Kelab Peminat

Negara Tanpa Tentera

Lain pula ceritanya di negara yang terletak di penjuru timur jauh.

Jepun, negara yang dikenali sebagai gergasi dalam dunia teknologi dan inovasi. Sejarah bangsa mereka juga panjang - bahkan kedudukan geografinya juga jauh daripada pertembungan tamadun-tamadun besar dunia, selain daripada tamadun Cina. Jepun membangunkan latar kebudayaannya sendiri dan pandangan alam itu masih terzahir sungguhpun dunia melangkah ke modernisasi.

Saya berkesempatan merasai kecanggihan negara Jepun. Serba-serbi kehidupan dimudahkan dengan kecanggihan teknologi elektronik. Sewaktu berada di kaunter imigresen, kedua petanda jari telunjuk pendatang asing seperti saya diimbas. Kemudian, semasa menunggu sahabat saya datang menjemput, delegasi kami didatangi oleh dua anggota polis.

Dengan sopan, mereka meminta pasport kami dan mencatat sesuatu daripadanya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah sahabat saya, saya mengambil kesempatan bertanya tentang tindakan anggota polis tersebut.

"Oh, polis di sini, bukan bertujuan memburu orang. Mereka hanya menjalankan tugas. Sebenarnya, prinsip yang dipegang oleh orang Jepun adalah 'tidak mahu menyusahkan orang.'"

"Tetapi, kemasukan dan permohonan visa ke negara ini ketat sekali," saya meningkah.

"Benar. Tetapi, kamu harus tahu, secanggih-canggih negara ini, mereka tidak mempunyai barisan tentera yang mempertahankan negara," kata sahabat saya.

Saya mengangkat kening. "Kenapa begitu?"

"Kalah perang. Perjanjian Postdam."

"Jadi, apa yang mempertahankan negara Jepun ini?"

"Anggota polis mereka. Barisan tentera pula adalah daripada Amerika Syarikat."

"Oh, begitu..." balas saya.

Beberapa hari kemudian, kami membincangkan topik yang sama ini.

"Bagaimana Jepun mahu mempertahankan diri kalau ia diserang?" saya bertanya. Perihal negara tanpa tentera itu benar-benar membuat saya tertanya-tanya.

"Jepun bukan negara yang tidak bijak," kata sahabat saya itu. "Mereka mencipta pelbagai peralatan dan mengeksportnya ke seluruh dunia. Dan sekarang, dunia bergantung kepada teknologi daripada Jepun. Jika Jepun diserang, maka pada teknologi mana lagi dunia mahu bergantung?"

Saya mengangguk. Namun, saya masih tertanya-tanya bagaimana Jepun boleh terus makmur tanpa barisan pertahanan rasmi, sepertimana negara kita. Bagaimana rakyat Jepun menjamin keselamatan antara mereka?

"Kerana prinsip negara Jepun, mereka tidak mahu menyusahkan orang."

Saya mengangguk-angguk. Dalam hati, saya berbisik: "Mungkin ini adalah pelajaran daripada gugurnya dua bom atom di negara mereka."

Penerbangan nan Tertunda

Hari itu, saya terasa sedikit lewat. Saya menjangkakan, saya akan tiba satu jam lewat daripada sepatutnya. Pagi itu, entah apa yang telah melekakannya saya. Perjalanan KL Transit dari Putrajaya terasa lama.

Saya menelefon kenalan yang akan bersekali ke Tehran hari itu. Nombornya saya perolehi daripada salah seorang wakil Kedutaan Iran di Kuala Lumpur. Niat utama, mahu mendapatkan teman ke sebuah negeri yang panjang susur galur sejarahnya.

"Awak tak perlu bergegas kerana penerbangan kita ditangguhkan selama 6 jam."

"6 jam?" getus suara hati - terkejut

Tatkala sampai di kaunter pendaftaran, barisan sudah berlingkar. Saya paling terkebelakang. Ada tulisan merah yang tertera pada papan pemuka, memaklumkan status penerbangan Iran Air. Rasanya, hanya saya seorang sahaja dari Malaysia di dalam barisan itu.

Sebetulnya, inilah pengalaman pertama saya menaiki Iran Air dan terbang ke negara Iran. Dua tiga hari sebelumnya, saya disapa rasa gusar, memandangkan saya akan mengembara ke sana seorang diri, tanpa seorang pun kenalan. Harapan keselamatan saya sandarkan pada janji kerajaan Iran untuk membiaya seluruh kos perjalanan, termasuk tempat tinggal, makanan dan pengangkutan sepanjang 4 hari saya di sana, sempena dengan Persidangan Antarabangsa Penerbit Dunia Islam kali kedua. Saya, mewakili Klasika Media, menjadi salah seorang delegasi Malaysia.

Setelah selesai urusan pendaftaran di kaunter, saya mendapatkan dua lagi delegasi Malaysia yang akan bersama saya untuk persidangan tersebut. Salah seorangnya adalah berbangsa Parsi yang telah menetap lama di Malaysia. Sudah tentu, Bahasa Melayunya juga fasih.

Kami berbasa-basi memesrakan diri. Empat hari perjalanan akan kami tempuhi bersama. Jam-jam terakhir sebelum kami memasuki badan pesawat, kami berbincang mengenai situasi dunia semasa - bagaimana besarnya peranan Amerika Syarikat dalam membentuk pola kehidupan warga bumi sekarang. Dan umumnya, gaya campur tangan Amerika, jarang disukai oleh negara-negara lain. Apatah lagi buat Iran.

Perbincangan kami berlarutan. Kami sekali lagi dimaklumkan bahawa kapal terbang masih belum boleh diterbangkan. Di balai menunggu untuk masuk ke dalam pesawat, kami lihat surat khabar dan air mineral diedarkan.

"Itu tanda penungguan kita akan menjadi lebih lama."

Sejam berlalu, daripada waktu yang dijanjikan enam jam sebelum ini. Kesemua penumpang sudah keletihan dan mula duduk di atas lantai, mungkin kerana lenguh duduk di atas kerusi.

Tiba-tiba, kebisingan memuncak apabila seorang wanita Parsi dalam lingkungan 50-an, bangun dan bercakap dengan lantang kepada petugas Iran Air. Ramai orang mula berkumpul dan menyertai nada wanita berbaju merah jambu itu. Keadaan menjadi riuh seketika sebelum mereka perlahan-lahan menenangkan diri, walaupun masih marah-marah di tempat duduk.

"Tekanan menjadikan mereka begini," kata kawan Parsi saya itu.

"Saya sepatutnya memahami," kata saya.

"Kamu tahu kenapa penerbangan kita tangguh?"

Saya menggeleng dan berminat untuk tahu.

"Puncanya adalah sekatan. Apabila sesebuah negara itu dikenakan sekatan, maka seluruh warganya akan mendapat kesan. Tahukah kamu kesemua pesawat Iran Air sudah usang dan tidak pernah berganti?"

"Maksudnya, sejak Revolusi?"

"Ya. Begitu juga dengan alat gantiannya."

"Begitu sekali? Jadi, kita akan menaiki pesawat yang berisiko?"

"Ya. Tetapi, lebih baik tangguh daripada terbang dalam keadaan bahaya. Iran Air mungkin mengambil kesempatan untuk penyelenggaraan pesawat di Malaysia - yang tentu menjimatkan kos mereka. Jika tidak, alat ganti perlu melalui banyak saluran dan banyak bayaran."

Saya menggelengkan kepala. Nasib para penumpang pada kecekapan juru terbang. Kegusaran sekali lagi menusuk jiwa.

"Takut mati, ya?" suatu suara berbisik.

Saya hanya mampu tersengih sendiri.

Tidak lama kemudian, pengumuman kedengaran. Saya memberanikan diri juga untuk menyertai barisan masuk ke dalam perut pesawat.

BismilLahhi alaihi tawakkaltu. La haula wala qu wata illa bilLah.

Allahuma solli ala Muhammad. Wa aalihi wa sohbihi Muhammad!

Dua Kota Timur 1

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kumulai dengan segala puji kepada Allah dan selawat dan salam ke atas baginda, keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Kata pepatah nan cendekia, 'jauh perjalanan di dunia, luas pengalaman dirasa.' Hanyasanya dengan pengalaman melalui peristiwa itu sendirilah, maka mengukuhlah keyakinan yang mengakar dalam jiwa. Keyakinan tentang adanya kuasa yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa mentadbir alam semesta, yang rencam juzuk-juzuknya, tetapi mampu menyatu tunduk kepada aturan-Nya yang serba sempurna. 

Telah dijadikan manusia itu, berbilang bangsa untuk saling kenal mengenal dan bertuturlah mereka dalam pelbagai bahasa, sebagai bukti Kekuasaan dan Kebijaksanaan yang Maha Mencipta. Bahasa yang tersurat membayangkan akal yang tersirat adanya. Akal yang menampung ilmu anugerah ilahi merupakan kurniaan tertinggi buat makhluk-Nya dan dengan akal-lah manusia itu diberi erti - haiwan yang berkata-kata.



Sebermula, dua bangsa mahsyur dijadikan Allah SWT di dua penjuru dunia. Dan aku telah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai kehidupan singkat di kota mereka, mengenali bagaimana pengalaman sejarahnya, menjadikan mereka dan merenung bagaimana pandangan alamnya, membentuk ketamadunan yang mereka bina. 

Akan kukongsikan pengalaman bersama mereka, untuk renungan dan iktibar bagi kita. InshaAllah.

Sarapan nan Lewat

Kami bersetuju untuk bersarapan lewat, sebentar tadi. Sahabat saya telah sedia menunggu saat saya tiba. Di dalam beg saya, sarat dengan buku-buku yang dibawa pulang dari Tehran - untuk diletakkan dan diwakafkan di Baitul Hikmah.

"Buku-buku aliran sana," kata saya. "Baitul hikmah sepatutnya menjadi pusat rujukan pelbagai aliran." Usaha kami masih kecil. Moga-moga, Allah memberkati - inshaAllah.

Seperti biasa, tatkala pertemuan, kami berwacana. Dan, isi perbincangan itu seenak laksam dan nasi dagang yang menjadi hidangan. Kali ini, kami berbincang tentang pengarangan.

"Bagaimana kategori pengarangan Melayu di Malaysia?" tanya sahabat saya.

"Susah untuk mengkategorikan pengarangan Melayu. Tetapi, secara umumnya, saya rasa, ia dapat dibahagikan kepada dua - yang Islamis dan sekularis. Yang berintikan ilmu dan yang hanya khayalan dan kekeliruan."

"Apakah bezanya?"

"Yang berpaksikan Islam, akan menjadikan ilmu sebagai teras dalam pengarangan. Misalnya, kita akan kesani dalam karya, ada elemen khutbah dan didaktik. Pendekatan ini agak popular dalam pengarangan Melayu sekarang, terutamanya dengan kebangkitan novel pop Islami, kerana ia mudah dan cepat.

"Namun, kalau kita telusuri karya pengarang masyhur zaman silam, seperti Rumi, Sa'di dan sebagainya, mereka tidak meletakkan khutbah dalam karya. Pengisian mereka diserap ke dalam cerita dan mesej kebenaran akan dicerap oleh pembaca melalui penceritaan. Pembaca akan merasai pengalaman mesej kebenaran itu, melalui watak dan perkembangan cerita.

"Untuk perkara ini, cuba perhatikan cerita Sisyphus yang terkenal itu. Kita tahu kisahnya, dan tidak mengesani elemen didaktik di dalam ceritanya. Namun, di sebalik makna cerita itu, kita kesani bagaimana Sisyphus adalah seorang hero tragis yang mustahil mendapat kebahagiaan jika terus diseksa begitu.

"Sudah tentu, untuk menarik minat pembaca, pengarang perlu berusaha keras untuk menyusun semua ini untuk menghasilkan cerita yang baik dan bermakna."

"Jadi, kepengarangan itu sebagai penunjuk kepada kebenaran, bukan? Sepertimana sains, yang menunjukkan manusia kepada kebenaran di sebalik alam kejadian ini. Begitu juga kepengarangan, yang sepatutnya memikul amanah yang sama, dan menjadi jalan untuk mencapai tujuan yang sama."

"Benar sekali," kata saya. "Apabila berkata tentang amanah, pengarang perlu sedar amanah mereka. Pengarang sering dimomokkan dengan fahaman bahawa mereka adalah 'tuhan' yang mencipta watak dan latar di dalam karya. Padahal, ia bukan begitu, kerana mereka adalah manusia. Sepatutnya, mereka perlu sedar, bahawa mereka telah diberi amanah ilmu untuk disampaikan secara bijaksana kepada pembaca, agar dapat diambil manfaat.

"Bagi saya, kreativiti bermula apabila manusia itu mengenal had dan batasan yang ada pada mereka dan memaksimumkan apa yang ada di dalam batasan itu."

Kami terdiam sebentar, menikmati sarapan yang enak.

"Bagaimana pula dengan sejarah? Bagaimana pengarang Melayu memandang sejarah?"

"Ada rencaman pandangan pengarang terhadap sejarah. Lihat sahaja bagaimana mereka menafsirkan sejarah ke dalam karya mereka.

"Ada pengarang yang merasakan tugas pengarangan adalah sebagai perakam sejarah. Mereka akan merekodkan pengalaman sejarah sezaman dan menumpahkannya ke dalam karya. Jadi, kita akan dapat lihat banyak karya-karya yang membicarakan perihal peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut sesuatu zaman. Kalau zaman susah, kita akan mendapati karya-karya membicarakan perihal kesusahan masharakat. Begitulah juga sebaliknya.

"Dalam sharahan Prof al-Attas Sabtu lepas, beliau ada menyinggung perihal pengarang yang mempunyai kecenderungan menjadi pelapor. Dan, seperti yang kita tahu, dalam sejarah, kita perlu membezakan antara fakta runcitan dan fakta sejarah yang sebenar. Jika tidak, tentu buku sejarah tidak akan tertulis dan kepengarangan akan dibanjiri dengan perkara-perkara yang tidak penting buat kemanusiaan.

"Namun, ada juga pengarang yang mahu mengangkat nilai yang lebih universal. Pengalaman sejarah sesuatu bangsa itu dijadikan inti karya dan ditafsir dengan kreatif dan dapat diambil kebaikannya oleh seluruh manusia, walau apa jua latarnya. Mereka menyentuh perihal kemanusiaan dan menunjukkan manusia kepada hakikat kebenaran di sebalik pengalaman-pengalaman sejarah mereka. Satu tugas yang berat, tetapi besar kebaikannya."

Begitulah perbincangan kami tadi.

Catatan ini, dikarang, untuk mewarnai semula wajah blog ini, yang sekian lama dirundung sepi.

Terima kasih buat sahabat yang sudi menemani sarapan nan lewat tadi.

Pesan Ibn Hazm

Bahawasanya mengarang itu, tujuh perkara sahaja adanya, yakni pesan Ibn Hazm dari Andalusia, dari kitab Taqribnya, untuk panduan pengarang beradab mulia.

Pertama, untuk mengutarakan sesuatu yang asli.

Kedua, menyelesaikan atau melengkapkan sesuatu yang belum lengkap.

Ketiga, memperbaiki sesuatu yang dilihatnya salah.

Keempat, menjelaskan dan menguraikan sesuatu yang susah.

Kelima, meringkaskan karya yang lain, tanpa meninggalkan apa yang penting.

Keenam, menggabungkan maklumat dari pelbagai sumber.

Ketujuh, menyatukan dan menyusun pelbagai maklumat menjadi manik-manik yang menjadi rantai indah berseri.

Rabb al-'Alamin

Rabb al-'Alamin. Dewata Mulia Raya. Pemilik, Pencipta dan Pentadbir semesta alam. Hatta sehalus juzuk yang tidak dapat dijuzukkan lagi. Apatah lagi seluas alam yang tidak ditembus nazari oleh anggota yang hissi. Dia nan Esa, kudratnya begitu Maha, menyusun alam serba sempurna, nikmat kepada makhluk melata.

Mutiara

Mahalnya
mutiara
sebutir cuma
hanya kerana
menyelam dalam
makna
penuh rahsia

Keras

Kebenaran itu tidak nisbi sifatnya.

Kebenaran bukan bergantung kepada pandangan kamu dan aku.

Kebenaran itu tsabit dan boleh dicapai.

Kebenaran adalah penawar, meski keras dan pahit.

Bahasa Melayu

Semakin bodohkah kita untuk berbahasa Melayu?

Sedang di luar, berbondong-bondong orang menguasainya - dengan fasih.

Mantiq

Semua pelajar di dalam kelas A adalah baik
Orang yang baik akan masuk syurga
--------------------------------------------------------
Semua pelajar di dalam kelas A akan masuk syurga?

Apa itu?
1)Pelajar
2)Orang
3)Kelas A
4)Syurga
5)Baik

Harapan

Ihsan gambar: Hafizul Hilmi

Agak lama tidak menjengah ke ruang pengarangan ini, sementelah kesibukan menguruskan Pesta Buku Kuala Lumpur 2011 untuk Al-Ameen.

Sejujurnya, saya menganggap pesta buku ini sebahagian kehidupan saya. Saya gemar memetik kata-kata Abu Saif, 'erti hidup pada memberi.'

Di sini, saya bertemu manusia yang rencam latar belakang dan sifatnya. Tambahan, tahun ini juga saya menemui pembaca yang telah membeli kumpulan cerpen dan tulisan blog 'Tak Payah Sombong Pun Tak Apa.' Mereka merupakan penelaah hikmah kehidupan yang setia dan mahu berkongsi pengalaman yang sama dengan karya saya. Jutaan terima kasih buat para pembaca yang sanggup mengeluarkan wang untuk mendapatkan naskhah ini. Semoga hikmah dan pengalaman yang saya kongsikan akan memberi manfaat dalam kehidupan. Insya-Allah.

T-Shirt

klik untuk besarkan

T-shirt sudah dicetak. T-Shirt ini mempunyai misi besar untuk memperingatkan bangsa Malaysia tentang tidak perlunya bersikap sombong, sama ada di jalan raya, di pejabat kerajaan atau di mana-mana sekalipun. Pun begitu, pemakainya mempunyai tanggungjawab yang besar. Jika tersalah pakai, takut-takut ia memakan diri.

Stress

Segala puji bagi Allah, minggu stress ini telah berakhir. Setidak-tidaknya, hujung minggu yang sarat dengan aktiviti luar kerjaya akan menenangkan jiwa serba sedikit. Tertunggu-tunggu kelas pada esok pagi yang bakal membicarakan perihal Kebahagian dan Pengalamannya dalam Islam.

Ratna

Semalam, aku memberitahunya tentang makna ratna. Selain daripada nama kepada sejenis permata, ia juga merupakan panggilan manja buat sang kekasih. Ratna pakaja, kataku padanya.

Di Ratana Kiri, negara Champa, hanya ratna ungu dan biru langit ditemukan. Aku memberitahu ratna pakajaku bahawa Ratana Kiri bermaksud Gunung Permata, dalam bahasa yang kami tuturkan.

yang bernama Sahabat


Sahabatku bertanya, kenapa setelah hampir sepuluh tahun berpisah - tatkala bertemu semula - seolah-olah perpisahan itu tidak pernah berlaku.  "Kau tetap aku kenali sepertimana sepuluh tahun dahulu," katanya.

DOM

Dari kiri, Saudara Faisal (PKPIM), Lutfi (Pena/Moderator), Termizi (UKM) dan Teja (Al-Ameen)
Semalam, saya menjadi panel untuk Dialog Orang Muda. Pendengarnya terdiri daripada pelbagai latar. Daripada mahasiswa, aktivis bahasa dan ilmuan yang setaraf pejuang. Kami membicarakan mengenai nasib bahasa Melayu yang sekadar melukut di tepi gantang di pusat keilmuan.

Mawar 3


Kekasihku, malam yang dingin sering membawa aku ke daerah mimpi yang aneh. Di dalam kabut bayangan, aku menerima sekuntum mawar merah yang segar dan mekar. 

Pada bilah dinihari, aku disedarkan dengan sebuah panggilan. Ayah angkatku berbicara dengan nada tertahan-tahan.

"Ibu kita telah tiada."


Mawar 2


Kesayuan jelas dari iris biru ayah angkatku ini tatkala dia memerhatikan ibunya yang terlantar itu. Dia anak yang bongsu, bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu dan tinggal berdua dengan ibunya. Aku menjangkakan hubungan mereka sudah tentu begitu akrab.

Tidak ramai penduduk yang aku kenal di sini mahu tinggal bersama dengan anak-anak yang telah besar. Budaya di sini mengkehendaki orang tua menjadi insan yang berdikari. Namun, melihat mereka berdua, bagiku sudah tentu ada jalinan istimewa yang memecah tembok budaya itu.

Mawar 1


Pelbagai musim telah berlalu, kekasihku. Musim yang mendapat perhatian Shakespeare di dalam Sonnet 18 - yang pernah aku bacakan padamu dahulu. Juga musim semi - yang begitu halus dinukilkan oleh Khalil Gibran di dalam karya-karya melankoliknya yang menjadi kesukaanmu itu. Dan dua lagi musim yang tidak pernah kita rasai di negeri kita.

Masih kuingat musim bunga itu, kekasihku. Di sana, hawanya Mediterian dan bunga berwarna-warni berkuntuman. Bunga lavender melata di pinggir jalan. Begitu juga anemone merah, ungu dan putih. Itu belum dicampur dengan bunga raya dan bunga matahari yang menyegarkan pandangan mata.

Yang pasti


"Aku mahu beritahu apa yang pasti dalam hubungan kita, wahai kekasih."

"Beritahulah daku."

"Yang pasti, kita akan berpisah. Beraninya kita bertemu, perlu juga berani untuk berpisah."

***

Dia telah lama memikirkannya. Bagaimana sebatang tubuh yang segar, boleh terkujur dan kaku - lantas dikapan dan akan disimpan di dalam tanah.

Apakah rasanya - andai jantung berhenti berdegup mulai sekarang?

Dia tersandar. Insan yang sekian lama mengakrabi hidupnya terbujur kaku di tengah-tengah ruang tamu. Pakaiannya putih dan asing sekali berbanding insan lain yang mengelilinginya atau yang menjenguk dari luar rumah. Pakaian itu adalah pakaian yang tidak akan bisa dipakai oleh manusia yang masih lagi bernafas.

"Yang pasti, manusia akan mati, sayang." Dia merasakan ruhnya itu membisik ke telinganya.

***

"Janganlah berputus asa - melupakan kehidupan kita untuk membina kebahagiaan. Bunga akan tetap berkembang, meski esok kiamat tiba waktunya. Kita tidak harus pasrah pada takdir, kekasihku. Ditakdirkan begini, bukan bermakna kita perlu menyerah."

"Wahai kekasih, mahu dengar apa kataku?"

"Katakanlah, agar aku bisa mengetahui."

"Yang pasti, aku akan tetap mencintaimu."

Gaji


"Saya gusar, apa yang dibayar pada saya, tidak memadai."

"Kenapa pula?" tanyaku, pada suatu hari. "Bukankah gajimu melebihi apa yang kamu perlukan."

"Gaji bukan sekadar wang yang dibayar bulanan, kawan. Ia lebih daripada itu. Dan, yang lebih itu, aku rasa ia belum mencukupi bahkan tiada bagiku."

"Cuba jelaskan apa?" Saya tidak berpuas hati.

"Bayaran bulanan - ya memang perlu. Ia adalah upah kepada khidmat dan titik peluh yang kita sumbangkan kepada syarikat. Namun, manusia yang berkerja, yakni manusia yang sihat akal dan jiwanya, bukan mengharapkan sekadar wang dan upah. Mereka berpagi-pagi merempuhi kesesakan lalu-lintas dan pulang lewat ke rumah untuk melaksanakan amanah. Anak isteri ditinggalkan. Kamu ingat, melakukan pengorbanan itu, wang memadai sebagai gantinya?

"Kalau begitu, apa yang boleh memuaskan hatimu?" tanyaku.

"Bukan sahaja hatiku, bahkan hati semua orang, termasuk hatimu juga, kawan. Penghargaan berupa motivasi dan kepercayaan adalah gaji yang tidak dapat diukur dengan nilai ringgit atau dollar. Kita akan lebih bersemangat jika sesuatu tugas yang kita laksanakan itu diterima dan dihargai oleh majikan. Penerimaan dan penghargaan itu sudah tentu berbentuk manusiawi, yang jauh lebih bernilai dari wang ringgit. Ucapan 'terima kasih' adalah satu contoh yang mudah."

"Dan, kau mengungkap semua ini kerana kamu tidak berhasil mendapatkannya?"

"Bahkan tidak, kawan. Aku mengungkapkan ini sekadar perkongsian. Yang berkerja itu manusia. Kau adalah manusia. Kau perlu sedar yang kau adalah manusia yang berkerja. Manusia itu mempunyai perasaan dan jiwa. Perasaan dan jiwa yang rosak dan tercalar tidak akan menghasilkan tangan yang cekap dan akal yang pintar.

"Selama itu, jurang antara kita dan majikan akan lebih besar. Dan, selamanya kita berasa yang kita perlukan tuan untuk memberi kita lebih wang bagi menghapuskan keputusasaan kita. Bukan untuk bersyukur dengan apa yang ada."

Bos


"Bos, kalau saya lawan cakap bos, macam mana?"

"Kamu rasa, kalau kamu lawan saya, syarikat boleh untung?"

"Boleh! Sebab tindakan bos sekarang ini, syarikat kita selalu rugi."

Suatu Hari


"Suatu hari nanti, kita akan pulang semula ke sini, duhai kekasih. Aku akan mengenggam tanganmu sedang kau akan beriringan denganku. Sebening embun telah kita percikkan, beberapa tahun dahulu - di sini. Kau dan aku bakal menyegarkannya semula, dalam semesta kenangan."

"Untuk apa, sayang?"

"Seulas senyuman berpuluh tahun dahulu, bak embun kerdil di hujung benih cinta yang seni. Sekarang ia mencambah, menjadi pohon raksasa mencanggah angkasa. Meski pohon itu sudah meninggi, embun-embun nan halus itu akan tetap menitip padanya - selama-lamanya."

Rezeki


"Duhai kekasihku, apakah yang kau mengerti tentang rezeki?"

"Bagaimana aku bisa memperkatakan tentangnya, sedangkan aku bukanlah seorang yang berharta."

"Harta bukanlah segala-galanya. Juga segala yang kau dapati itu."

"Jadi, kenapa engkau bertanya. Adakah kau sengaja menduga?"

Gradasi Makhluk


Saya menerima maklum balas daripada rakan sepengajian saya dahulu, mengenai entri yang saya poskan sebelum ini. Rasanya, bagus juga untuk dikongsikan perbincangan tersebut.

Mariah
salam,
thanks for sharing. 
memang aku pun dah lama keliru. tolong explain kalau kau faham.

1. darwinisme tidak boleh diterima dalam konsep evolusi manusia, tapi bagaimana dengan haiwan dan tumbuhan? evolusi haiwan, contoh dinosour kepada buaya, mungkin atau tidak?

2. Dalam kisah2 islamiyah, ada disebut nabi-nabi dulu ketinggian bermeter-meter, tapak kaki besar-besar, langkah nabi Adam pun besar, hidup pun lama. tidakkah ini dikira evolusi jugak? bukan dari segi beruk kepada manusia, tapi dari segi adaptasi manusia over time-size, warna kulit, etc..?



Takbir dalam kuliah


Dahulu, sewaktu menuntut di semester pertama tahun pertama di sekolah Sains Bumi, Universiti Adelaide, kami diterangkan mengenai beberapa teori untuk mengukur berapakah usia bumi. Antaranya adalah teori yang dikemukakan oleh ilmuan Kristian, menerusi Bible, juga beberapa ilmuan barat lain seperti teori penyejukan bumi (oleh Lord Kelvin), teori keasinan laut dan teori pereputan radioaktif. Di dalam praktikal, kami disuruh untuk mengira usia bumi ini, berdasarkan setiap satu teori tersebut. Ternyata, setiap satunya menghasilkan bilangan yang berbeza-beza.

Belajar, sampai mati!

Thorburn Brailsford Robertson,

In token of love,

Then I turn to the one thing which will conquer and transform the world. I turn again to grope in the void for new knowladge. I try to lift a torch in the surrounding blackness which will one day load to the land of eternal sunshine

Setiap kali aku menghulurkan kad bisnesku, begitu juga apabila memperkatakan mengenai latar belakang pendidikanku, nescaya orang akan berkata, 'lain benar bidangmu ini.'

Benar, sememangnya aku adalah seorang graduan Petroleum Geoscience daripada sebuah universiti yang mempunyai sekolah Petroleum dan Sains Bumi luar negara.

Revolusi 1


Andai benar bisikan revolusi, apa yang perlu direvolusikan? Adakah aku? Keluargaku? Masyarakatku? Bangsaku? Negaraku? Ataupun yang lebih besar, dunia ini? Revolusi oh revolusi. Kamus memberi makna revolusi ialah perubahan sesuatu secara mendadak. Mendadak? Sepantas manakah mendadak itu? Tunggu, tunggu. Aku perlu ketahui apa yang perlu diubah, sebelum mengira kepantasan revolusi itu sendiri.

Barangkali revolusi itu mahu tajdid. Tajdid itu kata cendekiawan, pergerakan mengundur ke belakang supaya rapat dan selari dengan apa yang diajar oleh Rasulullah. Malah, menurut ulama fiqah, amalan sekarang diancam oleh perkara-perkara bidaah sehingga Islam itu berlompang-lompang sehingga tidak nampak lagi kehebatannya. Bahana dibelasah teruk oleh penganutnya sendiri.

Barangkali revolusi ini mahukan pengembalian kepada ketauhidan yang sebenar. Mengesakan Al-Wahid dan menafikan yang lain. Al-Azim telah memberi peringatan berkali-kali tentang perkara ini seperti pesan Al-Qadir dalam surah Al-Jathiyaah, ayat 23. Namun, aku kira manusia masih tetap mahu bertuhankan nafsu. Tak kiralah nafsu makan, tidur, seks, kekayaan, harta, pangkat mahupun marah sekalipun. Manusia ini pada firasatku tidak sedar bahawa Al-Mutakkabbir itu Maha Besar dari segala-galanya, dan Dialah perlu didahulukan dalam setiap perkara. Aduh, berkata-kata begini seolah-olah berkata pada diriku sendiri pula.

Atau barangkali revolusi ini mahukan aku membawa kesedaran masyarakat supaya kembali bersatu tanpa ada pecah belah. Menjadi masyarakat yang setara tarafnya, mengikat hubungan berteraskan akidah yang sama yakni tiada Ilah selain Allah dan menjadikan Rasulullah itu sebagai panduan hidup. Tiada lagi istilah partisan, fahaman atau kebangsaan dan mengetahui bahawa semua umat Islam perlu bersatu di bawah satu jemaah. Dan apabila bersatu, baru langkah diambil itu padu dan barulah Muslim ini kembali digeruni seteru.

Mahu tahu tentang revolusi?
Dapatkan Tak Payah Sombong Pun Tak Apa (klik sini)

Islam and Secularism 4



Bagi saya, setiap perkara yang terjadi, setiap keputusan yang kita pilih dan setiap tindakan yang kita buat - bertitik tolak kepada sebab atau sebab-sebab. Saya berfikir kenapa saya begitu berminat untuk menelaah Islam and Secularism.

Revolusi


wahai
penyaksi revolusi
adakah ia
merubah pandanganmu
tentang keamanan
yang selalu kita
rencanakan?

dunia dibangunkan dari tidurnya sekali lagi. pertempuran rakyat dan penguasa menjadi sebuah sejarah yang berulang. aku mendengar daripada dari corong media - 30 tahun diperlukan oleh rakyat untuk bangkit menentang kezaliman.

perjuangan di Tunisia dan Mesir, pada pandanganku, adalah perjuangan yang tidak akan kalah. sama ada mereka gugur. sama ada mereka berhasil memperoleh perubahan.

mereka adalah pejuang-pejuang yang lapar. hak mereka dijarah. kebebasan mereka dibelenggu kuku besi. jika mereka mati, mereka tidak akan lagi terpaksa menghadapi kehidupan seperti itu.

sebaliknya, jika mereka menang, tangan mereka sendiri akan membina kembali negara, yang mereka sendiri porak-perandakan. bukan tangan kotor sang zalim.

melihat dari sini dan menyimpan kerisauan dan keresahan, terutamanya nasib sahabat-sahabat handai yang berada di medan revolusi - sememangnya menyesakkan dada. seorang sahabat saya yang paling akrab, memaklumkan kegetaran melalui kereta kebal, mendepani jeritan saban malam dan kegetiran menjauhkan diri das-das tembakan.

dia menyaksikan semua kejadian revolusi. api menjadi latar pemandangan taman ilmunya kini. aku yakin, hari ini, dia telah menjadi seorang mahasiswa yang mempelajari sesuatu, yang pelajarannya tidak terdapat di mana-mana universiti di dunia ini.

lantas, kita di sini, apa pula?

aku mengingat kata guru, jangan digugat kestabilan negara, walau sehari. sehari negara tidak stabil, lebih teruk daripada sepuluh tahun berada di bawah pemerintah yang zalim.

namun, tidak bermakna kita meredhai kezaliman di atas kita, kata guru.

aku berkira-kira, elok lagi berjuang menentang pemimpin zalim, daripada menentang kemarahan diri sendiri. apa yang baik itu, pada hematku, kita pelihara sebaik mungkin. yang berkulat itu, kita carikkan dengan hikmah, dengan ilmu, agar keamanan dan kemakmuran kita, tidak tiris.

wahai penyaksi revolusi, bawalah pulang cerita-cerita perjuangan yang kau saksikan, dengan selamat dan sempurna!

islam and secularism akan bersambung kelak, insyaAllah

Islam and Secularism 3


Saya membuka buku catatan hitam saya kembali. Sudah menjadi kebiasaan, saya mencatat apa yang menarik untuk dicatatkan, supaya ia dapat dapat dirujuk semula di masa akan datang.

Tarikh catatan tersebut adalah 23 Oktober 2008 dengan menggunakan pena dakwat hitam.

Islam and Secularism 2


Saya teruskan menyemak naskhah Islam and Secularism, Syed Naquib al-Attas. Bab awal buku ini benar-benar menduga saya. Al-Attas menghuraikan mengenai latar belakang kontemporari pemikiran Barat, dengan memfokuskan perbincangan terhadap pengaruh besar ketamadunan mereka - iaitu agama Kristian dan Yahudi. Saya cuba tekal untuk membaca sebuah rakaman histografi dan pergolakan pemikiran yang bepentaskan tamadun Rom sehinggalah abad ke-19. Sudah tentu, ia benar-benar mencabar. Ini kerana, pengalaman sejarah Eropah dan Barat tidak sama dengan pengalaman sejarah kita di Timur dan Islam. Apatah lagi kerangka pemikiran Barat sering sahaja mengalami perubahan demi perubahan. Tambahan sifat ketamadunan Barat itu sering sahaja memberontak daripada kongkongan gereja, lantas memberanakkan pandangan falsafah yang mahu membebaskan diri daripada Tuhan dan wahyu.

Islam and Secularism 1


Adi karya Syed Naquib al-Attas, Islam and Secularism telah memberi pengaruh yang begitu besar dalam dunia pemikiran Islam. Apabila saya menyelak satu persatu album kenangan, teringat-ingat jari saya pernah melirik buku-buku yang bersusun di rak Surau Union House, University of Adelaide, Australia. Makalah yang mempunyai muka merah yang bertulisan khat itu saya ambil selama beberapa bulan dan sempat juga saya 'mencuri' makalah ini, untuk dibawa pulang sewaktu bercuti di Malaysia. Islam and Secularism, terbitan ABIM 1974 ini, telah memberi kesan yang besar kepada saya. Biar saya ceritakan kenapa.

Pandangan hidup 4

Gambar ehsan Shafiq Abas

Kemudian, kami membincangkan mengenai beberapa perkara penting yang menjadi dasar pandangan hidup Islam.

Pandangan hidup 3 (rehat)

Gambar oleh Shafiq Abas

Kami berehat selama setengah jam.

Saya sempat bertanya kepada Prof Wan sewaktu rehat, apakah makna menjadi Melayu, dalam konteks pandangan alamnya? Jawapan Prof mudah - yakni bahasanya. Jadi, dalam jalur sejarah bangsa Melayu, terdapat pelbagai etnik yang diasimilisasi dan akhirnya memegang status bangsa Melayu.

Pandangan hidup 2

Perenggan 3 di dalam kitab Aqaid An-Nasafi

Berkata Ahl al-Haqq - dimuliakan Allah kiranya ia selama-lamanya! -: (Sa)muha haqiqat segala perkara itu thabit adanya dan pengetahuan akan dia sebenarnya, bersalahan dengan qawm Sufasta'iyyah.

Pandangan Hidup 1


Semalam, di dalam kelas pertama Wacana Pandangan Hidup Islam, kami membuka kitab Aqaid An-Nasafi. Prof Syed Naquib al-Attas, yang bertanggungjawab membuat kajian ilmiah terhadap adi karya penting ini mengatakan bahawa ini adalah manuskrip yang paling awal di dalam alam kepulauan Melayu. Menurut bahagian awal buku ini, manuskrip ini telah dibeli oleh Prof Diraja Ungku Aziz dari seorang ilmuan (mungkin juga hartawan) dari Barat.

Ketamadunan


"Di balik setiap ketamadunan akan ada banjaran yang melatari," katanya pada seorang kawan pada suatu hari. "Jika kita fikir secara metafora - banjaran dan gunung adalah asas kepada ketamadunan."

"Bagaimana manusia bisa membina ketamadunan?"

"Dengan cinta, mungkin."

"Kenapa pula dengan cinta?"

"Kerana dengan cinta, akan lahir insan dan kemanusiaan. Dua inti asas untuk sebuah ketamadunan."

"Saya tertanya-tanya, kenapa manusia mahu bertamadun, sedangkan sebelum ini, dalam buku-buku sejarah - manusia boleh sahaja tinggal di gua-gua dan primitif."

"Buku sejarah itu, barangkali tidak memuatkan cerita sebelum manusia turun ke dunia. Sejarah manusia bermula lebih awal daripada itu, bagiku."

"Bagaimana pula?"

"Kisah Adam dan Hawa. Bapa dan Ibu bani manusia. Sejarah mereka bermula dari dalam syurga lagi."

"Berbeza dengan kehidupan di dunia, di mana kebahagiaan itu tidak setara dengan kebahagiaan yang berkekalan di akhirat. Begitu?"

"Syurga itu puncak segala ketamadunan. Di dalamnnya adalah destinasi terakhir segala kebahagiaan," katanya.

Dua Jalan


Kami memulakan tahun 2011 dengan melakukan aktiviti fizikal dan mencabar. Jika melihat Kuala Lumpur menghadap Timur Laut, anda akan melihat sebaris bukit kuartza yang melatari bandar raya. Semalam, hari pertama tahun baru, kami menghabiskan lima puncak bukit yang begitu menduga itu.

Sepanjang pendakian, kami dihadapkan dengan pelbagai pilihan. Ada batu besar yang berada di hadapan, lalu kami terpaksa memilih untuk mengikut jalan kiri atau kanan. Jalan di sebelah kiri terdapat gaung yang begitu dalam. Jalan di sebelah kanan pula terdapat batu yang lebih sukar untuk dipanjat. Ada juga dinding batu yang merintangi perjalanan ke puncak. Lantas, kami diberi dua pilihan yang sukar - yakni memanjatnya seperti cicak, atau menuruni lurah yang curam, sebelum memanjat kembali melalui jalan yang lebih mudah.