Kelab Peminat

Keluar Mengembara

Salam,

Setelah tamat pengajian ini, saya akan bermusafir di Padang Pasir Australia. Jadi, blog ini tidak akan dikemaskini buat beberapa ketika.

Maaf atas sebarang kesulitan.

Jazakallahukhair.

Panas

Hari ini panas sungguh.

Sudah beberapa hari saya menghabiskan masa saya di Maple, rumah kawan. Di sini, tidak seperti The Village; tiada pendingin hawa 24 jam dan tiada bilik individu.

Mungkin inilah rasanya ketika berada di luar Village ketika musim panas.

Di samping panas dari segi luaran, di rumah ini juga panas dari segi dalaman.

Setiap hari Jumaat, ada kuliah agama yang dijalankan oleh seorang Syeikh Lubnan yang sedang pulang bercuti dari pengajiannya di Syria.

Di sini juga, selalu ada perdebatan dan perbincangan ilmiah, terutamanya menyentuh isu umat Islam. Sudah semesti Umat Islam Melayu Adelaide.

Tambahan, di sini, di rumah ini, penghuninya terdiri dari bermacam-macam latar, baik latar belakang keluarga, bangsa dan ideologi. Jadi, boleh kata, setiap masa akan ada 'pergeseran' kata-kata. Namun, tak pernah pun pergeseran ini mematahkan kemesraan di dalam rumah.

Walaupun di sini bukanlah seperti syurga di Village, tetapi saya suka berada di sini. Panas luaran dan dalaman begitu menghiburkan saya.

Terima kasih buat penghuni Maple, atas kebaikan anda.

Sempurna

Peperiksaan telah pun bermula. Ada yang pagi-pagi lagi telah keluar dari rumah, sungguhpun semalam, dialah yang tidur paling lambat sekali. Selamat menjawab peperiksaan saya ucapkan kepada sesiapa yang mengambil peperiksaan semester 2 ini, termasuk saya.

Peperiksaan. Sepatutnya ia tak menghalang kita menjalani kehidupan normal. Kehidupan yang disinari oleh matahari atau disirami oleh hujan. Saya mengambil peluang sisa-sisa kehidupan terakhir saya di Adelaide ini untuk mencari sesuatu yang bermakna untuk saya bawa pulang dan ceritakan di Malaysia.

Alhamdulillah, perancangan yang tertunda sejak sekian lama lalu, akhirnya boleh dilaksanakan juga.

Hari Selasa yang lepas, saya mendapat mesej dari bekas cikgu Bahasa Inggeris saya, Mr Anthony, mengajak saya untuk menziarahi ibunya yang sakit. Sebenarnya, sebelum ini, dia telah merancang untuk membawa saya sendiri ke hospital, untuk melawat ibunya yang menderitai sakit kanser. Namun, atas beberapa sebab, ziarah saya ke sana terpaksa ditangguhkan sehinggalah ibunya sudah kembali ke rumah.

Hari Khamis - hari yang kami berdua berjanji untuk bertemu. Dia menelefon saya dan mengatakan bahawa dia sudah menunggu di bawah. Saya yang baru sahaja solat Zuhur segera menyarungkan pakaian semi-formal dan bersegera ke lobi The Village. Sungguh, saya sendiri tak pasti bagaimanakah adab-adab menziarahi orang sakit dan orang tua, apatah lagi menziarahi mereka yang 100% mengamalkan budaya yang berbeza dengan saya. Dari pengalaman lepas, saya hanya mengikut ibu bapa saya untuk menziarahi orang yang sakit. Namun, waktu itu, rasanya, saya masih terlalu kecil.

Tatkala saya ingin memasuki kereta, cikgu saya ini, yang berbangsa Inggeris ini, memutar kunci kereta di pintu sebelah saya, membukanya dan mempersilakan saya duduk. Setelah saya duduk, ditariknya tali pinggang keledar dan menyuakannya pada saya. Saya terkesima. Saya terpana dan sedikit terkejut. Sungguh, inilah kali pertama saya dilayan sebegitu rupa untuk menaiki kereta, kerana sebelum ini, tak pernah pun kami bertemu dan berkereta bersama. Sering kali kami bersua di sekitar bandar Adelaide dan untuk berjumpa di sesuatu tempat, kami lebih selesa berbasikal atau berjalan kaki.

Di dalam perjalanan, kami berbasa-basi, bertanya khabar dan cerita-cerita kehidupan, setelah sekian lama tak bertemu. Mr Anthony ini, guru Bahasa Inggeris saya di sekolah menengah, mengajar Bahasa Inggeris Komunikasi dengan kontrak 2 tahun. Dan, saya, dalam tempoh kedua-dua tahun kontrak beliau, saya bertuah kerana menjadi muridnya. Dan, salah satu sebab saya memilih Adelaide sebagai tempat belajar adalah kerana suatu ketika dulu, saya pernah berkata pada beliau yang 'kita akan berjumpa lagi di Adelaide.' Kini, di dalam kereta, kami berbual sebagai dua rakan yang lebih sebulan tak berjumpa. Rakan yang tak terbatas dengan usia.

Sesampainya di Vermont Retirment Village, kami menghala ke rumah yang terletak di belakang sekali. Kawasan tempat tinggal ini terdiri daripada unit-unit rumah yang kecil, yang setiap satunya dihuni oleh orang-orang tua yang sudah bersara. Ada juga orang-orang tua yang tidak lagi mampu mengurus diri, dan di sini, mereka dijaga oleh jururawat. Tempat tinggal ini, dibiayai oleh pihak kerajaan dan juga sedikit sumbangan daripada pencen mereka.

Ibunya menyambut dengan wajah yang ceria, meskipun ada batuk-batuk yang mengganggu senyumannya. Saya membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah dan Mr Anthony hanya menunggu saya di belakang. Saya masuk ke dalam rumah dan barulah cikgu saya itu ikut masuk ke dalam rumah. Mereka biasanya tidak membuka kasut ketika berada di dalam rumah.

Ibunya begitu mesra sekali berbual. Kami bertukar-tukar cerita. Mr Anthony menghidangkan teh pada kami dan teh di sini sudah semestinya tanpa gula. Walaupun sudah berusia 83 tahun, kelihatan beliau masih lagi bertenaga. Sementelahlah beliau jurulatih renang dahulu.

Setelah hampir sejam, kami pun meminta diri. Sebelum kereta bergerak, sekali lagi, beliau melayan saya seolah seorang raja.

Dalam perjalanan pulang, saya bertanya kepada cikgu saya, apakah kebiasaan masyarakat barat untuk tidak menjaga orang tua mereka?

"Sebenarnya, ini adalah ikutan dalam lewat 20-30 tahun ini. Orang sekarang, semuanya sibuk mengejar wang dan mereka tiada masa untuk menguruskan orang tua mereka. Namun, kebanyakan orang tua di sini pun, lebih selesa untuk tinggal bersendirian, kerana mereka tidak mahu menjadi beban kepada anak-anak mereka. Tambahan, pihak kerajaan menyediakan kemudahan kepada orang yang telah berusia ini dengan rumah dan tempat tinggal yang lengkap."

Rupanya begitu. Walaupun ibu bapa mereka tinggal bersendirian di mana-mana rumah orang tua, mereka tetap dijamin kehidupannya. Namun, bagi kita, masyarakat Melayu, adalah menjadi satu kebaikan bagi kita untuk bersama-sama dalam satu keluarga, yang terdiri dari orang tua dan anak-anak kecil - saling menjaga dan berkasih sayang. Perbezaan ini saya panjangkan padanya. Seraya, saya teringat opah saya yang telah memelihara saya sejak sekian lama. Opah saya tinggal dengan keluarga saya sejak saya masih kecil lagi.

Saya terharu. Saya rupa-rupanya telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengasihi insan yang berusia - yang tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.

Setelah tiba di rumah, saya cerminkan kembali diri saya, diri seorang Melayu dan Muslim. Saya bersoal-soal pada diri saya;

Sejauh manakah kita yang mengakui beriman pada Allah SWT melaksanakan hak mereka yang mempunyai hak terhadap kita. Ibu bapa, adik-adik, atuk opah, kawan-kawan dan guru-guru kita?

Apakah kita telah tunaikan hak kita sesempurna mungkin?

Sikap 5. Jalan Keluar

Saya menjangkakan, ini adalah entri yang terakhir untuk kita bicarakan isu ini. Saya ada peperiksaan, orang lain pun ada peperiksaan. Masing-masing stress. Jadi, tak naklah kita menyerabutkan kepala otak kita dengan emosional yang melampau. Akan tetapi, jangan pula dek kerana peperiksaan dua minggu ini, kita tak mahu jadi insan yang rasional - mahasiswa yang terpimpin dengan hujah kebenaran. Dua minggu ini cuma minggu menguji sejauh mana kita matang dengan kemahiran dan pengetahuan yang telah diberi selama 12 minggu sebelum ini. Jadi, pada Allahlah kita mengharapkan 12 minggu sebelum ini bermanfaat untuk 2 minggu yang akan datang ini.

Sebelum saya membentangkan jalan keluar untuk dari masalah ini, apa kata kita terokai sudut paling rahsia dalam diri kita – hati. Al-Ghazali dalam karangannya, Kīmyāye Sa'ādat (Al-Chemy of Happiness), mengibaratkan hati itu umpama tasik. Kelima-lima deria berserta akal, kata beliau, adalah saliran yang membawa air ke dalam tasik yang bernama hati itu. Setiap hari, tasik hati itu akan diisi melalui keenam-enam saliran ini. Namun, ada satu ketika, tasik itu perlu berhenti daripada menerima tambahan air melalui saliran – untuk memuhasabah kembali, apa yang telah terkandung di dalam tasik hati itu.

Mari kita mencuba kaedah ini:

Sunyikan diri.

Kosongkan fikiran.

Kemudian, terokai isi hati anda sendiri dengan persoalan-persoalan.

Apakah tasik hati kita mendak dengan kotoran yang tak diperlukan?

Apakah tasik hati kita jernih sehingga kita nampak dasar hati yang paling dalam?

Apakah hati kita sentiasa berkocak dengan amarah dan keinginan kita pada wanita dan gajet-gajet canggih dunia ini?

Apakah hati kita sentiasa tenang, walaupun mendapat scholar yang paling sedikit antara kawan-kawan dan hidup paling sederhana antara semua orang?

Tanyalah dengan penuh ikhlas pada diri, siapakah yang lebih rapat dengan kita, melainkan hati dan diri kita sendiri. Hati dan diri yang paling rapat ini – apakah nasibnya kelak?

Tanyakan pada hati, apakah sandaran keyakinan kita terhadap sesuatu perkara, pemahaman atau ideologi?

Apakah bersandarkan jasa dan budi kawan-kawan kita?

Apakah dek kerana sebuah pertalian persahabatan, kita sanggup membelakangkan kebenaran?

Apakah kebenaran itu bagi kita?

Apakah dengan hujah?

Atau dengan ukhwah?

Saya sebenarnya bukanlah seorang pemikir dalam menyusun tindak-tanduk masyarakat di sini. Saya cuma seorang pemerhati, yang nampak peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi Adelaide ini, merangkumkannya melalui siri entri Sikap, lantas membentangkannya pada anda. Saya ada melakukan sedikit kajian masalah ini, menyilang semak dengan pendapat tokoh-tokoh klasik dan kontemporeri, meringkaskannya untuk pemahaman kita semua dan sekarang ini, cuba membentangkan jalan keluar.

Seperti dalam entri Sikap 4 – Fikir, jalan keluar kita adalah dengan mendalami ilmu. Namun, jalan untuk mendalami ilmu itu seharusnya diperhalusi. Apatah lagi, kita yang berada di sistem pendidikan pragmatik yang berasaskan fakta zahir sahaja dan menerimanya bulat-bulat tanpa saringan; perlulah memikirkan sebuah method yang realistik di balik matlamat kita yang ideal. Tambahan, dengan kekangan masa dan sumber, perancangan untuk kita menadah permata ilmu pertama itu perlulah dibuat dengan penuh cermat, supaya usaha kita ke arahnya adalah usaha yang optimum – tidak melampui batas, selaras dengan adab dan meletakkan diri kita pada tempat yang sepatutnya (adil).

Memandangkan masalah kita di sini berbentuk sebuah lingkaran, maka kita perlu cari – kepala lingkaran tersebut.

Masalah merendah-rendahkan martabat ilmu, bagi saya merupakan masalah pertama yang perlu kita banteras. Dengan ini, pada pandangan saya, masalah kejumudan, ancaman doktrinisasi, kelemahan kepimpinan mahasiswa dan kesungkupan kita dalam tempurung masyarakat akan selesai satu persatu.

Sebelum ini, saya sudah huraikan masalah ini dengan panjang lebar – sudah semestinya untuk menerapkan kesedaran dalam diri kita. Alhamdulillah, inilah langkah pertama kita untuk keluar dari kepompong masalah.

Kemudian, saya telah jelaskan cara fikir yang betul, sebagai seorang mahasiswa, yang Melayu dan Islam, iaitu untuk mengenal pasti ilmu yang pertama dan ilmu yang kedua. Ilmu yang pertama itu, mempunyai martabat yang tinggi – selaras dengan kedudukannya sebagai ilmu wahyu, yang diberikan oleh Allah atas dasar kasih dan sayang-Nya kepada kita. Ilmu kedua pula, adalah sebagai aksesori kita dalam menghadapi perjalanan di dunia yang sementara ini.

Bak kata Imam Al-Ghazali, persinggahan kita yang sebentar di dunia ini seperti persinggahan sebuah kapal di sebuah pulau. Orang yang cerdik, akan turun ke pulau tersebut, mengambil apa yang diperlukan sebagai bekal dan kembali semula ke kapal, seawal yang boleh untuk mendapat tempat yang paling selesa di dalam kapal tersebut. Orang yang rugi adalah orang yang pergi keluar, menghimpun ‘batu-batu permata,’ kembali lewat ke kapal dan kehilangan tempat yang selesa untuk pelayaran seterusnya. Orang yang rugi ini, terpaksa menghuni dek bawah dan berhimpit-himpitan dengan ‘batu-batu permata’-nya dalam keadaan yang tidak selesa. Akhirnya, di dalam kesempitan itu, ‘batu-batu permata’ yang bernilai di luar tadi, kini tidak lagi mempunyai harga di bawah kurungan yang gelap dan kepam di bawah kapal.

Usaha pertama dan utama yang kita boleh lakukan dan semua orang boleh lakukan adalah dengan berdoa dengan penuh ikhlas pada Allah SWT, supaya kita ini menjadi hamba-Nya yang dikurniakan ilmu yang pertama itu. Ilmu pertama itu dikurniakan atas dasar kasih sayang-Nya terhadap hamba-Nya supaya hamba-hamba-Nya ini hidup dalam panduan dan tidak terkapai-kapai dalam kehidupan di dunia.

Kemudian, dengan kesedaran dan dengan cara berfikir yang betul dan doa yang tulus pada Allah, kita seharusnya sudah bersedia untuk berusaha dalam dunia asbab. Allah tak akan kurniakan apa yang kita nak kalau kita tak bersungguh-sungguh nak terhadap sesuatu perkara itu. Jadi, untuk menzahirkan kesungguhan kita, maka perlulah dijelmakan dalam bentuk tindakan.

Usaha ini, pada pandangan saya, sebenarnya diusahakan dengan kemampuan kita kembali, kerana manusia ini diciptakan dengan berbeza-beza dari aspek fizikal.

Di bawah ini, saya ingin membentangkan beberapa usaha praktikal yang boleh kita lakukan, sebagai mahasiswa, untuk mengekang permasalahan ini.

1. Untuk mendapat ilmu yang pertama ini, tidak lain tidak bukan, kita seharusnya mengikut cara Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Seperti firman Allah dalam surah Yusuf: 108

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Jadi, dalam hal ini, dalam perjalanan kita mendalami ilmu pertama, di tempat yang bernama Adelaide ini, di zaman yang jauh dari cahaya kenabian ini, seharusnya kita mencari jambatan penyambung antara kita dan baginda dan sahabat-sahabat baginda. Tidak lain tidak bukan, dengan menghadiri sesi ta’lim (mengilmukan) yang sudah semestinya dikendalikan oleh ‘alim ‘ulama yang berautoriti dan bertauliah. Ini kerana, para ‘alim ini, sanad ilmu mereka boleh dijejak sehinggalah ke baginda Nabi dan para sahabat. Jika boleh, anda boleh bertanya kepada mereka. InsyaAllah, sekiranya benar mereka mendapat pengajian ini melalui jalur yang tulen, mereka tidak akan lokek berkongsi. Seperti tersebut di dalam sebuah syair:


" Ilmu adalah warisan Nabi demikiannlah dijelaskan
Dalan nas syara', dan para Ulama’lah pewarisnya
Tidaklah beliau yang terpilih meninggalkan sesuatu selain hadith darinya
Bagi kami dan itulah perhiasan dan harta benda beliau.
"


2. Sekiranya situasi tak mengizinkan, maka seharusnya kita mendapatkan dengan apa yang sedia ada. Misalnya, dalam hal ini, kadang-kala kita tidak didatangi oleh ‘alim ulama, maka apa yang tinggal adalah bayan yang mengingatkan kita tentang kebesaran Allah dan keperluan beriman (biasanya di Masjid City, selepas Maghrib setiap hari Rabu, dalam Bahasa Inggeris). Interaksi secara alam realiti ini boleh mewujudkan suasana kerohanian, berbanding dengan interaksi alam maya yang bagi saya masih banyak kekurangan. Tambahan, suasana masjid sebagai tempat peribadatan kita pada Allah SWT, merupakan ruang yang sesuai untuk kita mengilmukan diri dengan ilmu pertama itu. Jika berkebolehan, mungkin kita boleh membelanjakan masa, wang dan tenaga untuk menyertai jemaah yang keluar di jalan Allah SWT – untuk keluar mengusahakan iman dan amal, belajar cara-cara kehidupan Nabi SAW dan para sahabat dan menziarah saudara seagama di luar perbatasan Adelaide. Dengan keluar dari ruang lingkup keselesaan ini (comfort zone) kita akan lebih mudah mengenali permata yang tersimpan dalam diri kita. (rangkuman pengalaman perjalanan rohani kami boleh dibaca dalam siri entri Makmul).


3. Kemudian, untuk mengekang budaya indoktrinisasi ke dalam diri kita adalah dengan memperbanyak bahan bacaan. Misalnya, katakanlah dalam Kembara Ilmu yang lepas, kita berbicara tentang tajuk ‘Tenangkan Hati, Kuatkan Tekad.’ Sudah semestinya apa yang dibincangkan dalam program itu masih lagi bersifat permukaan. Sekiranya kita mengambil bulat-bulat falsafah yang dibentangkan tanpa membuat rujukan silang, sudah pasti kita yang mendengar tersalah tanggap dan mengalami kerugian. Saya ingin memetik kata Prof Wan Mohd Nor Wan Daud yang menyentuh isu membaca:


Perlu disebut bahawa memang terdapat sebahagian yang menyertai arus keislaman ini adalah pengikut yang malas membaca dan berfikir; sekadar menerima apa sahaja yang disampaikan oleh tokoh yang mereka kagumi. Mereka bersikap keras terhadap umat Islam dan fanatik terhadap kumpulan sendiri, tanpa mengira sama ada pegangan kumpulan mereka itu salah atau benar. – Penjelasan Budaya Ilm, DBP 1997.


Secara spesifiknya untuk isu falsafah yang dibentangkan semasa program itu boleh dibuat rujuk silang melalui wacana dari Imam Al-Ghazali, Kīmyāye Sa'ādat (Al-Chemy of Happiness) (yang mengupas tentang hakikat asbab dan ketentuan dalam bentuk yang begitu indah sekali); Syed Naquib Al-Attas, Islam and Secularism (yang membongkar pensekularan jiwa melalui sistem pendidikan barat dan membetulkan paradigma kita terhadap sistem ilmu dan pendidikan universiti) dan juga Professor HAMKA, Falsafah Ketuhanan dan Falsafah Hidup. Ketiga-tiga makalah besar ini ada pada saya dan boleh dipinjam.

Selain dari isu falsafah atau cara pemikiran kita (world-view) untuk menanggap sesuatu perkara, bidang sejarah yang dibentangkan dalam program-program sebelum ini juga perlu dibuat rujukan silang. Rak 959.xxx di Barr Smith Library (Library Harry Porter) dan novel SN Arenawati perlu diteliti untuk membuat validation terhadap apa yang disampaikan oleh penceramah. Selain itu, dalam menanggap masalah sosial masyarakat kita, pembacaan juga harus dilakukan untuk mengukuhkan atau meruntuhkan persepsi yang diterapkan pada diri kita. Misalnya, buku The Myth of Lazy Native, Syed Hussein Al-Attas (ini saya tengah baca, bila habis nanti baru boleh pinjam), boleh digunakan sebagai bahan rujukan. Selain itu, novel-novel besar juga mengupas pemikiran dan perlakuan orang Melayu Malaysia. Walaupun pembacaannya bersifat ringan, namun ia memerlukan penafsiran yang tajam untuk kita menanggapi apa yang ingin disampaikan oleh pengarang (inilah gunanya SASTERA dan LINGKARAN SAHABAT SASTERA untuk menjelaskannya). Contoh novel besar tersebut adalah Salina, Hujan Pagi (SN A. Samad Said), Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda, Detik-detik diri di Daerah Daif, Autobiografi Perjalananku Sejauh ini, Setitis Embun Semarak Api (SN Shahnon Ahmad) dan banyak lagi.


4. Kemudian, dengan sedikit sebanyak ‘keberanian,’ kita perlulah bersemuka bersama-sama untuk berbicara dan berkongsi pendapat mengenai sesuatu permasalahan. Misalnya, ada kumpulan MASCA dan ISMA yang berbeza pendekatan. Mesyuarat atau perjumpaan antara pemimpin merupakan satu method yang terbaik untuk kita menyelesaikan banyak perkara. Tambahan, baru-baru ini, sidang pengarang Ketupat telah mengadakan eksperimen ‘mesyuarat terbuka’ di mana perbincangan terbuka tentang isu yang ingin disentuh dalam Ketupat Mini telah dilakukan. Hasilnya cukup memberangsangkan kerana pendapat para pembaca, para pengarang dan semua sekali, yang berbeza latar pandangan boleh dikongsi dalam ruang yang terkawal. Hasil dari mesyuarat ini adalah karangan dalam Ketupat Mini yang diedarkan semasa Kembara Ilmu baru-baru ini. Namun, bagi saya, ia masih dalam peringkat eksperimen dan masih perlu menjalani beberapa lagi siri mesyuarat kelak. Saya ingin sekali memetik kata Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud mengenai mesyuarat:


Proses membuat keputusan di semua peringkat mestilah dilaksanakan melalui syura yang berteraskan maklumat betul, pentafsiran yang adil dan keikhlasan menyelesaikan masalah secara jangka pendek dan jangka panjang. Dalam institusi/masyarakat berbudaya ilmu mesyuarat dijalankan secara rasional, keputusan dibuat bukan atas permainan politik, kekuatan kedudukan atau paksaan. Dalam iklim musyawarah yang sihat seseorang individu diberikan kebebasan menyatakan pendapatnya tanpa sebarang sekatan asal sahaja pendapatnya itu tidak secara langsung mengarah kepada pemberontakan dan pertumpahan darah. Setiap ahli majlis syura bertanggungjawab membincangkan sesuatu isu yang diketengahkan dengan kajian yang teliti dan membincangkan sesuatu isu yang diketengahkan dengan teliti dan adil, tidak mewakili hawa nafsu sendiri atau kepentingan kelompok yang tidak berasas. Seseorang ahli majlis syura di peringkat mana sekalipun mestilah berani berpegang kepada ilmu yang diketahuinya terutama untuk membela individu atau golongan yang tertindas atau untuk membawa perubahan moral atau kebaikan-kebaikan lain. Sesungguhnya keberanian moral golongan cendekiawan daripada berbagai-bagai bidang amat kurang pada masa ini, dan ini mengikt Solzhenitsyn adalah tanda awal kejatuhan sesuatu tamadun. Satu ciri keberanian moral di kalangan cendekiawan ialah kesanggupan mengubah pendapat sendiri jika dibuktikan salah oleh hujah yang jelas dan benar. Sesungguhnya kegiatan berparlimen adalah satu majlis syura penyelesai masalah jika ahli-ahlinya membuat ‘kerja rumah’ masing-masing dan mempunyai keberanian yang tersebut tadi. - Penjelasan Budaya Ilmu, DBP 1997.


5. Perlu dibezakan mesyuarat yang dicadangkan di sini dengan sistem usrah yang dikendalikan selama ini. Ini kerana, mesyuarat yang dicadangkan di sini bersifat inter-jamaah/persatuan/kelab dan sebagainya. Jadi, perkongsian idea, pengalaman dan sudah semestinya ilmu akan bersifat meluas. Syura boleh sahaja terdiri daripada pemimpin kelab atau dibuka kepada orang ramai. Sesiapa yang berminat untuk membuka sesuatu isu, perlulah hadir untuk bercakap, membentangkan hujah dan pendapat dengan penuh rasional dalam iklim ilmiah dan sedar akan dirinya itu adalah mahasiswa yang terdidik. Mesyuarat, sebagai salah satu method pentadbiran Nabi Muhammad SAW, perlu juga dihormati akan adab-adabnya. Dari sini, kita akan memupuk budaya kepimpinan diri yang baik dalam suasana kepimpinan yang sempurna. Elok juga cara ini diperhalusi, supaya akan ada satu garis panduan untuk kita melaksanakannya dengan penuh jaya.


6. Selain dari usaha luaran itu, kita juga boleh membuat usaha yang berbentuk pengarangan atau ‘representation’ pada kesepakatan pandangan/idea kita. Misalnya, ruang Ketupat sentiasa terbuka untuk karangan-karangan yang memberi manfaat pada mahasiswa di Adelaide ini. Ini kerana, kita sepatutnya, sebagai mahasiswa intelek, perlu mengekang lambakan hiburan yang boleh diperolehi melalui klik di laptop sahaja. Ketupat, pada pandangan saya, seharusnya cuba menjadi akhbar dan lidah rasmi mahasiswa Adelaide – baik mengupas isu semasa, isu negara dan apa-apa isu yang penting untuk mahasiswa (sekarang, sidang pengarang sedang berusaha ke arah itu). Untuk menjadi lidah rasmi, kerjasama daripada pengarang dan pembaca perlulah dijalin erat. Pengarang menghasilkan karangan yang bermutu, manakala pembaca seharusnya menjadi penerima yang aktif, membaca dan menjadikan isu yang disentuh oleh setiap keluaran Ketupat sebagai ‘bahan bualan.’ Seperti yang saya sebutkan di atas tadi (no. 4), isu yang dibincangkan dalam mesyuarat terbuka sudah semestinya boleh diketengahkan lagi ke medan masyarakat dengan karangan-karangan di dalam Ketupat. Untuk merealisasikan usaha ini, kelab-kelab lain seharusnya memberi laluan kepada Ketupat sebagai media cetak tunggal di Adelaide – dengan menyumbangkan artikel dan sebarang bentuk penulisan ke wadah Ketupat. Ini supaya pembacaan masyarakat Adelaide lebih bertumpu dan spesifik, di samping kita mempunyai satu medan idea yang menjadi mewakili semua kelab/jemaah/persatuan dan sebagainya. Saya yakin, sidang pengarang yang akan datang, akan lebih komited melaksanakan tanggungjawab ini, sekiranya kita bersama-sama berikhtiar dalam mewujudkan akhbar rasmi mahasiswa di Adelaide.


7. Saya sangat-sangat tertarik dengan mesyuarat yang diadakan di Masjid City setiap hari Khamis, jam 7.30 petang, selepas solat maghrib (ralat, sebelum ini ditulis 6 petang). Mesyuarat ini, dihadiri oleh saudara Islam yang berbilang bangsa. Baik Lubnan, Afghan, Bangladesh, Melayu dan sebagainya dan di sini kami membincangkan mengenai permasalahan umat di Adelaide dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Mesyuarat sebegini, sudah semestinya ‘membuka mata’ kita apabila pelbagai latar bangsa dan pekerjaan saudara seislam membicarakan tentang apa yang terjadi di dalam agama. Malah, adab-adab mesyuarat sudah lama dipraktikkan dan mungkin kita boleh mengambil contoh bagaimana mesyuarat ini boleh diadakan jika dilakukan sesama kita. Seelok-eloknya, buat yang ingin mencuba, boleh menghadiri mesyuarat ini dengan ditemani dengan orang yang telah pergi sebelum ini, untuk mengelakkan kekekokkan. Jika anda seorang yang terbuka, saya kira, tak perlu teman pun tak apa.


8. Untuk berbaik-baik dengan ‘locals’ jangan kita berasa takut untuk memberi salam. Seperti yang kita tahu, salam adalah satu pemecah benteng warna kulit, status dan warganegera kita dan membina asas sebuah ikatan ukhwah. Tak perlulah saya memberitahu bagaimana nak bermanis muka dan memilih bahasa yang baik, kerana anda semua pun telah tahu itu semua.


9. Katakanlah anda ingin mengendalikan program yang bersifat internasional – jangan hanya berharap pada poster dan pengumuman waktu khutbah sahaja untuk membuatkan orang tahu. Anda perlu untuk merapati saudara-saudara seislam anda dan memberitahu mereka secara lisan. Jangan malu kalau mereka menolak, kerana anda telah melaksanakan semaksimum usaha untuk menyampaikan sesuatu perkara. Jadi, sekiranya anda sendiri sudah mengkhabarkan pada mereka secara ‘one on one,’ maka anda sudah terlepas daripada tanggungjawab ‘dakwah’ anda. Lagipun, ini sangat-sangat menghampiri cara Nabi Muhammad SAW. Jadi, bagi saya, poster, emel, gambar dan sebagainya tidak akan dapat menandingi cara dakwah Nabi SAW yang hebat ini.



10. Akhir sekali, saya kira, apa yang elok untuk kita lakukan secara individu adalah dengan memperbaiki sikap kita sendiri. Ta’alim, Bayan, Usrah, Kuliah, Mesyuarat, Ketupat dan sebagainya tidak akan mampu mengubah diri anda sekiranya anda sendiri tak nak mengubah sikap anda. Lepak-lepak di surau, bersembang kuat-kuat, bergolek dan terlentang di dalam Surau Union House sebenarnya menjatuhkan imej kita sebagai orang Melayu di mata saudara-saudara Islam yang lain. Bagaimana orang nak menghormati kita sekiranya, kita sendiri tak menghormati jati diri kita dan jati diri orang yang sama dengan kita. Orang menghindari kita kerana kita sendiri ‘menghindarkan’ diri kita dari orang, dengan sikap kita yang buruk dan sengal. Mungkin, dengan membetulkan akhlak kita di dalam rumah Allah, adalah usaha pertama kita untuk memperoleh semula kepercayaan bangsa lain terhadap bangsa kita. Walaupun lengkapnya jati diri itu bukanlah syarat utama untuk mengenali bangsa lain dengan lebih luas, namun ia perlu ada pada diri kita, sebagai batu keyakinan untuk kita mendekati orang lain, tanpa rasa malu yang tak bertempat dan takut yang tak bersebab.


Saya kira, inilah sahaja dari bahagian saya, di dalam ruang blog yang serba sempit ini. InsyaAllah saya akan meluangkan masa sekiranya ada para sahabat di luar sana ingin mendalami apa yang ingin saya sampaikan melalui siri entri Sikap ini. Ini bukan langkah penyelesaian mutlak, namun ia sekadar cadangan yang boleh saya rangkumkan dari pembacaan, pelajaran dan pendidikan saya yang terhad ini.

Sekiranya saya memakai bahasa kasar sebelum ini, saya meminta maaf dan merendah diri. Saya, dengan kelemahan saya, tak dapat menjumpai method yang sesuai untuk membuka mata kita semua, melainkan dengan cara kasar sebegitu. Maafkan saya jika kata-kata saya mengguris mana-mana pihak. Namun, prinsip saya, kebenaran selalunya pahit untuk ditelan. Saya pernah merasainya, malah lebih pahit dari kata-kata kasar. Saya tak mahu kawan-kawan seperjuangan saya merasai kepahitan yang melampau itu dan sekurang-kurangnya, dengan kepahitan dan kekasaran ini, harapnya ia menjadi ubat kepada penyakit hilangnya adab kita.

Anggaplah ini semua adalah teguran. Teguran antara adik-beradik. Berbeza pendapat itu pasti, namun berputus saudara itu jangan sekali. Menajam akal dengan hujah, melapang dada dengan ukhwah. berbeza pendapat tak semestinya berbeza saudara, kan?

Segala kelemahan adalah dari saya kerana saya cuma makhluk yang tak signifikan pun di dunia ini. Hanya Allahlah yang Maha Sempurna dan Maha Bijaksana dan kita perlulah kembali kepada panduan dan didikan-Nya.

Akhir kalam, saya ingin memetik kata-kata Syed Naquib Al-Attas

Islam possesses within itself the source of its claim to truth, and does not need scientific or philosophical theories to justify such a claim. Moreover, it is not the concern of Islam to fear scientific discoveries that could contradict the validity of its truth. [Prolegomena, p. 38]

Wallahualam

Sikap 4 - Fikir

TanpaNama (Anonymous)

Saya ingin bertanya kepada saudara/i, sekiranya saudara berada di tempat saya, melihat satu persatu dari orang kita terlungkup di bawah masalah, yang saudara nampak jelas puncanya, kemudian, saudara rasa sangat-sangatlah perlu memberitahu hal ini, supaya orang kita nampak dan segera membetulkan paradigma dan memilih jalan yang terbaik untuk menyelesaikannya, apakah saudara/i masih mahu mendiamkan diri?

Tanpa Nama (Anonymous)

Sekiranya saya pula berada di tempat anda, membaca tulisan yang anda terbitkan di blog, apakah saya patut menyuruh semua orang untuk diam dan membiarkan masalah yang berbentuk putaran ini berlaku dan berlapang dada dengannya? Apakah saya, yang membaca tulisan saudara/i, akan membongkar keburukan saudara/i, supaya saudara/i takut dan mendiamkan diri, membuatkan masalah ini terkubur dan berlarutan? Apakah saya, yang membaca entri Sikap ini, akan mengatakan, jalan terbaik adalah berlapang dada, bersatu di dalam kekeliruan dan masalah dan berharap dengan penuh yakin, masalah ini akan selesai dengan magis? Sudah pasti tidak!

TanpaNama (Anonymous)

Sekiranya saudara/i berada di tempat saya, gelisah melihat masalah ini berlaku sekian lama, terpaksa menulis dengan nada keras kerana selama ini nada lembut tidak pernah ‘membuka mata’, menyayangi agama dan bangsa ini dengan sepenuh hati dan sanggup menitiskan air mata kerananya, apakah saudara/i akan menutup mulut, apabila dimaki, dicaci dan ditempelak oleh orang yang membaca yang duduk di tempat macam saudara/i, apakah saudara/i akan berhenti? Saya yakin, saudara/i bukan bersifat demikian.

Baik, Tanpa Nama dan Melayu Adelaide yang budiman, saya ingin meneruskan perbincangan.

Saya telah membuat putaran masalah yang melingkari bangsa Melayu Adelaide ini sejak sekian lama. Pertama, martabat ilmu itu direndahkan, kemudian dengan mudah, kita didoktrinisasi. Tambahan, dengan sikap kita yang malas menggali ilmu dan menganga macam anak burung, proses indoktrinisasi ini berjalan dengan berkesan, sangat-sangat berkesan. Kemudian, dengan rendahnya pemahaman kita terhadap ilmu, dengan pekatnya semangat doktrinisasi rasis dan hedonisme, lahirlah pemimpin-pemimpin mahasiswa yang lemah, baik pemimpin itu digelar Naqib/Naqibah, Syeikhul Melayuwin, Presiden Kelab Perwakilan Pelajar Adelaide hatta Ketua Pengarang sekalipun. Kemudian, kita menjadi ‘takut’ untuk berhadapan dunia luar, sungguhpun kita telah diletakkan di dunia Adelaide ini, yang jauh dari tanah air kita.

Takut untuk bergaul dengan masyarakat tempatan yang berbilang bangsa, kerana kita takut doktrinisasi kita tercemar. Takut berhadapan dengan keunggulan masyarakat di sini yang gigih mencari jawapan dalam kehidupan mereka (sungguhpun kebanyakan dari mereka tak pernah jumpa-jumpa pun). Takut orang melabel kita ini terlalu kebaratan, maka kita selitkanlah sedikit ‘keislaman’ dalam aktiviti, pergaulan dan kehidupan, supaya orang nampak kita ada sedikit sebanyak aksesori agama dan tidaklah terlalu total menjadi seperti mereka, orang barat. Dan, takut untuk mencabar apa yang sudah kita dapat, lebih sanggup berselesa dengan kelompok, klik, jemaah, bangsa kita, dalam tempurung rasisme, daripada berhadapan dengan masyarakat manusia yang sama ada lebih bagus dari kita atau lebih rosak dari kita.

Jadi, saya tak nampak jalan lain, untuk memecahkan lingkaran yang tebal menyaluti kehidupan kita – melainkan dengan jalan berilmu. Mengilmukan diri. Mengilmukan usrah dan klik kita. Mengilmukan mahasiswa tajaan dan bukan tajaan. Lantas, kita pulang (kalau anda pulanglah) dan membawa balik permata yang sangat berharga ini, buat masyarakat kita yang menunggu. Menunggu untuk diilmukan seperti kita juga.

Ilmu, apa yang anda faham tentang ilmu?

Di sini, saya ingin kongsikan apa yang saya fahami, dengan harapan, kita menilai kembali perspektif, world-view, paradigma, sudut pandang kita, sebagai orang yang mengambil manfaat dan yang positif melalui blog ini. Sesungguhnya, saya yakin, kita semua telah sedar, namun masih mencari momentum untuk melonjakkan sebuah revolusi sikap. Tidak lain tidak bukan, setelah kita sedar, kita seharusnya membetulkan pandangan kita, supaya amali, praktikaliti berdasarkan hujah yang ingin saya kongsikan, akan menjadi realiti dan ampuh.

Ilmu, saya petik definisi berikut:

Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu. –Fakhruddin al-Razi, diketengahkan semula dan diperbaiki oleh Syed Naquib Al-Attas – dipetik dari Penjelasan Budaya Ilmu, Wan Mohd Nor Wan Daud.

Jadi, dalam entri ini, harap-harapnya pembaca budiman sekalian, akan menyusuri dengan penuh sabar dan hati terbuka – kepentingan kita untuk berilmu.

Ilmu yang dirujuk oleh Syed Naquib Al-Attas, bukanlah sekadar ilmu yang kita perolehi dari siri lecture, tutorial dan kelas. Ya, itu adalah sebahagian dari ilmu, tetapi bukan merangkumi kesemua bahagian ilmu yang Allah SWT, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, yang Dia turunkan kepada kita.

Ilmu bagi saya, yang saya dapati, terbahagi kepada dua.

1. Ilmu untuk rohani.

2. Ilmu untuk fizikal.

Menurut Syed Naquib Al-Attas, manusia ini juga terbahagi kepada dua bahagian – kemalaikatan dan kebinatangan. Dan, seperti kita tahu, kemalaikatan itu memang dikaitkan dengan kerohanian dan kebinatangan itu diasosiasikan dengan fizikal.

Jadi, apa itu ilmu untuk rohani?

Ilmu untuk rohani adalah ilmu yang akan memandu manusia, menyelamatkan manusia, yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada manusia, iaitu Al-Quran. Al-Quran merupakan wahyu yang sempurna dan wahyu yang terakhir, dan ia memandu manusia ke arah keselamatan. Juga, tiada ilmu selain Al-Quran (melainkan yang berdasarkan dan menuju ke Al-Quran) yang boleh membawa manusia ke jalan keselamatan dan panduan. Al-Quran ini adalah ilmu par excellence. Atas dasar kasih dan sayang-Nya, Dia tak pernah berhenti untuk berkomunikasi dengan manusia dengan mengutus para Rasul dan awliya’ dan membekalkan mereka dengan ilmu kerohanian dan kebijaksanaan untuk disebarkan kepada seluruh manusia.

Rasulullah SAW, yang menerima wahyu ini dan bertanggungjawab menyebarkan wahyu ini sepertimana Al-Quran itu diwahyukan kepadanya. Rasul, yang membawa ilmu (Al-Quran) ini, di mana hidup baginda sendiri adalah tafsiran yang paling sempurna dan terbaik untuk Al-Quran. Kehidupan baginda, merupakan fokus dan rujukan utama untuk kita, manusia sebagai jalan untuk menyelamatkan diri kita daripada bahaya – baik bahaya dunia dan neraka. Jadi, dengan ini, sunnah baginda (praktikaliti ilmu pertama iaitu Al-Quran) adalah merupakan satu-satunya perkara untuk diikuti, ditiru dan diamalkan – supaya diri kita, diri Melayu Adelaide ini, dapat terselamat dan bebas dari kongkongan masalah.

Bagi saya, ilmu ini sangatlah tinggi martabatnya. Sangat-sangat tinggi. Sebab itulah saya mengarang dengan penuh emosi, mencakar di sana-di sini, apabila saya dapati martabat ilmu ini direndah-rendahkan, dengan serendah-rendahnya.

Bagaimana nak memperoleh ilmu rohani ini? Kata Syed Naquib Al-Attas:

Since such knowledge ultimately depends upon God’s Grace and because it entails deeds and works of service to God as prerequisites to its possible attainment, it follows that for it to received knowledge of the prerequisites becomes necessary; and this includes knowledge of the essentials of Islam (Islam, Iman – Ihsan), their principles (arkan), their meanings and purpose and correct understanding and implementation in everyday life and practice: every Muslim must have knowledge of those prerequisites; must understand the basic essentials of Islam and the Unity of God, His Essence and Attributes (tawhid); must have knowledge of the Holy Quran, the Prophet, upon whom be God’s Blessings and Peace!, his life and sunnah, and practise the knowledge thus based in deeds and works of service to God so that every man of Islam be already in the initial stage of the first knowledge, that he be set ready on the Straight Path that leads to God.– Islam and Secularism, ABIM (1978).

Kemudian, ilmu kedua, ilmu fizikal.

Ilmu kedua ini digelar ilmu sains (‘ulum) dan diperoleh melalui pemerhatian dan ujikaji; bersifat merewang dan taakul (deductive) dan ia dirujuk pada jasad yang boleh ditanggap dengan panca indera. Dalam erti kata lain, ilmu ini berkait dengan apa yang boleh kita nampak dengan mata kepala, boleh ‘masuk akal,’ boleh dikira dan dijelaskan dan sebahagian besarnya boleh dipraktikkan. Ilmu ini, dikurniakan kepada manusia, melalui spekuliasi dan usaha rasional (speculation and rational efforts), melalui semangat inkuiri (ingin tahu) berdasarkan pengalamannya terhadap deria dan akalnya. Ilmu ini, seperti ilmu kaji bumi, kejuruteraan, perubatan, pengarangan, kaji hayat dan sewaktu dengannya. Tujuan ilmu ini adalah untuk kegunaan praktikal manusia, yang bersesuaian dengan fitrah dan kekuatan manusia itu.

Ilmu pertama, membuka misteri kewujudan dan keberadaan (Being and Existance) dan membuka perhubungan yang benar antara manusia dengan Tuhannya. Memandangkan, ilmu pertama ini ‘memberitahu’ manusia tentang tujuan paling utama untuk ‘tahu,’ jadi, ilmu pertama ini menjadi ilmu asas dan elemen terpenting untuk ilmu kedua (ilmu fizikal). Senang kata, tanpa ilmu pertama (ilmu rohani), manusia hidup tanpa panduan, mencari-cari, tetapi keliru dan matlamatnya sudah pasti tak sampai (kerana hanya berlingkar dalam ilmu kedua, dalam dunia yang hanya boleh ditanggapi oleh panca indera).

Cuba kita refleks balik perjalanan falsafah ilmu ini dengan diri kita.

Anda perasan tak, bahawa ilmu yang pertama ini, sebenarnya boleh ditanggap oleh sesiapa sahaja manusia di dalam dunia ini, baik kita (mahasiswa yang terpilih dan dipilih untuk berada di Adelaide), para pemimpin PAS dan UMNO, Cina, India, Presiden US, para pensyarah, mak bapak kita, adik-adik kita, tukang sapu, tukang sayur, tukang cuci jamban, usrah, tabligh, liberal, sekular, askar, Abo dan sebagainya. Pokoknya, semua manusia boleh menanggap ilmu yang pertama ini, kerana setiap manusia, telah dikurniakan hati, tempat di mana ilmu pertama ini akan terisi.

Berbeza pula dengan ilmu yang kedua, di mana ilmu ini bersifat ‘memilih.’ Seperti yang kita tahu, tak semua ‘terpilih’ macam kita di sini. Kadang-kadang dalam 4 orang adik-beradik itu, hanya seorang sahaja yang melangkah ke menara gading. Selebihnya mungkin menjadi askar, mungkin menjadi jururawat dan tukang jual nasi lemak. Ini kerana, keupayaan akal dan rasional manusia, diciptakan berbeza-beza antara manusia. Ada yang dengan mudah dan jayanya menjawab peperiksaan tanpa perlu ulangkaji dan ada pula yang sampai tak boleh tidur memikirkan peperiksaan.

Yang menjadi isunya di sini, di lingkungan Melayu Adelaide ini, apabila kita telah menyekat usaha pemahaman ilmu yang pertama ini.

Maksud saya di sini, masalah yang lebih utamanya, apabila kita sendiri, maksud saya, setiap individu di sini, menyekat dirinya sendiri daripada mengakses ilmu pertama ini – sama ada menutup telinga dan matanya daripada mendengar dan melihat langsung, merasa sudah cukup dengan apa yang ada dan dibawanya dari Malaysia (dan tidak mahu meneroka hakikat ilmu yang luas ini), menyibukkan diri dengan hiburan, DotA, seronok-seronok, jalan-jalan (sehingga ‘tak ada masa’ untuk mendalami ilmu ini) dan sengaja meletakkan tembok mengatakan bahawa mempelajari ilmu ini adalah sesuatu yang rendah, tak perlu dan tak memberi manfaat (macamlah kau tu dah selamat!)

Itu isu secara umum. Kalau spesifiknya bagaimana pula?

Saya menyentuh mengenai persatuan di sini. Ya, ia adalah persatuan berjemaah dan mempunyai wasilah yang tersendiri. Perlu diingat di sini, saya bukannya mempersoalkan wasilah yang dibawa oleh persatuan itu. Namun, saya menyentuh mengenai sikap kita (atau lebih tepat saya kata ‘anda’) terhadap wasilah itu. Anda kata anda membawa Islam. Anda mengatakan bahawa anda membawa Ilmu Pertama yang saya huraikan di atas. Namun apakah sikap anda terhadap ilmu pertama ini?

Apakah anda mengehadkan ilmu itu dalam lingkungan persatuan anda sahaja?

Apakah anda pernah mengkaji bahawa maklumat yang anda dapat melalui siri program anda, benar-benar disahkan kebenarannya? Jika ternyata benar, kenapa ia tak bersifat telus (transparent) dan perlu melalui jalan kerahsiaan? Jika ternyata benar, mana sandaran ‘alim yang boleh anda jadikan rujukan bahawa setiap amali yang anda tonjolkan itu adalah betul lagi benar? Jika ternyata benar, sebutkan kenapa ia perlu dilakukan sepertimana yang kalian pamerkan kepada orang ramai (seperti program suka-suka, camping dan sebagainya). Apakah anda mencermikan ilmu pertama, yang telah Rasul SAW menjadi tafsiran terbaiknya itu?

Saya mempersoalkan ini, dengan harapan, kita semua menilai kembali sikap kita, semestinya terhadap ilmu pertama itu. Sesungguhnya, nilai ilmu pertama itu sangat tinggi. Sangat-sangat tinggi.

Apabila kita mendengar dalam satu siri program yang mengatakan,

“Agama Islam bukan sekadar solat, puasa dan zakat. Agama Islam juga adalah belajar di universiti, dengan beriadah bersama-sama, dengan itu dengan ini.”

Satu soalan yang saya ingin tujukan, apa dasarnya pemahaman anda mengenai hal ini? Apakah ilmu yang kedua, mahu disetarakan dengan ilmu yang pertama itu? Yang saya pernah dengar, dialog ini adalah daripada ucapan-ucapan yang terang-terang mengakui Liberal! Nauzubillah!

Selain dari kata-kata, ia juga tercermin melalui amali kita. Pemahaman ilmu yang pertama, dikurniakan Allah SWT, kepada insan-insan yang beliau pilih – di mana insan tersebut telah mewakafkan kehidupannya untuk mendalami pemahaman ilmu pertama itu. Mereka inilah orang alim, orang yang berilmu (ilmu pertama), yang telah melalui sistem pendidikan Islam, melalui kesarjanaan Islam dan mendapat tauliah dan autoriti melalui siri ta’lim dan talaqi dengan guru-guru mereka (di mana guru-guru mereka boleh dijejaki sanad pendidikannya sehingga ke sahabat dan Nabi Muhammad SAW!). Namun, bagaimanakah sikap kita terhadap mereka? Apakah dengan memandang enteng mereka ini menunjukkan bahawa kita ini cukup sangat dan sudah selamat benar dengan ilmu yang kita punyai? Apakah dengan mengkesampingkan mereka, kita ini sudah dikira hebat dan berstatus tinggi berbanding dengan mereka dan ilmu yang dipunyai mereka? Astagafirullah hal azim. Nauzubillah hi min zalik!

Satu lagi, yang menyedihkan mengenai sikap kita. Ya, saya mengakui, ada dalam kalangan kawan-kawan saya yang bertuah, kerana mempunyai latar belakang ‘ilmu pertama’ sebelum ini. Saya sayangi mereka atas dasar keilmuan itu kerana saya sedar, saya bukannya insan yang bertuah, untuk dimasukkan ke dalam sekolah agama atau sistem pondok. Jadi, jujurnya saya kata saya cemburu. Namun, cemburu saya telah bertukar menjadi benci. Sangat-sangat benci, apabila kawan-kawan yang sepatutnya boleh mara dengan asas keilmuan pertama yang mereka ada, sengaja mematungkan keilmuan itu dan tidak mahu meneroka khazanah ilmu pertama yang lebih luas di dunia luar dari lingkungan persatuan yang so-called Islam itu. Mereka, yang terkurung dalam lingkungan persatuan, menutup pintu usaha mereka sendiri, untuk meneroka ilmu pertama, yang sudah semestinya tidak terbatas pada warna kulit dan bahasa sahaja, malah tak terbatas pada karangan-karangan dari Mesir sahaja. Malangnya, menjadikan diri mereka contoh, dengan kepatungan dan kekakuan mereka, supaya dituruti oleh insan-insan macam saya, insan-insan yang tak bertuah, yang ada di antara kami dahagakan ilmu pertama itu. Orang-orang yang bertuah ini secara tidak langsung, menyekat adik-adik dan kawan-kawan, untuk menjadi bagus seperti mereka, atau lebih baik dari mereka. Saya sedih ini boleh berlaku. Moga Allah memberi kita keinsafan.

Ilmu pertama, termasuklah pemahaman tauhid yang mendalam, hakikat Sunnah Nabi Muhammad SAW, karangan para ulama’ besar zaman silam (seperti Riyadus Solihin, Imam An-Nawawi), kemudahan fiqh merentasi mazhab sehinggalah kisah sejarah turun naiknya ummat – tidak boleh disekat, selagi mana kita tahu, apabila orang yang berautoriti, ulama’ dan alim’ datang menawarkan kuliahnya kepada kita. Menawarkannya dengan percuma!

Sekatan ini, bersifat dalaman dan luaran. Luaran, seperti kita tahu, pertindihan program atau aktiviti yang sedia maklum – pengisiannya bukan dari orang yang ada autoriti dalam ilmu pertama ini, atau bukan berkait langsung dengan ilmu pertama ini (seperti aktiviti suka-suka, main boling, lepak-lepak dan berunsur hedonisme). Di sini, maksud utama saya, bukannya kita perlu meninggalkan dunia akademik universiti (ilmu kedua), dan memulunkan kehidupan pembelajaran ilmu pertama. Namun, Allah telah takdirkan kita mempunyai tanggungjawab yang lebih prioriti – di mana tanggungjawab itu perlulah diselesaikan terlebih dahulu kerana ia adalah amanah kita. Setelah selesai tanggungjawab itu, jika tiada lagi halangan untuk kita menghadiri kuliah ilmu pertama – maka sepatutnya, dengan kekuatan yang Allah berikan, kita sepatutnya menghadirkan diri dan bersungguh-sungguh mendalaminya (kerana di sini, bukannya ada sangat kuliah ilmu pertama ini).

Sekatan dalaman pula adalah sikap kita sendiri, yang kita sendiri sahajalah yang dapat mengubahnya. Malas, tak suka ilmu pertama ini, tak mahu ambil tahu kepentingan ilmu pertama (kerana rasa dirinya sudah selamat dan cukup) dan sengaja menangguh-nangguhkan dirinya – adalah sikap yang kita sendiri boleh membuangnya – tak ada orang lain!

Saya sering mendengar orang merungut :

“Mana nak ada kuliah agama dekat Adelaide ini! Abang-abang, kakak-kakak pun bukannya pandai sangat pasal selok belok agama ni. Susahlah. Nak buat macam mana.”

Kawan-kawan yang budiman. Saya meminta kita semua menilai kembali kehidupan kita di sini, dengan persoalan-persoalan berikut:

Berapa ramai orang tempatan (locals) yang kita kenali di sini? Cuba kira, berapa nama yang kita ingat.

Dari situ, cuba kita nilai kembali, sejauh mana kita mengenali dirinya. Adakah sekadar tahu nama dan jurusan yang diambilnya? Atau sekadar tahu dia itu Muslim dan kita tersengih-sengih menyalaminya setelah selesai solat jemaah di Universiti?

Kalau bilangannya boleh dibilang dengan jari di tangan, saya kira, kita berada dalam posisi yang kerugian. Allah telah memilih kita dari beribu-ribu mahasiswa lain untuk ke sini, bukan sekadar untuk belajar, tetapi untuk mengenali budaya orang, terutamanya yang sama jati diri (agama) dengan kita.

Inilah yang kita panggil peluang.

Sejauh manakah kita memanfaatkan peluang itu?

Jangan lupa, tanyakan diri kita, sudah berapa lama kita tinggal di sini. Kalau lebih 10 tahun, apakah kita mengenali betul-betul lebih dari sepuluh orang Islam di sini? Kenal itu maksudnya tahu apa latar belakangnya, makan setalam dengannya (macam kita selalu buat dalam program MISSA/ISMA tu), pernah mendengar rintihannya yang menjadi mangsa peperangan (di sini ramai orang Palestin dan Uighyur), pernah membantu mereka dan sebagainya.

Ini semua adalah kerana Islam bukannya terlingkung dalam orang kita sahaja. Ada orang lain juga. Kalau kita berpendapat bahawa sumber Islam hanya boleh didapati dari orang Melayu Adelaide, maka sebab itulah kita merasa sumber untuk mendapatkan ilmu pertama itu tidak cukup, atau merasa sudah cukup dengan apa yang ada. Malah, lebih teruk lagi, ‘merasakan’ Islam itu tidak hebat; berjubah, berjanggut, bertudung labuh itu simbol kemunduran dan mengira kita ini sudah selamat hanya sekadar kebolehan kita membaca satu dua surah dari juzuk Amma.

Bagi saya, dan saya yakin, formula ini benar untuk semua juga: apabila kita bergaul dan akrab dengan kawan-kawan ISLAM BUKAN MELAYU, kita akan dapat menilai siapa kita. Apakah kita hebat atau apakah kita ini merapu. Selamatkah kita di Malaysia yang kononnya negara Islam, atau risaukah kita bila orang menentang Islam di tanah air. Kita akan lebih terbuka – dan tidak liberal. Terbuka maksudnya mengerti Islam itu bersifat universal dan memang teraplikasi pada bangsa-bangsa perang, bangsa-bangsa pedagang, bangsa-bangsa yang kita selalu buruk atau agungkan.

Dengan persatuan dan usrah yang sedia ada, saya kira ia telah membentuk satu ‘basic ground’ untuk kita berkenal-kenalan dan akrab dengan masyarakat ISLAM TEMPATAN di sini, juga yang BUKAN ISLAM. Usrah, menyediakan asas kefahaman Islam yang asas. Itu sesuatu yang amat dibanggakan.

NAMUN CUKUPKAH SEKADAR BERMAIN DI PLAYGROUND usrah kita sahaja?

Ini kerana, usrah itu sepatutnya menjadi batu lonjakan kita untuk lebih berani mengenali orang di sini. Usrah sepatutnya menjadi medan kita mendalami sumber ilmu pertama dan mengaplikasikannya pula pada masyarakat tempatan di sini (kerana mereka juga ada HAK untuk beragama macam kita). Itupun, kalau apa yang kita pelajari di dalam usrah kita yakin adalah benar dan yang HAQ.

Dengan langkah mengenali orang di sini, saya yakin, kita akan menjadi lebih matang – sebagai mahasiswa luar negara. Tidak lagi kebudak-budakkan dan keanak-anakkan dan memalukan bangsa sendiri di majlis antarabangsa. Kita akan belajar menghormati bangsa lain dan menilai bangsa kita sendiri dan berusaha memperbaikinya. Malah, secara tak langsung, kita akan mengukuhkan jati diri kita, dengan mengenali diri kita sendiri dengan lebih mendalam. Itulah istimewanya kita – mahasiswa luar negara.

Dari situ, orang akan kenal – ISMA/MISSA inilah yang membawa mesej Islam yang sebenar. Usrah kitapun bukan semuanya Melayu, malah bermacam-macam bangsa dan macam-macam perkongsian. Barulah, bila balik nanti, orang akan tengok yang produk-produk di sini telah mengalami proses tarbiyah yang berkesan dan bakal membawa masyarakat Malaysia pula untuk mengenali Islam yang universal itu. Namun, terpulang pada anda, kerana SAYA ORANG LUAR. Saya hanya memberi cadangan dari luar. Cadangan yang konstruktif.

Saya telah membentangkan apa itu ilmu dengan menghurai ilmu pertama dan ilmu kedua. Senang kata, ilmu pertama itu adalah ISLAM di mana tanda kita sudah mendapat kefahaman ilmu pertama itu adalah IMAN dan tahap kepandaian kita terhadap ilmu itu adalah IHSAN. Ilmu kedua pula adalah ilmu yang kita kejari sekarang, namun, ianya sekadar untuk keperluan kita di dunia ini sahaja – tidak mampu untuk menyelamatkan atau memberi panduan. Kemudian, saya menekankan CARA FIKIR SEPATUTNYA kita punyai sebagai mahasiswa luar negara.

InsyaAllah, dalam siri seterusnya, saya akan membentangkan usaha-usaha untuk kita keluar dari belenggu masalah ini. INSYAALLAH

WALLAHUALAM

(Bersambung)

Ada perkongsian psikologi yang rasa elok kita renungkan:

Groupthink occurs when people within a group feel it is more important to maintain the group’s cohesiveness than to consider the facts realistically.

“symptoms” of groupthink:

Group members may come to feel that the group can do no wrong, is morally correct, and will always succeed, creating the illusion of *invulnerability (quality of being unable to be attacked or harmed). Group members also tend to hold stereotyped views of those who disagree with the group’s opinions, causing members to think that those who oppose the group have no worthwhile opinions. They exert pressure on individual members to conform to group opinion, prevent those who might disagree from speaking up, and even censor themselves so that the group’s mind-set will not be disturbed in a “don’t rock the boat” mentality. Self appointed “mind-guards” work to protect the leader of the group from contrary viewpoints.


Things to be done to minimize the possibility of groupthink:

1) Impartial leadership
2) Seeking outside opinions
3) Stating problems in an objective manner
4) Breaking large groups into subgroups
5) Encouraging questions and alternate solutions
6) Using secret ballots rather than by a show of hands (vote session)
7) It should be made clear that group members will be held responsible for decisions made by the group

Source:
Saundra K. Ciccarelli, J. Noland White (2009). Psychology. Pearson International Edition. Page 474-475

sumber : rausyanfikir.com

Sikap 3. ISK

INI SALAHNYA KITA (ISK)

Amaran, entri paling panjang pernah saya tulis.

1. Merendah-rendahkan martabat ilmu

Ilmu yang seperti kita tahu, adalah sumbernya dari Allah. Ia diturunkan melalui Jibril ke Nabi Muhammad SAW, kemudian ke para sahabat ra, pada tabi’, tabi’ tabi’in, ulama’,ulama’,ulama’......................... tok-tok guru, dan akhirnya kepada kita.

b. Maka, ilmu itu sifatnya sangatlah tinggi.

c. Berbeza dengan maklumat, ilmu bermaksud:

i. Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu. –Fakhruddin al-Razi, diketengahkan semula dan diperbaiki oleh Syed Naquib Al-Attas – dipetik dari Penjelasan Budaya Ilmu, Wan Mohd Nor Wan Daud.

ii. Makna pula bermaksud : pengenalan tentang kedudukan sesuatu dalam satu sistem yang berlaku apabila hubungan sesuatu itu dengan perkara lain dalam sistem itu difahami dengan jelas – Syed Naquib Al-Attas.

iii. Beza antara maklumat dan ilmu boleh dikiaskan seperti berikut:
1. Bukan seperti komputer, mempunyai banyak maklumat, tetapi maklumat itu tidak bermakna pada komputer itu.
2. Manusia pula, apabila mendapat maklumat, ia akan menggunakan maklumat itu untuk manfaat dirinya, untuk manfaat komunitinya dan untuk manfaat manusia lain.

iv. Jadi, dalam hal ilmu ini, baik mengajar dan belajar, apatah lagi ilmu agama, perlulah ditanggap dengan berhati-hati, dengan saluran yang betul dengan adab yang betul.

d. Dalam masyarakat Melayu Adelaide, mungkin kerana ramai di kalangan kita dipilih dan dibiaya atas kecerdikan kita, maka ada suatu macam sikap yang berbahaya terhadap ilmu – merendahkan taraf ilmu dan orang berilmu (yang ada autoriti terhadap ilmu itu, seperti ulama’, ustaz yang tersohor dan mufti).

i. Sikap ini terjelma apabila kita cenderung menyamatarafkan semua orang pada satu ‘level’ yang sama. Misalnya, orang alim atau mufti, dianggap sama taraf dengan naqib-naqibah usrah, atau syeikhul malayuween.

ii. Contoh yang paling jelas adalah semasa kedatangan mufti Perak tempoh hari. Saya memerhatikan bagaimana layanan yang diberikan kepada orang berilmu. Adabnya, apabila orang berilmu bercakap, seelok-eloknya kita dengar (sungguhpun ada yang kita tak setuju). Namun, kita lebih cenderung untuk bising dan bercakap sesama sendiri dan membiarkannya bercakap seorang diri.

iii. Orang seperti mufti juga seharusnya dimuliakan. Dimuliakan atas dasar ilmunya. Bukan dibiarkan terkontang-kanting seorang diri, mencari kasutnya berselerak dengan kasut-kasut kita dan duduk melangut keseorangan di barisan hadapan. Layanan yang diberikan sungguh tak beradab. Kalau bukan AJK sekalipun, tak elok membiarkan orang sepertinya tercangak-cangak tak tahu membuat apa.

iv. Lainlah kalau mufti itu naqib atau naqibah kita. Naqib, dari segi autoriti ilmunya, mungkin tidak ada. Kesarjanaannya juga sudah semestinya tiada. Jadi, sikap kita dengan naqib sudah pasti berbeza dengan sikap kita terhadap mufti.

v. Itu baru hal kita dengan mufti, apatah lagi mufti dari kalangan bangsa kita sendiri. Kalau dengan ulama’ lain?

vi. Saya terpaksa membuka isu ini secara umum kerana mahu kita semua ambil perhatian, sungguhpun saya adalah salah seorang AJK dan sepatutnya menyuarakan hal ini sewaktu post-mortem. Namun, ini bukan salah AJK sahaja. Mereka ada tugas lain perlu dibuat pada hari itu. Yang lain-lain itu, kalau dah tahu tuan Mufti ditinggalkan begitu, maka kenalah ambil inisiatif.

e. Dalam erti kata lain, ilmu direndahkan sehingga orang yang tak berautoriti atau berkelayakan, di mana cakapnya dianggap sama sahaja dengan orang yang berkelulusan dan memperoleh sarjana dari sistem pendidikan Islam.

i. Adakalanya, ada majlis ilmu yang terang-terang dikendalikan oleh orang yang berautoriti dan mempunyai kesarjanaan.

ii. Namun, kita yang tak mahu pergi kerana terpaksa menghadiri program lain. Tak kisahlah program apa. Main bowling ke, makan-makan dengan perempuan ke dan atau program yang so-called beragama (tetapi diacarakan oleh senior-senior yang belajar medicine, engineering dan sebagainya).

iii. Yang patut membuatkan kita malu, tok guru yang seorang ini, sanggup berpayahan untuk memandu lebih ½ jam semata-mata mahu mencari anak muridnya. Namun, apa yang berlaku, tok guru sebegini dipandang enteng oleh mereka yang mempunyai saaaaangat banyak masa lapang dan sepatutnya boleh datang. ‘Tak datang majlisnya hari ini pun tak apa. Minggu depan dia buat lagi.’ ‘Alah, naqib aku dah cakap dah tentang agama. Cukuplah.’ ‘Malaslah nak pergi. Rumah tu tak muat. Kalau nak belajar, mesti la kena selesa.’ Sikap mereka yang acuh tak acuh terhadap ilmu jelas menunjukkan bahawa martabat ilmu direndahkan, serendah-rendahnya.

f. Sebabnya, kenapa perkara ini perlu dibangkitkan adalah kerana dengan ilmu, cahaya keimanan boleh menyala. Ilmu di sini bukannya sama dengan maklumat yang diperolehi melalui kuliah, surat khabar, Wikipedia dan sebagainya. Ilmu adalah yang memberi makna ke dalam diri kita dan kehidupan kita. Yang memandu kita supaya bukan sahaja mempunyai pengetahuan dalam bidang geologi, engineering¸ kedoktoran, tetapi mempunyai ilmu tentang bagaimana nak memandu hidup sebagai seorang geologis, sebagai seorang engineer, sebagai seorang doktor dan juga sebagai seorang farmasis. Dari situ, barulah maklumat geologi, maklumat enjin dan batang paip, maklumat tulang dan darah, maklumat dadah dan ubat-ubatan –bermakna kepada kita.

g. Kalau takat nak datang sini sebab nak berhibur, baik balik Malaysia, lagi banyak hiburan. Kalau takat datang sini nak makan-makan, baik balik Malaysia, lagi banyak makanan. Kalau datang sini, takat nak belajar dengan naqib-naqibah Melayu sahaja, baik lagi belajar di Malaysia. Ini orang nak tunjuk macam mana nak beriman beb, boleh selamat dunia akhirat beb. Tak bermakna lagi ke apa yang diajarnya itu?

h. Dalam masalah ini, kita telah meletakkan ilmu bukan pada tempatnya (terutamanya ilmu agama), bukan pada tempat yang tinggi itu. Kita anggap ilmu agama ini macam pameran di Art Gallery dan SA Museum, yang kalau tak pergi pun tak apa. Kalau pergi pun, dapat tunjuk muka pun jadilah. Bukan ambil manfaat dan aplikasikannya dalam kehidupan. Bukan memaknakan maklumat (maklumat agama) dari orang yang berautoriti dan berkelayakan untuk bercakap tentangnya.

2. Kecelaruan Falsafah, terutamanya falsafah beragama dan berpendidikan.

a. Isu ini sebenarnya sukar untuk ditanggap, melainkan buat orang yang mempunyai pengetahuan mengenai hal ini. Ini kerana, sempadan antara masalah dan tak bermasalah dalam konteks ini sangatlah kabur. Namun, ia perlu juga dijelaskan dan diketengahkan, supaya masyarakat kita lebih berhati-hati dalam menanggapi kecelaruan ini.

b. Keceleruan dalam falsafah Islam terjadi apabila kita dengan mudah mengambil pendekatan bukan Islam (pendekatan barat) dan menjadikannya sebagai kerangka dan menampalnya dengan label Islam dan mengisytiharkannya sebagai 100 % Islam. Contohnya, arak, diisi dalam botol Gatorade. Orang yang tidak tahu yang air kuning itu arak pasti akan meneguknya, kerana ia menyangka minuman inilah yang akan memberi tenaga yang hebat pada mereka.

i. Hal ini telah dijelaskan dengan panjang lebar oleh Al-Ghazali, sepertimana dimaklumkan oleh Al-Attas dalam huraiannya di dalam bab The Muslim Dilemma, Islam and Secularism, terbitan ABIM (1978).

ii. Walaupun ada kalanya kita dengan penuh cermat membawa masuk idea luar (atau pendekatan bukan Sunnah) ke dalam konsep falsafah beragama, namun ia sebenarnya mencabar kebergantungan kita pada Islam yang tulen (yang Sunnah, yang nabi buat), kerana idea luar, sedap hati, ikut trend orang ramai itu bukannya 100% boleh di-Islam-kan!

iii. Dalam erti kata lain, kerangka idea luar ini cuba disumbat-sumbat dengan idea Islam di dalamnya, supaya nampaklah Islamnya dan bolehlah dipakai.

iv. Misalnya, di sini, di dalam tempurung Melayu ini. Islam jemaah di sini saya lihat dipaparkan dengan konsep ‘semua orang akan suka.’ Maka, untuk memenuhi ‘semua orang akan suka’ ini, dibuatlah berkhemah di Aldinga, senam aerobik hujung minggu, main futsal, jalan-jalan , seronok-seronok dan sebagainya. Bayangkan, sistem ‘semua orang akan suka’ yang tak pernah dilakukan dalam sejarah Nabi, Sahabat, Khalifah Islamiyah, digunakan sebagai method utama dalam menyebarkan agama. Apa cara Nabi, Sahabat dan Khalifah Islamiyah dahulu tak lengkap ke? Ini baru satu kes.

c. Kes yang lain, yang saya kira agak berat.

i. Apabila kita mengendalikan suatu program bersifat ilmiah, mengembara ilmu-lah katakan, pernah tak kita mengajak hadirin mengkaji validity, kesahihan yang disampaikan dalam program itu?

ii. Mungkin kita pelajar sains, naif dalam bidang logik-falsafah-agama ini. Jadi, kita bersikap seperti anak burung, menganga bila ada orang nak suapkan makan.

iii. Kadang-kala, kita seolah-olah terpesona, melihat agama Islam ini cukup ‘cantik’ dipadankan dengan dengan sains. Cukup cantik ditangkapmuatkan dalam idea Barat yang selalu kita dengar. Contohnya, bila Stephen Covey cakap tentang 7 Habits of Highly Effective Person , kita tiba-tiba terpesona bila ada pihak yang ‘memantapkan’ apa yang diperkatakan beliau dengan menyumbat beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadits. “Tengok Stephen Covey pun cakap tentang Islam.” Satu lagi, bila kita tengok ada sedikit-sebanyak logik sains diketengahkan dalam membicarakan hal agama, maka kita pun meleleh air liur. Sedangkan, apa yang diperkatakannya itu, dari segi falsafahnya, dari segi akidahnya, atau dari segi fakta sains sekalipun, masih lagi belum sah. Contoh? Maaf, saya tak dapat mengemukakan contoh.

iv. Tetapi, tentang isu ‘tangkap-muat’ keaslian Islam ke dalam kerangka pemikiran luar/barat/nafsu, adalah satu perbuatan yang silap dan sangat melampau. Sangat tak beradab!

v. Katakanlah kita ini gila Stephen Covey. Bila Stephen Covey keluarkan bukunya itu, kita sakan seronok cari dalil-dalil, menyumbat di dalam kerangka yang ditulisnya, dan menyebarkannya. Dan, kita katakan; “Tengok, orang barat pun kata macam ini. Tengok, ada dalil yang menyokong apa katanya. Inilah baru Islam moden.” Hello~ bila Stephen Covey cakap begitu, baru kita nak jadi Effective Person ke? Kalau dia tak cakap, kita nak jadi apa?

vi. Kalau disentuh tentang hal ini, Imam An-Nawawi telah lama mengarang tentang sifat manusia yang efektif. Cuba buka kitab Riyadus-Solihin. Imam An-Nawawi bukan takat bicara 7 sifat, tetapi beratus-ratus sifat yang efektif untuk manusia dan untuk Muslim.

vii. Kita, orang kita, mudah sangat ternganga dengan benda yang baharu, malah benda dari Barat, juga Jepun dan Korea. Yalah, kita inipun serba kekurangan. Ulama’ besar kita pun kita tak kenal. Bila orang cakap tentang Hamzah Fansuri, Nurruddin Ar-Raniri, Abdul Rauf Singkeli, Prof Hamka, kita terpinga-pinga tak kenal. Macam manalah nak kenal, sumber ilmu pun terhad pada kitab-kitab moden dari Mesir sahaja. Kitab-kitab lama ini mana boleh buat masuk silibus usrah. Tak boleh masuk dalam kerangka jemaah kita. Tak syoklah belajar dengan cara kuno.

d. Dalam hal kita membicarakan sejarah pun, kita perlu berhati-hati.

i. Dahulu, waktu tingkatan 1 dulu, saya masih ingat tentang isu utama yang perlu diambil perhatian tatkala menanggapi sejarah iaitu bias dan kecondongan. Itu pelajaran kedua dalam sejarah, selepas takrif sejarah yang dikemukan oleh beberapa tokoh.

ii. Jadi, untuk mengelakkan bias dan kecondongan kepada satu puak, jemaah, parti politik dan sebagainya, maklumat tentang sejarah itu perlu diteroka, sebanyak-banyaknya.

iii. Bila pulang dari kem waktu musim luruh, yang ajar tentang sejarah kita, sepatutnya, kita menjadi lebih proaktif, membongkar maklumat-maklumat sejarah dengan lebih teliti. Ini kerana, kita mendengar dari satu sumber. Katakanlah sumber itu dari Syeikhul Malayuwin, yang bercakap tentang sejarah Turki.

iv. Apakah selepas kem itu, kita pergi ke perpustakaan, kita geledah rak 959.xxx di Barr Smith untuk mengkaji turun naiknya Khalifah Utsmaniyah itu? Atau kita menjadikan apa yang kita dapat itu sebagai satu-satunya informasi yang paling lengkap dan menutup mata dan telinga, untuk mendalami sejarah itu dengan lebih kritikal?

v. Tak ada masa? Mana boleh tak ada masa. Kata nak membina generasi harapan. Bolehkah kita berharap pada generasi yang tak mahu meluangkan masa untuk mengkaji sejarah turun naiknya bangsa dan agama? Kata suruh Melayu bangkit dan berubah. Nak berubah macam mana, kalau sejarah bangsa sendiri hanya terhad pada satu sumber sahaja.

e. Kecetekan, ketidaksungguhan, kesalahan, ketangkapmuatan kita dalam menanggapi falsafah beragama dan berpendidikan ini adalah sangat bahaya. Mungkin kesannya kita tak nampak sekarang. Kesannya 10 atau 20 tahun lagi. Contohnya, dahulu tulisan jawi diganti dengan tulisan rumi dengan tujuan untuk meluaskan perolehan maklumat dari kalangan rakyat. Namun, apa yang terjadi, orang kita sekarang terputus dengan kitab-kitab lama yang ditulis dalam tulisan jawi. Tiada akses. Tiada pintu. Orang Melayu buta dengan tulisan sendiri. Sebab itulah terkikis jati diri. Tak ada sambungan dengan kita dan orang yang hidup lebih awal dari kita.

i. Hal yang sama juga berlaku bila kita menangkapmuat idea, pemikiran, cara Barat dan menyumbatnya dengan Islam yang sangat luas itu. Ia menyebabkan kita terpaksa mencerai-ceraikan Islam, mengambilnya sebahagian dengan mengikut kesesuaian dan kemuatan, mengamalkan dan berbangga dengan mengatakannya ia adalah Islam yang syumul. Ini perbuatan yang sangat tak beradab!

ii. Kita menggalakkan kecetekan usaha untuk menanggapi ilmu dan sejarah. Semata-mata takut nanti ada maklumat yang membongkar kesalahan jemaah, persatuan dan cara kita. Ini secara langsung, telah melahirkan generasi yang malas dan hanya jadi pak angguk bila diwarisi dengan cerita separuh betul separuh boleh dipersoalkan. Atau, dalam bahasa akademiknya, satu bentuk indoktrinisasi. Ini telah dilakukan oleh kerajaan-kerajaan komunis, seperti Korea Utara, dengan menyekat penerokaan maklumat. Menyekat dalam hal ini, bukan sekadar menghalang dengan mendepang tangan, bahkan memperlekehkan usaha penerokaan dan ‘mengatakan’ penerokaan ilmu di luar kemampuan jemaah, persatuan, umur remaja mahasiswa, sebagai satu yang sia-sia. Golongan yang sibuk mengulit ilmu dan sejarah dilabel sebagai ‘serius, nerd, tak enjoy, orang tua dan sebagainya.’

iii. Selain dari pada itu, Islam dipaparkan dengan cara ‘semua orang suka.’ Ada nyanyian, ada video yang menggemparkan, ada senam aerobik, ada Facebook dan sebagainya. Bukan tak boleh buat. Boleh. Tapi, itu bukanlah hal yang utama. Bukan prioriti. Islam perlu ditampilkan sebagaimana ditampilkan oleh Nabi Muhammad SAW. Berjanggut, berjubah, berserban. Bukan mengatakan, “Agama Islam bukan takat berjanggut, berjubah dan berserban aja.” Beb, kena jaga cakap beb. Hang macam mempersoalkan sunnah Nabi kalau cakap macam tu.

3. Islam adalah agama universal.

a. Bukan macam Hindu, Buddha, Conficious yang terhad pada sempadan bangsa. Mungkin ia berkembang, tetapi menurut catatan sejarah (Negarakatergema) agama Hindu hanya dianuti sepenuhnya oleh Raja-raja, tidak dihayati sepenuhnya oleh rakyat. Agama Hindu, bersifat tak terkembang. Eksklusif!

b. Kalau kita kata Kristian universal, namun perkembangan itu terjadi setelah Kristan sekian lama wujud di Rom. Idea baru universaliti Kristian berpunca dari salah faham khutbah Nabi Isa as di mana salah faham pengikutnya terhadap mesej baginda yang mengatakan bahawa akan ada agama baru (agama Islam) yang akan menjadi agama yang universal, selepas agama yang dibawa baginda ini. Namun, pengikut Kristian (setelah berkurun baginda diangkat ke langit), mencipta agama baru iaitu Kristian, dan menganggap agama baru inilah yang dimaksudkan oleh baginda Nabi Isa dalam khutbah baginda dahulu. Padahal, ia adalah ciptaan yang direka-reka oleh pendokong agama ‘baru’ ini. Dan, dengan kehendak Allah, agama Kristian yang tersebati dengan Empayar Rom, tiba-tiba terkemban.

c. Agama Islam pula, sememangnya bersifat universal, sejak penurunan wahyunya lagi, di mana Allah SWT telah berfirman yang agama ini adalah untuk seluruh manusia dan seluruh alam. Allah juga berfirman supaya orang Islam mengukuhkan ikatan persaudaran walaupun terdiri dari latar yang berbeza. Berbeza dengan Kristian, agama Islam hanya mengambil masa kurang dari satu kurun (dari penurunan wahyu pertama), untuk mengumpul penganut yang berbilang bangsa. Arab, Turki, Parsi, Pakistan, Mesir, Turkistan, Berber, Eropah, Afrika, India, Cina, Melayu dan sebagainya, adalah penganut Islam tak kurang dari satu kurun pun.

d. Kita lihat di sini, ada sebuah persatuan yang tersohor, yang mengehadkan Islam kepada lingkungan bangsa sahaja. Atau, yang lebih parah, mengehadkan Islam pada sungkupan tempurung persatuan atau jemaah mereka. Penggunaan nama Islam dalam kapasiti persatuan umpama ingin meletakkan semua air laut ke adalam sebelah tempurung kelapa. Ada yang masuk, tetapi selebihnya tak muat. Yang masuk ke dalam tempurung itulah yang dibangga-banggakan, yang kononnya merekalah yang membawa Islam yang syumul. Jemaah itu berani pula memakai label Islam untuk mempromosikan ketidakcukupan yang ada di dalam tempurung itu dan mengakui pula bahawa mereka adalah universal. Yang menyayat hati, sikap mengehadkan Islam kepada bangsa, undergraduate, post-graduate dan sebagainya, adalah salah adabyang besar. Sangat besar.

e. Inilah dikatakan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Tidak adil pada kebesaran Islam. Meletakkan Islam pada segolongan bangsa, puak, jemaah, persatuan sahaja. Sekiranya benar mereka tidak mengehadkan Islam, kenapa persatuan Malaysia itu digemilang-gemilangkan. Ketahuilah, persatuan itu yang manfaatnya adalah untuk members sahaja. Lagipun, kalau benar persatuan itu adalah sama dengan Islam, kenapa dari dulu lagi tak wujud persatuan (sebab tiba-tiba muncul dalam awal tahun ini)? Dari dulu itu, dari zaman sahabat dan ulama besar silam. Malah, nabi sendiri memecah tembok puak-puak sewaktu zaman baginda. Ini, perkara baharu sebegini yang muncul sekitar 1900-an, dianggap sebagai satu-satunya jalan yang Haq.

f. Persatuan, lebih bersifat untuk memudahkan pengurusan kebajikan mahasiswa Melayu atau Malaysia, bukan menjadi ‘agama Islam.’ Jadi, untuk berlaku adil dalam hal ini, nama Islam tak boleh dipakai. Ini kerana, berpersatuan maksudnya berfokus. Persatuan fitrahnya bukan universal. Jadi, kalau begitu, nama Islam atau Muslimin perlu dibuang. Tak kiralah ianya parti politik atau badan bukan kerajaan. Di sini, kita tengok ia terlekat pada satu persatuan. Kalau nak kekalkan pun, mungkin boleh guna akronim yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Cadangan saya, Ini Suaka Melayu Adelaide = ISMA.


4. Kesimpulan

Jadi, penjelasan di atas walaupun bersifat penuh emosi, kurang petikan akademik, tak ada dalil – namun ia harapnya membuka mata, minda dan hati kita tentang apa yang sedang berlaku. Boleh sahaja ia dibuat seperti research paper, namun, ada ke orang nak baca atau ambil perhatian kalau ia bernada kaku? Buku rujukan pertama saya adalah buku Islam and Secularism oleh Syed Naquib Al-Attas, Penjelasan Budaya Ilmu oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud (anak murid Syed Naquib Al-attas), blog Rausyanfikir.com (di mana beliau membicarakan masalah yang sama berlaku di UTP). Dan rujukan saya yang paling utama, adalah melalui guru saya yang mengajar agama di Adelaide ini, dan kawan-kawan yang berpengalaman luas dalam hal jemaah, mahasiswa yang tak perlu saya sebutkan nama.

a. Inilah simpton-simpton penyakit yang terjadi dalam masyarakat kita di Adelaide ini. Rasanya, kalau nak tulis semua, mesti panjang berjela entri ini. Jadi saya ambil point yang betul-betul kena batang hidung, supaya kita bersin dan keluarkan semua kotoran-kotoran dalam badan bangsa Melayu di Adelaide ini!

b. Jadi, dari sini, kita cuba lakarkan sebuah gambar rajah tentang lingkaran masalah yang menyungkup bangsa kita di Adelaide ini.







c. Daripada sini, kita dapat lihat, kita berputar-putar pada masalah yang sama. Masalah yang menyebabkan masalah yang lain. Masalah, kalau kita selesaikan salah satunya pun, akan ada masalah lain yang akan meneruskan ini semua berlaku.

d. SEBAB ITULAH, SEBELUM KITA MEMBICARAKAN JALAN KELUAR, KITA KENA KENAL PASTI MASALAH ITU BETUL-BETUL DAHULU, TENGOK MACAM MANA PERGERAKAN MASALAH ITU, SUPAYA NANTI KITA BOLEH CARI MANA PUNCANYA DAN MENGAMBIL TINDAKAN YANG TEPAT

e. Saya bukannya nak emosi tak tentu hala, mengamuk macam orang gila, mengatakan itu salah, ini salah. Masalahnya, kita berada dalam satu lingkaran yang menakutkan!

f. Kita kononnya cuba menyelesaikan itu dan ini, namun masalah tak selesai-selesai pun. Biarlah beberapa tahun kita mencuba. Saya jamin, cara kita yang mencuba-cuba ini, tak akan ke mana. Khalifah itu yang diidam-idamkan tak akan dapat punya. Lagipun, kita di dunia ini, bukannya nak mengejar kerajaan.

g. Selepas entri ini, kita akan bicara jalan keluar pula. Jalan keluar dari putaran ganas yang membelit diri kita sekian lama.

h. Namun, berilah masa untuk saya, untuk mengarang dengan betul-betul dan teliti. Sayalah akan dipertanggungjawabkan kalau ini semua batil.

i. Saya minta, janganlah melatah atau melenting. Sabar itu penting!

Baik, jika anda nak membaca dari gaya akademik sila klik sini.