Kelab Peminat

Sempurna

Peperiksaan telah pun bermula. Ada yang pagi-pagi lagi telah keluar dari rumah, sungguhpun semalam, dialah yang tidur paling lambat sekali. Selamat menjawab peperiksaan saya ucapkan kepada sesiapa yang mengambil peperiksaan semester 2 ini, termasuk saya.

Peperiksaan. Sepatutnya ia tak menghalang kita menjalani kehidupan normal. Kehidupan yang disinari oleh matahari atau disirami oleh hujan. Saya mengambil peluang sisa-sisa kehidupan terakhir saya di Adelaide ini untuk mencari sesuatu yang bermakna untuk saya bawa pulang dan ceritakan di Malaysia.

Alhamdulillah, perancangan yang tertunda sejak sekian lama lalu, akhirnya boleh dilaksanakan juga.

Hari Selasa yang lepas, saya mendapat mesej dari bekas cikgu Bahasa Inggeris saya, Mr Anthony, mengajak saya untuk menziarahi ibunya yang sakit. Sebenarnya, sebelum ini, dia telah merancang untuk membawa saya sendiri ke hospital, untuk melawat ibunya yang menderitai sakit kanser. Namun, atas beberapa sebab, ziarah saya ke sana terpaksa ditangguhkan sehinggalah ibunya sudah kembali ke rumah.

Hari Khamis - hari yang kami berdua berjanji untuk bertemu. Dia menelefon saya dan mengatakan bahawa dia sudah menunggu di bawah. Saya yang baru sahaja solat Zuhur segera menyarungkan pakaian semi-formal dan bersegera ke lobi The Village. Sungguh, saya sendiri tak pasti bagaimanakah adab-adab menziarahi orang sakit dan orang tua, apatah lagi menziarahi mereka yang 100% mengamalkan budaya yang berbeza dengan saya. Dari pengalaman lepas, saya hanya mengikut ibu bapa saya untuk menziarahi orang yang sakit. Namun, waktu itu, rasanya, saya masih terlalu kecil.

Tatkala saya ingin memasuki kereta, cikgu saya ini, yang berbangsa Inggeris ini, memutar kunci kereta di pintu sebelah saya, membukanya dan mempersilakan saya duduk. Setelah saya duduk, ditariknya tali pinggang keledar dan menyuakannya pada saya. Saya terkesima. Saya terpana dan sedikit terkejut. Sungguh, inilah kali pertama saya dilayan sebegitu rupa untuk menaiki kereta, kerana sebelum ini, tak pernah pun kami bertemu dan berkereta bersama. Sering kali kami bersua di sekitar bandar Adelaide dan untuk berjumpa di sesuatu tempat, kami lebih selesa berbasikal atau berjalan kaki.

Di dalam perjalanan, kami berbasa-basi, bertanya khabar dan cerita-cerita kehidupan, setelah sekian lama tak bertemu. Mr Anthony ini, guru Bahasa Inggeris saya di sekolah menengah, mengajar Bahasa Inggeris Komunikasi dengan kontrak 2 tahun. Dan, saya, dalam tempoh kedua-dua tahun kontrak beliau, saya bertuah kerana menjadi muridnya. Dan, salah satu sebab saya memilih Adelaide sebagai tempat belajar adalah kerana suatu ketika dulu, saya pernah berkata pada beliau yang 'kita akan berjumpa lagi di Adelaide.' Kini, di dalam kereta, kami berbual sebagai dua rakan yang lebih sebulan tak berjumpa. Rakan yang tak terbatas dengan usia.

Sesampainya di Vermont Retirment Village, kami menghala ke rumah yang terletak di belakang sekali. Kawasan tempat tinggal ini terdiri daripada unit-unit rumah yang kecil, yang setiap satunya dihuni oleh orang-orang tua yang sudah bersara. Ada juga orang-orang tua yang tidak lagi mampu mengurus diri, dan di sini, mereka dijaga oleh jururawat. Tempat tinggal ini, dibiayai oleh pihak kerajaan dan juga sedikit sumbangan daripada pencen mereka.

Ibunya menyambut dengan wajah yang ceria, meskipun ada batuk-batuk yang mengganggu senyumannya. Saya membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah dan Mr Anthony hanya menunggu saya di belakang. Saya masuk ke dalam rumah dan barulah cikgu saya itu ikut masuk ke dalam rumah. Mereka biasanya tidak membuka kasut ketika berada di dalam rumah.

Ibunya begitu mesra sekali berbual. Kami bertukar-tukar cerita. Mr Anthony menghidangkan teh pada kami dan teh di sini sudah semestinya tanpa gula. Walaupun sudah berusia 83 tahun, kelihatan beliau masih lagi bertenaga. Sementelahlah beliau jurulatih renang dahulu.

Setelah hampir sejam, kami pun meminta diri. Sebelum kereta bergerak, sekali lagi, beliau melayan saya seolah seorang raja.

Dalam perjalanan pulang, saya bertanya kepada cikgu saya, apakah kebiasaan masyarakat barat untuk tidak menjaga orang tua mereka?

"Sebenarnya, ini adalah ikutan dalam lewat 20-30 tahun ini. Orang sekarang, semuanya sibuk mengejar wang dan mereka tiada masa untuk menguruskan orang tua mereka. Namun, kebanyakan orang tua di sini pun, lebih selesa untuk tinggal bersendirian, kerana mereka tidak mahu menjadi beban kepada anak-anak mereka. Tambahan, pihak kerajaan menyediakan kemudahan kepada orang yang telah berusia ini dengan rumah dan tempat tinggal yang lengkap."

Rupanya begitu. Walaupun ibu bapa mereka tinggal bersendirian di mana-mana rumah orang tua, mereka tetap dijamin kehidupannya. Namun, bagi kita, masyarakat Melayu, adalah menjadi satu kebaikan bagi kita untuk bersama-sama dalam satu keluarga, yang terdiri dari orang tua dan anak-anak kecil - saling menjaga dan berkasih sayang. Perbezaan ini saya panjangkan padanya. Seraya, saya teringat opah saya yang telah memelihara saya sejak sekian lama. Opah saya tinggal dengan keluarga saya sejak saya masih kecil lagi.

Saya terharu. Saya rupa-rupanya telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengasihi insan yang berusia - yang tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.

Setelah tiba di rumah, saya cerminkan kembali diri saya, diri seorang Melayu dan Muslim. Saya bersoal-soal pada diri saya;

Sejauh manakah kita yang mengakui beriman pada Allah SWT melaksanakan hak mereka yang mempunyai hak terhadap kita. Ibu bapa, adik-adik, atuk opah, kawan-kawan dan guru-guru kita?

Apakah kita telah tunaikan hak kita sesempurna mungkin?

3 ulasan:

norhayati berkata...

Sementera usia masih ada , ingatilah mereka yang telah mendewasakan kita. Kelak nanti jika mereka berangkat pergi penyesalan sudah tidak bererti lagi.

énot. berkata...

assalamualaikum, syuk, ni mr anthony w yang ajar syllables masa kat tsp dulu?
pls convey my warmest regards to him (;

Muhammad Teja berkata...

insyaAllah. nanti aku jumpa, aku beritahu. :D