Kelab Peminat

Zahiri dan Batini

"Apabila kita menghadap raja, kita memakai pakaian yang cantik-cantik, kemas-kemas. Namun apabila kita mengadap Tuhan di dalam sembahyang, kita mengabaikan pakaian kita."

Kadang-kadang ungkapan dari program sesetengah kumpulan yang so-called Islamik, membuatkan saya berfikir panjang. Almaklumlah, saya tidak suka didoktrinisasi oleh ketaksuban. Kadang-kala, saya menolak semangat ukhwah, kalau ia bercanggah dengan nilai tafakur - yang menyebabkan saya menjadi bebal dan menerima sesuatu bulat-bulat tanpa berfikir panjang atas nama persahabatan. Itu belum masuk dengan parti politik yang kaya dengan slogan, tetapi miskin dengan rasional.

Bersangka baiklah, tuan-tuan. Mendengar sesuatu yang bersifat permukaan atau superficial kadang-kala ada bagusnya, bagi saya. Saya memilih untuk tidak cepat melenting, atau berkata, 'awat bebal sangat?' Saya memilih jalan yang terbaik, baik untuk diri saya, mahupun penceramah yang sedang syok sendiri di hadapan - yakni diam dan berfikir. Stimulus untuk berfikir ini, tidak boleh disia-siakan tentunya.

Sayangnya, setelah beberapa kembali ke tanah air, saya melihat dunia ini masih lagi mengamalkan sikap permukaan, atau zahiri. Misalnya, petikan ungkapan di atas, selalu sahaja didengari. Saya tertanya-tanya sendiri, kenapa pemuka masyarakat tidak pernah menyedari bahawa aliran pemikiran kita sedang tersumbat. 

Al-Attas ada menjelaskan dalam lampiran Islam and Secularism (ABIM, 1974), Islam yang datang ke Kepulauan Melayu melalui tiga fasa besar. 

Pertama, Islamisasi dari segi zahiri. Di mana, di sini masyarakat tempatan mula mengamalkan Islam dari segi luaran - seperti amalan ibadat, pemilihan makanan, pelaksanaan undang-undang, termasuklah juga aspek pemakaian. Individu di Kepulauan Melayu masih mengamalkan agama bersifat ikut-ikutan, tanpa pemahaman kukuh di hati, atau hikmah dan kenapa setiap amalan yang dilakukan. 

Kemudian, apabila Islam telah menancap kukuh dalam diri setiap masyarakat di Kepulauan Melayu, proses Islamisasi lebih mantap. Islamisasi mula mengubah dalaman individu atau mencerahkan daerah batini masyarakat Kepulauan Melayu. Di sini, dilihat perubahan dari aspek pemikiran dan sarwa pandang. Bertambahnya perbahasan ilmu agama yang berkait rapat dengan masalah dalaman dan kejiwaan manusia di sini, mencerminkan kedahagaan masyarakat terhadap perkara itu. Tambahan, lahirnya tokoh-tokoh tersohor dari kalangan ulama' seperti Fansuri, Ar-Raniri, Al-Palembangi dan sebagainya. Bagi masyarakat umum, lebih banyak karya-karya seni agung yang mencerminkan hikmah keIslaman yang diasimilisasi oleh masyarakat, seperti seni ukiran, seni bina rumah, seni karangan dan bermacam-macam lagi.

Namun, setelah kedatangan penjajah, kegemilangan Islam di dalam masyarakat Kepulauan Melayu kembali malap. Perubahan yang baik lagi dinamik dalam batini masyarakat tempatan, tidak lagi berlaku. Sebaliknya, masyarakat tempatan dibekukan pemikiran dan disogokkan dengan perkara materi, sehingga sarwa pandang terdahulu yang sarat dengan ilmu - terkikis. Pengikisan nilai batini ini, yang juga menjadi tunjang jati diri masyarakat Kepulauan Melayu, diganti pula dengan karat-karat material yang menjajahi hati. Sarwa pandang manusia di sebelah timur tenggara ini terhala pula ke arah hal-hal kebendaan yang hanya terzahir pada pandangan panca indera, berbanding hal-hal keilmuan yang lebih bermakna kepada batini dan ruhani.

Dan fasa ketiga ini, terbawa-bawa, sehinggalah sekarang, sungguhpun Malaysia dibentuk lebih empat puluh tahun. Kemerdekaan kita masih belum hakiki, yakni negara kita masih terjajah dari segi pemikiran materi yang selamanya merugikan manusia. Sungguhpun ada segilintir masyarakat yang berjaya membebaskan diri dari belenggu karat materialisme ini, namun mereka menjadi golongan yang tersisih. Pemimpin dan penentu dasar, sampailah naqib-naqibah yang bergerak aktif di kampus universiti, masih lagi berucap dengan nada materialis - tidak membawa perbincangan atau takut untuk meneroka ilmu kalam dan falsafah, yang berpotensi besar, memerdekakan kita dari pemikiran tinggalan penjajah.

Akibatnya, masalah pasca-kemerdekaan, pelbagai  masalah wujud dan sukar dibendung. Jenayah menjadi semakin kejam, kerana dalam pendidikan formal, kemanusiaan jarang sekali ditekankan. Yang ditekankan adalah- jika kita menguasai kemahiran sains atau ekonomi, kita akan lebih mudah mendapat pekerjaan, dan dengan pekerjaan yang baik, kita akan senang mendapat wang, dan dengan kesenangan mendapat wang, kita menjadi kaya dan berharta - yakni pandangan tipikal seorang materialis. Sehinggakan, ada segelintir golongan yang kononnya ingin membela agama, tetapi keliru, berkata dengan penuh yakin dan bongkak, 'dengan kekayaan dan kelebihan material yang kita ada, orang akan tertarik dengan agama.'

Sebenarnya tuan-tuan, kekayaan ilmu dan rasionallah yang menarik orang terhadap agama. Bila berduit banyak, kita terbelenggu dengan bagaimana untuk menjaganya. Bila kita memegang tampuk kuasa, atau khalifah sekalipun, kita akan alah dengan kesibukan mengekalkan kuasa. Begitulah seterusnya. Kenapa langkah rasional itu jarang dibuat, tetapi langkah didaktik sering diberi perhatian? Kenapa mudah menganggap orang ramai sefaham dengan kita, sedangkan, latar belakang masyarakat, jarang-jarang ada kefahaman agama yang mendalam.

Bila kefahaman dan kehikmahan menjadi dasar makna beragama, maka masyarakat tidak akan takut lagi dalam perbezaan status dan bilangan harta. Masyarakat tidak akan gusar lagi, jika ada kuasa mengancam, kerana tidak pernah lagi dalam sejarah dunia, sesebuah kerajaan itu berjaya mencabut kefahaman ilmu dan rasional, dari jiwa individu yang telah mendapat makna kehidupan, dari ilmunya.

Saya hairan dengan sikap segelintir manusia, yang perasan dirinya adalah malaikat. Mereka mengetengahkan pelbagai saranan Al-Quran dan Ah-Hadits, namun memerhatikan realiti manusia sambil menggeleng kepala. Seolah-olah merekalah radio wahyu, bukannya menjadi manusia. Mereka berdegar-degar menayangkan ayat Al-Quran dan Hadis bersekali dengan nombor rujukan dan mampu menyatakan taraf hadis itu, tetapi lupa bahawa wahyu itu bukannya perlu didendangkan dengan sebegitu rupa. Mereka lupa, wahyu itu diutus, untuk manusia juga dan semestinya, perlu 'dimanusiakan,' dengan contoh dan tindakan. Mereka lebih selesa dalam kelompok 'malakut' mereka, merasakan ruang yang mereka duduki adalah 'ruang syurga' dan kepatuhan mereka  terhadap kumpulan adalah 'kepatuhan tanpa pilihan,' bukan kepatuhan atas rasional atau fikiran yang mendalam, sedalam-dalamnya. Sebenarnya, mereka ini golongan yang belum mendapat peluang untuk melakukan kejahatan. Sekiranya mereka tersepit, nescaya 'dunia kebaikan' akan mereka tinggalkan. Percayalah.

Dalam sesuatu hal, janganlah pandang sesuatu itu bersifat lahiriyah, tetapi pandanglah ia kepada sifat batiniyyah. Kerana, daripada batin, akan terbentuknya zahir. Niat yang menentukan amalan. Kenapa jarang sekali kita cuba membetulkan niat atau sarwa pandang yang membentuk niat itu, supaya akan terpelihara perbuatan atau amalan, natijah dari niat yang terdetik di hati? Kita lebih selesa mengutuki perbuatan, bukan mengkaji dan membetulkan, kenapa sesuatu perbuatan itu, sanggup dilakukan. Bukankah lebih mudah membenci keburukan, daripada menyukai sesuatu yang berat seperti kebijaksanaan dan kesabaran?

Di hadapan raja, manusia yang serba kurang sifat Rahimnya, sudah tentu kita tidak diterima, jika bercompang-camping semasa mengadapnya. Namun, Ar-Rahim menerima, saat kita bertakbir, hatta di atas sejadah buruk, yang merupakan balairong seri, yang dibuka setiap masa, buat siapa sahaja, dalam apa bentuk pakaian, yang mampu dipakai oleh hamba-Nya.

Fikir-fikirkan.

Tiada ulasan: