kiri ke kanan. Kalau tak tunduk, Boomm!! Alamatnya benjollah kepala. (sebab itulah ia dinamakan boom). Seperkara lagi, pelayar juga perlu mengesot-esot kiri dan kanan gunner supaya Laser dapat tegak berdiri walaupun tiba-tiba bertukar arah haluan.

Yang paling menarik, apabila Tim memberi kuasa penuh untuk aku mengemudi Laser. Itupun setelah panjang lebar dia terangkan kepadaku dan membawaku berlayar mengelilingi laut pantai Henley beberapa lama. Aku mula-mula cuak juga. Siapa tak cuak? Bayangkan kalau tiba-tiba aku menyebabkan Laser itu tenggelam. Bayangkan kalau aku kena bayar ganti rugi Laser itu? Bayangkanlah! Tapi, Tim macam tak kisah sangat tentang itu, rasaku. Aku terkial-kial juga nak memberi respons pada angin yang kerap bertukar ikut suka itu. Laser yang aku kemudi itu, bergerak lebih perlahan dan tersangkut-sangkut. Dalam keadaan begitu, Tim masih lagi berusaha memahamkan aku cara membaca dan mengaplikasikan angin, biarpun dia terpaksa mengulangnya dua tiga kali.

Lama kelamaan, aku sedikit sebanyak tahu membawa Laser, walaupun tak berapa cekap. Tim pun, masih tekun membantu. Sekali-sekala Tim mengujiku, bertanya mana arah angin datang. Dan aku pun, tercangak-cangak, melilau mata merasai punca tamparan angin. Rupa-rupanya, aku masih tak pandai lagi mengagak dan masih mengharap bantuan Tim untuk menunjukkan. Argh, betapa benaknya aku! Tetapi, Tim nampak macam tak letih-letih menunjukkan apa yang betul apa yang salah. Aku naik malu juga bila pelajaran Tim tak masuk-masuk dalam kepala. Tetapi, dorongan dan penghargaan Tim bila aku berbuat perkara yang betul, membuatkanku lapang dada dan mahu terus mencuba dan mencuba. Kata-katanya seolah-olah memberi motivasi kepadaku; supaya jangan malu kalau tak tahu; jangan pendam kalau tak faham. Tak ada yang perlu disegankan. Tak ada yang perlu dibanggakan kalau kita sudah pandai pun. Chewah, berfalsafah pula aku.

Antara pelajaran yang paling menarik aku rasa adalah apabila Tim memberi petua bila angin akan datang. Dia tudingkan telunjuk pada sebahagian laut yang lebih gelap warna birunya. "Oh, lihat, kalau waran biru gelap itu ke mari, angin sedang mara ke arah kita. Bersedia!" Memang betullah kata Tim itu. Bila laut lebih biru gelap itu sampai sahaja ke Laser, Laser kendalianku menjadi lebih ringan dan meluncur laju membelah ombak. Aku ternganga. Hebat betul petua ini.

Kami pulang ke pantai setelah sejam berlayar. Mujur aku tak mabuk laut. Kalau tak, pasti diejek berjalan terhuyung-hayang di atas pasir kuartza. Tim mengambil pelajar baharu pula dan aku berpindah ke kapal layar yang lain, Catamaran, yang lebih besar kapalnya dan lebih ramai penumpangnya. (Catamaran adalah kapal Commodore). Tetapi, pengalaman belajar berlayar dengan Tim memang mantap habis!

p/s: Kami sempat diekori oleh seekor ikan lumba-lumba apabila berlayar. Memang teruja sungguh!

Syurga makanan

Saya telah kembali ke Malaysia, negara yang digelar syurga makanan. Memang tidak dapat dinafikan dakwaan itu. Di mana-mana, di ceruk mana, di kampung mana sekalipun, pasti ada, paling kurang sebuah gerai untuk kita menjamu selera. Soyok-soyok tepi jalan, gerai burger boleh ubah atau kedai mamak 24 jam, merupakan dapur rasmi bagi perut orang Malaysia. Bahkan, biasanya gerai yang paling popular di bandar selalunya terletak di tempat yang bakal disita oleh majlis bandaraya.

Saya masih tergambar-gambar pengembaraan kami ke Whylla, bersama Syeikh dan 14 rakan yang lain. Empat daripada kami, adalah sahabat-sahabat Australia, blonde, putih merah dan bermata biru atau hijau. Selebihnya orang Melayu dan seorang Lubnan. Seingat saya, itulah pengembaraan berkumpulan yang paling mencabar yang pernah saya hadapi sejak saya tinggal di Australia. Kami bersepakat untuk bertolak ke sana, pada jam 10 malam, menempuhi perjalanan selama 5 jam, dengan harapan untuk tiba di Whylla awal pagi. Namun, malang tidak berbau, ujian selalu tak bagi 'can'. Salah satu kereta yang kami naiki, berpusing-pusing ke dalam belukar gurun. Palang tepi jalan nyaris-nyaris melibas saya yang duduk di belakang, namun, kuasa Allah, ia mengenai bahagian belakang kereta. Salah satu tayar kereta pecah, diikuti dua lagi tayar yang terseret di atas pokok shrub yang kasar dan keras.

Kami berkampung di tepi jalan, di tengah-tengah gurun hampir satu hari satu malam.

Setibanya di Whyalla, saya memeriksa bahan-bahan makanan yang kami bawa. Sekali lagi, Allah menguji kami. Seekor kambing biri-biri yang telah siap dipotong, yang sepatutnya digunakan untuk bekal perjalanan ini, telah tertinggal di rumah Maple. Kami menelefon Arshad dan beliau mengesahkan yang daging itu memang tertinggal di rumah, betul-betul di hadapan peti ais. Yang ada cuma beras, gula, teh, garam dan beberapa bahan mentah lain. Tiada lauk.

Saya mengkhabarkan hal ini pada Syeikh. Ternyata Syeikh marah, kerana saya kesani dari perubahan raut wajahnya. Dia tak banyak bercakap dengan saya selepas saya maklumkan yang daging untuk lauk tertinggal di rumah. Saya rasa bersalah.

Tetapi Syeikh seorang penyabar. Dia membawa saya ke Coles untuk membeli barang-barang untuk dimakan oleh semua orang. Saya mendapat tahu yang dia sudah semalaman tidak tidur, gara-gara menguruskan kereta yang kami naiki semalam. Dalam kelelahan, dia masih mampu menanggung karenah saya.

"Kita beli ikan Herringbone. Berapa kilo?" tanya Syeikh.

"2 kilo cukup untuk makan malam ini."

"3 kilo. Sunat."

Saya patuh. Itu anjuran yang baik sebenarnya, walaupun harga ikan di Australia berganda-ganda mahal dari daging atau ayam. Apatah lagi ikan-ikan di sini semuanya diimport dan nama ikannya juga jarang-jarang kedengaran.

"Syeikh, saya masak malam ini. Saya perlu bertanggungjawab."

"Saya bantu kamu."

Kami memasak. Syeikh memotong tomato, bawang dan ubi.

"Kamu nak masak apa?"

"Nasi dengan kari ikan."

"Jangan lupa berdoa pada Allah. Rezeki Allah yang beri."

Saya mengangguk. Mengantuk datang menggigit mata. Saya juga tidak tidur semalaman. Syeikh meminta diri untuk ke dewan solat kerana beliau mahu mengadakan kuliah buat kawan-kawan saya yang lain. Kuliah sementara kami semua menunggu makan malam siap.

Saya memasak nasi di dalam periuk. Periuk yang agak tinggi. 10 pot beras saya ceduk ke dalam periuk tersebut dan saya letakkan di atas api yang agak kecil. Saya juga siapkan kari ikan di dalam 3 periuk yang berasingan. Alif Anwar dan Humam membantu saya untuk menyediakan hidangan makan malam untuk 15 orang.

"Humam, kenapa nasi tu tak masak. Air dah kering." Saya risau. Ada bau hangit mencucuk hidung.

Humam memeriksa apa yang berlaku. Ternyata saya masih kurang berpengalaman memasak nasi di atas api.

"Ini dah tak boleh makan ni. Kena buang ni," Humam berkata demikian. Saya terasa ia satu kerugian yang sangat besar. Sangat-sangat besar.

Salah saya juga kerana selalu mengacau nasi tersebut. Belum sempat lagi nasi itu masak, ia sudah hancur terkena senduk. Ya Allah, apa dosa yang telah aku lakukan? Kenapa susah sangat kami nak sediakan makanan ini?

Saya lihat di dalam kampit beras. Hanya tinggal sedikit sahaja lagi beras. Saya risau, jika sekali lagi nasi ini dimasak, ia tak akan dapat menampung semua orang. Tambahan, semua orang sudah lapar kerana tidak makan sejak malam semalam.

Tetapi, Allah mahu tunjukkan yang rezeki itu memang dari-Nya. Kami ambil keputusan untuk memasak beras yang tinggal. Kami berdoa, moga-moga Allah datangkan keberkatan.

Nasi kali ini dimasak di dalam ketuhar gelombang mikro. 3 mangkuk besar nasi beratur menunggu giliran. Lima belas minit, satu mangkuk nasi siap, kemudian diganti dengan mangkuk yang lagi satu. 45 minit diambil untuk memasak kesemua nasi.

Saya berdebar-debar. Cukupkah nasi untuk kawan-kawan saya lapar ini?

Saya dan Humam menunggu sehingga semua duduk mengelilingi talam, berdoa, menyuapkan makanan ke dalam mulut dan mengunyah makanan. Ada satu mangkuk nasi lagi yang belum diedarkan.

Mangkuk nasi pertama dan kedua habis. Kami mengedarkan mangkuk nasi terakhir. Alif Anwar membantu kami menuang kari ke dalam setiap talam. Kawan-kawan nampakya makan dengan penuh berselera.

"Syukri, Humam. Mari segera makan. Ada banyak lagi nasi ni." Pelawa Syeikh.

Saya menarik nafas lega. Mulanya memang saya sudah berniat tidak mahu makan, untuk memberi laluan pada rakan-rakan saya. Saya perlu dihukum kerana banyak melakukan kesalahan berkenaan makanan.

Nasi tak habis. Kari ikan pun masih ada satu periuk lagi. Berkat rezeki Allah, nasi yang sedikit cukup untuk lebih lima belas orang makan (kerana ada 2 orang penduduk tempatan menyertai kami makan).

"Esok aku goreng nasi ni," Aliph menyuarakan hasrat. "Ini caranya orang Malaysia tak membazir makanan."

Syeikh dan kawan-kawan yang lain teruja mendengar.

Esoknya, sekali lagi, nasi yang digoreng Aliph cukup untuk dirasai semua.

Memang berkat rezeki Allah. Allah Maha Memberi Rezeki.

Ingatan saya kembali semula di Malaysia, di mana setiap hari saya tak gusar tentang makanan harian saya.

Saya sebetulnya merindui susah-payah bersama di Australia.

Harapnya di sini, saya akan lebih menghargai makanan, walaupun makanan begitu banyak di sini.

Syurga makananlah katakan!

Az-Ziarah

Kuketuk pintu,
Dibukanya, disuruhnya tunggu,
Telah datang tetamu pertama,
Kami menunggu di bilik utama.

Anak kecilnya datang,
Bulat matanya, begitu manja,
Buku ditangan, disuruhnya baca,
Satu persatu, gambar dan kata,
Diikutnya penuh teruja.

Tetamu awal memohon diri,
Tinggal kami berlima,
Bosnia yang akan berkata-kata,
Turki telah menunjuk jalan,
Aku dan India; menjadi peneman,
berdepan dengan tuan Lubnan.

"Siapa memberi alamatku pada kalian?"
Bunyinya gusar,
Takut yang datang membuat onar.

"Kita bersaudara, ziarah kerana Tuhan,
Bukan kerana hidangan,
Bukan sebarang urusan,
Cuma luangkanlah masa tuan."

Buku lain dibawa anaknya,
Kubaca, separuh mendengar,
Mahu tahu bicara mereka,
Ayahnya bermuram durja,
Katanya ada bala menimpa.

Parut dikepalanya dijadikan bukti,
Pernah bisu, pernah buta, pernah koma,
Bahana barah yang merosakkan kepala.
"Ayah, ayah kenapa?"
Diulang kata anak-anaknya,
Berkali-kali,
teresak-esak.

"Tuan, ini ujian Tuhan cuma."

Dipandang anaknya sepi,
Ada rasa dalam tersembunyi,
Aku kembali tertunduk sendiri,
Bila bertembung matanya penuh erti.

Anaknya menarik lenganku,
Satu lagi buku baru di ribaku,
Gambar ditunjuk satu persatu,
Disuruhku namakan,
Disebutnya tanpa jemu,
Sedang aku gelisah,
Berhadapan ayah yang teramat resah.

"Bersabarlah tuan,
Darjat tuan bakal ditingkat,
Laluilah dengan penuh cermat,
Nabi Ayub sakit teramat,
Ditinggalkan hati untuk mengingat,
Pada Allah yang mempunyai kudrat."

Anaknya meminta izin sopan,
Ibunya sudah memanggil makan.

"Terima kasih tuan, memberi ingatan,
Tiada kawan saat kukesedihan,
Tiada teman saat kukeseorangan,
Memang benar namanya insan,
Saat gembira mereka sahabat,
Saat derita mereka khianat"

"Tuan, saudara takkan mengenal bangsa,
Walau berbeza nasib dan citarasa,
Biar berlain bahasa dan warna,
Bila Allah jadi matlamat utama,
Bukan cuma berbicara semeja,
Bahkan cinta mekar dan mesra."

Kami memohon diri,
Suria di ufuk memanggil kami.

Kami beratur mengucapkan selamat,
Disentuh janggutku, direnung mataku,
"Jangan pernah tinggalkan yang sunat,
Pulunlah pahala sementara sempat."

Aku yang terakhir keluar,
Berpaling sekilas, saat melangkah,
Ucapan salam penutup bicara.

Pada anaknya, kucium,
Pada ayahnya, kudakap.
Sebagai saudara, kukirimkan doa.

Putrajaya
1 Februari 2010