Kelab Peminat

Orang Terasing

"Kenapa?" kata saya, ingin tahu lebih dalam. Saya bersoal diri sendiri, apakah dia telah berubah, menagih cinta yang ditinggalkannya dahulu?

"Saya rasa menjadi orang asing di sini - istimewa. Baik dari segi layanan atau perhubungan."

Dia memberi tanda topik ini akan diungkit semula. "Tapi, sekarang, kita sudah berpisah."

"Kerana kita pernah bersatu dahulu."

"Hmmmm." Saya tidak menjawab. Ternyata, pengembalian dia di sini, di tanah Napoleon saya ini, mempunyai maksud mendalam. Saya, insan yang pernah ditinggalkan. Saya, insan yang pernah merana kerana cinta tak terbalas, kerana kasih yang dihargai. Insan dari dunia Fansuri ini adalah punca sengsara bertahun-tahun yang saya deritai. Meskikah kali ini, saya menerimanya, atas alasan dia bersusah-payah kembali ke negara romantik ini?

"Kenapa kita pernah bersatu dahulu?" saya bertanya lanjut, mahu menduga.

Dia diam, barangkali berfikir. "Dahulu, rasa kita sama," ujarnya.

"Apakah rasa itu?" Pantas saya bertanya. Seolah-olah saya sedang bersedia untuk melancarkan perang. Oh, adakah sekarang ini saya sudah menjadi Napoleon wanita yang suka melancarkan serangan dengan pantas dan mengejutkan?

"Cinta. Impian. Kenangan."

Tiga perkataan itu mengguntur dalam hati saya. Hati Napoleon ini tersentak seumpama ketumbukan 30000 tentera Perancis yang digempur oleh tiga armada Eropah ketika pertempuran terakhir bekas maharaja Perancis ketika perang terakhirnya di Waterloo. Napoleon pernah tewas dengan tentera. Apakah hari ini, kerajaan jiwa saya akan kalah dengan kata-kata?

"Dan, apa kaitan kau mahu menjadi orang terasing sekarang? Apa kaitannya denganku?" Saya berlagak kejam. Dia pernah mengkejami cinta saya dahulu, dengan alasan-alasan yang saya tak rasa munasabah.

"Dan, kau mahu menjadi Albert Camus lagi?" Tiba-tiba saya teringat pengarang berketurunan Algeria yang menghasilan L'√Čtranger yang memahsyurkan falsafah eksistentialisme dalam karya-karyanya. Lelaki di depan saya ini pula, pernah menjadi seperti Camus dengan percik Jean-Paul Sartre, yang mahu mencari erti diri sendiri, dengan kudrat dan upaya sendiri. Entah sekarang dia menjumpai erti diri yang dicarinya itu ataupun tidak. Sudah bertahun kami tak bersua. "Inikah erti kehidupan yang kau cari-cari selama ini." Saya menekan perkataan 'ini', supaya dia tahu, yang saya maksudkan adalah kasih yang ditinggalkan dan jiwa yang dikorbankan.

"Bukan begitu maksudku," katanya, lembut, tetapi tegas.

"Habis tu?"

"Kalau kau maksudkan aku seorang pencari erti kehidupan, maka itu bukan aku sekarang."

"Jadi?"

"Aku sekarang ini adalah pembawa erti kehidupan...."

"Maksudnya?"

"Sabar, biarkan aku habis bicara," katanya dengan mata tajam merenung mata saya. Saya tersipu-sipu. Saya sedari, saya gagal mengawal diri apabila berada di hadapannya. Dia selalu meresahkan. Kadang-kadang misteri. Memang benarlah pengakuannya yang dia orang asing yang istimewa.

"Membawa erti kehidupan, yang aku telah temui, Simone. Aku bukan lagi pencari kerana aku telah diberikan dan dicerahkan. Dan.."

"Dan?"

"Dan aku ingin berkongsi cahaya ini dengan kau, Simone."

"Semula?"

"Bukan semula. Tapi, dalam kehidupan baru."

"Kau pernah meninggalkanku, Hamzah." Saya sebak. Semakin sukar melafazkan kata-kata.

"Tapi, aku tak pernah meninggalkan cintaku kepadamu."

"Penipu..." saya sukar melafazkan kata. Mata saya berair.

"Aku ingin menyelamatkanmu, Simone. Aku mengembara jauh dan terperangkap dalam debu gunung berapi Iceland itu semata-mata ingin menyelamatkanmu. Dengan erti kehidupan baru."

"Kenapa kau tak menyelamatkanku awal-awal lagi dahulu."

"Kalau kita bersatu dahulu, tak mungkin kita akan temui apa itu cahaya. Apa itu erti kehidupan."

Saya teresak-esak. Dia menghulurkan tisu, namun, saya segan menerimanya. Tisu itu barangkali mengandungi helah.

"Simone.."

"Hamzah, kau pernah melukakan jiwaku."

"Ini, tengok ini.." di balik tisu itu ada sebuah kotak merah. "Dahulu, aku pernah terfikir, mahu meletakkan ini dalam cawan berisi wain. Kalau itulah yang aku lakukan dahulu, aku tak bisa menyelamatkanmu sekarang."

"Oh, Hamzah, waktu-waktu begini pun kau..."Saya tak mengambilnya kotak merah kecil itu. Hati saya sangat pedih. Saya pendapkan muka saya ke dalam kedua tapak tangan. Saya tak mampu menahan bahu saya yang terhinggut-hinggut. Pasti semua pelanggan restoran ini memerhatikan kami. Ah, apa saya peduli!

"Hari ini, aku menawarkannya, dengan cara yang lebih baik. Aku tak mahu melangkah ke syurga seorang diri, tanpa bidadari yang menemaniku."

Syurga? Saya hairan mendengar kalimat itu boleh keluar dari mulutnya. Apa perubahan yang telah berlaku pada lelaki ini? Meskikah saya menerima erti baru kehidupannya itu?

Tiada ulasan: