Kelab Peminat

Suatu hari apabila kehidupan dimulakan

Setiap hari, sebaik sahaja anda membuka langkah untuk kehidupan - adakah mengambil satu atau dua saat untuk memikirkan kehidupan yang anda akan lalui?

Matahari masih terbit di timur serta udara pagi masih segar untuk anda hirup. Jika anda berada di kawasan luar bandar, jalan untuk ke tempat kerja biasanya jarang sesak. Anda akan melalui sawah padi yang dilatari gunung-ganang. Jika anda menghantar anak-anak ke sekolah, anda akan melihat anak-anak yang bersemangat untuk menimba ilmu dan semangat yang sama semestinya meresap ke dalam jiwa.

Sedar atau tidak, wadah kehidupan yang kita lalui setiap hari adalah tanah air yang kita cintai. Negara yang kita diami umpama bekas, dan kehidupan kita pula umpama air yang berada di dalam bekas itu.

Negara, tempat yang menampung kehidupan kita. Setiap hari kita bercerita tentang politik negara - seolah-olah hanya politik sahajalah yang menentukan masa depan negara kita. Setiap hari kita dengar tentang banyaknya kemalangan yang berlaku di dalam negara - seolah-olah apabila berada di jalan raya negara, peluang untuk kita meneruskan kehidupan seperti telur di hujung tanduk. Setiap hari, banyak laporan berita yang tidak baik tentang apa yang berlaku di dalam negara - seolah-olah negara ini sudah tidak selamat untuk didiami.

Apabila anda keluar dari pintu, cuba anda toleh ke belakang. Lihat pada pintu yang terkatup dan jeriji yang anda pasangkan. Ini adalah rumah yang anda tinggalkan, di dalam sebuah negara yang anda hidup di dalamnya. Rumah adalah simbol kehidupan anda. Kehidupan anda di dalam sebuah negara. Tambahan, rumah juga merupakan miniatur sebuah negara. Anda isikan dengan bermacam-macam peralatan dan perkakas, dengan insan yang anda cintai dengan segala peristiwa dan kisah yang anda ingin kenangkan. Hari ini, seperti hari-hari yang lain sebelum ini, rumah yang anda sayangi ini akan anda tinggalkan buat seketika, atau mungkin selama-lamanya. Anda akan meninggalkan rumah ini dan negara andalah yang akan memikul tanggungjawab menjaga rumah itu, sepanjang ketiadaan anda, atau jika anda tidak akan kembali lagi.

Bayangkan dengan khabar buruk yang silih berganti, kemalangan dan bencana politik yang tak sudah-sudah, apakah rumah yang anda tinggalkan itu akan menjamin sebuah kehidupan yang mesra, sekembalinya anda dari tempat kerja nanti? Atau, adakah insan yang anda cintai dan anak-anak yang anda kasihi, akan terus tersenyum gembira, jika anda ditakdirkan pergi selamanya?

Kerisauan yang mula memendungi jiwa anda - cubalah anda lupakan sebentar. Banyak cerita telah kita dengar. Banyak kisah menyayat hati yang tersimpan di dalam jiwa. Usirkanlah bisikan yang mengatakan negara kita adalah tempat berkumpulnya segala bahaya dan bencana.

Kita sudah lahir di dalam negara ini. Itu takdir yang tersurat. Sejarah dan peristiwa-peristiwa negara yang telah berlaku tidak boleh kita ubah. Cuma, kita boleh mengubah apa yang tertulis dan cara kita membaca sejarah dan peristiwa negara kita itu.

Hiruplah udara segar pagi sebelum anda ke tempat kerja. Perhatikanlah matahari yang masih terbit di timur. Hayatilah sawah padi yang terbentang dan gunung-ganang yang menjadi latarnya. Lihatlah anak-anak anda yang akan mewarisi kehidupan yang telah anda usahakan selama ini.

Bisikkanlah tawakkal pada sebaik-baik Pengawal.

Dialah yang akan menjaga, dengan sebaik-baik jagaan.

Tiada ulasan: