Kelab Peminat

Sikap 3. ISK

INI SALAHNYA KITA (ISK)

Amaran, entri paling panjang pernah saya tulis.

1. Merendah-rendahkan martabat ilmu

Ilmu yang seperti kita tahu, adalah sumbernya dari Allah. Ia diturunkan melalui Jibril ke Nabi Muhammad SAW, kemudian ke para sahabat ra, pada tabi’, tabi’ tabi’in, ulama’,ulama’,ulama’......................... tok-tok guru, dan akhirnya kepada kita.

b. Maka, ilmu itu sifatnya sangatlah tinggi.

c. Berbeza dengan maklumat, ilmu bermaksud:

i. Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu. –Fakhruddin al-Razi, diketengahkan semula dan diperbaiki oleh Syed Naquib Al-Attas – dipetik dari Penjelasan Budaya Ilmu, Wan Mohd Nor Wan Daud.

ii. Makna pula bermaksud : pengenalan tentang kedudukan sesuatu dalam satu sistem yang berlaku apabila hubungan sesuatu itu dengan perkara lain dalam sistem itu difahami dengan jelas – Syed Naquib Al-Attas.

iii. Beza antara maklumat dan ilmu boleh dikiaskan seperti berikut:
1. Bukan seperti komputer, mempunyai banyak maklumat, tetapi maklumat itu tidak bermakna pada komputer itu.
2. Manusia pula, apabila mendapat maklumat, ia akan menggunakan maklumat itu untuk manfaat dirinya, untuk manfaat komunitinya dan untuk manfaat manusia lain.

iv. Jadi, dalam hal ilmu ini, baik mengajar dan belajar, apatah lagi ilmu agama, perlulah ditanggap dengan berhati-hati, dengan saluran yang betul dengan adab yang betul.

d. Dalam masyarakat Melayu Adelaide, mungkin kerana ramai di kalangan kita dipilih dan dibiaya atas kecerdikan kita, maka ada suatu macam sikap yang berbahaya terhadap ilmu – merendahkan taraf ilmu dan orang berilmu (yang ada autoriti terhadap ilmu itu, seperti ulama’, ustaz yang tersohor dan mufti).

i. Sikap ini terjelma apabila kita cenderung menyamatarafkan semua orang pada satu ‘level’ yang sama. Misalnya, orang alim atau mufti, dianggap sama taraf dengan naqib-naqibah usrah, atau syeikhul malayuween.

ii. Contoh yang paling jelas adalah semasa kedatangan mufti Perak tempoh hari. Saya memerhatikan bagaimana layanan yang diberikan kepada orang berilmu. Adabnya, apabila orang berilmu bercakap, seelok-eloknya kita dengar (sungguhpun ada yang kita tak setuju). Namun, kita lebih cenderung untuk bising dan bercakap sesama sendiri dan membiarkannya bercakap seorang diri.

iii. Orang seperti mufti juga seharusnya dimuliakan. Dimuliakan atas dasar ilmunya. Bukan dibiarkan terkontang-kanting seorang diri, mencari kasutnya berselerak dengan kasut-kasut kita dan duduk melangut keseorangan di barisan hadapan. Layanan yang diberikan sungguh tak beradab. Kalau bukan AJK sekalipun, tak elok membiarkan orang sepertinya tercangak-cangak tak tahu membuat apa.

iv. Lainlah kalau mufti itu naqib atau naqibah kita. Naqib, dari segi autoriti ilmunya, mungkin tidak ada. Kesarjanaannya juga sudah semestinya tiada. Jadi, sikap kita dengan naqib sudah pasti berbeza dengan sikap kita terhadap mufti.

v. Itu baru hal kita dengan mufti, apatah lagi mufti dari kalangan bangsa kita sendiri. Kalau dengan ulama’ lain?

vi. Saya terpaksa membuka isu ini secara umum kerana mahu kita semua ambil perhatian, sungguhpun saya adalah salah seorang AJK dan sepatutnya menyuarakan hal ini sewaktu post-mortem. Namun, ini bukan salah AJK sahaja. Mereka ada tugas lain perlu dibuat pada hari itu. Yang lain-lain itu, kalau dah tahu tuan Mufti ditinggalkan begitu, maka kenalah ambil inisiatif.

e. Dalam erti kata lain, ilmu direndahkan sehingga orang yang tak berautoriti atau berkelayakan, di mana cakapnya dianggap sama sahaja dengan orang yang berkelulusan dan memperoleh sarjana dari sistem pendidikan Islam.

i. Adakalanya, ada majlis ilmu yang terang-terang dikendalikan oleh orang yang berautoriti dan mempunyai kesarjanaan.

ii. Namun, kita yang tak mahu pergi kerana terpaksa menghadiri program lain. Tak kisahlah program apa. Main bowling ke, makan-makan dengan perempuan ke dan atau program yang so-called beragama (tetapi diacarakan oleh senior-senior yang belajar medicine, engineering dan sebagainya).

iii. Yang patut membuatkan kita malu, tok guru yang seorang ini, sanggup berpayahan untuk memandu lebih ½ jam semata-mata mahu mencari anak muridnya. Namun, apa yang berlaku, tok guru sebegini dipandang enteng oleh mereka yang mempunyai saaaaangat banyak masa lapang dan sepatutnya boleh datang. ‘Tak datang majlisnya hari ini pun tak apa. Minggu depan dia buat lagi.’ ‘Alah, naqib aku dah cakap dah tentang agama. Cukuplah.’ ‘Malaslah nak pergi. Rumah tu tak muat. Kalau nak belajar, mesti la kena selesa.’ Sikap mereka yang acuh tak acuh terhadap ilmu jelas menunjukkan bahawa martabat ilmu direndahkan, serendah-rendahnya.

f. Sebabnya, kenapa perkara ini perlu dibangkitkan adalah kerana dengan ilmu, cahaya keimanan boleh menyala. Ilmu di sini bukannya sama dengan maklumat yang diperolehi melalui kuliah, surat khabar, Wikipedia dan sebagainya. Ilmu adalah yang memberi makna ke dalam diri kita dan kehidupan kita. Yang memandu kita supaya bukan sahaja mempunyai pengetahuan dalam bidang geologi, engineering¸ kedoktoran, tetapi mempunyai ilmu tentang bagaimana nak memandu hidup sebagai seorang geologis, sebagai seorang engineer, sebagai seorang doktor dan juga sebagai seorang farmasis. Dari situ, barulah maklumat geologi, maklumat enjin dan batang paip, maklumat tulang dan darah, maklumat dadah dan ubat-ubatan –bermakna kepada kita.

g. Kalau takat nak datang sini sebab nak berhibur, baik balik Malaysia, lagi banyak hiburan. Kalau takat datang sini nak makan-makan, baik balik Malaysia, lagi banyak makanan. Kalau datang sini, takat nak belajar dengan naqib-naqibah Melayu sahaja, baik lagi belajar di Malaysia. Ini orang nak tunjuk macam mana nak beriman beb, boleh selamat dunia akhirat beb. Tak bermakna lagi ke apa yang diajarnya itu?

h. Dalam masalah ini, kita telah meletakkan ilmu bukan pada tempatnya (terutamanya ilmu agama), bukan pada tempat yang tinggi itu. Kita anggap ilmu agama ini macam pameran di Art Gallery dan SA Museum, yang kalau tak pergi pun tak apa. Kalau pergi pun, dapat tunjuk muka pun jadilah. Bukan ambil manfaat dan aplikasikannya dalam kehidupan. Bukan memaknakan maklumat (maklumat agama) dari orang yang berautoriti dan berkelayakan untuk bercakap tentangnya.

2. Kecelaruan Falsafah, terutamanya falsafah beragama dan berpendidikan.

a. Isu ini sebenarnya sukar untuk ditanggap, melainkan buat orang yang mempunyai pengetahuan mengenai hal ini. Ini kerana, sempadan antara masalah dan tak bermasalah dalam konteks ini sangatlah kabur. Namun, ia perlu juga dijelaskan dan diketengahkan, supaya masyarakat kita lebih berhati-hati dalam menanggapi kecelaruan ini.

b. Keceleruan dalam falsafah Islam terjadi apabila kita dengan mudah mengambil pendekatan bukan Islam (pendekatan barat) dan menjadikannya sebagai kerangka dan menampalnya dengan label Islam dan mengisytiharkannya sebagai 100 % Islam. Contohnya, arak, diisi dalam botol Gatorade. Orang yang tidak tahu yang air kuning itu arak pasti akan meneguknya, kerana ia menyangka minuman inilah yang akan memberi tenaga yang hebat pada mereka.

i. Hal ini telah dijelaskan dengan panjang lebar oleh Al-Ghazali, sepertimana dimaklumkan oleh Al-Attas dalam huraiannya di dalam bab The Muslim Dilemma, Islam and Secularism, terbitan ABIM (1978).

ii. Walaupun ada kalanya kita dengan penuh cermat membawa masuk idea luar (atau pendekatan bukan Sunnah) ke dalam konsep falsafah beragama, namun ia sebenarnya mencabar kebergantungan kita pada Islam yang tulen (yang Sunnah, yang nabi buat), kerana idea luar, sedap hati, ikut trend orang ramai itu bukannya 100% boleh di-Islam-kan!

iii. Dalam erti kata lain, kerangka idea luar ini cuba disumbat-sumbat dengan idea Islam di dalamnya, supaya nampaklah Islamnya dan bolehlah dipakai.

iv. Misalnya, di sini, di dalam tempurung Melayu ini. Islam jemaah di sini saya lihat dipaparkan dengan konsep ‘semua orang akan suka.’ Maka, untuk memenuhi ‘semua orang akan suka’ ini, dibuatlah berkhemah di Aldinga, senam aerobik hujung minggu, main futsal, jalan-jalan , seronok-seronok dan sebagainya. Bayangkan, sistem ‘semua orang akan suka’ yang tak pernah dilakukan dalam sejarah Nabi, Sahabat, Khalifah Islamiyah, digunakan sebagai method utama dalam menyebarkan agama. Apa cara Nabi, Sahabat dan Khalifah Islamiyah dahulu tak lengkap ke? Ini baru satu kes.

c. Kes yang lain, yang saya kira agak berat.

i. Apabila kita mengendalikan suatu program bersifat ilmiah, mengembara ilmu-lah katakan, pernah tak kita mengajak hadirin mengkaji validity, kesahihan yang disampaikan dalam program itu?

ii. Mungkin kita pelajar sains, naif dalam bidang logik-falsafah-agama ini. Jadi, kita bersikap seperti anak burung, menganga bila ada orang nak suapkan makan.

iii. Kadang-kala, kita seolah-olah terpesona, melihat agama Islam ini cukup ‘cantik’ dipadankan dengan dengan sains. Cukup cantik ditangkapmuatkan dalam idea Barat yang selalu kita dengar. Contohnya, bila Stephen Covey cakap tentang 7 Habits of Highly Effective Person , kita tiba-tiba terpesona bila ada pihak yang ‘memantapkan’ apa yang diperkatakan beliau dengan menyumbat beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadits. “Tengok Stephen Covey pun cakap tentang Islam.” Satu lagi, bila kita tengok ada sedikit-sebanyak logik sains diketengahkan dalam membicarakan hal agama, maka kita pun meleleh air liur. Sedangkan, apa yang diperkatakannya itu, dari segi falsafahnya, dari segi akidahnya, atau dari segi fakta sains sekalipun, masih lagi belum sah. Contoh? Maaf, saya tak dapat mengemukakan contoh.

iv. Tetapi, tentang isu ‘tangkap-muat’ keaslian Islam ke dalam kerangka pemikiran luar/barat/nafsu, adalah satu perbuatan yang silap dan sangat melampau. Sangat tak beradab!

v. Katakanlah kita ini gila Stephen Covey. Bila Stephen Covey keluarkan bukunya itu, kita sakan seronok cari dalil-dalil, menyumbat di dalam kerangka yang ditulisnya, dan menyebarkannya. Dan, kita katakan; “Tengok, orang barat pun kata macam ini. Tengok, ada dalil yang menyokong apa katanya. Inilah baru Islam moden.” Hello~ bila Stephen Covey cakap begitu, baru kita nak jadi Effective Person ke? Kalau dia tak cakap, kita nak jadi apa?

vi. Kalau disentuh tentang hal ini, Imam An-Nawawi telah lama mengarang tentang sifat manusia yang efektif. Cuba buka kitab Riyadus-Solihin. Imam An-Nawawi bukan takat bicara 7 sifat, tetapi beratus-ratus sifat yang efektif untuk manusia dan untuk Muslim.

vii. Kita, orang kita, mudah sangat ternganga dengan benda yang baharu, malah benda dari Barat, juga Jepun dan Korea. Yalah, kita inipun serba kekurangan. Ulama’ besar kita pun kita tak kenal. Bila orang cakap tentang Hamzah Fansuri, Nurruddin Ar-Raniri, Abdul Rauf Singkeli, Prof Hamka, kita terpinga-pinga tak kenal. Macam manalah nak kenal, sumber ilmu pun terhad pada kitab-kitab moden dari Mesir sahaja. Kitab-kitab lama ini mana boleh buat masuk silibus usrah. Tak boleh masuk dalam kerangka jemaah kita. Tak syoklah belajar dengan cara kuno.

d. Dalam hal kita membicarakan sejarah pun, kita perlu berhati-hati.

i. Dahulu, waktu tingkatan 1 dulu, saya masih ingat tentang isu utama yang perlu diambil perhatian tatkala menanggapi sejarah iaitu bias dan kecondongan. Itu pelajaran kedua dalam sejarah, selepas takrif sejarah yang dikemukan oleh beberapa tokoh.

ii. Jadi, untuk mengelakkan bias dan kecondongan kepada satu puak, jemaah, parti politik dan sebagainya, maklumat tentang sejarah itu perlu diteroka, sebanyak-banyaknya.

iii. Bila pulang dari kem waktu musim luruh, yang ajar tentang sejarah kita, sepatutnya, kita menjadi lebih proaktif, membongkar maklumat-maklumat sejarah dengan lebih teliti. Ini kerana, kita mendengar dari satu sumber. Katakanlah sumber itu dari Syeikhul Malayuwin, yang bercakap tentang sejarah Turki.

iv. Apakah selepas kem itu, kita pergi ke perpustakaan, kita geledah rak 959.xxx di Barr Smith untuk mengkaji turun naiknya Khalifah Utsmaniyah itu? Atau kita menjadikan apa yang kita dapat itu sebagai satu-satunya informasi yang paling lengkap dan menutup mata dan telinga, untuk mendalami sejarah itu dengan lebih kritikal?

v. Tak ada masa? Mana boleh tak ada masa. Kata nak membina generasi harapan. Bolehkah kita berharap pada generasi yang tak mahu meluangkan masa untuk mengkaji sejarah turun naiknya bangsa dan agama? Kata suruh Melayu bangkit dan berubah. Nak berubah macam mana, kalau sejarah bangsa sendiri hanya terhad pada satu sumber sahaja.

e. Kecetekan, ketidaksungguhan, kesalahan, ketangkapmuatan kita dalam menanggapi falsafah beragama dan berpendidikan ini adalah sangat bahaya. Mungkin kesannya kita tak nampak sekarang. Kesannya 10 atau 20 tahun lagi. Contohnya, dahulu tulisan jawi diganti dengan tulisan rumi dengan tujuan untuk meluaskan perolehan maklumat dari kalangan rakyat. Namun, apa yang terjadi, orang kita sekarang terputus dengan kitab-kitab lama yang ditulis dalam tulisan jawi. Tiada akses. Tiada pintu. Orang Melayu buta dengan tulisan sendiri. Sebab itulah terkikis jati diri. Tak ada sambungan dengan kita dan orang yang hidup lebih awal dari kita.

i. Hal yang sama juga berlaku bila kita menangkapmuat idea, pemikiran, cara Barat dan menyumbatnya dengan Islam yang sangat luas itu. Ia menyebabkan kita terpaksa mencerai-ceraikan Islam, mengambilnya sebahagian dengan mengikut kesesuaian dan kemuatan, mengamalkan dan berbangga dengan mengatakannya ia adalah Islam yang syumul. Ini perbuatan yang sangat tak beradab!

ii. Kita menggalakkan kecetekan usaha untuk menanggapi ilmu dan sejarah. Semata-mata takut nanti ada maklumat yang membongkar kesalahan jemaah, persatuan dan cara kita. Ini secara langsung, telah melahirkan generasi yang malas dan hanya jadi pak angguk bila diwarisi dengan cerita separuh betul separuh boleh dipersoalkan. Atau, dalam bahasa akademiknya, satu bentuk indoktrinisasi. Ini telah dilakukan oleh kerajaan-kerajaan komunis, seperti Korea Utara, dengan menyekat penerokaan maklumat. Menyekat dalam hal ini, bukan sekadar menghalang dengan mendepang tangan, bahkan memperlekehkan usaha penerokaan dan ‘mengatakan’ penerokaan ilmu di luar kemampuan jemaah, persatuan, umur remaja mahasiswa, sebagai satu yang sia-sia. Golongan yang sibuk mengulit ilmu dan sejarah dilabel sebagai ‘serius, nerd, tak enjoy, orang tua dan sebagainya.’

iii. Selain dari pada itu, Islam dipaparkan dengan cara ‘semua orang suka.’ Ada nyanyian, ada video yang menggemparkan, ada senam aerobik, ada Facebook dan sebagainya. Bukan tak boleh buat. Boleh. Tapi, itu bukanlah hal yang utama. Bukan prioriti. Islam perlu ditampilkan sebagaimana ditampilkan oleh Nabi Muhammad SAW. Berjanggut, berjubah, berserban. Bukan mengatakan, “Agama Islam bukan takat berjanggut, berjubah dan berserban aja.” Beb, kena jaga cakap beb. Hang macam mempersoalkan sunnah Nabi kalau cakap macam tu.

3. Islam adalah agama universal.

a. Bukan macam Hindu, Buddha, Conficious yang terhad pada sempadan bangsa. Mungkin ia berkembang, tetapi menurut catatan sejarah (Negarakatergema) agama Hindu hanya dianuti sepenuhnya oleh Raja-raja, tidak dihayati sepenuhnya oleh rakyat. Agama Hindu, bersifat tak terkembang. Eksklusif!

b. Kalau kita kata Kristian universal, namun perkembangan itu terjadi setelah Kristan sekian lama wujud di Rom. Idea baru universaliti Kristian berpunca dari salah faham khutbah Nabi Isa as di mana salah faham pengikutnya terhadap mesej baginda yang mengatakan bahawa akan ada agama baru (agama Islam) yang akan menjadi agama yang universal, selepas agama yang dibawa baginda ini. Namun, pengikut Kristian (setelah berkurun baginda diangkat ke langit), mencipta agama baru iaitu Kristian, dan menganggap agama baru inilah yang dimaksudkan oleh baginda Nabi Isa dalam khutbah baginda dahulu. Padahal, ia adalah ciptaan yang direka-reka oleh pendokong agama ‘baru’ ini. Dan, dengan kehendak Allah, agama Kristian yang tersebati dengan Empayar Rom, tiba-tiba terkemban.

c. Agama Islam pula, sememangnya bersifat universal, sejak penurunan wahyunya lagi, di mana Allah SWT telah berfirman yang agama ini adalah untuk seluruh manusia dan seluruh alam. Allah juga berfirman supaya orang Islam mengukuhkan ikatan persaudaran walaupun terdiri dari latar yang berbeza. Berbeza dengan Kristian, agama Islam hanya mengambil masa kurang dari satu kurun (dari penurunan wahyu pertama), untuk mengumpul penganut yang berbilang bangsa. Arab, Turki, Parsi, Pakistan, Mesir, Turkistan, Berber, Eropah, Afrika, India, Cina, Melayu dan sebagainya, adalah penganut Islam tak kurang dari satu kurun pun.

d. Kita lihat di sini, ada sebuah persatuan yang tersohor, yang mengehadkan Islam kepada lingkungan bangsa sahaja. Atau, yang lebih parah, mengehadkan Islam pada sungkupan tempurung persatuan atau jemaah mereka. Penggunaan nama Islam dalam kapasiti persatuan umpama ingin meletakkan semua air laut ke adalam sebelah tempurung kelapa. Ada yang masuk, tetapi selebihnya tak muat. Yang masuk ke dalam tempurung itulah yang dibangga-banggakan, yang kononnya merekalah yang membawa Islam yang syumul. Jemaah itu berani pula memakai label Islam untuk mempromosikan ketidakcukupan yang ada di dalam tempurung itu dan mengakui pula bahawa mereka adalah universal. Yang menyayat hati, sikap mengehadkan Islam kepada bangsa, undergraduate, post-graduate dan sebagainya, adalah salah adabyang besar. Sangat besar.

e. Inilah dikatakan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Tidak adil pada kebesaran Islam. Meletakkan Islam pada segolongan bangsa, puak, jemaah, persatuan sahaja. Sekiranya benar mereka tidak mengehadkan Islam, kenapa persatuan Malaysia itu digemilang-gemilangkan. Ketahuilah, persatuan itu yang manfaatnya adalah untuk members sahaja. Lagipun, kalau benar persatuan itu adalah sama dengan Islam, kenapa dari dulu lagi tak wujud persatuan (sebab tiba-tiba muncul dalam awal tahun ini)? Dari dulu itu, dari zaman sahabat dan ulama besar silam. Malah, nabi sendiri memecah tembok puak-puak sewaktu zaman baginda. Ini, perkara baharu sebegini yang muncul sekitar 1900-an, dianggap sebagai satu-satunya jalan yang Haq.

f. Persatuan, lebih bersifat untuk memudahkan pengurusan kebajikan mahasiswa Melayu atau Malaysia, bukan menjadi ‘agama Islam.’ Jadi, untuk berlaku adil dalam hal ini, nama Islam tak boleh dipakai. Ini kerana, berpersatuan maksudnya berfokus. Persatuan fitrahnya bukan universal. Jadi, kalau begitu, nama Islam atau Muslimin perlu dibuang. Tak kiralah ianya parti politik atau badan bukan kerajaan. Di sini, kita tengok ia terlekat pada satu persatuan. Kalau nak kekalkan pun, mungkin boleh guna akronim yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Cadangan saya, Ini Suaka Melayu Adelaide = ISMA.


4. Kesimpulan

Jadi, penjelasan di atas walaupun bersifat penuh emosi, kurang petikan akademik, tak ada dalil – namun ia harapnya membuka mata, minda dan hati kita tentang apa yang sedang berlaku. Boleh sahaja ia dibuat seperti research paper, namun, ada ke orang nak baca atau ambil perhatian kalau ia bernada kaku? Buku rujukan pertama saya adalah buku Islam and Secularism oleh Syed Naquib Al-Attas, Penjelasan Budaya Ilmu oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud (anak murid Syed Naquib Al-attas), blog Rausyanfikir.com (di mana beliau membicarakan masalah yang sama berlaku di UTP). Dan rujukan saya yang paling utama, adalah melalui guru saya yang mengajar agama di Adelaide ini, dan kawan-kawan yang berpengalaman luas dalam hal jemaah, mahasiswa yang tak perlu saya sebutkan nama.

a. Inilah simpton-simpton penyakit yang terjadi dalam masyarakat kita di Adelaide ini. Rasanya, kalau nak tulis semua, mesti panjang berjela entri ini. Jadi saya ambil point yang betul-betul kena batang hidung, supaya kita bersin dan keluarkan semua kotoran-kotoran dalam badan bangsa Melayu di Adelaide ini!

b. Jadi, dari sini, kita cuba lakarkan sebuah gambar rajah tentang lingkaran masalah yang menyungkup bangsa kita di Adelaide ini.







c. Daripada sini, kita dapat lihat, kita berputar-putar pada masalah yang sama. Masalah yang menyebabkan masalah yang lain. Masalah, kalau kita selesaikan salah satunya pun, akan ada masalah lain yang akan meneruskan ini semua berlaku.

d. SEBAB ITULAH, SEBELUM KITA MEMBICARAKAN JALAN KELUAR, KITA KENA KENAL PASTI MASALAH ITU BETUL-BETUL DAHULU, TENGOK MACAM MANA PERGERAKAN MASALAH ITU, SUPAYA NANTI KITA BOLEH CARI MANA PUNCANYA DAN MENGAMBIL TINDAKAN YANG TEPAT

e. Saya bukannya nak emosi tak tentu hala, mengamuk macam orang gila, mengatakan itu salah, ini salah. Masalahnya, kita berada dalam satu lingkaran yang menakutkan!

f. Kita kononnya cuba menyelesaikan itu dan ini, namun masalah tak selesai-selesai pun. Biarlah beberapa tahun kita mencuba. Saya jamin, cara kita yang mencuba-cuba ini, tak akan ke mana. Khalifah itu yang diidam-idamkan tak akan dapat punya. Lagipun, kita di dunia ini, bukannya nak mengejar kerajaan.

g. Selepas entri ini, kita akan bicara jalan keluar pula. Jalan keluar dari putaran ganas yang membelit diri kita sekian lama.

h. Namun, berilah masa untuk saya, untuk mengarang dengan betul-betul dan teliti. Sayalah akan dipertanggungjawabkan kalau ini semua batil.

i. Saya minta, janganlah melatah atau melenting. Sabar itu penting!

Baik, jika anda nak membaca dari gaya akademik sila klik sini.

Sikap 2



Saya bertemu dengan kawan-kawan, teman-teman dan orang-orang lama di Adelaide, dua hari selepas entri Sikap 1 diterbitkan. Nyatanya, ada yang dapat menangkap apa yang saya cuba sampaikan. Ada juga yang masih memerlukan perbincangan lisan, supaya isu yang disentuh itu, dapat diambil perhatian. Saya berdoa pada Yang Maha Bijaksana, untuk memudahkan isu yang sekian lama membarah dan bernanah ini dilakarkan, untuk segenap lapisan masyarakat Melayu di Adelaide ambil pedoman dan iktibarnya. Sungguh, saya meminta pada-Nya, yang memiliki ilmu segenap ciptaan-Nya, agar memelihara kita semua dari kesesatan dan kesombongan.

Pertama sekali, eloklah saya katakan bahawa entri kali ini mungkin panjang dan akan bersifat teknikal. InsyaAllah, saya akan cuba sedaya upaya membawa perbincangan ini ke tahap yang mudah difahami. Sekiranya mesej yang ingin saya sampaikan ini masih sukar ditanggap, insyaAllah saya rela korbankan masa untuk memberi penjelasan perkara ini secara lisan.

Saya mahu memetik sebuah kata budiman yang berbunyi, ‘iman ibarat cahaya, ia akan menerangi kegelapan.’ Kata hikmah ini bernada kiasan, kerana di sini iman dikiaskan sebagai cahaya, di mana cahaya itu akan menghapus kegelapan andai bersinar terang. Iman, yang merupakan cahaya itu, tidak boleh bersinar sendiri, melainkan ia terpancar dari sebuah pelita atau lampu. Lampu adalah kiasan bagi ilmu, kerana, tanpa lampu, tiadalah cahaya. Tiada ilmu, tiadalah iman. Maka, ilmu dan iman itu adalah dua entiti yang sangat berkait rapat. Dengan iman dan ilmulah, kegelapan boleh hilang.

Dalam hal ini, saya mahu membawa perbincangan ke tahap empirikal, tahap yang boleh ditanggap oleh pancaindera dan akal. Penelitian isu sikap ini, banyak saya manfaatkan dari penulisan Syed Naquib Al-Attas, dalam buku tersohornya, Islam and Secularism. Untuk makluman, Syed Naquib Al-Attas merupakan salah seorang tokoh falsafah Islam yang tersohor dan juga berbangsa Melayu.

Jadi, kita ada beberapa persoalan mudah,

‘Apa masalahnya kita membuat persatuan yang so-called memperjuangkan Islam di Adelaide ini?’

‘Apa masalahnya kalau kita menumpukan dakwah ke orang Melayu sahaja di Adelaide ini?’

‘Apa masalahnya kalau kita (Melayu) conquer ISSUA sebab bangsa lain tak ambil port pun tentang ISSUA ini?’

‘Apa masalahnya kita menjadikan jemaah sebagai jalan hidup. Bukankah jemaah membawa Islam dan bukankah Islam itu cara hidup kita?’

‘Apa masalahnya kalau kita buat tak tahu persoalan yang begitu memeningkan kepala ini?’

‘Apakah puncanya masalah ini semua berlaku?’

Dan banyak lagi persoalan yang tak tertulis dan tak perlu ditulis.

Jawapannya, saya ada huraikan sedikit di entri Sikap 1. Izinkan saya sambung sedikit di sini.

Perkara yang berlaku, di sini amat memalukan kalau kita menanggapnya dengan fikiran yang matang. Perangai kebudak-budakan, yang terbawa-bawa dari sekolah menengah, mencerminkan sesuatu yang menyakitkan berlaku di dalam masyarakat bangsa Melayu yang bermastautin dan bermukim di Adelaide ini. Kita cenderung menjadi rasis. Sebagai orang Islam, kita mengabaikan orang lain yang juga beragama Islam, baik sama bangsa atau lain bangsa. Sebagai seorang mahasiswa (yang berpendidikan), kita mencerminkan ada virus-virus menakutkan dalam sistem pendidikan kita dan paradigma tanah air kita.

Perkara di atas itu semua berkepentingan. Ada kepentingannya.

Berkepentingan pada negara kita, kerana di sini, kita membawa nama negara kita – Malaysia.

Berkepentingan kepada bangsa kita, kerana di sini, orang akan lihat orang Melayu itu macam mana. Sama ada menjengkelkan atau bangsa yang terhormat.

Berkepentingan pada agama kita, kerana kita membawa agama dalam diri kita, di balik janggut dan tudung kita, buat orang yang memandang sikap dan perilaku kita. Inikah yang boleh membuatkan orang hormat agama Islam, sekiranya kita (yang so-called telah memilih ad-dinul Islam sebagai jalan hidup) masih lagi berperangai mengalahkan budak sekolah menengah?

Berkepentingan kepada sistem pendidikan negara kita. Apakah sistem pendidikan negara kita melahirkan orang yang matang atau melahirkan budak-budak hingusan yang datang ke menara gading semata-mata hendakkan segulung sijil, bukan segunung ilmu?

Dan paling penting, ia berkepentingan pada diri kita sendiri, selaku makhluk yang melakukan perangai tersebut. Perangai kita inilah nanti, akan dinilai, baik sewaktu kita pulang ke tanah air (kalau kita nak pulanglah), atau pulang ke akhirat sana.

Boleh sahaja saya membiarkan masalah ini berlaku, tanpa saya ‘penampar’ dengan entri ini. Saya pun sudah di tahun akhir, peduli apa saya dengan apa yang berlaku sekarang.

Akan tetapi, saya bukannya mengkarung. Warna kulit saya bukanlah boleh bertukar. Malu macam mana pun, orang lain mengata pada orang saya juga. Bangsa saya juga. Agama saya juga. Buruk-buruk bangsa saya pun, Allah dah jadikan saya Melayu yang Islam.

Jadi, kenalah kita mengambil perhatian isu ini. Mengambil perhatian dengan paradigma yang betul lagi sesuai. Dan sama-sama berbincang, mencari jalan keluar dalam masalah yang serba kusut dan berserabut ini.

Orang kita di sini mungkin dianggap memalukan. Saya pernah ditempelak oleh seorang Yahudi (anti-Zionis), tatkala berbincang isu Palestin. Dia mengatakan, ‘macamlah orang suka dengan apa Malaysia buat,’ apabila saya tegas mempertahankan apa orang saya telah buat untuk rakyat Palestin (seperti ceramah, derma dsb). Saya merenung, apa salahnya usaha kita? Mungkin tak membantu walau sedikit pun untuk penyelesaian isu Israel-Palestin kerana kita tak pernah pun duduk semeja dengan orang Gaza untuk bertanya, bantuan macam apa yang mereka perlukan. Sedangkan kita, sibuk ke sana ke sini, mengusung bendera mereka ke sana ke mari, memakai pakaian so-called bersama-sama dalam perjuangan mereka dan berceramah sini sana, tentang bernegara dan kebebasan. Atau mungkin sentimen orang Yahudi terhadap orang Islam begitu, sungguhpun dia anti Zionis dan anti-Israel. Entahlah. Tapi, saya nak juga tahu kalau boleh.

Itu mungkin salah satu masalah yang terjadi dari beribu-ribu masalah yang lain. Masalah ini, bagi saya, adalah kesan dari pada satu penyakit. Katakanlah penyakit ini namanya ‘penyakit hilangnya adab.’ Simpton untuk penyakit ‘hilangnya adab’ ini adalah buruk perangai, lembik, tak berakhlak, tak matang, terhegeh-hegeh, cetek ilmu, taksub berjemaah, taksub berpersatuan, gila hiburan, jahil dan sebagainya. Dan, simpton-simpton ini terjelma dalam diri manusia yang menghidapi penyakit ini. Seperti yang kita tahu, pesakit inilah yang kita lihat terjelma dalam diri manusia yang berperangai buruk, rasis, kebudak-budakkan, takbur dan sebagainya. Orang beginilah kita panggil masalah dan bermasalah.

Jadi, sebelum kita berbual panjang tentang jalan keluar, elok kita teliti dahulu penyakit yang menjadi punca masalah ini terlebih dahulu. Penyakit ‘hilangnya adab.’

Adab seperti yang dijelaskan oleh Syed Naquib al-Attas merujuk pada disiplin – disiplin jasad, minda dan rohani; disiplin yang mencerminkan dan mengiktiraf kedudukan seseorang individu betul pada tempatnya, baik betul kedudukannya pada dirinya dan pada masyarakatnya; betul pada keupayaan fizikalnya, intelektualnya, kapisiti kerohaniannya dan potensinya; mengetahui dan mengiktiraf kedudukan ilmu dan pengetahuan itu ada tahap hierakinya. Secara ringkasnya, adab adalah cerminan keadilan. Hilangnya adab, adalah hilangnya keadilan. Hilangnya keadilan inilah menyebabkan berlakunya bermacam-macam masalah di dalam dunia, termasuk dunia Melayu di Adelaide.

Saya kira, eloklah kita berhenti dahulu. Perbincangan seterusnya adalah mengenai realiti kita, realiti Melayu Adelaide, supaya kita nampak bagaimana penyakit ‘hilangnya adab’ ini boleh menular dalam masyarakat Melayu Adelaide. Tetapi, eloklah saya panjangkan entri ini pada edisi yang seterusnya, untuk mengelakkan bebanan.

Entri seterusnya, saya akan kongsikan, bagaimana penyakit ‘hilangnya adab’ ini berlaku dalam masyarakat Melayu di Adelaide, dengan fakta kes dan contoh kejadian yang saya kira, kita semua di sini, terlibat di dalamnya.

InsyaAllah.

(bersambung)

Sikap 1

Seminggu lagi sebelum pengajian saya di sini tamat.

Seminggu inilah, entah kenapa, saya jadi radang lain macam.

Mungkin sebab semalam. Petang semalam. Petang itu saya terpaksa menemani Mas Makmor, walaupun pada awalnya saya sudah meminta diri padanya. Dia memegang paha saya, menahan saya dan bertanya kenapa. Saya sebenarnya menahan sabar, namun sukar menjelmakan hujah rasional untuknya.

"Saya rasa, di sini, saya tak ada peranan," kata saya.

Sukar juga untuk memahamkan saudara saya dari Riau ini, walaupun kami bercakap dalam bahasa yang sama. Saudara dari Palestin, Brother Yasin, awal-awal lagi telah mengungsi, berlalu tanpa meninggalkan kata-kata. Tindakannya itu, saya jangka, pasti terbuah dari apa yang terdetik dalam hati saya.

Pertama sekali, izinkan saya berkata jujur. Tiga tahun sudah saya berada di sini dan saya kira, saya perlu cakapkannya juga. Malah, ini sudah masuk tahun akhir saya. Andainya hakikat tak tersampai, saya boleh dikirakan sebagai orang yang menyembunyikan kebenaran. Kebenaran itu selalunya pahit untuk ditelan.

Saya tak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Perasaan malu dan terkilan, yang datang menyelinap di dalam hati adalah rasa yang datang sendiri, tanpa saya minta. Sikap kebudak-budakkan, sikap keanak-anakkan dan sikap tak matang mencerminkan ada sesuatu yang tak kena pada falsafah/ideologi/fikrah yang terkandung dalam kepala otak kita. Kecelaruan pemahaman dan penghayatan inilah saya rasa penyakit utama yang melahirkan pesakit-pesakit yang melampaui batas dan adab mahasiswa yang berTuhan dan kononnya faham beragama.

Dalam entri ini, biarlah saya jelaskan simpton-simpton penyakit tersebut, dengan nada 'tamparan.' Ini supaya, bagi yang mengarang dan membaca entri ini, harapnya akan cepat berubah kembali menilai semula apa yang dipegangnya.

Semalam, saya terkedu. Malu amat pada orang yang lebih tua seperti Mas Makmor. Mesyuarat atau dalam bahasa 'Islamik'-nya - ma'syura, hanya dilatari oleh muka-muka Melayu. Terdetik dalam fikiran, "Mana orang lain ni? Mana orang Islam yang lain ni? Apakah organisasi ISSUA sekarang akan bertukar menjadi racial-centric?"

Saya cuba memikirkan kenapa.

Seperti selalunya, saya akan bertandang ke rumah Allah di Universiti of Adelaide, menjalankan kewajipan. Surau Union House, sungguhpun telah mengalami pengubahsuaian fizikal, namun rohaninya masih berada di takuk lama. Ada kawan-kawan sebangsa sebahasa terbungkang dan meniarap di belakang. Ada yang tidur berdengkur. Ada yang duduk-duduk bersembang sambil bermain iPhone. Terdengar juga ketawa kik kik kik dari tirai belakang. Solat jemaah di depan semestinya terganggu.

Sebelum saya saksikan semua itu, ada sesuatu yang lebih mengejutkan saya tatkala saya melangkah masuk ke dalam surau Uni of Adelaide ini. Tabung kutipan derma mangsa gempa bumi Padang telah bertambah. Satunya, yang kotak itu, saya tahu ia memang milik saudara-saudara dari Indonesia. Yang baru ditambah ini, yang dalam bentuk tin Milo itu, milik kawan-kawan dari sebuah pertubuhan tersohor mahasiswa Malaysia di Adelaide. Saya bertanya kepada diri sendiri, "apakah keperluan meletakkan tabung lagi, sedangkan yang sedia ada pun tak penuh-penuh?" "Kenapa nak mewujudkan tabung dari orang Malaysia untuk diberikan kepada saudara Indonesia, sedangkan boleh sahaja kita menderma terus buat saudara Indonesia yang terlebih dahulu menyediakan tabungnya?"

Saya geleng kepala.

Saya merenung hari-hari yang telah berlalu. Hari yang di mana masanya amat pantas, sampai saya sendiri gagal merakam memori yang indah-indah untuk saya bawa pulang. Yang tersimpan hanya memori yang menyakitkan hati, dek kekurangan adab dan perangai yang terjelma kerana pandangan dan pemahaman yang salah pada takrif beragama dan berpendidikan.

Saya pernah bertanya pada diri, "Inikah yang diminta oleh pihak penaja buat kami yang belajar di oversea ini?"

Apa yang saya kesalkan, banyak aktiviti yang dijalankan di sini, menyekat perhubungan dengan rakan-rakan tempatan Australia, terutamanya yang sama agama. Mujur bagi saya, kesedaran ini datang di waktu akhir semester, namun, itu sudah terlambat. Sangat-sangat terlambat.

Mahasiswa Melayu Malaysia memang banyak melakukan aktiviti kemahasiswaan. Ya, berlambak aktivitinya. Aktivitinya, kalau yang kononnya 'faham' itu, akan mengadakan bernada 'Islami,' meskipun ia sebenarnya adalah ritual doktrinisasi atau program penumpulan akal. Yang dilebelkan 'tak faham' pula, lebih cenderung pada aktiviti yang kurang ilmiah, yang tak serius dan tak memberi pulangan pada jiwa atau pemikiran andai tenaga dan masa dikorbankan. Atau mudah kata, aktiviti yang mengagung-agungkan hiburan.

Namun, baik yang bernada Islami atau tidak, saya kesani, aktiviti itu semuanya terlingkung dalam lingkaran kulit sawo matang, mata bundar, hidung penyek, tudung 60 inci, selipar jepun dan t-shirt polo, t-shirt wanita muslimah dan seluar jeans. Jarang sekali aktiviti yang melibatkan orang yang berbahasa Inggeris, yang pesertanya terdiri dari bermacam-macam warna dan bentuk hidung. Oh, kalau adapun, mungkin ia adalah siri lecture akademik yang sememangnya perlu dihadiri.

Pendek kata, aktiviti kita masih dalam sungkupan tempurung rasis. Bergiat cergas umpama katak-katak dalam akuarium, nampak kehebatan di luar, namun tak mahu melompat keluar mengambil manfaat darinya. Malah, di dalamnya, kita bertumbuk, berterajang, menguak, mengodek, mencelepak sesama sendiri. Masih lagi takut untuk meneroka amfibia lain yang bukan berwarna hijau.

Saya mengeluh. Mengeluh berat.

Saya kasihan melihat Mas Makmor yang hanya tertunduk dan malu-malu terpaksa mengangkat tangan ketika mesyuarat agung semalam, mengikut pilihan yang saya lakukan. Terasa orang tua itu dipaksa untuk menjadi budak hingusan di kalangan pelajar-pelajar yang sakit falsafah pendidikannya.

Adakah patut pos yang penting dalam organisasi yang membela agama di Universiti, dipilih dengan penuh riang ketawa, seolah tanggungjawab itu sebuah hiburan dan gurau senda? Inikah yang kita namakan kejayaan dalam berpersatuan, apabila kita dengan semangat ukhwah rasis, mendominasi medan pertemuan pelbagai bangsa ini di atas nama agama ini, dan mengkesampingkan saudara seagama kita yang lain?

Kalau yang membawa ukhwah rasis ini adalah mereka yang berkaliber, yang mengerti selok-belok politik mahasiswa, yang tahu mengimarahkan surau Union House dengan betul, saya kira, Pak-Pak Arab atau Sudara-Sudara Indon, pasti tak kisah sangat. Malah saya jamin, merekalah yang akan berbondong-bondong mengangkat tangan untuk mengundi. Ini, yang datang, masih lagi terbawa-bawa budaya sekolah menengah yang mengada-ngada. Bukan sahaja memalukan bangsa, bahkan menyakitkan hati buat mereka yang tahu beradab dan berperangai sebagai mahasiswa.

Dua tiga perkara yang saya jelaskan dengan nada 'penampar' adalah rentetan dari kemelut jiwa dan pemikiran yang melanda mahasiswa Melayu di Adelaide. Ada banyak lagi simpton-simpton yang boleh saya ketengahkan untuk kita semua kenal pasti apakah puncanya. Namun, biarlah ini menjadi permulaan sebuah epik revolusi dalam sikap kita sebagai mahasiswa terpilih, yang tahu kita ini dipilih Allah untuk ke bumi Adelaide ini.

Saya akan teruskan perbincangan ini, dalam entri seterusnya kelak. InsyaAllah.

Buat yang tak senang duduk atau terasa puas dengan karangan saya ini, cuba anda tarik nafas dahulu. Ambil pedoman dari tulisan blog ini, sebelum anda membambu saya dengan komen-komen.

(bersambung)

Murung

Murung.

Mendung menguasai langit yang cerah. Kelam menghilangkan seri bumi yang ceria.

Ya, hari ini sememangnya ditakdirkan bumimu berhujan. Malah, berhujan sampai malammu.

Namun, suria esok bakal terbit. Cahayanya akan mensirnakan kegelapan.

Kau, yang menggeletar kekecewaan, jangan lupa. Jangan sesekali lupa yang dirimu yang hamba.

Tuhan yang Maha Menyayangi, pasti menguji.

***

Solatlah dua rakaat. Tumpukan hati pada cahaya di atas cahaya itu.

Dalam khusyuk kita meminta pada Tuhan, lafazkan Asma'-Nya. Juga, rendahkan dirimu.

Siapakah yang Maha Memberi? Maha Mengasihi? Maha Mengetahui?

Tentang Mengarang

16 Oktober 2009

Saya menulis catatan ini di sebuah taman yang indah, membelakangkan jalan yang berderum dengan kenderaan yang bersimpongang dengan decitan dan kicauan burung.

Angin memalu daun, mencetuskan bunyi menderu-deru. Angin musim bunga yang baharu hari ini disapa sang suria, setelah seminggu bumi ini kehujanan. Sisa-sisa kedinginan bulan Jun-Julai-Ogos, bulan-bulan musim dingin, masih lagi dibawanya. Saya berada di bawah pohon yang bercabang dua ini, mancari ilham untuk mengarang sebuah bingkisan kenangan buat negeri yang saya cintai ini - Adelaide.

Karya. Hasil kerja yang menduga akal dan ketabahan seorang pengarang. Saya pernah cuba berkali-kali menghasilkan karya, namun, masih belum benar-benar nampak hasilnya. Kata orang, sekali mencuba, belum tentu berjaya. Mungkin benar apa yang dikatakan orang itu, terutamanya buat diri saya ini.

Sementelah saya dalam fasa terakhir dalam kehidupan saya di sini. Jadi, saya kira, tidaklah patut saya meninggalkan kota ini tanpa sesuatu yang bermakna. Bukan sahaja bermakna buat diri saya, bahkan untuk manusia seluruhnya.

Jadi, bagaimana saya bisa melangkah? Melangkah dengan penuh yakin, melintasi liku-liku pengarangan yang benar-benar mencabar itu?

Adakah dengan berbekalkan semangat sahaja sudah memadai? Adakah ada komponen lain dalam tenaga pengarangan itu untuk membenihkan sebuah karya?

Penghayatan? Perasaan? Cinta?

Kata orang, ahli seni mendalam penghayatannya, seluas lautan perasaannya, seindah langit senja cintanya.

Dan ahli seni juga, perlulah ada sentuhan emas untuk memasukkan penghayatan, perasaan dan rasa cinta yang sama kepada pembacanya.

Siapakah saya di antara cita-cita itu semua?

Bolehkah saya membina mahligai karya yang dikunjung mesra oleh manusia pelbagai bangsa?

Saya kira, tahap saya ini, sebagai pencatat pengalaman kehidupan. Belum mahir lagi mencipta bait-bait yang merdu dan berlagu di hati manusia. Belum lagi bisa lantang bersuara, bak deklamator yang dibumbu resah dan gelora jiwa. Belum lagi secendekia pengarang pantun, menulis pembayang dan makna pantun yang menyimpan 1001 falsafah itu. Ah, masih banyak belum yang belum dicapai.

Jadi, bisakah saya melangkah?

Makmul 4

Isyak. Kami bersolat secara berjemaah, dengan lebih ramai saudara seagama. Kami saling bersentuhan bahu, berdiri rapat-rapat dan mendengar alunan ayat-ayat suci dari Imam, Brother Musa.

Gemersik. Hati kami terusik. Kami tenggelam menginsafi apa taraf hamba, apa taraf Pencipta.

Seusai solat dan wirid, Syeikh Haitsam berdiri di hadapan, menyampaikan janji-janji Ar-Rahman tentang nikmat beriman. Malah, dalam usaha mendapatkan keimanan itu juga, Allah telah berjanji untuk menyampaikan ganjaran-Nya. Sudah pasti, ganjaran Pemilik alam semesta ini, tidak terbanding dengan apa yang difikirkan, apa yang pernah dilihat, didengar atau dirasai di dunia ini. Ia jauh dari jangkauan akal. Jauh dari mainan perasaan.

Wajah kawan-kawan saya terkelip di dalam kepala. Senyuman, ketawa, kebaikan dan kemesraan menggamit dalam ingatan. Persahabatan adalah ikatan yang sangat-sangat bernilai di negeri orang ini, di Adelaide ini. Dalam persahabatan, saya mengenal erti kemanusiaan, kasih sayang, cinta dan ambil berat. Kawan-kawan, adalah saudara seagama saya. Malah, kawan-kawan saya yang paling ramai di sini adalah yang sebangsa, yang bertutur bahasa yang sama dengan saya. Mereka inilah yang saya kenali, akrab dan bersama-sama dalam perjuangan di medan kampus pengetahuan.

Di akhir bayan Syeikh Haitsam, dia mengajak kami semua berdoa. Sungguh tinggi pengharapan beliau untuk umat Islam supaya kembali beriman dan beragama. Doanya, yang karam dalam tangisan dan sendu, mencerminkan impiannya yang begitu mendalam. Doanya, kami aminkan bersama. Kami biarkan diri kami merayu-rayu, seolah sang musafir dahaga di tengah Sahara. Hanya Dialah yang boleh menurunkan hujan, yang menyuburkan rimbunan ketaqwaan dalam hati yang Dia kehendaki.

Sekali lagi, saya terkelip dengan ketawa dan riang ria kawan-kawan saya di Adelaide ini. Hari raya, baru melepasi seminggu. Baru amat sambutan lebaran itu bersama kawan-kawan. Namun, secara jujurnya, ingatan kepada kawan-kawan kerap menyelinap.

Kawan-kawan, yang sering saya ingati, ada yang terlanjur melanggar pendidikan yang di dalam sekolah Ramadhan. Hari Raya, yang sepatutnya menjadi sambutan kejayaan diri ke atas nafsu, menjadi pesta budaya yang melanggar matlamatnya pula. Pergaulan menjadi semacam bukan perkara yang perlu ditanggap dengan berhati-hati. Hawa dibiarkan memasuki, mendiami dan bersuka ria di istana terlarang sang Adam. Malah, ia juga berlaku sebaliknya, di mana sang Hawa, juga membuka pintu mahligainya, membiarkan sang Adam memijak mawar-mawar kehormatan dengan sepatu fitnah.

Ada ahli jemaah yang menangis dalam doa Syeikh yang begitu menusuk itu. Namun, saya terganggu mengingati kawan-kawan saya. Kawan-kawan yang pernah mengambil berat dan selalu bertanya khabar tentang saya. Terasa benar kehadiran saya di sisi mereka amat dihargai. Saya meminta, agar mereka bersama-sama dengan kami, dalam majlis mengingati Tuhan ini. Jika tidak pun, saya meminta agar mereka terpelihara dari perbuatan songsang dan terhindar dari azab api neraka yang panas membakar itu. Kawan-kawan, mereka orang yang saya kenal. Tak sanggup saya membiarkan mereka terkapai-kapai kelemasan dalam gelombang syaitan durjana.

Kami bersalaman dan berpelukan dengan erat setelah bayan. Mungkin, inilah pertemuan pertama dan terakhir dengan saudara-saudara kami di sini. Saya menyeluruhi wajah mereka satu persatu, baik yang tua dan yang muda. Wajah-wajah inilah yang akan saya kenang di masa akan datang. Kebaikan, penerimaan dan keterbukaan hati, membuatkan saya terharu. Kami dilayan melebihi taraf tetamu. Melebihi taraf saudara. Walaupun perkenalan kami tidaklah beberapa lama. Mudahnya bagi Tuhan, menyatukan hati-hati manusia berbeza warna dan bahasa, atas petunjuk agama-Nya.

Jemaah beransur pulang. Mereka berharap, dalam kesempatan akan datang, sudi-sudilah menziarahi mereka.

Ah, Tuhan sahaja yang memakbulkan kata dan doa.

Setelah kami makan malam, kami bersiap untuk tidur awal. Masing-masing telah letih.

Masa berjalan pantas. Sudah tiba waktunya kami meninggalkan masjid Murray Bridge ini. Seusai Zohor, kami sempat bertemu dengan seorang lagi saudara yang kebetulan singgah untuk melihat tanahnya di sini. Beliau gembira, kerana sempat juga bertemu dengan Syeikh Haitsam, setelah sekian lama.

Kami kemudian, bertolak meninggalkan Murray Bridge. Hujan renyai-renyai menghantar kami pulang. Langit masih mendung dan matahari masih bersembunyi.

"Tuhan, aku meminta, cerahkanlah akal dan hatiku, untuk menceritakan pengalaman yang paling bermakna ini buat kawan-kawanku di Adelaide nanti."

***

Ingatan saya kembali semula ke khutbah Jumaat di Surau Union House. Sebelum khutbah bermula tadi, orang telah memenuhi surau, sehingga berlimpah ke luar. Masing-masing khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan, sungguhpun deburan air dari pili wudhuk, bertelingkah dengan suara khatib.

Khatib masih lagi membaca hadis berkenaan kemanisan iman, tentang ciri kedua orang yang merasainya.

"Ciri kedua kemanisan iman adalah: mencintai seseorang hanya kerana Allah." Saya membayangkan wajah-wajah bercahaya ahli jemaah di Murray Bridge. Kemudian, di sebalik kelipan itu, wajah kawan-kawan saya di sini juga muncul sama.

Alangkah indahnya jika cinta kami ini, adalah benar-benar kerana Allah. Cinta yang menyatukan bangsa dan bahasa yang berbeza. Cinta yang membuatkan kami semua saling pesan-berpesan ke arah kebaikan. Cinta yang membuatkan kami melingkar bahu, bersama-sama berusaha untuk ke syurga Allah yang hebat itu.

"Dan.." khatib memotong ingatan saya yang menerawang. Saya segara beristigfar, sewaktu khutbah, tumpuan seharusnya diberi penuh pada khutbah. Bukan mudah mendapat peringatan yang hanya datang sekali seminggu ini.

"..benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan dirinya dari kekufuran itu, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api neraka."

Ya Allah, tanamkanlah ke dalam diri kami, sifat membenci kekufuran dan kemungkaran. Bencikanlah kami, sepertimana kami benci daripada dicampakkan ke dalam api neraka.

Allah Maha Mendengar. Allah Maha Memberi. Dialah yang memberi hidayah, pada yang meminta.

Wallahualam.

Makmul 3

Dinihari itu, saya tersedar, ada orang membuka lampu ruang solat utama, tempat kami tidur. Namun, saya tak endahkan sangat. Masih terlalu awal untuk bangun dan membuang bungkusan sleeping bag dalam hawa yang mencengkam.

"Bangun weh, imam dah datang." Saya tak ingat, siapa yang mengejutkan.

Rupanya, imam tiba seawal jam 4.30 pagi di Masjid Murray Bridge. Kami semua benar-benar tak sedar yang dia sendiri yang melaungkan azan dengan suara qarinya itu. Terasa malu pula kalau masih berlenjan di atas permaidani yang tebal ini.

Hari kedua bermula, lebih lain dari biasa. Brother Musa, selaku imam, mengalunkan bacaan Quran dengan begitu baik dan merdu sekali. Ada beberapa orang ahli jemaah dari kariah Murray Bridge. Seusai solat, mungkin kebiasaan penduduk di sini, kedengaran bacaan tasbih secara berjemaah. Ia benar-benar mengingatkan saya suasana kampung, di mana imam akan berpaling ke arah makmum, duduk di antara dua sujud dan berjemaah memuji Tuhan yang Esa. Bezanya di sini, ia diketui oleh makmum yang berada di belakang imam. Kemudian, Brother Musa mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran untuk kami semua dengari. Sungguh, gemersik suaranya menghangatkan jiwa.

Hari ini, kami bersarapan dengan resepi semalam; roti, madu dan keju. Saya mengenakan baju Melayu merah hati, hadiah dari ayah dan kain pelekat, hadiah dari mak. Kemudian, kami menghadiri sesi Ta'lim wa Ta'alum (Mengajar dan Belajar) bersama Syeikh Haitsam. Saya terkesan dengan pengisian tentang lima hak seseorang Muslim terhadap saudara seagamanya. Saya ada mencatatkan dalam buku catatan untuk dikongsikan:

Pertama, menjawab salam. Menjawab setara dengannya atau menjawab lebih ahsan, lebih baik.

Kedua, turun menziarahi saudara yang sakit.

Ketiga, menguruskan jenazahnya.

Keempat, menerima pelawaannya.

Kelima, mengucapkan Yarhamkallah apabila saudara itu mengucapkan Alhamdulillah setelah bersin.

"Dalam riwayata hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW menambah, sekiranya seseorang saudara kamu meminta nasihat, maka berilah nasihat yang baik. Malah, setiap Muslim yang dizalimi juga mempunyai hak terhadap Muslim yang lain."

Saya terpegun. Inilah intipati yang diterapkan oleh Rasul buat para sahabat baginda. Ini bermakna, Rasulullah SAW telah menyentuh mengenai hak-hak asasi manusia beribu tahun lampau, lebih awal lagi sebelum penubuhan mana-mana badan bukan kerajaan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. Badan NGO ini tidak sedar yang ada hak yang lebih besar yang perlu ditunaikan, berbanding meminta hak untuk bebas bersuara tak tentu hala. Dan, setiap lima tahun, tuntutan hak itu sering bertukar-tukar pula, seolah-olah asasi manusia itu berubah-rubah mengikut masa. Apakah mereka memperjuangkan hak nafsu? Allah sahaja yang tahu.

Zuhur disambut dengan meriah. Brother Musa, selaku imam, sekali lagi mengimami kami dan beberapa jemaah tempatan yang lain.

Selesai solat, kami menyiapkan makan tengah hari. Setelah makan dan sewaktu menanti waktu Asar, kami mengambil peluang melunjur-lunjurkan kaki dan berbaring-baring. Perasaan untuk menyertai ziarah selepas Asar nanti begitu berkobar-kobar.

Asar menjelma. Selesai solat, seorang jemaah yang telah berjanji untuk membawa kami untuk menziarahi saudara-saudara yang masih belum diziarah semalam. Beliau merupakan pemandu teksi berketurunan Arab Lubnan. Argh, menyesal saya tidak tanyakan namanya.

Kami berempat, saya, Aliph, Syeikh Haitsam dan saudara kami dari Murray Bridge ini menaiki Holden Commodore putihnya. Saya berdebar-debar. Sebelum kami bertolak, kami diingatkan tentang beberapa adab ziarah. Antaranya, mengetuk pintu tiga kali, memberi salam, jangan menjeling ke dalam rumah (kerana rumah adalah aurat penghuninya), sentiasa bersangka baik andai salam tak disambut, berdiri di tepi pintu untuk mengelakkan kita terpandang terus ke dalam rumah dan sentiasa menjaga pandangan. Sepanjang perjalanan, saya rasa gusar, takut-takut niat ziarah yang dipasang tercemar dengan perbuatan yang melanggar adab.

Rumah pertama kami ziarah, adalah rumah saudara Turki. Anak lelaki tuan rumah yang menyambut kedatangan kami. Syeikh Haitsam yang menjadi Mutakallim, (juru bicara) mengajak tuan rumah untuk ke masjid malam ini seusai Isyak. Kami dihantar pulang dengan senyuman dan adik-adiknya yang masih kecil.

Kami bergerak ke rumah kedua. Alhamdulillah, salam disambut oleh tuan rumah sendiri. Rupanya, tuan rumah juga merupakan orang Lubnan, tetapi telah menetap lama di Murray Bridge. Syeikh Haitsam berbasa-basi dengan beliau. Namun, mereka kembali berbahasa Inggeris untuk menghormati saya dan Aliph.

"Saya gembira dengan kedatangan kamu semua," ujarnya. "Anak saya ini, benar-benar mahukan pelajaran agama. Tetapi, tahulah kami di sini, sukar mendapatkan sekolah Islam atau sekolah Arab. Sayang. Dia sememangnya seorang yang rajin bersolat, walaupun tak pernah disuruh." Anak yang beliau maksudkan adalah anak lelakinya, berusia dalam lingkungan 9 tahun. Saya seraya teringat akan adik saya di Putrajaya. Sewaktu saya bercuti, saya sering menemankannya di bawah lobi apartment blok A Presint 18, sebelum diambil oleh pemandu yang membawanya ke kelas mengaji. Namun, baru-baru ini, saya mendapat khabar, yang adik saya tidak lagi dapat menghadiri kelas pengajian Al-Quran, kerana tiada pengangkutan. Moga Allah memudahkan generasi muslim ini belajar dan terdidik dalam sistem pendidikan Islam, doa saya dalam hati.

Kami melanjutkan ziarah. Ada rumah yang tidak dijawab salamnya. Kami membetulkan sangkaan. Kemudian, meneruskan ziarah ke rumah saudara kami yang lain pula.

Kami tiba di rumah seorang lagi saudara Arab Lubnan. Tuan rumah ternyata begitu mesra dan gembira dengan kedatangan kami.

"Ya Ibn Wassif. Anda sudah kelihatan seperti ulama'!" kata tuan rumah sambil memeluk Syeikh Haitsam dan kami semua. Kami semua kemudian dijemput ke dalam rumahnya.

Syeikh Haitsam, saudara yang membawa kami dan tuan rumah berbual begitu mesra, seolah rakan-rakan lama yang tak bertemu. Saya dan Aliph saling berpandangan, gagal memahami bual bicara mereka dalam bahasa Arab mereka. Adalah dua tiga perkataan yang dapat kami tangkap, namun selebihnya, sememangnya kami tak tahu.

Akan tetapi, jamuan teh dan dua ketul Makmul membuatkan saya tak terasa bualan mereka bosan, malah menarik pula. Terasa saya telah larut dalam budaya Arab. Rugi benar rasanya kerana tidak dapat memahami tutur kata mereka.

"Maafkan kami ya, kami bercakap terlalu panjang." Sesekali tuan rumah mengambil hati kami.

Saya dan Aliph tersenyum. Tidak dapat bercakap dan memahami pun tidak mengapa. Rasa Makmul yang lemak dan rangup umpama kuih bakar sudah cukup melayani kami. Kacang pistachio dan kurma yang menjadi inti Makmul memang mudah bersatu dengan lidah Melayu. Gula halus yang membaluti permukaan Makmul juga menambah kemanisannya.

Sebelum pulang, tuan rumah menyuruh kami mencuba buah zaitun yang ditanamnya. "Kamu makan bijinya. Isinya belum masak" Saya ada memetik satu. Namun, sekembalinya ke dalam kereta, saya tak dapat mencubanya kerana buah zaitun yang saya petik masih belum berbiji.

Kami pulang setelah melawat rumah yang terakhir. Tuan rumahnya tiada. Hujan mulai turun kembali. Turun dengan lebat.

"Jangan lupa mengucapkan istigfar dalam perjalanan pulang ini. Mana tahu, kita ada terbuat salah dan silap sebentar tadi. Moga Allah menerima ziarah kita ini." Aliph, selaku ketua ziarah mengingatkan kami semua.

Kami tiba pintu pagar di Masjid Murray Bridge. Sudah ada beberapa kereta yang diletakkan di halaman masjid.

Alhamdulillah. Ziarah yang sungguh bermakna.

(bersambung)

Makmul 2

Pagi lagi, setelah kami bersolat subuh, Syeikh Haitsam menyampaikan tazkirah sehingga jam 6. Selepas itu, kami diberi masa lapang untuk menyiapkan diri.

Pada jam 9 pagi, kami semua berkumpul di ruang makan, di bahagian tengah masjid. Cuaca di luar mendung dan hawa sejuk semalam masih menguasai iklim. Angin mencelah masuk ke dalam di bukaan pintu yang kecil.

Roti Lubnan dibuka dari plastik. Tempat memasak air sudah mengeluarkan asap berkepul-kepul. Pinggan plastik diletakkan di atas seperah kanvas biru, dan madu dituang ke atasnya. Kemudian, keju yang dipotong dadu dihidangkan di atas piring. Saya melihat Hijaz dan melihat Fitri. Kami saling berpandangan. Saya kemudian memandang Aliph yang sedang membancuh air teh. Tiada apa-apa perubahan terhadap riak wajahnya. Akhirnya, saya memandang Syeikh Haitsam.

"Inilah sarapan orang Lubnan," katanya ringkas dengan senyuman manis. Wajahnya bercahaya. "Baik, mari kita berdoa bersama, sebelum kita makan." Kami diingatkan kembali doa yang rajin kami baca ketika di tadika dan sekolah. Kenangan waktu kecil-kecil dahulu menggamit di dalam jiwa.

Keju, madu dan roti. Rasanya lemak, manis dan berisi. Potongan dadu keju memberi rasanya yang kental, meskipun roti penuh dengan kemanisan madu yang dicicah. Setiap kunyahan memberi rasa yang berbeza, yakni, campuran rasa keju, madu dan rasa tepung roti Lubnan. Ini resepi yang baru. Sungguh sedap sekali rasanya.

Hujan turun lebat pada jam 10. Kemudian berlanjutan sehingga tengah hari. Selesai sarapan, kami duduk berhadapan dengan Syeikh Haitsam, mendengar syarah hadis dari kitab Riyadus Salihin, susunan Imam An-Nawawi. Sekali lagi, kami diingatkan cara-cara afdal dalam menuntut ilmu. Saya rasa sangat bertuah, kerana seolah-olah kembali merentas zaman, berada di waktu kegemilangan tamadun ilmu Islam, belajar dalam sistem yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW.

"Posisi duduk yang terbaik adalah seperti duduk tahiyat awal atau bertimpuh atau jika tidak mampu, bersila. Kalau mendengar nama baginda disebutkan, ucapkanlah salawat. Begitu juga, kalau sahabat, ucapkanlah radiyallahu anh."

Pengisian Syeikh Haitsam sungguh mantap. Sementelah beliau telah khatam kitab ini 3 kali di Syria.

Zuhur tiba. Hujan turun tidak berhenti. Saya sempat memerhati butir-butir hujan turun di luar, setelah sesi ta'lim sebentar tadi tamat. Butir-butir hujan yang mengenai lantai itu melompat-lompat. Saya memerhatikan dengan lebih dekat. Wah, ketul ais sebesar kerikil sedang jatuh bercurahan dari langit! Ada saudara muslim dari kejiranan Murray Bridge menyertai kami. Beliau merupakan tukang sembelih dan berketurunan Bangladesh. Syeikh Haitsam menyatakan tujuan kami ke sini dan beliau begitu berminat untuk menyertai sesi ziarah petang nanti.

Asar bertandang. Syeikh Haitsam sendiri melaungkan azan dan menjadi imam. Ziarah akan dimulakan sebentar lagi dan kami bermesyuarat, menyusun strategi. Keputusannya, Hijaz, Fitri dan Syeikh Haitsam akan keluar menziarah, sementara saya dan Aliph, menunggu di masjid, menyambut mana-mana saudara Muslim yang mungkin datang awal. Saya, diminta oleh Syeikh untuk mendoakan ziarah mereka diberkati dan dipelihara oleh Allah SWT dan berzikir banyak-banyak pada-Nya.

Jam berdetik. Masa tak berhenti berlari. Saya bermain tasbih dan mengesip-ngesip mata yang mengantuk. Selepas Zuhur tadi, nasi yang dimasak oleh Aliph begitu sedap. Petang yang sejuk benar-benar menduga saya. Akhirnya, saya tertidur.

Sedar-sedar, jam sudah menunjukkan 6 petang. Matahari sudah tenggelam di balik awan-awan hitam. Rombongan Syeikh Haitsam yang dibawa oleh saudara muslim Bangladesh tadi masih belum pulang. Saya berjalan di pintu utama masjid Murray Bridge, melihat ladang gandum yang telah dituai. Ada timbunan jerami yang telah diikat bulat tersusun di atas ladang yang luas terbentang. Cahaya kereta di jalan Old Swanport Road ibarat kunang-kunang yang tersesat di dalam hujan. Saya mengenakan baju Melayu, jaket dan seluar yang tebal. Kaki saya tak lepas dari bungkusan 2 lapis stokin.

Antara kereta-kereta yang bergerak di jalan, ada satu menyalakan signal. Saya sangkakan itu kereta yang dipandu oleh Syeikh Haitsam. Rupanya tidak. Kereta itu berhenti, menutup lampu dan pemandunya berlari masuk ke dalam masjid, mengelakkan hujan. Salam bertukar. Saya mengingat sebuah pesanan, ucapan 'assalamualaikum' telah banyak memecah tembok perbezaan bangsa dan bahasa dalam umat Islam.

Kemudian, ada sebuah kereta lagi memberi signal, masuk ke perkarangan masjid dan pemandunya juga berlari-lari anak ke dalam.

Akhirnya, sekitar jam 6.30 petang, rombongan Syeikh Haitsam pulang. Ruang masjid mulai penuh dengan saudara-saudara Muslim yang bermastautin di Murray Bridge. Dua orang berbangsa Turki, salah seorangnya begitu berusia, berjanggut putih pandak dan berbadan bulat. Tatkala beliau tersenyum, mukanya begitu manis dengan gigi jarangnya. Dua orang lagi, berbangsa Arab Lubnan. Kami segera menunaikan solat maghrib berjemaah apabila semua telah bersedia.

Selesai solat, Aliph menghidang chai (teh Pakistan) buat semua jemaah yang hadir maghrib sebentar tadi. Kami semua duduk membuat bulatan di ruang makan dan berbual-bual. Sungguh, saya terkesan melihat perbezaan warna kulit di dalam ruang begini. Sungguhpun baru pertama kali bertemu, orang Lubnan, Turki, Melayu dan Bangladesh sudah boleh mengikat sebuah persaudaran yang begitu mesra. Saya teringat ayat Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat 22 yang berbunyi:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Pada jam 7 setengah malam, azan berkumandang. Sungguh, azan itu benar-benar mengingatkan laungan azan di kampung, sungguhpun bilal yang melaungkan azan itu orang Turki. Suaranya yang merdu dan lagu azan begitu mirip dengan azan di Malaysia. Jemaah juga bertambah banyak dari tadi. Ada saudara dari China datang, membawa anak lelakinya.

Selesai bersolat Isyak yang diimamkan oleh qari dan imam Turki, Syeikh Haitsam bangun dan menyampaikan tazkirah. Beliau menyentuh tentang betapa istimewanya untuk berada di dalam majlis ilmu yang turut dihadiri oleh ribuan malaikat. Malah, katanya, ada cahaya yang bersinar di balik majlis mengingati kebesaran Allah ini, seolah-olah bintang di malam yang gelap. Kami berdoa bersama-sama di akhir tazkirah, untuk diberi pengampunan dan diterima ke dalam syurga Tuhan yang agung itu.

Sekali lagi, saudara-saudara Turki dan Bangladesh mengajak untuk berbual. Brother Musa, imam tadi begitu bersemangat menceritakan situasi politik negaranya yang dibelenggu oleh sistem sekular. Para pendokong Islam ditekan dan tidak mendapat tempat dalam sistem kerajaan. Kemudian, pak cik Turki yang berusia itu mengambil giliran bersembang. Beliau membawa kami di dalam kenang-kenangan kegemilangan kesultanan Turki Uthmaniyah.

"Kamu tahu, kenapa aku menyimpan janggut?" tanya pak cik itu pada kami. "Nanti, di akhirat nanti, aku harap janggut putih inilah yang baginda cam yang aku ini adalah umatnya dahulu." Saya terharu mendengar pengakuannya itu.

"Kalau boleh, kalau ada kesempatan, aku nak mempelajari Bahasa Arab. Aku sudah boleh bercakap Jerman, bercakap Inggeris. Tapi, masih belum menguasai bahasa agamaku sendiri." Adu beliau pada Syeikh Haitsam.

"InsyaAllah. Allah akan memberi ganjaran pada niat pak cik itu." Syeikh Haitsam menyedapkan hati.

Dia ketawa. "Yalah. Itu benar. Tapi, kalau aku ke pasar raya, aku tentu berniat nak membeli barang. Namun, bila sudah tiba masa untuk aku pulang, takkan saya membiarkan troliku kosong, sedangkan aku punyai duit untuk membayarnya?" Kami ikut ketawa serentak.

Malam itu terasa sungguh singkat. Kemesraan menyebabkan kami tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Ramai ahli jemaah sudah meminta diri.

"Zaman! Zaman!" laung pak cik itu apabila melihat beberapa naskhah akhbar Turki di penjuru masjid. Kami menoleh kepadanya dan tersenyum sesama sendiri.

"Kalau kita menggembirakan orang, Allah pasti akan menggembirakan kita kelak," ujar Syeikh Haitsam apabila pak cik Turki itu sudah bergerak pulang. Kami menghantarnya sampai ke pintu, namun beliau berkeras, tidak apa yang perlu ditolong. Beliau ternyata seorang lelaki yang kuat, sungguhpun tubuhnya sudah dimamah usia.

Esok, saya bertekad, giliran saya pula untuk menziarahi saudara-saudara saya di Murray Bridge ini.

(bersambung)

Makmul 1

Rupa-rupanya sudah dua minggu ziarah kami ke Murray Bridge berlalu. Sungguh cepat masa meninggalkan kami, walaupun kesan-kesan kenangan belum kukuh mengakar dalam relung jiwa ini. Benar, masa berlalu sekelip mata.

Saya, di sudut Surau Union House, Uni of Adelaide, terkenangkan ziarah penuh bermakna itu tatkala sang khatib membaca khutbah solat Jumaat tadi. Intipati khutbahnya menyentuh tentang ciri mukmin yang merasai kemanisan iman dan apa yang disentuh beliau, benar-benar menusuk kalbu.

"Siapakah mereka yang merasai kemanisan iman ini?" Khatib yang menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris tersenyum sambil mengangkat tangan kanannya. Isyarat itu menarik jemaah solat Jumaat untuk mendalami apa yang ingin diperkatakannya.

"Yang pertama, cintanya pada Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya yang lain." Saya seraya terbayang wajah ibu, ayah, opah dan adik-adik. Saya juga terbayang wajah insan-insan yang memimpin saya untuk menjalani kehidupan ini dengan sempurna. Mereka selalu di hati saya.

"Bukankah Allah telah berfirman dan Rasul menunjukkan cara, bagaimana caranya mencintai orang-orang yang rapat dengan kita?" Soal saya sendiri. Sungguh, firman Allah untuk mengasihi ibu bapa, ahli keluarga dan sahabat taulan dan pedoman Rasulullah bersama para sahabat baginda, membuatkan saya perlahan-lahan memahami hakikat cinta yang sebenar. Cinta yang berputik atas rahmat petunjuk dari Allah dan Pesuruh-Nya.

"Yang kedua, apabila dia mencintai saudaranya, tidak lain kerana mencintai Allah SWT." Khatib sempat merenung saya, memberi senyuman sebelum menambah senyuman manisnya buat jemaah yang lain. Khatib menghurai sebuah kisah dari hadis mengenai isi yang ingin beliau ketengahkan.

Ceritanya, ada seorang mukmin, yang dalam perjalanan menziarahi saudara seagamanya di suatu tempat. Allah SWT telah menitahkan malaikat untuk menemui mukmin tersebut. Di hadapan mukmin tersebut, malaikat itu bertanya; "Kau menziarahi saudaramu atas keperluan apa?" Lalu, sang mukmin itu menjawab, "Aku menziarahi saudaraku tidak lain tidak bukan kerana Allah Taala." Lalu malaikat berkata padanya, "Sesungguhnya, Allah mencintaimu, seperti mana kamu mencintai saudaramu itu."

Sungguh, bagi saya, ciri kedua kemanisan iman benar-benar menjelaskan ciri pertama yang disebutkan oleh khatib tadi. Fikiran saya terlayar, dalam episod ziarah kami ke Murray Bridge selama tiga hari.

Kami tiba di Murray Bridge lewat Jumaat malam, setelah perjalanan 1 jam setengah dari Adelaide. Hawa sejuk dan seekor kucing putih menyambut kami di Masjid Murray Bridge. Struktur bangunan masjid di jalan Old Swanport Road ini bukanlah seperti sebuah masjid biasa yang selalu kami lihat, melainkan sebuah rumah yang sederhana besar, dengan lantainya berketinggian 2 kaki dari tanah. Syeikh Haitsam, selaku ketua perjalanan, memberi salam, membuka pintu dan menyalakan lampu, diikuti Aliph, saya, Fitri dan Hijaz. Namun, di dalam, suasana kerohanian terasa agam terbina dan kebersihan masjid ini jelas terjaga, meskipun ruang solat utamanya kecil. Sejadah terlipat kemas dan banyak rantai tasbih terletak di keempat-empat penjuru masjid. Permaidani yang melapisi lantainya juga tebal dan terasa sungguh sedap dipijak.

Sewaktu Syeikh Haitsam dan Aliph kembali ke kereta untuk menguruskan barang-barang dapur kami, saya sempat meneliti kitab-kitab bahasa Turki yang tersusun di rak. Satu set tafsir Al-Quran ke Bahasa Turki bewarna putih nukilan Said Nursi, menarik perhatian saya. Saya hanya sempat memerhati, sebelum diajak untuk bersiap-siap untuk tidur. Kata Syeikh Haitsam, jemaah kami ini perlu mendapat rehat yang cukup untuk hari esok. Bahkan, subuh juga bakal menjelma seawal jam 4.30 pagi, sedangkan masa sudah melepasai jam 12.

Sebelum kami tidur, kami telah diingatkan kembali mengenai beberapa adab tidur, sunnah Nabi Muhammad SAW. Antaranya adalah berbaring mengiring ke kanan, di atas bantal, melekapkan pipi dengan tapak tangan kanan. Sebelum berbaring, surah tiga Qul dibaca, dihembus tiga kali pada tadahan doa dan disapu pada seluruh badan. Berzikir 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah dan 34 kali Allahuakbar juga elok sebagai persiapan sebelum tidur. Dan, paling penting adalah membaca doa sebelum tidur.

Lampu ruang solat utama dipadamkan, meninggalkan lampu yang menyusup masuk dari belakang. Di dalam gelap dan dalam bungkusan sleeping bag, saya terbayang-bayangkan bagaimanakah ziarah kami terhadap saudara seagama kami esok akan terjadi.

(bersambung)

Kuliah

Masjid Adelaide City yang terletak di Litter Gilbert St bolehlah dikatakan pusat pertemuan umat Islam, dari saentero benua. Baik dari benua kecil India-Pakistan, tanah ketamadunan Islam Jazirah Arab-Turki, negeri kepulauan Jawi, saudara-saudara gagah dari benua Afrika, bahkan saudara-saudara bermata biru dari rantau Balkan dan negara kanggaroo dan euclyptus; Australia.

Di sini, di dalam bangunan yang telah berusia lebih seratus tahun ini, kami bersama-sama berqiam, berruku' dan bersujud, bersatu hati di dalam keimanan menyembah Allah SWT. Bagi saya, tiada apa yang boleh menyatukan kami yang terdiri dari berbilang bangsa ini, melainkan ketaqwaan kepada Allah, sunnah Rasulullah SAW dan agama Islam yang telah memecahkan tembok bangsa dan warna kulit.

Kebiasaannya, seusai solat Isyak, jemaah Masjid Adelaide City Adelaide diserikan lagi dengan kuliah Hadith yang disampaikan oleh Syeikh Haitsam Kabarra, mahasiswa Jurusan Syariah, dari sebuah universiti di Damsyik, Syria (saya tak ingat apa nama universitinya). Beliau yang berketurunan Arab Lubnan, begitu fasih dan faqih menyampaikan ilmu hadis dari kitab Riyadus Salihin dan setiap kali kuliah, pasti ada satu nilai penarik, yang membuatkan setiap hari semakin ramai orang mengimarahkan masjid Adelaide City.

Misalnya, dua hari lalu, kuliahnya begitu syahdu dengan tangisan tak berhenti-henti. Tangisan beliau sewaktu menyampaikan kuliah begitu menyentuh hati kami, para pendengar. Hadis yang beliau huraikan juga, begitu menusuk kalbu kami, sehingga kebanyakan jemaah yang duduk menunggu kuliahnya, ikut menangis kehibaan (klik sini untuk hadith tersebut). Saya sendiri menyaksikan kawan-kawan saya, teresak-esak sewaktu mengaminkan doa Syeikh Haitsam yang panjang lebar itu.

Sungguh, malam itu benar-benar mengharukan.

Malam tadi, jemaah di Masjid Adelaide City semakin ramai. Seperti biasa, selepas Isyak, kuliah Syeikh Haitsam pun bermula dan kami berkumpul rapat-rapat dan bertembung lutut sesama kami. Kehangatan ukhwah merentasi bangsa begitu terasa di tengah kesejukan musim luruh di bumi Adelaide ini.

Malam tersebut, beliau menyampaikan hadith dari bab berkaitan dengan keutamaan melakukan amal sewaktu penghujung usia.

"Kalau seseorang itu sudah melepasai umur 60 tahun, maka dia tiada lagi alasan untuknya kenapa tidak berjaya memasuki syurga," kata beliau. Syeikh Haitsam yang mempunyai kerakyatan Australia bertutur dalam bahasa Inggeris yang begitu fasih. Kefasihan dan kepintaran beliau menyampaikan kuliah begitu menarik perhatian dan membuatkan kami semua terpaku.

"Ada banyak pendapat yang menjelaskan bila seseorang itu sudah tua. Misalnya, Abdullah Ibn Abbas mengatakan bahawa umur tua seseorang adalah apabila beliau mencecah 60 tahun. Ada juga pendapat mengatakan bahawa umur tua seseorang adalah 40 tahun." Dari belakang, kedengaran suara Aliph menterjemah butir-butir kuliah pada Ustaz Wan.

"Dan, ada juga yang mengatakan, seseorang sudah tua apabila rambutnya sudah bertukar kelabu atau putih."

Saya menjeling ke arah bapa Syeikh Haitsam, Wassif Kabbara. Janggut pandaknya memang seratus peratus putih, begitu juga rambutnya. Tangan kanannya mengitar tasbih dan dia bersandar pada undakan tempat khatib memberi khutbah. Menyedari saya mengerlingnya, dia lantas mengurut-ngurut janggut dan tersengih-sengih sendiri. Saya ketawa dalam hati. Barangkali menyedari intipati kuliah anaknya menghurai fizikalnya sendiri.

Saya sebenarnya terpesona dengan keakraban keluarga Kabarra ini. Biasanya, adik Haitsam yang berumur dalam lingkungan 14-15 tahun, turut sama datang menghadiri kuliah abangnya. Kadang-kala, si Tiger, adik kecil Syeikh Haitsam yang mempakai jaket belang-belang harimau, juga datang dengan senyuman manisnya. Ayah merekalah yang membawa mereka semua. Dan, apabila saya melihat mereka berbual, ia mencerminkan mereka itu mempunyai pertalian keluarga yang sungguh erat, seolah-olah mereka saling berbicara dengan kawan-kawan sebaya.

Itulah saya rasakan, kehebatan Islam yang memupuk prinsip menghormati orang tua dan menyayangi yang muda. Dan, ia terjelma di balik tingkah laku orang yang benar-benar mengamalkan agama ini, dengan dasar ilmu yang dipunyai, serta tak lokek mengajarkannya setiap hari selepas Isyak.

Malahan, Syeikh Haitsam juga tidak kisah sekiranya kita menyerbunya dengan pelbagai permasalahan agama seusai kuliah itu.

Juga, sering kali beliau bertanya kepada saya pada penghujung kuliah, "Do you need a lift? (kamu nak saya tumpangkan kamu ke rumah?)

Saya bersyukur kepada Tuhan, kerana di sini, rumah saya hanya beberapa puluh meter sahaja dari masjid dan ia salah satu rahmat dan kemudahan buat kami di Village. Syeikh Haitsam sendiri pun, memanjangkan cuti musim panasnya dan berhasrat mahu menyampaikan kuliah hadithnya setiap malam, sehinggalah beliau pulang semula ke Syria akhir Disember nanti.

Buat rakan-rakan Adelaide, saya mengajak anda untuk meluangkan sedikit masa, bersama-sama mendengar kuliah hadith ini, yang barangkali sukar didapati di sini. Alangkah baiknya, sekiranya setiap hari kita diingatkan tentang nikmat syurga dan azabnya api neraka.

Oh ya. Aliph juga telah mengambil inisiatif dengan menjemput Syeikh Haitsam untuk menyampaikan kuliah hadith di rumahnya, di 1 Maple St, Broadview. Saya kira, buat rakan-rakan yang tinggal jauh dari kawasan City, bolehlah datang ke rumah Maple, pada waktu Maghrib, setiap hari Jumaat, kerana Syeikh Haitsam sendiri turun ke sana.

Dalam majlis-majlis ilmu begini, kita mudah menemui cahaya-Nya.

Glenelg

Saya teruja, tatkala mendapat panggilan telefon dari Alif Anwar, yang mengajak saya ke Glenelg, pantai peranginan yang paling dekat dengan bandar Adelaide. Kami bertemu di dalam tram di Victoria Square, pada jam 6 bersama Azmi, Hijaz dan Syafiq dan tiba di Glenelg, setengah jam kemudian.

Glenelg, mungkin ramai yang tak sedar, jika ejaan 'Glenelg' diterbalikkan, sebutannya masih tetap sama. Tram yang membawa kami tiba di Moseley Square dan saat itu kelihatan selat Vincent yang terbentang ke arah barat di balik jeti. Ramai orang berpapasan, kebanyakannya ahli keluarga yang membawa anak-anak kecil dan juga orang tua-tua, menikmati cuaca petang yang indah. Ada pasangan merpati yang melayah turun dari Hotel Stamford, menuju pasir pantai yang putih. Kelihatan juga anak-anak muda Inggeris yang berlari-lari mengejar sesama sendiri. Barangkali, orang ramai di sini mengambil peluang cuaca baik ini, sepertimana kami juga, kerana sudah lebih 2 minggu Adelaide asyik ditimpa hujan.

Matahari mulai pudar, menanti masa berlabuh di ufuk barat, sedang awan-awan membuka ruang di kiri dan kanan sinarannya, memberi laluan pada pemandangan matahari terbenam yang indah.


"Andai bumi ini Allah ciptakan serba cantik, aman, damai dan tenteram, bagaimana pula nanti keadaan di syurga." Kami mengeluarkan syor bicara ini pada teman-teman yang sibuk mengambil gambar.

Angin dari barat kemudian mengelus manja rambut kami. Apabila kaki kami menjijak pasir pantai yan putih, Azri, Amir dan Fakar menyertai kami. Mereka tiba lebih awal di Glenelg dan sudah menjilat aiskrim Conpenhegan pelbagai perisa berlatarbelakangkan simfoni ombak air pasang.

Kami terpesona. Suria senja memantulkan kontras warna biru langit, biru laut dan kuning pasir pantai. Langit tanpa awan memayungi lautan yang berkilau-kilau, bersaing rona dengan pasir yang sedikit berbukit. Gigi air cuba memanjat kembali beting yang ditinggalkan selama 6 jam sebelum ini.

Para jurugambar yang telah tenggelam dalam asyik dengan kamera masing-masing, sibuk bertukar posisi. Saya dan Azmi berlegar mencari ruang sendiri. Amir dan Fakar pula berjalan kembali ke tram kerana mahu pulang awal.

Saya dan Azmi berdua tak banyak melantunkan bicara kerana mahu menikmati kedamaian tempat pertemuan antara daratan dan lautan ini.

Fikiran saya berlegar. Semalam saya, Azmi, Firdhaus, Hijaz dan Aliph ada berbincang sesuatu yang sungguh bermakna. Saya putarkan kembali layar ingatan dan cuba mengingat perkara yang hangat kami kongsi bersama.

"Apakah yang mengukur cinta?" tanya Azmi pada kami semua dan soalan itu terngiang dalam kepala saya.


Ingatan saya terganggu, melihat berpuluh-puluh camar terbang mengejar langit Glenelg, apabila Alif Anwar menyergah dari belakang. Telatah itu amat melucukan.

Seingat saya, malam itu, kami semua bersepakat dengan satu jawapan. "Cinta bukan sekadar diukur dengan rasa bahagia dan ketenangan apabila kita memperoleh sesuatu. Kejayaan cinta adalah apabila kita berjaya mengikuti panduan agama dalam bercinta. Ini kerana, dalam bercinta, sepasang suami-isteri itu tidak lepas dari pergolakan dan pergeseran. Dengan mengikuti panduan Islamlah, segala urusan kehidupan perkahwinan itu akan lebih teratur. Baik dari sebelum perkahwinan, hatta dalam proses penceraian sekalipun."


Syafiq mengajak kami ke Marina Bay, tempat letak kapal-kapal layar mewah. Namun, petang itu, hanya sebuah Catamaran tinggal. Barangkali kapal-kapal lain sudah menaikkan layar, meluncur di pantai-pantai West Beach, Henley dan Semaphore, yang terletak bersebelahan dengan Glenelg.

Saya memanjangkan fikiran lagi di tepi pantai yang serba tenteram ini. Malam semalam itu juga, kami melanjutkan perbincangan, sementelah Azmi baru pulang dari Malaysia. Banyak benar berita yang dia kongsikan.

"Orang lelaki mempunyai tanggungjawab terhadap wanita. Orang lelakilah yang perlu menjaga dan mendidik wanita." Saya kurang ingat siapa yang mengatakan itu, kerana perbincangan ilmiah malam itu memang benar-benar meriah dan mesra, seumpama ombak yang berjuta tahun lamanya bersahabat dengan pantai. "Jadi, bila lelaki bermasalah, maka wanita juga akan ditimpa masalah. Contohnya, macam masalah sekarang. Sekiranya lelaki tak mengizinkan wanita masuk ke dalam rumahnya, maka masalah fitnah dan khalwat takkan terjadi."

Lantas saya bergurau, "kalau macam tu, bolehlah aku kata kalau lelaki tak layan, wanita tak tergediklah kan?" Ketawa kami berderaian.

Ombak besar bergulung, laju menghempas pantai dan menyelerakkan beberapa ketul kerikil di atas pasir.

"Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlulah ketuk pintu hati mereka. Pintu hati sang lelaki itu terlebih dahulu." Aliph mengusulkan cadangan. "Allahlah memegang kunci pintu hati. Tugas kita hana mengetuk pintu hati."

"Malah, kita juga perlu menanyakan panduan dan nasihat orang alim mengenai masalah lelaki-wanita ini," cadang Azmi.

Kami berenam berkumpul kembali, bergambar kenang-kenangan di atas tambakan batu. Bongkah batu sebesar manusia diatur kukuh-kukuh untuk menghalang ombak dari menceroboh kawasan Marina Bay.

Setelah puas bermain di atas bongkah-bongkah batu yang besar itu, kami segera melangkah ke jeti, supaya tidak terlepas detik-detik istimewa matahari terbenam. Angin dingin menyeluruhi tubuh kami tatkala kami berjalan ke tengah laut, di atas jeti kayu yang sudah berusia.

"Isteri yang terbaik adalah wanita yang berkehendakkan agama, biar apa pun keadaannya sebelum berkahwin. Isteri yang baik, bukan sekadar lawa, bukan sekadar berharta dan bukan sekadar berketurunan Mat Salleh." Pada malam sebelum kami tiba di Glenelg, begitulah kami merumuskan kata sesama kami.

Senja sudah berlabuh, malam mengambil tempat bersama seribu satu burujnya. Kawan-kawan lain menemankan saya dan Azmi berbuka puasa di Nando's.

Sebelum pulang, saya telah ditinggalkan sebuah nasihat yang amat berguna, yang tak rugi kalau dikongsikan.

"Apabila kita memperkatakan sesuatu yang baik, nescaya Allah akan menguji kita. Maka, berhati-hatilah dengan apa yang ingin dikatakan."

Malam sekembalinya saya dari Glenelg, saya sudah terkenangkan sebuah petang yang menakjubkan di tepi pantai. Petang itu, di bawah matahari yang terbenam, kami telah menyaksikan dua kebesaran Allah.


Hebatnya penciptaan alam ini.

Hebatnya Allah menautkan hati kami semua.

Jurugambar entri ini: Alif Anwar, Syafiq Sirajuddin, Azri, Hijaz Hasnan.

Alhamdulillah

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:

Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian.

Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu.

Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku.

Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku.

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.

Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

Mengenali Salsabila Fahim

Saya kira, saya adalah seorang yang bertuah, diberi kesempatan oleh Tuhan, di saat penghujung percutian pertengahan semester ini; untuk mengenali kembali Salsabila Fahim. Salsabila, meski dalam dua dimensi yang sungguh berbeza, mengikat tali persahabatan dengan jiwa, saat saya kelelahan berkejar-kejaran melakukan pelbagai aktiviti dalam waktu cuti ini.

Salsabila Fahim, bagi saya wanita yang waja, yang tak pernah kenal erti kalah, yang tak pernah tahu erti lelah. Saya terkesan dengan perjalanan hidupnya yang berliku, namun sedaya upaya beliau menempuhinya dengan panduan lurus dari Tuhan. Sememangnya, beliau, memahamkan saya kepada daerah lembut sang wanita, yang rimbun dengan kasih dan sayang. Beliaulah menunjukkan saya betapa murni dan luhurnya perasaan insan yang bergelar Hawa, di saat menghadapi kancah dan gelora dunia yang tidak mengenal mana lelaki, mana perempuan.

Salsabila merendah diri pada awal bicaranya. Menghurai bahawa cerita kehidupannya ringkas cuma, cerita seperti manusia-manusia lain. Malah, beliau mengumpamakan dunia ini ibarat satu teduhan dalam perjalanan. Dan, dalam teduhan itu, kita perlu mencari bekalan sebanyak mungkin sebelum meneruskan pengembaraan yang lebih panjang, sebuah musafir abadi.

Beliau bercerita tentang ladang betik yang diusahakannya. Meski beliau seorang wanita, namun Salsabila mahu membuktikan, dunia pertanian dan perladangan bukan hak mutlak kaum lelaki. Teh Sofia, rakan sekampus, bersama-sama dalam cita-cita Salsabila untuk membangunkan tanah yang diwarisi dari ayahnya. Dengan niat yang suci untuk berbakti pada bumi Ilahi, serta azam untuk berjihad dalam bidang ekonomi serta usaha yang tak mengenal putus asa, Ladang Tunggu Teduh Dulu disemai dan dijaga oleh dua wanita berani.

Tiadalah gunanya iman andai tidak diuji. Salsabila mengerti hakikat itu, bahkan menzahirkan teguhnya iktikad pada Ilahi saat dicuba dengan pelbagai dugaan di kanan dan kiri. Kamil dan Lam, dua sahabat lama yang merebuti hatinya, kembali bertandang dalam hidup Salsabila, bertempur untuk menjadikannya permaisuri. Teh Sofia, pada masa yang sama, kalah dalam jerat percintaan tiga segi, antara beliau, Salsabila dan Kamil, merajuk dan membawa diri ke Sydney, meninggalkan Salsabila keseorangan menguruskan ladang betik dengan penuh pancaroba. Pada masa yang sama, adik tiri Salsabila, Shahruzzaman, mengganggu dan menekan, sehingga sanggup mencalarkan maruah kakak tirinya sendiri.

Kamil sentiasa mendesak Salsabila agar cintanya dibalas segera, manakala Lam (yang menjadi Muslim dan menukar namanya menjadi Saifullah), masih tegar berhujah dan mengatakan dirinya harus diberi peluang di atas medan yang saksama. Salsabila tersepit antara kenangan persahabatan lama dan perebutan dua jejaka idaman. Tiba-tiba, Sazli, anak muda yang merupakan pekerja ladang turut menambah kusut jiwa lembut Salsabila, dengan menyatakan cintanya.

Masalah hidup Salsabila berlarutan apabila beliau mengetahui ibu tirinya menghidap kanser tahap dua.
Namun, Salsabila wanita tabah. Saat betiknya dihurung lalat buah, disekah monyet dan diserang pelbagai jenis kulat dan bakteria, Salsabila segera mengatur langkah, menyelesaikan masalah dengan professional, bukan sekadar menangis tersedu-sedu. Wanita bestari seperti Salsabila bukan sahaja tahu strategi mana yang harus dipakai, malah tahu pada Siapa masalah kerjaya dan kehidupannya perlu diadu. Saban malam, beliau bertahajud dan beristikharah, memohon panduan dari Tuhan- siapa yang sebenarnya patut menjadi pemimpin hidupnya, memudahkan segala usahanya untuk berbakti dalam bidang ekonomi dan memelihara ibu dan adik tirinya dari kemurkaan-Nya.

Akan tetapi, ribut kehidupan Salsabila tidak pernah berhenti menghentam dan mengganas. Tuhan menangguhkan jawapan untuk doa Salsabila supaya darjat perjuangan Salsabila berada di tingkat yang tertinggi.

Sehingga, pada satu tahap, Salsabila buntu mencari jawapan di dalam runtuhan masalah yang bertimpa-timpa. Salsabila mahu berputus asa setelah lemah dengan ujian yang tak berhenti-henti sekian lama.
Namun, Allah tidak meninggalkan hambanya terkapai-kapai kelemasan tanpa memberi cahaya dan bantuan-Nya.

Pembedahan membuang ketumbuhan dalam badan ibu tirinya berjaya. Salsabila mengambil keputusan untuk mengambil cuti, bertandang ke rumah Allah untuk melaksanakan janji pada ibu tirinya. Teh Sofia juga tiba-tiba kembali dari rajuknya yang panjang, memberi peluang buat Salsabila kembali bernafas.

Di hadapan Multazam Salsabila tak putus berdoa, diberi petunjuk oleh Tuhan, siapa yang sepatutnya menjadi peneman hidup. Sazli, yang mengambil peluang cutinya, turut sama menziarahi rumah Allah dan ditakdirkan bertemu dengan Salsabila dan ibu tirinya di situ. Namun, sewaktu merenung Kaabah di tengah Masjidil-Haram, Allah mentakdirkan ibu tirinya pulang ke rahmat-Nya, di atas pangkuan Salsabila sendiri.

Salsabila menelan kepahitan dan cuba mencapai erti redha atas takdir. Ibu tirinya, sebelum menghembus nafas terakhir, sudah mengkhabar pilihan yang baik untuk Salsabila. Dan, di atas tanah penuh barakah, Salsabila membulatkan hati, mengotakan apa yang diminta oleh ibu tirinya. Umpama Khatijah AS, Salsabila sendiri melamar Sazli, membalas jawapan cinta yang diikrarkan pemuda itu dahulu. Dan, di situ, Salsabila melengkapkan hidupnya, bersama suami yang didamba sekian lama.

Sazli pulang ke Jerman, meneruskan pengajian, sementara Salsabila pulang seorang diri ke Malaysia, meneruskan perjuangannya sebagai usahawan betik. Teh Sofia mengkhabarkan, sewaktu peninggalan Salsabila, ladang betik mereka mahu diambil pemaju, atas alasan membina lebuh raya. Tidak dapat tidak, ladang yang menjadi bukti perih jerih wanita secekal Salsabila akan dipugar dan kenangannya bersusah payah menanam betik menjadi hancur begitu sahaja. Dan, atas nama pembangunan, Ladang Tunggu Teduh Dulu terpaksa dikorbankan.

Sebaliknya, Allah menyusun sesuatu yang lebih hebat di balik kehilangan tanah pusaka Salsabila dan kemusnahan Ladang Tunggu Teduh Dulu.

Oh, terasa terlalu banyak pula saya bercerita tentang Salsabila. Sebenarnya, banyak lagi yang diceritakan oleh beliau dan saya kira, tak harus saya mengungkap semuanya semula di sini. Kemusnahan Ladang Tunggu Teduh Dulu, bukan bererti penamat cerita bahagia Salsabila Fahim. Untuk mengetahui apa kesudahan ceritanya, saya sarankan, anda sendiri mengenali beliau.

Adelaide: Ada yang maa'ruf, ada juga yang mungkar

Seharian bermenung, membaca dan meneliti laporan akhbar,bercampur-campur perasaan ini.

Takut. Sedih. Sebak. Gusar.

Di Indonesia, saudara-saudara seagama kita diuji begitu dahsyat sekali. Bayangkan, tempat berpijak, tempat yang dirasakan selamat untuk kita berdiri, duduk, tidur, berumah, berkeluarga dan membina jaringan kawan-kawan, boleh bergempa dan bergegar. Goncangan yang kuat itu telah memusnahkan sebuah kehidupan yang dibina oleh setiap insan yang menjadi mangsa.

Al-Fatihah kita sampaikan buat saudara-saudara kita di sana.

Bencana begitu, andai direflekskan pada kita, sudah pasti akan kita temui mesej dari-Nya.

Cuba kita bayangkan, kita berada di situasi aman di Adelaide ini. Tiba-tiba, Allah mentakdirkan bumi yang aman dan damai ini bergegar, berkocak dan bergempa - dan bangunan-bangunan yang kita diami sekarang, runtuh, musnah dan binasa. Serpihan-serpihan alang, atap dan batu menimpa kita. Mungkin kita tak sempat melarikan diri ke luar rumah kerana sedang tidur. Atau mungkin kita sedang leka bergurau-senda dan bergelak-ketawa, tanpa menghirau batas lelaki dan perempuan.

Bencana yang datang sekelip mata boleh meragut nyawa sesiapa sahaja, baik yang berusrah, tak berusrah, berkelab, tak berkelab, ber-couple, single, pelajar cemerlang, pelajar repeat dan sebagainya.

Roh yang bercerai dari badan, kemudian akan ditanya oleh malaikat di dalam kubur.

Dan dengan bekalan iman kita di dunia dahulu sahajalah, persoalan yang diutara oleh Mungkar dan Nangkir boleh dijawab.

Yang gagal menjawab, akan merintih, menyesal dan bermuram durja, kerana sudah tahu, apa pembalasan Allah untuknya kelak di akhirat nanti.

Yang berjaya menjawab, akan tersenyum girang, gembira dan berseri-seri, kerana sudah diizin untuk melihat syurga dari jendala barzakh.

Allah Maha Adil. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Dia telah menunjukkan bagaimana untuk kita semua disayangi-Nya, dikasihi-Nya dan diadili-Nya. Dalam hati, sentiasa berzikir mengingatinya dan menuruti apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Cara yang paling mudah adalah dengan mengikuti sunnah Rasul. Mengikut cara makan baginda, mengikut lembut tutur kata baginda, mengikut cara solat baginda, mengikut cara pergaulan baginda; antara kawan dan perempuan dan banyak lagi. Dengan mengikuti sunnah baginda, secara langsung atau tidak, kita mengikuti apa yang disuruh Tuhan, meninggalkan apa yang dilarang Tuhan.

Bahkan, setiap aturan yang ditampilkan Nabi Muhammad SAW, membolehkan kita beribadat, 24/7 tanpa henti. Bukankah hidup kita ini dijadikan untuk beribadat pada Tuhan?

Pada masa yang sama, Allah berulang kali mengkhabarkan betapa keras siksanya. Betapa panasnya api neraka. Betapa dahsyatnya azab Jahannam.

Malah, di dunia lagi, Allah pantas menghukum manusia.

Kaum Luth AS, Allah terbalikkan bumi, atas nafsu mereka melanggar tabii. Kaum Ad' Allah takdirkan kilat dan guntur, sehingga mereka mati terkulai di dalam dan luar rumah dek suara yang memekakkan.

Kita di zaman ini juga telah menyaksikan pelbagai-bagai bencana dan kejadian, yang kita tahu, itu adalah amaran dan peringatan jelas dari Tuhan.

Dan, kita semua memahami, Allah menurunkan bala-Nya, andai perkara mungkar dibiar berleluasa dan larangan-Nya dilakukan sewenang-wenangnya.

Maka, untuk selamat di dunia dan akhirat, pada agama Allah sahajalah tempat kita kembali.

Andai bencana datang menimpa, mahukah kita mati dalam keimanan atau kemaksiatan? Atau, mahukah kita mementingkan diri, berasa diri kita selamat, sedangkan kawan-kawan kita terbiar dalam maksiat dan kemungkaran yang berleluasa? Atau, kita seorang sahaja yang tercampak ke dalam neraka, sedangkan kawan-kawan kita berbondong-bondong masuk ke dalam syurga?

Manusia, seperti kita ini, memang tak lari dari kesilapan. Dan untungnya kita kerana dalam tindakan kita yang penuh salah ini, Dia masih membuka pintu taubat seluas-luasnya. Pintu taubat itulah, untuk kita jalani dengan bersungguh-sungguh dan berusaha untuk tidak kembali semula ke lorong yang gelap dan hina.

Kita, di dunia perantauan ini, tidak dapat tidak, perlu saling pesan-memesan. Pergaulan lelaki perempuan andai dijaga rapi, baru lengkap namanya iman dan Islam. Malah, dalam penjagaan perhubungan lelaki-perempuan ini, barulah layak gelaran Melayu yang santun itu.

Bukankah lelaki Melayu terkenal dengan hormatnya menjaga maruah?
Bukankah wanita Melayu itu terkenal dengan sopan dan malu ayunya?

Memberi nasihat tidak semestinya perlu disertakan perkataan 'jangan buat itu' atau 'tak boleh buat ini.'

Nasihat yang baik adalah yang mengingatkan dan menunjukkan jalan.

Jadi, ayuh kembali ke pangkal jalan.
Ayuh pelihara pergaulan.
Ayuh kita mengikut sunnah Rasul.
Ayuh kita patuhi arahan Tuhan dan jauhi larangan-Nya.

InsyaAllah, sama-sama kita berdoa, agar ketentaraman bumi ini diperlihara.

Amiin..