Kelab Peminat

Kalau kita sudah membaca


Setelah sekian lama juga saya tidak melemaskan diri dalam seminar. Dan kesempatan semalam, memberi peluang saya untuk kembali hanyut dalam arus yang begitu saya gemari - arus keilmuan.

Banyak manfaat yang boleh dikutip. Sementelah saya juga adalah penagih buku, maka seminar Pencinta Buku seperti itu membekas juga. Saya teruja dengan ahli-ahli panel yang berkongsi pengalaman. Ada daripada mereka penterjemah, penulis dan juga pembaca yang macam saya juga. Saya mewakili lebih kurang dua ratus perserta, ingin menyatakan, bahawa kami benar-benar diakrabi dan dimesrai dengan apa yang dianjurkan oleh tuan rumah. Terima kasih!

Saya begitu meraikan buku, juga mahu meraikan aktiviti ini jika diadakan di masa akan datang.



Membaca memberi pengalaman yang baharu. Sudah pasti jejak pengarang akan tertinggal dalam jiwa dan pemikiran. Pengarang, ilmunya seperti air, mencurah jatuh seperti hujan, mengarus lancar seperti sungai dan mengombak lunak seperti lautan. Jiwa pembaca bukan sekadar dibasahi, berlopak dan lembap di sana-sini, bahkan, dengan berkat pengarangan yang dibaca, akan bercambahlah pemikiran dan hiduplah kehidupan.

Dengan membaca, kita juga berkongsi keperibadian kita dengan pengarang. Bayangkan keilmuan kita seperti air. Keilmuan pengarang, seperti yang dimisalkan tadi, seperti air juga. Bayangkan, bagaimana dua cecair yang melarut di antara satu sama lain. Keperibadian pengarang, jika kita terbuka menerimanya, akan larut dalam keperibadian kita juga. Zat-zat yang terkandung dalam ilmunya yang mengalir melalui penulisan, akan jatuh di lubuk hati kita yang paling dasar. Ia kemudian akan terhablur menjadi permata yang berharga, yang sudah pasti, menambahkan lagi nilai keperibadian yang terdapat dalam diri kita. Larutan pengarang-pembaca juga akan menambahkan pelbagai warna - kombinasi yang harmonis - yang sudah tentu menambahkan seri dan keindahan pada sukma. Dan dari sukma yang berwarna ini, akan terzahir lantunan ombak tindakan yang gemelai lagi cantik.

Seperti mana hubungan lautan, sungai dan awan yang menjadi aturan hujan - begitu juga akrabnya hubungan antara pembaca dan pengarang. Pembaca menerima apa yang diberikan pengarang, melalui arus keilmuannya yang telah melalui liku di hutan kehidupan, mencelahi batu-batu cabaran yang keras dan juga membawa zarah-zarah yang berharga untuk diberikan secara tuntas dan pukal, kepada lautan jiwa dan pemikiran pembaca. Pembaca menerima, ada juga menyaring, ada juga mengambil manfaat untuk mempelbagaikan rentak tarian ombak kehidupannya, dan mengagihkannya pada tiram, supaya suatu hari nanti, akan ada penyelam lautan, menyelam mencari mutiara hatinya itu.

Ada juga arus yang mengalir dari sungai keilmuan pengarang kepada lautan pembaca itu, tidak tenggelam pada dasar. Sebaliknya ia hanya berkumpul pada permukaannya, kemudian, terapung ke langit. Sebenarnya, tindakan pembaca ini bukan bermakna mereka membuang apa yang diberikan oleh pengarang itu. Tetapi, pembaca sebegini sebenarnya berhajat supaya ketulan ilmu pejal yang turun mengalir dari sungai pengarang, dikembalikan, supaya nanti, apabila hujan di hulu, pengarang yang ibarat sungai itu, akan kembali menghalusi zat-zat yang akan dikarangkannya itu. Bukankah yang halus itu seni. Dan bukankah seni yang indah itu wajar dihormati?

Bukanlah timbunan kertas kertas yang diapit di dalam kertas keras itu yang dicari oleh pembaca, tetapi mereka mencari keperibadian yang kadang tidak terucap di bibir mereka sendiri, daripada apa yang kita namakannya sebagai buku itu. Pembaca, kadang-kala mahu mewakilkan isi hatinya pada pengarang. Mereka menanti bilakah sebuah karangan yang dapat diselarikan dengan degupan nurani mereka, bukan menjadi pemaksa denyutan fikiran. Fitrah manusia diciptakan, didatangkan dengan kebenaran. Jika pengucapan pengarang itu, benar-benar mencubit juzuk hati yang dicipta asli oleh Tuhan, sehingga ia hidup dan mencerahkan apa yang gelap, maka itulah yang sepatutnya dikarang oleh pengarang.

Dan seperti kita tahu, fitrah manusia yang asali itu bukan sekadar terhenti pada selonggok ilmu yang disusun dalam perenggan-perenggan yang terdapat di dalam setiap muka surat. Akan tetapi, fitrah yang hidup ialah apabila rohani nikmat menjamah hidangan ilmu, yang dimasak dengan betul, dihidangkan dengan hiasan yang indah dan disediakan di sebuah ruang yang benar-benar memelihara kehormatan dan maruah pembaca. Kesedapan ilmu itu dirasai, sehingga membuatkan pembaca kemabukan. Kenyangnya tidak terbatas, dahaganya tidak akan cukup hanya seteguk gelas. Makanan rohani seperti inilah, akan mencergaskan tubuh dalam daerah kebaikan. Dan, sampai tahapnya apabila pembaca, merasakan bahawa pembacaan itu amat bermakna buatnya, juga kehidupannya.

Di sinilah, bersatulah hikmah dalam keperibadiannya, baik pengarang juga pembaca.

Ketahuilah, apabila pembaca, seperti kita semua, menemukan hikmah, maka jadilah kita, ulul-albab.

Inilah puncak pengarangan dan pembacaan.

Tiada ulasan: