Kelab Peminat

Bangsawan

Akhirnya, setelah dua tiga hari aku menderita di balik ESBE (Exam Shocked Brain Effect), aku dapat kembali semula melakukan perkara yang aku cintai sepenuh hati. Nyatalah, kongkongan intelektual yang datang dengan penderaan mental sememangnya lebih sukar dijalani daripada dugaan fizikal. Dan, kebetulan pula aku ini bukanlah jenis ahli ragbi yang mewakili Malaysia, maka 2-3 hari jugalah aku ambil masa untuk kembali pulih daripada ESBE. Dan setelah pemulihan ESBE, akal sebelah otak kanan boleh kembali beraksi.

Kali ini, mari kita berkongsi renungan semula.

Bangsawan.

Gelaran zaman Pertengahan yang membawa maksud sama dengan golongan elit. Walaupun zaman berubah ke zaman Teknologi Maklumat, golongan ini terus wujud dalam kelas manusia dan mengamalkan fi'ilnya tersendiri.

Bangsawan.

Bangsawan bukan terbit daripada perkataan bangsa+sawan. Ia adalah kata terbitan bangsa+wan. Seperti angkawasan, negarawan dan sasterawan, bangsawan merujuk kepada sekumpulan manusia yang ahli (pakar) kepada kata terbitan awal itu. Misalnya, kalau kita mengatakan si SM itu angkasawan, maka dia adalah pakar angkasa. Juga, jika Tun Det kita kata negarawan, maka dia adalah pakar membangunkan negara.

Namun, bangsawan, tidak semestinya pakar mengenai bangsanya. Atau dalam erti kata lain, bangsawan bukanlah penentu 'standard' dan identiti sesuatu bangsa itu. Yang menentukan 'standard' dan identiti sesuatu bangsa digelar budayawan.

Maka, apa itu bangsawan? Mari kita renungi kamus Dewan:

bangsawan1. (orang) berbangsa, (orang) keturunan mulia: seorang ~ yg bernama Datok Alam Tujuh

Jadi, nampaklah kita bahawa bangsawan itu golongan yang mulia, dipandang tinggi, bersinonim dengan perkataan aristokrat, ningrat dan permasan. Golongan yang dikatan mulia, aristokrat di zaman ini merujuk kepada para professional yang menjawat jawatan teknikal yang kritikal dan juga merujuk pada golongan manusia yang memegang tampuk kuasa sesuatu organisasi, baik organisasi syarikat ataupun politik.

Maknanya, anda di Adelaide ini bolehlah dikatakan perantis bangsawan, kerana anda adalah pelajar-pelajar sekolah yang terpilih, dibiaya dengan biasiswa dari kerajaan dan syarikat swasta, belajar subjek-subjek kritikal dan akan pulang ke negara (atau tinggal di sini) untuk menjawat jawatan jurutera, doktor, ahli kaji bumi, pakar ekonomi, akauntan, bioteknologi dan sebagainya.

Jadi kenapa? (So what?)

Satu persoalan di sini, apakah kita bersedia untuk menjadi pelapis golongan bangsawan yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat?

Jawapannya, ya atau tidak.

Ya, sekiranya anda sedar anda itu lapis bangsawan yang akan meneraju negara mengikut cabang kepakaran anda. Mulia di sini tak semestinya pandai mengendalikan mesin, pandai membedah, pandai mengira turun naik saham sahaja. Mulia merujuk kepada manusia yang lengkap dari semua segi; akhlaknya, kepintarannya, kesungguhannya dan banyak lagi. Dengan kesedaran ini, masyarakat akan memandang golongan ini sebagai golongan yang perlu dihormati, dicontohi dan secara tidak langsung, akan memandu sesuatu bangsa itu menjadi bangsa yang lebih mulia, dihormati dan dicontohi.

Tidak, sekiranya anda masih tiada kesedaran yang anda akan menjadi bangsawan. Anda leka membazir masa dan wang berseronok ke sana ke sini di negeri orang, tanpa belajar dan menggali khazanah bangsa orang lain. Anda ralit duduk di hadapan laptop, menghabiskan kehidupan anda dengan menjawab kuiz-kuiz di Facebook, menonton movie dan bermain game, ber-chatting demi mempertahankan cinta jarak jauh dan sebagainya. Anda bukanlah pelapis bangsawan sekiranya anda jenis telinga satu, jenis mendengar sahaja kata orang, tanpa mengkaji dengan lebih mendalam kebenarannya, lebih suka gossip dan sensasi dan berusaha membina gossip dan sensasi, berkelompok dalam kumpulan tersendiri tanpa meneroka masyarakat yang pelbagai ragamnya dan lain-lain lagi. Anda juga tidak bersedia apabila disuguhkan dengan pengarangan-pengarangan yang luar dari skop kehidupan anda, yang lebih kritikal dan mencabar pemikiran dan apabila menulis sesuatu, anda lebih suka menceritakan hal yang mustahil, hal jiwang-jiwang, hal yang merapu-rapu dengan bahasa yang tunggang-langgang, dan sanggup pula mempamerkan tulisan anda untuk tatapan orang ramai.

Jadi, apa ke halnya? (So, what's the point?)

Aku menceritakan tentang renunganku tentang perbuatan kita sekarang dan cerminannya apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kalaulah kita sedar perjalanan kita dalam kehidupan ini, pasti kita akan berusaha merancang dan memilih perancangan yang betul.

Lainlah anda tak bercita-cita. Anda lebih selesa bergelumang di bawah tempurung keseronokan hidup di luar negara. Anda tak punyai matlamat dan hidup tanpa matlamat, lebih baik tak payah dibiaya. Lebih elok hantar balik dan buat kerja seperti orang-orang yang tak ada cita-cita besar untuk bangsanya, untuk negaranya.

Pencacai tak pernah habis jawatan kosongnya.

Wah, sungguh kasarnya bicara!

Bak kata seorang kawan, tak perlulah berhalus atau berseni bila hendak menyampaikan mesej.

Marah bukan kepalang bila bangsawan perangai semacam bangsa sawan. Bila melakukan skandal-skandal yang mencemar kemuliaan bangsawan. Sebutkan sahaja apa. Rasuah. Hedonisme. Luar tabii. Perosak masyarakat. Penindas. Anarkis. Kapitalis.

Mana orang yang hendak dimuliakan dan dihormati itu?

Mana pulangan menghantar perantis-perantis bangsawan, menghabiskan jutaan ringgit, bila yang kembali ke tanah air menjadi bangsa yang sawan?

Jadi, marilah kita cari jalan keluarnya. Jalannya mudah, kerana jalannya lurus, tetapi nak menjalaninya, bukan semudah yang disangka. Walaupun lurus sifatnya, tapi tajam duri di kiri dan kanannya. Kadang mata gelap tak nampak jalan di hadapan, lantas tergolek jatuh di lembah kehinaan.

Anda mahasiswa. Anda pemikir yang terpilih. Bukan masanya lagi untuk berfoya-foya. Ini masanya untuk kita melihat realiti bangsa tanah air dan bangsa di perantauan, dan menjadi pemerhati, seterusnya menjadi pengkaji. Kajian dengan matlamat untuk membawa kembali bangsa kita di tanah air ke tempat yang mulia dan dihormati. Beranilah. Dan segeralah keluar dari selimut selesa dan beranilah anda menghadapi ribut taufan di zaman muda. Sang pengarang, mengaranglah untuk meninggikan pemikiran bangsa. Sang pemidato, berucaplah untuk menyedarkan hakikat kita di pentas dunia. Sang pemimpin, pimpinlah anak buah anda untuk merangka sebuah ketamadunan bangsa yang agung. Kita saling bekerjasama, di segenap cabang kepakaran. Dengan izin Tuhan, kita akan menjadi bangsa mulia, bangsa terhormat. Asalkan, dari sekarang kita bermula.

Dan, akhir persoalan, apakah kita pelapis bangsawan, atau akan menjadi bangsa sawan?


Tiada ulasan: