Kelab Peminat

Episod 5: Ormniston dan anginnya.






Sepanjang-panjang perjalanan 130KM dari Alice Spring ke Ormniston National Park, banjaran gunung McDonnels setinggi 700m (pada perkiraan saya, mungkin tinggi lagi) amat mempersonakan. Benar, sepanjang-panjang jalan Namatjira itu, banjaran gunung benar-benar menarik perhatian dan perjalanan bas seolah-olah selari dengan arah banjaran itu dibentang yang seolah-olah tiada penghujung. Malah, sungguhpun kami telah tiba di Ormniston Gorge, banjaran McDonnells ini masih berlingkar lagi sehingga ke horizon di sebelah timur.

Ormniston Gorge sangatlah cantik, baik dari segi geologinya atau dari segi alam semula jadinya sendiri. Tapak perkhemahan kami juga dilatari oleh sebuah bukit yang tinggi di dalam banjaran McDonnells yang saya katakan tadi. Kebanyakan struktur gunung di sini adalah berbentuk jurang yang tinggi dan antara gunung dan gunung di dalam banjaran ini, terpisah oleh sungai atau disebut di sini dengan istilah 'Gorge.' Apabila anda berada di bawah jurang tersebut, anda akan melihat puncak jurang itu seolah setinggi bangunan dua puluh tingkat dan terbina dari batuan-batuan endapan yang telah dimetamorfos, batuan quartzit.

Setiap hari di sini, kami perlu menempuh perjalanan sejauh 15km dari tapak perkhemahan untuk ke kawasan pemetaan, Ormniston National Park. Di sini, jurang-jurung banjarannya lebih tinggi dan lebih mengancam. Pertama, jurang-jurang itu sendiri menyimpan struktur geologi yang amat mengkagumkan seperti 'overtunned bedding,' 'duplex structure,' 'isoclinal folding,' dan sebagainya. Kedua, ada 'Gorge' yang telah memisahkan kedua-dua dinding jurang setinggi 100 hingga 200 meter dan kami sendiri melaluinya saban hari untuk pemetaan. Ia seolah-olah berjalan di dalam ngarai atau 'canyon' seperti yang ditunjukkan dalam cerita Indiana Jones. Ketiga, kami dibawa oleh pensyarah dan demonstrator untuk menawan puncak jurang itu, dan menyaksikan sendiri struktur geologi di Ormniston Gorge dari puncak yang paling tinggi.

Pokoknya, tempat ini memang sangat menakjubkan, dan sukar digambarkan dengan kata-kata!

Di sini, tiada lagi lalat gurun, tiada lagi cuaca panas dan tiada lagi habuk-habuk dari tanah merah. Alhamdulillah, saya mengambil peluang ini untuk kembali memulihkan kesihatan saya yang terjejas teruk sebelum ini. Proses pemetaan berjalan dengan lancar dan saya benar-benar menikmati pengajaran dan pembelajaran di sini.

Akan tetapi, apabila matahari terbenam dan kami pulang ke khemah, suasana di Ormniston bertukar menjadi sebuah pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Suhunya jatuh mendadak dan kesejukannya melampaui kesejukan di Aileron. Ini kerana angin yang datang entah dari mana, menghentam khemah kami dan menyebabkannya bergegar teruk, dan seolah-olah hendak melayang. Kalau tiada berat yang menahan, sudah pasti khemah akan menjadi seperti layang-layang. Angin ini tak putus-putus bertiup, mula dari waktu Isyak, sehinggalah perlahan-lahan surut di waktu Subuh. Sewaktu saya berada di dalam khemah, saya saksikan sendiri bagaimana rusuk khemah itu bergegar-gegar ditiup angin dan senget mengikut arah angin bertiup. Ditambah pula dengan kain kanvas khemah yang bergesel, menyebabkan tidur saya di Ormniston sering terganggu.

Sewaktu saya terjaga di tengah-tengah malam dek dikacau angin, ada satu perkara lagi yang tterjadi. Di tengah kegelapan malam itu, kedengaran suara mendayu-dayu bersahutan di luar khemah. Suara itu ibarat lolongan anjing yang menyalak bulan. Pada mulanya, ia jauh, kemudian ia mendekat dan makin dekat dan akhirnya suara itu berada betul-betul bersebelahan saya (kerana saya tidur di tepi sekali di dalam khemah). Saya cuba-cuba untuk melihat dalam kegelapan itu, apakah empunya suara mendayu-dayu tersebut, namun gagal kerana gelap.

Auuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu!! Au! Au! Auuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu!!

Saya segera menarik sleeping bag dan menutup seluruh badan, termasuk muka. Saya berusaha untuk lena, untuk tidak lagi dikacau oleh suara yang menggusarkan itu.

Keesokan harinya, riuh orang memperkatakan tentang bunyi yang kedengaran semalam.

Rupa-rupanya ia adalah bunyi binatang liar yang turun dari kawasan banjaran itu, berkeliaran ke tapak perkhemahan kami untuk mencari makanan. Dan binatang itu adalah 'Dingo,' sejenis anjing liar yang berasal dari kacukan anjing dan serigala.

Saya kira, kalau esok malam haiwan ini datang, ingin juga saya keluar untuk melihatnya.

Pada keesokan malamnya, saya sekali lagi terjaga kerana goncangan khemah angkara angin dan pada tengah malam itu, saya terdengar bunyi Dingo bersahut-sahutan, mendekati khemah kami. Kerana terlalu sejuk, saya terasa seperti hendak ke tandas. Namun, malam menyelimuti kawasan perkhemahan kami dan suasananya sangat gelap. Bunyi binatang itu mendekat dan saya tidak boleh melelapkan mata kerana tak selesa.

Nak keluar ke tak nak?

Angin semakin kuat melanggar khemah.



(kalau rajin, akan disambung. kalau malas, akan tergantung)



Episod 4: Syurga tanpa bidadari


Akhirnya, setelah seminggu berhempas-pulas di Aileron, menyedut habuk, dihurung berjuta lalat, merasai malam yang sangat-sangat mencengkam tulang, bersusah-payah untuk berjalan sejauh 3km pergi 3km pulang dan merasai dugaan fizikal dan mental yang mencabar, maka kajian kami di Aileron sudah sampai ke penghujungnya.

Malam sebelum kami bertolak meninggalkan tapak perkhemahan kami, kami bertungkus-lumus menyiapkan pemetaan untuk disemak oleh pensyarah. Paginya pula, kami bangun awal-awal, membungkus kembali semua peralatan dan perkakas yang kami gunakan selama seminggu dan bersiap untuk ke kawasan kajian yang seterusnya, ke Ormniston National Park.

Sebelum kami ke sana, pensyarah telah membawa pelajar-pelajar kembali ke Alice Spring untuk membeli barang-barang keperluan untuk kem seminggu yang seterusnya. Sebenarnya, sewaktu seminggu di Aileron, kami mengalami masalah kekurangan air. Ini kerana, air paip di kawsan kem Aileron tidak boleh diminum, baik diminum begitu sahaja ataupun dimasak. Air di Aileron sebenarnya dikorek dari tanah, dipam naik ke pili-pili dan sudah semestinya mempunyai mineral-mineral asli yang menyebabkan air paip itu terasa masin. Bila kembali semula ke Alice Spring, kami bergegas ke Woolworth dan berebut-rebut air 10L di dalam kotak, kerana takut masalah yang sama juga akan dihadapi di Ormniston.

Bila difikir-fikirkan kembali, menghadapi situasi yang begitu menguji di Aileron, terasa ada suatu nikmat yang tersembunyi di balik kepayahan dan kecekalan para pelajar menyelesaikan tugasan pemetaan dan mengumpul data. Perasaan bangga terbit, mengalir bersama dengan perasaan gembira dan ada juga pukulan-pukulan ombak kesayuan di samping menampar tebing kerinduan untuk pulang ke Adelaide. Tidak dapat tidak, di Alice Spring, aku terbayang-bayang keindahan di balik kelampauan iklim di Aileron.

Oh ya, elok juga saya ceritakan bagaimana pula keadaan di Alice Spring. Alice Spring ada sebuah bandar kecil, yang pusat bandarnya rasaku seluas 1KM persegi dan susunan pusat bandarnya betul-betul berbentuk petak. Di pusat bandar ini, terkumpulnya semua jenis kedai, dari Coles hingga Harvey Norman, dan inilah satu-satunya bandar/pekan terbesar di tengah-tengah gurun di North Territory. Bila kembali semula ke Alice Spring, terasa seperti berjijak semula di atas tanah yang sudah dibangunkan manusia yang dikatakan sebagai 'civilization' itu. Yalah, di gurun, mana ada kemudahan itu dan ini. Maka, kami, pelajar-pelajar geologi, yang berdebu baju, yang tak mandi 2-3 hari, dan kusut rambut, apabila dapat menyedut udara bandar semula, menjadi perak dan sedikit kasar.

Sewaktu aku mengunyah Subway di Alice Spring, masih terbayang-bayang mi segera yang kami santap dalam kebanyakan hari-hari kami di Aileron. Sebenarnya, apabila direnungkan, rupanya kami sedang mengalami proses kerehatan mental, dengan mengalami pengasingan di dalam alam yang asli dari segala bentuk binaan-binaan manusia. Dan, berada di tengah-tengah alam yang tidak diusik pembangunan itu, membuatkan diriku seolah terasa benar-benar dekat dengan rohani, mengenali suluk dari nafsu dan amarah manusia, membiarkan sukma terbang melayang untuk sampai ke langit, tatkala fizikal disesah oleh pelbagai penyakit.

Ya, benar-benar romantis sebenarnya keadaan di Aileron.

Aku disuntik rasa sayu. Kembalinya aku ke ketamadunan manusia, bermakna aku bergelumang semula dalam lumpur masalah yang sama, masalah yang dihadapi olehku sepanjang dua puluh peratus abad. Sedangkan, di Aileron, kami diasimilisasikan dengan alam, yang kaya dengan spinifex, dengan lalat-lalat gurun, pasir-pasir berwarna merah dan sebagainya. Asimilisasi ini membuat sukmaku lebih mekar dan hidup subur dengan ingatan tentang siapa diriku dan Siapa yang Menguasai semua ini, dengan rasa merdeka dan bebas tanpa masalah manusia.

Bahkan, di dalam kepayahan yang tak putus-putus di Aileron, aku lebih menghargai huluran tangan kawan-kawan, terutamanya Mus, Mariah, Ringgo, Syed, Andrea, Vu, Huong, Romain, Scott, Josh, Horsyam dan ramai lagi yang tak tersebut di sini. Malah, pensyarah pun banyak memberi bantuan dan pengajaran, supaya kami lebih memahami bagaimana sistem alam ini telah diaturkan oleh Tuhan.

Alhamdulillah, Subhanallah dan terima kasih!

Itulah detik-detik sentimentalku tatkala 3 jam kami di Alice Spring. Perasaan itu, seperti kataku tadi, mekar dan subur sungguhpun di Alice Spring, cuacanya lebih kurang sahaja sama dengan Aileron.

Akan tetapi, sebenarnya, kem di Central Australia ini masih ada fasa kedua yang masih belum diselesaikan. Aku pula, tak sempat apa-apa lagi sudah berjiwang dengan tanah yang kering-kontang itu.

Haish!

(bersambung)

Episod 3: Atheist atau Agnostik?

Perhatikan ada garisan lurus di tengah gambar ini. garisan lurus itu adalah jalan yang kami lalui saban hari dari parkir bas ke kawasan lapangan. jaraknya lebih kurang 3km.

Dalam dua episod lepas, saya telah menceritakan panjang lebar mengenai kerusuhan fizikal dan mental saya dalam menghadapi cabaran dan dugaan sewaktu minggu pertama di Aileron. Ianya seolah-olah menceritakan ketewasan kami sebagai ahli geologi di lapangan.

Tapi, apakah trip ke Central Australia ini suatu medan untuk menonjolkan kelemahan kami sebagai ahli geologi?

Sudah tentu tidak!

Macam hero filem Tamil dan siri Ultraman, begitulah fiil hero. Kalah atau lemah dahulu pada awal pembinaan plot, kemudian menganjak naik dan beraksi dengan gaya yang penuh mendebarkan dan mengecapi kemenangan yang gilang-gemilang sewaktu cerita dileraikan.

Hari ketiga di Aileron, kesihatan kami beransur baik, berkemungkinan besar jasmani kami sudah mula mengikut rentak iklim yang tak menentu suhunya, pada lalat-lalat gurun, pada tajamnya duri spinifex dan pada keringnya hawa di situ.

Hari ketiga berjalan dengan lancar. Kami berlegar ke sana ke sini, mencari sempadan jenis-jenis batu, mencatat struktur yang penting dan menganalisis kejadian geologi yang pernah mengambil tempat di Aileron, berjuta-juta tahun dahulu.

Dan, hari ketiga, saya pulang dengan hati yang gembira, dicampur dengan rasa syukur pada Tuhan, kerana berjaya menyempurnakan tanggungjawab saya sebagai penuntut pengetahuan sistem alam yang telah diciptakan-Nya. Alam batu dan bumi.

Pada jam 4.30 petang, kami bertolak pulang dengan berjalan kaki sejauh 3km, bersama ahli kumpulan kajian saya. Saya seperti biasa berjalan di belakang, namun bukan lagi seorang diri, malah bertiga pula. Dua rakan kajian saya ini orang tempatan, orang Australia, mahu berkongsi bicara dalam perjalanan yang panjang ini.

"Awak seorang yang beragama (alim)?" tanya kawan kajian saya yang pertama.

Susah juga hendak menjawab persoalan ini. Saya sendiri tidak tahu menilai dari sudut apakah yang membolehkan saya ini dikatakan beragama. Bagi saya, setiap Muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan mengamalkan kewajipannya sebagai muslim, sudah dikira beragama Islam.

"Oh," kata saya menangguh kerana masih berfikir. "Lihat sahaja pada nama saya." Boleh kata saya berhelah, kerana tak adillah saya mengisytiharkan tahap keagamaan saya tanpa analisis yang benar. Dan, bersama kawan-kawan Ozzie, saya selesa dipanggil 'Muhammad.'

"Tapi, nama tak semestinya merujuk pada tahap keagamaan orang itu." Kawan kajian saya yang kedua mempersoalkan.

Saya hanya ketawa, tidak menjawab dan malas melanjutkan perbincangan ini.

Sebaliknya, saya menghalakan perbincangan saya kepada mereka pula. Di atas pasir Aileron yang berwarna merah perang dan sedikit jerlus seperti pasir di pantai, saya bersusah-payah mengajukan soalan.

"Bagaimana pula kamu berdua?" tanya saya menduga. Setahu saya, rata-rata orang Australia tidak mempercayai Tuhan. Elok juga saya selidiki 'Tuhan' macam mana yang mereka tak percayai itu.

"Saya Athiest." Jawapan yang sudah saya sangka yang akan keluar dari kawan kajian saya yang pertama.

"Saya Agnostik."

Agnostik? Pertama kali juga mendengarnya.

"Apa bezanya?" berpuluh-puluh lalat gurun yang menghurung muka cuba mengganggu perbincangan kami. Apa yang diminati oleh lalat-lalat ini pada kami, saya pun tak tahu. Apakah pada perbincangan kami?

"Atheist, sebenarnya orang yang tak percayakan Tuhan."

Ya saya tahu itu.

"Kalau datang bukti ketuhanan di hadapan Atheist, kami tetap tidak akan mempercayai ketuhanan itu."

Okey. Ada persoalan menarik untuk ditanya tentang bahagian ini. Tapi saya simpankannya dahulu.

"Agnostik pula," sambung kawan saya yang kedua, "adalah orang yang bukan Atheist, bukan juga orang beragama."

"Wah, itu payah," refleks mulut saya spontan.

Bukan sahaja payah nak memahami konsep Agnostik ini, malah rasa saya, payah juga untuk hidup sebagai seorang Agnostik. Bayangkan, kalau tak mempercayai agama dan Tuhan itu boleh diterima lagi, tetapi bagaimana kalau tak beragama dan tak berTuhan, tetapi tidak mengakui pula ketidakpercayaan itu? Sukar juga untuk menjelaskan, kerana ia sendiri satu bentuk kekeliruan yang amat mengelirukan.

"Boleh jelaskan?" Saya mahu juga memahami apa yang difahami oleh orang Agnostik ini.

"Begini. Penganut Agnostik, berstatus tak percayakan Tuhan pada masa sekarang ini. Misal kata, pada suatu hari, datang seorang yang boleh memancarkan kilat dari tangannya dan mengisytiharkan dirinya Tuhan, maka apabila Agnostik macam saya ini melihat kejadian itu, saya akan mengakui ketuhanannya," jelasnya panjang lebar. Sudah lebih lima belas minit kami berjalan dan berbincang, namun kawasan parkir bas masih juga tak kelihatan.

"Oh begitu." Saya menyusun kembali soalan yang ingin saya utarakan pada mereka tentang Tuhan macam mana mereka maksudkan.

"Maksud anda berdua, kalian tak percayakan Tuhan yang boleh mengeluarkan kilat dari tangan. Atau mudah kata, Tuhan macam Jesus yang dipercayai oleh Kristian? Tuhan dari kalangan manusia?"

Lalat menghurung bibir, hidung, mata dan telinga. Beberapa pelajar lain yang berjalan di hadapan, saya kesani terdapat beratus-ratus lalat yang hinggap di bahagian belakang mereka. Itu lalat yang tidak terbang. Yang sedang terbang dan menghurung, tidak terkira lagi banyaknya.

"Ya, itulah yang kami pertikaikan," kata kawan kajian saya yang pertama. "Barangkali orang yang boleh mengeluarkan kilat di tangan itu melakukan magik. Atau mungkin zaman ini dia menggunakan sains untuk menipu manusia dan membuatkan manusia percaya akan ketuhanannya. Tetapi, baik Atheist atau Agnostik, kami tak dapat membuktikan ketiadaan Tuhan."

Kawan kajian saya yang kedua mengangguk-angguk tanda setuju.

Nampaknya, mereka meragui 'tuhan' yang wujud dari kalangan manusia. Dari segi sejarah, banyak 'tuhan-tuhan' manusia ini muncul dan mewujudkan agama baharu yang menyebabkan kesesatan dan kecelaruan. Dari satu segi lain, kadang-kadang 'tuhan-tuhan' ini diwujudkan oleh pengikut yang fanatik, sehingga berlebihan pula pujaan, sehingga menyebabkan kekeliruan. Dalam istilah agama, ia bermula dengan khurafat, lantas menjadi syirik. Dan, syirik itu adalah dosa yang tak terampunkan. Itulah akibatnya, mempercayai 'tuhan' itu adalah dari kalangan manusia, dari kalangan makhluk. Tapi, bagaimana saya bisa mengungkapkan dan menjelaskan pada mereka tentang konsep ini dengan mudah dan dalam perjalanan yang seolah-olah tiada penghujung. Barangkali keletihan akan lebih menyusahkan penerangan tentang konsep yang besar lagi benar yang saya fahami ini. Saya susuni bicara sekali lagi.

"Benar, saya menyetujui kamu juga tentang hal ini," kata saya.

Ada tanda-tanda kekagetan yang saya kesani pada raut wajah mereka. Tapi, saya kira itu hanya perasaan saya sahaja.

"Sebenarnya, kami, Muslim, tidak mempercayai manusia itu mempunyai kemampuan untuk menjadi Tuhan. Sedangkan Tuhan itu yang menciptakan manusia, kenapa tiba-tiba pula manusia mahu mengakui dirinya Tuhan?" Saya menelan air liur, gusar juga tersalah bicara. Saya tarik nafas perlahan-lahan. "Tuhan itu lebih Tinggi, lebih Mulia dari apa yang digambarkan oleh kalian. Dia bukanlah dari manusia. Dia adalah Dia. Tuhan yang Mencipta."

Mereka tersenyum.

Pada perkiraan saya, setelah memberi penerangan itu, eloklah saya diam, memberi ruang mereka menghadam apa yang telah saya sampaikan.

Dan, perbincangan kami terhenti di situ sahaja.

Setelah setengah jam perjalanan, kelibat bas yang berwarna putih sudah kelihatan. Terasa perbincangan kami yang panjang lebar (termasuk beberapa isu yang tidak saya tuliskan di sini), telah menyingkatkan perjalanan kami. Rasanya, ada bagus juga kalau ada teman-teman yang bersembang sepanjang perjalanan dan keletihan bekerja seharian seolah-olah tidak terasa.

Namun, begitulah interaksi saya dengan orang tempatan. Walaupun perbincangan kami tak mencapai resolusi atau kesimpulan bersama, namun, saya berdoa, pencerahan yang sedikit itu, mampu membuka laluan untuk mereka untuk lebih mengkaji. InsyaAllah, saya mengharapkan hidayah kepada sesiapa sahaja yang membuka tingkap hatinya untuk cahaya Ilahi masuk.

Bagi saya, yang kurang ilmu ini, semoga Allah kurniakan keteguhan iman dan sinar ilmu untuk saya mendepani ujian yang dibentangkan oleh-Nya.

Hari-hari pemetaan semakin berkurangan. Saya tak sabar untuk pulang.

(bersambung)

Episod 2: Sesat dari Mount Boothby


Hari kedua di Aileron terasa segalanya semakin mencabar. Demam dan batuk memamah kesihatan dan kecergasan, malah otakku semakin pudar kecerdasannya. Namun, semangat yang ditonjolkan oleh Mus, Ringo, Syed dan Mariah membuatkanku terasa ketinggalan andai mahu berehat-rehat sahaja meladeni ketidaksihatanku di dalam khemah. Lantas, aku berpagi-pagi bangun dan menguatkan semangat, demi pelajaran dan pengetahuan yang harus dituntut. Aku sematkan dalam jiwa, 'aku tak bisa mengalah.' Suara halus di dalam jiwa mengatakan 'pantang dicabar,' juga bersipongangang di dalam relung jiwa. Entah kenapa slogan-slogan bersemangat itu bergema-gema dan tidaklah aku ketahui dari mana puncanya. Apa-apa pun, ada hari yang mencabar yang perlu ditempuh.

Kami memanjat Mount Boothby setinggi 800m dari aras laut. Struktur gunung itu sendiri terasa amat mendangkalkan. Sementelah dengan kesihatanku yang terumbang-ambing, setiap dakian ke puncak terasa seperti kezaliman terhadap staminaku. Aku tertinggal jauh ke belakang. Terjatuh terlentang sekali tatkala mahu melangkah batu setinggi paha. Tergolek ke dan tertampan sekali lagi di atas pokok Spinifex dan banyak sembilu yang tertancap di tapak tangan. Hari bersama 'demonstrator' yang berjalan laju di hadapan terasa amat-amat melelahkan, apatah lagi bagiku. Seringkali aku tertinggal di belakang dan tercungap-cungap mencari udara. Kawan-kawan sekumpulan dalam kajian lapanganku ini sibuk menghulurkan tangan, membantuku sekadar termampu.

Mount Boothby terdiri daripada susunan batu yang besar, yang melindungi kawasan yang lebih tinggi di belakangnya. Maknanya, apabila kami memanjat gunung ini, kami terasa seolah-olah sudah berada di puncak, padahal, apabila kami bergerak dua tiga langkah ke hadapan, rupa-rupanya ada 20 meter lagi untuk dilangsaikan. Apabila kami menakluk 20 meter itu, ada lagi 20 meter yang perlu dipanjat lagi. Perkara ini berulang empat kali kalau tak salah aku. Dan empat kali menghadapi situasi ini, memang benar-benar memerah tenagaku sampai ke titisan terakhir.

Kami tiba di puncak lebih kurang jam 3 petang. Itupun, aku sudah kenanaran dan malas mengambil data dan bacaan batu di situ. Penerangan 'demonstrator' tidak lagi aku dengar, sebaliknya aku hanya duduk-duduk dan terasa seperti hendak muntah. Entah ke mana teriakan semangat 'aku tak bisa mengalah' dan 'pantang dicabar' hilang. Apa yang mampu aku beri perhatian adalah keindahan dari puncak Mount Boothby itu, melihat muka bumi Australia yang terbentang dengan daratan. Gunung-gunung dan bukit-bukit lain yang berada di sekeliling kelihatan seperti pulau-pulau di tengah samudera, memacak tinggi dan dari puncak, kelihatan kenderaan yang melalui lebuhraya dua lorong seperti seekor semut yang bergerak perlahan-lahan. Itulah yang mampu aku hayati. Bukan lagi kuliah geologi di atas ketinggian 800m dari aras laut.

Jam 4 petang, kami bertolak pulang, menyusur jalan curam untuk sampai kembali ke bas. Jalan turun dari puncak Mount Boothby sangat-sangatlah mencabar. Serasa-rasa, kecondongan jalan turun itu melebih 30 darjah. Kebanyakan ahli kumpulanku mengambil keputusan untuk mengambil jalan pintas untuk sampai ke tempat parkir bas. Jalan pintas ini melalui kawasan paling curam dan merempuh hutan pokok Gum dan busut-busut semut.

Seperti biasa, aku paling lambat sekali dalam perjalanan, termasuk perjalanan pulang ini. Mujur, aku ditemani oleh seorang pensyarah yang berjalan di belakang sekali, untuk memastikan keselamatan pelajar, seperti aku tentunya. Terkial-kial juga aku menyusun langkah, mengelak spinifex dan batu-batu longgar, dan sekali sekali menggelungsur dan melompat, supaya selamat mencari keseimbangan tempat berpijak. Akan tetapi, seperti bicara peribahasa, malang tak berbau, sungguhpun lalat gurun terbang di mana-mana. Aku terjatuh juga sekali lagi di atas spinifex. Seluarku juga koyak kerana terlanggar gerigis batu yang tajam. Luka-luka di badan, usahlah diceritakan.

Setelah perjalanan turun yang mengerah fizikal dan mental, perjalanan masih berbaki 3km merempuhi hutan pokok Gum dan busut-busut semut. Sebenarnya, kami tak nampak pun tempat parkir bas dan kawan-kawan kumpulanku sudah jauh meninggalkan aku dan pensyarahku ini. Susah juga menentukan koordinasi memandangkan kami terselindung di bawah pokok-pokok setinggi 3 meter dan hari juga semakin gelap. Berpandukan kompas, pensyarah yang menemaniku tadi cuba menentukan arah. Mula-mula kami berjalan lurus. Apabila perjalanan kami tiba-tiba dihalang oleh sebuah bukit kecil, kami berdua menukar arah. Kemudian, kembali memanjat bukit kecil tersebut kerana merasakan arah kami tersilap. Di puncak bukit kecil tersebut, pandangan kami ke arah tempat parkir bas masih tak kelihatan.

Perjalanan masih jauh, perasaanku memberitahuku. Jarak dari tempat kami berdiri seakan-akan tiada penghujung, apatah lagi dengan tubuhku yang sudah tak bermaya. Air di dalam kantung beg dan botol juga telah kering. Kakiku juga telah kebas dan terasa lecetan di tapak kaki menjadi semakin kritikal. Ingin sahaja aku rebah dan pengsan, supaya ada orang mengangkatku dan tak perlulah aku berjalan lagi dengan penuh seksa. Tetapi, memikirkan rasional cadangan yang tak masuk akal ini, aku cuba gagahkan diri. Sekali lagi, slogan 'aku tak bisa mengalah' dan 'pantang dicabar' berbunyi-bunyi di kuping telinga, seolah-olah ada orang yang berucap dengan penuh karisma memberi semangat padaku.

"How far we gonna walk?" tanyaku, memberi isyarat putus asa. Memang aku terasa kami berdua telah sesat di tengah hutan pokok Gum dan busut-busut semut yang berwarna merah setinggi pinggang.

"It should'nt be far. Let's keep walking," loghat British pensyarah amat pekat dengan optimis, dan aku terasa sangat kelat untuk menelan realitinya. Dia kelihatan yakin dan cuba memberi keyakinannya padaku.

Aku mengeluh. Berjalan, kadang-kadang cuba menambah kelajuan, tetapi kembali termengah-mengah. Hari semakin dingin dan semakin kelam. Pokok-pokok di hadapan seakan tidak ada penghujungnya. Tambahan, pensyarah yang bersamaku ini tidak berhenti langsung untuk berehat sejak tadi. Letih dan penat, cuba meruntuhkan semangatku yang masih bersisa.

'Aku tak bisa mengalah.'

'Pantang dicabar.'

'Tuhan, kerdilnya aku di bumi-Mu.'


Akhirnya, aku nampak kelibat Mus yang berada di hadapan. Harapan di jiwa mulai menyinar dan aku dapat rasakan, kami tidak jauh lagi dari tempat parkir bas. Juga, perasaan tersesat di tengah hutan pokok Gum dan busut-busut semut semakin memencil. Aku kuatkan langkah, sepadan dengan tenaga yang masih bersisa. Dalam hatiku, aku kuatkan diri dengan berzikir dan berzikir, lagi dan lagi, mengingati kebesaran Tuhan dan menginsafkan diri, betapa lemahnya diri ini di tengah alam ciptaan-Nya.

Setelah hampir sejam lebih kami berjalan, akhirnya, kedengaran bunyi kereta dari lebuh raya. Kelihatan beberapa kelibat pelajar yang berjalan di hadapan dan kami bersegera menyertai mereka. Akhirnya, kelihatan bas yang berwarna putih yang diletakkan di pinggir lebuh raya dan beberapa pelajar lain yang sedang duduk-duduk.

Saat itu, aku terasa seperti segala beban yang berada di pundak meresap ke dalam udara dan tubuhku terasa ringan untuk melangkah kembali. Aku hanya mampu tersenyum, pada Mus dan pada Horsyam, rakan dalam kumpulan kajianku. Aku duduk bersebelahan jalan lebuh raya, meminta air dari Horsyam dan cuba berbual-bual dengan Mus, untuk mengusir segala rasa ingin pitam.

Sesampainya di tempat perkhemahan, aku merebahkan diri di dalam khemah, di atas tilam angin yang empuk, setelah solat jamak ta'khir asar dan zuhur. Itulah tenaga yang akhir yang aku rasakan masih tinggal. Dan hari itu, sekali lagi, aku tidur awal seperti malam sebelumnya. Pada firasatku, setakat kehidupanku ini, inilah hari yang menduga fizikalku sampai ke hadnya. Syukur pada Tuhan, aku dapat menempuhinya dengan cekal dan tabah.

Akan tetapi, hari pemetaan masih banyak lagi, hitungku sendiri.

(bersambung)

Episod 1: Spinifex





Sebenarnya, saya berhempas pulas untuk berkongsi cerita di blog ini, sebaik sahaja saya pulang dari Central Australia. Memang banyak kejadian-kejadian menarik yang ingin saya kongsikan, namun, kelelahan 2 minggu dicabar oleh kuasa alam ciptaan Tuhan, membuatkan fikiran saya tercungap-cungap kerana kekurangan stamina. Saya cuba berhadapan dengan laptop dan papan
kekunci, namun gagal membariskan kata-kata.

Namun, setelah menjalani proses kerehatan yang panjang, saya kira harus saya paksakan juga diri ini untuk mengarang. Jika tidak, ia akan menjadi seperti kabus, yang menghilang apabila masa makin menginjak.

Dari segi mental, saya boleh dikatakan kurang bersedia sangat untuk menghadapi cabaran yang serba hebat ini. Sebaik sahaja habis peperiksaan, saya kami terus bertolak ke Alice Spring, menempuh perjalanan selama 20 jam untuk sampai ke sana. Tambahan, 'mood' peperiksaan yang masih membancuh pekat di dalam kepala, juga keletihan menyiapkan laporan projek tahun akhir, membuatkan kepala otak saya semakin pupus kekuatannya. Dari segi fizikal pula, saya
ada juga cuba menyediakan diri. Namun, saya kira, apa yang ingin saya ceritakan dalam episod-episod Central Australia ini, akan menjelaskan sama ada persediaan yang saya lakukan itu berhasil ataupun tidak.

Seperti kebanyakan yang kita tahu, Central Australia terkenal dengan gurun sebelah Hemisfera Selatan. Kata pensyarah, tempat yang kami lawati ini adalah 'World Class Geological Places,' di mana ia menyimpan seribu satu khazanah struktur batu yang berpotensi untuk meruntuhkan teori Tektonik Keping yang begitu mahsyur di kalangan ahli geologi. Kami telah melakukan kajian di 2 kem, Aileron dan Ormniston, tinggal di sana selama 1 minggu setiap satu. Kedua-dua kawasan kajian ini terletak di negeri Northern Territory dan berjarak lebih kurang 130km dari Alice Spring, pekan yang terdekat.

Kami memulakan kajian di Aileron. Tempatnya memang boleh dikatakan sangat terpencil, hulu, terperuk dan jauh dari ketamadunan manusia. Aileron kaya dengan habuk dari pasir-pasir berwarna merah, lalat-lalat tanah yang menghurung muka, busut-busut semut, tahi-tahi kangaroo yang bulat seperti tahi kambing dan rumput-rumput spinifex yang tumbuh subur melata di atas muka bumi Aileron. Dari segi geologinya, Aileron menyimpan khazanah 'high grade metamorphosed gneiss and metasediments' yang merekodkan sejarah kejadian subduk yang berlaku berjuta tahun dahulu.

Malam pertama kami di Aileron, kami terpaksa menghadapi cuaca yang sangat-sangat sejuk. Bayangkan, saya telah memakai baju lengan panjang, jaket salji yang tebal, seluar berserta kain pelikat, berstokin dan bersarung tangan dan dibaluti oleh 'sleeping bag,' namun, apabila saya terjaga di tengah malam, saya masih menggelatar. Menggeletar kerana terlalu sejuk!


Keesokan harinya, kami semua ke lapangan untuk membuat pemetaan batu di situ dan mengumpul data untuk menulis laporan tentang geologi di Aileron. Iklim bertukar. Hari siang menjadi panas dan lalat gurun keluar dari sarang dan menghurung muka. Saya diserbu oleh ratusan lalat dan lalat-lalat ini amat gemar menghurung bibir, telinga dan mata. Jenuh kami semua melibas, menghalau dan menampar, tetapi, lalat-lalat itu seakan bertambah-tambah pula.

Di kawasan pemetaan, kawasannya sangat kering dan berhabuk. Saya perhatikan tanah di sini benar-benar berwarna merah keperangan, dan akan meruap naik menjadi debu apabila orang berjalan di atasnya. Sebenarnya, sebelum kami sampai ke kawasan pemetaan, kami perlu berjalan sejauh 3km dari tempat kami diturunkan oleh bas. Jadi, sepanjang perjalanan 3km itu, rasanya, lebih satu kilo habuk tanah telah kami sedut ke dalam peparu.

Amali lapangan setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Dalam tempoh itu, kami akan merayau di kawasan kajian, sambil membawa 'air-photo,' kertas surih yang dilekatkan pada 'mapping board' yang lebih kurang sebesar dua kertas A3. Dalam tempoh itu juga kami akan mengumpul bacaan kecondongan batu, mencari sempadan batu pelbagai jenis dan mencatat apa sahaja struktur menarik mengenai batu tersebut.

Dalam tempoh 8 jam ini juga, betis, tapak tangan juga belakang terdedah pada spinefex, sejenis pohon gurun yang mempunyai pucuk daun yang sangat tajam.


Spinifex boleh disinonimkan dengan kehidupan di gurun. Boleh dikatakan, setiap 1 meter persegi, pasti ada pokok spinefex yang sebesar kuali yang ditelangkupkan. Spinifex ini juga ibarat landak, tetapi daun-daun berdurinya lebih tirus dan runcing. Apabila berjalan melaluinya, betis akan ditusuk oleh hujung daun spinifiex ini, meninggalkan calar-balar. Lebih malang lagi, apabila anda terjatuh di atasnya, dan tangan anda mendarat terlebih dahulu di atas pokok ini. Daun-daun tajam yang runcing akan menikam tapak tangan, terpatah dan tertinggal di dalam kulit. Jika tidak dibuang, ia akan bernanah. Dan, yang paling malang sekali antara semua kejadian, adalah apabila anda jatuh terduduk di atas spinifex ini. Sebenarnya, seluar bukanlah pelindung yang baik untuk menyelamatkan kulit anda. Nak tak nak, dalam kehidupan di tengah gurun ini, anda terpaksa juga menerima tikaman pokok yang tajam daunnya. Jika gagal mengeluarkannya sendiri, terpaksalah meminta bantuan kawan yang anda paling percayai untuk selumbar atau sembilu spinifex itu.

Dek terkejut dengan iklim ekstrim dan cabaran yang serba-serbi, saya pun dilanda demam pada hari pertama. Saya berasa pening dan berpinau, gagal mengawal pergerakan dan dua tiga kali terjatuh di atas pokok spinifex. Tangan saya tertampan di atas duri-duri tajam dan sampai hari ini, saya mengesani, ada dua tiga selumbar spinifex yang masih tertinggal di tapak tangan. Saya pulang ke khemah dengan penuh kelelahan dan kehilangan semua tenaga saya.

Nampaknya, cabaran di gurun lebih dahsyat daripada apa yang saya sangkakan. Tambahan, dengan demam yang mula menjangkit, dengan batuk berkahak mula meningkah, saya mula merasakan seperti hendak melarikan diri dan pulang ke Adelaide. Dan perasaan itu datang apabila saya baru sahaja dua malam di Aileron, sedangkan proses pemetaan masih berbaki 2 minggu.

Malam setelah hari pertama di lapangan, saya tidur awal. Seawal jam 8 malam. Saya berkira-kira dalam hati, apakah cabaran seterusnya untuk hari-hari mendatang di tengah gurun yang serba mencabar ini.

(bersambung)

Surat dari Kanda


Surat tanpa tarikh dan tanpa alamat pengirim ini diutus oleh salah seorang rakyat Malaysia yang telah ditahan di Guantanamo. Ia telah ditulis semula untuk di ruang ini untuk kita semua mendapat pengajaran dan mengambil iktibar tentang apa yang ingin disampaikannya. Jutaan terima kasih buat salah seorang mahasiswa dari Adelaide kerana sudi berkongsi dan memberi izin untuk warkah ini dibaca dengan lebih meluas.

Assalamualaikum warrah matullah,

Ke hadapan adik-adikku yang gigih menuntut ilmu pengetahuan. Semoga kalian teguh dalam perjuangan dan dirahmati Tuhan sentiasa.

Kanda menulis warkah ini kerana merasakan inilah satu-satunya cara yang terbaik untuk kita saling berhubungan dalam kekalutan yang berlaku di dunia kita sekarang. Pihak musuh, dengan keupayaan teknologinya, dengan CIA, FBI dan Scotland Yard, sudah memasang banyak mata di mana-mana pun, terutamanya dalam dunia virtual elektronik ini. Jadi, rasional kanda mengarang surat tulisan ini, supaya ia tak mudah terhidu. Harapnya begitulah. Moga adik-adikku sekalian, bersabar dan cuba mengambil pengajaran sebanyak mungkin tentang apa yang kanda ingin katakan.

Adinda yang kanda kasihi,

Dalam warkah kali ini, ingin sekali kanda ingatkan semula tentang pemahaman kita terhadap kehidupan di dunia ini. Seperti yang kanda terangkan, salah faham kebanyakan orang, mengatakan bahawa kita diturunkan ke dunia ini tanpa apa-apa pengetahuan. Seolah-olah kita ini bodoh, jahil dan kosong, diturunkan Tuhan ke bumi ini, untuk kita menyelongkari kebenaran dengan tangan kita sendiri. Kita didoktrinkan dengan falsafah René Descartes, yang mengatakan bahawa 'Cogito ergo sum,' yang bermaksud 'I think, therefore I exist.' Fahaman Descartes yang menunjangi falsafah Barat ini telah meracun pemikiran masyarakat Timur, terutamanya kita, yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. 'Terima kasih banyak-banyak' kepada athiest-athiest Inggeris yang berlayar jauh-jauh ke Tanah Melayu, semata-mata untuk menjatuhkan pemahaman tauhid kita dengan mengatakan; 'Tuhan itu wujud kerana anda memikirkannya.' Sekarang, setelah ulangtahun ke seratus penjajah Inggeris ke atas tanah air kita, kita dapat melihat buah beracun kecelaruan pemikiran ini. Rakyat Malaysia menjadi keliru dan semakin sukar menerima kesahihan Islam, sama ada akidah dan syariatnya, yang merupakan jati diri dan tulang belakang budaya dan ketamadunan kita. Malah, budaya popular yang menular masuk, termasuk pemujaan hiburan yang melampau, serta takrif liberalisme dalam agama menjadi semakin diterima dalam masyarakat kita. Kanda tidak dapat tidak untuk memperkatakan hal ini, supaya adik-adik dapat renungkan, meskipun memerlukan renungan yang dalam. Dengan renungan yang dalam sahajalah, kita akan mengerti apa sebenarnya realiti, dan memudahkan kita mencari solusi.

Adinda yang kanda sayangi,

Sebenarnya, manusia diturunkan ke dunia ini tidak bodoh, tidak jahil dan tidak kosong. Sewaktu Nabi Adam as diturunkan ke dunia, dadanya sudah penuh diisi ilmu oleh Allah SWT. Malah, dalam surah Al-Aa'raf ayat 172, para ruh telah berjanji dengan Allah SWT, bahawa dialah Rab, yang patut disembah, yang perlu diikuti perintah-Nya dan dijauhi larangannya. Manusia yang diturunkan ke dunia ini dengan pengetahuan itu, dan terbias menjadi fitrah asli insan. Allah juga mengurniakan akal pada manusia, untuk menimbang, dengan dibantu oleh panca indera, supaya kebenaran dan sumpah yang diucapkan di hadapan Allah di alam ruh itu, diteguhkan sepanjang masa di alam syahadah ini, alam dunia ini. Kemudian, Allah mendatangkan Rasul, untuk menyampaikan peringatan dan memelihara firman-Nya di dalam kitab-Nya supaya menjadi rujukan sehingga dunia ini dilipat. Ini supaya, kita selamat kembali semula ke kampung asal kita, di syurga, tempat nenda Adam dan Hawa as. Bukan sekadar menumpukan kehidupan sementara di dunia ini, bahkan untuk menyediakan diri untuk kehidupan yang tak akan berakhir di akhirat sana.

Nah, bukankah lain benar paksi pemahaman kita antara Timur dan Barat. Atau lebih tepat kanda katakan, anda Islam dan bukan Islam?

Hakikatnya, manusia dinamakan insan kerana Allah mencipta kita dengan sifat lupa. Kita mudah lupa pada perjanjian yang telah kita lafazkan di hadapan Tuhan, lama di alam ruh dahulu. Tetapi, dengan peringatan, dengan panduan dan dengan jalan yang ditunjukkan Tuhan, kita tidak boleh mengemukakan alasan 'lupa' sekiranya ditanya di hadapan Tuhan. Sebab itulah, adinda sekalian, perlu sentiasa saling mengingati diri, juga adik-adik yang lain, juga saudara, juga ibu bapa, juga teman-teman adinda dan masyarakat di sekeliling, tentang yang benar dan yang salah. Tentang apa yang telah kita janjikan dan apa yang kita telah lupakan. Tentang matlamat akhir perjalanan kita dan tentang tipu daya dunia yang sekadar senda gurau.

Nyatalah, usaha untuk kita saling memperingati dan saling selamat-menyelamatkan ini bukan satu kerja yang mudah. Ada sahaja halangan yang perlu kita anggap sebagai ujian, dan di balik ujian itu, ada hikmah andai tabir masa dan fikiran kita selak dengan penuh kesabaran. Malah, usaha pentarbiyahan, atau lebih tepat kanda sebutkan sebagai usaha ta'dib, untuk memberitahu manusia lain, tentang betapa tingginya nilai kemanusiaan yang ada pada diri mereka, tentang tempat yang seharusnya mereka impikan dan perbuatan yang selayaknya mereka lakukan. Malah, dijadikan binatang sebagai makhluk yang hidup bersama di dunia ini, untuk kita perhati, beza antara kita dan mereka. Beza antara manusia dan binatang. Beza antara binatang dan lebih teruk dari binatang.

Di sudut lain pula, Allah menurunkan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan, par excellence, sebagai manusia berakhlak sempurna, untuk kita jadikan contoh dan ikutan, baik dari segi perbuatan atau dari segi pemikiran, juga dari segi perasaan. Sekali lagi kanda ingin tegaskan, kita di dunia ini, bukannya tidak dibekalkan dengan apa-apa, malah diberi serba-serbi kelengkapan, supaya selamat sampai di halaman sana, halaman yang dijanjikan oleh-Nya.

Adik-adikku yang kanda cintai,

Adinda sekalian masih menuntut di alam mahasiswa. Malah, adinda sekalian adalah mahasiswa luar negara, yang masih muda, dibiaya sepenuhnya oleh kerajaan atau agensi swasta. Malah, adinda sekalian adalah golongan terpilih, untuk menjadi agen pengubah, bagi masyarakat kita di tanah air. Maka, gunakanlah kelebihan ini dengan sebaiknya. Adinda bukan sekadar sahaja perlu belajar dan menguasai jurusan yang adinda ceburi, malah gunakanlah peluang ini untuk mendalami kemakmuran dan kecanggihan teknologi yang dipunyai oleh tamadun di sini. Belajar maksud kanda tidak semestinya kita perlu tunduk mengikut. Ambillah misalan orang Melayu kita dahulu, saat kapal dagang lalu, ditelitinya tebat layar, kemudi dan bentuk kapalnya. Baik kapal yang melalui selat Melaka itu adalah tongkang dari China, Dau dari Arab atau Galleon dari Eropah. Lalu, dipilihnya mana yang terbaik antara ciri-ciri kapal yang berulang-alik ke Timur dan Barat setiap enam purnama itu, lalu direka sebuah Bedar yang lebih moden, yang lebih canggih dan terbina daripada elemen-elemen yang terbaik dari kesemua kapal di dunia ini.

Itulah gunanya belajar di negeri orang dan di tengah kebudayaan yang asing dari kita. Kanda kira, adinda akan menyiapkan sebuah Bedar yang sempurna, yang akan membawa masyarakat kita di tengah gelombang dunia yang semakin menggila sekarang. InsyaAllah, pada hemat kanda, ini adalah rahmat yang diberikan Tuhan pada adinda sekalian. Rahmat yang berupa peluang untuk belajar dan menyaring ilmu luar, untuk dimanfaatkan untuk membina semula ketamadunan kita, ketamadunan umat Islam.

Adindaku sekalian,

Inilah rasional kanda menyelak selimut yang setelah sekian lama menyelesakan, turun dari katil yang membuatkan kanda tidur nyenyak dan berani menyentuh salji di luar. Inilah alasan kanda mengikuti cara hidup yang kurang popular, kurang diamalkan oleh rata-rata manusia, yang kadang-kala bertentangan dengan arus perdana. Perit maung menahan kepedihan dibiarkan, didiskriminasi, menangis sendirian dan meraung-raung di atas sejadah kerana mahu mengalah, telah mendewasakan kanda, mematangkan kanda dan menjadikan kanda lebih berani. Berani untuk bangun dan terus berlari, untuk mengatakan apa masalah dan apa jalan keluarnya, untuk berani membaca apa yang mencabar pemahaman kanda selama ini dan berani berhujah di hadapan orang-orang yang pintar berbicara. Bukannya kanda ingin mengangkat bakul sendiri, tetapi, bila ditanya kenapa kanda sanggup menempuh kehidupan ini, inilah jawapan yang terbaik yang kanda rasa, untuk menjelaskan situasi kanda.

Ini jalan yang telah kanda pilih dan kanda akan laluinya dengan tabah. Biarpun dikejar oleh CIA dan FBI untuk disumbat ke dalam penjara Guantanamo, kanda akan tetap mempertahankan kefahaman kanda dan akan mengkongsikannya pada sesiapa yang kanda sempat ketemui. Adinda sekalian, mempunyai komitmen yang selari dengan kapasiti adinda. Maka, terokailah diri adinda dan kenalilah apa dan bagaimana ciptaan sudut pandang, emosi dan fizikal adinda. Andai sama seperti kanda dan mahu menjadi seperti kanda, maka kita akan melangkah seiring dan berlari laju ke arah matlamat yang kanda huraikan di atas tadi. Andai berlainan pandangan, maka inilah dikatakannya sebagai kelebihan. Laksana bangunan, ada batu-bata yang saling mengukuhkan. Asalkan matlamat kita sama, asalkan caranya itu kena pada kehendak-Nya dan logik diusahakan dengan kapasiti tenaga dan umur yang terhad, maka jalanilah dengan bersungguh-sungguh dan cekal. Kita akan membina tamadun seperti bangunan yang kukuh pada tapaknya dan tinggi mencakar langit, teguh berdiri sungguhpun zaman berganti.

Semoga anak-cucu kita akan bersyukur diwariskan dengan usaha yang telah kita usahakan. Usaha yang telah kita jayakan, bermula dari hari ini. Bahkan, yang paling penting, usaha ini mendapat keredhaan dari Allah SWT, kerana tanpa keredhaan-Nya, tiadalah guna kita menjadi manusia.

Maafkan kanda kerana tidak menulis dengan lebih rinci. Masa begitu mencemburui. Malah, tempat yang kanda tinggal sekarang pun, katanya sudah dikesani penyiasat. Kanda perlu mengungsi lagi, atas dasar keselamatan dan atas dasar kesinambungan usaha kita untuk melihat tamadun kita kembali berada di tempatnya.

Sekian sahaja buat masa ini. Kasih sayang kanda buat dinda sekalian, moga dapatlah dizahirkan. Maafkan kanda andai memungkiri janji ini saat berada di dunia. Kanda pohon pada Tuhan yang Esa, supaya di syurga nanti, dapatlah kita kembali bermesra dan menceritakan kembali episod ini dengan rasa suka dan penuh dengan rasa cinta. Insya-Allah.

Wallahualam.

Wasalam.

Bangsawan

Akhirnya, setelah dua tiga hari aku menderita di balik ESBE (Exam Shocked Brain Effect), aku dapat kembali semula melakukan perkara yang aku cintai sepenuh hati. Nyatalah, kongkongan intelektual yang datang dengan penderaan mental sememangnya lebih sukar dijalani daripada dugaan fizikal. Dan, kebetulan pula aku ini bukanlah jenis ahli ragbi yang mewakili Malaysia, maka 2-3 hari jugalah aku ambil masa untuk kembali pulih daripada ESBE. Dan setelah pemulihan ESBE, akal sebelah otak kanan boleh kembali beraksi.

Kali ini, mari kita berkongsi renungan semula.

Bangsawan.

Gelaran zaman Pertengahan yang membawa maksud sama dengan golongan elit. Walaupun zaman berubah ke zaman Teknologi Maklumat, golongan ini terus wujud dalam kelas manusia dan mengamalkan fi'ilnya tersendiri.

Bangsawan.

Bangsawan bukan terbit daripada perkataan bangsa+sawan. Ia adalah kata terbitan bangsa+wan. Seperti angkawasan, negarawan dan sasterawan, bangsawan merujuk kepada sekumpulan manusia yang ahli (pakar) kepada kata terbitan awal itu. Misalnya, kalau kita mengatakan si SM itu angkasawan, maka dia adalah pakar angkasa. Juga, jika Tun Det kita kata negarawan, maka dia adalah pakar membangunkan negara.

Namun, bangsawan, tidak semestinya pakar mengenai bangsanya. Atau dalam erti kata lain, bangsawan bukanlah penentu 'standard' dan identiti sesuatu bangsa itu. Yang menentukan 'standard' dan identiti sesuatu bangsa digelar budayawan.

Maka, apa itu bangsawan? Mari kita renungi kamus Dewan:

bangsawan1. (orang) berbangsa, (orang) keturunan mulia: seorang ~ yg bernama Datok Alam Tujuh

Jadi, nampaklah kita bahawa bangsawan itu golongan yang mulia, dipandang tinggi, bersinonim dengan perkataan aristokrat, ningrat dan permasan. Golongan yang dikatan mulia, aristokrat di zaman ini merujuk kepada para professional yang menjawat jawatan teknikal yang kritikal dan juga merujuk pada golongan manusia yang memegang tampuk kuasa sesuatu organisasi, baik organisasi syarikat ataupun politik.

Maknanya, anda di Adelaide ini bolehlah dikatakan perantis bangsawan, kerana anda adalah pelajar-pelajar sekolah yang terpilih, dibiaya dengan biasiswa dari kerajaan dan syarikat swasta, belajar subjek-subjek kritikal dan akan pulang ke negara (atau tinggal di sini) untuk menjawat jawatan jurutera, doktor, ahli kaji bumi, pakar ekonomi, akauntan, bioteknologi dan sebagainya.

Jadi kenapa? (So what?)

Satu persoalan di sini, apakah kita bersedia untuk menjadi pelapis golongan bangsawan yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat?

Jawapannya, ya atau tidak.

Ya, sekiranya anda sedar anda itu lapis bangsawan yang akan meneraju negara mengikut cabang kepakaran anda. Mulia di sini tak semestinya pandai mengendalikan mesin, pandai membedah, pandai mengira turun naik saham sahaja. Mulia merujuk kepada manusia yang lengkap dari semua segi; akhlaknya, kepintarannya, kesungguhannya dan banyak lagi. Dengan kesedaran ini, masyarakat akan memandang golongan ini sebagai golongan yang perlu dihormati, dicontohi dan secara tidak langsung, akan memandu sesuatu bangsa itu menjadi bangsa yang lebih mulia, dihormati dan dicontohi.

Tidak, sekiranya anda masih tiada kesedaran yang anda akan menjadi bangsawan. Anda leka membazir masa dan wang berseronok ke sana ke sini di negeri orang, tanpa belajar dan menggali khazanah bangsa orang lain. Anda ralit duduk di hadapan laptop, menghabiskan kehidupan anda dengan menjawab kuiz-kuiz di Facebook, menonton movie dan bermain game, ber-chatting demi mempertahankan cinta jarak jauh dan sebagainya. Anda bukanlah pelapis bangsawan sekiranya anda jenis telinga satu, jenis mendengar sahaja kata orang, tanpa mengkaji dengan lebih mendalam kebenarannya, lebih suka gossip dan sensasi dan berusaha membina gossip dan sensasi, berkelompok dalam kumpulan tersendiri tanpa meneroka masyarakat yang pelbagai ragamnya dan lain-lain lagi. Anda juga tidak bersedia apabila disuguhkan dengan pengarangan-pengarangan yang luar dari skop kehidupan anda, yang lebih kritikal dan mencabar pemikiran dan apabila menulis sesuatu, anda lebih suka menceritakan hal yang mustahil, hal jiwang-jiwang, hal yang merapu-rapu dengan bahasa yang tunggang-langgang, dan sanggup pula mempamerkan tulisan anda untuk tatapan orang ramai.

Jadi, apa ke halnya? (So, what's the point?)

Aku menceritakan tentang renunganku tentang perbuatan kita sekarang dan cerminannya apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kalaulah kita sedar perjalanan kita dalam kehidupan ini, pasti kita akan berusaha merancang dan memilih perancangan yang betul.

Lainlah anda tak bercita-cita. Anda lebih selesa bergelumang di bawah tempurung keseronokan hidup di luar negara. Anda tak punyai matlamat dan hidup tanpa matlamat, lebih baik tak payah dibiaya. Lebih elok hantar balik dan buat kerja seperti orang-orang yang tak ada cita-cita besar untuk bangsanya, untuk negaranya.

Pencacai tak pernah habis jawatan kosongnya.

Wah, sungguh kasarnya bicara!

Bak kata seorang kawan, tak perlulah berhalus atau berseni bila hendak menyampaikan mesej.

Marah bukan kepalang bila bangsawan perangai semacam bangsa sawan. Bila melakukan skandal-skandal yang mencemar kemuliaan bangsawan. Sebutkan sahaja apa. Rasuah. Hedonisme. Luar tabii. Perosak masyarakat. Penindas. Anarkis. Kapitalis.

Mana orang yang hendak dimuliakan dan dihormati itu?

Mana pulangan menghantar perantis-perantis bangsawan, menghabiskan jutaan ringgit, bila yang kembali ke tanah air menjadi bangsa yang sawan?

Jadi, marilah kita cari jalan keluarnya. Jalannya mudah, kerana jalannya lurus, tetapi nak menjalaninya, bukan semudah yang disangka. Walaupun lurus sifatnya, tapi tajam duri di kiri dan kanannya. Kadang mata gelap tak nampak jalan di hadapan, lantas tergolek jatuh di lembah kehinaan.

Anda mahasiswa. Anda pemikir yang terpilih. Bukan masanya lagi untuk berfoya-foya. Ini masanya untuk kita melihat realiti bangsa tanah air dan bangsa di perantauan, dan menjadi pemerhati, seterusnya menjadi pengkaji. Kajian dengan matlamat untuk membawa kembali bangsa kita di tanah air ke tempat yang mulia dan dihormati. Beranilah. Dan segeralah keluar dari selimut selesa dan beranilah anda menghadapi ribut taufan di zaman muda. Sang pengarang, mengaranglah untuk meninggikan pemikiran bangsa. Sang pemidato, berucaplah untuk menyedarkan hakikat kita di pentas dunia. Sang pemimpin, pimpinlah anak buah anda untuk merangka sebuah ketamadunan bangsa yang agung. Kita saling bekerjasama, di segenap cabang kepakaran. Dengan izin Tuhan, kita akan menjadi bangsa mulia, bangsa terhormat. Asalkan, dari sekarang kita bermula.

Dan, akhir persoalan, apakah kita pelapis bangsawan, atau akan menjadi bangsa sawan?