Kelab Peminat

Jalan


Gambar dicuplik dari sini

Lebuh Ampang
8.35 pagi

Saya melewati pintu stesen LRT Masjid Jamek yang menghala keluar. Ada sebuah van yang terbuka pintu belakangnya, yang diparkirkan di bahu jalan. Tiga orang pejalan kaki berada di situ, berpakaian pejabat dan menunjuk-nunjukkan pada bekas yang berisi sambal telur. Penjual itu menggagaukan senduk pada dasar bekas untuk mencedok kuah sambal yang masih bersisa, sebelum menuangnya ke dalam kertas minyak yang berisi nasi lemak. Sedap juga kalau berhenti, membeli sebungkus nasi lemak di sini. Namun, saya terfikirkan masa yang sedang berlari laju dan bas yang tidak akan menunggu saya. Lagipun, tak elok makan makanan yang dijual betul-betul di tepi jalan ini.

Saya berjalan pantas, berhati-hati melintas, takut penunggang motorsikal menerpa tiba-tiba, sewaktu saya mengecilkan tubuh, menyelit di antara kereta yang sedang beratur. Kemudian, saya melalui lorong kecil di antara dua bangunan yang tinggi untuk ke Lebuh Ampang. Terdapat banyak motorsikal yang diletakkan di sini dan setiap satunya kelihatan dikunci tayarnya. Beberapa langkah di hadapan, saya tercium bau yang kurang menyenangkan, yang tidak semena-mena menyerbu hidung. Longgokan plastik pelbagai warna bersama dengan isinya yang sudah mereput - terbiar. Air daripada bukit kecil sampah itu meleleh keluar dan mengalir membasahi jalan yang sedang saya gunakan. Saya berjaga-jaga agar sepatu kerja yang saya pakai tidak tersentuh dengan kotoran yang boleh mengundang penyakit.

Saya tiba di Lebuh Ampang. Terasa betul habuk dan asap kenderaan yang menjadi sebahagian besar komposisi udaranya. Saya lihat kiri dan kanan. Ada beberapa orang menunggu seperti saya. Ada orang berjalan kaki, mungkin ke tempat kerja, atau mungkin juga baru pulang. Bangunannya pun berkelarah dengan lumut dan cat putihnya sudah menjadi kelabu. Ada juga yang tertanggal. Ada juga tingkap yang sudah sompek dan terpokah. Lebuh Ampang sesak. Bas-bas yang baru melepasi simpang empat Jalan Tun Perak dan Medan Pasar masuk dan berhenti untuk mengambil penumpang di sini. Kereta dan kenderaan lain terpaksa berhenti di belakang bas untuk memberi laluan kepada penumpang yang berdiri di tepi berlari mendapatkan bas untuk menuju ke destinasi. Namun, tak semua pemandu mempunyai kesabaran. Kedengaran hon dari sebuah kereta Honda Civic. Pemandunya adalah seorang Cina dalam lingkungan 40-an. Di balik cermin, kelihatan dia mengawang-gawangkan tangannya - marah betul dia.

Saya mendongak ke atas. Awan mengabusi langit dan puncak menara Kuala Lumpur turut sama terlindung. Tebal betul awan hari ini. Ada sudut-sudut yang digenangi air, tetapi kawasan ini, rata-rata airnya telah tersejat. Mungkin hujan turun dengan begitu lebat semalam. Udara hari ini lembap dan titisan seni air mungkin dicemari dengan karbon monoksida yang cepat betul memamah tenaga dan kesegaran kepala.

Saya resah menunggu. Khuatir hari ini kelewatan lagi. Bas U25, RapidKL masih belum muncul, sedangkan beberapa bas lain sudah meninggalkan perhentian ini. Sepatutnya ia tiba serentak. Sekali lagi saya meneliti jam tangan. Jarum minit terasa bertukar tempat dengan sangat pantas. Seorang perempuan India turun dari sebuah bas yang baru tiba, betul-betul di hadapan tempat saya berdiri. Saya rasa, umurnya dalam lingkungan saya. Saya menjelingnya dengan ekor mata. Ada cebisan kertas pada tangannya. Itu kertas tiket bas. Perempuan India itu mengepal-ngepalkan kertas itu lalu dicampakannya ke dalam longkang. Kertas itu jatuh di celah-celah besi yang menutup longkang itu. Selang beberapa ketika kemudian, seorang lagi lelaki India yang melalui ruang pejalan kaki turut sama mencampakkan sampah ke dalam longkang itu. Sampah itu lebih besar.

Bas masih belum tiba. Fikiran saya disapa oleh sebuah ingatan, saat saya gelisah mengharapkan bas tiba. Saya terbaca di dalam sebuah akhbar, nama Lebuh Ampang ini akan ditukar kepada Jalan Tun Mahathir. Saya berdebat dalam hati. 'Apakah molek nama negarawan kita itu diabadikan di sini?' tanya satu sudut hati saya. Satu suara lain bergema dalam dewan pemikiran, mengutarakan persoalan juga, 'wajarkah jalan ini dinamakan dengan nama beliau, sedangkan kita sendiri pun tak tahu, beliau pernah atau tidak pernah memijak jalan ini.' Suara yang kedua menambah lagi kata-katanya, 'kalaulah dia mahu jalan ini dinamakan dengan nama beliau, sekurang-kurangnya, mesti ada sesuatu yang boleh mengingatkan kita kepadanya, apabila kita menggunakan jalan ini.'

Fikiran saya bercabang. Saya teringat pada penjual nasi lemak di tepi jalan yang berhabuk. Pemandu Cina yang sombong dan tidak mengenal erti sabar. Orang India yang membuang gumpalan kertas ke dalam longkang. Juga, timbunan sampah yang reput serta sudah berair. Lebuh Ampang menjadi kanvas yang menampung lukisan kehidupan sebuah negara. Saya mencari kewajaran keputusan untuk mengganti nama 'Lebuh Ampang' dengan nama yang baru. Rasa tak senang saya menyelungi jiwa.

Sebuah bas bernombor U25 membelok dari jalan Tun Perak. Saya mendepangkan sebelah tangan dan berlari anak mendapatkan pintu bas yang terbuka.

Fikiran saya tentang perkara itu terbawa-bawa.

Tiada ulasan: