Kelab Peminat

Rezeki


"Duhai kekasihku, apakah yang kau mengerti tentang rezeki?"

"Bagaimana aku bisa memperkatakan tentangnya, sedangkan aku bukanlah seorang yang berharta."

"Harta bukanlah segala-galanya. Juga segala yang kau dapati itu."

"Jadi, kenapa engkau bertanya. Adakah kau sengaja menduga?"


"Bahkan tidak, kekasihku. Sungguhpun aku bertanya - namun aku ada pandangan yang ingin aku kongsikan. Mahu mendengar juga?"

"Tidak rugi kalau ia adalah perkongsian. Ilmu yang bermanfaat, bukan mudah aku mendapat."

"Tentang harta dunia, bukan itu yang akan kau nikmatinya nanti di syurga. Harta dunia itu juga, bukan ke kubur kau bawa bersama. Namun, dengan harta yang sama, kau beroleh ganjaran berlipat ganda - baik di di sini juga di sana."

"Terangkanlah kepadaku, wahai kekasihku - seperti selalu."

"Kekasihku, dengarlah kata-kata ini:

Bahawa
bukan yang didapat
bahkan yang dinikmat
itu rezeki


Rezeki
yakni
yang diperbuat
memberi manfaat."

"Namun, jika bukan apa yang kudapat, juga yang dapat kunikmat - apakah itu bukan rezeki yang bermanfaat?"

"Ingatlah manusia empat wajah peribadinya.

Pada hati, ketenangan dirasa ia. 
Pada jiwa, kepuasan dirasa ia. 
Pada ruh, kebenaran dirasa ia. 
Pada akal, kefahaman dirasa ia.

Maka, manusia, apabila sepadu akan keempat-empatnya - disitulah manfaat rezekinya. Itulah kata guruku. Aku berasa perlu menyampaikan kepadamu."

"Terima kasih, wahai kekasih."

Tiada ulasan: