Kelab Peminat

Tak Payah Sombong Pun Tak Apa


Matahari rembang.

Berpusing-pusing saya mencari tempat meletak kereta. Saya berkata dalam hati, kota yang terbina dengan bangunan yang aneh-aneh ini harus mempunyai tempat meletak kereta yang kondusif dan efisien. Anehnya, walaupun kota ini dikatakan gah seolah kota kayangan, ia tidak pula menyediakan tempat meletak kereta seperti yang sepatutnya. Maka, terpaksalah kereta saya melalui sebuah dataran tar yang berlubang-lubang, mencelahi beberapa kenderaan lain dan terbiar di bawah matahari terik Putrajaya.


Saya berjalan di ruang pejalan kaki yang pecah-pecah batu yang melapisinya. Ada beberapa orang yang menutup kepala akibat kepanasan yang melampau. Pokok yang baru ditanam di tepi jalan, kelihatan kejang seperti kebuluran air.

Saya memasuki ke salah satu bangunan yang hebat itu. Terus saya ke kaunter dan bertanya, di mana saya boleh menyelesaikan urusan pejabat saya. Kerani di kaunter utama di lobi bangunan, menunjukkan saya ke satu bahagian yang berada di hadapannya. Saya ke sana, seperti yang diarahkan.

'Selamat pagi. Encik ada urusan apa?' kata kerani yang berada di kaunter perkhidmatan pelanggan.

'Saya nak hantar borang sekian-sekian.'

'Okey, encik ambil nombor ini, nanti sila berurusan di kaunter ya.'

Belum sempat pun saya duduk, nombor saya terpampang di palang nombor. Saya ke kaunter.

'Saya ke sini, nak hantar borang sekian-sekian. Boleh tak tengokkan borang ini.'

'Oh, encik kena naik ke tingkat atas untuk urusan ini,' kerani wanita kaunter itu membalas pantas. Dia menjeling semula ke arah komputernya.

'Sebelum saya naik ke atas, boleh tak tengok-tengokkan borang saya ini dahulu?' Saya tahu, saya kali pertama ke sini. Banyak perkara yang saya tidak tahu.

'Tak apa, encik naik ke atas dahulu. Nanti ada orang yang akan uruskan.'

Maka, saya pun naik ke tingkat atas, seperti yang dicakapkannya.

Di tingkat yang dimaksudkan, kelihatan seorang wanita Tionghua sedang bertekak dengan seorang pegawai  wanita Kementerian bangunan ini. Dari gaya pegawai itu, saya mengesani bahawa dia seolah-olah cuba untuk mengelakkan penerangan lanjut mengenai apa yang diminta oleh wanita Tionghua itu. Bahasanya kasar, walaupun pegawai itu bercakap dalam Bahasa Inggeris. Saya menyelit ke dalam pertengkaran itu, mahu menyibuk apa yang sebenarnya berlaku.

'If you don't show me, I will not go out of this office,' kata wanita Tionghua lewat 30-an itu.

'If you don't believe there are 2000 copies of the hologram, you can count it by yourself, one-by-one,' balas pegawai wanita itu dalam bahasa Inggeris yang tak berapa betul.

'No, no. I want you to count in front of me. You see, the formula here is not correct. If I subtract from this value, I only get 1999, not 2000,' balasnya.

'That's simple Mathematics!" Saya mencelah. 'If you subtract this value, from this value, you still lost 1 copy of the hologram.'


Pegawai wanita itu menelefon bosnya, mengatakan itu dan ini, dalam Bahasa Melayu, kononnya saya dan wanita Tionghua itu tidak memahami apa yang dikatakannya.

'Awak jangan ingat saya tak faham Melayu,' kata wanita Tionghua itu. Belum sempat pula saya bertanya namanya. Marahnya bukan kepalang, saya kira. Namun, dia tidak meninggi suara seperti pegawai wanita tadi. Dia cuba mengawal nada dalam kesabarannya.

'Ikut saya jumpa pegawai di dalam,' akhirnya pegawai wanita itu membawa wanita Tionghua itu tadi ke dalam pejabatnya. Saya tertinggal di luar, terpinga-pinga.

Mujur ada seorang pekerja yang datang, menyapa saya. 'Encik ikut perempuan yang ada dekat sini tadi,' katanya.

Saya pun menolak daun pintu pejabatnya dan kelihatan wanita itu berjalan laju-laju. Saya mengejar.

Berlaku lagi pertengkaran antara pegawai itu dengan pelanggan Tionghua yang menuntut haknya - penjelasan mengapa pesanan hologram, pelekat untuk mengesahkan keaslian cetakan cakera padat, kurang satu daripada apa yang dipesan. Ini kerana, pesanan itu bukan pesanan percuma. Undang-undang ini didatangkan dengan harga yang perlu dibayar oleh peniaga.

Saya berdiri di tepi sewaktu pertengkaran mereka mula surut.

'Encik ada urusan apa pula?' tanya pegawai wanita itu pada saya. Mukanya sudah merah padam.

'Ini. Saya nak menghantar borang ini.'

'Baru nak hantar borang ke, atau nak ambil hologram?'

'Baru nak hantar borang. Kerani di bawah suruh saya naik atas.' Terasa saya budak bodoh yang sedang dimarah oleh seorang guru yang garang.

'Encik, kalau baru nak hantar borang, dekat bawah pun boleh hantar,' katanya. Pulak! Saya menjegilkan mata. 'Kaunter mana yang encik pergi tadi?' Saya menjelaskan di mana kaunter yang saya pergi. Dia mengangkat telefon dan marah-marah. Satu perkataan yang masih saya ingat yang diluahkannya waktu dia menengking di dalam telefon - 'bodoh.' Siapa yang bodoh, saya pun tak tahu.

'Encik turun bawah balik.'

'Apa pulak?' kata saya mempersoalkan. 'Saya sudah naik ke atas. Kenapa turun bawah balik? Takkan tak boleh hantar borang di sini terus?' Di dalam hati, saya bertanya sendiri. Bukankah borang ini akan sampai ke pejabat ini juga nanti? Siapa yang bodoh sekarang?

Nak tak nak, saya pun terpaksalah terkulat-kulat turun. Sebelum sempat saya turun, wanita Tionghua itu berkata dengan yakin kepada saya, 'Good luck!" Dia telah memerhatikan saya sejak tadi.

Di kaunter bawah, saya menjalankan hak saya sebagai seorang pelanggan. Pejabat ini mempunyai ISO:9002, jadi suara pelanggan didengari jika kita meninggalkan borang maklum balas pelanggan - yang dilengkapi dengan sistem elektronik. Walaupun saya tidak meninggikan suara, saya tahu, ada nada saya membekas, walaupun bukan dalam bentuk kata.

***

Entah apa yang diajar di gedung-gedung universiti yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Barangkali, tenaga pengajar, baik di universiti atau sekolah, sudah banyak yang menjadi pondan atau bapuk, sehingga generasi sekarang keliru identiti dan jati dirinya.

Bagi saya, tak perlu sombong pun untuk menjadi bagus daripada orang lain. Bahkan, apabila kebaikan ditawarkan, si pemberi itu tidak akan kerugian apa-apa pun. Orang yang sombong dibenci. Orang yang baik akan disukai.

Sindrom orang sombong yang mempunyai kuasa dan orang menuntut hak daripada mereka sudah menjadi lumrah kehidupan dan pengurusan di Malaysia.

Seorang kerani yang duduk di kaunter, akibat kesombongan dan kerendahan mutu pekerjaannya, mungkin telah membunuh karier usahawan yang suatu hari nanti, akan menggantikan tempat Syed Mokhtar al-Bukhary. Begitu juga urusan yang melibatkan wang. Mungkin permusuhan dapat dielakkan jika salah satu pihak menyedari kesilapan yang dibuatnya dan memulangkan hak orang yang meminta itu, atau memohon dengan cara yang terhormat, agar dirinya dimaafkan atas kesalahannya. Namun, atas kesombongannya, dia telah membiakkkan permusuhan yang sekian banyak di dalam iklim khatalustiwa ini.

***

Barangkali, setiap dari kita, boleh menjawab, masalah ini akan selesai, apabila kesombongan itu diganti dengan kebaikan.

Tapi, pernahkah kita belajar, kebaikan itu, apa pula?

Tiada ulasan: