Kelab Peminat

Seharusnya, kawan

Kawan,

Seharusnya, apabila terbit matahari di ufuk timur, berita-berita yang baik patut didengari. Sebelum melangkah ke tempat kerja, seharusnya awal kehidupan diisi dengan pemangkin semangat dan baja jiwa. Seharusnya, pagi-pagi lagi, kita tersenyum puas dan menerima hari yang baru dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Seharusnya, dalam fikiran, kita telah menyiapkan bisikan, bahawa hari ini kita akan menyempurnakan usaha dan berharap tuaian kehidupan akan tumbuh berganda-ganda.

Seharusnya, begitulah, kawan.

Seharusnya, apabila matahari terbit itu, jangan didengar ucapan dan jangan dibaca tulisan orang yang bebal. Kerana satu atau dua orang bebal yang mengeluarkan kata, pagi-pagi lagi kita sudah dibebalkan. Mungkin kita tersenyum. Tetapi senyuman kita penuh ejekan dan penuh sinis. Dalam hati akan bergema-gema perkataan, "bangang, bodoh, gila," yang tidak harus kita ulang dan ratib awal pagi lagi. Seharusnya, pagi-pagi lagi kita penuhi dengan ungkapan manis, kata-kata pujian dan ingatan yang penuh kebaikan kepada Pemilik dan Pengurnia segala rezeki.

Seharusnya, itu tak berlaku, kawan.

Seharusnya, sebagai negara yang makin maju, kenderaan sendiri semakin kurang digunakan. Kenderaan awam dengan sistem yang boleh diharap dan diyakini seharusnya semakin ramai orang gunakan. Seharusnya, jika ini berlaku, asap dan kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Mungkin juga, dengan ikhtiar ini, kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Seharusnya, untuk keselamatan diri, kita perlu berusaha. Namun, seharusnya, pengangkutan awam itu sendiri boleh diharap dan diyakini terlebih dahulu, sebelum memaksa penggunanya menaruh harapan dan keyakinan untuk menggunakannya. Namun, setiap pagi, kenderaan awamlah menjadi racun dan bencana kepada semangat pagi yang baru bertunas dan tuaian kerja kemudiannya jadi tidak seperti yang diimpikan - keadaan yang seharusnya tidak berlaku, dalam negara yang kononnya nak maju.

Seharusnya, bukan itu yang terjadi, kawan.

Seharusnya, negara ini yang sudah lama merdeka ini, telah terbina identiti dan budayanya. Seharusnya, dalam negara yang mempunyai bahasa dan budaya sendiri, kita tak perlu takut untuk tidak memahami atau tidak difahami. Sewaktu kita berjalan di ibu negara, lebih seribu bahasa kedengaran, tetapi sukar kita berkomunikasi dengan bahasa yang kita sendiri punyai. Orang Afrika dengan "wonggo, wonggo, wonggonya." Orang China dengan "cochia, cochia, cochianya." Orang Bangla dengan "Bam, bam, bam, bamnya." Seharusnya, sebagai satu negara, kita mempunyai satu bahasa yang digunakan untuk berhubung sesama sendiri. Apa lagi kalau bukan bahasa kebangsaan. Seharusnya, sewaktu seorang rakyat kebangsaan yang mahu keluar dari himpitan LRT (yang juga dipenuhi oleh orang sekebangsaan dengannya), bukan kedengaran ungkapan  "excuse me, accused me." Seharusnya, katakanlah dengan berani, 'tumpang lalu, minta maaf ya, saya tumpang lalu,' sungguhpun kita turun di stesen KLCC.

Seharusnya, beginilah, kawan.

Seharusnya, pendidikan kebangsaan perlu diperkasakan lagi. Perkara itu bukan lagi harus. Ia sudah menjadi satu kewajipan, jika kita mahu bernegara dengan aman dan sentosa. Pemimpin kau juga sedang memerhati dan membaca blog ini bukan? Inilah masanya untuk dia menyedari dan membetulkan segala kesilapan sebelum terbabas ke dalam jurang kemunduran dan bencana kehidupan rakyat jelata.

Tiada ulasan: