Kelab Peminat

Orang Turki

Di Melbourne, jika anda menjejakkan kaki di seputar Meadow Heights, Coolaroo atau Broadmeadows, anda akan mendapati warna kulit penduduk di sini sedikit kuning dan rambut mereka majoritinya hitam. Para pemuda kelihatan tegap, meskipun tidak terlalu tinggi. Lelaki sekitar 30-40-an pula kelihatan seperti jaguh gusti, sering berkemeja kotak-kotak, yang disintingkan lengan. Jika berjalan jauh sedikit ke arah kawasan luar bandar seperti menghala ke Epping atau Craigeiburn, anda akan dapati, mereka ini memiliki ladang-ladang gandum yang besar. Boleh dikatakan, Bahasa Inggeris mereka agak fasih dan mereka begitu mesra apabila dibawa bicara.

Misalnya, sewaktu kami menziarahi seorang Turki di kawasan Meadow Heights, beliau sanggup berhenti dari membaiki kenderaan kepunyaannya, mempersilakan kami duduk, masuk ke rumah dan keluar semula dengan 4 gelas teh. Teh itu pula didatangkan di dalam gelas yang unik, setinggi jari tengah, dan diletakkan sudu besi di dalamnnya. Kami berbual agak lama dan apabila air teh sudah sampai ke dasar gelas, Pak Sungkar, sahabat dari Indonesia meletakkan sudu besi itu melintangi mulut gelas tadi. Ahmad, sahabat Turki yang kami ziarahi, begitu teruja melihat apa yang dilakukan oleh Pak Sungkar.

"Oh, kamu mengetahui budaya kami!"

Di masjid yang dibina oleh orang Turki, saya dapati permaidani dan kebersihan dalaman masjid sungguh terjaga. Biasanya, orang Turki yang datang ke masjid memakai sarung kaki dan jarang sekali berkaki ayam. Di dalam masjid pula, jarang-jarang sekali saya melihat orang Turki berbual-bual kosong. Mereka hanya duduk di saf, berzikir atau membaca Al-Quran, atau selebihnya diam. Saya dapati, mereka seboleh-bolehnya mahu menjaga iklim kerohanian yang begitu sukar diperoleh di luar - di hiruk-pikuk pekan dan jalan raya.

Kebanyakan orang Turki yang datang ke masjid ada mereka yang berusia, takpun kanak-kanak yang masih belum baligh. Yang tua itu, ada yang sudah bertongkat. Mereka ini, apabila datang ke masjid, kelihatan begitu segak sekali mengenakan kot labuh berwarna kelabu, hijau atau biru pudar. Serban hijau yang berkopiah tajam juga menjadi kebiasaan pakaian menutup kepala bagi mereka.

Mereka inilah tetamu tetap Allah, sungguhpun terketar-ketar melangkah ke masjid. Ada seorang Turki ini, sudah melampaui usia 60-an, namun tetap datang 5 kali sehari ke masjid. Begitu juga dengan seorang tua yang kudung tangannya, yang setia dengan tongkatnya. Apabila beliau masuk ke dalam masjid, beliau akan membalikkan tongkatnya, supaya tapak tongkat yang digunakan untuk berjalan di luar, tidak akan mengotori permaidani masjid. Beliau akan menyorong kerusi dan akan diam di suatu sudut, menanti azan dan iqamah, lalu melakukan solat secara duduk.

Saya dan teman-teman saya dari Hydrebadi selalu mengusik seorang tua yang datang dengan tongkat setinggi kepalanya. Giginya telah hilang dan janggut putihnya menyelimuti hampir seluruh muka. Beliau masih berjalan tegak sungguhpun sudah berkaki tiga. Berserban putih dan memakai kot labuh biru pudar dan stokin tidak pernah tanggal dari kaki.

"Syeikh Saad, nasihatkan kami segera," ujar teman saya yang memang gemar bergurau.

"Dunia fani, Akhirat adi..."

Saya gagal mengingat apa yang dicakapkannya dalam Bahasa Turki itu. Tetapi, apa yang saya mengerti, dia berpesan kepada kami, bahawa dunia ini sementara dan akhirat itu kekal. Berusahalah supaya waktu mati nanti, mampu mengucapkan Kalimah Toyyibbah.

Laa illah ha illAllah, Muhammad Rasulullah
.

Moga kita semua kembali dalam husnul khatimah - melangkah dengan baik untuk menemui Allah.

Ajib

"Ajib! He is very ajib man."

'Ajib' itu sering kali muncul dari mulut Syeikh Said tatkala beliau menceritakan perjuangan ulama-ulama silam dalam mengembangkan agama Islam. Misalnya, salah satu kisah yang disampaikan beliau adalah mengenai perjuangan ulama' di India. Katanya, di India sewaktu di bawah pemerintahan British, fitnah terhadap agama Islam dan Muslim terjadi begitu teruk sekali. Para Hafiz Al-Quran dibunuh dan mayat mereka digantung pokok di sepanjang jalan. Para ulama' terpaksa turun sendiri di medan peperangan untuk menentang kezaliman penjajah British.

Salah satu kisah, menarik juga untuk dikongsi. Salah seorang ulama', telah ditanya oleh anak muridnya, kenapa mulutnya sering sahaja terkumat-kamit setiap waktu, seolah-olah sedang mengulum sesuatu sepanjang masa. Menurutnya, sewaktu pertempuran menentang British, para ulama' dan muslimin telah ditembak bertubi-tubi oleh tentera musuh. Dan pada ketika itulah, dari langit, barisan tentera Muslimin melihat gerombolan Hurun 'Ain (Bidadari), datang memberi minuman kepada ulama' dan barisan muslimin yang syahid berjuang.

"Demi Allah, saya melihat seorang bidadari bersedia untuk memberi minuman itu pada saya, namun seorang lagi bidadari datang, menarik tangan bidadari tadi dan mengatakan saya tak ditakdirkan syahid. Akan tetapi, setitis minuman tersebut jatuh ke dalam mulut saya, dan sehingga ke hari ini, saya masih terasa kemanisannya walaupun sudah bertahun pertempuran itu berlaku," kata Syeikh Said, menyampaikan semula kata-kata ulama' yang dimaksudkan itu.

"Ajib! Totally ajib!" Sekali lagi Syeikh Said mengulang frasa ajib dengan penuh bersemangat. Matanya tidak berkedip langsung dan bicaranya lantang, menunjukkan beliau bersungguh-sungguh dalam bercerita. Saya, bersama sahabat-sahabat yang lain, tekun mendengar dan sekali-sekala kedengaran tasbih dan takbir dari kalangan kami.

Menakjubkan. Bantuan dan kudrat Allah sememangnya menakjubkan.

Ajib!

Selang beberapa hari sebelum itu, Syeikh Said berkata, "Mintalah doa pada Allah, supaya hidayah-Nya bukan sahaja untuk orang yang kita temui, bahkan untuk seluruh umat manusia juga. Kalau hari ini kita buat usaha dakwah di sini, mungkin di sudut dunia lain, Allah kurniakan hidayah-Nya di sana. Siapa tahu? Tugas kita, sebagai da'ie adalah untuk berdoa juga."

Kami taat, berdoa sepertimana telah dianjurkan oleh seorang yang alim.

Dan, kudrat Allah, perkara ajib telah berlaku.

Beberapa hari kemudian, sewaktu waktu infiradhi di Epping, masa untuk menguruskan hal ehwal sendiri, saya mengambil peluang untuk mengikuti kemas kini Facebook saya. Di bawah pohon Euclyptus, di atas batu basalt, di dalam hawa yang sederhana panas, saya meneliti telefon bimbit saya, yang dilengkapi dengan akses internet. Saya dapati, ada satu mesej dari kawan saya, seorang Caucasia dari Adelaide. Beritanya bernada sedih. Namun, bagi saya, dua perasaan datang serentak di dalam hati. Gembira dan simpati.

"Kekasihku sudah meninggalkanku kerana memeluk Islam. Jadi, aku nak meminta nasihat dari seorang kawan yang aku percayai dan juga seorang muslim mengenai hal ini. Sebarang pertolongan amatlah dihargai."

Saya tersenyum sendiri. Saya kenal mereka berdua, apatah lagi kawan saya ini, yang banyak menghabiskan masa bersama saya sewaktu kami belajar dan melakukan amali lapangan dahulu.

Ajib! Allah menjalankan kudratnya penuh hikmah dan rahsia. Allahuakbar!

Sejak hari itu, setelah saya khabarkan kepada sahabat-sahabat saya yang lain, kami tak putus-putus berdoa pada Allah, meminta bermacam perkara untuk dikurniakan sementara di dunia, atau di akhirat sana.

Kata Syeikh Said, doa orang yang sedang berada di jalan Allah, doanya adalah ibarat doa Nabi Musa.

Ajib! Sungguh Ajib!

Langit Biru dan Tanah Merah

Antara unsur alam yang signifikan di benua Australia adalah langitnya, terutamanya jika mendongakkan kepala dari tanah di bahagian selatan. Langitnya biru amat, biru lazuardi, nilam cair atau umpama biru laut yang jernih. Awan juga jarang-jarang kelihatan di atas sana, terutamanya waktu musim panas. Matahari memancar terik, menguasai langit lebih dari 12 jam waktu sebegini. Angin yang bertiup kadang-kala kasar, kadang-kala lembut, juga bersama angin, ada hawa yang dibawanya. Selalunya, angin di sini sedap sungguh, kerana angin dingin ini berpunca dari benua Antartika, benua sejuk yang terletak di selatan Australia. Namun, ada juga masanya apabila angin datang bersama suhu yang panas. Ia umpama bahang api yang keluar apabila pintu ketuhar dibuka. Apabila ia menyerbu muka, terasa wajah seperti dipanggang. Udara di sini juga kering, tidak selembap Malaysia. Jadi, walaupun panas, badan jarang sekali gelisah kerana berpeluh.

Tanah Australia juga mempunyai ciri tersendiri. Biasanya, warnanya kuning-merah pudar dan kusam, tidak terlalu menyerlah atau terlalu gelap. Jika tanah atau batu merah yang terbentang, ia kelihatan seolah-olah warnanya sudah dilunturkan. Jika tanah itu ditutup tumbuhan, biasanya di kawasan peladangan, tanah di sini ditanam dengan gandum, yang menjadikan tanah kuning kelihatan terbentang sejauh mata memandang. Kalau tanah itu tidak diusahakan untuk pertanian, pokok-pokok liar seperti rumput gurun, pokok-pokok renek dari keluarga shrub dan juga pokok-pokok euclyptus yang rendang akan tumbuh di alur-alur yang menampung air. Pokok-pokok ini juga jarang sekali sehijau pokok-pokok di Malaysia. Warna batangnya coklat cair dan warna daunnya juga hijau kekelabuan. Pokok euclyptus, pokok yang melata tumbuh di bumi Australia, merupakan pokok rasmi negara ini. Ia mirip pokok tualang, di mana kulit batangnya licin dan berdaun panjang dan tirus dan sering ditemui di kawasan yang berair atau alur sungai yang menjadi laluan hujan.

Saya masih ingat, ketika kami berpusing-pusing di Craigieburn bersama Syeikh Omar dan Wassim, pemandangan indah ini masih melekat di kepala. Memandangan Craigieburn terletak agak jauh dari kesibukan kota Melbourne, jadi, suasana kawasan luar bandar Australia sangat terasa, terutamanya unsur langit dan tanahnya. Nun jauh di bawah bukit tempat kereta kami berhenti, kelihatan bangunan-bangunan tinggi di bandar Melbourne. Puncak bukit memudahkan kami memandangan segala hasil binaan tangan-tangan manusia.

Saya yang berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri, membiarkan angin dingin masuk dan mengelus muka, sementara Wassim dan Syeikh Omar sibuk mencari tempat di dalam peta. Angin yang bertiup kadang-kala menerpa laju menerbangkan ekor serban, kadang-kala membelai lembut, melukis ombak pada jubah putih.

Menjelang maghrib, kami tiba di masjid, yang asalnya gereja, namun telah dibeli oleh penduduk tempatan. Di barat, suria melabuhkan diri di balik ufuk gandum, menjadikan langit bertukar warna merah jingga keunguan. Bangunan kayu yang kecil ini kelihatan agak berusia, namun masih kukuh untuk menampung umat manusia yang mahu menyembah Allah yang Satu. Sebelum melangkah masuk ke dalam masjid, saya melihat sekali lagi ke arah langit dan tanah benua Australia.

"Hidayah-Mu Allah, amat berharga, apatah lagi di bumi ini." Bisik hati saya.

Sungguh manis pemandangan dari situ dan masih terasa kemanisannya sampai ke hari ini.

Selamat tinggal

Masih jelas tergambar dalam ingatan, lima kubah putih masjid Turki Cyprus di Sunshine, Melbourne - dilayah sekawan merpati. Sebuah kubah yang besar menaungi empat empat kubah kecil di setiap penjuru dan sebuah menara setinggi 50 meter sememangnya jelas kelihatan dari lebuh raya lagi. Masjid ini besar, seperti masjid yang terdapat di Putrajaya, Malaysia. Dan, saiz masjid ini sama besarnya dengan kenangan yang tersimpan di dalam hati.

Hari itu, cuaca dijangka panas, melebihi 40 darjah celcius - suhu biasa untuk musim panas di Australia. Mujur kereta api yang bakal membawa saya bakal bertolak pagi, jadi hawa di Melbourne, masih lagi belum memijarkan kulit. Kami bersolat subuh, menghabiskan masa dengan berzikir mengingati Allah di dalam masjid sehingga waktu matahari terbit, lantas menunaikan solat isyrak. Hari itu, masing-masing tidak banyak berbicara, diam dan sugul. Permaidani merah dan mimbar yang dihiasi khat dan motif bunga menyaksikan satu lagi perpisahan.

"Apa perasaan kau sekarang?" Sahabat saya yang berketurunan Bosnia bertanya.

Saya diam, memandangnya kembali wajahnya yang putih bersih. Jambang emasnya menutup seluruh bahagian rahang dan bawah dagu. Tatkala dia habis berkata, dia tersenyum, menampakkan barisan gigi yang rapi, dengan dua batang gigi taring yang menindih barisan gigi bawah. Senyuman itu manis sekali.

"Saya tak dapat merasai apa-apa sekarang." Jawab saya setelah mengumpul kekuatan.

Waktu itu matahari sudah melepasi setinggi galah, namun masih dilindungi oleh awan nipis di sebelah timur. Kedengaran deruman kenderaan di lebuh raya menelingkah sekawan gagak yang bertenggek di bangunan bersebelahan kawasan masjid.

Benar, saya tak dapat merasai apa-apa waktu itu. Saya seluruhi wajah sahabat-sahabat saya yang lain. Sahabat saya dari Sri Lanka, Singapura, Bangladesh, India dan Filipina. Saya merasai mereka juga berat untuk meluahkan kata-kata. Awal pagi, sebelum ini, mereka tak pernah berkelakuan sebegini.

"Kau pasti akan merasai perasaan ini sekembalinya kau ke Adelaide," ujar sahabat Bosnia saya itu. Dia telah menghulurkan banyak bantuan kepada kami, jemaah Sydney-Adelaide, terutamanya saya. Terasa tiada apa yang boleh saya lakukan untuk membalas jasanya.

"Maafkan saya andai ada kekurangan. Doakan saya selalu." Sahabat Bosnia yang berkulit putih merah ini sahaja yang menguasai bicara pagi yang sayu. "Jangan lupa hubungi saya selalu."Sekali lagi saya bersalam dengannya, dan saya rasa sudah melebihi dua atau tiga kali kami berjabat erat. Dia ternyata tidak mahu melepaskan saya pergi.

"InsyaAllah. Kau pun sama, doakan aku juga. InsyaAllah, kita akan bertemu lagi, kalau bukan di sini, di sana, insyaAllah." Saya gagahkan diri untuk tersenyum.

Dan, saya berangkat, mengusung beg dan beban rasa yang tidak tertanggung. Berat meninggalkan sebuah persahabatan yang baru terjalin, mengakar di dalam jiwa dan rimbun meneduhi sukma. Berat meninggalkan bayu kemesraan yang mengulit sepanjang saya di halaman ukhwah merentasi bangsa dan bahasa.

Saya mula tersedu setelah sekian lama, namun hanya enjutannya terasa di dalam hati. Sukar benar menzahirkan perasaan pada raut wajah seorang lelaki.

Saya melambaikan tangan dan di dalam hati menadah doa agar kami semua bertemu semula. Itu sahaja kemampuan seorang hamba. Tidak boleh putus harapan pada Khaliqnya. Jika tidak termakbul di sini, Allah yang Maha Kaya tidak akan mengabaikan doa ini di sana, di mana pertemuan di sana lebih mulia di dalam majlis yang disertai oleh para malaikat. Secara rohani, saya berusaha menguatkan keyakinan saya atas kemurahan dan kasih sayang Allah.

Selamat tinggal sahabat. Selamat tinggal Melbourne.

Manusia diciptakan Allah dengan kemampuan fizikal dan metafizikal. Pertemuan fizikal akan luput ditelan tempat dan masa, namun jalinan metazikal barangkali akan kekal selamanya, di dunia ini dan di akhirat sana. Apabila saya memikirkannya, betapa beruntungnya saya diciptakan Allah. Dibenarkan-Nya untuk merasa nikmat kemanisan iman, walaupun cuma sebentar. Kemanisan yang tidak terbatas dengan kata-kata dan bahasa bicara atau aksara - kerana kemanisan ini tidak ada sesiapa yang mampu menjelaskan, melainkan dirasai sendiri oleh pemilik hati-hati itu. Kemanisan bertemu dan berpisah kerana Allah Subhanawata'ala.

Di dalam perjalanan pulang yang panjang ke Adelaide, saya banyak termenung, menyaksikan alam Allah yang dicipta dengan pelbagai jisim dan ragam. Mulanya saya ingin menyambung catatan saya yang lama terhenti, namun semangat tidak mengungjungi diri. Wajah-wajah mereka yang saya tinggalkan di Melbourne muncul satu persatu dan berkumpul dalam jemaah dan saling bertukar-tukar kemesraan.

Kehangatan ukhwah ini tidak akan bisa luput.

Cerita

Sekian lama saya tak mengetik papan kekunci. Terasa sudah tumpul bilahan kata-kata dan patah-patah kata mungkin sudah hilang halusnya.

Maaf kerana lambat benar meluangkan masa untuk anda semua, pembaca yang saya kasihi. Saya sudah pulang dari pengembaraan, namun sebelum sampai ke Adelaide lagi, saya telah memasang cita-cita untuk meneruskan pengembaraan lagi. InsyaAllah, mungkin pengembaraan ini hanya akan berakhir di akhirat, tempat pulangnya kita semua.

Pengembaraan terlalu panjang dan terasa malu juga mahu mengaku yang saya ini adalah seorang pengembara tegar.

Namun, saya cuba mendalami sabda Nabi, jalanilah kehidupan dunia ini ibarat dalam pengembaraan, yang tumpang berteduh dan akan kembali semula ke kampung halamannya. Saya juga doakan, kita semua dapat mendalami falsafah itu dan menjelmakannya dalam kehidupan kita - kita semua, semua umat manusia.

InsyaAllah, doakan saya diberi Taufiq untuk menglipurlarakan kisah sebuah kehidupan seorang insan yang hidup di sudut dunia.

Dengan lafaz Bismillah, saya memegang kalam, mencoret aksara dan bahasa, supaya ia menjadi manfaat kita semua.

Doakan saya.

bersambung