Kelab Peminat

Untung 1


Tak salah kalau menjadi kapitalis kalau kena pada tempatnya. Dalam erti kata lain, tak salah kalau kita meletakkan harga yang tinggi, kalau ada pelanggan yang sanggup untuk mengeluarkan wang, membayar sesuatu produk dan perkhidmatan yang mahal harganya. Walapun dari satu sudut, pengeluar dapat mengambil kesempatan atas keperluan dan kehendak pengguna, namun, tak salah baginya untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda, jika ada pengguna sanggup berkorban untuk mendapatkannya.

Untung. Dahulu saya jengkel dengan perkataan ini. Dahulu saya ingat, semua kekayaan dan hasil yang diperoleh daripada titik peluh perniagaan, perlu diagihkan secara sama rata kepada semua rakyat jelata. Setiap orang mempunyai hak yang sama dan pengagihan harta dalam sesebuah negara perlulah dilakukan dengan saksama. Orang yang berniaga, yang memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda, perlu dikawal oleh pihak kerajaan agar mereka tidak menindas golongan pengguna, yang terpaksa atau dipaksa mengeluarkan wang yang banyak demi memenuhi tuntutan hidup. 

Misalnya, air. 

Dahulu, saya kira, air perlu diberi percuma kepada setiap orang. Yang patut membayar segala kos penyelenggaraan adalah golongan usahawan yang memperoleh keuntungan berlipat kali ganda itu. Keuntungan yang diperoleh dengan menjual perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat tidak boleh dimakan sendiri. Ia adalah milik semua, milik rakyat jelata, kerana mereka bermain dengan bisnes keperluan asasi manusia. Tanpa perkhidmatan pembekalan air yang terurus, manusia di Lembah Klang akan minum air dari Sungai Kelang tanpa dirawat. Itu apa yang saya fikirkan dahulu.

Kini, saya membuka mata untuk melihat situasi sebenar rakyat. Rakyat masih lagi berkurang ajar di tengah jalan raya. Rakyat masih lagi sanggup untuk menonton televisyen dan wayang yang dipenuhi cerita tahyul dan untuk orang yang bercita rasa rendah. Rakyat dimomokkan dengan politik yang entah ke mana halanya dan tindakan yang bebal-bebal belaka. Rakyat masih lagi dibelenggu oleh beberapa pertubuhan yang kononnya mahu membela, namun akhirnya menyebabkan masalah perkauman yang semakin meruncing dan berbahaya. Rakyat masih lagi tidak sedar, bahawa mereka sebenarnya hidup dalam longgokan sampah dan tidak pernah berasa mahu keluar untuk menghirup udara yang segar bugar di luar kepompong ini. Hakikat ini berlaku, bukan sahaja di Malaysia, malah di mana-mana pun penjuru dunia.

Dahulu, menjadi seorang yang idealistik adalah sangat mudah. Berdemo, membawa sepanduk, menjerit di jalanan dan menghadiri ceramah anti-kerajaan memang sangat mudah dilakukan. Namun, apabila terpaksa menjadi idealis yang realistik, barulah kita tahu bagaimana susahnya melaksanakan apa yang kita pegangi selama ini. 

Saya diberitahu bahawa kualiti air di kawasan Lembah Klang lebih teruk daripada kualiti air yang dibekalkan di bandar Phnom Penh. Saya bertanya kenapa. Saya diberitahu lagi, ini adalah gara-gara kerajaan negari yang baru memberi air yang percuma kepada rakyat. Saya membeliakkan mata. Bukankah dengan menyediakan perkhidmatan air yang percuma kepada rakyat merupakan satu usaha yang murni? 

Dia menjelaskan kepada saya kenapa.

Apabila rakyat mula mendapat sesuatu dengan mudah, rakyat cenderung untuk tidak menghargainya. Apatah lagi dalam iklim negara kita yang senantiasa hujan, air dianggap sebagai sesuatu yang mustahil kehabisan. Air pun dibekalkan secara percuma kepada rakyat. Rakyat, seperti yang kita tahu, tidak semua mempunyai kesedaran bahawa penggunaan air perlulah terkawal. Masih ramai lagi yang tidak tahu erti penjimatan. Lebih ramai yang tidak menutup pili dengan ketat selepas menggunakannya. Apabila ini terjadi, pembaziran berlaku dengan berleluasa. Sementelah air dibekalkan dengan percuma.  

"Biarlah, bukan kena bayar pun."

Apabila sikap ini bertunas dalam setiap jiwa rakyat, maka kos pembekalan air akan bertambah. Bayangkan kalau hampir tiga perempat daripada penduduk Lembah Klang mempunyai sikap yang sama seperti itu. Apabila kos perkhidmatan bertambah dek penggunaan air yang bertambah kerana pembaziran, syarikat yang menguruskan air ini terpaksa meminta bantuan kewangan daripada kerajaan negeri. Dan tahulah, kerajaan negeri yang baru bukannya ada duit sangat. Dalam suasana politik sempit di Malaysia ini, permohonan dana dan peruntukan daripada kerajaan pusat yang berlainan parti, sudah pasti akan menjadi begitu sukar. Kerajaan yang memerintah sekarang sudah pasti mempunyai strategi tersendiri untuk merampas kembali negeri yang telah diambil orang. Nasib rakyat? Inilah namanya politik berparti. 

Seterusnya, syarikat tersebut terpaksa mengurangkan beberapa perkhidmatannya untuk menjimatkan kos pengurusan air. Apabila ini berlaku, mutu rawatan air akan merosot dan air yang dibekalkan seperti yang dikatakan tadi - akan menjadi lebih teruk daripada air yang dibekalkan di negara-negara yang jauh ketinggalan berbanding negara kita.

Maka, berbondong-bondonglah kita membeli satu dua tong penapis (filter) daripada syarikat MLM yang berharga beribu-ribu ringgit, supaya setiap isi rumah, mendapat air yang bersih dan berkualiti. 

Sebenarnya, ia adalah sebuah pelbelanjaan yang sangat tidak perlu. Kalau kerajaan negeri bijak mengatur perkara ini, sudah pasti rakyat tidak perlu berhabis duit untuk menggunakan filter yang belum tentu terjamin keberkesanannya itu. Kalaulah parti yang berkempen dahulu tidak mengutarakan janji-janji yang idealistik, sudah tentu perkara ini tidak terjadi.

"Biarlah, bukan kena bayar pun."

Sikap ambil mudah inilah yang tertanam dalam diri manusia. Apabila mudah mendapatkan sesuatu yang berharga, kita cenderung untuk tidak menghargainya dan membazirkannya. Dan, saya tidak mengatakan kepada orang Malaysia sahaja. Ia adalah fitrah manusia di mana-mana pun. Silakan membaca sejarah bangsa yang terhebat di dunia, sebelum tiba-tiba runtuh dan lenyap daripada peta dunia.

Berbalik pada persoalan tadi, ada bagusnya juga sistem kapitalis, jika digunakan betul tempatnya, kena pada sistem masyarakatnya. Sebab itulah, syarikat yang menyediakan perkhimatan pembekalan air, tidak salah untuk menetapkan harga air, yang berpatutan dan selari dengan kualiti servisnya. Apabila air didatangkan dengan bil, ini bermakna air tersebut mempunyai harga. Seperti yang kita semua tahu, air merupakan keperluan dalam hidup ini. Orang tentu sanggup berkorban apa sahaja demi untuk mendapatkan air ini. Apabila orang mengetahui nilai dan harga air itu, barulah orang menjaganya dengan teliti, menggunakannya dengan berhati-hati dan berjimat-cermat apabila memutar pili.

Itu baru persoalan air, yang baru dijadikan satu contoh. Kalau perbincangan ini dilanjutkan kepada persoalan makanan, harta, duit dan sebagainya, sudah tentu saya kena buat blog yang lain pula.

Sebab itulah, Allah berfirman, membazir itu amalan syaitan. Kerja syaitan adalah meruntuhkan kemanusiaan. Kita manusia, apabila ambil alih tugas syaitan dengan melakukan pembaziran, kita secara langsung meruntuhkan kemanusiaan dan membiakkan kesyaitanan.

Saya geleng kepala. Saya pun banyak melakukan pembaziran juga. Duhai diri, beristigfarlah!

Kemudian, perbincangan kami berganjak lagi. Untung, perkataan yang saya tidak gemari itu, diberi nafas baru dalam perbualan kami yang berlanjutan. Ia telah diberi pengertian yang lebih luas.

(bersambung)

Tiada ulasan: