Kelab Peminat

Kenapa Perlu (Berhenti) Mengarang? 2

Apabila sasterawan dan politikus bertentang, bukan pertentangan zahiri yang berlaku, sebaliknya, keperibadian antara dua watak itu yang terjadi, yakni pertentangan berbentuk batini.

Keperibadian di sini merangkumi apa yang dipakai sebagai sarwa pandangannya, apa rujukan yang selalu digunakannya, apakah bentuk kerangka pemikirannya dan apakah tindakan yang dilakukan terhadap pemahamannya.


Dalam karya sasterawan mahupun pidato politikus, keperibadian ini diucapkan dan disampaikan kepada para penerima yakni pembaca, pengamat, pendengar dan pengikut. Keperibadian pengarang ternampak melalui kekemasan isi dan kelancaran perkataaan di dalam susunan bahasa yang serba indah lagi memikat. Begitu juga politikus, mereka berucap dengan penuh semangat, menjentik semangat dan menanam keyakinan.

Sebagai pembaca, sasterawan dan politikus mengongsikan dengan kita keperibadian mereka, sama ada untuk kita menerima dan menyatupadukannya dalam keperibadian kita pula, atau kita sekadar menjadi peneliti, yang mengkaji dan kritikal apa yang disampaikan melalui mata atau telinga kita itu.

Sasterawan yang menjana perubahan dengan menyuntik kebenaran ke dalam hati, melalui pengucapan yang indah sudah semestinya berpunca daripada keperibadiannya yang benar. Umpama air, mereka menawarkan kehidupan, menemukan kita dengan diri kita yang sebenar. Ini kerana, tidak semua perkara yang tersimpan di dalam lubuk hati mampu diluahkan - jadi sasterawan bertindak sebagai perantara, yang akan mewakilkan bahasa yang dikarangnya, senada dengan isi hati yang kita pendamkan itu. Hati kita akan bercambah dan mekar, lalu kita berani mencanggah angin, berdiri tinggi menggapai langit. Umpama air juga, sasterawan menyucikan kekeruhan yang terjadi di dalam diri. Ia membebaskan tekanan dan melorongkan perasaan dan pemikiran pembaca seperti kita, kepada arus ketamadunan, meskipun kadang-kala lorong yang dilalui itu dicabar dengan belokan dan jeram yang ganas. Di sini, apabila karangan sasterawan itu disepadukan dengan kesabaran pembaca, juga ketelitian dan ketajaman mereka menghidu aroma yang tersembunyi, serta kemahiran pembaca melihat zarah-zarah seni yang membentuk aliran pemikiran pengarang itu - datanglah seganas mana ombak dan badai yang menguji, dengan keberkatan dan keizinan Tuhan, nescaya kesucian air itu akan menyucikan juga kekotoran yang mengurung pandangan dan tindakan. Kebenaran yang diketengahkan oleh sasterawan, berdasarkan ilmu yang adil, yang membentuk sarwa pandangnya, akan keluar membuak-buak di dalam karangan yang dinukilkannya, umpama mata air yang keluar dari bumi, tidak henti-henti mengalirkan kebaikan, di dalam taman yang ditumbuhi pohon-pohon hikmah.

Politikus pula, sungguhpun mereka berkongsikan keperibadian mereka di dalam pidato, tidak semestinya keperibadian mereka serupa dengan keperibadian pengarang. Namun, tidaklah adil untuk mengatakan politikus gemar mengempang arus kebenaran yang yang mengalir di dalam pengarang, sehingga kebenaran itu tertahan di legeh yang berlengket dengan najis dan kekotoran. Ada juga politikus yang berkali-ganda lebih baik dari keperibadian sasterawan itu sendiri, sehinggakan sasterawan yang diumpakan sebagai sungai itu, mengidamkan mutu dan kehebatan tindakan politikus yang bertindak sebagai empangan, yang bijaksana mengatur ke arah manakah aliran pemikiran sasterawan itu patut diedarkan - supaya manfaat keilmuan dan kebenaran itu teragih secara saksama di segenap relung alam. Sehinggalah sasterawan menukilkan politikus sebegini di dalam karya mereka. Politikus meminta para rakyat jelata untuk mengambil manfaat sasterawan ini pula, daripada pidato-pidato mereka. Baik sasterawan dan politikus, mereka memainkan peran masing-masing, untuk melengkapkan dan menyempurnakan peribadi masing-masing, agar terarah dan terkesan pengucapan peribadi mereka, baik melalui bahasa pena atau bahasa bicara.

Namun, kedua-dua, baik sasterawan dan politikus, boleh menjadi racun kepada alam. Jika yang diucapkan oleh aksara dan pembesar suara, adalah berpunca daripada keperibadian yang rosak dan bercelaru. Katakanlah sang pengarang penganut ajaran existentialis, maka keperibadiannya juga existentialis, sarwa pandangannya juga existentialis - sehingga existentialis segala karangan yang tertulis. Air yang mengalir dari tangan sasterawan yang mengarang itu, bukan lagi air yang menjadi asbab kehidupan, bukan asbab menyucikan. Air itu akan menyebabkan kedahagaan yang berterusan para penikmat ombak dan riak geloranya. Apabila dihirup, tidaklah menghilangkan kedahagaan terhadap kebenaran itu, melainkan penikmatnya kembung dan khayal di tepi kalinya, sehingga gagal untuk bertindak dengan betul dalam kehidupan, lantas terkapar mati sia-sia akibat kebusungan. Air yang sepatutnya menyucikan, kini menjadi candu yang mengelabukan fikiran, berkocak tanpa punca, menyebabkan terkorbannya beratus nyawa, sehingga fiil air itu semakin sukar difahami dan dimengerti, lantas, pembaca-pembaca yang sedar akan hal ini, akan segera menjauhkan diri. Maka, berteriaklah sasterawan beraliran songsang ini di lubuk-lubuk sungainya yang terpencil, kenapa mereka tidak didekati atau dimesrai. Berkocaklah mereka di lopak-lopak yang terasing dari taman yang mendamaikan, dipencilkan menjadi kolam yang tiada apa yang boleh mengalir masuk ataupun keluar, sehingga menjadi keruh dan menakung segala jenis racun yang begitu berbahaya. Akibatnya, mulalah para sasterawan yang menakung kuman ini mula menyalahkan pembaca, yang pernah suatu ketika dahulu, begitu akrab dengan mereka. Mulalah sasterawan ini menyalahkan politikus, kerana tidak bijak mengempang air - baik air yang keluar atau air yang masuk, untuk mereka. Sebenarnya, kalaulah sasterawan begini sedar sifat kolam yang menakung racun itu, nescaya mereka tidak akan pernah membiarkan aliran ilmu mereka tersumbat dan terbatas.

Politikus, apatah lagi. Mereka adalah empangan. Peribadi mereka kadang-kala difahami dengan nada yang buruk. Mengempang bererti menyekat. Apabila mereka mempunyai keperibadian yang rendah, mereka berasa, mereka perlu mengempang segala-galanya, mengempang kebaikan juga keburukan sekali. Keperibadian yang rendah ini adalah akibat daripada kereputan akal dan hati dalam menampung kejernihan dan keluhuran ilmu.

Namun, jika mereka bijak, mengetahui bahawa mereka perlu mendalam dalam menilai kedalaman ilmu dan adil meletakkan diri mereka sebagai pemimpin haluan sungai keilmuan itu, maka tidaklah mereka perlu takut, jika ada sesetengah gelora pemikiran pengarang yang perlu diempang dan disekat. Sudah pasti, politikus yang bijaksana dan saksama seperti ini, seperti empangan yang tidak mudah punah, apabila ditujah dengan arus pemikiran sasterawan yang beracun. Politikus sebegini akan mahir mengawalnya, tidak membiarkan air sebegini merebak ke seluruh kehidupan umum, tetapi mengurungnya dan menghalakannya ke batu-batu yang akan menapis dan menyucikan kembali arus pemikiran itu, kembali bersih dan berguna.

Jadi, baik politikus ataupun sasterawan, yang menentukan mereka adalah peribadi. Bercanggahnya mereka kerana bercanggahnya peribadi yakni percanggahan antara aliran dan empangan. Sepadunya antara kedua golongan ini, adalah apabila para sasterawan tahu, di mana tempat dia akan diempang oleh politikus yang benar, dan di mana dia akan mengalir, mengelak empangan itu.

Tiada ulasan: