Kelab Peminat

Gerombolan

Pada suatu pagi, kami duduk-duduk di dalam bilik mesyuarat. Ada beberapa orang di dalam bilik ini dan salah seorangnya menguasai perbincangan.

"Kalau kita fikir gerakan Islam yang mempunyai kumpulan dan organisasi yang tersusun, kita patut membayangkan kumpulan lain juga mempunyai perkara sedemikian. Tsiqah dan Sirr juga diamalkan dalam gerakan Komunis. Sesiapa yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi, akan mengetahui lebih banyak maklumat mengenai Parti." Dia menyambung, "Jangan ingat kalau kita membuat baik, orang yang tidak baik tidak berbuat apa-apa. Bahkan, orang yang berbuat jahat akan sama naik dengan kebaikan yang sedang naik."

Kemas


Sewaktu mengemas pejabat tadi, saya terjumpa beberapa buah buku yang amat berguna. Antaranya adalah buku Sayyed Hossein Nasr, Goerge Berkeley, Robert M. Pirsig dan juga buku kumpulan esei kritikan teori evolusi yang disunting oleh Osman Bakar. Amat mengujakan dan saya segera meminjam salah sebuah buku itu daripada pemiliknya - iaitu bos saya.

Kemudian, saya ke almari-almari yang memuatkan segala buku yang pernah diterbitkan. Saya menemukan beberapa karya Faisal Tehrani, Isa Kamari dan beberapa pengarang besar lain yang tersimpan elok. Terdapat senaskhah novel untuk setiap judul yang pernah diterbitkan. Saya menyelongkar rak berkenaan, dengan niat untuk menyusun novel-novel besar ini supaya kelihatan lebih kemas dan lebih mudah dirujuk.

Terjemah

Tugas pengarang bukan sekadar mengarang sahaja. Dia perlu menterjemah ilmu luar yang baik ke dalam bahasa yang dipakai oleh masyarakatnya. Menterjemah bukan terhad pada bahasa sahaja, bahkan menterjemah ilmu yang ada itu, supaya sesuai dan bermanfaat buat rakan-rakan yang akan membaca karangan itu.

Nikmat

Sungguh nikmat menjadi insan yang tidak tahu.

Apabila menghadiri majlis ilmu, terasa diri ini seperti sebuah bajena yang menganga - menyambut curahan samudera ilmu sang guru.

Nikmat ini, bukan lagi mengenyangkan. Sehabis semua titisan ilmu dihirup - semakin dahaga pula jadinya.

Pada guru, kita datang dengan merendah diri, untuk menangguk mutiaranya yang paling dalam.

Namun, pernah kudengar kata seorang filsuf, bahawa yang datang, dan tahu dirinya tidak tahu, lebih bijaksana dari orang yang tahu itu, walaupun yang tahu itu adalah gurunya.

Kenapa?

Saya berfikir-fikir, sejak sekian lama, setelah saya menjadi graduan sebuah institusi pendidikan - kenapa kita tidak dididik mengenai perkara yang begitu penting dalam kehidupan.

'Kenapa kita tidak dididik mengenai bahagia?' begitulah hati saya bertanya-tanya. Entah ke mana gema jiwa itu melantun.

Eksistensialisme dan Sisyphus


Pada suatu hari, saya menyatakan hasrat kepada Cikgu saya, bahawa saya mahu menulis tentang pertembungan faham eksistensialisme dan faham Islam. Waktu itu, di Pesta Buku dan Cikgu saya sedang kesibukan menandatangani autograf daripada peminat bukunya. Perbincangan kami tersangkak-sangkak, namun tetap berisi.

"Kalau kamu ingin mengarang tentang ekistensialisme," kata Cikgu, "kamu kena memahami falsafah itu dalam-dalam." Dalam bicara Sofa Putih ITNM, Cikgu mengkritik beberapa pengarang Malaysia yang cuba memasukkan faham eksistensialisme ke dalam karya sastera.

Kepercayaan

Kami berbincang mengenai sesuatu yang agak menarik baru-baru ini.

Tidak semua manusia mampu menilai sesuatu dengan baik, lantas mempercayainya. Sudah lumrah alam, mempercayai sesuatu itu adalah sukar. Apatah lagi hendak mempercayai perkara yang benar, yang kadang-kala menduga pegangan dan pahit untuk ditelan.

Jadi, apabila manusia gagal membuat penilaian untuk mempercayai sesuatu, maka dia akan memindahkan kepercayaannya kepada yang lain. Contohnya, mempercayai seorang ahli politik yang akan membuat perubahan dan reformasi kepada negara. Sedangkan, kita tidak membuat penilaian yang betul terhadap kebolehupayaan dan moral beliau. Disebabkan oleh kata-katanya yang memukau dan cita-citanya yang begitu mencengangkan, maka kita tunduk untuk mempercayainya tanpa membuat penilaian. Apabila berlaku salah dan silap kita akan berkata - 'alah, takkan dia silap kot. dia itu tok guru!'

Manusia bukan sahaja memindahkan kepercayaannya kepada manusia lain - tetapi juga memindahkan kepercayaannya kepada makhluk lain. Hantu, misalnya, diangkat menjadi jasad yang menakutkan - supaya kita dipaksa-rela untuk tidak berfikir dan mengkaji sesuatu itu dengan lebih menyeluruh. Hasilnya, kita akan menjadi primitif dan takut akan sesuatu yang tidak kita ketahui.

Dalam perbincangan, kami membuat kesimpulan, bahawa manusia itu perlu memperkukuhkan peniliannya. Di universiti atau institusi pendidikan, manusia itu diajar untuk kuat membuat penilaian dan tahu membuat penilaian yang betul. Kehidupan adalah membuat pilihan. Sudah tentu, kita tidak akan mahu penilaian kita ditentukan oleh orang lain, kerana kita 'percaya' kepadanya - kononnya, dia akan membuat pilihan yang terbaik untuk kita.

Sibuk

Kata bos, dalam bisnes, kalau kita tidak sibuk, kita perlu berasa risau.

Buku But Kereta 1

Kata Richard Booth, raja buku dunia, yang lebih kurang begini, "orang yang mencari buku second-hand adalah pencinta buku yang sebenar. Mereka membeli bukan kerana ego mempunyai duit lebih atau kerana reka bentuk menarik muka depannya, tetapi kerana benar-benar mencari inti dan isi di dalam buku itu."


Buku But Kereta ini bukanlah aktiviti yang dirancangkan dengan terlalu teliti sangat. Namun, idea bernas Kak Norziati sudah tentu perlu dimanfaatkan. Ustaz Abu Ilkiya, dari Indonesia juga menyatakan hasrat untuk bersama kami. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk berkereta ke Putrajaya, berdekatan dengan Masjid Putra dan membuka but sambil mempamerkan buku-buku yang kami ada. Jam 9 malam, kami bertemu di sini.



Saya tidaklah mengetengahkan buku second-hand seperti yang dimaksudkan oleh Richard Booth. Stok yang saya ada adalah buku cerita pendek Dr. Hj Faisal Tehrani (Tiga Kali Seminggu), Salina Ibrahim  (Memaknakan Cinta) dan beberapa naskhah Pramoedya Ananta Toer. Dua judul awal itu masih belum ada di pasaran. 

Akan tetapi, Kak Norziati membawa dua kotak buku second-hand-nya. Ustaz Abu Ilkiya pula membawa buku-buku pemikiran yang menarik dari Indonesia. 




Bertemu dengan peminat tegar buku sudah tentu banyak manfaatnya. Dan manfaat itu berbentuk pengalaman dan buku-buku yang sudah tentu sukar didapati di dalam arus pasaran. Perbincangan kami terarah ke situasi penerbitan di Malaysia, pengalaman menjual buku secara kecil-kecilan dan berkongsi mengenai beberapa judul makalah Indonesia yang boleh dibawa masuk ke Malaysia, seperti majalah Horizon dan Islamia.



Buku But Kereta merupakan inisiatif pertama kami. Jadi, kami berjual-beli sesama sendiri sahaja hari ini. Barangkali kerana di Putrajaya dan di bulatan Masjid Putra ini tempatnya tidak serasi dengan pencinta buku. Dalam perbincangan, kami bercadang untuk membuka but buku di tempat yang lebih meriah dan lebih mudah diakses oleh peminat buku yang mencari judul-judul yang sukar didapati. Sudah tentu, di masa akan datang, pelbagai aktiviti akan kami rancangkan, yakni, bukan sekadar jualan. 

Apa kata, aktivitinya seperti deklamasi puisi dan teh tarik buku - yang sudah tentu mesra dengan peminat buku seperti anda di luar sana. Kami menanti cadangan dan komentar yang membina!

Ribaan

Sungguh
kumencari ribaan
buat menanggung kemahuan
tekanan yang semakin menekan
semahu-mahunya
melepaskan tangisan
yang kian memberat
di dalam jiwa
terempang di mata

11.12.2010

Rekomen

Satu hal, yang saya kira, tak ada pada pengarang - iaitu merekomenkan karya yang mereka karang kepada orang lain.

Kepuasannya ada pada kita, pembaca. Kita puas membaca karya pengarang. Kita juga puas melihat orang lain membaca apa yang kita rekomenkan.

Popularitas

Kami berempat melakukan perjalanan ke utara. Jaraknya amat jauh. Tambahan, sebaik sahaja usai kerja, kami terus mengembara. Jadi, sepanjang perjalanan, kami berganti-ganti pemandu.

Juga, kami bertukar-tukar fikiran.

"Yang bahayanya, apabila orang memikirkan popularitinya: sebagai isyarat kebenaran idea yang dibawanya." Waktu itu, kereta kami sedang memanjat banjaran Kinta.

"Mereka yang mempunyai pengikut yang ramai, merasakan merekalah yang membawa kebenaran. Padahal, tidak semestinya."

"Ada juga terkeliru, idea yang dipegang - dianggap sebagai jati diri mereka. Apabila mereka diajak berdebat, mereka merasakan maruah mereka sedang dipertaruhkan. Ini menyebabkan perdebatan tidak lagi menjadi perbincangan intelektual, sebaliknya, perbincangan penuh emosi. Satu, cenderung untuk merahsiakan idea mereka, kerana takut ia dikritik. Satu lagi, menghadapi kritikan dengan sifat panas baran dan melenting-lenting. Kebenaran tidak akan sampai kalau begini. Kebenaran akan lari."

Setiap seorang dari kami mengutarakan pendapat masing-masing. Sudah tentu, latar perbincangan kami berkisar dengan pengalaman kami di Adelaide, tempat kami bersama-sama mencari ilmu dahulu.

"Aku membenci politik. Aku memilih untuk tidak memilih. Semuanya hendak dipolitikkan. Sampai wujud daie politik. Agama digunakan untuk mendapatkan populariti. Lihat sahaja contoh tempat kita belajar dahulu."

"Kalau tak memilih mana-mana calon, anda tidak layak untuk komplen kepimpinan calon yang terpilih itu. Eh, tahun depan pilihan raya kan?"

"Orang selalu menganggap politik itu sebagai satu-satunya jalan. Ini faham politikisme. Rugi. Kita membazirkan banyak masa untuk itu. Sehingga pendidikan dan ekonomi kita terabai. Pendidikan membentuk pemikiran. Ekonomi menjamin kemakmuran. Politik sepatutnya menentukan kestabilan. Tetapi, politik sekarang, menjadi sebaliknya."

Hujan turun dengan lebat. Kami memandu dengan berhati-hati. Apabila penat, pemandu menyalakan signal dan singgah sebentar di R&R.

Kami mengecilkan tubuh di medan selera. Sebelum itu, kami berhenti sebentar di sebuah kedai menjual pelbagai barangan cenderamata. Tajuk senashkah akhbar menarik perhatian kami. 'Anwar merupakan kurniaan Tuhan.'

Saya teringat-ingat sosok tubuh yang pernah saya ajak untuk perbincangan dan perdebatan intelektual dahulu. Masih aktifkah beliau dalam arus politik mahasiswa, sungguhpun sungai usia tidak pernah berhenti berganjak ke muara? Masihkan beliau mahu melayani sampan yang berkolek ini?

Kebaikan

"Kalau kebaikan itu tidak diuruskan," ujarnya, "ia akan menyebabkan kejahatan pula."

"Contoh?" tanya saya.

"Orang kaya, pergi ke kampung rakyat termiskin. Kemudian, dia berkahwin dengan salah seorang penduduk kampung itu. Bantuan dan sumbangannya, sudah tentu hanya akan berlegar di kalangan keluarga kampungnya itu sahaja. Kamu tentu sudah maklum, pandangan dan reaksi orang kampung yang tidak mempunyai pertalian dengannya."

"Maksud tuan," sambung saya, "tak semua perkara yang kita buat, dan kita rasakan baik itu - adalah baik?"

"Tepat sekali. Ini termasuk persatuan-persatuan yang memakai nama yang baik, tetapi tidak pandai menguruskan kebaikan mereka untuk kebaikan semua. Ini boleh menyebabkan keburukan, pada nama yang baik itu"

"Jadi?"

"Yang paling baik adalah meletakkan kebaikan itu, betul pada tempatnya. Kalau nak mengajar, jangan sekadar mengajar kebaikan, tetapi ajarlah kebijaksanaan."

"Terima kasih," kata saya.

Jambatan menuju ke Pulau Berlian

Malam kami disapa lelaki bermotor dengan kata-katanya 'sre wong sre,' kami sempat berkeliling di bandar Phnom Penh. Pesta Air yang jatuh di malam akhir saya di ibu negeri Kemboja. Orang begitu ramai di bandar ini. Di mana-mana kelihatan motorsikal dan pejalan kaki. Mereka memenuhi kaki lima - berniaga dan berkampung di situ.

"Macet bangat!" kata saya.

Toul Sleng


Toul Sleng. Kawat duri dan pagar zink menyambut saya. Sewaktu saya melangkah, sudah terasa kegerunannya.

"Apa yang menyebabkan bangsa Kemboja menderita?" tanya saya kepada Tuan Mufti Kemboja.

"Kehilangan diri," jawabnya.

"Bagaimana?"

"Semua ulama' dan ahli akademik dibunuh."

Di dalam tempat seksaan ini, banyak gambar bekas tahanan dipaparkan. Daripada 1000 lebih tahanan yang diseksa, hanya 12 sahaja yang selamat sehingga ke hari ini. Penyeksaan fizikal tidak terperi. Rasa ia menggigit-gigit kuku dan tengkuk saya saat melintasi setiap bilik tahanan.

"30 tahun kami kehilangan sistem pendidikan," kata mufti lagi.

"20 tahun dahulu, Kemboja tetap sama. Masih lagi dalam keadaan begini," kata pemandu pelancong.

Saya berdiri di hadapan sebuah album yang dipaparkan di dinding. Kapsyennya tertulis - 'antara ahli akademik yang diseksa di sini.'

Hati saya seperti ditumbuk. Terbayang-bayangkan tanah air.

Selamat Hari Jadi

"Selamat Hari Jadi."

Pernah sekali, hari jadi saya jatuh pada hari raya pertama aidul adha.

Menarik. Waktu itu, orang sembelih tengkuk lembu sambil bertakbir. Kemudian, daging lembu itu akan dilapah dan dipotong. Orang kampung akan berkerjasama untuk memasak sup dan air asam. Kemudian, pada waktu zuhur, seluruh penduduk kampung akan menghirup sup dan mencicah perut lembu dengan air asam.

Waktu itu, saya hanya berkurung dalam bilik. Kunci pintu.

Tak ada orang belikan kek untuk saya.

Tak ada orang berikan hadiah untuk saya.

Merajuk. Orang pergi menyambut lembu, berbanding menyambut ulang tahun kelahiran saya.

Sakit hati. Geram. Sebal.

'Tetapi,' kata satu suara. 'Kita kena gembira, sebab hari ini, hari raya. Allah bagi hari jadi kamu, betul-betul hari raya, hari orang bergembira.'

Daging lembu penuh di meja makan, waktu saya turun ke bawah. Waktu itu, rajuk sudah habis. Tiba-tiba, terbit rasa menyesal. Kalau saya pergi ke surau tadi, sudah tentu hari jadi saya akan disambut dengan meriah. Tiada guna lagi. Hari sudah petang. Orang ramai sudah berjalan-jalan melawat sanak-saudara.

"Selamat hari jadi."

Hargailah orang yang menghargai anda. Biarpun tanpa kek, ataupun hanya dengan daging lembu. Ataupun anda menganggap dia lembu sekalipun.

Pancing


"Wow, besar betul Sungai Mekong! Macam laut," kata saya, sewaktu menaiki pacuan empat roda Lexus, melintasi jambatan di Kampong Cham.

"Lain kali, kalau saya datang," sambung saya. "Saya akan bawa pancing."

"Orang gelakkan kamu nanti."

"Kenapa?"

"Sini orang jala sahaja. Ikan dia banyak sangat."

Sre wong sre

Malam sebelum Pesta Air di Phnom Penh, jalan raya begitu macet. Ada enam konsert yang dijalankan serentak di seluruh kota. Di atas jalan, motorsikal bersesak-sesak dengan pejalan kaki. Saya hanya membonceng, tanpa helmet dan berkeliling kota Phnom Penh.

"Mahu ke mana kita?" tanya sahabat saya yang menunggang motorsikal. Dia memakai helmet. Undang-undang di sini, hanya penunggang sahaja diwajibkan memakai helmet.

"Ke mana-mana. Angin malam," kata saya.

Kami melintasi penjaja cengkerik, kala jengking dan labah-labah goreng. Saya pernah menyatakan hasrat untuk merasainya, tetapi terhalang kerana ia digoreng dengan minyak babi.

Motorsikal kami memecut di atas jalan yang songsang cara pemanduannya kerana pemandu kereta di sini berada di sebelah kiri. Lampu isyarat kami langgar sesuka hati, seperti mana pengguna jalan lain.

Di satu lorong yang agak gelap, diapit oleh dua bangunan tiga tingkat, tiba-tiba ada sebuah motorsikal mengejar kami. Kami memecut, dia juga memecut.

Apabila dia sudah hampir di sisi saya, dia berkata dengan kuat, "Sre wong sre."

Kawan saya memulas minyak dan saya hampir terdorong ke belakang - hampir-hampir jatuh. Kami memasuki jalan utama yang lebih cerah. Di sini, tiada lagi sesiapa yang mengejar dengan motorsikal.

"Dia cakap apa?" tanya saya di dalam deru angin Sungai Mekong.

"Cewek abang, cewek."

"Kemboja?"

"Vietnam lagi cantik."

"Fuh!"

Sre wong sre.

Terngiang-ngiang.

Pendengar

Kadangkala, saya suka duduk mendengar masalah pelanggan yang singgah ke pejabat. Latar mereka rencam. Yang kaya akan bercerita mengenai tidak selesanya duduk di negara sendiri. Yang miskin akan mengatakan betapa susahnya untuk membesarkan anak-anak di tengah-tengah kemelut kehidupan yang tidak pernah berhenti. Masing-masing membawa cerita. Dan, saya hanya duduk di hadapannya, menjadi pendengar dengan setia.

Begitu juga sahabat-sahabat. Menjadi pendengar adalah lumrah, jika kita menjadi insan yang dipercayai. Saya melihat perubahan pada sahabat saya, lantas bertanya soalan yang sangat perlu ditanyakan, "kawan, kau ada masalah untuk diceritakan kepadaku?"

Pragmatisme

Selamat siang,

Hari ini saya menemukan makna yang saya cari-cari selama ini.

Suatu ketika dahulu, saya diberitahu begini, "ahli politik bukan idealis - mereka pragmatis."

Saya mencari-cari maksud istilah pragmatis itu, sama ada ia memikul makna positif atau negatif. 

Ini disebabkan, jika menyelak akhbar perdana tempatan, politikus sering dilabel secara buruk, meskipun tajuk yang menaungi berita mereka - memuji mereka bagaikan nak rak.

Surat buat kawan 1

Kawan,

Apabila kau membaca ini, senangkanlah hatimu. Keadilan akan juga berpihak kepada kita. Hari esok, kita akan bangun dan segar tanpa ada lagi penindasan dan kekejaman.

Kawan,

Cerita ini, adalah cerita biasa yang selalu kau dengar. Ia bermula saat kau menjadi benci mendengar penggera jam setiap pagi dan terpaksa pergi ke kilang dalam kesesakan jalan raya. Ia tidak berakhir, meskipun kau telah pulang lewat malam, untuk membaca warkahku ini.

Kawan,

Tak terasa terasingkah kau? Tak terasa terceraikah batinmu dari kehidupanmu?

Kawan,

Bukankah pekerjaan sepatutnya menggembirakanmu dan mengujakanmu? Bukankah berkerja itu memberikan kepuasan apabila kau merasai kehadiran batinmu di dalam setiap tumpuan dan ketekunanmu? Akan tetapi, melalui cerita-cerita deritamu kepadaku, aku tahu lagi pasti, apa aku persoalkan itu, tidak terjadi dalam realiti kehidupan kerjayamu.

Kawan,

Aku juga sepertimu. Kita juga seperti kebanyakan orang, khususnya yang bergelar pekerja. Pekerjaan, dalam dunia kita duduki sekarang, tidak merealisasikan hakikat manusia yang selalu kita idam-idamkan, melainkan sebuah keterasingan dalam kehidupan.

Kawan,

Dalam dunia kita sekarang, kita tidak lagi bebas mencari diri kita - dalam pekerjaan yang kita lakukan sehari-hari. Ia sudah menjadi seperti perjuangan - bukannya perjuangan mencapai hakikat kebahagiaan. Ia adalah perjuangan untuk mencari secebis rezeki - syarat untuk kita bisa terus hidup.

Kawan,

Ketahuilah, pekerjaan telah mengasingkan dirimu, diriku dengan kehidupan dan kenangan yang pernah kita lalui dahulu.

Dalam dunia ini, aku akan terus memahami deritamu. Walau aku juga sama. Kerana, esok telah ditentukan untuk kita.

Sekian.

Telah pergi ruh kenangan itu


Ya, suatu masa dahulu. Saat saya mula mengenal apa itu erti hidup dan susah payah membinanya. 

Kini, setelah sekian lama meninggalkannya, saya diberi peluang semula untuk menjalani jalan-jalan kecil yang pernah saya celahi.

Bahagia

'Kalau bahagia itu mempunyai dizahirkan, apakah rupa jasmaninya?'

'Bahagia akan mengambil rupa cermin yang jernih.'

'Kenapa?'

'Setiap perkara yang kita lalui sekarang, terasa seolah-olah tiada apa-apa. Namun, hakikatnya, cermin kebahagiaan tetap ada di sini. Kamu hanya perlu mengubah sudut pandanganmu, walaupun sedikit - dan cahaya yang terpantul di atas cermin kebahagiaan, akan bersinar. Bersinar terang, padamu.'

Apa nak jadi?

"Apa hang nak jadi ni?" tanya kawan saya.

"Kita tak akan jadi apa-apa, melainkan tetap manusia," kata saya penuh yakin, waktu saya membentang gebar untuk tidur.

"Habis tu, tidur aja kerja hang?"

Kahwin


Kahwin.

Meremang saya apabila disogokkan dengan persoalan begini. Mentang-mentanglah saya berada di senja usia remaja, maka mereka melobi peluang untuk menanyakan jawapan yang saya kira - panas dan sensasi.

Ya, sememangnya saya sudah bekerja. Meski tetap, namun pendapatan belumlah mencukupi untuk saya membuat sedikit simpanan. Pantas betul masa berlalu, seakan saya tua sebelum masanya. Pernah saya mengungkap kata-kata ini kepada pensyarah geologi saya yang begitu rapat - Alan Collins, sewaktu menuruni Devil's Peak di Banjaran Flinders. Nampaknya, saya belum memberitahunya, bahawa saya tidak lagi berada di dalam aliran kaji bumi, sebaliknya, berada dalam dunia penerbitan - sebuah dunia yang begitu asing lagi mencabar bagi saya.

Petang tadi, sewaktu memasak di rumah bujang, saya memberitahu sahabat serumah. "Kita harus bersyukur."

Mari mula mempersoalkan

Berdasarkan pemerhatian saya, budak-budak adalah generasi yang banyak bertanya, juga mempersoalkan. Namun, pada pandangan saya, apabila kita meningkat dewasa, kita mula kurang bertanya. Kadang-kala, kita membuat kesimpulan sendiri, bahawa kita sudah tahu - lantas, tiada soalan yang perlu ditanyakan.

Bertanya boleh membawa kita kepada penerokaan ilmu baru. Pertanyaan boleh berlaku, baik kepada diri kita sendiri, mahupun kepada orang lain. Pertanyaan juga, kadang-kadang boleh tertinggal sebagai sebuah pertanyaan, atau persoalan - kerana dalam pertanyaan itu sendiri, sudah wujud jawapannya. Misalnya, dalam situasi berikut;

Pancaroba Jakarta

Penat lelah di Jakarta sudah sampai ke penghujungnya. Tidak sangka, sungguh cepat masa yang berlalu. Saya berasa sangat tidak puas menikmati kota raya Jakarta. Mahu sahaja bercuti di sini beberapa hari lagi, jika tiada urusan kerja yang menunggu di tanah air.

Pancaroba Jakarta 4


"Anak-anak senang sekali dengan Upin Ipin," kata pemandu teksi.

Wah, saya begitu bangga! Setahu saya, produk seni Malaysia sememangnya sukar menembus tembok pasaran Indonesia. Namun, apakala terdengar orang Indonesia yang kaya dengan hasil seni dan sastera berkata begini, sudah semestinya, sebagai rakyat Malaysia, ada sebab untuk saya berasa begini.

Pancaroba Jakarta 3

"Bapak, hari ini, orang kerja hanya setengah hari. Sabtu libur. Hari Minggu pun libur," kata pemandu teksi saat kami tersangkut dalam kemacetan Jakarta. Ada orang lalu-lalang melintasi teksi kami. Kedengaran hon di sana-sini.

Pemandu teksi tenang, seolah-olah menjangkakan apa yang sedang berlaku sekarang. Saya lihat ke kenderaan bersebelahan yang bergerak perlahan-lahan seperti kura-kura. Di pembahagi jalan, ada seorang penjaja tauhu sedang menarik gerai berodanya ke tepi. Selang beberapa meter dari penjaja itu, kelihatan pula seorang lelaki membawa sesuatu untuk dijual di tengah-tengah kemacetan trafik.


Pancaroba Jakarta 2


Pemandu teksi mencelahi pelbagai jenis kenderaan. Sekejap ia berada di lorong kanan sekali. Tiba-tiba ia boleh berada di lorong kecemasan.

"Bapak polisi pasti menahan kita kalau guna lorong ini," kata pemandu teksi itu sambil ketawa kecil. Dia membelok ke arah lorong tengah dan jauh di hadapan kelihatan dua buah kereta bertulis 'Polisi' dan beberapa anggota seragam coklat sedang menahan beberapa kenderaan.

Fuh, nasib baik perjalanan tidak tergendala!

Pancaroba Jakarta 1


Masih berderau darah saya. Tugasan yang tiba-tiba saya terima membuatkan debaran tidak mahu surut. Kini, saya sudah berada di dalam pesawat Air Asia, terus ke Lapangan Terbang Soekarna-Hatta. Destinasinya adalah Jakarta. Kota raya yang menjadi saksi kontroversi yang melibatkan dua buah negara serumpun dan sebahasa, Indonesia dan Malaysia.

Saya dan seorang rakan, mewakili delegasi Malaysia ke Pesta Buku Indonesia 2010 yang akan diadakan di Istora Senayan, Jakarta. Senayan, kecut perut apabila saya membaca berita bahawa beberapa hari lepas di situ, ada demonstrasi Sweeping Rakyat Malaysia. Dahulu juga, di hadapan kedutaan besar Malaysia di Senayan, ada tunjuk perasaan Buluh Runcing. Melalui laporan akhbar, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai BENDERA, akan menahan orang di jalanan, untuk memastikan sama ada mereka rakyat Indonesia atau tidak. Saya tidak mahu membayangkan jika saya berada di situ dan terpaksa mengakui bahawa saya adalah rakyat Malaysia.

Pesawat melayang-layang, lalu mendarat.

Kata-kata

Kata-kata

katamu berdiri
dan aksaramu bercerita
tentang syurga
bidadari jelita
menanti di mahligai
di taman-taman indah
mengalir di bawahnya
sungai-sungai


'di sana,'
katamu yakin
'kau akan bahagia'


hari ini
di sini
demi agama
kau berkata mentah
'maaf, aku menolak'


binatangkah aku?


dalam hujan Gombak
1800, 29102010

Tak Payah Sombong Pun Tak Apa


Matahari rembang.

Berpusing-pusing saya mencari tempat meletak kereta. Saya berkata dalam hati, kota yang terbina dengan bangunan yang aneh-aneh ini harus mempunyai tempat meletak kereta yang kondusif dan efisien. Anehnya, walaupun kota ini dikatakan gah seolah kota kayangan, ia tidak pula menyediakan tempat meletak kereta seperti yang sepatutnya. Maka, terpaksalah kereta saya melalui sebuah dataran tar yang berlubang-lubang, mencelahi beberapa kenderaan lain dan terbiar di bawah matahari terik Putrajaya.

Kalau kita sudah membaca


Setelah sekian lama juga saya tidak melemaskan diri dalam seminar. Dan kesempatan semalam, memberi peluang saya untuk kembali hanyut dalam arus yang begitu saya gemari - arus keilmuan.

Banyak manfaat yang boleh dikutip. Sementelah saya juga adalah penagih buku, maka seminar Pencinta Buku seperti itu membekas juga. Saya teruja dengan ahli-ahli panel yang berkongsi pengalaman. Ada daripada mereka penterjemah, penulis dan juga pembaca yang macam saya juga. Saya mewakili lebih kurang dua ratus perserta, ingin menyatakan, bahawa kami benar-benar diakrabi dan dimesrai dengan apa yang dianjurkan oleh tuan rumah. Terima kasih!

Saya begitu meraikan buku, juga mahu meraikan aktiviti ini jika diadakan di masa akan datang.


Kenapa Perlu (Berhenti) Mengarang? 2

Apabila sasterawan dan politikus bertentang, bukan pertentangan zahiri yang berlaku, sebaliknya, keperibadian antara dua watak itu yang terjadi, yakni pertentangan berbentuk batini.

Keperibadian di sini merangkumi apa yang dipakai sebagai sarwa pandangannya, apa rujukan yang selalu digunakannya, apakah bentuk kerangka pemikirannya dan apakah tindakan yang dilakukan terhadap pemahamannya.

Kenapa Perlu (Berhenti) Mengarang? 1

Perbincangan panas. Apatah lagi kalau sasterawan dan politikus digandingkan sekali di dalam sebuah forum, di salah sebuah rumah batu di sebuah bandar. Bicara orang muda. Penuh semangat.

Layakkah seorang pembaca bersuara?

Bagi saya, baik sasterawan atau politikus, kedua-duanya ada idealismenya tersendiri.


Zahiri dan Batini

"Apabila kita menghadap raja, kita memakai pakaian yang cantik-cantik, kemas-kemas. Namun apabila kita mengadap Tuhan di dalam sembahyang, kita mengabaikan pakaian kita."

Kadang-kadang ungkapan dari program sesetengah kumpulan yang so-called Islamik, membuatkan saya berfikir panjang. Almaklumlah, saya tidak suka didoktrinisasi oleh ketaksuban. Kadang-kala, saya menolak semangat ukhwah, kalau ia bercanggah dengan nilai tafakur - yang menyebabkan saya menjadi bebal dan menerima sesuatu bulat-bulat tanpa berfikir panjang atas nama persahabatan. Itu belum masuk dengan parti politik yang kaya dengan slogan, tetapi miskin dengan rasional.

Raya

Sudah raya keenam. Masa pantas betul berlalu. Kini, saya kembali ke Putrajaya, setelah seminggu lebih berada di desa di Pulau Pinang.

Syukur kepada Allah kerana dapat beraya di kampung tahun ini. Perasaan berada jauh dari bandar sememangnya lain. Terutamanya, apabila jauh daripada kongkongan materialisme. Di kampung, bukan material yang kami kejar. Pada hari raya, tanpa mengenal pangkat atau status, kami saling berziarah, mengeratkan semula silaturahim yang terputus sekian lama. Rasa jiwa ini begitu bebas, mengalahkan burung, kerana sayap kegembiraan yang mengepak, tidak terbatas pada dunia syahadah, bahkan terbang melangkaui alam tidak terjangkau dek pancaindera.

Manusia

“Kau tahu, aku rasa, kita kurang menganggap orang lain di sekitar kita, sebagai ‘manusia,’” kata saya. “Terutamanya buat kanak-kanak.” Waktu itu, kami berjalan menghampiri pintu keluar.

“Ya, aku pun rasa begitu. Aku pernah lihat, seorang tua yang menarik kanak-kanak yang sedang bersolat di saf depan, ke belakang, semata-mata dia mahu berada di saf itu. Kau sendiri pun tahu, apa kesan terhadap budak itu bila besar nanti. Kalau budak itu difahami sebagai ‘manusia,’ bukan ‘budak,’ sudah tentu dia akan dilayan seperti ‘manusia’ yang ada hati, ada perasaan,” katanya.

“Betul,betul.”

Masanya sudah tiba

Masanya sudah tiba, adikku. Kini, kau pula menggalas giliran untuk menjadi seorang mahasiswa luar negara. Betapa bertuahnya engkau, terpilih dari kalangan yang terpilih. Menjadi insan, memikul tanggungjawab rakyat dan negara.

Masanya sudah tiba, adikku. Kau akan mengembara di atas tanah yang diasaskan oleh Plato dan Aristotle. Kau juga akan melihat bagaimana sarjana-sarjana Sains di sana, menggelupur cuba membebaskan diri, dari cengkaman gereja - sehingga kebencian terhadap Tuhan dan agama - tertancap kukuh dalam ketamadunan mereka. Juga, kau akan menyaksikan, bagaiman sebuah masyarakat, yang hidupnya dalam agama yang berlainan, yang selalu kita berhati-hati saat bersemuka, sewaktu berada di negara.

Merpati kebebasan


Sekilas aku memandang kenangan di perantuan. Rupanya begitu pantas masa berlalu. Masa berputar sudah hampir setahun. Kemanisan berpuasa dan beramal di dunia sana, semakin lama semakin tawar sejak aku pulang ke sini.

Bila Bumi Kita Rata

Bumi yang rata, kata seorang kawan - fikiran yang maju. Bumi yang bulat pula, katanya - itu benda dahulu, ketinggalan zaman dan lapuk. Bumi yang rata ini, katanya, adalah penanda aras kemajuan negara. Kerana apa, dia bertanya - retorik dan minta aku terus mendengar. Katanya, apabila bumi sudah rata, senanglah dibuat bermacam pembangunan, yakni, dibuang segala hutan tempat jin duduk, diganti pula dengan bangunan-bangunan tempat manusia tinggal. Kalau dahulu, katanya lagi, jika bumi tidak rata, berbukit-bukau, terselindung di bawah pokok-pokok tualang, susah manusia hendak menjalani kehidupan. Berada di dalam hutan begitu, hujahnya, kita ini seolah-olah berjiwa beruk berbadan manusia, yang tertinggal dalam proses evolusi yang dihuraikan oleh Darwin, dalam spekulatif Origin of Species-nya.

60 dan 61

Tagore bersama Einstein.*

Saya menunggu di dalam lori. Rakan saya, bergegas ke pejabat, menguruskan segala dokumen dan surat. Hari ini, saya menjadi kelindan. Teringat waktu saya belajar dahulu, membantu rakan-rakan menguruskan perniagaan. Sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran barang pulang ke Malaysia, dari bumi Australia. Sewaktu malam dingin di Adelaide, kami bertiga memunggah dan menyusun kotak di dalam lori, dari rumah ke rumah. Hari ini, kenangan berulang. Saya bertugas untuk mengangkat kotak-kotak yang dipenuhi buku, dari stor Ameen untuk sebuah pameran di Putrajaya.

Saya menunggu di dalam lori, dengan pendingin hawa yang agak kuat dipasang. Saya memperlahankan kekuatan bunyi radio, membuka beg dan membawa keluar sebuah buku yang begitu lama menemani saya. Ia adalah sebuah makalah puisi yang dihadiahkan oleh pemenang tempat ketiga HSKU 2008 dan 2009 - Norziati Rosman, sempena pertemuan semula rakan-rakan sekelas. Rakan-rakan yang seguru dalam bidang penulisan. Buku ini, katanya amat murah. Dia memperolehinya semasa jualan gudang Dawama di Ulu Kelang. Harganya seringgit. Selepas saya memperoleh buku ini, saya kembali semula ke Dawama Ulu Kelang, memborong beberapa kilo buku, dan tidak lupa, menyambar dua lagi naskhah yang sama - naskhah yang sedang saya uliti, di dalam lori. Satu untuk mengantikannya semula pada Kak Zati dan satu lagi...

Saya berhenti di puisi nombor 60. Fikiran saya tiba-tiba diterpa oleh sebuah bicara, sebelum saya memulakan kembali bacaan. "Puisi Tagore, begitu meruntun pembaca," kata orang yang berbicara dengan saya mengenai keusahawanan dan konsep keuntungan dalam perniagaan, tidak lama dahulu. "Saya amat menyukai The Crescent Moon. Buku puisi yang menceritakan dunia kanak-kanak. Kamu patut membacanya. Lihat bagaimana beliau menjalinkan dunia kita sekarang dengan dunia yang selalu kita kenangkan." Dia memaksudkan Rabindranath Tagore, pemenang Nobel dalam bidang Kesusateraan pada tahun 1913. Bahasa sasteranya adalah bahasa Bengali. Dalam prakata awal buku Gitanjali, buku kumpulan puisinya yang lagi satu, orang Bengali begitu berbangga puisinya dihasilkan dalam bahasa mereka. Naskhah Gitanjali yang sedang saya pegang sekarang, mengandungi puisi yang cukup indah, cukup mendamaikan hati.

60.
di pantai dunia tiada bertepi
di situ datang kanak-kanak berkumpul
langit hening tak bergerak
air yang resah pun bergelora
di pantai dunia tiada bertepi
datanglah kanak-kanak berkumpul
sambil menari dan bersorak riuh

mereka mendirikan rumah-rumah
dari pasir dan bermain-main
dengan tapak lokan yang kosong
mereka anyam kapal dari daun kering
lalu melayarkannya sambil tertawa
di air yang luas dan dalam
kanak-kanak menyatakan permainannya
di pantai dunia tak bertepi

mereka tidak pandai berenang
mereka tidak pandai menebar jala
menyelam mutiara menyelami lokan
saudagar belayar dengan kapalnya
tetapi kanak-kanak mengumpul batu
kemudian membuangkannya kembali
mereka tidak mencari harta terpendam
mereka tidak pandai menebar jala

lautan menerpa sambil tertawa
pucat berkilau senyuman pantai
ombak maut melagukan nyanyian
tiada ertinya bagi kanak-kanak
walaupun hampir sebagai seorang ibu
yang mengayun buaian anaknya
lautan bermain dengan kanak-kanak
pucat berkilau senyuman pantai

di pantai dunia tiada bertepi
di situ datang kanak-kanak berkumpul
taufan melancar di atas langit
kapal tenggelam di air dalam
maut datang berjalan keliling
dan kanak-kanak itu terus bermain
di pantai dunia tiada bertepi
di situ datang kanak-kanak berkumpul

Hari panas di bandar Setapak. Matahari terbit semula selepas semalaman Lembah Kelang ditimpa hujan. Sewaktu monorel melintasi Sungai Kelang pagi tadi, saya sempat melihat paras airnya - sungguh tinggi, juga berombak dalam arus yang laju. Saya melihat ke luar, menanti rakan saya yang masih belum kembali. Kami akan meneruskan perjalanan ke Putrajaya, memunggah kotak dan menyusun buku-buku untuk pameran di Bangunan Persidangan Perbadanan Putrajaya, bermula esok hingga hari Sabtu ini. Saya melihat jam. Jarum saat pantas berlalu. Terasa agak lama saya berada di bandar yang penuh kesesakan ini. Terngiang-ngiang ombak di pantai yang putih berkilau di penjuru sebuah benua, di selatan dunia - pantai dan lautan yang biru di South Australia. Bilakah saya akan kembali kepadanya, menjadi kanak-kanak yang riang, bermain pasir dan berenang bersama ikan lumba-lumba?

61.
kantuk yang turun ke mata kanak-kanak
siapakah yang tahu dari mana asalnya?
ada orang yang mengatakan:
tempatnya ialah di kota bidadari
antara bayangan hutan belantara
antara samar cahaya kunang-kunang
tempat bergantung kembar kembangan
dari situlah turunnya kantuk
datang mencium mata kanak-kanak

senyum yang bermain di bibir kanak-kanak
di waktu ia sedang tidur -
siapakah tahu tempat lahirnya?
ada orang yang mengatakan:
cahaya pucat bulan muda yang menyentuh
tapi awan musim gugur yang menipis
di situlah pada mulanya senyum lahir
di dalam mimpi pagi dibasahi embun -
itulah senyuman yang bermain-main
di bibir kanak-kanak kalau ia tidur

kesegaran yang lunak dan indah
yang melingkari anggota kanak-kanak -
siapakah tahu di manakah ia
bersembunyi demikian lama?
ya di kala ibunya masih seorang gadis
kesegaran itu terletak dalam hatinya
dalam lembut keheningan rahsia kasih -
kesegaran yang lunak serta indah
yang mekar semarak di tubuh kanak-kanak

Saya tersenyum seorang diri, di dalam lori. Saya terasa mengantuk juga, waktu tengah hari begini. Penat otak kerana menterjemah buku daripada Iran. Fikiran saya melayang-layang, entah ke mana. Sekali lagi, saya dibawa terbang oleh angan-angan.

Terjemahan puisi Gitanjali Tagore oleh A Latiff Mohideen, dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, tetap menggetarkan jiwa. Latiff juga merupakan seorang penyair, dan kumpulan puisinya yang terkenal - Sungai Mekong, sering menjadi perhatian bagi peminat puisi. Biasanya, buku-buku terjemahan lama, sekitar tahun 70-90an dari Dewan Bahasa dan Pustaka, amat bagus kualitinya. Mungkin mereka inilah, barisan yang bertungkus-lumus menterjemahkan karya sastera luar, untuk tatapan masyarakat pembaca Bahasa Melayu. Selepas itu institusi bahasa milik negara ini, dipecahkan menjadi badan-badan kecil lain, seperti Institut Terjemahan Negara. Begitu juga bahagian pemasaran bukunya, menjadi Dawama, sebuah syarikat swasta. Saya merindui kualiti buku, isi dan bahasa yang begitu mengagumkan, dari buku-buku baru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya tersengguk-sengguk.Terbayang-bayang alunan ombak pantai Glenelg dan juga West Beach, tempat saya dan Tim belajar belayar. Juga, ada bayangan saya bermain rakit dengan rakan-rakan sekolah, di pantai pelabuhan, di Butterworth. Kami menjala obor-obor dan memancing ikan pari. Zaman yang sudah berlalu, sememangnya begitu indah.

Tiba-tiba, kedengaran pintu terbuka. Terkejut betul rasanya.

Di mana saya sekarang? Saya terpinga-pinga, mencari dunia tempat saya duduki. Oh, rupanya saya masih di dalam lori. Rakan yang memandu tersengih melihat saya termangu-mangu. Saya membuka topi dan menggaru kepala saya tidak gatal.

"Kita bertolak sekarang?"

"Ya," kata saya. "Saya mahu pulang awal ke rumah," kata saya lagi.

*gambar dari Wikipedia

Membuka lembaran semalam

Gambar yang saya siarkan di dalam entri pertama.

Blog. Serasa-rasa, saya sebati dalam arena ini, walaupun saya ini bukanlah seorang blogger sejati. Kadang-kadang, saya selalu mengemaskini halaman ini dengan tulisan baharu. Selalunya, saya meninggalkannya sampai bersawang.

Apabila saya membuka kembali lembaran semalam, terasa agak lama juga blog janjilaxamana ini telah bertapak. Janjilaxamana, di manakah yang saya terilham memberi nama ini? Oh! Saya masih ingat lagi, ketika saya berkunjung ke UTP, melawat sahabat saya, Zambri Zakaria (yang kini berada di Yamaguchi, Jepun), dan waktu itu, beliau membawa saya berjalan-jalan di pekan Ipoh, berkisar di Plaza Yip Fong dan berebut-rebut menaiki bas mini ke Medan Gopeng. Sewaktu kami melangkahi lopak-lopak air yang bertakung di tepi jalan, saya terpandangkan sebuah papan tanda yang agak menarik namanya: Jalan Laxamana. Menarik juga maknanya, apatah lagi cara ejaannya. Di situlah patah kedua blog ini terilham. Tentang istilah 'janji' pula, mungkin entri pertama saya dapat menjelaskan:

Mungkin ini langkah pertama paling jauh, setelah berkali-kali melangkah kehadapan. Paling berjaya hamba kira, paling maju dan paling mara. Harap langkah pertama ini akan menjadi titik tolak untuk perjalanan hamba yang amat jauh lagi.

Seolah-olah, di dalam entri pertama lagi, saya telah berjanji, pada diri sendiri, juga buat pembaca yang setia mengikuti blog ini sejak awal lagi. Jadi, dengan mengarang blog ini, seolah-olah saya sedang menunaikan janji yang saya percaya, tidak akan habis sehinggalah mata saya tertutup buat selamanya.

Tidak dilupakan, buat guru-guru yang tabah mendidik saya dalam membina pemikiran seorang pengarang. Ada sentuhan orang lama, ada ukiran orang yang terkenal dalam bidang penulisan negara. Saya mempelajarinya secara bersemuka, dan terasa keberkatan itu mengalir dan bercahaya. Dan, guru-guru saya yang paling utama, yang tetap tekun membina saya sehingga ke hari ini adalah ahli keluarga dan kawan-kawan yang selalu mendorong dan memberi galakan - mereka yang selalu ternanti-nanti bilalah blog ini akan dikemas kini setiap hari. Kalau mereka suka, mereka akan meninggalkan komentar. Kalau mereka tidak setuju, mereka juga akan meninggalkan komentar. Maklum balas, saya kira, paling penting dalam membentuk gaya yang sesuai buat para pembaca yang mengikuti tulisan seorang pengarang. Pemikiran, bagi saya, perlulah serasi dengan rentak semasa.

Masa seolah pantas berlalu. Semua orang suka mengungkapkan kata-kata itu apabila membuka lembaran semalam yang telah terpahat di dalam ingatan. Blog ini sudah pun berusia empat tahun lebih. Sejak membuka cerita pada tahun 2006, ia masih lagi bertapak dengan namanya yang sama. Saya kira, ada istimewanya meletakkan nama 'Janjilaxamana'. Nama ini seolah menjadi saksi kepada pelbagai kisah yang saya lalui, sepanjang saya melibatkan diri dalam dunia pengarangan siber ini.

Dahulu, alangkah gembiranya apabila ada orang meninggalkan komentar di blog. Tidak dinafikan, waktu mula-mula dahulu, saya mengarang untuk mencari identiti. Dan, orang mengenali saya dengan identiti pengarang blog. Entri-entri awal, saya kira, mungkin kurang matang dari segi kupasan. Namun, di situ, terselit cita-cita yang melangit tinggi. Alangkah seronoknya apabila blog ini dikunjungi oleh orang besar dalam bidang penulisan dan komennya ditinggalkan pula untuk entri. Kembang betul hidung ini, apabila kawan-kawan mengungkapkan kekaguman terhadap perhatian yang diberi, oleh penulis terkenal negara itu, terhadap blog 'Janjilaxamana.'

Pengarangan, saya kira, seiring dengan kisah suka duka kehidupan. Siapa yang tak pernah melalui kisah duka. Blog ini seakan perahu kecil yang sama menyusur mengikut arus dan gelombang kehidupan itu. Saat saya karam, saya juga masih tegar mengarang, meluahkan apa yang tersiat di jiwa. Hati yang patah, kekecewaan, terkilan, penolakan dan banyak lagi, saya kira, terjelma ke dalam karangan-karangan saya di dalam blog. Orang yang tajam sensitivitinya akan mengesani, bila saya berduka dan tenggelam dalam air mata. Penulis tidak akan pernah lekang dari sengsara jiwa dan derita fikiran.

Kadang-kadang, ketika kehidupan ini menyusuri sungai yang mesra arusnya, akan terjelma pula cerita-cerita penuh kesyukuran dan kenikmatan. Blog ini ibarat perahu yang melalui sebuah sungai yang di kiri dan kanannya terdapat buah-buahan yang manis, yang gugur jatuh ke dalam perahu. Saya akan mengambilnya, sehinggalah penuh perahu. Apabila saya singgah di pelabuhan, saya akan berkongsi kurniaan Tuhan yang lazat ini, buat mereka yang sudi singgah ke teratak kecil saya untuk sama-sama dikongsi.

Adapun cinta, saya kira, mendasari semangat saya untuk mengarang. Cinta yang pelbagai rasa. Pedih. Pilu. Bahagia. Gembira. Saya diberi peluang untuk melalui pelbagai kutub perasaan yang dahsyat dan menarik itu. Tanpa cinta, tangan ini tidak akan gatal. Tanpa cinta juga, saya kira, tak sanggup saya mendepani kritkan-kritikan pedas dan menyakitkan hati dari anonymous, yang tidak pernah menunjukkan siapa gerangan dirinya. Dengan cinta, saya cuba bertahan, sehingga ke hari ini, untuk mengarang, walaupun saya dapati, blog ini sudah kurang pengunjungnya.

Hasrat yang besar untuk berkongsi, saya cuba terjemahkan. Apabila perkongsian itu meningkat menjadi keprihatinan dan teguran, terpaksalah saya berbalas hujah dan menulis panjang-panjang tentang apa yang saya fikirkan dan apa yang patut saya katakan. Terasa berdosa pula jika menyembunyikan kebenaran yang saya ketahui, atau menutup mulut sahaja apabila melihat kerosakan berlaku di depan mata. Namun, seperti kata seorang teman yang akrab, "pandai cakap, pandai tanggung." Saya diberi peluang oleh Allah, untuk menanggung akibatnya. Saya kehilangan kawan. Agak ramai juga, terutamanya dari fikrah yang berbeza. Saat indah bersama mereka, selalu tergambar di dalam ingatan. Alangkah indah, jika masa itu dapat berulang kembali.

Namun, di sebalik itu semua, saya temui kawan yang sejati dan setia. Mereka ini, sampai sekarang, berpimpinan tangan dengan saya, untuk mempertahankan kebenaran dan cuba memberi kesedaran, walau apa jua cara yang boleh dilakukan. Apa yang diterbitkan di sini, saya kira, itulah apa yang saya pegangi untuk mendepani kehidupan ini.

Dari hari ke hari, melihat kehidupan yang semakin sampai ke penghujungnya, saya kira, tak rugi saya bermuhasabah. Tak guna kalau terus-terusan menulis, sampai tidak tahu hujung pangkalnya. Tambahan pula, blog ini tiada editornya. Yang menulis, yang menyunting dan yang menerbitkan, adalah blogger itu sendiri. Silap-silap, dia jugalah satu-satunya pembaca, dan memberi rating sendiri untuk entri yang diterbitkannya.

Buat pembaca yang setia, ambillah pengajaran daripada apa yang telah anda saksikan selama ini. Saya ini cuma makhluk. Asbab untuk kudrat yang Maha Agung. Kalau yang baik itu, jadikanlah pakaian. Yang buruk itu, jadilah teladan. Saya di sini, tidak pernah menutup pintu untuk para tetamu, berkunjung dari penjuru dunia manapun, untuk memberi nasihat, menegur dan menunjukkan panduan, supaya hidangan karangan yang sama-sama kita sediakan ini, bermanfaat, untuk zaman-berzaman.

Blog, usaha kecil kita dalam membina dan mempertahankan, ketamadunan Nusantara, dalam dunia pasca-modernisme, yang kehidupannya, semakin kelam dari cahaya.

Pemerasan

Situasi yang berlaku sebentar tadi

Lewat. Kalau anda pengguna kenderaan awam, terutamanya bas, kelewatan merupakan satu perkara yang sepatutnya menjadi kebiasaan.

Petang tadi, bas yang membawa saya pulang dari hab bas Pasar Seni ke Putrajaya terlewat lima belas minit. Dalam lima belas minit tersebut, kami diuji dengan pelbagai macam cabaran.

"Selalu ke bas lewat macam ni?" tanya seorang penumpang yang baru dua atau tiga kali pulang dalam trip ini. Biasanya saya mengecam setiap seorang wajah penumpang bas E1 ini. Muka-muka yang sama sahaja.

"Taklah selalu sangat," saya cuba memberi ulasan positif, dengan niat mahu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam, terutamanya orang yang baru begini.

Sejak jam 6.20 lagi, para penumpang telah berdiri dan beratur. Masing-masing mahu mendapatkan tempat duduk di dalam bas, jadi kami sanggup bangun dari tempat menunggu bas, merebuti tempat yang terawal di dalam barisan.

Sebuah bas yang baru tiba menderam-deramkan enjin. Asap hitamnya berkepul-kepul keluar.

"Kalau bas lewat waktu pulang kerja, tak apa. Kalau waktu pergi kerja, susahlah," katanya. Sudah semestinya menyusahkan, kata hati saya. Mahu sahaja saya mengungkit beberapa kes bas yang lewat bertolak dari Putrajaya Sentral. Saya tiba di ofis setengah jam lewat dari waktu masuk, gara-gara bas yang tiba lambat, gara-gara pemandu yang tidak bergegas dan tidak kelihatan bersalah, dan gara-gara jalan yang sesak. Semua ini saya hadapi dengan sabar dan tabah selama lebih 5 bulan, berulang-alik dari Putrajaya ke Setapak, menggunakan perkhidmatan awam ini.

Saya hanya mendiamkan diri. Teringat pada tulisan Syed Hussein Alatas, yang bukunya saya beli ketika pesta buku dahulu, dengan harga yang sangat mengagumkan - amat berpatutan untuk makalah akademik yang begitu hebat. Di dalam prakata edisi kedua di dalam buku ini, yang ditulis oleh anak beliau, Syed Farid Alatas, terdapat huraian mengenai kapitalis semu. Menurut Yoshihara (1993), kapitalis ini dirujuk kepada kapitalisme tanpa teknologi, tetapi dalam huraian lanjutan, 'semu' juga memikul makna 'palsu,' 'tidak tulen' dan 'tidak sejati.' Ini kerana, kapitalis ini wujud tanpa sifat keusahawanan - yakni tidak mempunyai rasa untuk melabur kembali keuntungan mereka, tidak melihat dan mencari pasaran baru, dan tidak menawarkan sesuatu yang baru. Mereka ini, kapitalis semu ini, mereka hanya bergantung kepada negara untuk pelbagai bentuk bantuan - dana, insentif, konsesi, biaya, tajaan, dan tender dengan kerajaan.

Dan apabila merasai keadaan ini di hab bas Pasar Seni, saya dapat merasai kesan ketumpulan semangat usahawan, yakni untuk menambah baik kualiti servis yang diniagakan. Kelambatan dan penungguan penumpang di tengah kabut beracun seolah-olah menjadi satu 'harga' yang perlu dibayar untuk mendapatkan perkhidmatan awam yang kononnya murah dan menjimatkan.

Dalam teori keusahawan, petanda kejayaan sesebuah syarikat adalah apabila berjaya memperoleh keuntungan dalam perniagaannya. Sudah tentu, sikap yang mencerminkan keunggulan syarikat menjadi tonggak utama kejayaannya dalam memperoleh keyakinan pengguna untuk menggunakan produk dan perkhidmatannya. Dan sikap utama dalam penilaian keunggulan adalah: Syarikat itu tidak akan menerima keadaan yang sedia ada dan berusaha memperbaiki keadaannya. Seterusnya, syarikat itu menilaikan prestasinya berdasarkan meritokrasi - iaitu setiap pengeluarannya adalah berada pada tahap yang optimum, kos yang dijimatkan dan pulangan yang memberangsangkan.

Lama juga saya melayangkan fikiran, sehingga bas yang ditunggu sekian lama tiba. Bas ini, tidak melalui lorong yang sepatutnya, mencelahi bas-bas yang lain dan terus bergerak ke hadapan. Kami yang beratur di bawah bumbung terpaksa berhimpit di antara dua bas untuk masuk ke pintu. Malangnya, pintu untuk masuk ke dalam bas tidak dibuka dan kami menunggu dengan penuh seksa dan membahayakan diri diapit oleh dua jentera yang boleh meremukkan tulang-belulang.

Mungkin inilah harganya apabila sebuah perusahaan yang dibina, bukan atas semangat keusahawanan. Ia dibina atas niat untuk memperoleh sokongan lima tahun sekali. Apabila prasarana sudah wujud, maka akan terjadilah pelbagai masalah yang tak sudah-sudah.

Sepatutnya, apabila wujudnya prasarana, kos akan dapat dikurangkan dan keuntungan dapat digandakan. Namun, prasarana yang wujud, seperti menjadi sebuah pemerasan untuk memeliharanya. Sudah tentu, kos pemeliharan ini akan meningkat dari tahun ke tahun. Dan saya bukannya mengatakan kos itu sekadar wang yang perlu dibayar untuk membaiki itu dan ini; bahkan ia meliputi masa, tenaga dan alam sekitar. Apabila sikap keusahawan tidak mendasari penubuhan sebuah syarikat, apatah lagi syarikat itu menyediakan perkhidmatan untuk orang awam, maka rakyatlah yang tersepit. Terhimpit antara kenaikan harga barang dan pemerasan tenaga, masa dan jiwa untuk sebuah sistem yang dibina sebagai 'pencuci tangan' dan 'aku sudah membawa kemajuan.'

"Ini bukan situasi yang biasa," kata saya kepada rakan yang baru saya kenali itu. Mahu menabur benih motivasi kepadanya, untuk terus bersabar, menggunakan perkhidmatan awam, yang dapat membantu alam dengan mengurangkan pengeluaran karbon.

Wajahnya, sudah tentulah masam mencuka. Jarum saat seolah bergerak lambat dari biasa. Udara dari enjin berbahang dan  hawa diapit kedua-dua jentera, begitu panas sekali.

Pintu akhirnya dibuka oleh pemandu yang sudah lama berada di dalam perut bas sejak tadi. Kami masuk ke dalam bas - keletihan dan berebut-rebut mendapatkan tempat duduk. Dua tiga orang penumpang dari Timur Tengah memasang lagu Arab menerusi speaker lantang telefon bimbitnya. Hanya mereka sahaja memahami inti lagu tersebut. Sedang kami, termenung melihat ke luar, sewaktu melalui Jalan Sungai Besi di hadapan Istana - merenung nasib negara, di tengah kesesakan jalan raya.

Kenderaan awam


Hari ini, hari Sabtu. Dua hari selepas kerajaan menaikkan harga lima benda; minyak, gula, LPG, diesel dan gas. Sehari sebelum itu, saya memberi sedikit perkongsian positif mengenai konsep 'harga' dan 'keuntungan'. Di dalam entri tersebut, saya ada sebutkan beberapa kriteria sebab apa harga sesuatu barang, terutamanya barang keperluan seperti air, perlu dibayar dan bukannya diperoleh secara percuma. Tetapi, di dalam entri tersebut juga, saya ada menyebut tentang kualiti servis dan kepuasan pihak pengguna - sehingga pengguna sanggup mengeluarkan wang untuk membayar sesuatu.

Kenaikan harga minyak, saya kira akan membuahkan reaksi berantai. Selepas ini, barang-barang keperluan lain juga akan meningkat kerana kos pengangkutan juga telah bertambah. Bukan apa. Usahawan juga mahu mengekalkan dan meningkatkan graf keuntungan dari tahun ke tahun, selari dengan peningkatan kos, dan pada masa yang sama, kualiti servis perlu dijaga juga. Takkan servis yang baik (atau boleh tahan) sebelum ini, dengan bayaran sekian-sekian, merosot kualitinya kerana peningkatan harga minyak yang tiba-tiba?

Apabila kita berbicara tentang minyak, kita juga berbicara tentang kenderaan. Kenderaan awam tidak terkecuali dalam hal ini.

Kenderaan awam, merupakan suatu perkara yang asasi buat sebuah bandar yang urban, seperti Kuala Lumpur. Saya pengguna kenderaan awam yang tegar dan secara puratanya, saya menghabiskan masa 4 jam sehari di dalam kenderaan ini - berulang-alik dari Putrajaya ke Setapak. Jadi, saya mempunyai banyak masa untuk memerhatikan tiga syarikat yang saya langgani perkhidmatannya iaitu: RapidKL (bas, LRT), Len Seng Sdn Bhd (bas merah putih) dan Nadi Putra (bas di bandar Putrajaya).

Secara kasarnya, bolehlah dikatakan saya sekadar menerima sahaja servis awam yang saya gunakan sekarang. Jadi, kalau pihak kerajaan mahu membuat kempen menggunakan kenderaan awam selepas ini, saya jangkakan mungkin hanya 5-10% pengguna kenderaan peribadi akan beralih menggunakan kenderaan awam. Selebihnya, mungkin menerima hakikat bahawa harga minyak sudah naik dan terpaksa berbelanja lebih.

Harga pengangkutan awam mungkin jauh lebih menjimatkan, cuma kos masa pula terpaksa dilaburkan. Bagi pengguna kenderaan awam yang bijak memanfaatkan masa menunggu, ini tidak menjadi masalah. Cuma macam saya, pelaburan begini, setelah sekian lama, dilihat tidaklah menguntungkan sangat. Letih dan stress. Sudah semestinya tidak baik untuk peningkatan modal insan. Pengguna kenderaan awam juga merisikokan kesihatan mereka ketika menunggu di hab bas Pasar Seni dengan menyedut hampir satu kilo habuk setiap hari.

Pada pandangan saya, status kemajuan sesebuah negara itu boleh diukur daripada keberkesanan servis kenderaan awam yang digunakan oleh rakyat. Selain daripada bahan-bahan penerbitan, mutu siaran media elektronik, hinggalah pembinaan kampus universiti, kenderaan awam memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan rakyat ke tempat kerja setiap hari. Dan seperti kita tahu, rakyat yang menceburi industri itulah yang akan menyumbang kepada pendapatan negara, baik dari segi ekonomi atau sosio-politiknya. Negara maju contoh adalah Jepun, di mana pengangkutan awam (keretapi bawah tanah) yang efisien, digunakan secara meluas oleh rakyat untuk ke tempat kerja atau ke mana-mana.

Suka saya kongsikan petikan Syed Hussein Alatas, dalam bukunya yang lain: Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi. Salah satu petikan Garrigues di dalam buku ini agak mengujakan. Antara lain, beliau menyebut bahawa, terdapat sesetengah pihak dalam kerajaan yang menyediakan banyak prasarana dan kemudahan material - seperti gedung-gedung awam, dewan bandaraya, pejabat pos, kaki lima, lampu lalu lintas, rumah sakit, empangan, perparitan dan sebagainya (termasuklah pengangkutan awam) - tetapi memajukan semua itu bukannya untuk meningkatkan kesejahteraan awam, melainkan hasrat untuk melakukan rasuah (Charles H Garrigues, 1936. You Are Paying for It!)

Inilah yang saya gusarkan. Perkhimatan awam seolah-olah 'pengabdian seorang pengguna kepada sebuah syarikat perkhidmatan.' Pengguna tidak berpeluang secara terbuka untuk memberi maklum balas kualiti kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Jika terdapat masalah dan kemerosotan kualiti servis, pengguna keliru kepada siapa hendak diadukan. Malah, jika aduan dibuat secara terus kepada pemandu atau penunggu di pejabat kecil bas, mereka akan diberi balasan jawapan yang buruk dan dimarahi.

Sepatutnya, sebuah prasarana yang terbina dengan niat 'meningkatkan kesejahteraan awam,' sudah pasti mempunyai sistem maklum balas pelanggan (seperti yang dilaksanakan ISO 9002), atau paling tidak pun, menghala ke arah itu. Servis sepatutnya semakin hari semakin bagus kualitinya dan semakin ramai pengguna menggunakannya. Pengguna awam akan semakin sejahtera dan gembira menggunakannya.

Sebaliknya, apa yang saya perhatikan setakat ini, pengguna menghadapi kesukaran untuk melaporkan kelewatan bas dan kesombongan pemandu dan pekerja syarikat bas. Takut-takut, pembinaan prasarana kenderaan awam ini adalah kerja lepas tangan pemerintah dan manipulasi kesempatan oleh satu atau dua pihak. Selepas servis ini 'diadakan dari tiada,' pihak berwajib seolah-olah menganggap mereka telah melangsaikan tanggungjawab mereka untuk 'menyediakan prasarana' dan tidak perlu lagi 'menjaganya agar sempurna sepanjang masa'. Pandangan pengguna tidak diambil kira, dan kalau adapun, mungkin amat jarang diberi perhatian.


Servis kenderaan awam, secara fitrahnya, perlu dipantau dari hari ke hari, sungguhpun di Kuala Lumpur, terdapat 1 syarikat besar yang memonopoli. Saya kira, dengan 1 syarikat tunggal ini, pengurusan bas dan latihan etika pemandu dapat diuruskan dengan lebih mudah. Namun, saya lihat, syarikat kecil seperti Leng Seng Sdn Bhd, yang masih menggunakan bas lama (yang pernah dikritik kerana mencacatkan pandangan kota KL), menyediakan servis yang lebih kerap dan pemandu yang lebih mesra.

Bagi pihak pengguna, mungkin penubuhan 'Persatuan Pengguna Bas (atau pengangkutan awam yang lain)' merupakan sebuah inisiatif untuk meningkatkan keselesaan dan kepuasan menggunakan perkhidmatan awam. Seharusnya, persatuan sebegini bukannya untuk menjadi 'pressure group' kepada syarikat kenderaan awam, sebaliknya, kita sebaiknya menjalinkan hubungan yang akrab dengan mereka. Pengguna dan pemandu ibarat rakyat dan pemimpin. Kita bukannya bertugas untuk menekan pemimpin. Dan pemimpin juga tidak ditugaskan untuk menyusahkan rakyat dan membuatkan diri mereka dibenci.

Akhir sekali, ingin saya utarakan petikan Syed Hussein Al-Attas dalam bukunya, Intelektual Masyarakat Membangun, dalam petikan kertas kerja seminar tentang Integrasi Nasional. Berikut adalah petikannya:

Seorang menteri mungkin bukanlah orang pandir dalam bertindak sebagai ketua keluarga, tetapi boleh menjadi pandir apabila memimpin kementeriannya. Orang pandir, seperti halnya kaum intelektual, dapat juga merupakan kelompok yang berpengaruh. Jika mereka mengendalikan pusat saraf ketertiban sosial dan politik kita, maka hal ini akan memakan waktu yang lama untuk menggantikannya, kerana kecenderungan mereka untuk berkembang biak lebih kuat daripada yang dapat dilakukan oleh intelektual untuk menyainginya, kerana syarat-syarat yang diperlukan bagi perkembangannya mudah diperoleh dan dikerjakan.

-Syed Hussein Alatas, The Concept of National Integration, University of Malaya Student's Union, 25-26 Mei 1968, KL.

Mungkin inilah sedikit sebanyak kupasan saya di malam minggu. Saya berpesan kepada diri, dengan kenaikan harga barang ini, saya seharusnya melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan mencari ruang untuk meningkatkan potensi diri. Masalah ini, bagi saya, diselesaikan dengan kepandaian. Bukan sekadar tunjuk perasaan di jalan raya dan menyusahkan orang lain pula.

Untung 2


Kemudian, perbincangan kami diteruskan lagi. Saya bertanya lanjut, apa kena mengena dengan persoalan air dan keuntungan?

"Sebenarnya," katanya dengan penuh yakin, "Persoalan ini bukan persoalan politik. Ini adalah persoalan sikap. Ini juga persoalan keusahawanan." Saya mencatat apa yang dikatakan di dalam kepala, tidak mahu ketinggalan walau satu isi. "Cuba kita lihat dari sudut syarikat, yakni usahawan yang membekalkan air tersebut."

"Apabila kita menghasilkan perkara yang diperlukan rakyat, kamu rasa ia adalah satu bentuk kebaikan atau kejahatan?"

Persoalan mudah. Namun, kalau soalan ini memerangkap, saya akan dipaksa untuk tunduk pada kesimpulan yang barangkali saya tidak setuju. Jadi, saya mendiamkan diri, mendengar apa lagi yang ingin dikatakannya.

"Sudah tentulah," katanya, "menghasilkan perkara yang diperlukan orang ramai itu adalah satu bentuk kebaikan."

Dia menyambung bicara, "dan, untuk menghasilkan sesuatu, bukannya percuma. Ia memerlukan usaha. Ia memerlukan pelaburan. Syarikat yang menguruskan pembekalan air itu misalnya, perlukan modal untuk menyediakan servis yang bagus. Kamu tahu apa petanda kualiti servis sesebuah syarikat pembekalan air?"

Saya menadah telinga sahaja, langsung tidak menjawab atau menyampuk kata-katanya.

"Air yang dibekalkan adalah bersih, boleh diminum dan tidak memudaratkan. Tiada catuan dan penyelenggaraan untuk sebarang kerosakan dilakukan dengan cepat." Mata kami bertembung. "Dan untuk semua itu, sudah tentu ia mempunyai harga. Untuk memperoleh servis yang baik begitu, rakyat perlu mengeluarkan wang untuk membayar harganya. Seterusnya, dengan ini, air akan menjadi sesuatu yang berharga. Apabila rakyat terpaksa membayar harga untuk air, kamu rasa pembaziran akan berlaku?"

Saya mengangguk, menyetujui rasional yang dibentangkan dalam bentuk persoalan. Di dalam kepala, saya membayangkan tangan saya sedang menconteng kertas putih. Di atas helaian kertas imaginasi itu tertulis, 'Pembaziran dapat dielakkan. Kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan. Harga yang dibayar akan disalurkan buat menampung penyelenggaraan dan penghasilan sistem rawatan air yang lebih baik.'

"Hakikatnya sama sahaja untuk apa jua cabang perniagaan. Baik industri minyak, industri penerbitan atau industri perkhidmatan," ujarnya. "Apa pandangan kamu, kalau sekarang saya katakan bahawa keuntungan itu sebenarnya adalah bentuk keberkatan daripada perniagaan yang diusahakan."

"Bagaimana?" barulah saya berani bertanya. Saya semestinya gemar mendengar perkara metafizikal ini - terutamanya hal keberkatan. Tiba-tiba, dalam fikiran, terdengar perkataan 'keberkatan' ini disebut dengan penuh sarkastik. Ia seolah berpunca daripada sebuah program televisyen yang kabur-kabur visualnya di dalam ingatan. Saya berdehem. Di dalam fikiran, saya cuba menyingkir jauh-jauh ejekan terhadap 'keberkatan' yang merupakan sebuah anugerah dari Allah yang tiada taranya untuk manusia. Lebih baik mengosongkan otak untuk pengisian yang sedang saya tekuni ini.

"Sebuah bisnes, yang mampu bertahan dan pada masa yang sama, memperoleh keuntungan secara konsisten dan keuntungan itu meningkat dari tahun ke tahun, bagi saya, sudah tentu mendapat apa yang dimaksudkan dengan keberkatan itu. Kalau tak salah saya, sebuah kata-kata hikmah, atau mungkin kata-kata baginda Nabi sendiri, yang menyebut bahawa perniagaan itu adalah 90 peratus punca rezeki. Nah, kalau 90 peratus rezeki adalah kerana berniaga, takkan di dalam kurniaan itu tidak ada keberkatan?"

Dia meneruskan perbicaraan, "Untuk memperoleh keuntungan, bayaran kos perlu dibereskan. Pulangan daripada pelanggan, tolak kos pengurusan dan modal produk dan bakinya adalah keuntungan. Contohnya, seorang pelanggan yang membelanjakan sepuluh ringgit untuk sebuah buku, kos menghasilkan buku, termasuk pembayaran royalti penulis, kos penerbitan, kos staf syarikat dan kos cukai tahunan adalah lapan ringgit. Dua ringgit yang baki itu adalah keuntungan yang diperoleh oleh syarikat. Nah, ini kira-kira yang mudah kan! Tapi, cuba kita fikirkan, kalau orang yang sama, setiap bulan, sanggup mengeluarkan wang untuk membeli siri buku daripada syarikat penerbitan yang sama. Setiap bulan, syarikat itu memperoleh rezeki sebanyak dua ringgit, secara konsisten. Malah, dengan menjual buku, bukan sahaja syarikat penerbitan itu mendapat untung, bahkan penggunanya juga akan mendapat ilmu. Jadi, kedua-duanya mendapat keuntungan, untuk dunia dan akhirat tentunya. Bukankah itu satu bentuk keberkatan?"

Saya mengerut dahi. Cuba memahami apa yang dikatakannya itu dengan lebih mendalam.

"Begini. Tadi saya kemukan contoh yang baik," katanya, apabila melihat saya mengurut dagu. "Contoh yang tak baik pula begini. Katakan seorang penjual dadah. Dia menjual dadahnya kepada penagih dan memperoleh untung yang berlipat kali ganda. Menjual dadah, seperti yang kamu tahu, salah di sisi undang-undang. Juga, ia mendatangkan mudarat yang lebih. Kalau kita kata keberkatan itu hanya terletak pada keuntungan berlipat kali ganda pada sebelah pihak, ia tidak tepat sebenarnya. Ini kerana, si penjual dadah ini bukan sahaja merosakkan masyarakat. Dia juga sebenarnya membahayakan tengkuknya untuk tali gantung. Bisnesnya terpaksa dijalankan secara rahsia. Dia sendiri pun dihantui oleh polis dan penyiasat, juga pesaing-pesaing yang terdiri daripada penjenayah. Kehidupannya penuh ketakutan. Dan, kesimpulannya, perniagaannya itu, tidak ada keberkatan. Silap-silap, baru pertama kali berniaga, sudah ditangkap dan semua perniagaannya terpaksa bungkus."

"Begini," akhirnya saya menyampuk. "Biar saya pula sambung, mungkin tuan boleh tengok, sejauh mana pemahaman saya."

"Boleh, boleh, boleh. Silakan."

"Keuntungan, akan menjadi satu keberkatan apabila produk yang dihasilkan itu, diterima dengan baik oleh pengguna dan memberi kebaikan kepada pengguna juga. Keuntungan yang konsisten dan sebuah syarikat yang mampu bertahan bertahun-tahun dalam belantara perniagaan juga, boleh dikatakan memperoleh keberkatan. Ia termasuk juga dalam perniagaan servis dan perkhidmatan. Servis yang bagus, akan meningkatkan kepercayaan pengguna dan pengguna sanggup untuk mengeluarkan duit yang lebih untuk mendapat khidmat yang memuaskan hati. Itu juga satu bentuk keberkatan."

"Betul, betul, betul," katanya, tersenyum dan bersemangat. "Seperkara lagi, eh, izinkan saya menambah perencah pada hidangan pandangan kamu!"

"Sila, sila, sila." Saya mengajuknya. Kami ketawa.

"Macam saya kata sebelum ini, membazir merupakan amalan syaitan. Apabila pengguna atau rakyat terpaksa membayar lebih untuk servis yang bagus, secara tak langsung kita dapat mengurangkan amalan syaitan itu. Namun, dengan harga yang perlu dibayar itu, perlulah setimpal dengan apa yang mereka dapat. Jika tidak, keuntungan hanya berpihak pada syarikat. Dan, jika ini berlaku, tunggulah apa akan terjadi dalam pilihan raya nanti."

Saya tersenyum. Nasib kerajaan negeri dan kerajaan pusat terletak apa yang mereka lakukan sepanjang lima tahun pentadbiran mereka. Rakyat boleh membuat pilihan. Dan sudah tentu, Allah berkuasa menarik kembali keberkatan bila-bila dikehendaki-Nya.

Saya terasa puas mendengar penerangannya.

Tahu tak dengan siapa saya bercakap ini?

Anda tekalah sendiri.

Untung 1


Tak salah kalau menjadi kapitalis kalau kena pada tempatnya. Dalam erti kata lain, tak salah kalau kita meletakkan harga yang tinggi, kalau ada pelanggan yang sanggup untuk mengeluarkan wang, membayar sesuatu produk dan perkhidmatan yang mahal harganya. Walapun dari satu sudut, pengeluar dapat mengambil kesempatan atas keperluan dan kehendak pengguna, namun, tak salah baginya untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda, jika ada pengguna sanggup berkorban untuk mendapatkannya.

Untung. Dahulu saya jengkel dengan perkataan ini. Dahulu saya ingat, semua kekayaan dan hasil yang diperoleh daripada titik peluh perniagaan, perlu diagihkan secara sama rata kepada semua rakyat jelata. Setiap orang mempunyai hak yang sama dan pengagihan harta dalam sesebuah negara perlulah dilakukan dengan saksama. Orang yang berniaga, yang memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda, perlu dikawal oleh pihak kerajaan agar mereka tidak menindas golongan pengguna, yang terpaksa atau dipaksa mengeluarkan wang yang banyak demi memenuhi tuntutan hidup. 

Misalnya, air. 

Dahulu, saya kira, air perlu diberi percuma kepada setiap orang. Yang patut membayar segala kos penyelenggaraan adalah golongan usahawan yang memperoleh keuntungan berlipat kali ganda itu. Keuntungan yang diperoleh dengan menjual perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat tidak boleh dimakan sendiri. Ia adalah milik semua, milik rakyat jelata, kerana mereka bermain dengan bisnes keperluan asasi manusia. Tanpa perkhidmatan pembekalan air yang terurus, manusia di Lembah Klang akan minum air dari Sungai Kelang tanpa dirawat. Itu apa yang saya fikirkan dahulu.

Kini, saya membuka mata untuk melihat situasi sebenar rakyat. Rakyat masih lagi berkurang ajar di tengah jalan raya. Rakyat masih lagi sanggup untuk menonton televisyen dan wayang yang dipenuhi cerita tahyul dan untuk orang yang bercita rasa rendah. Rakyat dimomokkan dengan politik yang entah ke mana halanya dan tindakan yang bebal-bebal belaka. Rakyat masih lagi dibelenggu oleh beberapa pertubuhan yang kononnya mahu membela, namun akhirnya menyebabkan masalah perkauman yang semakin meruncing dan berbahaya. Rakyat masih lagi tidak sedar, bahawa mereka sebenarnya hidup dalam longgokan sampah dan tidak pernah berasa mahu keluar untuk menghirup udara yang segar bugar di luar kepompong ini. Hakikat ini berlaku, bukan sahaja di Malaysia, malah di mana-mana pun penjuru dunia.

Dahulu, menjadi seorang yang idealistik adalah sangat mudah. Berdemo, membawa sepanduk, menjerit di jalanan dan menghadiri ceramah anti-kerajaan memang sangat mudah dilakukan. Namun, apabila terpaksa menjadi idealis yang realistik, barulah kita tahu bagaimana susahnya melaksanakan apa yang kita pegangi selama ini. 

Saya diberitahu bahawa kualiti air di kawasan Lembah Klang lebih teruk daripada kualiti air yang dibekalkan di bandar Phnom Penh. Saya bertanya kenapa. Saya diberitahu lagi, ini adalah gara-gara kerajaan negari yang baru memberi air yang percuma kepada rakyat. Saya membeliakkan mata. Bukankah dengan menyediakan perkhidmatan air yang percuma kepada rakyat merupakan satu usaha yang murni? 

Dia menjelaskan kepada saya kenapa.

Apabila rakyat mula mendapat sesuatu dengan mudah, rakyat cenderung untuk tidak menghargainya. Apatah lagi dalam iklim negara kita yang senantiasa hujan, air dianggap sebagai sesuatu yang mustahil kehabisan. Air pun dibekalkan secara percuma kepada rakyat. Rakyat, seperti yang kita tahu, tidak semua mempunyai kesedaran bahawa penggunaan air perlulah terkawal. Masih ramai lagi yang tidak tahu erti penjimatan. Lebih ramai yang tidak menutup pili dengan ketat selepas menggunakannya. Apabila ini terjadi, pembaziran berlaku dengan berleluasa. Sementelah air dibekalkan dengan percuma.  

"Biarlah, bukan kena bayar pun."

Apabila sikap ini bertunas dalam setiap jiwa rakyat, maka kos pembekalan air akan bertambah. Bayangkan kalau hampir tiga perempat daripada penduduk Lembah Klang mempunyai sikap yang sama seperti itu. Apabila kos perkhidmatan bertambah dek penggunaan air yang bertambah kerana pembaziran, syarikat yang menguruskan air ini terpaksa meminta bantuan kewangan daripada kerajaan negeri. Dan tahulah, kerajaan negeri yang baru bukannya ada duit sangat. Dalam suasana politik sempit di Malaysia ini, permohonan dana dan peruntukan daripada kerajaan pusat yang berlainan parti, sudah pasti akan menjadi begitu sukar. Kerajaan yang memerintah sekarang sudah pasti mempunyai strategi tersendiri untuk merampas kembali negeri yang telah diambil orang. Nasib rakyat? Inilah namanya politik berparti. 

Seterusnya, syarikat tersebut terpaksa mengurangkan beberapa perkhidmatannya untuk menjimatkan kos pengurusan air. Apabila ini berlaku, mutu rawatan air akan merosot dan air yang dibekalkan seperti yang dikatakan tadi - akan menjadi lebih teruk daripada air yang dibekalkan di negara-negara yang jauh ketinggalan berbanding negara kita.

Maka, berbondong-bondonglah kita membeli satu dua tong penapis (filter) daripada syarikat MLM yang berharga beribu-ribu ringgit, supaya setiap isi rumah, mendapat air yang bersih dan berkualiti. 

Sebenarnya, ia adalah sebuah pelbelanjaan yang sangat tidak perlu. Kalau kerajaan negeri bijak mengatur perkara ini, sudah pasti rakyat tidak perlu berhabis duit untuk menggunakan filter yang belum tentu terjamin keberkesanannya itu. Kalaulah parti yang berkempen dahulu tidak mengutarakan janji-janji yang idealistik, sudah tentu perkara ini tidak terjadi.

"Biarlah, bukan kena bayar pun."

Sikap ambil mudah inilah yang tertanam dalam diri manusia. Apabila mudah mendapatkan sesuatu yang berharga, kita cenderung untuk tidak menghargainya dan membazirkannya. Dan, saya tidak mengatakan kepada orang Malaysia sahaja. Ia adalah fitrah manusia di mana-mana pun. Silakan membaca sejarah bangsa yang terhebat di dunia, sebelum tiba-tiba runtuh dan lenyap daripada peta dunia.

Berbalik pada persoalan tadi, ada bagusnya juga sistem kapitalis, jika digunakan betul tempatnya, kena pada sistem masyarakatnya. Sebab itulah, syarikat yang menyediakan perkhimatan pembekalan air, tidak salah untuk menetapkan harga air, yang berpatutan dan selari dengan kualiti servisnya. Apabila air didatangkan dengan bil, ini bermakna air tersebut mempunyai harga. Seperti yang kita semua tahu, air merupakan keperluan dalam hidup ini. Orang tentu sanggup berkorban apa sahaja demi untuk mendapatkan air ini. Apabila orang mengetahui nilai dan harga air itu, barulah orang menjaganya dengan teliti, menggunakannya dengan berhati-hati dan berjimat-cermat apabila memutar pili.

Itu baru persoalan air, yang baru dijadikan satu contoh. Kalau perbincangan ini dilanjutkan kepada persoalan makanan, harta, duit dan sebagainya, sudah tentu saya kena buat blog yang lain pula.

Sebab itulah, Allah berfirman, membazir itu amalan syaitan. Kerja syaitan adalah meruntuhkan kemanusiaan. Kita manusia, apabila ambil alih tugas syaitan dengan melakukan pembaziran, kita secara langsung meruntuhkan kemanusiaan dan membiakkan kesyaitanan.

Saya geleng kepala. Saya pun banyak melakukan pembaziran juga. Duhai diri, beristigfarlah!

Kemudian, perbincangan kami berganjak lagi. Untung, perkataan yang saya tidak gemari itu, diberi nafas baru dalam perbualan kami yang berlanjutan. Ia telah diberi pengertian yang lebih luas.

(bersambung)

Seharusnya, kawan

Kawan,

Seharusnya, apabila terbit matahari di ufuk timur, berita-berita yang baik patut didengari. Sebelum melangkah ke tempat kerja, seharusnya awal kehidupan diisi dengan pemangkin semangat dan baja jiwa. Seharusnya, pagi-pagi lagi, kita tersenyum puas dan menerima hari yang baru dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Seharusnya, dalam fikiran, kita telah menyiapkan bisikan, bahawa hari ini kita akan menyempurnakan usaha dan berharap tuaian kehidupan akan tumbuh berganda-ganda.

Seharusnya, begitulah, kawan.

Seharusnya, apabila matahari terbit itu, jangan didengar ucapan dan jangan dibaca tulisan orang yang bebal. Kerana satu atau dua orang bebal yang mengeluarkan kata, pagi-pagi lagi kita sudah dibebalkan. Mungkin kita tersenyum. Tetapi senyuman kita penuh ejekan dan penuh sinis. Dalam hati akan bergema-gema perkataan, "bangang, bodoh, gila," yang tidak harus kita ulang dan ratib awal pagi lagi. Seharusnya, pagi-pagi lagi kita penuhi dengan ungkapan manis, kata-kata pujian dan ingatan yang penuh kebaikan kepada Pemilik dan Pengurnia segala rezeki.

Seharusnya, itu tak berlaku, kawan.

Seharusnya, sebagai negara yang makin maju, kenderaan sendiri semakin kurang digunakan. Kenderaan awam dengan sistem yang boleh diharap dan diyakini seharusnya semakin ramai orang gunakan. Seharusnya, jika ini berlaku, asap dan kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Mungkin juga, dengan ikhtiar ini, kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Seharusnya, untuk keselamatan diri, kita perlu berusaha. Namun, seharusnya, pengangkutan awam itu sendiri boleh diharap dan diyakini terlebih dahulu, sebelum memaksa penggunanya menaruh harapan dan keyakinan untuk menggunakannya. Namun, setiap pagi, kenderaan awamlah menjadi racun dan bencana kepada semangat pagi yang baru bertunas dan tuaian kerja kemudiannya jadi tidak seperti yang diimpikan - keadaan yang seharusnya tidak berlaku, dalam negara yang kononnya nak maju.

Seharusnya, bukan itu yang terjadi, kawan.

Seharusnya, negara ini yang sudah lama merdeka ini, telah terbina identiti dan budayanya. Seharusnya, dalam negara yang mempunyai bahasa dan budaya sendiri, kita tak perlu takut untuk tidak memahami atau tidak difahami. Sewaktu kita berjalan di ibu negara, lebih seribu bahasa kedengaran, tetapi sukar kita berkomunikasi dengan bahasa yang kita sendiri punyai. Orang Afrika dengan "wonggo, wonggo, wonggonya." Orang China dengan "cochia, cochia, cochianya." Orang Bangla dengan "Bam, bam, bam, bamnya." Seharusnya, sebagai satu negara, kita mempunyai satu bahasa yang digunakan untuk berhubung sesama sendiri. Apa lagi kalau bukan bahasa kebangsaan. Seharusnya, sewaktu seorang rakyat kebangsaan yang mahu keluar dari himpitan LRT (yang juga dipenuhi oleh orang sekebangsaan dengannya), bukan kedengaran ungkapan  "excuse me, accused me." Seharusnya, katakanlah dengan berani, 'tumpang lalu, minta maaf ya, saya tumpang lalu,' sungguhpun kita turun di stesen KLCC.

Seharusnya, beginilah, kawan.

Seharusnya, pendidikan kebangsaan perlu diperkasakan lagi. Perkara itu bukan lagi harus. Ia sudah menjadi satu kewajipan, jika kita mahu bernegara dengan aman dan sentosa. Pemimpin kau juga sedang memerhati dan membaca blog ini bukan? Inilah masanya untuk dia menyedari dan membetulkan segala kesilapan sebelum terbabas ke dalam jurang kemunduran dan bencana kehidupan rakyat jelata.

Suatu hari apabila kehidupan dimulakan

Setiap hari, sebaik sahaja anda membuka langkah untuk kehidupan - adakah mengambil satu atau dua saat untuk memikirkan kehidupan yang anda akan lalui?

Matahari masih terbit di timur serta udara pagi masih segar untuk anda hirup. Jika anda berada di kawasan luar bandar, jalan untuk ke tempat kerja biasanya jarang sesak. Anda akan melalui sawah padi yang dilatari gunung-ganang. Jika anda menghantar anak-anak ke sekolah, anda akan melihat anak-anak yang bersemangat untuk menimba ilmu dan semangat yang sama semestinya meresap ke dalam jiwa.

Sedar atau tidak, wadah kehidupan yang kita lalui setiap hari adalah tanah air yang kita cintai. Negara yang kita diami umpama bekas, dan kehidupan kita pula umpama air yang berada di dalam bekas itu.

Negara, tempat yang menampung kehidupan kita. Setiap hari kita bercerita tentang politik negara - seolah-olah hanya politik sahajalah yang menentukan masa depan negara kita. Setiap hari kita dengar tentang banyaknya kemalangan yang berlaku di dalam negara - seolah-olah apabila berada di jalan raya negara, peluang untuk kita meneruskan kehidupan seperti telur di hujung tanduk. Setiap hari, banyak laporan berita yang tidak baik tentang apa yang berlaku di dalam negara - seolah-olah negara ini sudah tidak selamat untuk didiami.

Apabila anda keluar dari pintu, cuba anda toleh ke belakang. Lihat pada pintu yang terkatup dan jeriji yang anda pasangkan. Ini adalah rumah yang anda tinggalkan, di dalam sebuah negara yang anda hidup di dalamnya. Rumah adalah simbol kehidupan anda. Kehidupan anda di dalam sebuah negara. Tambahan, rumah juga merupakan miniatur sebuah negara. Anda isikan dengan bermacam-macam peralatan dan perkakas, dengan insan yang anda cintai dengan segala peristiwa dan kisah yang anda ingin kenangkan. Hari ini, seperti hari-hari yang lain sebelum ini, rumah yang anda sayangi ini akan anda tinggalkan buat seketika, atau mungkin selama-lamanya. Anda akan meninggalkan rumah ini dan negara andalah yang akan memikul tanggungjawab menjaga rumah itu, sepanjang ketiadaan anda, atau jika anda tidak akan kembali lagi.

Bayangkan dengan khabar buruk yang silih berganti, kemalangan dan bencana politik yang tak sudah-sudah, apakah rumah yang anda tinggalkan itu akan menjamin sebuah kehidupan yang mesra, sekembalinya anda dari tempat kerja nanti? Atau, adakah insan yang anda cintai dan anak-anak yang anda kasihi, akan terus tersenyum gembira, jika anda ditakdirkan pergi selamanya?

Kerisauan yang mula memendungi jiwa anda - cubalah anda lupakan sebentar. Banyak cerita telah kita dengar. Banyak kisah menyayat hati yang tersimpan di dalam jiwa. Usirkanlah bisikan yang mengatakan negara kita adalah tempat berkumpulnya segala bahaya dan bencana.

Kita sudah lahir di dalam negara ini. Itu takdir yang tersurat. Sejarah dan peristiwa-peristiwa negara yang telah berlaku tidak boleh kita ubah. Cuma, kita boleh mengubah apa yang tertulis dan cara kita membaca sejarah dan peristiwa negara kita itu.

Hiruplah udara segar pagi sebelum anda ke tempat kerja. Perhatikanlah matahari yang masih terbit di timur. Hayatilah sawah padi yang terbentang dan gunung-ganang yang menjadi latarnya. Lihatlah anak-anak anda yang akan mewarisi kehidupan yang telah anda usahakan selama ini.

Bisikkanlah tawakkal pada sebaik-baik Pengawal.

Dialah yang akan menjaga, dengan sebaik-baik jagaan.