Kelab Peminat

Tindak balas



Saya mendengar sebuah pengumuman, dari rakaman video 3 bahasa, Bahasa Inggeris, Arab dan Turki, di dalam kapal Mavi Marmara. Menyentuh. Menusuk.

Pengumumannya lebih kurang berbunyi begini:

"Dear brothers. Assalamualaikum. I advice all to take your seat and stay calm. Please don't show resistance. They are using live ammunition. They have took command of the ship. Please be calm. I repeat..." begitulah pengumuman dalam Bahasa Inggeris telor arab yang kedengaran antara dengar dan tidak di celah-celah tembakan yang bertalu-talu.

Kita, juga saentero dunia yang peduli, tindakan kejam rejim Zionis tersebut melanggar perkara yang disepakati oleh masyarakat dunia, yakni kemanusiaan. Dalam apa jua pertempuran, jika sebelah pihak yang diserang tidak memegang senjata, atau mempunyai kelengkapan yang setara - serangan tersebut dianggap sebagai pembantaian bacul dan tidak bermaruah. Seolah-oleh seorang samseng bertubuh sasa yang membelasah budak kecil yang tiada upaya dan kuasa.

Kemanusiaan, rasa paling asasi manusia, jika tercarik panjinya akan melukai hati setiap insan yang mempunyainya, tanpa mengira agama, bangsa atau warga negara.

Apatah lagi, dalam kegelisahan melihat kemanusiaan itu diganasi oleh kebinatangan - kelihatan bendera-bendera negara yang terlibat, tersangkut di palang besi Mavi Marmara; berkibar-kibar lesu. Dan, salah satu bendera itu adalah bendera milik negara kita. Jalur Gemilang, yang menjadi kebanggaan, kali ini resah berada di tengah-tengah kemelut dunia yang sangat kritikal. Di dalam kapal itu juga, dua belas warga dan saudara senegara kita, tersepit di antara keadilan dan kezaliman.

Adakah mereka akan diselamatkan dengan keadilan? Atau kezaliman bakal menyambut mereka terlebih dahulu? Nauzubillahi min zalik.

Kini, bermacam rasa telah kita rasa, apatah lagi buat mereka yang peduli. Gelisah, mengharap, marah, takut.

Bagaimana nasib 700 orang krew yang ditawan? Bagaimana dengan bantuan yang akan memberi makna pada penduduk Gaza? Bagaimana masa akan dijadikan asbab untuk mengubah apa yang berlaku? Bermacam persoalan bertalu-talu.

Cuma, di sini, suara kecil saya ini, ingin menyeru pembaca semua untuk sama-sama menarik nafas dalam-dalam, bersabar dan tenangkan diri. Marah, itu fitrah. Geram, itu tandanya kita ambil kisah. Namun, saranan Nabi SAW, "la taghdab, la taghdab, la taghdab," perlulah kita perhalusi, apatah lagi di saat-saat genting ini.

Jangan marah, sabda baginda, tiga kali. Marah itu lumrah. Tapi marah itu bukan Nabi suruh hapuskan. Terdetik rasa marah di jiwa akan menyebabkan tindak balas pada anggota.

Dan tindakan itu, sudah tentulah bukan dalam emosi yang dibakar marah. Tindakan itu, sudah pasti tindakan yang rasional, yang bijaksana dan mengambil kira semua perkara dan mencerminkan fikiran yang melihat apa yang bakal terjadi, baik dalam masa terdekat atau dalam jangka panjang.

Ini kerana, sekarang situasi genting. Situasi yang datang, mungkin hanya sekali.

Jika anda jeneral tentera, anda perlu memanfaatkan situasi ini sebaik mungkin. Jika anda seorang pemimpin, anda haruslah mengambil peluang ini semaksimum mungkin. Jika anda seorang insan biasa, seperti saya, anda haruslah bertindak semampu mungkin.

Dan, untuk memanfaatkan, mengambil peluang dan bertindak semampu mungkin ini, fikiran yang jernih dan perbincangan yang fasih.

Mahu berdemonstrasi? Silakan.
Mahu memboikot? Silakan.
Mahu membuat petisyen? Silakan.

Namun, jangan lupa untuk mendoakan pada Allah. Dan doa yang diterima adalah doa dari hamba yang tulus dan ikhlas hatinya. Juga benar dan spesifik permintaannya.

Dan, dalam tempik pekik demonstrasi, dalam susah payah boikot dan dalam jerih perih kita mengumpul tandangan dan simpati, jangan lupa, kita juga ada batas insan. Sedangkan menjadi tentera Muslim pun kita diajar tentang peraturan peperangan, inikan pula menjadi seorang pejuang tanpa senjata.

Hikmah dari orang berilmu. Maka, eloklah kita, mengambil saranan mereka yang lebih tahu. Tidak lain, tidak bukan, barisan ulama' yang peduli akan isu ini.

Dari situ, dengan kita tahu 'kenapa kita bertindak begitu,' maka setiap orak langkah tidak akan menjadi retorik dan sia-sia. Kita tahu di mana kita akan sampai dengan kudrat kita. Di sana nanti, apabila masa dan destinasinya kita telah jejaki, kita tak akan menoleh ke belakang dengan gelengan lemah dan pasrah. Sebaliknya kita akan berbangga dengan tindakan yang selari dengan ajaran Nabi dan yakin ia dipandang oleh Ilahi.

Pesan saya, pada diri, juga pada sahabat yang peduli, ayuh kita mengambil peluang ini, meningkatkan ketaqwaan - ketakutan dan harapan kita kepada Allah. Dialah Maha Membantu dan Mengawasi setiap insan. Doakanlah yang terbaik dan tertumpu pada-Nya, yang Berkuasa. Dengan menambah keimanan, lebih dekat kita dengan-Nya. Semakin dekat kita dengan-Nya, maka semakin mudahlah kita mohon apa-apa bantuan.

Tindakan, lakukanlah sewajar mungkin, mengikut cerminan Muslim, yang sudah tentunya tertegak nilai manusia, terbela nama agama. Kita berada di barisan keadilan, jika kita bertindak sepatutnya dan sebetulnya. Namun, orang akan melabel kita, 'kau pun sama,' apabila kita melulu, tergesa-gesa mengikut nafsu.

Kerana pada nafsu, ada juga rasa amarah. Dan amarah itu, juga satu ujian, yang setiap masa berada dalam diri kita untuk menguji, walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Erhu

Suatu pagi, entah pagi bila, saya berjalan meninggalkan hab bas Pasar Seni. Udara itu disesaki oleh habuk dari buntut bas dan penglihatan di sini diganggu oleh bangunan yang berkelarah dengan debu. Saya menapak pantas, dengan peringatan; kesihatan perlu dijaga.

Di persimpangan jalan Jalan Hang Kasturi dan Jalan Hang Lekir, langkah saya terhenti. Ada bunyi asing yang tiba-tiba saya kesani. Bunyi yang amat aneh untuk dinikmati dengan gaulan deruman enjin bas, jeritan kondoktur Bas Metro dan hon kereta Kancil. Saya berkalih, meneroka alam tipikal Kuala Lumpur yang mendung dan bersepah dengan sampah - mencari punca bunyi yang lunak itu.

Seorang apek tua, duduk terkedang, lutut kirinya menegak, sedang kaki kanannya memangku objek pelik. Di hadapannya ada cawan plastik kosong, tidak terisi air, dan saya tahu, tujuannya bukan untuk menagih minuman. Mukanya luntur dari sebarang perasaan. Namun, rambutnya yang memutih, tersirat seribu satu rahsia yang tak mampu saya ulas dengan kata-kata.

Dia menggesek. Saya sekadar menjeling, berpura-pura tidak teruja melihat keanehan pagi itu. Dia menggesek lagi, lebih kuat dan bunyinya seperti biola yang rosak. Bunyinya, jujur kata, agak buruk. Namun, bunyi itu lebih mesra berbanding dengan bunyi buatan yang terhasil apabila pemandu bas sengaja menekan-nekan pedal minyak.

Kasihan, getus perasaan saya. Begini nampaknya nasib seniman tua. Teringat karya SN Anwar Ridhwan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, yang telah diterjemah ke dalam puluhan bahasa asing itu. Dia ini, adalah watak realiti seniman, berketurunan Cina. Nampaknya, mereka pun mengalami nasib seperti pemain gamelan, pemain rebab atau pemain wayang kulit, yang ditenggelamkan oleh rentak pantas-keras konsert dan tempik sorak peminat rancangan realiti televisyen. Saya tak tahu, siapa yang patut dipertanggungjawabkan. Syarikat penerbitan? Penaja yang terlalu mengikut kehendak komersial? Pemimpin negara, baik barisan atau pakatan? Atau saya sendiri?

Saya tidak menunaikan hasrat seniman tua yang tenggelam bersama Erhunya itu. Mungkin pagi itu perjalanan dari Putrajaya begitu panjang, membuatkan hati saya sedikit keras untuk menghadam dan menghargai seni atau karya asing di tengah kesibukan kota. Jadi, saya tinggalkannya dengan harapan - esok, jika ada kericing duit siling di dalam poket, saya akan manfaatkan untuknya, pejuang seni tua, biar apa pun latarnya. Saya berjalan pantas ke Pasar Seni, melanggar lampu isyarat pejalan kaki dan separuh berlari menuju ke Lebuh Ampang.

Hari ini, yakni setelah beberapa hari menyaksikan persembahan percuma itu, saya tidak lagi nampak pemain Erhu yang selesa membuat persembahan di jalanan. Entah ke mana hilangnya. Barangkali diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diletakkan di rumah orang tua? Atau, barangkali, sudah dikutip oleh aktivis seni, membawanya ke pentas dengan niat luhur, mahu karya muziknya diapresiasikan oleh masyarakat umum. Entah. Namun, terbit sedikit penyesalan.

Suara kecil di jiwa membisik, "kalau pemain erhu itu mati, siapa yang akan menggantikan tempatnya?"

Lima Puluh Ringgit

Kes 1:

"Laa, besarnya duit. Mak cik tak dak duit pecah ni. Pak cik hang dah keluar ni haa."

"Macam mana nak bayar makan ni, makcik?"

"Nak buat macam mana. Tengok ni." Bekas berisi duit kertas hanya dipenuhi not seringgit berwarna biru.

"Hmm, takkan tak boleh bayar juga kot?"

"Takpalah nak oi. Hutang dululah. Hang pun selalu mai sini kan? Esok ajalah hang bayar."

"Hutang... Baiklah mak cik."

Kes 2:

"Tambang bas seringgit je dik."

"Tapi, saya ada lima puluh ringgit ini aja."

"Pergilah pecahkan. Adik naik bas yang lepas ni."

"Bas lepas ni? Lambat lagi bang. Saya nak cepat ni. Tak boleh bagi can ke?"

"Mana boleh. Nanti orang lain kata apa pula. Cepatlah, abang nak jalan ni."

"Yelah, saya pergi pecah duit sekarang. Saya naik bas satu lagi nanti."

Kes 3:

"Wang atau nyawa?"

"Uih! Tolong bang, saya tak ada duit ni."

"Bagi semua duit yang lu ada. Kalau tak, aku tikam."

Terketar-ketar menyeluk saku. Pisau dekat di perut.

"Tolong bang, saya nak balik rumah ni. Tak ada duit dah."

"Ah, peduli apa aku! Janji aku dapat lima puluh ringgit. Boleh pam malam ni."

Dendam

Nun di hujung ufuk,
Beliung memilin,
Sekali lagi tangisan akan bercucuran.
Kejahatan,
Dendam paling hitam
Membara menyala-nyala
Mencengkam,
Memusnah,
Memamah
Mereka yang menganiaya,
Dibalas amat kejam,
Tanpa kasihan lagi.

Ofis
24/5/10

Farina



"Ya Syeikh, Farina bukan dekat. Bukan calang-calang punya tempat. Tengah gurun. Tengah Australia!" Kata kami sebagai anak-anak murid. Bernada protes, tapi protes kami mahu mencari kewajaran.

"Tahu. Tapi, kalau bukan hari ini, bila lagi kita akan pergi ke sana?" Syeikh menyatakan rasionalnya.

Kami terdiam. Dia lebih tahu. Mungkin ada hikmah fikirannya itu. Kalau mahu diajak berbincang lagi, rasa mencabar kehormatannya sebagai guru kami.

"Ini sahaja cuti yang tinggal kan?" tanya Syeikh.

Kami mengangguk. Fikiran kami tentang mahu atau tidak bermusafir hilang begitu sahaja.

****

Perjalanan bakal memakan hampir sepuluh jam. Seperti biasa, syeikh duduk di sebelah kerusi pemandu dan hampir tiga perempat perjalanan, syeikh membuka kuliah bergerak. Kadang-kadang, kami yang berada di belakang tersengguk-sengguk. Akhirnya, di kiri dan kanan kami muncul Banjaran Flinders yang tinggi, barulah Syeikh berhenti bercakap. Itupun selepas empat jam perjalanan menempuhi latar yang serba merah dan pokok yang jarang-jarang. Langit tak berawan langsung. Cahaya matahari menusuk dan kami lemah.

Pemandu berganti. Syeikh sendiri pun mengambil giliran untuk memandu kereta. Dan, biasanya, apabila Syeikh memandu, kami jarang tidur pula, walaupun dia tidak lagi berkuliah. Bukan apa, kadang-kadang, menaiki kereta dengannya, seolah-olah menaiki roller coaster. Laju dan pada selekoh tajam, kami akan melambung ke tepi.

****

Jalan sudah tidak lagi berturap. Rasa letih mula menggigit perdu tengkuk. Jenuh kami menggeliat. Syeikh akhirnya tertidur juga. Matahari sudah condong dan suasana di tengah gurun ini semakin gelap. Kenderaan pacuan empat roda kami melompat-lompat melanggari bonggol. Nun jauh di hujung dataran sana, kelihatan tiga ekor kanggaroo besar melompat lari dan mengelak pokok-pokok saltbush dan spinefex yang berduri. Dahulu, jubah kami pernah melekat pada pokok-pokok itu. Tajam juga apabila daun spinefex yang menikam betis.

Kami berhenti sekali lagi, mungkin untuk kali terakhir. Syeikh bermazhab Hanafi, sedangkan kami bermazhab Syefie. Kami mengejutkan Syeikh untuknya mendirikan solat Asar dan kami ikut berjemaah di belakang. Tak salah untuk mengikuti guru kami yang dalam mazhabnya, tidak boleh menjamakkan dua solat, dan asarnya juga, lewat sedikit daripada waktu mazhab Syafie. Lagipun, waktu Zuhur di Qourn tadi, dia juga awal-awal bertanya, mahu mengikut dia atau tidak. Kami diberi pilihan dan kami memilih mengikutinya.

****

Malam. Tiada cengkerik berbunyi pun. Langit cerah, menampakkan sejuta bintang yang bergugus di angkasa. Malam ini sejuk betul. Stokin kulit yang dipanggil khuf barangkali boleh menahan kesejukan ekstrem ini. Cuma, kami gusar, kain pashmina yang membalut tubuh kami, tak akan dapat membalut haba yang cukup.

"Syeikh, malam ni sejuk," adu seorang kawan kami.

"Kamu semua nak tidur sekarang dalam kereta?" tanya Syeikh, mengambil berat. "Atau nak teruskan perjalanan, sehingga sampai di sana, baru tidur?"

Dalam kereta kami ada heater, tapi tak boleh dinyalakan terlalu lama. Minyak perlu dijimatkan. Tiada stesen minyak di tengah-tengah kegelapan dan ketandusan ini.

"Saya syorkan kita rehat dahulu. Malam semakin lewat," kata saya. "Yang lain, bagaimana?"

"Tidur. Letih sangat ni."

"Ya, tidur."

"Syeikh?" tanya saya.

"Ikut syor semua. Kita rehat dulu."

Kami tidur, berhimpit-himpit di dalam kereta pacuan empat roda.

****

Selepas subuh, kami makan bekalan roti tuna yang dibuat sebelum perjalanan. Sekadar mengalas perut. Kemudian, kami teruskan perjalanan dalam kesejukan musim dingin.

****

Kami tiba di Farina. Jam menunjukkan pukul 8.00. Syeikhlah orang yang pertama sekali keluar dari kereta, menjejakkan kakinya pada tanah yang berwarna merah dan berbatu-batu. Kiri dan kanan kami tiada pokok yang tumbuh, melainkan puing bangunan-bangunan yang telah pecah dan runtuh.

"Ini pekan hantu," kata kawan saya.

"Hantu pun tak akan duduk pekan ni," kata Syeikh, apabila mendengar perbualan kami. Kami ketawa. "Baik, panggil semua, kita berdoa." Lalu, kami membuat bulatan, membaca doa.

"Kamu semua tahu, kenapa kita ke sini?" tanya Syeikh.

Kami menggeleng.

"Farina tempat yang jauh, jauh di tengah gurun ini. Kamu tahu apa maksud Farina? Farina itu perkataan Latin untuk gandum dan tepung. Dinamakannya begitu kerana para peladang yang dahulu ke sini, optimis untuk berladang dan mendapatkan hasil gandum di tanah ini."

Syeikh mengajak kami berjalan di celah runtuhan bangunan. Kami memerhati. Ada rasa kesayuan melihat pekan yang ditinggalkan ini.

"Dahulu, memang hujan turun, menyuburkan tanah. Cuma selama beberapa tahun sahaja. Kemudian, seperti yang kalian lihat, cuaca gurun menguasai kembali tanah ini," ujar Syeikh, mengangkat seketul batu yang berwarna hitam. Ada papan tanda merah yang telah meleding dan lekang berdekatan dengan runtuhan bangunan ini. Mungkin ini bangunan pejabat pos dahulu.

"Ayuh kita. Kita ke hujung pekan sana. Naik kereta" Kami hanya mengekori Syeikh. Seakan ada naluri yang mengikat Syeikh dengan tempat ini.

Kereta pacuan empat roda dihidupkan dan kami menempuh jalan tanah merah sekali lagi, selama beberapa minit.

Kami lelah, berjalan ke sini dan ke sana. Mungkin perjalanan semalam memakan sebahagian tenaga yang tinggal ini. Namun, Syeikh kelihatan bersemangat betul.

"Kamu lihat itu."



Kami memandang apa yang ditunjukkan Syeikh. Kami terkejut. Betul-betul terkejut.

****

Dari jauh, ternampak kepulan asap yang menggawang-gawang ke udara. Sebuah pajero putih merapati tempat kami berdiri, di atas dataran merah yang dicacaki dengan beberapa nisan putih ini.

Beberapa minit kemudian, pemandu pajero itu sampai.

"Assalamualaikum habibi!" Katanya. Melaung dan bergema-gema. "Sungguh lama ya! Kau seperti ulama' sekarang!"

Syeikh menjawab salam dan mukanya berseri benar. Kami berpelukan, walaupun saling tak mengenali orang yang baru tiba ini. Namun, terasa keakraban kerana ziarah ini, akan berkekalan, selamanya.

lanjut tentang Farina, klik sini

Orang Terasing

"Kenapa?" kata saya, ingin tahu lebih dalam. Saya bersoal diri sendiri, apakah dia telah berubah, menagih cinta yang ditinggalkannya dahulu?

"Saya rasa menjadi orang asing di sini - istimewa. Baik dari segi layanan atau perhubungan."

Dia memberi tanda topik ini akan diungkit semula. "Tapi, sekarang, kita sudah berpisah."

"Kerana kita pernah bersatu dahulu."

"Hmmmm." Saya tidak menjawab. Ternyata, pengembalian dia di sini, di tanah Napoleon saya ini, mempunyai maksud mendalam. Saya, insan yang pernah ditinggalkan. Saya, insan yang pernah merana kerana cinta tak terbalas, kerana kasih yang dihargai. Insan dari dunia Fansuri ini adalah punca sengsara bertahun-tahun yang saya deritai. Meskikah kali ini, saya menerimanya, atas alasan dia bersusah-payah kembali ke negara romantik ini?

"Kenapa kita pernah bersatu dahulu?" saya bertanya lanjut, mahu menduga.

Dia diam, barangkali berfikir. "Dahulu, rasa kita sama," ujarnya.

"Apakah rasa itu?" Pantas saya bertanya. Seolah-olah saya sedang bersedia untuk melancarkan perang. Oh, adakah sekarang ini saya sudah menjadi Napoleon wanita yang suka melancarkan serangan dengan pantas dan mengejutkan?

"Cinta. Impian. Kenangan."

Tiga perkataan itu mengguntur dalam hati saya. Hati Napoleon ini tersentak seumpama ketumbukan 30000 tentera Perancis yang digempur oleh tiga armada Eropah ketika pertempuran terakhir bekas maharaja Perancis ketika perang terakhirnya di Waterloo. Napoleon pernah tewas dengan tentera. Apakah hari ini, kerajaan jiwa saya akan kalah dengan kata-kata?

"Dan, apa kaitan kau mahu menjadi orang terasing sekarang? Apa kaitannya denganku?" Saya berlagak kejam. Dia pernah mengkejami cinta saya dahulu, dengan alasan-alasan yang saya tak rasa munasabah.

"Dan, kau mahu menjadi Albert Camus lagi?" Tiba-tiba saya teringat pengarang berketurunan Algeria yang menghasilan L'Étranger yang memahsyurkan falsafah eksistentialisme dalam karya-karyanya. Lelaki di depan saya ini pula, pernah menjadi seperti Camus dengan percik Jean-Paul Sartre, yang mahu mencari erti diri sendiri, dengan kudrat dan upaya sendiri. Entah sekarang dia menjumpai erti diri yang dicarinya itu ataupun tidak. Sudah bertahun kami tak bersua. "Inikah erti kehidupan yang kau cari-cari selama ini." Saya menekan perkataan 'ini', supaya dia tahu, yang saya maksudkan adalah kasih yang ditinggalkan dan jiwa yang dikorbankan.

"Bukan begitu maksudku," katanya, lembut, tetapi tegas.

"Habis tu?"

"Kalau kau maksudkan aku seorang pencari erti kehidupan, maka itu bukan aku sekarang."

"Jadi?"

"Aku sekarang ini adalah pembawa erti kehidupan...."

"Maksudnya?"

"Sabar, biarkan aku habis bicara," katanya dengan mata tajam merenung mata saya. Saya tersipu-sipu. Saya sedari, saya gagal mengawal diri apabila berada di hadapannya. Dia selalu meresahkan. Kadang-kadang misteri. Memang benarlah pengakuannya yang dia orang asing yang istimewa.

"Membawa erti kehidupan, yang aku telah temui, Simone. Aku bukan lagi pencari kerana aku telah diberikan dan dicerahkan. Dan.."

"Dan?"

"Dan aku ingin berkongsi cahaya ini dengan kau, Simone."

"Semula?"

"Bukan semula. Tapi, dalam kehidupan baru."

"Kau pernah meninggalkanku, Hamzah." Saya sebak. Semakin sukar melafazkan kata-kata.

"Tapi, aku tak pernah meninggalkan cintaku kepadamu."

"Penipu..." saya sukar melafazkan kata. Mata saya berair.

"Aku ingin menyelamatkanmu, Simone. Aku mengembara jauh dan terperangkap dalam debu gunung berapi Iceland itu semata-mata ingin menyelamatkanmu. Dengan erti kehidupan baru."

"Kenapa kau tak menyelamatkanku awal-awal lagi dahulu."

"Kalau kita bersatu dahulu, tak mungkin kita akan temui apa itu cahaya. Apa itu erti kehidupan."

Saya teresak-esak. Dia menghulurkan tisu, namun, saya segan menerimanya. Tisu itu barangkali mengandungi helah.

"Simone.."

"Hamzah, kau pernah melukakan jiwaku."

"Ini, tengok ini.." di balik tisu itu ada sebuah kotak merah. "Dahulu, aku pernah terfikir, mahu meletakkan ini dalam cawan berisi wain. Kalau itulah yang aku lakukan dahulu, aku tak bisa menyelamatkanmu sekarang."

"Oh, Hamzah, waktu-waktu begini pun kau..."Saya tak mengambilnya kotak merah kecil itu. Hati saya sangat pedih. Saya pendapkan muka saya ke dalam kedua tapak tangan. Saya tak mampu menahan bahu saya yang terhinggut-hinggut. Pasti semua pelanggan restoran ini memerhatikan kami. Ah, apa saya peduli!

"Hari ini, aku menawarkannya, dengan cara yang lebih baik. Aku tak mahu melangkah ke syurga seorang diri, tanpa bidadari yang menemaniku."

Syurga? Saya hairan mendengar kalimat itu boleh keluar dari mulutnya. Apa perubahan yang telah berlaku pada lelaki ini? Meskikah saya menerima erti baru kehidupannya itu?

Hidupkan semula sesi ta'alim


Berita Harian, Khamis 13 Mei 2010
Laporan wartawan: Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Penulis blog, Muhammad Syukri Rosli pula menganggap ta'alim di rumah mampu memberi kesan kesan besar kepada keluarga Islam kerana pengisian seperti pembacaan al-Quran, perkongsian fadilat amal, ilmu ibadah dan doa serta pengkisahan Nabi adalah usaha jitu dalam mengakrabkan perhubungan sesebuah keluarga.

“Berdasarkan catatan sejarah, keluarga tradisional Melayu, dari kurun ke-15 hingga kurun ke-18, menggunakan kitab sirah terjemahan untuk dibacakan buat seisi keluarga. Antara kitab itu ialah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Dzulkarnain dan Hikayat Nabi Yusuf.

“Selain itu, dalam sesi ta'alim di rumah, anak kecil juga diajar mengenai doa untuk memohon perlindungan, meminta keredaan dan mengharapkan keberkatan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Biasanya doa ini akan diperdengarkan kepada anak-anak secara berulang kali, sehingga anak mampu menghafaz serta mengamalkannya,” katanya yang dididik menggunakan konsep ta’alim.

Baginya konsep ta’alim sudah bertapak sejak zaman kedatangan Islam, tetapi atas nama kemajuan yang dipromosikan oleh orang Barat, nilai agama dan budaya yang diwarisi turun-temurun, terabai satu persatu sehingga menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia terjerumus dalam perangkap gejala sosial yang serius.

“Masalah ini berlaku apabila ahli keluarga tidak lagi mempunyai banyak masa untuk bersama-sama, apatah lagi untuk melakukan sesi perkongsian ilmu dan pendapat. Saya berharap ibu bapa sedar sedar bahawa ta'alim di rumah, bukan saja mengikuti sunnah Baginda SAW, bahkan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

lanjut, klik sini

Hujan 2

Hujan membawa pengertian yang pelbagai.

Kesedihan. Kegembiraan. Kehidupan. Juga, pengkhianatan.

Tambah lagi jika di Malaysia, hujan yang lebat membawa erti yang begitu mendalam sekali.

Sekali lagi, saya terdengar suara membisik, "Semalam aku berduka. Hari ini, aku kehujanan. Dan esok, aku tak tahu esok apa akan jadi. Tapi, hari ini, aku sudah mempunyai panduan semalam, untuk apa yang aku perlu lakukan pada esok hari."

Kemudian, saya berpaling. Hujan masih menitis. Saya cuba meneliti dalam kebasahan.

"Aku gembira diberi penghidupan yang baru. Rasa dan jiwa yang baru. Seolah-olah aku diberi peluang untuk bertunas sekali lagi. Di dalam hujan ini."

Pohon petai belalang yang bersusun sepanjang jalan memuramkan suasana petang yang sedia kelam.

"Tetapi," kata suara itu lagi, di bawah langit yang kelabu. "dalam kehidupan baharu ini, aku terpaksa melukai orang lain. Aku terpaksa melakukan dosa."

"Ah, betapa aku ini terlalu mementingkan diri," katanya lagi.

"Kau nak tahu kenapa?" tanya suara itu pada saya. Saya merapati, mahu mendengar bisikan antara dengar dan tidak. Hujan yang menimpa saya dan bumbung merah kecil tempat saya berteduh mencetuskan bunyi yang hingar, tetapi sayu.

"Begini, biar aku nukilkannya dalam puisi," sambungnya. Mesra sungguh dia dengan saya, walaupun dimensi memisahkan kami.

"Kawan,
Salahkanlahku,
Berkali-kali,
Mengkhianatimu."

Saya mendengar, terpegun dan tidak sedar saya lama dipercik tempias. Gema suara itu meresap ke dalam udara, lalu hilang.

Tiba-tiba, dan deruman kenderaan yang melalui jalan bersipongang dengan bunyi hujan.

Saya melangkah pergi, meninggalkan teduhan itu - tidak peduli lagi kebasahan.

Cerpen Hari Guru: Perang Zaki



Pemimpin utama baju jingga-hitam, Komander Zaki, parah ditembak di kepala. Keadaannya sangat kritikal dan dia berada dalam keadaan koma sekarang. Revolusi yang dicetuskannya telah mengorbankan hampir 10000 ahli persatuannya yang setia. Ibu negara terbakar dan tentera diraja berkawad dan berkubu di pos-pos utama. Misi untuk menubuhkan negara Khalifah pertama di Timur Jauh tinggal hanya cita-cita di bibir. Semangat revolusi Islam yang dibawanya gagal menyaingi kuasa tentera Maharaja. Kerajaan yang sedia ada masih lagi kukuh walaupun ibu negara gempar kerana serangan mengejut tersebut.

***

"Tuan Guru..." suara Zaki lemah, tenggelam di balik decit mesin pengimbas denyutan jantung dan bau iodin yang kuat.

"Tuan Guru..." sekali lagi Zaki bersuara, memanggil gurunya yang duduk di atas katil pembaringannya. Pemandangannya kabur. Antara nampak dan tidak. "Tuan Guru..."

"Sejauh mana saya mencuba, namun saya masih belum mendapat kejayaan," kata Zaki. "Niat telah saya betulkan dan jihad telah saya lancarkan." Dia terlantar, namun dia cuba menggerakkan tangannya. "Tapi, kenapa kita masih belum dapat mewujudkan daulah, Tuan Guru?"

Decit mesin pengimbas jantung kembali menguasai. Kedengaran juga bunyi tapak kaki doktor dan jururawat yang mundar-mandir. Dia pernah menjadi seorang doktor suatu ketika dahulu. Namun, atas alasan jihad, dia menukar matlamat. Tanah airnya dilihat sebagai perubahan pertama Daulah Islamiyah yang sangat didamba.

"Seribu daya telah saya usahakan..." kata Zaki, tersekat-sekat, antara esak dan kesakitan, "namun, kenapa kemenangan Islam masih belum berpihak?"

Suasana sepi, walaupun wad ICU itu tidak sunyi dari bunyi. Zaki menunggu balasan dari gurunya.

"Apakah kau masih melihat pada usahamu?" akhirnya Tuan Guru bersuara. Tuan Guru serba putih, berserban dan bercapal. Dia duduk di sebelah katil Zaki dan merenungnya tepat. "Apakah itu yang kau pelajari selama ini, Zaki?"

Zaki diam, tidak menjawab. Guru itu amat dihormatinya. Suatu ketika, sewaktu dia menjadi doktor, guru inilah yang memberi kesedaran Islam kepadanya. Selepas guru ini 'hilang' dari dunia, Zaki mula menyertai gerakan revolusi bawah tanah. Dia bercita-cita mewujudkan sistem khalifah kembali untuk ummat.Dia pernah berangan-angan untuk menjadi khalifah pertama setelah 100 tahun umat teraba-raba mencari kepimpinan agama.

"Manusia dibodohkan oleh angan-angan mereka sendiri, Zaki," ujar Tuan Guru, lembut tetapi tegas. "Dengan angan-angan itu, mereka menutup peluang untuk masa hadapan. Mereka menutup untuk kehidupan abadi. Kehidupan di sana."

"Manusia juga tidak menyedari, bahawa kehidupan di sini hanyalah sementara," Tuan Guru menyambung. "Sementara, supaya kita bersabar. Sementara, untuk kita setia menanti. Sementara, untuk kita mengerti, dunia ini adalah cerminan kita di sana nanti."

"Tapi.." Zaki memotong. "Saya hidup dengan berjuang, mahu mengembalikan kepimpinan umat ini, Tuan Guru. Apakah perjuangan saya ini sia-sia?"

"Dan kau fikir, hidup di sana nanti, kau masih berjuang begini? Membunuh atau membiarkan dirimu terbunuh begini?" Tuan Guru mengawal nada, tidak marah, tetapi menegapkan pendirian. "Dunia ini cerminan kehidupan di sana nanti, Zaki," ulang Tuan Guru.

"Tuan Guru..."

"Zaki, dengarlah kataku, seperti kau biasa lakukan dahulu," ujar Tuan Guru. "Apa yang kau lakukan hari ini adalah apa yang akan terjadi nanti."

"Tapi saya tak faham kenapa, Tuan Guru."

"Kerana kau tak cuba memahami, Zaki."

"Kenapa Tuan Guru tidak merestui saya berjuang begini?"

"Kerana hidup kita ini adalah cerminan."

"Saya tak faham."

"Nah, kau masih berfikir dengan menggunakan ini, Zaki," Tuan Guru meletakkan tangannya pada kepala Zaki yang berbalut. "Bukan dengan ini," kemudian, Tuan Guru meletakkan tangan kanannya pada dada Zaki, pada hati Zaki.

***

Kematian Komander Zaki diumumkan.

Lagu All Hail Britannia berkemundang dicorong-corong radio dan televisyen, meraikan kekalnya kuasa Maharaja.

Seluruh negara terkejut mendengar berita itu. Impian mereka untuk melihat hapusnya kuasa diktator Maharaja runtuh sama sekali. Mereka sedar, dengan kekalahan pasukan revolusi ini, kuasa Maharaja akan lebih mencengkam, lebih tirani.

***

Di dalam sebuah pejabat, di dalam bangunan rumah kedai usang, pejuang revolusi yang masih belum meletakkan senjata berkumpul.

"Tuan-tuan yang saya muliakan. Saya akan membacakan warkah terakhir komander sebelum beliau meninggal dunia.

Saudaraku yang aku cintai,

Hidup ini seumpama musafir untuk kita mengumpul bekalan. Destinasi kita adalah akhirat yang abadi. Barangsiapa yang baik bekalannya sewaktu di dunia, tak akan kelaparan selamanya di sana nanti.

Ketahuilah saudaraku, di saat-saat terakhir ini, aku merindukan kehidupan dalam naungan Islam.

Saudaraku, aku ingin menyeru kalian untuk menilai kembali apa yang kita perjuangkan selama ini. Apakah ia selari dengan apa yang kita hasratkan? Atau hasrat itu hanya sekadar angan-angan?

Pernah guruku berpesan, nilaikanlah sesuatu itu dengan hati, bukan dengan nafsu, bukan juga dengan akal yang telah dikotori.

Hari ini, saudaraku, di atas katil ini, aku ingin mengajak kalian menilai kehidupan kita sekarang, kerana kehidupan kita di sini adalah cerminan kehidupan di sana.

Rinduku pada kehidupan Islam begitu mendalam. Namun, setelah bertahun-tahun, aku kira, perjuangan mendapatkannya bukan dengan mengangkat senjata.

Revolusi yang berjaya bukan dengan merampas kuasa dan mencipta satu kuasa yang baharu.

Revolusi yang sebenar adalah kita menguasai diri kita sendiri daripada angan-angan kita untuk menguasai orang lain.

Revolusi, tidak akan berjaya dengan senjata kerana barangsiapa yang menembak insan yang lain, maka dia sendiri bersedia untuk ditembak.

Dan kehidupan kita bukan sekadar membunuh dan terbunuh.

Jadi, aku menyeru saudara-saudaraku untuk menilai diri, sejauh mana kita cuba menguasai diri kita sendiri, daripada kemelut yang kita benci selama ini.

Apakah telah hidup kehidupan Islam yang kita rindui itu, di dalam diri kita ini, sebelum ia wujud dalam kehidupan insan lain? Apakah telah kita menyeru tentera Maharaja, atau Maharaja itu sendiri, untuk sama-sama merindui rasa kehidupan Islam itu? Atau kita sekadar mencetuskan peperangan yang tiba-tiba?

Saudara-saudaraku, inilah wasiat terakhirku.

Mantapkanlah iman, amalkanlah sunnah baginda, walau sekecil-kecil suginya. Perbanyakkanlah ilmu, di samping zikirmu. Bantulah insan seagama, hatta musuh, untuk mengenali siapa Tuhannya. Ikhlaskanlah hatimu, dan dengan keikhlasan itu, serulah, serulah dengan pujuk rayu, dengan hikmah dan kebijaksanaan, tanpa senjata dan peperangan, kepada kehidupan beragama. Lakukan itu saudaraku, nescaya Allah akan kurniakan kita, lebih dari Khalifah yang diimpikan. Fahamilah, kerana kehidupan di sana nanti, adalah cerminan kehidupan kita sekarang ini."

***

Sebahagian besar pejuang hitam-jingga menyerah diri. Pejuang-pejuang revolusi yang setia, melarikan diri ke negara jiran. Pejuang yang menyerah, telah menandatangani perjanjian keamanan dengan Maharaja. Mereka tidak akan dikurung, sebaliknya perlu melakukan kerja-kerja amal.

***

"Tuan Guru, jika hari ini saya berhenti berperang dan berjuang, apakah Islam akan tertegak kembali?" Zaki bersoal kepada gurunya, lama dahulu, sewaktu dia menjadi doktor.

"Apakah perjuangan perang itu akan memberi kau kuasa, Zaki?" kata Tuan Guru. "Perang adalah satu pilihan, namun kau masih boleh memikirkan pilihan perjuangan yang lain. Pilihlah perjuanganmu dengan hati dan berhati-hati, Zaki."

Zaki tidak pernah terfikir pun akan perjuangan yang lain itu, sehinggalah saat-saat akhir hayatnya. Dia menyesali, kerana tidak memilih perjuangan yang akan menjamin kejayaan sebuah revolusi ciptaannya sendiri.

Kali ini

Kali ini cikgu, kami masih mengulang cerita, bagaimana kami dirotan, walaupun hari ini, merotan sudah tidak lagi releven untuk kami.

Haruskah ucapan selamat, untuk cikgu, menjadi balasan atas semua jasa cikgu mendidik kami?

Tidak.

Ia melebihi segalanya.

Kan?

Terima kasih, cikgu, kami telah terdidik olehmu, menjadi rakyat yang berani!

Glory, Freedom dan Rock

Ini adalah glory. Dunia gua. Kalau lu nak kata freedom pun, boleh juga.

Lu tahu sebab apa?

Ok, baik gua cerita tentang dunia lu, tentang dunia gua.

Dalam dunia lu, lu dengar pop, dengar R&B. Kononnya lu fikir orang-orang muda macam lu, akan terikut berhibur dengan betul. Lu suka dan lu ingat orang-orang lain pun suka. Lu rasa, dengar lagu pop, R&B, macam dengar lagu sopan-sopanlah? Itu belum masuk lu punya nasyid lagi.

Lainlah gua. Gua ada freedom. Juga ada glory. Gua dengar lagu keras-keras. Lu kata gua suka buat headbanging. Memang gua suka buat headbanging. Tambah lagi bila gua sorang-sorang, tengah malam. Ini baru glory. Ini baru freedom. Ini baru rock, beb!

Dunia lu, lu bawa kereta besar-besar. Kereta yang boleh gerak laju-laju. Lu suka bergerak cepat-cepat. Apa lu cakap? Tanggungjawab lebih daripada masa? Itu lu cakaplah. Bukan gua cakap. Tapi, lu tahu ke lu bawa kereta tu ke mana? Lu suka bawa laju, tapi lu tak tahu mana lu pergi.

Tapi, dalam dunia gua, kalau jalan kaki itu kira hero, kira glory, kira freedom. Sekurang-kurangnya, kalau bukan jalan kaki pun, gua pakai public transport. Lagi jauh tempat gua nak pergi, kalau gua jalan kaki, lagi bagus gua rasa. Biar lambat asalkan selamat. Setiap langkah baru rasa glory, baru rasa freedom. Gua boleh jumpa ramai orang. Gua boleh rock dengan ramai orang. Berjalanlah rock. Berjalanlah glory. Berjalanlah freedom.

Satu benda, gua tengok dalam dunia lu, lu semua muda-muda belaka. Semua muka-muka licin, macam perempuan. Semua rambut stail-stail, pakai shades, pakai smart-smart. Lu ikut rapat-rapat fesyen zaman. Kalau lu tengok dekat tivi, semua pakai macam tu, lu pun pakai macam tu. Lu kata, senang nak masuk. Lu kata, orang tak curiga dengan lu. Lu kata, baru orang pandang sikit lu tu siapa.

Tapi, gua tak suka benda ikut-ikutan ini. Gua, orang yang ada freedom. Juga ada glory. Ikut suka hati gua nak pakai apa. Gua bela janggut. Janggut itu simbol glory. Lagi panjang, lagi glory. Gua pakai tak mahal-mahal, ala kadar. Orang kata, fesyen gua ketinggalan. Tapi, gua orang freedom. Gua tak peduli apa orang cakap. Dalam dunia gua, ramai orang tua juga. Semua orang tua gua ada glory, ada freedom. Semua berjanggut. Semua sederhana. Sebab apa? Sebab masing-masing tahu masa dah tak lama. Dah nak mati. Bergaul dengan orang nak mati ni, baru rock beb. Baru lu kenal apa erti hidup rock, beb.

Gua tengok dunia lu juga, lu banyak main sukan. Kem itu lu buat sukan ini. Kem ini, lu buat sukan itu. Pelik juga, orang-orang macam lu main sukan. Ingat orang-orang macam lu, lembik. Lembiklah, sebab lepak-lepak dekat dewan, dengar seminar, dengar simposium. Tapi, hairan juga gua, bila tengok orang macam lu fokus betul-betul dekat sukan. Ada ragbi. Ada acilut. Ada futsal. Tambahan, gua tengok, orang-orang macam lu, suka betul kumpul ramai-ramai untuk aktiviti sukan-sukan macam ni. Hairan betul gua.

Tapi, nak banding dengan dunia gua, gua tak main dah sukan-sukan ni. Gua rasa, main sukan tak glory, tak freedom untuk gua. Badan gua bukan kuat sangat. Kudrat badan gua tak boleh ikut sangat. Kudrat rock gua, gua fokus dekat hati. Kalau hati suka, rock macam manapun, boleh gua ikut. Sukan, bagi gua, bukan aktiviti hati yang rock. Itu aktiviti badan aja. Kalau dah tua, mana badan tua itu nak sukan-sukan lagi. Patutlah gua tengok, orang-orang lu semua muda-muda aja. Kalau lu nak tahu, yang boleh bawa sampai lu bertongkat, hati yang rock aja. Satu lagi, kalau kumpul ramai-ramai untuk tengok sukan, itu lagi bukan rock. Rock bagi gua, bila badan ni, tunggang terbalik, ramai-ramai, lima kali sehari. Yang rasa lagi rock, dia akan tambah benda tunggang-terbalik ni tengah-tengah malam, sebelum buat headbanging. Itu lagi rock. Lagi glory. Lagi freedom.


Lu, bukan gua nak cakap, tapi gua kena cakap juga. Lu budak-budak lagi. Lu tak kenal dunia lagi. Sorry to say, no hard feelings, kalau gua cakap lu baru tercari-cari makna. Sebab itulah, gua tengok, lu campur itu, campur ini. Lu campur yang lu rasa agama sikit, dengan dakwah sikit, dengan persatuan sikit, dengan khalifah sikit, dengan modern sikit. Lepas tu, lu kata "inilah dunia aku, dunia perjuangan." Satu segi, gua pujilah sikap lu. Lu boleh kata, sensitif juga dengan benda-benda kehidupan ni, apatah lagi tentang kehidupan rock gua. Lu boleh kata itu ini tentang rock gua. Tapi gua tak kisah. Gua tahu, bila lu cakap tentang rock gua, lu cakap tentang permukaan, dari sumber yang tak ori. Lu dengar orang bukan rock cakap, kemudian lu tafsir sendiri, lepas tu, lu kata rock gua salah, rock gua bidaah. Tapi, gua tak kisah, sebab gua rock. Gua juga ada glory, ada freedom.

Lu kata gua sesat macam mana pun, gua tetap rock. Hati gua dah terpaut pada rock. Rock itu glory. Rock itu freedom. Rock yang inilah yang buat gua selalu nak pergi tempat orang tunggang-tungging lima kali sehari tu. Kalau tiba-tiba gua rasa rock sikit, gua bangun tengah-tengah malam, gua tunggang-tungging-terbalik, lepas itu, gua headbanging sampai pagi. Gua hidup untuk rock. Gua mati pun untuk rock. Gua bela janggut. Ini simbol glory gua. Gua tak perlu terikut-ikut fesyen semasa. Itu simbol freedom gua. Gua kawan dengan orang-orang tua, gua rasa rock. Betul-betul rock!

Ini gua nak cakap, kalau lu nak rasa kehidupan, gua ajak masuk dunia gua, dunia rock. Dunia lu tak ada glory, tak ada freedom. Gua boleh jamin, kalau lu jadi orang rock, lu akan rasa macam mana kehidupan rock yang ada glory, yang ada freedom. Itupun yang manusia macam lu nak kan? Gua bukan jenis kedekut. Gua ajak semua orang. Lu lain. Gua nak masuk pun tak boleh. Lu sama-sama dengan geng lu saja. Tapi, tak apa, lagi bagus. Lagi selamat orang ramai.

Ok, gua nak blah dulu. Sekarang sudah tiba waktu tungging-terbalik. Dengar tak panggilan tu? Itulah panggilan untuk glory, untuk freedom.

Rock!

Aku bukan

Aku bukan
Manusia
Gila kuasa.

Aku bukan
Manusia
Yang Dikuasai

11 Mei 2010
Putrajaya

Komplen


"Apa la dreber bas ni. Lambat! Berak ke?" (Kalau anda naik bas 312)

"Ba*i punya Kancil" (berlaku apabila orang sedang mencari parkir yang penuh, kemudian rasanya dia telah menemui tempat parkir itu. Namun, apabila bersedia untuk membelok, kelihatan sebuah Perodua Kancil yang tersembunyi)

"Apalah mamak, kenapa buat teh tarik ni manis sangat?" (Saat kempen diabetis)

"Hoi! Mau mati ka?" (ini selalu anda dengari di Pulau Pinang jika anda adalah pejalan kaki atau penunggang basikal)

PON! PON! PON! PON! PON! POOOOOOONNNNNNNNN!!! (bunyi hon)

"Bodoh punya pemimpin. Macam mana boleh buat polisi bangang macam ni." (Kata-kata selepas pilihan raya)

Dan sebagainya.

Di Malaysia, saya berpeluang bertemu dengan banyak orang yang menyatakan rasa tidak puas hati, rasa benci, rasa meluat dan rasa cemuih.

Saya kira, salah satu sindrom di Malaysia ini adalah sindrom komplen.

Saya mendengar dari mulut orang, sejak saya pulang dari negara luar. Kadang-kadang seronok juga menjadi pendengar komplen. Macam saya ini pegawai biro aduan awam.

Namun, hari ini, saya sendiri akhirnya telah terjerumus dalam dunia ini.

Saya sendiri menjadi orang yang komplen.

"Apa lembab punya hospital. Orang sihat boleh sakit. Orang sakit boleh mampus. Orang mampus boleh berulat!" kata saya, marah-marah. Mendengus.

Begitulah. Lama-kelamaan, saya akhirnya larut dalam dunia ini. Dunia yang sama ada kita survive diam-diam, atau kita komplen.

Dan komplen kita ini, bukannya diambil perhatian dan tindakan pun. Itulah hakikat negara kita.

Tidur

Jarang dia bermimpi kalau tidur.

Dan, dia tak pernah berhajat untuk bermimpi pun, kalau tidur.

Dia mahu tidurnya, molek-molek 6 jam, tanpa ada gangguan.

3 jam pertama, benar-benar dia karam dalam lena. Kemudian, dia bangun, bertemu Tuhan, sewaktu alam benar-benar sunyi. Kemudian, menyambung kembali 3 jam yang berbaki, menunggu kokokan ayam pertama.

Dia memahami kata cikgunya, yang atheist.

Dia belajar, tidur itu macam gelombang- turun dan naik.

Mula-mula, katanya, apabila kita memejam mata, kadar denyutan otak akan perlahan. Sehingga satu tahap, ia menjadi sangat rendah, kemudian, perlahan-lahan ia kembali aktif. Ia seolah-olah, awal permulaan tidur, kemudian tidur itu menjadi tidur mati, sebelum tidur itu menjadi tidur orang hidup kembali.

Katanya lagi, itulah sebabnya, kau boleh bangun di tengah-tengah malam.

Sepanjang hari saya meninggalkan ruang ini, saya meneliti katanya, lama sebelum saya berkongsi di entri.

Namun, ada sekali itu, dia mendakwa dia bermimpi.

Seorang tua berkata padanya, "kadang-kadang, yang mendapat rezeki adalah muridnya. Gurunya sekadar mengajar mencari rezeki itu."

Rezeki malam, katanya lagi, sungguh manis. Sungguh dirindu.

Saya minta dia berdoa, supaya saya melalui pengalaman sama sepertinya.