Kelab Peminat

Bila Bumi Kita Rata

Bumi yang rata, kata seorang kawan - fikiran yang maju. Bumi yang bulat pula, katanya - itu benda dahulu, ketinggalan zaman dan lapuk. Bumi yang rata ini, katanya, adalah penanda aras kemajuan negara. Kerana apa, dia bertanya - retorik dan minta aku terus mendengar. Katanya, apabila bumi sudah rata, senanglah dibuat bermacam pembangunan, yakni, dibuang segala hutan tempat jin duduk, diganti pula dengan bangunan-bangunan tempat manusia tinggal. Kalau dahulu, katanya lagi, jika bumi tidak rata, berbukit-bukau, terselindung di bawah pokok-pokok tualang, susah manusia hendak menjalani kehidupan. Berada di dalam hutan begitu, hujahnya, kita ini seolah-olah berjiwa beruk berbadan manusia, yang tertinggal dalam proses evolusi yang dihuraikan oleh Darwin, dalam spekulatif Origin of Species-nya.

Dia menyambung - lalu, di atas bumi yang rata itu, bapa-bapa kita akan berlumba membina gedung sebesar yang boleh. Di dalamnya, kita akan sumbat seberapa banyak barang yang mahal-mahal, diimport dari segenap benua. Kemudian, kita akan akan berlari untuk mendapatkan barang-barang dari gedung itu, untuk dibawa pulang ke rumah. Dengan barang-barang itulah, katanya lagi, kita hias rumah kita. Rumah kita, rumah kamu, rumah jiran kita, semuanya seragam dengan hiasan yang disediakan oleh bapa-bapa kita. Dari situ, barulah nampak kemajuan kita, sebagai manusia. Dari situ, barulah orang memandang negara kita, sebagai negara yang kaya. Negara yang merdeka, tambahnya.

Sebenarnya, aku mula hilang manisnya rasa merdeka saat aku mula menyedari apabila semua orang mengatakan bumi ini rata. 

"Kawan," kataku, mengambil giliran untuk berkata pula. "Bukankah bumi ini masih bulat?" 

"Ya, bulat pada zahirnya, tapi rata pada batinnya," jawabnya.

"Tapi, bagiku, ia masih bulat, zahir dan batin," kataku yakin. "Mahu aku jelaskan kenapa?"

Dia menggaru kepala. Mukanya berubah. Dahinya berkerut. Dari sudut itu, wajahnya kelihatan tua dari usianya. 

"Mahu tak?" tanyaku sekali lagi, setelah sekian lama dia berfikir.

"Bolehlah.." katanya, acuh tak acuh.

Aku mula berkata. Bumi ini bukan sahaja bulat. Ia diletakkan betul-betul di satu kedudukan tepat, supaya tidak terlalu dekat atau jauh dengan matahari. Bukan seperti Uranus yang terlalu dingin, bukan juga seperti Utarid yang terlalu panas. Kemudian, aku huraikan tentang awal penciptaan alam ini, di mana letupan agung itu berlaku betul-betul tepat pada keadaan dan keperluaannya. Jika ia meletup lebih kuat dari sepatutnya, maka galaksi-galaksi di alam semesta akan bercempera entah ke mana. Jika ia meletup lebih lemah dari sepatutnya, maka galaksi-galaksi di alam semesta ini akan merapat antara satu sama lain, akhirnya berlanggar dan berlakulah bencana. Dari letupan itu, galaksi Bima Sakti berpusing dengan tepat, dan membentuk planet-planet yang berbentuk bulat, termasuk planet kita. Atas sebab letupan dengan kadar yang sepatutnya inilah, kataku, kita boleh menikmati udara yang boleh dihirup, air yang boleh diminum dan besi yang boleh ditempa. Kita boleh hidup sebagai manusia.

"Apa kaitannya semua ini?" dia mencelah.

Sabar, kataku, satu-persatu. Lalu, aku jelaskan mengenai alam tumbuhan, alam haiwan dan alam batuan. Jika kita pergi ke hutan, kataku, semua ini mempunyai ciri yang tersendiri. Bunga dengan kelopak-kelopaknya yang tersendiri. Pohon dengan bentuk daun-daunnya yang pelbagai. Titiwangsa yang menyebabkan Semenanjung ini berbukit-bukau, menambah kepelbagaian lagi tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalamnya. Ada bermacam haiwan, dari serangga hinggalah ke gajah. Begitu juga batuan, terdiri pelbagai jisim dan kandungan, menyumbangkan mineral kepada seluruh ekosistem alam. Alam hutan, atau alam sekitar ini kataku, sememangnya sungguh indah dan mendamaikan jika diperhati dan dinikmati. Kalau kau fikir lebih sikit, kataku, kau akan dapati setiap unsur alam ini diatur dengan sempurna, di atas satu kedudukan yang saksama. Alam itu, walau sejuta tahun begitu, akan tetap indah, akan tetap terpelihara, jika tiada tangan yang mengganggunya.

"Aku masih tak nampak apa yang kau nak sampaikan," sampuknya, tanpa sempat aku memberi contoh.

Beginilah, kataku. Cuba kau reflekskan diri kamu dengan alam yang aku ceritakan tadi. Bukan diri kamu, sepertimana yang kau faham sebagai beruk yang tertinggal di dalam jasad manusia. Tetapi, kataku, sebagai manusia yang benar-benar manusia. Manusia yang diberi akal, diberi hati. Seperti juga fitrah alam itu tadi, seperti itu jugalah akal dan hati kau patut berfungsi, kataku.

"Bagaimana?" tanyanya.

Pertama, kau patut tahu, yang kesemua makhluk yang sedia disusun oleh Tuhan ini, diletakkan pada kedudukannya yang betul dan peranannya yang tersendiri. Adapun batu yang tidak bernyawa, menyumbangkan tempat tumbuh dan hidup untuk makhluk yang bernyawa di atasnya. Air yang mengalir mencelahi gunung, menyumbangkan perkara asasi untuk kepada hidupan untuk minum, juga untuk mengukir batu dan gunung, supaya hablur mineral diedarkan ke tempat yang sepatutnya. 

Begitu juga manusia, kataku. Tuhan mencipta manusia, dengan tujuan dan peranannya tersendiri. Kataku, memanglah manusia itu bukan berasal beruk, tetapi berasal dari tanah dan ditiupkan roh ke dalamnya, lalu jadilah Adam. Kemudian, dari Adam dan Hawa, lahirlah berbillion-billion manusia. Manusia dicipta di dalam alam ini, bukan kerana Tuhan bosan dan kesunyian. Tetapi, kita semua dicipta sebagai manifestasi kewujudan-Nya. Tuhanlah memiliki kewujudan kita. Kita wujud kerana Dia. Tanpa Dia, kita tidak wujud.

"Jadi, tujuan manusia dicipta adalah untuk menunjukkan Tuhan itu wujud?"

Sudah semestinya, bahkan alam ini wujud, untuk menunjukkan alamat, bahawa Tuhan itu wujud. Untuk mengakui kewujudan-Nya, manusia ini diperintahkan oleh Tuhan, melalui firman di dalam Al-Quran, untuk menyembah-Nya. Haiwan, tumbuhan dan batuan, juga menyembah Tuhan, seperti mana yang diperintahkan Tuhan, tanpa melawan, juga tanpa pilihan. Berbeza dengan manusia, kita diberi pilihan untuk menyembah atau mengingakari Tuhan kita. Seperti yang aku jelaskan tadi, kataku, fitrah alam ini, dicipta betul dengan tempat letak duduknya. Jika kita memilih untuk mengingkari daripada menyembah Tuhan, kita telah meletakkan diri kita salah dari tempat yang sepatutnya. 

Kedua, manusia diberi peranan sebagai khalifah atau wakil Tuhan ke atas alam ini. Ini bukan bermakna, kita mengambil alih peranan Tuhan, menukar bentuk dan sistem alam ini seperti mana yang telah diciptakan-Nya. Jika benar-benar setiap panduan untuk kita menjalankan peranan itu diikuti, nescaya akan makmur dunia ini.

Aduhai, kataku, kalaulah manusia menyedari, dia juga adalah salah satu unsur alam ini, maka dia tidak akan mengubahnya sesuka hati seperti sekarang. Bumi yang bulat, kataku, cuba diratakan oleh manusia. Dicabut dan ditebang segala tumbuhan, dibom dan ditabrak segala bukit bukau dan dibunuh dan disalai segala haiwan. Aduhai, dari situ, dibina segala bangunan atas alasan pembangunan. Diisi di dalam bangunan itu segala macam perkakas. Malangnya, perkakas itu bukanlah mempunyai nilai kekayaan, kerana ia adalah bahan alam yang diolah oleh tangan manusia, lalu diletakkan harga yang mahal dan dibayar dengan hanya menggores sekeping kad pada sebuah mesin kira-kira. Lalu, kita sang manusia, mengiklankan bahawa, jika mempunyai perkakas tersebut di dalam bangunan yang dibina, itu menunjukkan bahawa barulah kita menjadi manusia. Jika tiada, kataku, seolah-olah kita ini tak bertamadun seperti beruk yang berjasad manusia.

Namun, sambungku, tak semua manusia mempunyai kad atau wang untuk membeli perkakas, apatah lagi membina bangunan. Ada yang tidak memerlukan itu semua, tetapi ia menjadi keperluan apabila di kiri dan kanan, sibuk orang menggungjing dirinya yang tak punya bangunan dan perkakas itu. Kataku memberi contoh, 'lihatlah manusia itu. ketinggalan kerana tak ada ini dan itu.' Malangnya, si dia itu, yang tak punya apa-apa itu, terpaksa juga mengikut arus dunia. Lalu terpaksalah dia mencari wang, dalam keadaan terdesak - dengan cara yang baik atau terhina. Sehinggakan, dia lupa letak duduknya di mana, dan apa peranan hidupnya di atas bumi yang telah menjadi rata.

Bangunan pun dipasang pagar dan jaring-jaring besi, supaya perkakas di dalamnya tidak dicuri. Kita mula membina penjara diri sendiri, kataku, demi menyelamatkan perkakas yang dibeli.

"Nah, aku sudah berbicara panjang lebar," kataku. "Biarlah aku menyimpulkannya."

"Baiklah..."

"Janganlah dikatakan kita merdeka lagi, jika ini semua terjadi. Jangan hairan jika orang membakar bendera atau membuang najis ke kedutaan kita, jika kita sendiri 'buat taik' di merata-rata, dan ada orang yang 'membakar' simbol negara yang lebih mulia dari bendera," kataku. "Fikirlah, sejauh mana kita bebas untuk memahami hakikat tujuan kita dicipta di atas bumi yang sebenarnya bulat ini. Fikirlah, sejauh mana kita bebas untuk menjalankan peranan manusia yang sebenar, bukan sebagai jiwa beruk yang tertinggal dalam jasad manusia."

Sambungku, "Mungkin kita rajin meneriak 'Merdeka, merdeka, merdeka!' dengan penuh semangat. Tetapi, semangat kita hanya tertinggal di dalam stadium atau di atas jalan raya, sewaktu perarakan setiap tahun. Semangat itu hanya akan menjadi berguna, jika kita menghalakannya ke dunia ilmu dan intelektual, yang dinampak apabila terbitnya buku-buku bermutu dan lahirnya ilmuan yang cendekiawan. Juga, terhapusnya kepercayaan hantu dan jembalang, diganti dengan kepercayaan Tuhan dan kewujudan-Nya. Dan merdeka itu akan bermakna, apabila menghargai bahawa bumi ini bulat lagi istimewa, yakni, bukan lagi rata dengan kefahaman beruk yang tertinggal dalam jasad manusia."



1 ulasan:

asal berkata...

saya tahu siapa yang paling untung kalau bumi ini rata.

kontraktor.

tidak perlu memanggil jentera pengorek untuk meratakan tanah.

suka ayat: semangat Merdeka yang ditinggalkan di stadium.