Kelab Peminat

Kenapa Perlu (Berhenti) Mengarang? 1

Perbincangan panas. Apatah lagi kalau sasterawan dan politikus digandingkan sekali di dalam sebuah forum, di salah sebuah rumah batu di sebuah bandar. Bicara orang muda. Penuh semangat.

Layakkah seorang pembaca bersuara?

Bagi saya, baik sasterawan atau politikus, kedua-duanya ada idealismenya tersendiri.



Sasterawan - idealisme mereka air. Berjalur dan bermazhab. Namun, umpama limpahan air dari legeh-legeh sungai, mereka akan bersatu juga di lautan ketamadunan. Air yang mereka bawa, adalah air yang menjadi asbab kehidupan. Air yang mengalir di dalam idealisme pengarang inilah yang menjadi punca rezeki untuk tumbuhan tumbuh dan binatang membiak atau ia mengalir dengan deruan yang menyucikan. Deruan airnya mendamaikan dan merehatkan jiwa yang gelisah dengan hutan kehidupan materialisme yang begitu mendesak. Dingin airnya begitu memuaskan saat ia bersatu dengan tubuh dan keberkatan air itu akan menjernihkan jiwa, hingga jiwa yang suci itu, akan membuahkan tindakan yang benar dan adil.

Politikus pula - idealisme mereka adalah mengempang. Empangan ada gunanya, juga ada mudharatnya. Mereka pentadbir aliran sungai, ke arah manakah aliran sungai itu harus diagihkan. Sesetengah tempat di dalam hutan kehidupan ini, ada yang gersang dan kontang keilmuannya. Maka, politikuslah yang bertanggungjawab untuk berdiri agam, menahan air dan melorongkan aliran sungai baru itu ke situ. Empangan yang dibina oleh politikus ini juga boleh menukarkan kuasa air yang mengalir menjadi kuasa yang memberi manfaat yang lebih besar - kuasa yang menyalakan lampu-lampu keilmuan di setiap rumah, bangunan, pejabat, juga kampus.

Politikus, kalau tidak mahu belajar fiil air, akan susah jadinya. Mereka akan mengempang dengan zalim, tidak kena pada tempatnya dan berlebihan pula tindakannya. Air yang bermanfaat itu akan tersekat. Tidak teragih kepada mereka yang memerlukan. Sehingga, berkumpulnya sampah dan najis di sekitar empangan dan mengeruhkan air yang tersumbat itu. Terjadilah kampung yang mati kekeringan, binatang yang tertungging kedahagaan dan batang-batang renggeh yang musnah segala kehijauan.

Air dan empangan, ada yang mengatakan, mereka saling memerlukan dan saling memainkan peran. Air fitrahnya mengikut bentuk. Juga, menuruni lembah yang terendah. Ada sesetengah tempat, di atas puncak hutan kehidupan, tidak mendapat manfaat air yang menyucikan.

Air dan empangan, ada juga yang mengatakan, mereka saling berlawanan. Air perlu mengalir sendiri, kata satu suara. Fitrahnya memakmurkan setiap juzuk kehidupan di hutan, maksudnya. Empangan pula menghalang laluan kemakmuran itu. Empangan dan air, perlu diasingkan, kata mereka lagi. Sungai yang mengalir secara fitrah, perlu mengalir secara fitrah. Empangan, buatan tangan manusia, adalah satu aturan yang lain. "Binalah terusan sendiri, dan sendiri-sendirilah mengempang di situ."

Ada benar, juga tidaknya.

Suka sekali, soalan diutarakan, antara idealisme air dan empangan, mana yang lebih kuat dalam pertentangan ini?

Sebenarnya, dalam pertembungan politikus dan sasterawan, yang bertembung itu bukanlah manusia yang bertembung secara zahiri. Yang bertembung itu adalah pada idealismenya, yakni batini.

Akan tetapi, 'idealisme' sebenarnya bukanlah kata yang tepat untuk menerangkan unsur yang bertentangan ini.

Ada yang tidak berpuas hati apabila istilah 'idealisme' dipakaikan kepada politikus, kerana pada pandangannya, politikus itu sebenarnya tidak ada idealisme langsung dalam perjuangannya. Mereka longlai. Mereka pragmatik. Mereka oportunis. Baginya, hanya sasterawan yang mempunyai idealisme. Hanya sasterawan ada sesuatu idea yang ingin disampaikan untuk masyarakat.

Benar. Istilah 'idealisme' di sini dipakai atas makna 'perkongsian idea' yang dibawa oleh seseorang itu, kepada orang lain. Jika makna ini dipakai, maka politikus juga berkongsi ideanya kepada masyarakat. Namun, idea yang dibawanya itu, tidak semestinya sama dengan idea yang dibawa oleh sasterawan. Politikus, ideanya adalah supaya masyarakat terpengaruh dengannya dan menjadi pengikutnya. Ideanya adalah, supaya setiap lima tahun, berbondong-bondong rakyat dapat memangkahnya di atas kertas undi. Idea politikus adalah tidak lain adalah untuk memenuhi tuntutan persendiriannya, yang berkisar pada kuasa dan kerusi, meskipun tidak semua.

Untuk menjernihkan kefahaman, apa kata istilah 'keperibadian' digunakan untuk menggantikan istilah 'idealisme.'

Keperibadian di sini merangkumi apa yang dipakai sebagai sarwa pandangannya, apa rujukan yang selalu digunakannya, apakah bentuk kerangka pemikirannya dan apakah tindakan yang dilakukan terhadap pemahamannya.

(bersambung)

Tiada ulasan: