Kelab Peminat

Merpati kebebasan


Sekilas aku memandang kenangan di perantuan. Rupanya begitu pantas masa berlalu. Masa berputar sudah hampir setahun. Kemanisan berpuasa dan beramal di dunia sana, semakin lama semakin tawar sejak aku pulang ke sini.


Aku cuba memuhasabahkan diri, mencari punca kenapa. Tanah air, yang dahulu ibarat ibu yang selalu aku rindui, kini sudah hilang bisa perasaannya. Dahulu, jiwa ini melonjak untuk segera pulang merasai Ramadhan di negara, namun, bila berada di sini, tidak terasa keterujaan yang selalu dibayangkan di sana. Sebaliknya, di sana dahulu, tasdiknya terasa begitu lain, agamanya tidak terasa begitu asing. Segala-galanya di sana terasa begitu dekat. Persahabatan, amalan, keimanan dan keihsanan. Bahkan akrab. Berbanding di sini, segalanya terasa jauh. Segalanya di sini, bagiku, seolah menjelingku dengan pandangan yang sangat mencurigakan.

Terasa merpati kebebasan yang aku bawa pulang dari sana, terbunuh di sini. Barangkali kerana hawa panasnya yang menggila setiap hari. Hawa panas, kalau ditambah dengan kepanasan hati dan perasaan warga khatulistiwa, sudah tentu mendidihkan setiap tulang belulang. Burung kebebasan yang sekian lama aku pelihara dan aku bawa pulang dengan harapan untuk menghidupkannya, menggelepar dan terkerjung di atas tanah air yang tercinta.

Aku bertanya pada diri sendiri - kenapa?

Sedangkan di sini, bangsaku bertutur sepertiku. Di sini juga, aku adalah rakyatnya, sama seperti jelata yang lain, yang sekian lama tinggal di semenanjung ini.

Tetapi, aku terlalu suka membandingkan. Di sini, walaupun aku bebas berbicara dengan siapa, tanpa kekangan bahasa, aku terasa aku ini orang asing. Di sana, walaupun aku gagap meluahkan apa yang terbuku di dada, aku diterima seperti saudara-mara. Di sini, walaupun aku adalah warga negara, aku sering merasakan, aku ini petualang yang menumpang hanya sementara. Sedangkan di sana, walaupun kehidupanku hanya sebagai pengembara, aku dilayan lebih daripada seorang ahli keluarga.

Sepatutnya, dalam Ramadhan ini, aku menginsafi, bukan berkira lagi. Ini tanah airku. Seseksa mana pun merpati kebebasan yang terkurung di dalam sangkar ketakutan, ia perlu berjuang untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak, ia akan mati sia-sia. Jika tidak, ia akan mati kerana dicengkam kelemahan yang berpunca dari dirinya sendiri.

Ataupun, aku sekarang perlu melupakan merpati kebebasan yang telah mati. Yang pergi akan tetap pergi. Yang mati tidak akan kembali.

Kalau aku masih mengimpikan kebebasan dari seekor merpati, ia hanya bebas dalam angkasa dunia.

Kalau aku berusaha mendapatkan kebebasan manusia, dengan tunduk pada Pencipta, lebih dari kebebasan, tentu dapat kurasa.

Tiada ulasan: