Saya kira, saya adalah seorang yang bertuah, diberi kesempatan oleh Tuhan, di saat penghujung percutian pertengahan semester ini; untuk mengenali kembali Salsabila Fahim. Salsabila, meski dalam dua dimensi yang sungguh berbeza, mengikat tali persahabatan dengan jiwa, saat saya kelelahan berkejar-kejaran melakukan pelbagai aktiviti dalam waktu cuti ini.
Salsabila Fahim, bagi saya wanita yang waja, yang tak pernah kenal erti kalah, yang tak pernah tahu erti lelah. Saya terkesan dengan perjalanan hidupnya yang berliku, namun sedaya upaya beliau menempuhinya dengan panduan lurus dari Tuhan. Sememangnya, beliau, memahamkan saya kepada daerah lembut sang wanita, yang rimbun dengan kasih dan sayang. Beliaulah menunjukkan saya betapa murni dan luhurnya perasaan insan yang bergelar Hawa, di saat menghadapi kancah dan gelora dunia yang tidak mengenal mana lelaki, mana perempuan.
Salsabila merendah diri pada awal bicaranya. Menghurai bahawa cerita kehidupannya ringkas cuma, cerita seperti manusia-manusia lain. Malah, beliau mengumpamakan dunia ini ibarat satu teduhan dalam perjalanan. Dan, dalam teduhan itu, kita perlu mencari bekalan sebanyak mungkin sebelum meneruskan pengembaraan yang lebih panjang, sebuah musafir abadi.
Beliau bercerita tentang ladang betik yang diusahakannya. Meski beliau seorang wanita, namun Salsabila mahu membuktikan, dunia pertanian dan perladangan bukan hak mutlak kaum lelaki. Teh Sofia, rakan sekampus, bersama-sama dalam cita-cita Salsabila untuk membangunkan tanah yang diwarisi dari ayahnya. Dengan niat yang suci untuk berbakti pada bumi Ilahi, serta azam untuk berjihad dalam bidang ekonomi serta usaha yang tak mengenal putus asa, Ladang Tunggu Teduh Dulu disemai dan dijaga oleh dua wanita berani.
Tiadalah gunanya iman andai tidak diuji. Salsabila mengerti hakikat itu, bahkan menzahirkan teguhnya iktikad pada Ilahi saat dicuba dengan pelbagai dugaan di kanan dan kiri. Kamil dan Lam, dua sahabat lama yang merebuti hatinya, kembali bertandang dalam hidup Salsabila, bertempur untuk menjadikannya permaisuri. Teh Sofia, pada masa yang sama, kalah dalam jerat percintaan tiga segi, antara beliau, Salsabila dan Kamil, merajuk dan membawa diri ke Sydney, meninggalkan Salsabila keseorangan menguruskan ladang betik dengan penuh pancaroba. Pada masa yang sama, adik tiri Salsabila, Shahruzzaman, mengganggu dan menekan, sehingga sanggup mencalarkan maruah kakak tirinya sendiri.
Kamil sentiasa mendesak Salsabila agar cintanya dibalas segera, manakala Lam (yang menjadi Muslim dan menukar namanya menjadi Saifullah), masih tegar berhujah dan mengatakan dirinya harus diberi peluang di atas medan yang saksama. Salsabila tersepit antara kenangan persahabatan lama dan perebutan dua jejaka idaman. Tiba-tiba, Sazli, anak muda yang merupakan pekerja ladang turut menambah kusut jiwa lembut Salsabila, dengan menyatakan cintanya.
Masalah hidup Salsabila berlarutan apabila beliau mengetahui ibu tirinya menghidap kanser tahap dua.
Namun, Salsabila wanita tabah. Saat betiknya dihurung lalat buah, disekah monyet dan diserang pelbagai jenis kulat dan bakteria, Salsabila segera mengatur langkah, menyelesaikan masalah dengan professional, bukan sekadar menangis tersedu-sedu. Wanita bestari seperti Salsabila bukan sahaja tahu strategi mana yang harus dipakai, malah tahu pada Siapa masalah kerjaya dan kehidupannya perlu diadu. Saban malam, beliau bertahajud dan beristikharah, memohon panduan dari Tuhan- siapa yang sebenarnya patut menjadi pemimpin hidupnya, memudahkan segala usahanya untuk berbakti dalam bidang ekonomi dan memelihara ibu dan adik tirinya dari kemurkaan-Nya.
Akan tetapi, ribut kehidupan Salsabila tidak pernah berhenti menghentam dan mengganas. Tuhan menangguhkan jawapan untuk doa Salsabila supaya darjat perjuangan Salsabila berada di tingkat yang tertinggi.
Sehingga, pada satu tahap, Salsabila buntu mencari jawapan di dalam runtuhan masalah yang bertimpa-timpa. Salsabila mahu berputus asa setelah lemah dengan ujian yang tak berhenti-henti sekian lama.
Namun, Allah tidak meninggalkan hambanya terkapai-kapai kelemasan tanpa memberi cahaya dan bantuan-Nya.
Pembedahan membuang ketumbuhan dalam badan ibu tirinya berjaya. Salsabila mengambil keputusan untuk mengambil cuti, bertandang ke rumah Allah untuk melaksanakan janji pada ibu tirinya. Teh Sofia juga tiba-tiba kembali dari rajuknya yang panjang, memberi peluang buat Salsabila kembali bernafas.
Di hadapan Multazam Salsabila tak putus berdoa, diberi petunjuk oleh Tuhan, siapa yang sepatutnya menjadi peneman hidup. Sazli, yang mengambil peluang cutinya, turut sama menziarahi rumah Allah dan ditakdirkan bertemu dengan Salsabila dan ibu tirinya di situ. Namun, sewaktu merenung Kaabah di tengah Masjidil-Haram, Allah mentakdirkan ibu tirinya pulang ke rahmat-Nya, di atas pangkuan Salsabila sendiri.
Salsabila menelan kepahitan dan cuba mencapai erti redha atas takdir. Ibu tirinya, sebelum menghembus nafas terakhir, sudah mengkhabar pilihan yang baik untuk Salsabila. Dan, di atas tanah penuh barakah, Salsabila membulatkan hati, mengotakan apa yang diminta oleh ibu tirinya. Umpama Khatijah AS, Salsabila sendiri melamar Sazli, membalas jawapan cinta yang diikrarkan pemuda itu dahulu. Dan, di situ, Salsabila melengkapkan hidupnya, bersama suami yang didamba sekian lama.
Sazli pulang ke Jerman, meneruskan pengajian, sementara Salsabila pulang seorang diri ke Malaysia, meneruskan perjuangannya sebagai usahawan betik. Teh Sofia mengkhabarkan, sewaktu peninggalan Salsabila, ladang betik mereka mahu diambil pemaju, atas alasan membina lebuh raya. Tidak dapat tidak, ladang yang menjadi bukti perih jerih wanita secekal Salsabila akan dipugar dan kenangannya bersusah payah menanam betik menjadi hancur begitu sahaja. Dan, atas nama pembangunan, Ladang Tunggu Teduh Dulu terpaksa dikorbankan.
Sebaliknya, Allah menyusun sesuatu yang lebih hebat di balik kehilangan tanah pusaka Salsabila dan kemusnahan Ladang Tunggu Teduh Dulu.
Oh, terasa terlalu banyak pula saya bercerita tentang Salsabila. Sebenarnya, banyak lagi yang diceritakan oleh beliau dan saya kira, tak harus saya mengungkap semuanya semula di sini. Kemusnahan Ladang Tunggu Teduh Dulu, bukan bererti penamat cerita bahagia Salsabila Fahim. Untuk mengetahui apa kesudahan ceritanya, saya sarankan, anda sendiri mengenali beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan