Kelab Peminat

Surat dari Kanda


Surat tanpa tarikh dan tanpa alamat pengirim ini diutus oleh salah seorang rakyat Malaysia yang telah ditahan di Guantanamo. Ia telah ditulis semula untuk di ruang ini untuk kita semua mendapat pengajaran dan mengambil iktibar tentang apa yang ingin disampaikannya. Jutaan terima kasih buat salah seorang mahasiswa dari Adelaide kerana sudi berkongsi dan memberi izin untuk warkah ini dibaca dengan lebih meluas.

Assalamualaikum warrah matullah,

Ke hadapan adik-adikku yang gigih menuntut ilmu pengetahuan. Semoga kalian teguh dalam perjuangan dan dirahmati Tuhan sentiasa.

Kanda menulis warkah ini kerana merasakan inilah satu-satunya cara yang terbaik untuk kita saling berhubungan dalam kekalutan yang berlaku di dunia kita sekarang. Pihak musuh, dengan keupayaan teknologinya, dengan CIA, FBI dan Scotland Yard, sudah memasang banyak mata di mana-mana pun, terutamanya dalam dunia virtual elektronik ini. Jadi, rasional kanda mengarang surat tulisan ini, supaya ia tak mudah terhidu. Harapnya begitulah. Moga adik-adikku sekalian, bersabar dan cuba mengambil pengajaran sebanyak mungkin tentang apa yang kanda ingin katakan.

Adinda yang kanda kasihi,

Dalam warkah kali ini, ingin sekali kanda ingatkan semula tentang pemahaman kita terhadap kehidupan di dunia ini. Seperti yang kanda terangkan, salah faham kebanyakan orang, mengatakan bahawa kita diturunkan ke dunia ini tanpa apa-apa pengetahuan. Seolah-olah kita ini bodoh, jahil dan kosong, diturunkan Tuhan ke bumi ini, untuk kita menyelongkari kebenaran dengan tangan kita sendiri. Kita didoktrinkan dengan falsafah René Descartes, yang mengatakan bahawa 'Cogito ergo sum,' yang bermaksud 'I think, therefore I exist.' Fahaman Descartes yang menunjangi falsafah Barat ini telah meracun pemikiran masyarakat Timur, terutamanya kita, yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. 'Terima kasih banyak-banyak' kepada athiest-athiest Inggeris yang berlayar jauh-jauh ke Tanah Melayu, semata-mata untuk menjatuhkan pemahaman tauhid kita dengan mengatakan; 'Tuhan itu wujud kerana anda memikirkannya.' Sekarang, setelah ulangtahun ke seratus penjajah Inggeris ke atas tanah air kita, kita dapat melihat buah beracun kecelaruan pemikiran ini. Rakyat Malaysia menjadi keliru dan semakin sukar menerima kesahihan Islam, sama ada akidah dan syariatnya, yang merupakan jati diri dan tulang belakang budaya dan ketamadunan kita. Malah, budaya popular yang menular masuk, termasuk pemujaan hiburan yang melampau, serta takrif liberalisme dalam agama menjadi semakin diterima dalam masyarakat kita. Kanda tidak dapat tidak untuk memperkatakan hal ini, supaya adik-adik dapat renungkan, meskipun memerlukan renungan yang dalam. Dengan renungan yang dalam sahajalah, kita akan mengerti apa sebenarnya realiti, dan memudahkan kita mencari solusi.

Adinda yang kanda sayangi,

Sebenarnya, manusia diturunkan ke dunia ini tidak bodoh, tidak jahil dan tidak kosong. Sewaktu Nabi Adam as diturunkan ke dunia, dadanya sudah penuh diisi ilmu oleh Allah SWT. Malah, dalam surah Al-Aa'raf ayat 172, para ruh telah berjanji dengan Allah SWT, bahawa dialah Rab, yang patut disembah, yang perlu diikuti perintah-Nya dan dijauhi larangannya. Manusia yang diturunkan ke dunia ini dengan pengetahuan itu, dan terbias menjadi fitrah asli insan. Allah juga mengurniakan akal pada manusia, untuk menimbang, dengan dibantu oleh panca indera, supaya kebenaran dan sumpah yang diucapkan di hadapan Allah di alam ruh itu, diteguhkan sepanjang masa di alam syahadah ini, alam dunia ini. Kemudian, Allah mendatangkan Rasul, untuk menyampaikan peringatan dan memelihara firman-Nya di dalam kitab-Nya supaya menjadi rujukan sehingga dunia ini dilipat. Ini supaya, kita selamat kembali semula ke kampung asal kita, di syurga, tempat nenda Adam dan Hawa as. Bukan sekadar menumpukan kehidupan sementara di dunia ini, bahkan untuk menyediakan diri untuk kehidupan yang tak akan berakhir di akhirat sana.

Nah, bukankah lain benar paksi pemahaman kita antara Timur dan Barat. Atau lebih tepat kanda katakan, anda Islam dan bukan Islam?

Hakikatnya, manusia dinamakan insan kerana Allah mencipta kita dengan sifat lupa. Kita mudah lupa pada perjanjian yang telah kita lafazkan di hadapan Tuhan, lama di alam ruh dahulu. Tetapi, dengan peringatan, dengan panduan dan dengan jalan yang ditunjukkan Tuhan, kita tidak boleh mengemukakan alasan 'lupa' sekiranya ditanya di hadapan Tuhan. Sebab itulah, adinda sekalian, perlu sentiasa saling mengingati diri, juga adik-adik yang lain, juga saudara, juga ibu bapa, juga teman-teman adinda dan masyarakat di sekeliling, tentang yang benar dan yang salah. Tentang apa yang telah kita janjikan dan apa yang kita telah lupakan. Tentang matlamat akhir perjalanan kita dan tentang tipu daya dunia yang sekadar senda gurau.

Nyatalah, usaha untuk kita saling memperingati dan saling selamat-menyelamatkan ini bukan satu kerja yang mudah. Ada sahaja halangan yang perlu kita anggap sebagai ujian, dan di balik ujian itu, ada hikmah andai tabir masa dan fikiran kita selak dengan penuh kesabaran. Malah, usaha pentarbiyahan, atau lebih tepat kanda sebutkan sebagai usaha ta'dib, untuk memberitahu manusia lain, tentang betapa tingginya nilai kemanusiaan yang ada pada diri mereka, tentang tempat yang seharusnya mereka impikan dan perbuatan yang selayaknya mereka lakukan. Malah, dijadikan binatang sebagai makhluk yang hidup bersama di dunia ini, untuk kita perhati, beza antara kita dan mereka. Beza antara manusia dan binatang. Beza antara binatang dan lebih teruk dari binatang.

Di sudut lain pula, Allah menurunkan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan, par excellence, sebagai manusia berakhlak sempurna, untuk kita jadikan contoh dan ikutan, baik dari segi perbuatan atau dari segi pemikiran, juga dari segi perasaan. Sekali lagi kanda ingin tegaskan, kita di dunia ini, bukannya tidak dibekalkan dengan apa-apa, malah diberi serba-serbi kelengkapan, supaya selamat sampai di halaman sana, halaman yang dijanjikan oleh-Nya.

Adik-adikku yang kanda cintai,

Adinda sekalian masih menuntut di alam mahasiswa. Malah, adinda sekalian adalah mahasiswa luar negara, yang masih muda, dibiaya sepenuhnya oleh kerajaan atau agensi swasta. Malah, adinda sekalian adalah golongan terpilih, untuk menjadi agen pengubah, bagi masyarakat kita di tanah air. Maka, gunakanlah kelebihan ini dengan sebaiknya. Adinda bukan sekadar sahaja perlu belajar dan menguasai jurusan yang adinda ceburi, malah gunakanlah peluang ini untuk mendalami kemakmuran dan kecanggihan teknologi yang dipunyai oleh tamadun di sini. Belajar maksud kanda tidak semestinya kita perlu tunduk mengikut. Ambillah misalan orang Melayu kita dahulu, saat kapal dagang lalu, ditelitinya tebat layar, kemudi dan bentuk kapalnya. Baik kapal yang melalui selat Melaka itu adalah tongkang dari China, Dau dari Arab atau Galleon dari Eropah. Lalu, dipilihnya mana yang terbaik antara ciri-ciri kapal yang berulang-alik ke Timur dan Barat setiap enam purnama itu, lalu direka sebuah Bedar yang lebih moden, yang lebih canggih dan terbina daripada elemen-elemen yang terbaik dari kesemua kapal di dunia ini.

Itulah gunanya belajar di negeri orang dan di tengah kebudayaan yang asing dari kita. Kanda kira, adinda akan menyiapkan sebuah Bedar yang sempurna, yang akan membawa masyarakat kita di tengah gelombang dunia yang semakin menggila sekarang. InsyaAllah, pada hemat kanda, ini adalah rahmat yang diberikan Tuhan pada adinda sekalian. Rahmat yang berupa peluang untuk belajar dan menyaring ilmu luar, untuk dimanfaatkan untuk membina semula ketamadunan kita, ketamadunan umat Islam.

Adindaku sekalian,

Inilah rasional kanda menyelak selimut yang setelah sekian lama menyelesakan, turun dari katil yang membuatkan kanda tidur nyenyak dan berani menyentuh salji di luar. Inilah alasan kanda mengikuti cara hidup yang kurang popular, kurang diamalkan oleh rata-rata manusia, yang kadang-kala bertentangan dengan arus perdana. Perit maung menahan kepedihan dibiarkan, didiskriminasi, menangis sendirian dan meraung-raung di atas sejadah kerana mahu mengalah, telah mendewasakan kanda, mematangkan kanda dan menjadikan kanda lebih berani. Berani untuk bangun dan terus berlari, untuk mengatakan apa masalah dan apa jalan keluarnya, untuk berani membaca apa yang mencabar pemahaman kanda selama ini dan berani berhujah di hadapan orang-orang yang pintar berbicara. Bukannya kanda ingin mengangkat bakul sendiri, tetapi, bila ditanya kenapa kanda sanggup menempuh kehidupan ini, inilah jawapan yang terbaik yang kanda rasa, untuk menjelaskan situasi kanda.

Ini jalan yang telah kanda pilih dan kanda akan laluinya dengan tabah. Biarpun dikejar oleh CIA dan FBI untuk disumbat ke dalam penjara Guantanamo, kanda akan tetap mempertahankan kefahaman kanda dan akan mengkongsikannya pada sesiapa yang kanda sempat ketemui. Adinda sekalian, mempunyai komitmen yang selari dengan kapasiti adinda. Maka, terokailah diri adinda dan kenalilah apa dan bagaimana ciptaan sudut pandang, emosi dan fizikal adinda. Andai sama seperti kanda dan mahu menjadi seperti kanda, maka kita akan melangkah seiring dan berlari laju ke arah matlamat yang kanda huraikan di atas tadi. Andai berlainan pandangan, maka inilah dikatakannya sebagai kelebihan. Laksana bangunan, ada batu-bata yang saling mengukuhkan. Asalkan matlamat kita sama, asalkan caranya itu kena pada kehendak-Nya dan logik diusahakan dengan kapasiti tenaga dan umur yang terhad, maka jalanilah dengan bersungguh-sungguh dan cekal. Kita akan membina tamadun seperti bangunan yang kukuh pada tapaknya dan tinggi mencakar langit, teguh berdiri sungguhpun zaman berganti.

Semoga anak-cucu kita akan bersyukur diwariskan dengan usaha yang telah kita usahakan. Usaha yang telah kita jayakan, bermula dari hari ini. Bahkan, yang paling penting, usaha ini mendapat keredhaan dari Allah SWT, kerana tanpa keredhaan-Nya, tiadalah guna kita menjadi manusia.

Maafkan kanda kerana tidak menulis dengan lebih rinci. Masa begitu mencemburui. Malah, tempat yang kanda tinggal sekarang pun, katanya sudah dikesani penyiasat. Kanda perlu mengungsi lagi, atas dasar keselamatan dan atas dasar kesinambungan usaha kita untuk melihat tamadun kita kembali berada di tempatnya.

Sekian sahaja buat masa ini. Kasih sayang kanda buat dinda sekalian, moga dapatlah dizahirkan. Maafkan kanda andai memungkiri janji ini saat berada di dunia. Kanda pohon pada Tuhan yang Esa, supaya di syurga nanti, dapatlah kita kembali bermesra dan menceritakan kembali episod ini dengan rasa suka dan penuh dengan rasa cinta. Insya-Allah.

Wallahualam.

Wasalam.

Tiada ulasan: