Kelab Peminat

Membuka lembaran semalam

Gambar yang saya siarkan di dalam entri pertama.

Blog. Serasa-rasa, saya sebati dalam arena ini, walaupun saya ini bukanlah seorang blogger sejati. Kadang-kadang, saya selalu mengemaskini halaman ini dengan tulisan baharu. Selalunya, saya meninggalkannya sampai bersawang.

Apabila saya membuka kembali lembaran semalam, terasa agak lama juga blog janjilaxamana ini telah bertapak. Janjilaxamana, di manakah yang saya terilham memberi nama ini? Oh! Saya masih ingat lagi, ketika saya berkunjung ke UTP, melawat sahabat saya, Zambri Zakaria (yang kini berada di Yamaguchi, Jepun), dan waktu itu, beliau membawa saya berjalan-jalan di pekan Ipoh, berkisar di Plaza Yip Fong dan berebut-rebut menaiki bas mini ke Medan Gopeng. Sewaktu kami melangkahi lopak-lopak air yang bertakung di tepi jalan, saya terpandangkan sebuah papan tanda yang agak menarik namanya: Jalan Laxamana. Menarik juga maknanya, apatah lagi cara ejaannya. Di situlah patah kedua blog ini terilham. Tentang istilah 'janji' pula, mungkin entri pertama saya dapat menjelaskan:

Mungkin ini langkah pertama paling jauh, setelah berkali-kali melangkah kehadapan. Paling berjaya hamba kira, paling maju dan paling mara. Harap langkah pertama ini akan menjadi titik tolak untuk perjalanan hamba yang amat jauh lagi.

Seolah-olah, di dalam entri pertama lagi, saya telah berjanji, pada diri sendiri, juga buat pembaca yang setia mengikuti blog ini sejak awal lagi. Jadi, dengan mengarang blog ini, seolah-olah saya sedang menunaikan janji yang saya percaya, tidak akan habis sehinggalah mata saya tertutup buat selamanya.

Tidak dilupakan, buat guru-guru yang tabah mendidik saya dalam membina pemikiran seorang pengarang. Ada sentuhan orang lama, ada ukiran orang yang terkenal dalam bidang penulisan negara. Saya mempelajarinya secara bersemuka, dan terasa keberkatan itu mengalir dan bercahaya. Dan, guru-guru saya yang paling utama, yang tetap tekun membina saya sehingga ke hari ini adalah ahli keluarga dan kawan-kawan yang selalu mendorong dan memberi galakan - mereka yang selalu ternanti-nanti bilalah blog ini akan dikemas kini setiap hari. Kalau mereka suka, mereka akan meninggalkan komentar. Kalau mereka tidak setuju, mereka juga akan meninggalkan komentar. Maklum balas, saya kira, paling penting dalam membentuk gaya yang sesuai buat para pembaca yang mengikuti tulisan seorang pengarang. Pemikiran, bagi saya, perlulah serasi dengan rentak semasa.

Masa seolah pantas berlalu. Semua orang suka mengungkapkan kata-kata itu apabila membuka lembaran semalam yang telah terpahat di dalam ingatan. Blog ini sudah pun berusia empat tahun lebih. Sejak membuka cerita pada tahun 2006, ia masih lagi bertapak dengan namanya yang sama. Saya kira, ada istimewanya meletakkan nama 'Janjilaxamana'. Nama ini seolah menjadi saksi kepada pelbagai kisah yang saya lalui, sepanjang saya melibatkan diri dalam dunia pengarangan siber ini.

Dahulu, alangkah gembiranya apabila ada orang meninggalkan komentar di blog. Tidak dinafikan, waktu mula-mula dahulu, saya mengarang untuk mencari identiti. Dan, orang mengenali saya dengan identiti pengarang blog. Entri-entri awal, saya kira, mungkin kurang matang dari segi kupasan. Namun, di situ, terselit cita-cita yang melangit tinggi. Alangkah seronoknya apabila blog ini dikunjungi oleh orang besar dalam bidang penulisan dan komennya ditinggalkan pula untuk entri. Kembang betul hidung ini, apabila kawan-kawan mengungkapkan kekaguman terhadap perhatian yang diberi, oleh penulis terkenal negara itu, terhadap blog 'Janjilaxamana.'

Pengarangan, saya kira, seiring dengan kisah suka duka kehidupan. Siapa yang tak pernah melalui kisah duka. Blog ini seakan perahu kecil yang sama menyusur mengikut arus dan gelombang kehidupan itu. Saat saya karam, saya juga masih tegar mengarang, meluahkan apa yang tersiat di jiwa. Hati yang patah, kekecewaan, terkilan, penolakan dan banyak lagi, saya kira, terjelma ke dalam karangan-karangan saya di dalam blog. Orang yang tajam sensitivitinya akan mengesani, bila saya berduka dan tenggelam dalam air mata. Penulis tidak akan pernah lekang dari sengsara jiwa dan derita fikiran.

Kadang-kadang, ketika kehidupan ini menyusuri sungai yang mesra arusnya, akan terjelma pula cerita-cerita penuh kesyukuran dan kenikmatan. Blog ini ibarat perahu yang melalui sebuah sungai yang di kiri dan kanannya terdapat buah-buahan yang manis, yang gugur jatuh ke dalam perahu. Saya akan mengambilnya, sehinggalah penuh perahu. Apabila saya singgah di pelabuhan, saya akan berkongsi kurniaan Tuhan yang lazat ini, buat mereka yang sudi singgah ke teratak kecil saya untuk sama-sama dikongsi.

Adapun cinta, saya kira, mendasari semangat saya untuk mengarang. Cinta yang pelbagai rasa. Pedih. Pilu. Bahagia. Gembira. Saya diberi peluang untuk melalui pelbagai kutub perasaan yang dahsyat dan menarik itu. Tanpa cinta, tangan ini tidak akan gatal. Tanpa cinta juga, saya kira, tak sanggup saya mendepani kritkan-kritikan pedas dan menyakitkan hati dari anonymous, yang tidak pernah menunjukkan siapa gerangan dirinya. Dengan cinta, saya cuba bertahan, sehingga ke hari ini, untuk mengarang, walaupun saya dapati, blog ini sudah kurang pengunjungnya.

Hasrat yang besar untuk berkongsi, saya cuba terjemahkan. Apabila perkongsian itu meningkat menjadi keprihatinan dan teguran, terpaksalah saya berbalas hujah dan menulis panjang-panjang tentang apa yang saya fikirkan dan apa yang patut saya katakan. Terasa berdosa pula jika menyembunyikan kebenaran yang saya ketahui, atau menutup mulut sahaja apabila melihat kerosakan berlaku di depan mata. Namun, seperti kata seorang teman yang akrab, "pandai cakap, pandai tanggung." Saya diberi peluang oleh Allah, untuk menanggung akibatnya. Saya kehilangan kawan. Agak ramai juga, terutamanya dari fikrah yang berbeza. Saat indah bersama mereka, selalu tergambar di dalam ingatan. Alangkah indah, jika masa itu dapat berulang kembali.

Namun, di sebalik itu semua, saya temui kawan yang sejati dan setia. Mereka ini, sampai sekarang, berpimpinan tangan dengan saya, untuk mempertahankan kebenaran dan cuba memberi kesedaran, walau apa jua cara yang boleh dilakukan. Apa yang diterbitkan di sini, saya kira, itulah apa yang saya pegangi untuk mendepani kehidupan ini.

Dari hari ke hari, melihat kehidupan yang semakin sampai ke penghujungnya, saya kira, tak rugi saya bermuhasabah. Tak guna kalau terus-terusan menulis, sampai tidak tahu hujung pangkalnya. Tambahan pula, blog ini tiada editornya. Yang menulis, yang menyunting dan yang menerbitkan, adalah blogger itu sendiri. Silap-silap, dia jugalah satu-satunya pembaca, dan memberi rating sendiri untuk entri yang diterbitkannya.

Buat pembaca yang setia, ambillah pengajaran daripada apa yang telah anda saksikan selama ini. Saya ini cuma makhluk. Asbab untuk kudrat yang Maha Agung. Kalau yang baik itu, jadikanlah pakaian. Yang buruk itu, jadilah teladan. Saya di sini, tidak pernah menutup pintu untuk para tetamu, berkunjung dari penjuru dunia manapun, untuk memberi nasihat, menegur dan menunjukkan panduan, supaya hidangan karangan yang sama-sama kita sediakan ini, bermanfaat, untuk zaman-berzaman.

Blog, usaha kecil kita dalam membina dan mempertahankan, ketamadunan Nusantara, dalam dunia pasca-modernisme, yang kehidupannya, semakin kelam dari cahaya.

Tiada ulasan: