Kelab Peminat

Raya

Sudah raya keenam. Masa pantas betul berlalu. Kini, saya kembali ke Putrajaya, setelah seminggu lebih berada di desa di Pulau Pinang.

Syukur kepada Allah kerana dapat beraya di kampung tahun ini. Perasaan berada jauh dari bandar sememangnya lain. Terutamanya, apabila jauh daripada kongkongan materialisme. Di kampung, bukan material yang kami kejar. Pada hari raya, tanpa mengenal pangkat atau status, kami saling berziarah, mengeratkan semula silaturahim yang terputus sekian lama. Rasa jiwa ini begitu bebas, mengalahkan burung, kerana sayap kegembiraan yang mengepak, tidak terbatas pada dunia syahadah, bahkan terbang melangkaui alam tidak terjangkau dek pancaindera.


Saudara-mara, setelah lama tidak berjumpa, berkunjung tidak henti-henti ke rumah. Satu kemestian, bagi setiap hari raya, jika kami beraya di rumah kami di kampung. Anak-anak saudara semakin besar dan lincah bermain. Begitu juga perkhabaran sepupu-sepupu yang hampir melangkah ke alam rumah tangga. Ada juga berita-berita kematian yang disampaikan dan kami terima dengan redha. Suka dan duka, bersatu dalam bahagia di hari raya.

Kini, sudah tiga hari di Putrajaya. Kembali semula ke gelanggang perjuangan. Entah perjuangan apa saya pun tak pasti. Yang nyata, di sini tidak sama seperti di kampung, di mana feng shui rumah, bersatu dengan ketenangan di jiwa. Di sini, arusnya mendesak agar darah mengalir laju, tenaga dikerkah semahu-mahunya - semata-mata ingin menambahkan angka di dalam akaun bank, atau menyelesaikan hutang.

Jika membaca dada akhbar di kampung beberapa hari lepas, cerita ngeri dan kejam - terasa itu semua jauh dari kehidupanku.

Namun, jika terbaca tajuk utama akhbar yang sama, saat berada di tengah ibu kota ini - terasa maut akan memangsakan diriku, bila-bila masa.

Anak Nyonya, yang kami panggil Uncle Adik (sebutan Melayu untuk Ah Teik), datang menziarah kami di Putrajaya. Kebetulan, dia turun dari Cameron Highlands untuk membereskan urusan pembantu kedainya di Imigresen. Dia meluahkan kerisauannya, mengenai apa yang berlaku di negara sekarang, senada dengan kerisauan yang melanda diriku sekian lama. Yakni, ketamakan terhadap wang menguasai tindakan rasional manusia.

"Dahulu, kami macam adik-beradik," kata Uncle Adik, mengingatkan kisah silam keluarga kami berjiran dengan keluarganya waktu di Cameron Highlands.

Opah paling banyak berbual dengan Uncle Adik. Banyak nama-nama orang yang tidak saya kenal disebut mereka.

"Aiya, sekarang banyak susah. Semua mahu duit. Semua mahu rompak," katanya lagi.

Saya hairan. Kenapa begitu banyak wang terbazir begitu sahaja, untuk 1Slogan? Bukankah keselamatan aspek penting kemakmuran sebuah negara? Kenapa wang tidak dilaburkan untuk kesejahteraan kesemua rakyat jika tahu kebimbangan rakyat terhadap jenayah semakin meruncing? Adakah otak mereka hanya bermain pada kertas-kertas yang akan dipangkah lima tahun sekali?

Kerisauan kami merentasi bangsa dan bahasa. Kesejagatan isu ini tidak pernah diambil pusing oleh mereka yang berada di dalam tempurung kebebalan.

Uncle Adik balik. Saya tahu, dalam hatinya, dia mesti senada dengan saya: "Mahu jadi kaya pun susah, mahu jadi miskin pun susah."

Maaf parti-parti politik Malaysia. Saya tidak menyokong mana-mana kebebalan semasa pilihan raya.

Jika di kota ini terasa seperti beraya di kampung, maka, saya akan berfikir untuk kali kedua.

Tiada ulasan: