Kelab Peminat

Dey!


Biarlah saya menceritakan sedikit pengalaman saya ketika waktu rehat sebentar tadi. Ceritanya bermula apabila saya bersama dengan rakan sekerja, ditugaskan untuk mengambil barangan pejabat di sebuah kedai komputer, yang terletak di salah sebuah kompleks beli-belah yang besar di Wangsa Maju.

Memandangkan waktu kami keluar adalah pada waktu tengah hari, kami pun bercadang untuk memenuhi tuntutan jasmani, yakni makan, di sini. Urusan pun telah selesai dan kami pun bergerak ke sebuah medan selera yang terdapat di dalam kompleks beli-belah berkenaan.

Adapun medan selera tersebut agak besar juga, menyediakan juadah dari pelbagai macam negara. Kami berlegar di setiap kaunter yang tersedia, memilih hidangan mengikut selera. Terdapat ramai orang yang memilih dan menyantap makanan di meja.

Tengah hari tadi, saya memilih bakso sebagai hidangan utama. Kemudian, saya menatang masakan mee bercampur sup serta beberapa ketul daging tepung ke meja yang telah dipilih. Selepas itu, saya memerhatikan sekitar kawasan medan selera tersebut, mencari mana-mana kedai yang menjual minuman. Saya dapati, hanya terdapat sebuah sahaja kedai minuman, yang dibina seperti kiosk, terasing dan tidak terletak di deretan kedai makan. Saya ke sana dan bersua dengan seorang jurujualnya - wanita.

"Mak cik, saya nak air suam."

"Tak ada. Kami jual jus aja."

"Takkan tak ada air suam?" Kata-kata mak cik itu mengejutkan saya. Kedai minuman apa yang tidak menyediakan minuman paling mudah disediakan?

"Kedai kami tak jual minuman panas." Raut wajah mak cik tersebut tidak berombak. Tenang betul dia melafazkan kata-kata. Jiwa saya luluh kerana hajat yang saya pendamkan berderai ibarat kaca yang dijatuhkan dari puncak menara berkembar.

"Mana boleh saya dapatkan air suam ni?" tanya saya, berpura-pura menyelindungkan rasa hairan, aneh dan ganjil. Saya merasakan saya ini, seperti pendatang dari benua tuan rumah Piala Dunia yang melalui pengalaman pertama di tengah-tengah ketamadunan kota Malaysia.

"Pergi dekat kedai mamak tu. Kedai tu ada jual minuman panas." Saya diarahkan. Sedar ataupun tidak, kehidupan ini juga penuh dengan arahan.

Maka, berjalanlah saya dengan langkah yang gontai ke kedai mamak yang terletak di deretan kedai-kedai makan yang lain. Terdapat dua orang pelanggan yang baru mendapat juadah yang dipesan, menjeling saya yang termangu-mangu. Agaknya, saya diacum di dalam hati, seperti pelajar asing yang datang belajar ke negara ini, tetapi tidak tahu sepatah pun Bahasa Melayu. Saya pasrah seadanya.

"Air suam satu," kata saya, dengan harapan yang begitu tinggi. Di dalam jiwa, saya cuba bertenang seperti seorang ahli politik yang sanggup berdepan dengan cemuhan pengundi kerana melompat parti.

"Tak ada air suam." Slanganya ala-ala pelakon Padayapa. Kata-katanya betul-betul seperti hero itu, sungguh meyakinkan dan mengesankan peminat filem Tamil seperti saya ini.

Saya mengangkat sebelah kening, macam mentor kepada seorang protoge yang menjadi juara baru-baru ini. "Eh? Takkan tak ada kot?"

Mamak yang berkumis tebal itu tidak menjawab. Membiarkan saya diselubungi misteri. Mujur dia tidak seperti yang saya jangkakan - melibas kain buruk ke bahu dan menjerit "Dey!" dengan kuat pada saya. Sudahlah dijeling dua orang pelanggan tadi. Takkan mahu direnung tajam-tajam oleh seluruh pelanggan medan selera. Saya bernasib baik, kerana dia hanya mengangkat jari telunjuk (yang sama seperti Padayapa saya kira), lalu menunjukkan sebuah notis yang dicetak hitam putih. Notis itu ternyata buatan sendiri dengan menggunakan Microsoft Word.

Buat pelanggan. Kami tidak menyediakan air kosong atau air suam. Sila beli air mineral.

Saya telan air liur sendiri. Namun, air liur sama sekali tidak boleh diminum seperti air suam.

"Air mineral berapa harga?"

"Seringgit."

Dang! Saya telah menghabiskan seringgit untuk minuman yang sama seperti air suam yang saya impikan. Seringgit adalah nilai tambang perjalanan dari Chow Kit ke Taman Sri Rampai dengan bas Leng Seng yang sudah usang dan tidak mempunyai pendingin hawa. Seringgit adalah nilai 3 ketul jambu di kedai nasi ayam daun bawang, yang terletak di Medan Selera Jalan Usahawan, berdekatan dengan pejabat saya. Seringgit adalah nilai yang mencukupkan sembilan ratus sembilan puluh sembilan ribu sembilan puluh sembilan ringgit untuk menjadi sejuta ringgit!

Saya pulang ke meja terkulat-kulat membawa botol air minuman 1.5 liter. Saya menyantap bakso yang pedas dan meneguk air suam yang begitu ekslusif, untuk orang-orang kaya seperti pemakan gaji syarikat minyak yang sanggup menghabiskan berbillion-billion subsidi untuk negaranya dan parti politik yang memerintah. Minuman ini hanya disediakan dalam botol plastik, bukan dalam gelas kaca, yang boleh sahaja didapati di tepi jalan, bukan di pusat membeli dan 'blah' dengan marah-marah.

*gambar, dicuplik daripada laman web yang tertera padanya.

3 ulasan:

isuzu_aizu berkata...

err. hmm bila sistem ekonomi kapitalis mula memenuhi semua ruang di seluruh pelusuk kota..

ihsan_huhu berkata...

1.5L singgit ke? bkn 500ml?

Muhammad Teja berkata...

ha'ah la. 500ml la sepatutnya kan?